Tetamu Rindu

Friday, 3 May 2019

Bayang - Bab 2 -

RAFI mundar-mandir di hadapan katil milik Syadi yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Dia mengerling ke arah Syadi sambil menggigit bibir. Dia memejamkan mata sejenak kemudian membukanya kembali. Berharap Syadi membuka mata namun hampa. Syadi masih tidak menunjukkan tanda-tanda ingin sedarkan diri.
Dia melepaskan keluhan lalu dia mendapatkan tubuh Syadi. Wajah Syadi yang lebam-lebam dan bengkak dipandang dengan penuh simpati. Kepala lelaki itu turut berbalut. Nasib Syadi baik apabila tiada kecederaan yang serius kecuali dada lelaki itu yang terpaksa dijahit akibat ditusuk dengan pisau.
“Syad, bangunlah. Cakaplah kat aku apa yang jadi pada kau ni. Jangan buat aku risau.” Ujar Rafi sambil menyebak rambutnya ke belakang. Lengan Syadi digoncang lembut.
“Siapa orang yang ceroboh rumah kau tu? Apa yang  dia nak daripada kau? Kenapa dia sanggup pukul kau sampai macam ni sekali?” Soal Rafi bertalu-talu kepada tubuh Syadi yang kaku. Hanya dada lelaki itu saja yang turun naik menandakan lelaki itu masih lagi bernyawa.
Rafi mengeluh buat kesekian kalinya. Dia ingin berbicara lagi tetapi ketukan di pintu membuatkan Rafi mendongak. Tidak lama kemudian, pintu terkuak dari luar. Semerta, Rafi bingkas bangun apabila melihat dua orang lelaki berbadan tegap memakai jaket kulit berwarna hitam menghampiri katil Syadi.
“Assalamualaikum…” Salam diberikan dengan sopan.
“Waalaikummusalam.” Jawab Rafi sambil menundukkan kepala.
“Saya Inspektor Fariz dan ini Sarjan Munir. Kami dapat laporan tentang kes ceroboh dan pukul terhadap Encik Syadi Arsyad. Encik ni siapa?” Soal Inspektor Fariz sambil mengunjukkan ibu jarinya kepada Rafi.
“Saya Rafi, pengurus Encik Syadi. Saya yang buat laporan tadi.” Jawab Rafi laju.
Inspektor Fariz menganggukkan kepala. Dia meneliti sesuatu di atas kertas yang berada di dalam fail.
“Encik Syadi masih belum sedarkan diri? Apa kata doktor?” Inspektor Fariz berbasa basi. Cuba untuk menenangkan Rafi yang kelihatan risau.
“Belum sedar lagi, tuan. Doktor kata dia cuma mengalami luka-luka yang ringan. Dadanya ditusuk dengan pisau dan terpaksa dijahit. Walaupun tak ada yang serius, tapi saya tetap risau. Saya tak tahu siapa punya angkara. Masa saya masuk ke dalam rumah Syadi, ada seorang lelaki yang berlari keluar dari rumah tu. Saya tak sempat nak kejar sebab saya lebih pentingkan Syadi.” Ujar Rafi tanpa sedar dia memulakan cerita.
Inspektor Fariz berpandangan dengan Sarjan Munir.
“Encik Syadi ada bermusuh dengan sesiapa tak?” Soal Inspektor Fariz lagi sedangkan Sarjan Munir mula mencatat sesuatu.
Rafi terdiam seketika. Dia cuba memikirkan sesuatu.
“Setahu saya Syadi tak ada bermusuh dengan sesiapa. Dia bukan macam artis lain. Hidup dia cuma atas pentas, dalam studio dan rumah. Dia tak ada kawan yang rapat. Saya tak rasa dia ada musuh, tuan.” Jelas Rafi. Anak matanya dialihkan ke arah Syadi.
“Mungkin peminat fanatik?” Inspektor Fariz cuba membuat andaian.
Rafi menggelengkan kepala dengan laju.
“Saya tak nafikan Syadi ada ramai peminat fanatik tetapi setakat ini tak ada peminat fanatik mana-mana artis yang sanggup menceroboh dan cederakan artis kesayangan mereka.” Balas Rafi.
Inspektor Fariz menganggukkan kepala. Dia ingin melanjutkan kata tetapi apabila melihat Syadi mula menggerakkan kepalanya, perbualan mereka terbantut. Sepantas kilat, Rafi mendapatkan Syadi. Lengan lelaki itu disentuh lembut.
“Syad, kau dah sedar?” Soal Rafi lembut. Anak matanya tuntas memandang Syadi yang mula membuka mata.
Syadi menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Pandangannya masih lagi kabur tetapi dia tetap mengerdipkan matanya beberapa kali. Kepalanya juga terasa berdenyut. Tekakknya mula terasa haus. Namun, bayang wajah Rafi yang tadinya kabur, mula kelihatan jelas di pandangannya.
“Aku haus…” Ucapnya perlahan. Dia cuba bangun untuk menyandarkan belakang badannya di kepala katil. Dadanya dipegang. Wajahnya berkerut menahan sakit setiap kali dia bergerak.
“Kau haus? Kejap, aku ambilkan air.” Balas Rafi lalu mencapai gelas yang berisi air putih lalu disuakan ke mulut Syadi selepas membetulkan bantal yang berada di belakang Syadi.
Syadi hanya menurut. Perlahan-lahan dia meneguk air yang disuakan oleh Rafi. Lega.
“Kau okey, Syad?” soal Rafi sambil meletakkan gelas tersebut di atas meja sisi.
