SUASANA Atmosphere Cafe kelihatan lengang. Hanya beberapa orang
pelancong asing dan orang tempatan yang sedang menjamu selera sambil berbual
kosong. Marissa bersendirian hari ini. Hanya ditemani dengan buku nota yang
selalu dibawa bersama. Sesekali dia memandang ke luar tingkap kafe sambil mencicip
kopi yang masih lagi panas.
Sedang asyik dia
termenung, tiba-tiba pandangannya terganggu dengan kehadiran seorang jejaka
yang sedang melabuhkan punggung di meja yang tidak jauh daripadanya. Marissa
terkebil-kebil memandang lelaki itu yang kemas memakai baju kemeja T berwarna
putih dipadankan dengan seluar jeans yang berwarna biru gelap. Kelihatan sebuah
kamera tergantung di lehernya. Manakala, sebuah beg sandang turut dibawa
bersama.
“Inilah yang buat
aku naik bingung. Ke mana aku pergi, ada aje dia ni. Ni jodoh atau kebetulan,
Ya Allah?” Desis Marissa perlahan.
Dia terus merenung
Hans yang sedang leka menjamu selera. Lelaki itu kelihatan tenang sewaktu
menjamu selera. Marissa tersenyum nipis. Lama dia mengamati wajah Hans dari
jauh tanpa berniat untuk menegur. Dalam diam, wajah tenang itu menarik
perhatiannya. Boleh dikatakan Hans memiliki seraut wajah yang kacak. Rambutnya
yang hitam dan disisir rapi cukup membuatkan lelaki itu kemas dan segak.
Matanya yang bundar bersama hidung yang mancung menambahkan lagi kekacakan
lelaki itu. Malah, seulas bibir yang sensual itu sudah cukup untuk membuatkan
mana-mana gadis terpesona, termasuk Marissa.
Marissa tersenyum
lagi. Namun, senyumannya mati dengan sendirinya apabila Hans turut berpaling ke
arahnya.
Dupp!
Jantungnya
berdengup keras. Marissa menggelabah. Sepantas kilat, dia melarikan pandangan
ke tempat lain. Dia menggigit bibir. Sedar akan kesalahannya kerana terlalu
lama memerhatikan anak teruna orang.
Hans tersenyum
simpul. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan Marissa di kafe ini. Entah apa
yang terjadi pada hatinya tetapi saat dia terpandang wajah Marissa, dia terasa
senang. Lantas, punggungnya diangkat. Dia melangkah menghampiri meja Marissa
dan melabuhkan punggungnya di hadapan gadis itu dengan selamba.
“Jauh termenung.
Ingatkan saya ke?” Soal Hans bergurau.
Marissa mencebik.
Dia cuba mengawal riak wajahnya yang masih lagi terkejut. Terasa kulit mukanya
berbahang apatah lagi saat ini Hans sedang merenung wajahnya.
“Eh mana ada.
Jangan nak perasan. Macam mana awak boleh ada dekat sini?” Soal Marissa pula.
Hans hanya
melemparkan senyuman manis.
“Tadi dekat meja
sana. Sekarang dekat sini. Depan awak.” Jawab Hans sambil tersengih.
“Awak buat apa
dekat sini?”
“Perhatikan awak.”
Jawab Hans. Kemudian dia ketawa sendiri sedangkan Marissa sudah menundukkan
kepala. Cuba mengawal rasa debar di dada. Aura Hans dirasakan terlalu kuat saat
ini.
“Saya bergurau aje.
Saya datang sini nak makanlah. Tak sangka pula terserempak dengan awak. Terima
kasih sebab awak sudi jadi tour guide
saya sepanjang saya ada dekat sini. Lusa saya dah nak balik Malaysia. Boleh tak
kalau saya nak nombor telefon awak? Mana tahu kita boleh jumpa dekat Malaysia
nanti.” Pinta Hans dengan hati yang berdenyut laju.
Marissa berjeda
seketika. Tidak lama kemudian dia menggelengkan kepala.
