MARISSA
termenung di meja makan. Makanan yang terhidang, sedikit pun tidak berusik. Dia
lebih suka melayani perasaannya sendiri.Fikirannya melayang mengingatkan
kata-kata yan dia mimpikan semalam. Jelas, mimpi kali ini membuatkan Marissa
teruja.
“Place your
heart in the hands of God, and He will place it in the hands of man who He
believes deserves it…” desis Marissa mengulang kembali
ayat yang diperoleh daripada mimpinya itu.
“Maksudnya, aku harus letakkan sepenuh hati dan
kepercayaan aku kepada Allah dan Dia akan temukan aku dengan orang yang
benar-benar layak untuk aku. Hmm…
Sememangnya itulah yang harus aku buat. Setiap perkara telah diaturkan sebab
itulah semua lelaki tak lepas ujian jodoh aku. Mungkin mereka bukan jodoh aku…”
ujar Marissa sambil mengetuk dagunya sendiri.
“Morning,
Rissa…” sapa satu suara garau melenyapkan lamunan panjang Marissa. Tak perlu
dia berpaling kerana dia cukup mengenali pemilik suara itu.
Dato Seri Anuar menoleh ke arah Marissa yang sedang
duduk termenung di meja makan. Dia tersenyum manis.
“Morning,
pa. Papa tak nak sarapan dahulu ke?” Soal Marissa sambil berura-ura bangun
untuk mencapai roti bakar.
“Tak. Papa nak cepat ni…” balas Dato Seri Anuar
sambil mengepit kot di lengannya.
Perbuatan Marissa terbantut. Dia mengetap bibir.
“Rissa tahulah papa nak cepat tapi sarapan tu
penting untuk kesihatan papa. Kalau papa tak nak sarapan lebih baik Rissa
sambung tidur semula,” balas Marissa berbaur ugutan. Dia bingkas bangun.
“Rissa, tunggu dulu. Tak baik tidur lepas Subuh.
Rezeki susah nak masuk nanti,” jawab
Dato Seri Anuar pantas memaut lengan Marissa. Menghalang anak gadisnya itu dari
berlalu.
“Kalau papa tak nak Rissa tidur, apa kata papa
luangkan masa untuk Rissa hari ini,” pinta Marissa dengan senyuman manis mula
membuah di bibir. Matanya memancarkan sinar pengharapan malah roman wajah Dato Seri
Anuar dipandang dengan lama. Berharap agar papanya mengerti keinginan yang
bermain di mindanya.
“Papa nak pergi ofis ni, Rissa. Banyak kerja yang
papa perlu uruskan.” Balas Dato Seri Anuar mendatar. Dia mengalih pandangan ke
tempat lain. Tidak sanggup rasanya untuk menatap wajah Marissa yang kehampaan.
Senyuman Marissa mati dengan sendirinya. Kata-kata
Dato Seri Anuar memang sudah dijangka cuma hatinya berdegil untuk terus
berharap agar Dato Seri Anuar memberi perhatian kepadanya.
“Papa selalu macam ni, tak pernah nak luangkan masa
dengan Rissa. Sejak Rissa tinggal kat sini, boleh kira dengan jari papa
temankan Rissa jalan-jalan. Rissa ni tak penting ke, papa?” soal Marissa dengan
nada suara yang berubah sayu. Sedaya upaya dia cuba menahan sebak yang
menjengah sanubari.
“Rissa penting…”
“Tapi kerja papa lagi penting kan?” potong Marissa
dengan pantas.
Dato Seri Anuar menggigit bibir. Dia mengeluh
pendek.
“Look
Rissa, Rissa tak boleh bandingkan Rissa dan kerja papa. Bagi papa Rissa dan
kerja papa sama-sama penting. Rissa jangan paksa papa untuk buat pilihan…”
pujuk Dato Seri Anuar cuba menyentuh bahu Marissa namun dengan pantas, Marissa
mengelak.
“Rissa tak minta banyak pun, pa. Rissa minta papa
luangkan masa dengan Rissa. Jalan-jalan dengan Rissa. Takkan itu pun papa tak
boleh nak tunaikan?” pinta Marissa lagi seakan membentak.