Inspektor Fariz dan Sarjan Munir hanya memerhatikan setiap gerak geri Syadi yang kelihatan terbatas. Mungkin rasa sakit itu masih bersisa.
“Alhamdulillah, aku rasa okey sikit. Cuma kepala aku sakit. Kaki aku sakit. Dada aku ni lagilah sakit. Pedih.” Ujar Syadi dengan wajah yang berkerut.
“Nak aku panggil doktor?” soal Rafi.
Dengan pantas, Syadi menggelengkan kepala. Dia beralih pandangan ke arah Inspektor Fariz dan Sarjan Munir. Dia tersenyum kelat. Kemudian dia memandang Rafi untuk meminta penjelasan.
“Oh, ini Inspektor Fariz dan Sarjan Munir. Dia datang nak dapatkan keterangan daripada kau.” Terang Rafi. Syadi menganggukkan kepala tanda faham.
“Kalau encik belum bersedia, kami boleh datang esok.” Balas Inspektor Fariz simpati melihat keadaan Syadi.
“Saya boleh beri keterangan sekarang. Saya nak penceroboh tu ditangkap secepat mungkin. Saya nak tahu siapa dia. Kenapa dia serang saya tanpa sebab yang pasti.” Ujar Syadi. Otaknya mula memutarkan peristiwa hitam itu.
“Jadi encik boleh ceritakan semuanya sekarang?” soal Inspektor Fariz.
Syadi mengangguk laju.


YUSRA menundukkan kepala. Dia hanya mampu menadah telinga mendengar segala hamburan Tan Sri Ghazali terhadapnya.  Sesekali dia memegang lengannya yang berbalut akibat ditoreh sewaktu bergelut dengan penculik tadi. Ehsan, rakan setugasnya turut menundukkan kepala. Tidak berani mengangkat wajah sebaik saja Tan Sri Ghazali meluahkan rasa amarah.
“Macam mana boleh jadi begini, hah? Berapa kali saya pesan, jaga keluarga saya ketat-ketat. Tengok, apa dah jadi pada anak saya? Nasib baik tak ada kecederaan yang serius, kalau tak, saya nak awak berdua bertanggungjawab!” Suara Tan Sri Ghazali kedengaran memetir di hadapan pintu bilik Lily.
Yusra masih lagi mendiamkan diri. Tangannya diletakkan ke belakang. Dia sudah biasa menghadapi situasi seperti ini. Menjadi pengawal peribadi kepada orang kenamaan harus memiliki mental yang kuat. Jika tidak, pasti dia sendiri yang tidak dapat mengawal amarah. Kerenah mereka kadang-kadang mampu mencabar kesabarannya.
“Awak berdua buat apa semalam? Macam mana Lily boleh terlepas keluar dengan lelaki tu? Siapa lelaki tu? Awak berdua siasat tak?” Soal Tan Sri Ghazali bertalu-talu dengan amarah yang masih belum surut.
Yusra dan Ehsan berpandangan. Ehsan tergagap-gagap. Jelas dahi lelaki yang berusia dua puluh tujuh tahun itu berpeluh. Gementar mungkin. Yusra turut merasakan perkara yang sama. Dia menelan air liur.
“Kenapa diam?!” Jerkah Tan Sri Ghazali tanpa memikirkan di mana mereka berada saat ini. Beberapa orang jururawat yang lalu lalang terkejut mendengar suara Tan Sri Ghazali yang meninggi. Mereka ingin menegur namun tidak mempunyai keberanian.
“Errr… Saya dah cuba untuk halang Cik Lily, tan sri. Tapi Cik Lily tak nak bagi kerjasama.” Jawab Yusra berani.
Mata Tan Sri Ghazali terarah kepada Yusra. Melotot pandangannya mendengar jawapan yang terbit daripada mulut gadis muda itu.
“Jadi, awak nak salahkan anak sayalah ni?” soal Tan Sri Ghazali mula menapak ke arah Yusra. Langkah Yusra terundur ke belakang. Wajahnya tetap ditundukkan. Tanda hormat.
“Tak. Bukan itu maksud saya, tan sri…”
“Habis tu apa maksud kau? Aku suruh kau jaga anak aku. Awasi gerak-geri dia. Takkan itu pun kau tak boleh buat? Ingat, aku bayar kau bukan sikit tau. Kalau aku tak bayar kau, kau orang berdua ni dah kebulur. Sedar diri tu!” Maki Tan Sri Ghazali tidak semena-mena. Dengan selamba, dia menunjal kepala Yusra beberapa kali.
Yusra mengetap bibir. Menahan rasa amarah yang mula membuak di dada. Tangan yang berada di belakang badan, dikepal dengan kemas. Cuba mencari kekuatan dan kesabaran dengan cara itu.
“Saya dah cuba halang Cik Lily keluar dari rumah tapi Cik Lily yang degil, tan sri. Kalau tan sri tak percaya, tan sri boleh check CCTV. Cik Lily yang cuba keluar dari rumah tanpa pengetahuan saya dan Ehsan.” Yusra mula menjawab. Tidak tahan dengan sikap Tan Sri Ghazali yang suka melepaskan amarah kepada pekerja-pekerja bawahannya.
“Berani kau salahkan anak aku ya?”
“Dah memang Cik Lily  yang salah. Dia ingkar arahan ayah dia sendiri. Tan sri ingat dia akan ikut arahan kami? Kami dah buat sehabis baik untuk lindungi tan sri dan keluarga tan sri tapi kalau Cik Lily sendiri yang ingin menempah maut, itu bukan salah kami. Kalau tan sri nak kami lindungi keluarga tan sri, keluarga tan sri perlu beri kerjasama.” Tegas Yusra tidak teragak-agak.
