HANS duduk bersendirian di Dubai Miracle Garden sambil tangannya tidak
jemu-jemu menangkap gambar kecantikan dan keunikan taman bunga yang terbesar di
dunia ini. Setiap susun atur bunga-bunga segar di dalam taman ini cukup
mengkagumkan. Sebaik saja menjejakkan kaki ke taman ini, pasti terasa seperti
berada di syurga. Warna- warni, bau yang cukup mengharumkan, rasa segar dan mata
pasti akan terpukau dengan susun letak bunga-bunga yang terdapat dalam taman
ini. Tidak hairanlah jika taman ini telah tersenarai dalam Guinness World
Record kerana susunan bunga-bungaan yang terbesar dan taman bunga terbesar yang
telah memuatkan sebanyak 109 milion pokok bunga!
Hans memejamkan
matanya sejenak. Ingin menikmati kesegaran bunga-bungaan yang terdapat dalam
taman ini. Serentak, seraut wajah lembut menerpa ruang fikiran membuatkan mata
Hans terbuka dengan sendirinya. Anak matanya melingas ke kiri dan kanan.
Pipinya ditepuk dengan perlahan.
“Apa kena dengan
aku ni? Tak pernah-pernah aku teringatkan muka perempuan, kenapa muka perempuan
tu pula yang aku ingat?” bebel Hans sendirian.
“Cepat bagi tahu
saya, siapa awak yang sebenarnya? Atau awak ni stalker? Tak pun awak ni spy
papa saya?”
Kata-kata gadis itu
terngiang-ngiang di telinga. Tanpa sedar, Hans ketawa sendirian. Namun tidak
lama kemudian, dia menekup mulut.
“Kalau orang nampak
aku gelak sorang-sorang, sah dia orang ingat aku tak betul. Semua ni minah tu
punya pasal. Ada ke dia cakap muka aku yang hensem ni stalker? Tak patut betul.” Omel Hans lagi sambil menggelengkan
kepala.
Lalu, dia mencapai
kameranya yang diletakkan di sisi. Gambar-gambar yang telah diambil, dibelek
sekali lagi. Namun, jari-jemarinya terhenti apabila terpapar gambar gadis itu
yang ditangkap secara curi.
Hans mengamati
gambar wajah itu dengan lama. Wajah gadis itu yang ayu menarik perhatiannya
tanpa sedar.
“Indah… Sungguh
indah ciptaan Allah…” desisnya perlahan.
Tiba-tiba dia
terasa seperti ada titisan air yang lembut mengenai pipinya, pantas Hans
mendongak ke langit. Ternyata ada gerimis yang menyapa walhal cuaca saat ini
cerah.
“Aik, hujan lagi?”
Soal Hans sendirian. Kemudian, dia memandang ke hadapan dan…
Dup! Jantung
berdegup sebaik saja anak mata menangkap kelibat seseorang yang sedang duduk di
bangku tidak jauh dari tempatnya berada. Hans hanya memerhati gelagat gadis itu
tanpa ada niat untuk menegur. Sementelah gadis itu langsung tidak menyedari akan
kehadirannya mungkin juga gadis itu sedang khusyuk menulis sesuatu pada buku
nota yang dibawanya.
Hans hanya
tersenyum nipis. Hatinya terasa lain. Lantas, dia melekapkan telapak tangan di
dada kiri. Entah mengapa dia merasakan hatinya tidak keruan malah perasaannya
terasa hangat. Petanda apakah ini?
MARISSA merenung air di kolam yang kelihatan tenang. Namun,
bayang peristiwa tengah hari tadi terlayar di ruang fikiran. Dia menggenggam
kedua belah tangannya dengan kejap.
“Prinsip saya,
kalau benda pertama yang saya lihat dan saya berkenan, saya takkan lepaskan
dengan mudah walaupun awak menggelupur dekat sini!”
Kata-kata yang
menjengkelkan itu kembali terngiang di telinga Marissa. Dia mendengus geram.
“Mamat gila. Psiko!
Dekat mana aku pergi mesti dia ada. Kau bukan stalker, bukan spy papa.
Jadi apa maksudnya tu? Jodoh? Oh, tidak! Tak. Tak. Tu bukan jodoh!” ucap
Marissa sendirian. Dia menggeleng kepala dengan pantas. Dia mundar mandir di
tepi kolam mandi. Memikirkan kebetulan demi kebetulan yang terjadi di antara
dia dan lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
“Tak naklah aku
jodoh macam tu. Dahlah berlagak. Annoying.
Kurang ajar. Kurang adab. Haih, memang serba serbi kuranglah. Memang taklah
dapat jodoh macam tu.” Bebel Marissa bagi meluahkan rasa hatinya yang
terpendam. Dia memicit dahi.
Dia menjeling ke
arah buku notanya yang selalu dibawa ke mana saja dia pergi. Dia tersenyum
kecil lalu mencapai buku nota tersebut. Halaman demi halaman dibelek sebelum dia
beralih kembali ke halaman pertama.
“You’re my serendipity, I wasn’t looking for you, I
wasn’t expecting you, but I’m very lucky I met you…” Marissa membaca kembali ayat yang tercatat
di bukunya itu.
“Bilalah nak jumpa
jodoh macam ni? Serendipity… Tapi tak
mustahil kan?” Soal Marissa kepada dirinya sendiri.
Dia membelek ke
halaman seterusnya. Ayat yang baru ditulis tengah hari tadi dibaca sekali lagi.
“Kebetulan akan
menemukan jodoh dan jodoh adalah kebetulan yang indah?” Ucap Marissa membaca
tulisannya sendiri.