“Rissa dah besar panjang kan? Kenapa masih nak
keluar dengan papa? Papa banyak kerja Rissa. Papa minta sangat Rissa faham
papa. Papa tak nak bergaduh dengan Rissa. Papa nak pergi kerja ni. Papa dah
lewat.” Tegas Dato Seri Anuar mematikan rungutan Marissa.
Marissa memuncungkan mulutnya tanda protes.
“Tapi papa…”
“Papa pergi dulu. Assalamualaikum…” ucap Dato Seri
Anuar tanpa memberi ruang untuk Marissa melanjutkan kata. Ubun-ubun Marissa
dielus lembut sebelum dia berlalu meninggalkan Marissa yang geram sendiri.
“Papa memang tak sayang Rissa!” bentak Marissa
sambil menghentak kakinya ke lantai sebaik saja kelibat Dato Seri Anuar hilang
dari pandangan.
PERKARANGAN
Burj Khalifa kelihatan sibuk dengan aktiviti pelancongan yang tidak pernah
surut. Para pelancong yang datang ke kota raya Dubai pasti tidak akan
melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki di Burj Khalifa. Struktur binaan manusia
tertinggi yang pernah dibina di dalam sejarah iaitu berketinggian 2,1717 kaki
dan mempunyai 160 tingkat. Tidak hairanlah jika setiap waktu menara Burj
Khalifa ini sentiasa sibuk dengan kehadiran pengunjung.
Hans juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan
keindahan seni binaan Burj Khalifa yang tinggi hampir membelah awan. Seperti
pelancong lain, Hans turut mengambil gambar setiap sudut bangunan tersebut
untuk diabadikan sebagai kenangan.
Hans menghalakan kameranya ke arah satu sudut yang
memaparkan pintu masuk Burj Khalifa, sedang dia bersedia untuk mengambil
gambar, tiba-tiba seorang gadis melintas di hadapan kameranya. Hans mengetap
bibir. Tumpuannya terganggu. Malah, gambar pintu masuk Burj Khalifa tersebut
tidak kelihatan dek kerana ditutupi dengan tubuh gadis tersebut.
Hans memeriksa kembali kameranya. Terpapar gambar
gadis yang memakai pakaian serba pink
dari tepi. Wajah itu tidak kelihatan kerana ditutupi dengan selendang.
Hanya sisi wajahnya saja yang kelihatan.
“Minah Arab manalah yang menyibuk inter frame dalam kamera aku ni. Buat
rosak gambar aku aje.” Bebel Hans. Dia ingin menekan butang delete namun perbuatannya terhenti.
“Dari tepi pun nampak lawa juga minah ni. Save ajelah dulu. Mana tahu boleh jadi
sumber inspirasi” Sambung Hans lagi.
Sedang asyik dia membelek gambar di kamera, dia
tersedar apabila terasa ada titisan hujan yang mula mengenai kulit wajahnya.
Hans mendongak ke atas.
“Aik, hujan? Rasanya sekarang musim panas kat Dubai.
Macam mana boleh hujan pula ni?” omel Hans sendirian. Cepat-cepat dia berlalu
ke ruang dalam Burj Khalifa.
Rata-rata semua pengunjung Burj Khalifa kelihatan
teruja melihat awan yang mula menumpahkan hujan. Meski pun hanya gerimis, ia
sudah cukup untuk menyejukkan suasana di Dubai yang terkenal dengan cuaca panas
dan kering.
Hans menoleh ke belakang, serentak dengan itu anak
matanya tertancap pada gadis yang memakai baju dan skirt labuh berwarna pink.
Cuma selendangnya saja yang berwarna krim. Wajah itu tampak ayu dan sejuk mata
memandang. Sesekali gadis itu tersenyum kepada pelancong lain, tanpa sedar
bibir Hans turut mengukir senyum.
“Dah kenapa dengan aku ni? Senyum sorang-sorang. Tak
pasal-pasal orang ingat aku gila,” bebel Hans lagi lalu mengetuk kepalanya
sendiri.