Ehsan membulatkan matanya. Tidak menyangka Yusra seberani itu. Dia cuba menyinggung lengan Yura namun gadis itu terlalu jauh daripadanya. Dia tidak mahu kata-kata Yusra makin menyemarakkan lagi api kemarahan dalam hati Tan Sri Ghazali.
“Kau cakap apa? Kau cakap Lily cuba tempah maut? Habis tu apa gunanya kau orang berdua? Jaga anak aku tu pun kau tak boleh, kata bodyguard profesional. Tapi kerja senang macam ini pun kau tak boleh buat. Cakap ajelah yang kau orang berdua ni, tak guna! Lembab!” Hambur Tan Sri Ghazali lagi. Kali ini, bahu Yusra ditolak kasar.
Yusra melepaskan nafas. Perbuatan Tan Sri Ghazali kali ini sudah melampau. Lantas, tangan lelaki tua itu ditepis. Mencerun anak matanya memandang wajah Tan Sri Ghazali.
“Baiklah. Memandangkan kerja ni senang bagi tan sri. Saya cadangkan tan sri sendiri yang jaga! Saya letak jawatan! Aha, lagipun kontrak saya dah tamat semalam! Jadi, selamat tinggal!” Tekan Yusra lalu menanggalkan kad pekerja yang tergantung di lehernya. Kad tersebut dicampakkan ke atas lantai. Satu jelingan dihadiahkan buat Tan Sri Ghazali yang terpempan dengan kata-katanya.
Tan Sri Ghazali tergamam dengan tindakan Yusra. Terkebil-kebil dia memandang gadis itu yang berlalu pergi.
“Yusra!” Panggillan Ehsan tidak diendahkan.
Dia sudah nekad untuk tidak berpaling. Hatinya sudah tersiat. Seringkali kerjanya sebagai pengawal peribadi dipandang enteng oleh sesetengah pihak sedangkan dia sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk melindungi orang yang tidak dikenalinya.
“Budak tak kenang budi!” Maki Tan Sri Ghazali lagi lantas kad pekerja milik Yusra yang terdampar di atas lantai disepak sekuat hati. Kali ini pandangannya terarah kepada Ehsan.
“Tak payah kau panggil kawan kau yang tak guna tu! Kalau kau nak teruskan kerja ni, ikut aku sekarang!” Arah Tan Sri Ghazali dengan garang.
Ehsan serba-salah. Sememangnya bekerja di bawah prinsipal seperti Tan Sri Ghazali tidak pernah terlintas di dalam fikirannya. Kalau diikutkan hati ingin saja dia mengikuti jejak langkah Yusra, namun apabila memikirkan dia masih memerlukan duit untuk menanggung keluarga, Ehsan terpaksa menelannya seorang diri. Adat pekerjaan. Itu yang sering difikirkan oleh Ehsan semata-mata untuk menyedapkan hatinya sendiri. Akhirnya, dia hanya mampu membuntuti langkah Tan Sri Ghazali.
Dia menoleh ke belakang buat seketika. Hanya pandangan sayu bisa dilemparkan ke arah kad pekerja milik Yusra yang terdampar di atas lantai berhadapan bilik VIP yang lain. Semoga kau terus kuat, Yusra. Bisik hatinya.

Monday, 29 April 2019

Bayang - Bab 1-

“ADIK sembunyi bawah ni dulu. Abang nak tengok bunyi apa kat luar tu. Jangan keluar selagi abang tak suruh keluar, faham?” Bisik si abang sambil menolak tubuh kecil si adik masuk ke bawah katil.
Si adik hanya menganggukkan kepala dengan riak yang panik. Bunyi jeritan dari arah luar bilik cukup membuatkan hatinya libang libu. Dia hanya mampu memandang si abang yang melangkah keluar dari bilik dengan air mata yang berlinangan. Dia tidak tahu apa yang terjadi di luar biliknya tetapi saat ini dia benar-benar ketakutan.
Dia memejamkan mata. Jelas di telinganya sayup-sayup suara si abang menjerit sebelum suara itu senyap dengan sendirinya. Jantungnya berlari kencang. Sekencang peluh yang merembes di dahi dan pipinya.
“Apa yang jadi?” Soalnya kepada dirinya sendiri. Dia mengengsotkan tubuh sehingga rapat ke dinding. Dia cuba mengintai dari bawah katil. Namun, tiada apa yang mencurigakan. Dia masih menanti kelibat si abang untuk memanggilnya tetapi hampa.
Perlahan-lahan dia menyelak kain cadar tetapi secara tiba-tiba…
“Hahhhhhh!”
“Aaaaaa!” Syadi menjerit keras. Dia bingkas bangun daripada tidurnya. Tubuhnya berpeluh-peluh. Dadanya mula berombak ganas.
“Astaghfirullah-al-azim.” Istighfarnya setelah yakin bahawa apa yang dialaminya itu hanyalah mimpi semata. Syadi termenung seketika.
“Mimpi yang sama lagi? Apa maksud semua ni?” Soalnya sendirian. Wajahnya diraup dengan kedua belah tapak tangan.
Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Tangannya dipanjangkan untuk mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja sisi. Jam di skrin telefon menunjukkan pukul satu pagi. Dengan pantas, Syadi mendail nombor Rafi.