Hans tersentak.
Hancur berderai harapannya untuk berkenalan dengan Marissa. Gadis yang cukup
misteri pada pandangan Hans.
“Tak boleh? Tapi
kenapa? Saya cuma nak nombor telefon awak aje, bukan saya minta alamat rumah
awak pun.” Balas Hans seakan tidak berpuas hati. Dia hampa.
Marissa sekadar
mengangkat bahu.
“Saya kenal awak
dengan cara macam ni. Kebetulan. Tak dirancang. So better terus macam nilah.” Jawab Marissa bersahaja.
Hans melepaskan
nafas pendek. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi sambil anak matanya tepat
menikam ke bola mata Marissa.
“Awak pernah dengar
ayat ni tak? We don’t meet people by
coincidence, they are meant to cross our path for a reason…”
“Jadi apa sebabnya?
Awak tahu?” pintas Marissa pantas.
Hans terdiam. Lama
dia memikirkan sesuatu kemudian dia mendekatkan wajahnya ke arah Marissa.
Marissa kaget lalu menjarakkan diri.
“Jodoh. Mungkin…”
jawab Hans kemudian ketawa kecil. Dia kembali membetulkan duduk.
Marissa langsung
tidak ketawa. Hatinya tercuit dengan perkataan jodoh yang disebutkan oleh Hans
kerana memang perkataan itulah yang kerap menganggu hatinya setelah beberapa
kali bertembung Hans di tempat yang sama. Namun, ia agak mustahil bagi Marissa.
Dia tidak kenal siapa Hans, mana mungkin ada jodoh di antara mereka.
“Mungkin juga kita
dipertemukan hanya untuk berpisah…”
“Tak saya tak
benarkan perkara itu berlaku.” Potong Hans laju. Wajahnya bertukar serius.
“Kenapa?” Soal
Marissa pendek.
“Sebab saya rasa
saya dah mula sukakan awak.” Ujar Hans berterus terang bersama hati yang
berdetak tidak keruan. Betul ke apa yang aku cakapkan ni? Soal hati Hans tidak
lama kemudian.
Marissa
menjengilkan mata. Hatinya turut menyambut debaran yang sama namun dia hanya
tersenyum sinis.
“Baru sehari dua
kita jumpa, awak cakap awak sukakan saya? Mengarut.” Tingkah Marissa sambil
menggelengkan kepala.
“Tapi bagi saya tak
mengarut. First time saya ternampak
awak, hati saya dah suka. Saya nak buat macam mana. Hati tak pernah tipu kan?”
Soal Hans.
“Tapi lidah dan
otak manusia selalu cakap tak jujur. Tak sama macam yang dekat hati tu.
Kadang-kadang hati pun boleh berubahlah, awak.” Bantah Marissa.
Hans terdiam
seketika. Lama dia menyoroti wajah Marissa. Berharap agar gadis itu mengerti
akan perasaannya saat ini.
“Tapi saya
betul-betul ikhlas nak kenal dengan awak. Fine,
kalau awak rasa pengakuan saya ni terlampau mendadak. Saya cuma luahkan apa
yang saya rasa dan itu bukan satu kesalahan kan? Saya tak nak terlambat. Kalau
boleh saya nak ini bukan kali yang terakhir saya jumpa awak.” Balas Hans jujur.
Marissa menggaru
keningnya. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Awak ada Ringgit
Malaysia tak?” Soal Marissa tiba-tiba.
“Hah?” Hans
terkejut. Lain yang dicakap, lain yang diminta oleh Marissa.
“Ringgit Malaysia.
Maksud saya duit Malaysia. Ada tak?” Soal Marissa lagi.
Dahi Hans berkerut
namun dia tetap mengeluarkan dompetnya. Sekeping not seratus ringgit
dikeluarkan lalu diserahkan kepada Marissa.
“Awak tulis nombor
telefon awak dekat duit tu dulu.” Arah Marissa.