Tanpa bertangguh, lensa kamera dihalakan ke arah
gadis tersebut yang sedang berdiri sambil membaca peta Burj Khalifa. Gadis itu
kelihatan ralit sehingga tidak menyedari gambarnya telah diambil secara
curi-curi oleh Hans.
Hans gelabah apabila tiba-tiba gadis itu menoleh ke
arahnya. Sepantas kilat dia mengalihkan lensa kamera ke tempat lain dengan
jantung yang mula berlari pantas.
“Janganlah dia perasan aku ambil gambar dia…” desis
Hans perlahan. Dia berdiri kaku apabila gadis itu berjalan melewatinya tanpa
berkata apa-apa. Nasib Hans baik apabila gadis itu seakan tidak
mengendahkannya.
“Fuhhhh….
Nasib baik….” Hans menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Lega!
Hans meneruskan tinjauannya. Bayang gadis misteri
itu luput dari ingatan Hans. Kini, langkah kakinya menghala ke arah lif untuk
ke tingkat menara tinjau Burj Khalifa yang terletak di tingkat 124.
Sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat 124, anak
mata Hans terus tertancap pada belakang seorang gadis yang memakai pakaian
serba pink tadi. Tanpa sedar, Hans tersenyum sendiri. Bagaikan ada sesuatu yang
menarik pada gadis tersebut, langkah Hans terus diorak menuju ke arah gadis
tersebut dengan jarak yang agak jauh. Dia tidak mahu gadis itu menyedari akan
kehadirannya.
Kelihatan gadis tersebut sedang memandang ke luar
tingkap menara. Wajahnya kelihatan tenang. Malah, mata bundar itu memancarkan
sinar kekaguman. Mungkin teruja melihat pemandangan bandaraya Dubai dari aras
yang paling tinggi.
Tiba-tiba, gadis itu berpaling ke arahnya. Hans
terkaku dengan mata yang terkebil-kebil. Dadanya mula berdetak tidak menentu.
Terasa seperti dirinya tidak jejak bumi saat ini. Apa kena dengan aku ni? Detik
hatinya.
“Look, mum.
It’s rain!” jerit seorang budak lelaki berbangsa Inggeris kepada ibunya
sambil menuding jari ke luar tingkap.
Hans tersentak. Dia tersedar dari khayalannya.
Lantas, kepalanya dipusingkan ke arah tingkap. Namun, sempat lagi dia menjeling
ke arah gadis tersebut. Kelihatan, gadis itu turut memandang ke luar tingkap
sambil tersenyum nipis sebelum berlalu meninggalkan tempat tersebut.
Hans berpaling. Anak matanya mencari kelibat gadis
tersebut sebelum anak matanya terhenti pada sebatang tubuh yang mula
menghampiri lif. Tanpa bertangguh, Hans turut mengejar gadis tersebut. Dia
berdiri di belakang gadis itu. Saat pintu lif terbuka, Hans ingin melangkah
tetapi langkahnya serentak dengan langkahan gadis itu sehingga membuatkan bahu
mereka terlanggar.
Gadis itu hampir tersadung namun dengan pantas, Hans
memaut lengan gadis itu. Menghalang gadis itu daripada terjatuh.
“Opss… Sorry…”
ujar Hans sambil tersengih malu.
“Its okay,”
jawab gadis itu ringkas. Lengan yang berada dalam pegangan Hans, ditarik kuat.
Dia tidak selesa disentuh seperti itu. Tanpa memandang ke arah Hans, gadis itu
hanya membatukan diri di sebelah Hans.
Hans cuba bersikap selamba. Dia ingin mengatakan sesuatu
namun belum sempat dia membuka mulut, pintu lif terlebih dahulu terbuka dan
gadis itu berlalu tanpa sempat Hans berkata apa-apa.
“Macam manalah aku boleh lupa lif Burj Khalifa ni
lif paling laju di dunia. Memang tak sempatlah nak cakap apa-apa…” omel Hans
kepada dirinya sendiri. Dia menepuk dahi sebelum melangkah keluar.
“Nak buat macam mana, bukan jodoh agaknya…” desis
Hans perlahan. Dia melepaskan nafas perlahan.