“Mana pula mamat ni?” Rungut Syadi apabila panggilannya tidak dijawab.
Syadi mencuba sekali lagi. Nasibnya baik apabila panggilannya kali ini berjaya disambungkan.
“Hah, kau nak apa? Kau tahu tak sekarang ni pukul berapa? Baru lima minit lepas aku tidur, roh aku pun tak sempat keluar lagi kau dah call. Kau nak apa?” Soal Rafi panjang. Suaranya kedengaran serak-serak basah.
Syadi mengetap bibir mendengar leteran Rafi.
“Aku mimpi lagi…” Jawab Syadi perlahan.
“Mimpi apa? Mimpi jodoh?” Soal Rafi selamba.
Syadi menepuk dahi. Mamat ni betul-betul mamai agaknya. Detik hati Syadi.
“Bukanlah. Mimpi yang selalu aku cerita kat kau tu. Tiap-tiap malam aku mimpi benda yang sama.” Jelas Syadi.
“Hahhh? Kenapa kau tak bagi tahu aku awal-awal? Tentu kau takut kan? Aku pergi rumah kau sekarang, ya?” Ujar Rafi lantas bangkit daripada katilnya.
“Kalau menyusahkan kau, tak payahlah. Aku boleh berjaga sampai siang.” Balas Syadi dengan suara yang perlahan.
Begitulah keadaannya apabila mimpi itu mengganggu tidurnya. Pasti dia tidak dapat memejamkan mata kembali. Bayangan mimpi itu seolah menari-nari di ruang mata.
“Hesy, mana boleh kau berjaga sampai pagi. Esok kau ada shooting untuk iklan. Malam tu kau ada pelancaran album baru kau pula. Kau kena rehat secukupnya. Takkan kau nak jumpa wartawan dan peminat dengan mata panda?” suara Rafi memecah lamunan Syadi. Dia mengeluh panjang.
“Aku datang sekarang. Kau tunggu.” Sambung Rafi lantas menamatkan panggilan setelah memberi salam.
Syadi tidak mampu berkata apa-apa. Dalam hati dia bersyukur dikurniakan kawan dan pengurus seperti Rafi. Sahabatnya itu ada di saat dia susah mahu pun senang. Selepas datuk dan nenek, hanya Rafi yang selalu berada di sisinya tidak kira waktu. Sementelah, Syadi tidak gemar bersosial. Dia tidak mempunyai ramai kawan rapat meski pun dia bekerja dalam bidang seni. Masanya banyak dihabiskan di rumah dan studio mini berbanding di luar.
Ting tong!
Bunyi loceng mengejutkan Syadi. Dahinya berkerut.
“Aik, cepatnya Raf sampai. Terbang ke apa mamat ni?” soal Syadi sendirian.
Lantas, dia menyelak selimut dan melangkah turun daripada katil. Dia menuju ke pintu utama. Entah mengapa hatinya berdebar kuat saat ini. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Syadi melepaskan nafas pendek sebelum pintu rumahnya ditarik.
Namun, saat pintu rumahnya ditarik…
Dushhhh!
Perutnya ditendang dengan kuat. Syadi menjerit. Tubuhnya terdorong ke belakang. Dia menekan perut menahan sakit. Serta-merta kepalanya terasa berpusing. Dia mengangkat kepala cuba mencari orang yang menendang tubuhnya.
Bammm!
Pintu dihempas kuat. Syadi mendongak sambil menekan perutnya. Kelihatan seseorang berdiri di hadapannya dengan memakai pakaian serba hitam dengan topeng menutupi wajahnya. Hanya bahagian mata saja yang terzahir di pandangan. Namun, pandangan mata itu cukup menggerunkan Syadi. Dia menelan air liur yang terasa pahit.
“Kaaauu… Kau siapa? Kauuu… Kau nak apa?” soal Syadi tergagap-gagap. Dia cuba untuk berdiri tegak.
Namun, belum sempat dia berdiri tegak, sekali lagi tubuhnya diterjah dengan tendangan yang kuat. Mendadak Syadi jatuh terlentang di atas lantai. Dia tidak tahu apa kesalahannya sehingga dia dipukul sebegitu rupa. Syadi terbatuk kuat. Dia cuba bangun untuk melawan namun lelaki itu segera memijak perutnya.
“Arghhhh!” Syadi menjerit. Dia cuba menolak kaki lelaki itu dengan sekuat mungkin.
“Kau nak apa?! Kalau kau nak duit, ambil jelah!” Jerkah Syadi dengan kudrat yang masih bersisa. Dia cuba untuk bangun namun lelaki itu masih tidak mahu melepaskannya.
Kakinya ditarik dengan kasar. Tanpa belas kasihan, mukanya ditumbuk bertalu-talu. Syadi menjerit lantang. Dia cuba membalas tumbukan tersebut namun sekali lagi dia tidak berjaya. Lelaki di hadapannya terlalu kuat untuk dia lawan. Sedangkan saat ini telinganya sudah mula berdengung. Dia dapat merasakan darah merah mengalir dari celah bibirnya. Ya Allah, apa yang berlaku sebenarnya ni? Apa salah aku? Tolong aku, Ya Allah. Rintih Syadi dalam hati.
Dia terbaring lemah di atas lantai dengan perut yang terasa senak. Syadi terus terbatuk. Batuk yang mengeluarkan darah! Matanya berkerdip tetapi kerdipannya lemah. Syadi tersentak apabila kolar bajunya ditarik kasar. Wajahnya dihadapkan ke muka penceroboh tersebut. Tetapi kali ini pandangan Syadi berbalam-balam. Dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu.