Hans melemparkan
pandangan pelik namun tangannya tetap mencapai pen yang dihulurkan oleh Marissa
sebelum dia menulis nombor telefonnya di permukaan duit seratus ringgit itu.
“Lepas tu?” Soal
Hans ingin tahu.
Marissa mencapai
duit tersebut kemudian menulis nombor telefonnya di bawah nombor telefon yang
telah ditulis oleh Hans. Selesai menulis, Marissa bingkas bangun.
“Awak nak pergi
mana?” Soal Hans pelik.
“Awak tunggu sekejap.
Nanti saya datang.” Balas Marissa sebelum berlalu meninggalkan Hans yang
terpinga-pinga.
Marissa melangkah
ke arah kiosk Money Changer. Dia menyerahkan sekeping duit seratus tersebut
untuk ditukar sebelum pekerja yang bertugas menyerahkan beberapa keping duit
AED. Marissa mengira duit tersebut sebelum kembali melangkah ke dalam kafe.
Dia duduk kembali
di hadapan Hans yang setia menanti dengan seribu pertanyaan tergambar jelas di
sebalik wajahnya. Lalu, Marissa menyerahkan duit tersebut kepada Hans.
“Itu duit awak yang
saya dah tukar. Nilainya sama dengan duit seratus yang awak bagi tadi.” Ujar
Marissa.
Makin berkerut dahi
Hans. Dia memandang wajah Marissa dengan lama. Dia inginkan penjelasan.
“Apa maksud awak
ni? Saya tak faham.”
“Baiklah, saya
jujur dengan awak. Walau dalam masa sehari dua aje kita berjumpa, tapi saya
rasa saya mula sukakan awak…”
“Yesss!” Hans terjerit kecil. Terasa
lapang dadanya saat ini apabila Marissa turut merasakan apa yang dia rasa.
“Tapi…” Marissa
meleretkan kata.
“Tapi?” Senyuman
Hans mati dengan sendirinya.
“Saya percaya pada
jodoh dan saya akan terima awak kalau kita ada jodoh.” Sambung Marissa
membuatkan Hans melongo seketika.
“Dengan cara tadi
awak nak cuba nasib jodoh kita?” Soal Hans dengan mata yang membulat.
Marissa menganggukkan
kepala tanpa ragu-ragu. Itulah cara yang selalu dia gunakan setiap kali ada
lelaki yang meluahkan perasaan kepadanya.
“No! Awak silap, Marissa. Itu bukan
caranya.” Bantah Hans sambil menggelengkan kepalanya.
“Tapi ini cara
saya, Hans. Kalau awak jumpa semula wang kertas yang tertulis nombor saya dan
nombor awak tadi, awak boleh call
saya. Begitu juga sebaliknya. Saya akan call
awak kalau saya jumpa wang tu semula. Kita dah letak nombor kita dekat duit tu
kan? Kalau jodoh, pasti kita bertemu.” Balas Marissa tanpa rasa bersalah.
Hans melepaskan
nafas berat.
“Bagi saya ini
bukan caranya, Marissa. Kita cuba kenal antara satu sama lain dan kalau
semuanya baik, kita teruskan. Saya rasa itu lebih baik.” Balas Hans cuba
memujuk.
“Tak. Cara awak tu
mungkin akan buat kita lebih terluka andai tiada jodoh di antara kita. Saya
cuma nak uji sekuat mana jodoh kita. Itu saja. Kalau duit itu boleh sampai ke
tangan awak atau saya, barulah saya yakin yang kita berjodoh. Kalau tidak,
lupakan aje niat kita untuk berkenalan.” Balas Marissa kemudian bingkas bangun
setelah mencapai beg sandangnya.
“Awak dah merepek
ni, Rissa. Soal jodoh bukan boleh dibuat main. Bukan urusan kita untuk tentukan
cara jodoh kita.” Bantah Hans lagi mematikan langkah Marissa.
“Tapi ini cara saya
untuk kenal siapa jodoh saya. Saya yakin, Hans. Kalau kita berjodoh, kita akan
bersatu semula.” Balas Marissa penuh keyakinan.
