HANS duduk termenung di meja kerjanya sambil anak matanya tegak merenung
skrin komputer riba. Sudah puas dia mencari idea di carian Google namun satu
pun tidak memenuhi kriteria seperti yang diinginkan pelanggannya. Hans meraup
wajahnya. Dia menggerakkan kepala ke kiri dan kanan bagi melegakan bahu dan
tengkuknya yang terasa lenguh.
“Manalah aku nak
cari perkataan yang boleh orang terus jatuh cinta bila tengok iklan tu?” keluh
Hans kemudian bangun seketika dan melabuhkan punggung di birai katil.
Dia mencapai kamera
DSLR yang berada di atas meja sisi. Satu per satu gambar di dalam kamera itu
dibelek. Mungkin dengan cara itu dia boleh mendapat idea. Sedang asyik dia
meneliti setiap gambar pemandangan yang diambil di Dubai, tiba-tiba tangannya
terhenti apabila pada sekeping gambar yang menarik perhatiannya.
Senyuman dan
kerlingan mata gadis itu kembali menari di ruang fikirannya. Hans memejamkan
mata sejenak. Dia teringat akan sesuatu. Lantas, dia mencapai beg sandangnya.
Sebuah buku nota dikeluarkan dari beg sandangnya.
“Saya percaya pada
jodoh dan saya akan terima awak kalau kita ada jodoh.”
Kata-kata gadis itu
kembali terngiang di telinganya. Hans tersenyum sinis sambil membelek halaman
demi halaman buku nota tersebut.
“Jodoh?” Hans
tersentak sendiri. Lantas, dia mencapai telefon bimbitnya. Nombor Azam didail.
“Hello,
assalamualaikum. Bro, kau buat apa
tu?” Soal Hans sebaik saja talian disambungkan.
“Waalaikummusalam.
Aku baru nak suap nasi goreng ke mulut. Kenapa kau call aku? Hah, biar aku teka. Confirm
kalau kau call aku ni, sebab kau dah
dapat idea kan?” tebak Azam sambil meneruskan suapannya.
“Dah…” jawab Hans
sepatah. Sengaja dia biarkan Azam dilanda tanda tanya.
“Hah? Dah dapat?
Apa idea kau?” soal Azam teruja.
Hans hanya
mendiamkan diri. Dia tersenyum penuh makna.
HANS berdiri dengan tenang di hadapan bilik mesyuarat yang dihadiri oleh
wakil daripada syarikat MALTEX. Kelihatan Azam dan beberapa orang kakitangan
syarikatnya turut serta dalam mesyuarat kali ini.
Hans memandang
wajah yang berada di hadapannya satu per satu. Dia tersenyum dengan penuh
yakin. Selepas semuanya dirasakan sudah bersedia, Hans menekan butang enter di komputer riba. Terpapar besar
perkataan JODOH di skrin putih.
“Jodoh?” kedengaran
bisik-bisik suara yang mula dilanda tanya dengan satu perkataan yang
ditunjukkan oleh Hans.
Hans memandang
Azam. Dia tersenyum. Azam hanya menganggukkan kepala.
“Sebelum saya teruskan,
saya Hans Yusuf Fariq mewakili H&A Advertise berbesar hati dengan kehadiran
tuan, puan wakil daripada syarikat MALTEX. Terima kasih kerana sudi bekerjasama
dengan kami untuk mempromosikan produk daripada pihak anda. Lebih-lebih lagi
MALTEX merupakan antara syarikat telco
yang terbesar di Malaysia dan saya rasa ini adalah peluang besar buat H&A
Advertise berbanding projek sebelum ini.” Ucap Hans sebagai mukadimah
pembentangannya kali ini.
Hans tersenyum
manis saat melihat hadirin yang datang menganggukkan kepala dan membalas
senyumannya. Dia kembali memandang skrin putih.
“Pertemuan,
perjumpaan, perhubungan, percintaan, perkahwinan, persaudaraan, persahabatan
dan lain-lain konsep penyatuan ini adalah kitaran sosial kehidupan manusia.
Saya percaya dalam kalangan masyarakat Malaysia, apabila kita menyebut segala
hal, kita akan melibatkan satu perkataan. Perkataan itu ialah….”
Hans menunjukkan
tangannya ke skrin.
“Jodoh… Dan satu
perkataan inilah yang akan menjadi main
concept untuk mempromosikan produk terbaharu MALTEX.”
Wakil dari MALTEX
berpandangan sesama sendiri sebelum mereka menganggukkan kepala, meminta agar
Hans melanjutkan penerangan.
“Jodoh atau
kebetulan? Pendapat saya, kebetulan itu merupakan jodoh yang telah ditentukan
dan jodoh adalah ketentuan yang tak mungkin dapat kita elakkan. Konsep sosial
melibatkan penyatuan tadi mungkin kurang berlaku kerana jarak yang berjauhan.