“Kau tak seharusnya hidup…” lelaki itu berbisik rapat di telinga Syadi.
Mata Syadi membulat. Dia masih tidak mengalah. Lantas, tangannya diangkat dan cuba untuk menarik topeng lelaki tersebut. Cubaannya gagal apabila lelaki itu dengan pantas memusingkan tubuh Syadi lalu dihentakkan ke lantai. Syadi menjerit lagi. Kepalanya terasa ingin pecah.
“Allah!” jerit Syadi. Air mata mula mengalir keluar daripada matanya. Sakit yang dirasakan kali ini tidak tertanggung.
Syadi cuba merangkak walaupun tubuhnya sudah tidak berdaya tetapi lelaki itu bertindak dengan memijak kaki Syadi menyebabkan perbuatan Syadi terbejat.
“Apa kau nak? Apa salah aku?” soal Syadi dengan suara yang tenggelam timbul.
Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya, tubuh Syadi ditarik. Kini, dia bertentangan dengan Syadi yang kelihatan lemah tidak bermaya. Bibirnya mengukir senyuman sinis di sebalik topeng yang dipakai. Melihat mangsa yang tidak mampu melawan, cukup membuatkan hatinya menjerit suka. Kau bukan tandingan aku, Syadi Arsyad!
Perlahan-lahan, dia mengeluarkan pisau lalu ditayangkan ke hadapan mata Syadi.
Dengan pantas, Syadi memejamkan mata. Dia dapat merasakan bahawa nyawanya sudah berada di hujung tanduk. Nyawanya akan tamat bila-bila masa tanpa mengetahui sebab dia menjadi mangsa. Syadi meneguk air liur yang terasa kelat. Bayang mimpinya kembali terimbas di fikiran. Mungkin mimpi itu akan menjadi kenyataan beberapa saat saja lagi. Lantas, mata yang sedia terpejam, dipejam dengan erat.
Lelaki itu ketawa lepas. Seronok melihat mangsanya mengalah. Lalu, pisau yang berada di tangan, diturunkan ke bawah. Tepat mengenai dada Syadi.
“Selamat tinggal…” ucapnya perlahan. Pisau tersebut ditekankan ke dada Syadi. Tubuh Syadi yang menggelepar langsung tidak memberi kesan kepada dirinya.
Dia nekad. Nyawa Syadi harus ditamatkan malam ini juga. Dia tidak menyangka untuk menamatkan nyawa artis terkenal seperti Syadi semudah ini. Terasa kejayaan miliknya. Lalu, pisau tersebut terus ditusuk ke dada Syadi.
“Argghhhhh!” Syadi menjerit buat kesekian kalinya. Rasa sakit itu tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Berulang kali nama Allah disebut di dalam hatinya. Walaupun badannya sudah menyerah kalah, namun hatinya masih berharap pertolongan daripada Tuhan Yang Satu.
“Syadi! Kau kat dalam ke? Aku ni! Bukalah pintu!” Bunyi suara menjerit bersama ketukan di pintu mengejutkan lelaki tersebut. Dia menoleh ke belakang. Kedengaran pintu rumah itu diketuk dengan kuat.
“Tooo… Tolongg!!” Syadi menjerit.
Namun jeritannya mengundang padah. Wajahnya ditumbuk keras. Dia rebah kembali.
“Syad! Aku tahu password rumah kau. Aku buka ni!” Suara Rafi berbunyi lagi.
Lelaki itu gelabah. Dia bimbang jika suara lelaki itu mengejutkan tetangga yang lain. Lantas, dia bangun. Dia berdiri di belakang pintu apabila terdengar bunyi kata laluan ditekan dari luar. Dadanya mula berombak. Dia hanya mampu memandang tubuh Syadi yang kaku di lantai dengan perasaan kecewa. Kecewa kerana tidak dapat menamatkan nyawa lelaki itu.
Rafi menolak daun pintu dengan perlahan.
“Syad…” panggilnya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Namun, langkah kakinya terbejat apabila melihat sekujur tubuh yang berlumuran darah terbaring di atas lantai. Mata Rafi terbeliak.
“Syad!” Jeritnya lantas mendapatkan tubuh Syadi. Dia memangku kepala Syadi  dengan air mata yang mula bergenang.
“Syad, kenapa dengan kau ni? Apa dah jadi ni?” Soalnya bertalu-talu.
Serentak, dia mendengar derap kaki berlari ke luar rumah Syadi. Rafi menoleh.
“Hoiii!” Jerkahnya. Dia cuba untuk mengejar namun nyawa Syadi lebih utama saat ini. Akhirnya dia terpaksa melepaskan penceroboh itu begitu saja.
“Syad, kau bertahan ya?” ucap Rafi lantas telefon bimbitnya dicapai. Talian kecemasan didail dengan tangan yang terketar-ketar. Dia takut. Takut jika apa-apa terjadi kepada Syadi.
“Apa yang dah jadi ni, Syad? Jangan tinggalkan aku!”


“CIK, tunggu dulu!” Suara Yusra menjerit lantang sambil berlari mengejar seorang gadis muda yang berjaya menyusup keluar daripada rumah banglo tiga tingkat yang dikawal olehnya.
Gadis muda itu berpaling tetapi sebaik saja melihat kelibat Yusra, dia mempercepatkan langkah menuju ke arah kereta Nissan Fairlady Z  yang sudah sedia menunggu tidak jauh dari rumahnya.