BERJALAN
berseorangan di Dubai Mall membuatkan Marissa terasa bosan. Tiada siapa yang
dapat dijadikan teman untuk berborak walaupun tempat yang dia kunjungi memang
menarik. Dia masih lagi berkecil hati dengan Dato Seri Anuar. Disebabkan rajuk
itulah, dia bersiar-siar tanpa pengetahuan Dato Seri Anuar. Marissa yakin kalau
Dato Seri Anuar tahu pun, papanya itu tidak akan peduli.
Sedang asyik memandang kiri dan kanan kawasan yang
dipenuhi dengan kedai-kedai cenderahati, anak mata Marissa terhenti pada baju
kemeja T yang tersangkut di sebuah gerai tidak jauh dari tempatnya berdiri.
Marissa tersenyum. Baju kemeja T yang tertera
perkataan I LOVE DUBAI berserta menara Burj Khalifa yang menjadi latar
belakang, menarik perhatian Marissa. Lantas, dia mencapai baju tersebut sebelum
ditelek dan diletakkan semula.
Marissa menyeluk beg tangannya. Telefon bimbitnya
dikeluarkan. Kemudian nombor seseorang didail. Tidak sampai beberapa minit,
panggilannya berjawab.
“Assalamualaikum tuan puteri, tidur lagi ke?” soal
Marissa dengan senyuman riang tergambar jelas di wajahnya sebaik saja mendengar
suara di hujung talian.
“Okey, okey… Sorry.
Sebenarnya aku ada depan gerai souvenir
ni. Hari tu kau cakap kau nak t-shirt Dubai kan? Berapa helai kau nak?” Soal
Marissa terus kepada tujuan dia yang sebenar. Dia berjeda seketika sebelum
matanya terbuka luas.
“Hah? 30? Kau biar betul? Kau nak buat apa banyak
sangat? Kau nak buka kedai baju ke? Tak pun nak buka galeri?” soal Marissa
sambil ketawa.
“Yalah, aku beli. Insya-Allah, next month aku balik Malaysia. Nanti aku bawa sekali. Kau nak tu je
kan?” soal Marissa lagi.
“Okey. Jumpa nanti sayang….” Ucap Marissa sambil
meleretkan perkataan sayang. Dia ketawa apabila suara di hujung talian turut
ketawa.
Panggilan ditamatkan. Kemudian, Marissa terus memilih
pelbagai kemeja T Dubai yang tergantung. Anak matanya tertarik kepada sehelai
kemeja T Dubai yang berwarna putih. Laju saja tangannya ingin mencapai namun
saat tangannya ingin menarik baju itu, ada tangan lain yang turut menyambar
baju tersebut. Marissa tersentak. Dia terus mendongak.
“Hei… Saya ambil baju tu dulu!” bentak Marissa
sambil menjengilkan matanya kepada seorang lelaki yang tinggi lampai dan
memakai topi. Ada sebuah kamera DSLR tersangkut di tengkuknya.
Hans turut terpana. Dia sendiri tidak menyangka akan
ada pertemuan seterusnya dengan gadis serba pink ini. Dia tersenyum penuh
makna.
“Eh, orang Malaysia rupanya. Ingatkan minah Arab mana tadi…” ujar Hans sengaja
ingin menjentik kemarahan gadis itu. Wajah gadis yang tidak diketahui nama itu
berubah rona. Namun, wajah yang merona merah itu tetap kelihatan cantik di mata
Hans.
“Minah?
Awak panggil saya minah? Kalau macam
tu awak ni mamat Melayu sesat dekat
Dubai ni. Kesian, sesat ya? Mak ayah mana?” perli Marissa sambil menjeling.
Hans menahan tawa. Dia mengetap bibir.
“Mak ayah saya pun bakal mak ayah awak…” jawab Hans
selamba. Dia tersengih.
“Hah?” Marissa kebingungan. Bulat anak matanya
memandang Hans yang kelihatan tersengih bak kerang busuk.
“Saya tak nak dengar lawak awak yang merepek tu. Lepaskan
baju ni. Saya yang tengok dan ambil dulu.” Ujar Marissa cuba menarik baju
kemeja T daripada pegangan Hans.