Hans kehilangan
kata. Inilah pertama kali dia berjumpa dengan gadis seperti Marissa. Ternyata
agak sukar untuk menebak apa yang berada dalam fikiran gadis itu.
“Saya balik dulu.
Assalamualaikum…” ucap Marissa lalu melangkah meninggalkan Hans yang masih
terpinga-pinga.
“Rissa, tunggu
dulu!” Panggil Hans. Dia cuba bangun untuk mengejar namun saat dia terpandang
buku nota milik Marissa yang tertinggal di atas meja, dia terduduk semula.
Laju saja tangannya
mencapai buku nota tersebut. Dahinya berkerut saat membaca tajuk yang tertulis
di muka hadapan buku tersebut.
“Jodoh hak milik
Allah…”
HANS termenung sendiri di bilik hotelnya. Buku nota milik Marissa dipegang
kemas. Tajuk yang tertera di muka hadapan buku tersebut menarik perhatiannya.
Lantas, Hans membelek halaman pertama.
“You’re my serendipity, I wasn’t looking for
you, I wasn’t expecting you, but I’m very lucky I met you. Perempuan ni
memang taksub betul dengan kebetulan dan jodoh.” Omel Hans sambil tersenyum
sinis.
“Kalau awak jumpa
semula wang kertas yang tertulis nombor saya dan nombor awak tadi, awak boleh call saya. Begitu juga sebaliknya. Saya
akan call awak kalau saya jumpa wang
tu semula. Kita dah letak nombor kita dekat duit tu kan? Kalau jodoh, pasti
kita bertemu.”
Kata-kata Marissa
tengah hari tadi kembali terngiang di pendengaran. Dia menggeleng kecil. Tidak
pernah terlintas dalam fikiran Hans yang Marissa akan melakukan hal tersebut
semata-mata untuk menguji kekuatan jodoh mereka. Sememangnya gadis itu seorang
yang pelik. Fikir Hans.
“Dia ingat senang
agaknya duit tu nak kembali pada aku atau dia. Macam budak-budak.” Bebel Hans
sendirian.
Dia terus membelek
halaman seterusnya.
Sometimes what you’re looking for comes when you’re not
looking at all.
Hans mencebikkan
bibir. Dia ingin meneruskan pembacaan namun bunyi telefon berdering menganggu
tumpuannya. Hans mengalih pandang ke arah telefon milik hotel yang terletak di
atas meja sisi. Pantas, Hans mengangkat gagang.
“Yes, hello…”
“I am Abu Hanifah from receptionist. Sorry to disturb you
Mr.Hans,” kedengaran suara
garau di hujung talian.
“Its okay. Yes, anything?” Soal Hans kemudian.
“There’s a lady want to see you, and she introduce
herself as Miss Marissa. Can I show her your room, sir?” soal lelaki itu petah berbahasa Inggeris.
Hans tersentak.
Pantas, dia bingkas bangun. Debaran makin menyerang dada.
“Oh, sure. She is my friend. Anyway, thank you.”
ucap Hans sebelum meletakkan gagang telefon.
Dia tersenyum penuh
makna. Dengan tangan yang masih memegang buku nota, Hans menanti dengan penuh
debar. Selang beberapa minit kedengaran pintu biliknya diketuk.
“Datang pun…”
ucapnya perlahan. Lalu, Hans menuju ke arah pintu. Sempat lagi dia mengerling
penampilannya di cermin. Dia tersenyum apabila melihat penampilannya yang
kemas.
Hans menarik pintu
dari dalam apabila ketukan mula kedengaran untuk kali yang kedua. Sebaik saja
pintu terbuka, terjengul wajah Marissa di hadapannya. Hans hanya bersikap
selamba.
“Saya nak ambil
buku saya tu balik…” pinta Marissa tanpa salam. Tiada secalit senyuman pun
menghiasi bibirnya.
“Assalamualaikum.
Lupa lagi ke cara nak bagi salam?” Tempelak Hans.