Namun, dahinya
berkerut apabila terdapat sebaris ayat tertulis selang tiga baris daripada ayat
yang di atas.
“Kebetulan itu juga
takdir. Takdir yang tidak dijangka oleh manusia tetapi telah diatur dengan
sebaiknya oleh Pencipta.” Marissa terkaku seketika. Dahinya bertindih-tindan.
Kata-kata itu seolah-olah cuba menjawab soalan pada ayatnya sebelum ini. Tetapi
menjadi persoalan, adakah dia yang menulis kata-kata tersebut?
“Aku ke yang tulis
ni? Tapi bila? Kenapa tulisan ni tak sama dengan tulisan aku pun?” Soal Marissa
sendirian. Dia mengetuk dagu. Lama dia meneliti tulisan tersebut namun dia
tidak punya jawapan. Setahu Marissa, tiada sesiapa yang menyentuh bukunya itu
tetapi bagaimana kata-kata itu boleh tertulis di dalam bukunya?
“Mungkin aku tak
perasan bila aku tulis kut. Lantaklah…”
“Rissa… Buat apa
tu?” Sapa Dato Seri Anuar dari arah belakang mengejutkan Marissa. Dia berpaling
dan tersengih. Persoalan tentang kata-kata itu lenyap ditelan angin lalu.
“Tak buat apa pun,
papa. Ambil angin kat luar ni. Papa baru balik ke?” Soal Marissa berbasa-basi.
Dato Seri Anuar
tersenyum lalu menganggukkan kepala. Briefcase
miliknya diletakkan di atas bangku panjang buat seketika. Wajah si anak
dipandang lama.
“Dari mana aje
tadi?” Soalnya sekadar ingin tahu.
“Tak ke mana pun,
papa. Burj Khalifa, naik train,
pusing Dubai. Bosanlah tak ada teman. Bila papa nak ada masa untuk….”
“Hurmm… Papa nak naik rehat. Penat.”
Potong Dato Seri Anuar tanpa sempat Marissa menghabiskan kata.
Marissa mengeluh
hampa. Dia menggigit bibir menahan rasa dengan sikap dingin yang ditunjukkan
oleh Dato Seri Anuar. Dia sendiri tidak tahu apa salahnya sehingga Dato Seri
Anuar bersikap seperti itu.
“Tu aje yang papa
nak tanya Rissa? Kenapa papa tak nak luangkan masa untuk Rissa? Kalau Rissa
tahu papa sibuk sangat sampaikan tak ada masa untuk Rissa, lebih baik Rissa
duduk aje dekat Malaysia tu. Dekat sana Rissa ada kawan. Ada nenek yang selalu
ada untuk Rissa. Dekat sini Rissa ada papa tapi papa buat macam Rissa ni tak
wujud. Apa masalah papa sebenarnya?” Soal Marissa meluahkan isi hatinya yang
sudah lama dipendamkan.
“Papa busy Rissa. Cubalah faham papa.” Jawab
Dato Seri Anuar lalu melarikan pandangan ke tempat lain. Melihat wajah Marissa
yang saling tidak tumpah dengan wajah arwah isterinya menambahkan rasa galau
dalam diri Dato Seri Anuar.
“Busy? Papa boleh keluar main golf dengan
kawan-kawan papa, itu papa kata busy?”
Soal Marissa tidak berpuas hati. Dia berdiri sambil menentang wajah Dato Seri
Anuar yang kelihatan serba salah.
“Itu urusan kerja
papa. Kawan-kawan papa datang dari Malaysia. Rissa kena faham, papa ni pegawai
kedutaan dekat sini. Papa kena layan tetamu dari jauh dengan baik…”
“Papa layan tetamu
dari jauh dengan baik sampaikan papa lupa anak papa yang ada depan mata papa
ni. Rissa tak minta semua masa papa, Rissa cuma nak papa luangkan sedikit masa
papa tu untuk Rissa. Seminit pun tak apa, papa. Rissa rindu papa yang dulu.
Papa yang selalu ada untuk Rissa. Yang tak pernah jemu dengar cerita-cerita
Rissa. Tak boleh ke papa tunaikan permintaan Rissa tu?” Soal Marissa dengan
mata yang berkaca. Dia menahan rasa sebak yang mula menghurung dada. Sebolehnya
dia tidak mahu air matanya tumpah di hadapan Dato Seri Anuar.
“Kita hidup untuk
masa depan Rissa bukan masa lalu…”
“Kalau masa lalu itu
lebih membahagiakan, Rissa sanggup untuk hidup dalam masa lalu tu selamanya.
Masa itu Rissa ada mama dan papa yang selalu ada untuk Rissa. Tapi sekarang,
memang mama dah tak ada. Rissa reda dengan ketentuan tu tapi Rissa minta dari
papa, jangan biar Rissa rasa Rissa turut kehilangan papa…” pintas Marissa
pantas.
“Rissa!” terjerit
kecil Dato Seri Anuar mendengar kata-kata Marissa yang agak berbisa. Namun,
dalam hati Dato Seri Anuar mengiakan kata-kata anak gadis itu cuma ego seorang
lelaki menidakkan kebenaran itu.
Marissa tersenyum
sinis. Tanpa bertangguh, dia berlari-lari anak menuju ke tingkat atas.
Meninggalkan Dato Seri Anuar yang masih lagi terkelu untuk membalas kata-kata
Marissa.
Satu keluhan terbit
dari celah bibir Dato Seri Anuar.
“Maafkan papa,
Rissa. Papa tak bermaksud untuk abaikan Rissa. Papa cuma…” kata-kata Dato Seri
Anuar terhenti di situ. Dia menundukkan kepala. Tergambar seribu kekesalan di
raut wajahnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.