MARISSA duduk bersendirian di pinggir pantai Jumeirah Palm
Beach. Dia menghembus nafas pendek. Sebaik saja terpandang pantai ini, semerta kenangan bersama Hans
kembali terimbas di ruang mata.
“Saya tengah cari
jalan ke hati awak. Boleh tak awak tunjukkan?”
Kata-kata Hans
terngiang di telinga Marissa sehinggakan menjemput senyum di bibirnya yang
mungil. Marissa menggelengkan kepala. Walaupun hanya beberapa hari dia
mengenali Hans, namun jujur dia akui sikap Hans menarik hatinya untuk mengenali
lelaki itu dengan lebih dekat. Tetapi dia masih lagi berpegang kepada prinsip
jodoh. Dia tidak mahu terluka jika Hans bukan lelaki yang ditakdirkan untuknya.
“If it’s meant to be, it will be…” desis
Marissa perlahan.
Dia menebarkan
pandangan ke kaki langit. Beberapa ekor burung sedang berterbangan. Serentak,
wajah Hans yang tersenyum tergambar jelas di dada langit. Marissa tersentak.
“Siapa kau
sebenarnya? Kenapa kau muncul dalam hidup aku dan mencuri perhatian aku?” Soal
Marissa sendirian. Soalan yang pasti tidak ada jawapan.
Kenangan bersama
lelaki itu kembali terimbau di fikirannya. Marissa tersenyum sendirian.
“Wahhhh… Cantik
sungguh masjid ni.” Puji Hans sewaktu mereka berdua sampai di Masjid Sheikh
Zayed petang itu. Hampir tidak terkatup mulut Hans apabila melihat ruang hadapan masjid itu yang besar bagaikan satu
padang bola sepak.
Marmar putih yang
bercorakkan flora berkilauan disimbah dengan cahaya mentari petang. Sukar untuk
Hans gambarkan perasaannya saat ini apabila melihat dengan mata kepalanya
sendiri rumah Allah yang dibina dengan cukup indah dan mempesonakan.
“Subhanallah. Kita
digalakkan sebut perkataan itu bila nampak benda yang cantik kan?” Soal Marissa
lembut. Dia tersenyum manis.
Hans terdiam
seketika. Dia tersipu-sipu apabila ditegur sebegitu. Akibat teruja, dia terlupa
untuk mengucapkan kalimah suci itu.
“Opsss… Maaf. Saya terlupa. Excited sangat tengok seni bina masjid
ni. Tak hairanlah kalau masih ni menjadi salah satu masjid yang terbesar di
dunia. Luas bukan main.” Ujar Hans kemudian meneruskan langkahnya ke ruang
dalam masjid.
“Kalau awak nak
tahu masjid ni ada 82 kubah tau dan mampu memuatkan seramai lebih kurang empat
puluh ribu jemaah. Luas kan? Kalau tak silap saya karpet yang terbentang dalam
masjid ni merupakan karpet yang terbesar di dunia. Lampu chandelier
yang ada dalam masjid ni pun merupakan lampu chandelier yang terbesar di dunia. Semua lampu ni diperbuat dari
tembaga yang bersalut dengan emas. Awak bayangkanlah sendiri berapa kos
pembinaan untuk masjid sebesar dan secantik ni.” Terang Marissa dengan mata
yang bercahaya sewaktu menatap Masjid Sheikh Zayed yang berwarna putih bersih.
Hans berpaling ke
sisi. Hatinya tercuit mendengar kepetahan gadis itu memberi penerangan. Dia
tersenyum simpul.
“Tetapi sekali
pandang kubah masjid ni sama dengan kubah Taj Mahal kan?” tambah Hans lagi.
Marissa
menganggukkan kepala.
“Mungkin sebab
warnanya putih. Putih kan lambang kesucian dan Islam itu sendiri adalah suci.”
Jawab Marissa petah.
Hans menganggukkan
kepala. Lama dia merenung wajah Marissa daripada sisi. Gadis itu kelihatan
cantik apabila mengenakan tudung yang menutupi rambut sehingga melepasi
dadanya. Wajah itu tampak asli tanpa solekan yang tebal. Malah, Hans hati
merasa cukup tenang saat melihat senyuman yang mekar di bibir gadis itu yang
merah. Hatinya terasa sesuatu.
“Subhanallah…” ucap
Hans tiba-tiba.
Marissa berpaling
ke sisi. Pandangan mereka bertaut menjemput rasa indah di hati masing-masing.
“Kenapa?” Soal
Marissa pendek.
“Saya ternampak
sesuatu yang cantik…” jawab Hans terus merenung ke dalam anak mata Marissa.
“Mana?” Soal
Marissa lalu anak matanya melingas ke kiri dan kanan. Mencari sesuatu yang
dikatakan oleh Hans.
Hans tersenyum
penuh makna. Dia mengangkat kamera DSLR miliknya lalu diarahkan ke Marissa.
Klik! Gambar Marissa
yang tidak bersedia diambil.
“Awak!” Marah
Marissa. Terkejut dengan tindakan Hans yang tiba-tiba.
“Nah, inilah
sesuatu yang saya cakapkan tu…” ujar Hans lalu menyerahkan kameranya kepada
Marissa.
Marissa menyambut
huluran Hans dengan dahi yang berkerut. Namun, dia tetap memandang skrin kamera
yang ditunjukkan oleh Hans. Hatinya bergetar saat skrin kamera itu memaparkan
gambar dirinya sendiri. Sungguh, Marissa merasakan dirinya berada di
awang-awangan saat ini. Lidahnya kelu untuk mengungkapkan kata.
“Awak….” Marissa
tidak jadi meneruskan kata. Dia tergagap buat seketika. Terasa seperti suaranya
tersekat di kerongkong.