Marissa hanya
menjeling. Sedar akan kesalahan dirinya sendiri.
“Waalaikummusalam.
Bagilah buku saya tu…” ucap Marissa sambil menunjukkan buku yang berada di
tangan Hans.
Hans memandang buku
tersebut sebelum mendongak menentang pandangan Marissa.
“Saya baru nak cari
awak. Nak call awak, nombor telefon
tak ada. Kalau awak bagi nombor telefon awak tadi, tak perlulah awak
susah-susah datang ke hotel saya ni.” Balas Hans tetapi masih enggan
menyerahkan buku nota tersebut.
“Tak apa. Saya
memang suka susahkan diri saya sendiri. Bagilah buku saya tu.” Pinta Marissa
sambil menghulurkan tangannya.
“Awak sanggup
susahkan diri awak semata-mata untuk buku quotes
awak yang pelik-pelik ni?”
“Pelik apanya? Tak
ada yang pelik pun. Sekadar ayat-ayat motivasi untuk diri saya sendiri. Awak
apa tahu.” Balas Marissa.
“Entah. Saya rasa
pelik aje. Tapi saya suka. Saya tak habis baca lagi ni tapi memandangkan awak
dah susah-susah datang, ambillah…” ucap Hans lalu menyerahkan buku tersebut
kepada Marissa.
Buku bertukar
tangan. Marissa memeluk erat buku notanya itu.
“Okey, terima kasih.
Saya balik dulu.” Balas Marissa kemudiannya. Dia berura-ura untuk berpaling.
“Rissa, tunggu
dulu!” halang Hans mematikan langkah Marissa.
Marissa tidak jadi
berpaling. Dia berdiri tegak berhadapan dengan Hans. Renungan Hans yang redup
dipandang dengan hati yang bergetar.
“Awak nak apa lagi?
Sepatutnya kita tak boleh jumpa ni…” ujar Marissa membuatkan kening Hans
bercantum.
“Kenapa pula?” soal
Hans pelik.
“Awak dah jumpa
duit semalam tu?” Soalan dibalas soalan oleh Marissa.
Hans meraup
wajahnya sebaik saja mendengar soalan Marissa.
“Oh, come on, Rissa. Mengarutlah tu semua.
Mana saya nak jumpa duit Malaysia dekat Dubai ni.” Rungut Hans.
“Mengarut?
Maksudnya awak terpikat dengan perempuan mengarut dan pelik macam saya kan?”
soal Marissa sedikit kecewa dengan kata-kata Hans.
Hans mengetap
bibir. Dia menghembus nafas pendek.
“Bukan itu maksud
saya, Rissa. Maksud saya ujian…”
“Dahlah. Lupakan
aje. Kalau ada jodoh, kita akan jumpa juga, Hans.” Potong Marissa sebelum
sempat Hans menghabiskan kata-katanya.
“Okey saya faham
prinsip awak tu. Tapi please Rissa.
Esok saya dah nak balik Malaysia. Boleh tak awak temankan saya hari ni? Jadi tour guide saya buat kali terakhir.
Boleh?” pinta Hans penuh pengharapan.
Marissa tersenyum
kecil kemudian menggelengkan kepala.
“Kenapa tak boleh
pula?” Soal Hans tanpa sedar suaranya sedikit meninggi.
“Saya ada prinsip
saya sendiri.” Jawab Marissa tegas.
Hans mengeluh
hampa.
“Please, Rissa. Hari ni aje.” Rayu Hans.
Marissa berjeda
seketika. Lama dia memandang wajah Hans yang betul-betul mengharap. Timbul rasa
simpati dalam diri Marissa saat ini.
“Baiklah. Saya
boleh temankan awak, tapi ada syaratnya…” ujar Marissa sambil mengulum senyum.
Hans kebingungan.
Nak ajak keluar pun pakai syarat? Susah betul nak pikat hati perempuan ni. Getus
hati Hans.
“Syarat? Apa
syaratnya?”
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.