Pasti kita selalu dengar orang-orang tua selalu menyebut, kalau jodoh tak ke
mana. Kalau ada jodoh kita jumpa lagi. Kalau berjodoh, sejauh apa pun
perhubungan itu tetap akan terjadi…” sambung Hans membuatkan beberapa orang
wakil daripada MALTEX kelihatan kebingungan.
Hans berjeda
seketika. Dia menarik nafas sebelum menyambung kembali.
“Pihak kami akan
mengetengahkan produk MALTEX ni untuk memudahkan konsep jodoh tadi. Jodoh di
hujung jari. Pertemuan, percintaan, perhubungan, dan persahabatan hanya di
hujung jari. Walaupun perkara ini biasa kita dengar, tapi belum ada mana-mana
syarikat telco yang menggunakan konsep jodoh ini dalam mempromosikan produk
keluaran mereka.” Terang Hans lagi dengan penuh yakin.
Kali ini wakil
daripada syarikat MALTEX menganggukkan kepala tanda faham. Mereka berbisik sama
sendiri. Tergambak riak berpuas hati di wajah mereka.
“Okey, untuk konsep
iklan seterusnya, saya serahkan kepada Encik Azam…” ucap Hans lalu
mempersilakan Azam ke hadapan.
Azam menganggukkan
kepala dan terus melangkah ke hadapan mengambil tempat Hans.
Hans duduk di
bahagian hadapan. Dia mendengar penerangan Azam dengan khusyuk. Dia menarik
nafas lega apabila segalanya berjalan dengan lancar.
“AKU tak sangka kau otak kau boleh
berfikir sejauh ni. Jodoh? Benda yang biasa kita dengar tapi tak ada sesiapa
yang terfikir nak gunakan konsep ni. Hebat betul kepala otak kau, Hans.” Puji
Azam sewaktu mereka menjamu selera tengah hari itu. Dia mengangkat kedua belah
ibu jarinya.
Hans ketawa lepas.
Dia menggeleng kecil.
“Dah dia orang nak
satu perkataan je. Ingat senang nak promosikan produk dalam satu perkataan? Billboard pula tu. Mana ada aksi-aksi
atau lakonan macam iklan kat TV.” Komen
Hans.
Azam hanya
menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Hans.
“Betul juga. Tapi
aku memang tabiklah dengan otak kau kali ni. Tapi…” Azam meleretkan kata. Dia
menyoroti wajah Hans lama.
“Tapi apa lagi?
Kita kan dah dapat projek tu. Kau nak tapi lagi tu kenapa?” Soal Hans sambil
mengacau jus oren yang sudah separuh diminum.
“Entah. Aku macam
dapat hidu sesuatu aje. Idea jodoh kau tu, kau dapat dari Dubai kan? Atau kau
dah dapat jodoh dekat sana?” soal Azam dengan rasa curiga. Dia mengecilkan mata
merenung wajah Hans yang jelas berubah riak.
Namun, Hans bijak
mengawal riak wajahnya. Dia tersenyum dan mencebikkan bibir.
“Hah… Cara kau
senyum pun dah lain macam aku tengok. Aku dah agak dah. Kau jumpa jodoh kau
dekat Dubai kan?” Soal Azam lagi. Masih belum berpuas hati apabila tiada
jawapan daripada Hans.
Hans hanya
mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia mengeluh kecil.
“Entahlah. Aku nak
tanya kau, kalau kau jumpa perempuan pelik, suka buat benda-benda mengarut,
percaya nasib, jodoh dan kebetulan, apa perasaan kau?” soal Hans tiba-tiba.
Azam terdiam
seketika. Anak matanya dihalakan ke atas. Cuba memikirkan jawapan yang
sepatutnya diberikan.
“Entah. Aku pun tak
tahu. Mungkin aku akan gelakkan dia dan suruh dia bertaubat. Setiap sesuatu tu
dah ditakdirkan, dia kena berbalik kepada Qada dan Qadar Allah.” Ucap Azam
memberi pendapat.
“Tapi kenapa
tiba-tiba kau tanya pasal ni? Kau dah terjumpa dengan perempuan macam tu ke?”
sambung Azam. Terkebil-kebil dia memandang Hans.
Hans hanya
tersenyum sinis. Dia mengangkat bahu.
“Aku nak masuk ofis
dululah. Dah habis waktu rehat.” Balas Hans tanpa menjawab soalan Azam. Dia
berlalu meninggalkan sahabatnya yang terpinga-pinga.
“Hah, inilah yang
aku tak puas hati sangat ni. Hans!” jerit Azam lalu mengejar Hans yang sudah
siap membuat pembayaran di kaunter.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.