“Saya nak solat
dulu. Jumpa awak kejap lagi.” Ucap Hans tanpa mengulas lanjut. Dia berlalu
setelah mengambil kembali kamera daripada tangan Marissa. Sengaja dia biarkan
persoalan bermain di minda Marissa kerana saat ini hatinya juga tidak keruan.
Semuanya gara-gara gadis bernama Marissa.
BUNYI ombak yang menghempas pantai mengembalikan Marissa ke dunia realiti.
Dunia di mana dia berseorangan tanpa teman. Kenangan beberapa hari lalu lenyap
ditelan angin pantai yang menghembus lembut. Marissa melekapkan tangan di dada
kirinya.
“Aku yakin kita
pasti bertemu…” ucapnya perlahan.
AZAM melemparkan pandangan pelik pada Hans yang sedang menghampiri Kedai
Buku Popular. Dia menarik lengan Hans. Langkah Hans terhenti.
“Kenapa kau heret
aku sampai ke sini? Kau nak buat apa dekat kedai buku ni? Setahu aku kau ni
bukan rajin pun nak membaca.” Ujar Azam. Raut wajah Hans ditenung dengan penuh
tanda tanya.
“Ikut ajelah. Kau
ni banyak bunyi betullah.” Omel Hans lalu menarik tangannya kembali.
“Boleh tak kau
cakap dengan aku apa yang dah jadi dengan kau ni? Tak pasal-pasal boleh bawa
aku ke sini.” Balas Azam tidak berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh
Hans. Dia inginkan jawapan yang pasti sedangkan Hans seboleh mungkin ingin
mengelak.
“Nanti aku
ceritalah. Ini untuk idea billboard
tu juga. Kita kena ada rujukan tentang jodoh kalau nak ketengahkan konsep jodoh
tu. Sekurang-kurangnya konsep tu tak menyimpang dari maksud sebenar jodoh. Tak
menyentuh sensitiviti mana-mana kaum yang percaya tentang jodoh. Faham?” tekan
Hans dengan mengeraskan perkataan faham itu.
“Betul ke ni? Atau
semua ni ada kena mengena dengan perempuan yang kau cakapkan tu?” Soal Azam
lagi masih tidak percaya dengan kata-kata Hans.
“Hesy, kau ni! Malaslah aku nak layan!”
bentak Hans lalu melangkah masuk ke dalam kedai buku. Dia menuju ke ruangan
motivasi dan kaunseling.
Azam membuntuti
langkah Hans. Masih ada persoalan yang masih belum terjawab. Lalu, dia
menghampiri Hans. Bahu Hans dicuit. Hans menepis.
“Aku yakin kau
datang sini bukan sebab konsep iklan tu aje. Ni mesti kes jodoh kau yang
terhalang dek benua tu kan? Tengoklah sampai cari buku pun, kau cari buku
kaunseling wanita. Pelik. Memang pelik. Hans yang tak pernah kisah tentang
perempuan tapi nak tahu tentang kaunseling perempuan.” Sambung Azam lagi.
Hans menjengilkan
mata. Rasa ingin ditepuk saja mulut Azam saat ini.
“Kau diam kejap
boleh tak? Daripada kau mengomel mengalahkan mak nenek, lebih baik kau tolong
aku cari buku.” Ujar Hans menghentikan bebelan Azam.
Azam menunjukkan
jari telunjuk ke mukanya sendiri.
“Aku? Aku kena cari
sama?” Soal Azam pelik.
“Taklah. Bukan kau.
Aku suruh roh kau yang tolong carikan.” Sindir Hans sambil tersenyum sumbing.
Azam menarik muka.
Namun, dia tetap menurut kemahuan Hans. Beberapa buku yang terpapar di hadapan
mata, ditarik dan ditunjukkan kepada Hans. Tetapi Hans hanya menggelengkan
kepala.
“Habis tu buku
macam mana lagi kau nak? Aku bagi buku ni kau tak nak. Aku bagi buku tu kau tak
nak. Kalau ya pun nak minta tolong aku carikan, bagitahulah detail buku yang kau nak tu. Senang
sikit aku nak cari. Aku ni jenis manusia yang ikut trend, sekarang nak cari benda guna Google je. Simple. Tak payah serabutkan kepala otak cari satu per satu.” Bebel
Azam lagi.
Hans menekup
telinganya dengan kedua belah telapak tangan. Bebelan Azam cukup membingitkan
telinga. Nama saja lelaki tetapi bab membebel kalah mamanya. Sungut hati Hans.
“Kau nak cari ke
tak ni?” Soal Hans akhirnya.
Bebelan Azam
terhenti. Dia membalas pandangan Hans yang serius.
“Yalah, buku macam
mana kau nak Encik Hans Yusuf?” soal Azam sambil mengancing giginya. Menahan
rasa geram sebenarnya.
Hans ketawa kecil.
“Buku something like… Cara nak ubah pendirian
wanita. Atau apa-apa saja yang berkaitan dengan jodoh. Lebih kurang macam
tulah…” jawab Hans sambil perhatiannya terarah pada rak-rak buku.
“Pasal pendirian
wanita? Pasal jodoh? Wow, aku dah cakap, kau memang ada sembunyikan something daripada aku kan?” soal Azam
lagi. Masih tidak berpuas hati dengan sikap Hans yang cuba tarik tali.
Hans tidak menjawab
sebaliknya dia mengerling ke arah jam yang melingkar di pergelangan tangan.
“Aku tak ada masa
ni. Tolong cari ya?” ujar Hans kemudian menjarakkan diri daripada Azam. Dia
berlalu ke rak yang seterusnya.
“Nak mengelaklah
tu. Macamlah aku tak kenal perangai kau macam mana, Hans.” Getus Azam dengan
bibir yang sengaja dicebikkan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.