“Cik! Tunggu!” Jerit Yusra lagi. Dia mendengus apabila melihat gadis itu enggan menghentikan langkah. Dia tiada pilihan selain mempercepatkan langkahnya.
Sebaik saja melihat gadis itu cuba merentap pintu kereta, Yusra bertindak dengan menarik bahu gadis muda itu. Dia memalingkan tubuh gadis itu supaya menghadapnya. Tindakan Yusra mengundang padah apabila tidak semena-mena pipinya ditampar oleh gadis tersebut. Yusra menahan perasaan marah. Langkahnya terundur ke belakang.
“Apa hak kau nak sentuh aku?!” Gadis itu bersuara lantang. Mencerlung matanya merenung Yusra seakan ingin ditelan Yusra hidup-hidup.
“Maaf, cik. Tapi papa cik tak benarkan cik keluar. Kalau cik nak keluar boleh tapi saya kena ikut.” Jawab Yusra dengan tegas.
“Ikut? Huh!” Gadis itu memandang Yusra dari atas hingga ke bawah.
“Aku nak pergi kelab. Kau nak ikut? Kau tak malu ke masuk kelab dengan kain dekat kepala kau tu?” soal gadis itu sambil tersenyum sinis.
Yusra menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Kesabarannya cuba dipertahankan.
“Papa cik tak benarkan cik pergi ke kelab. Saya harap cik boleh bagi kerjasama.” Ujar Yusra masih lagi berlembut.
Gadis itu berpeluk tubuh dengan senyuman sinis tidak lekang di bibirnya.
“Kau tu bodyguard papa aku, bukan tugas kau untuk kawal aku. Lagipun yang kena ugut bunuh tu papa, bukan aku!” Hambur gadis itu tanpa rasa bersalah.
“Tapi Cik Lily, nyawa cik pun dalam bahaya juga.” Balas Yusra tidak mahu mengalah.
“Nyawa aku, bukannya nyawa kau.” Jawab Lily dengan bongkak.
Dengan selamba dia menolak tubuh Yusra. Pintu keretanya ditarik dengan kasar. Lalu, dia memboloskan diri ke dalam kereta tanpa sempat Yusra berkata apa-apa.
Yusra mengemam bibir. Ini tidak boleh jadi. Dia tidak boleh biarkan Lily keluar dari kediamannya tanpa pengawasan. Jika perkara ini sampai ke pengetahuan Tan Sri Ghazali, tentu teruk dia dimarahi. Menjadi pengawal peribadi kepada keluarga ahli perniagaan terkenal ini cukup mencabar kesabarannya. Tambahan pula, Tan Sri Ghazali memang pantang jika dia lalai dalam menjaga satu-satu anak kesayangannya ini, pasti Yusra akan menjadi mangsa amarahnya.
Lantas, Yusra terpaksa bertindak cepat. Dia bergegas berlari menuju ke bahagian hadapan kereta yang dipandu oleh rakan Lily. Tangannya didepangkan bagi menghalang kereta itu bergerak. Turun naik dadanya menahan rasa mengah. Dia merenung tajam ke arah Lily yang turut tergamam melihat aksi beraninya itu.
Hon dibunyikan kuat namun Yusra tidak berganjak. Dia nekad kali ini.
“Hoi, kau nak mati sangat ke?” jerkah kawan lelaki Lily sebaik saja melangkah keluar dari perut kereta.
“Saya tak boleh benarkan Cik Lily keluar dari rumah ini selagi tan sri tak benarkan. Cik Lily mungkin terdedah dengan bahaya saat ni. Tolonglah faham.” Ujar Yusra masih tidak mengalah.
Lelaki yang memakai baju kemeja berwarna putih itu hanya ketawa. Kedengaran cukup sinis di telinga Yusra.
“Bahaya? Mana bahaya? Aku tak nampak apa-apa bahaya pun. Kau dengan tan sri tu sama je bodoh. Penakut!” Herdik lelaki itu tanpa rasa bersalah.
Berdesing telinga Yusra namun dia masih mampu menahan sabar. Sebagai pengawal peribadi yang terlatih sememangnya dia harus bersabar walau dalam apa jua keadaan sekali pun.
“Saya bukan nak masuk campur tapi ini dah tugas saya untuk jaga keselamatan Cik Lily. Saya tak boleh benarkan…”
“Dahlah. Kau baliklah, perempuan! Aku tak perlukan bodyguard macam kau. Aku boleh jaga diri aku sendiri. Ni hah, boyfriend aku dah ada. Dia lebih kuat daripada kau kut. Aku tak percaya langsung bodyguard lembik macam kau!” sampuk Lily yang turut keluar daripada kereta.
“Tak boleh, Cik Lily. Ini tugas saya.” Tegas Yusra.
Lily menayang muka bosan.
“Danish, you uruskanlah. I malas nak layan.” Ucap Lily lalu memberi isyarat kepada Danish untuk uruskan Yusra sedangkan dia kembali melangkah masuk ke dalam kereta.
“Aku ni tak suka berkasar dengan perempuan but if you insist…” Danish mula menghampiri Yusra. Dia cuba merentap tangan Yusra namun dengan mudah Yusra menepis tangan lelaki itu.
“Saya bagi amaran, jangan cuba untuk sentuh saya…”  Ujar Yusra tanpa sedikit pun berganjak dari tempatnya berdiri.
“Kau yang degil. Lebih baik kau blah sebelum aku berkasar.” Ujar Danish cuba menakutkan Yusra.
Yusra tersenyum sinis. Dia melepaskan nafas perlahan.