Namun, Hans tidak mengalah. Dia memegang baju itu
dengan kemas.
“Tapi saya yang pegang dulu. Jadi, baju ni milik
saya.” Jawab Hans tetap bersahaja. Dia mencemikkan wajahnya ke arah Marissa.
Marissa kehilangan kata. Tiba-tiba saja hatinya
terasa panas. Panas dengan sikap lelaki itu yang agak kurang ajar.
“What?
Awak ni memang sengaja nak cari pasal dengan saya kan? Baru saya perasan, masa
dekat Burj Khalifa tadi pun awak ada sekali. Kat mana saya pergi mesti saya
terserempak dengan awak. Awak ni siapa sebenarnya?” Soal Marissa dengan suara
yang mula naik seoktaf.
“Saya bakal imam awak…” jawab Hans kemudian ketawa
sendiri.
Marissa menayang muka bosan. Hanya senyuman sinis
dihadiahkan buat Hans.
Tawa Hans terhenti dengan sendiri sebaik saja
melihat wajah kelat milik Marissa.
“Oh, tak lawak erk?”
soalnya seperti orang bodoh.
“Lawak dah basi! Cepat bagi tahu saya, siapa awak
yang sebenarnya? Atau awak ni stalker?
Tak pun awak ni spy papa saya?”
tempelak Marissa sambil jari telunjuknya lurus di hadapan muka Hans.
“Stalker? Spy?” Hans terkejut. Tidak lama kemudian
dia ketawa.
“Awak ni popular sangat ke sampai tuduh saya stalker? Saya rasa awak ni berangan.
Banyak sangat tengok drama. Tak pun awak tengah mimpi. Awak ada smartphone kan? Saya rasa aplikasi Google
dalam telefon awak tu berfungsi dengan baik. Apa kata awak check Burj Khalifa dan Dubai Mall ni tempat untuk apa…”
“Awak…”
“Oh, saya tahu awak tentu malas kan nak search tentang tempat ni, jadi biar saya
bagitahu ajelah. Dubai Mall dan Burj Khalifa tadi tu tempat pelancongan. Bukan
tanah mama papa awak apatah lagi datuk awak!” tempelak Hans memotong percakapan
Marissa.
Marissa merengus tidak berpuas hati. Kecil saja
lelaki itu di matanya. Kalau diikutkan rasa hatinya yang sudah mendidih, ingin
saja dia menarik-narik rambut lelaki tersebut. Namun, Marissa masih lagi waras.
“Peduli apa saya dengan awak. Saya tak kira, saya
tetap nak t-shirt ni!” bentak Marissa
cuba merampas baju tersebut daripada pegangan Hans. Dia tidak mahu mengalah
dengan mudah.
“Mana boleh! Saya pegang t-shirt ni dulu. Jadi, t-shirt
ni saya punya!” balas Hans tetap tidak mahu mengaku kalah.
“Saya dulu!” Marissa mula meninggikan suara.
Hans menjengilkan matanya.
“Prinsip saya kalau benda pertama yang saya lihat
dan saya berkenan, saya takkan lepaskan dengan mudah walaupun awak menggelupur
dekat sini!” ucap Hans tanpa rasa bersalah.
Marissa memuncungkan mulutnya. Matanya dikecilkan
memandang Hans. Rasa geram mula memenuhi segenap ruang hati namun dia cuba
bersabar. Lantas, dia melepaskan nafas dengan kuat.
“Awak nak sangat kan t-shirt ni?” Soal Marissa dengan bibir dikertap geram.
“Mestilah!” jawab Hans bersahaja.
“Ambillah semua!” balas Marissa lantas beberapa
helai kemeja T dicapai lalu dicampakkan ke muka Hans.
“Hei, perempuan!” marah Hans lalu menarik sehelai
kemeja T yang menutupi wajahnya.
“Muka Melayu tulen tapi adab-adab Melayu kosong!”
rungut Marissa lalu berlalu meninggalkan Hans dengan hati yang membengkak.
Hans hanya membiarkan Marissa berlalu. Tanpa sedar,
bibirnya mengukir senyuman penuh makna.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.