SUASANA di Jumeirah Palm Beach kelihatan tenang. Hari ini tidak
ramai pengunjung yang datang. Hanya beberapa orang pelancong asing yang sedang
berjemur di tepi pantai. Hans hanya berjalan di pesisir pantai Jumeirah yang
putih bersih. Air laut yang berwarna hijau kebiruan memberi ketenangan kepada
Hans saat ini.
Hans mengarahkan
lensa kameranya ke arah laut. Angin yang bertiup bersama desiran ombak yang
memukul pantai cukup memberi rasa damai dalam diri Hans. Hilang semua segala
masalah yang membebani fikirannya sejak dua menjak ini sebaik saja dia kakinya
menyentuh pasir pantai Jumeirah.
Jumeirah Palm Beach
merupakan salah satu tarikan utama kepada sesiapa sahaja yang datang melancong
ke Dubai. Selain pantainya yang bersih dan air lautnya yang memukau pandangan,
Jumeirah Palm Beach ini merupakan pantai terkecil daripada tiga Palm Islands
iaitu Palm Jumeirah, Palm Jebel Ali dan Palm Deira. Jika dilihat dari pandangan
udara, Palm Islands ini berbentuk pohon pokok palma yang mempunyai batang,
sebuah mahkota dengan tujuh belas dauh dan sebuah pulau berbentuk sabit yang
mengelilinginya. Palm Islands ini bukan saja menjadi pusat tarikan pelancong
namun tempat tersohor ini tersenarai dalam Keajaiban Dunia yang ke lapan.
Hans terus
melangkah menyelusuri pantai sambil tangannya cekap mengambil gambar-gambar
yang dirasakan menarik. Hans mengarahkan lensa kameranya ke arah sepohon pokok
palma yang ditanam di tepi pantai. Terdapat sebuah bangku yang sengaja
diletakkan di bawah pohon tersebut. Baru saja Hans ingin mengambil gambar,
tiba-tiba bangku tersebut diduduki oleh seorang gadis berbaju pink dan berskirt
labuh berwarna putih.
Dahi Hans berkerut
namun bibirnya tetap mengukir senyuman.
“Hah, kalau dah
macam ni, bukan kebetulan lagi dah. Ni jodoh namanya…” omel Hans lalu mengarahkan
langkahnya ke arah gadis Melayu yang ditemuinya semalam.
Marissa yang terasa
dirinya dipandang, terus mendongak. Hampir saja matanya terjengil keluar
apabila melihat Hans yang melangkah menuju ke arahnya. Dia menggaru dahinya
yang tidak gatal.
“Sah, mamat ni nak cari pasal dengan aku.
Takkanlah kebetulan sampai macam ni sekali? Mana-mana aku pergi mesti ada aje
dia. Tak suka betul aku! Huh!” rungut Marissa lalu bingkas bangun ingin
meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu bersemuka dengan Hans.
“Cik, tunggu dulu!”
laung Hans lantas mengejar Marissa yang cuba mengelak dari bertemu dengannya.
“Cik Baju Pink,
tunggu kejap! Kalau cik betul-betul orang Malaysia, Melayu dan Islam, cik
tunggu saya kejap!” Hans bersuara lagi. Dia terpaksa meninggikan suara kerana
jarak Marissa dan dia agak jauh.
Langkah Marissa
terbejat. Dia melepaskan nafas pendek dan berpaling ke belakang. Dia menjeling
sedangkan Hans meleretkan senyuman.
“Awak nak apa lagi
ni? Tak cukup lagi ke nak tunjuk biadap awak tu dengan saya? Lain kali tolong
simpan sikit biadap awak tu untuk diri sendiri jangan tunjuk pada orang lain.
Menjengkelkan, tahu tak?” bebel Marissa dengan laju. Dia menyilangkan tangannya
ke tubuh.
Hans menahan tawa.
Wajah Marissa yang menahan marah mencuit hatinya.
“Hmmm… Cik ni mesti dah lama tinggalkan
Malaysia kan? Dah lupa rukun negara? Kesopanan dan kesusilaan tu mesti
dipraktikkan tak kira di Malaysia atau di negara mana pun. Kalau cik terlupa
saya boleh ingatkan lagi empat rukun negara tu, nak?” Gurau Hans sambil melangkah
menghampiri Marissa yang masam mencuka.
