SUASANA pejabat H&A Advertise Sdn. Bhd. kelihatan tenang
pagi itu. Semua kakitangan sedang melakukan kerja mereka dengan khusyuk. Sesekali
kedengaran papan kekunci dan bunyi mouse
yang diklik saling bertingkah. Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki
berbaju kemeja dan berseluar slack
serta berjaket kulit menuju ke meja hadapan pejabat.
“Morning, July…” ucapnya dengan nada yang
ceria. Permukaan meja sengaja diketuk bagi menarik perhatian gadis berambut
panjang yang sedang tekun menghadap komputer.
July mendongak. Dia
tersenyum sebaik saja melihat wajah Azam yang tersengih-sengih.
“Wah, jam loceng
you dah berfungsi sekarang ya?” Perli July cukup bersahaja.
Azam mencebikkan
bibir. Dia menjeling manja.
“Tengoklah orang
zaman sekarang ni, lambat salah. Awal pun salah. Tak datang terus lagilah
salah. Habis tu I nak buat macam mana?” soal Azam bergurau.
July hanya ketawa
lepas melihat wajah Azam yang berpura-pura cemberut.
Yalah, Encik Azam
kan orang penting. Kenalah jaga disiplin tu.” Balas July.
Azam mencebibkkan
bibirnya sekali lagi.
“Eh, eh awak pula
yang nak bising. Encik Hans awak tu relaks aje. Oh, saya lupa pula, awak kan
mak tiri Encik Hans. Semua bendak dekat syarikat ni awak yang control. Dengan bos besar sekali awak
nak control kan?” seloroh Azam.
Kemudian dia ketawa apabila melihat July menjeling tidak berpuas hati.
“Encik Azam nak start pertandingan perli-memerli ke ni?
Okey, boleh. Saya sahut cabaran. Lagipun saya dah kumpul semua kesalahan Encik
Azam dua tiga bulan ni,” balas July tidak mahu mengalah.
Azam membeliakkan
mata kemudian dia ketawa diikuti oleh July. Tawa mereka bergabung.
“Ni gelak sakan ni,
sah memang tak ada kerja lainlah ni… Mesti tengah mengumpat bos besar,” tegur
satu suara membuatkan July dan Azam berpaling.
Azam tersengih.
Sedangkan July hanya mampu melemparkan senyuman kelat.
“Kau tu, nama aje
bos besar tapi dengan mak tiri kau ni, kau surrender
juga.” Gurau Azam sambil menepuk bahu Hans yang berdiri di sisinya sambil
menghadap meja kerja July.
“Hesy, Encik Azam
ni, tak habis-habis nak perli. Merajuklah macam ni,” ugut July.
Azam hanya
mencemikkan muka pada July sebelum ketawa. Hans turut ketawa.
“Aku bukan takut
dengan mak tiri tapi kalau tak ada mak tiri ni, siapa yang nak urus jadual aku?
Jadual syarikat ni, nak harapkan kau? Kirim salam ajelah.” Balas Hans membela
July.
July tersengih. Dia
mengangkat-angkat keningnya pada Azam yang kelihatan terkulat-kulat.
“Amboi, back up nampak!” gurau Azam sambil
menumbuk lembut bahu Hans.
Hans hanya
mengenyitkan mata sebelum ikut ketawa.
“By the way, bila kau balik? Tak cakap
kat aku pun.” Azam mengalih topik perbualan mereka.
“Sengaja tak nak
cakap. Kalau aku cakap, gerenti kau oder minah Arab untuk kau kan? Bukannya aku
tak kenal perangai kau tu. Pantang nampak perempuan dahi licin. Semua nak try,” omel Hans.
“Betul tu, Encik
Hans. Perangai gatal Encik Azam ni memang tak boleh bendung, nasib baiklah tak
berjangkit pada encik.” Sampuk July. Seronok pula dia dapat kenakan Azam kali
ini. Selalunya dia saja yang selalu terkena dengan ulah Azam.
Azam menjengilkan
mata pada July. Pantas, July menekup mulut sebelum ketawa kecil.
“Walaupun 1 macam
ni, tapi I lelaki yang setia tau. One
women only.” Ujar Azam tidak mahu mengalah.
July hanya
mencebikkan bibir. Dia membuat gaya seperti ingin muntah sebelum dia kembali
menatap wajah Hans yang hanya ketawa sedari tadi. Bos besarnya itu nampak kacak
dengan rambut yang disisir rapi. Penampilannya yang penuh berkarisma itu cukup
membuatkan hati wanita cair apatah lagi saat lelaki itu melebarkan senyuman.
Sejuk mata yang memandang.
“So Encik Hans, best tak dekat Dubai?” Soal July sekadar ingin tahu.
Wajah Hans berubah.
Dia mencapai fail yang dihulurkan oleh July.
“Hmmm… Bolehlah…” jawabnya perlahan.
Lagak seperti orang yang kecewa.
“Aik, lain macam
aje bunyinya tu. Selalunya kaulah orang paling
excited nak bercerita bila kau balik dari bercuti. Ada apa-apa yang aku tak
tahu ke ni?” Soal Azam sambil merenung Hans dari atas hingga ke bawah. Jelas,
sahabatnya itu kelihatan tidak bersemangat. Seperti ada yang mengganggu
fikirannya.