“Saya rasa encik dah lupa saya ni siapa?”
“Siapa? Kau siapa? Oh, kau nak cakap kau bodyguard. Kau kuat? Kalau dah nama perempuan tu, perempuan jugalah. Lembik!” hambur Danish dengan bongkak.
Dengan selamba, dia menolak bahu Yusra dengan kasar. Langkah Yusra terundur ke belakang. Kesabarannya semakin menipis. Dia mengepal penumbuk.
“Encik, ni amaran kedua. Jangan sentuh saya.” Yusra mengancing giginya menahan sisa kesabaran yang akan melayang bila-bila masa.
“Kenapa? Kau nak tunjuk kau kuat?” Lelaki itu mencabar. Kali ini dia bertindak kasar dengan menunjal kepala Yusra.
Yusra bengang. Dia cukup pantang jika orang menyentuh kepalanya. Lantas, tangan lelaki itu direntap dan dikilas ke belakang sekuat tenaganya. Sebelah tangan lelaki itu cuba menarik tudung yang dipakai oleh Yusra, tetapi Yusra jauh lebih pantas. Betis lelaki itu disepak menyebabkan lelaki itu jatuh melutut di atas jalan.
“Aduh! Aduh! Lepaskan aku!” Lelaki itu mula merayu. Wajahnya berkerut menahan kesakitan akibat tangannya yang dikilas oleh Yusra.
“Aku cukup pantang orang tunjal kepala aku. Kau ingat aku tak bayar zakat? Jangan fikir kau banyak harta, kau boleh layan orang lain sambil lewa. Harap kereta je besar, tapi otak kecil!” Yusra menghamburkan rasa amarahnya. Dia mencengkam kuat pergelangan tangan teman lelaki Lily itu.
“Aku janji! Aku janji tak buat lagi!” Rayu lelaki itu sambil mengaduh kesakitan. Walaupun tangan Yusra jauh lebih kecil daripada tangannya namun tenaga yang gadis itu guna sudah cukup menggagalkan niatnya untuk  menakutkan gadis itu.
Yusra tersenyum sinis. Baharu saja dia ingin melepaskan lelaki tersebut, tiba-tiba sebuah van berwarna putih berhenti secara mengejut berhampiran mereka. Yusra tergamam seketika. Kelihatan tiga orang lelaki bertopeng menerpa ke arah kereta yang dinaiki oleh Lily.
“Cik!” Jerit Yusra lalu melepaskan Danish lalu menerpa ke arah tiga orang lelaki tersebut bagi menghalang mereka menculik Lily.
“Tolong!” Jerit Lily apabila pintu kereta sebelahnya direntap kasar. Malah, tangannya turut ditarik dengan kasar. Dia cuba melawan namun pipinya dihadiahkan satu tamparan keras. Dia terdiam.
Yusra tidak tinggal diam. Dia harus menyelamatkan Lily walaupun nyawanya menjadi taruhan. Lantas, dia membuka langkah. Satu tendangan dihadiahkan tepat ke dada lelaki yang bersedia untuk menyerangnya. Langkah lelaki itu terundur ke belakang.
Kali ini, dua lelaki menyerang Yusra sambil mengacah pisau. Yusra mengemam bibir. Cuba mencari jalan untuk menyelamatkan Lily yang sedang meronta kuat. Bertahan, Cik Lily. Desis hatinya.
Salah seorang lelaki terus menyerangnya dengan tangan kosong, Yusra terus memusingkan badannya dan menghadiahkan tendangan di perut lelaki itu. Lelaki itu tersungkur. Kali ini Yusra cuba menerpa ke arah lelaki yang cuba menarik Lily dengan kasar. Rusuk lelaki itu ditendang kuat. Namun, nasib Yusra malang apabila lelaki yang memegang pisau sempat menoreh lengannya.
“Arggghhh!” Yusra menjerit keras. Tetapi dia tidak mengalah. Nampaknya, dia perlu selesaikan lelaki yang berpisau itu terlebih dahulu.
Dia terpaksa menjarakkan diri apabila lelaki itu mengacu-acu pisau ke arahnya. Rasa pedih akibat torehan itu sedikit mengganggu konsentrasinya. Lalu, saat lelaki itu menerpa ke arahnya, Yusra terus mengelak. Tangan lelaki itu dihentak dengan kuat sehingga pisau yang dipegangnya jatuh di atas jalan. Kesempatan yang ada digunakan sebaik mungkin oleh Yusra. Dengan sepantas kilat, tubuh kurus lelaki itu diangkat lalu dihentak ke atas jalan.
Yusra tidak menunggu lama, dia kembali menyerang lelaki yang berhempas pulas cuba menarik Lily supaya keluar dari perut kereta. Luka di tangannya yang mula berdenyut tidak dipedulikan. Rambut lelaki itu ditarik daripada belakang sebelum kepala itu dihentakkan ke pintu kereta. Lelaki itu rebah namun bingkas bangun.
Yusra bersiap siaga. Dia sudah bersiap sedia untuk berperang. Dia merenung tajam musuh di hadapannya ini. Dia cuba bertindak tetapi…
“Jaga!” Lily menjerit apabila salah seorang penculik tersebut bingkas bangun dan memeluk tengkuk Yusra daripada belakang.
Yusra tidak sempat bertindak. Kini, dia menjadi sasaran tumbukan lelaki yang berada di hadapannya. Senak! Itulah yang dirasakan saat ini. Yusra mendengus. Lantas, sikunya diayunkan ke belakang beberapa kali. Kakinya kanannya turut menghadiahkan tendangan pada perut lelaki yang berada di hadapannya. Langkah lelaki itu terundur ke belakang. Tangan yang melingkari lehernya digigit sekuat hati.