“Kalau awak panggil
saya setakat nak buang masa saya, lebih baik tak payah! Saya tak kenal awak,
jadi jangan kacau saya!” bentak Marissa berura-ura untuk melangkah pergi.
“Amboi, garangnya
cik ni. Saya bergurau aje. Saya panggil awak ni bukan nak cari gaduh. Saya cuma
nak minta maaf sebab saya dah sakitkan hati awak semalam. Semalaman saya tak
dapat tidur fikirkan cik. Jadi, sebagai tanda ucapan maaf saya, saya hadiahkan
t-shirt semalam ni untuk cik…” Ucap
Hans lalu mengambil bungkusan plastik yang disimpan di dalam beg galasnya.
Marissa melongo.
Terkebil-kebil dia memandang Hans yang menghulurkan bungkusan yang berisi
kemeja T dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.
“Errr… Tak payah. Saya tak nak…”
“Tak sudi ke?
Nampak sangat cik ni dah berpuluh tahun tak duduk Malaysia kan? Sebab orang
Malaysia….”
Belum sempat Hans
menghabiskan leterannya, Marissa terlebih dahulu merampas bungkusan dari tangan
Hans. Satu pandangan tajam dilemparkan kepada Hans yang hanya tersengih bak
kerang busuk. Rasa ingin ditampar saja wajah itu.
“Saya dah ambil ni.
Puas hati?” tekan Marissa lalu berpaling meninggalkan Hans.
“HAH, awak ikut saya ni kenapa?” Soal
Marissa sebaik saja dia menoleh ke belakang.
Kelihatan Hans
berpura-pura mengambil gambar kawasan sekitar. Melotot anak mata Marissa
memandang Hans. Dia berdiri sambil mencekak pinggang.
“Mana ada saya ikut
awak. Saya cuma tak jumpa cari jalan…” Jawab Hans selamba. Dia mengulum senyum.
Wajah Marissa yang cemberut ditenung lama.
“Cari jalan? Jalan
apa? Bukan main besar jalan kat sini, itu pun awak tak jumpa?” Soal Marissa
pelik. Keningnya bercantum.
“Saya tengah cari
jalan ke hati awak. Boleh tak awak tunjukkan?” Soal Hans kemudian dia ketawa
dengan kata-katanya sendiri.
“Gila!” terpacul
perkataan tersebut dari celah bibir Marissa. Dia berpaling semula untuk
meninggalkan Hans namun tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman apabila
teringatkan kata-kata Hans.
“Cik tunggulah
dulu. Cik tak ucap terima kasih pun lagi untuk baju tu!” laung Hans apabila
Marissa mula menjarakkan diri.
Marissa hanya
melambaikan tangannya ke belakang tanda dia malas melayan kerenah Hans yang
cukup menjengkelkan. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan lelaki yang
berperangai seperti Hans.
“Mamat ni nak apa lagi agaknya? Aku tak
nak t-shirt ni dia membebel, aku
terima t-shirt ni dia merungut. Spesis apalah mamat ni? Setahu aku, kaum lelaki ni tak banyak cakap, tapi mamat ni macam tak nak berhenti
bercakap. Keturunan apa agaknya?” omel Marissa sendirian.
Dia menoleh semula
ke belakang. Kosong. Kelibat Hans tidak kelihatan dia hadapannya. Marissa
mengerutkan dahinya.
“Aik, dah hilang?
Baguslah. Aman hidup aku.” Ujar Marissa.
Namun, bibir dan
hati tidak sekata. Anak matanya melingas mencari kelibat Hans yang menghilang
secara tiba-tiba. Tidak lama kemudian, retina matanya terhenti di pinggir
pantai. Kelihatan Hans sedang memimpin tangan seorang lelaki Arab yang
bertongkat menuju ke bangku. Mungkin pemuda itu menghalang lelaki tua daripada
berjalan menuju ke laut.
Tercuit rasa aneh
dalam diri Marissa apabila melihat keprihatinan lelaki itu dalam menolong orang
lain meski pun orang tersebut berbeza bangsa dan negara. Tanpa sedar bibir
Marissa mengukir senyum.
“Tak sangka, baik
juga hati dia. Ingatkan tahu buat orang rasa menyampah aje,” ucap Marissa
sendirian.
Dia terus memerhati
tingkah lelaki yang berbadan sasa itu. Terdetik rasa tenang di hatinya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.