“Esok-esoklah aku
cerita. Sekarang, sila buat kerja masing-masing.” Ujar Hans kemudian berlalu
meninggalkan Azam dan July yang berpandangan sesama sendiri.
“Sah!” ucap Azam
tiba-tiba.
July memandang Azam
dengan pandangan pelik.
“Apa yang sahnya,
Encik Azam?”
“Sah ada benda yang
tak kena!” jawab Azam sambil menghantar tubuh Hans sehingga lelaki itu hilang
di sebalik pintu pejabatnya.
July hanya
mengjongketkan bahu.
BUNYI ketukan dipintu bilik pejabatnya membuatkan Azam mendongak. Terjengul
wajah Hans sebaik saja dia memberi arahan untuk masuk. Azam tersenyum penuh
makna saat Hans melabuhkan punggung di hadapannya.
“Kau ni dah kenapa
tiba-tiba aje senyum? Dah rupa Joker
aku tengok.” Kutuk Hans selamba.
Azam ketawa lepas.
Dia membetulkan duduknya menghadap Hans.
“Aku senyum ni
sebab aku tengok kau ni lain macam aje. Atau kau dah dapat jodoh dekat Dubai
tu? Kalau tak, sia-sia jelah cadangan aku supaya kau bercuti dekat Dubat.”
Balas Azam cuba mengorek rahsia yang cuba disembunyikan oleh Hans.
“Kau ni memang tak
ada benda lain kan? Awek, isteri, jodoh, kahwin. Tapi kau tu tak kahwin-kahwin
juga. Sebiji macam perangai papa aku. Kalau July tu kau panggil mak tiri, kau
ni bapak tiri. Hah, sesuailah kau orang berdua.” Bebel Hans dengan laju.
Azam terkebil-kebil
sambil merenung wajah Hans yang kelat apabila soal kahwin diutarakan. Namun,
tidak lama kemudian dia menghamburkan tawa.
“Kenapa kau gelak?”
Soal Hans. Dia menjongketkan kening.
“Saja. Kau kalau
membebel, kalah mak nenek. Aku bukan tak nak kahwin, tapi jodoh tak datang
lagi, nak buat macam mana? Takkan aku nak call
jodoh tu datang cepat-cepat. Kalau aku tahu rupa jodoh aku macam mana, dah lama
aku cari dalam Facebook, tak pun Instagram.” Gurau Azam kemudian ketawa dengan
kata-katanya sendiri.
Hans terdiam
apabila Azam menyentuh soal jodoh. Serentak bayang wajah itu menerpa ruang
fikiran. Dia melepaskan nafas pendek.
“Jodoh…” desis Hans
perlahan. Dia tersenyum sinis sebelum mengangkat bahu.
“Kau cakap apa,
Hans? Aku tak dengar.” Ujar Azam sambil merapatkan tubuhnya ke arah meja.
“Tak ada apalah.
Cukuplah cakap pasal jodoh. Aku jumpa kau ni sebab nak tanya pasal iklan
Billboard Telco Company tu. Macam mana progress projek tu?” Soal Hans kembali
kepada topik sebenar dia datang bertemu dengan Azam.
“Jangan risau, kau
boleh harapkan aku. Nah…” jawab Azam seraya menyerahkan fail berisi surat
penting kepada Hans. Fail bertukar tangan.
“Tapi aku masih
anggap 50-50 sebab syarikat ni cerewet sangat. Nak itulah, nak inilah. Pening
kepala aku fikir.” Omel Azam dengan mencemikkan wajahnya.
“Biasalah, Zam. Tak
pernah ada client yang tak cerewet. Kalau dia orang sanggup bayar setimpal
dengan apa yang kita usahakan, kita bersabar ajelah.” Balas Hans berbaur
nasihat.
Azam hanya
menganggukkan kepala tanda faham. Sejak berkecimpung dalam dunia pengiklanan
ni, Azam sudah masak dengan perangai pelanggan yang bermacam-macam ragam. Kalau
diikutkan hatinya yang kurang sabar, sudah lama syarikat itu gulung tikar.
Tetapi memandangkan Hans adalah ketua syarikat, sedikit sebanyak dia belajar
bersabar apabila melihat Hans tenang dalam mengendalikan kerenah-kerenah
pelanggan yang cerewet.
“Tapi dia orang nak
proposal idea untuk iklan produk baru ni. Detail okey? Dia orang nak sesiapa
yang tengok billboard tu, akan terus tertarik dengan iklan tu. Dia orang nak
idea yang fresh. Tak nak yang biasa,
maksud aku pacak gambar, words
berjela. Dia orang nak satu perkataan aje tapi mampu iklankan produk mereka ni.
Plus, new model yang super lawa
dan lain dari yang lain. Dia orang nak model yang ada kecantikan asli bukan
tampal-tampal make up.” Terang Azam
secara terperinci.
Hans menghembuskan
nafas panjang. Permintaan pelanggan kali ini benar-benar menguji pereka iklan.
Satu perkataan tapi mampu menarik perhatian? Perkataan apa? Soal hatinya. Dia
meraup wajah sebelum kembali memandang wajah Azam.
“Kau ada idea?”
Soalnya.
Azam berjeda. Dia
hanya mampu menayang giginya yang bersih. Sedangkan Hans sudah mula mengeluh.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.