“Aduh!” Lelaki itu mengaduh lantas meleraikan pelukan. Kesempatan yang ada digunakan oleh Yusra, sekali lagi dia menarik lengan lelaki itu dengan kuat lalu tubuh kurus itu dihempaskan ke atas jalan raya. Lelaki itu pengsan!
“Perempuan gila!” Jerit lelaki lain lantas berlari menuju ke arah vannya tanpa mempedulikan rakannya yang pengsan. Perempuan yang mereka hadapi, bukan calang-calang orang. Beberapa kali dihentak tetap utuh berdiri.
Sekelip mata saja, van tersebut hilang daripada pandangan. Yusra menghembus nafas lega. Dia jatuh terduduk di atas jalan. Dadanya turun naik menahan rasa penat.
“Cik tak apa-apa?” soal Yusra dengan suara yang tenggelam timbul. Dia memandang Lily yang memandangnya dengan mata yang tidak berkelip. Kelihatan ada darah yang mengalir dari celah bibir gadis muda itu.
“Aaaku… Aku.. okey...” jawab gadis itu tergagap-gagap.
Yusra hanya menganggukkan kepala. Dia mencari kelibat teman lelaki Lily namun, bayang lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Yusra tersenyum sinis. Dasar pengecut!
Bunyi siren polis menambah lagi kelegaan dalam diri Yusra. Perlahan-lahan, tubuhnya melurut jatuh di atas jalan sebelum matanya terpejam rapat. Sekelip mata, dunianya kelam.

Sunday, 28 April 2019

Bayang - PROLOG-

“TUAN, tunggu dulu!” Jerit Inspektor Basri sambil berlari-lari anak bagi mengejar langkah Tuan Muhammad yang semakin menghampiri keretanya.
Tuan Muhammad menghentikan langkah. Dia berpaling. Sekilas dia memandang cucu lelakinya yang membisu. Tangan kanak-kanak yang berusia dua belas tahun itu, dipegang kemas sambil menunggu Inspektor Basri.
“Apa yang boleh saya bantu, inspektor?” Soal Tuan Muhammad sebaik saja Inspektor Basri berdiri di hadapannya.
Inspektor Basri melepaskan lelah. Nafas ditarik dan dihembuskan dengan perlahan.
“Kenapa tuan tutup kes ni?” Soal Inspektor Basri tanpa bertangguh.
Tuan Muhammad terdiam sejenak. Hanya senyuman nipis tersungging di bibirnya. Dia mengerling pada cucunya yang sedang terkebil-kebil memandang Inspektor Basri.
“Kesihatan cucu saya jauh lebih penting daripada kes ni,” jawab Tuan Muhammad ringkas.
Inspektor Basri mengetap bibir. Dia gelisah.
“Tapi siasatan untuk kes ni masih belum selesai. Saya yakin pihak polis akan dapat memberkas pembunuh itu secepat mungkin!” Tegas Inspektor Basri.
Tuan Muhammad menggelengkan kepala.
“Kalau pembunuh itu tertangkap, nyawa anak, menantu dan cucu saya akan kembali ke?” Soal Tuan Muhammad dingin.
Inspektor Basri tersentak. Dia terus terdiam.
“Ya, memang nyawa keluarga tuan takkan kembali tetapi sekurang-kurangnya apa yang terjadi kepada mereka mendapat pembelaan. Tuan kena fikir perasaan cucu tuan yang masih hidup ni. Tentu dia mahukan keadilan untuk keluarganya.” Pujuk Inspektor Basri lagi.
“Sebab saya fikirkan perasaan dia, saya buat keputusan ni. Apa yang saya lakukan sekarang demi kebaikan dia akan datang. Mungkin bagi inspektor keputusan yang saya buat adalah keputusan yang salah tapi bagi saya ini adalah sebaik-baik keputusan untuk cucu saya. Saya yakin satu hari ni, siapa yang bertanggungjawab menyakiti keluarga saya, akan rasa sakit yang sama. Pembalasan Allah selalunya tepat dan tidak pernah terlambat.” Ucap Tuan Muhammad kemudian meminta diri.
Inspektor Basri kehilangan kata. Dia ingin memanggil nama Tuan Muhammad namun suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Dia resah kerana ini adalah kali pertama dia tidak dapat menyelesaikan tugasnya sebagai seorang anggota polis. Akhirnya, dia hanya menghantar Tuan Muhammad dengan pandangan bersama keluhan panjang. Dia gagal kali ini.
Sementara itu, Tuan Muhammad menundukkan kepala. Cuba melindungi rasa sebak yang menghurung dada sebaik saja dia terpandang wajah cucunya yang polos.
“Atuk terpaksa buat semua ni, cu. Masa depan kamu jauh lebih penting daripada rasa sakit yang atuk rasakan saat ini.” Ucap Tuan Muhammad perlahan. Dia mengusap kepala cucunya dengan penuh kasih sayang.
Sedaya upaya dia cuba melindungi rasa sebak yang dirasakan saat ini. Sebaik saja cucunya mengalih pandang ke arahnya, Tuan Muhammad tidak dapat menahan perasaan. Tubuh cucunya diraih ke dalam pelukan.
“Atuk akan lindungi kamu. Atuk takkan biarkan kamu terluka lagi. Atuk akan bawa kamu jauh dari sini. Jauh dari kenangan yang menyakitkan.”