Tetamu Rindu

Tuesday, 17 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 1 )


KELUARAN OKTOBER 2017


Cinta mampu mempertahankan sebuah persahabatan, tetapi pendustaan menghancurkan kedua-duanya.

WARDAH melambaikan tangan pada jejaka yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Senyuman dilemparkan. Jejaka itu tampak tampan dengan kemeja dan seluar slack tersarung di badan tegapnya.
“Oit, kau dah habis kelas bukannya nak call aku,” sapa Zafran tanpa memberi salam. Dia terus melabuhkan punggung di hadapan Wardah.
Waalaikummusalam..” perli Wardah selamba.
Opps, assalamualaikum,” ucap Zafran sambil menepuk mulutnya sendiri. Sejak dia berkawan dengan Wardah, dia cukup masak dengan perangai Wardah yang amat menitikberatkan soal salam.
“Hah, macam tulah. Jangan asyik nak meluru je salam tak bagi,” bebel Wardah sambil membelek nota yang  berada di tangannya.
“Aku baru je habis kelas ni. Aku ternampak kereta kau kat parking. Bukan ke kau tak ada kelas hari ni?” sambung Wardah lagi.
“Kalau ikutkan tak ada, tapi aku ada mesyuarat MPP. Kau tahulah kan lepas aku jadi presiden ni banyak kerja yang aku kena buat. Sekarang ni aku kena uruskan aktiviti untuk pelajar baru. Dahlah tahun ni, tahun akhir. Banyak betul kerja aku,” rungut Zafran. Dia turut mencapai kertas yang berada di hadapan Wardah. Kertas apalah yang minah ni baca?
“Dah itu tanggungjawab kau Zaf, kau kenalah pikul. Maklumlah tiap-tiap tahun kau je yang menang dalam pilihan raya kampus, nak atau tak nak kau kena terima,” nasihat Wardah.
Zafran mengangguk lemah.
“Betul tu. Tahun ni aku kena struggle sikitlah, mana nak fokus final exam lepas itu aktiviti untuk pelajar baru lagi. Tapi boleh tak kali ini aku nak mintak tolong kau sikit?” tanya Zafran lembut.
“Apa dia? Kalau aku mampu, aku tolonglah,” balas Wardah.
“Kau tolong jadi fasilitator. Fasilitator untuk kali ni tak cukuplah,” ucap Zafran.
Wardah terkebil-kebil memandang laman wajah Zafran yang kacak. Biar betul mamat ni nak suruh aku jadi fasilitator? Lingkup budak-budak junior aku kerjakan nanti. Bisik hati Wardah.
“Kau biar betul nak aku jadi fasi? Aku tak ada pengalaman handle budak junior ni. Kau tampal notis mana tahu ada student yang berminat nak jadi fasi kali ni,” balas Wardah menolak.
Zafran mengetap bibir. Dia memandang wajah Wardah dengan penuh mengharap.
“Lecehlah Wardah nak tampal notis bagai. Lagipun sorang je tak cukup. Bolehlah Wardah kau tolong aku. Kalau tak ada pengalaman nanti kolej hantar kau pergi kursus fasilitator. Kau jangan risau, aku pun turun padang kali ni jadi fasi. Bolehlah ya?” pinta Zafran seakan merayu.
Wardah menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak tolak kesian pula kawan aku ni. Emmm
“Kali ni Kursus Perintis Siswa buat kat mana pula?” soal Wardah kemudiannya membuahkan senyum di bibir Zafran.
“Macam biasalah kat Taman Pertanian. Kira kau setujulah ni nak tolong aku jadi fasi, Ada?” Zafran meminta kepastian.
Wardah tersenyum. Tak salah rasanya untuk dia menimba pengalaman menjadi fasilitator sebelum meninggalkan zaman kolej.
“Insya- Allah,” ucap Wardah pendek.
Zafran tersenyum riang. Dia tahu Wardah memang boleh diharap memandangkan hanya Wardah tempat dia meminta pertolongan selama ini. Persahabatan dia dan Wardah bukanlah baharu tetapi sejak kecil lagi mereka menjalinkan persahabatan memandangkan mereka sekampung dan juga berjiran. Takdir telah menempatkan mereka membesar bersama-sama hingga ke kolej pun sama. Bukan mereka yang rancang tetapi semua sudah tertulis.
Namun, lamunan Zafran terbantut apabila telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Juliana membuatkan dia mengeluh panjang. Tadi Sofea, sekarang Juliana penat betul melayan kerenah perempuan- perempuan ni. Susah betul jadi  jejaka yang terhangat di pasaran ni. Perasan!
“Kekasih hati yang ke berapa tu?” usik Wardah sambil menjuihkan bibirnya.
Zafran hanya mengangkat bahunya. Tanda tidak tahu. Di kesempatan yang ada, Wardah memandang wajah temannya dengan senyuman. Dia menggelengkan kepala. Itulah dia Ahmad Zafran Wazien, dunia lelaki itu sentiasa di kelilingi dengan wanita tetapi lelaki itu tidak pernah serius dalam menjalinkan hubungan. Lelaki itu lebih suka dilabelkan sebagai playboy daripada serius atau pun melibatkan diri daripada mana- mana gadis yang di kenalinya.
Bertahun dia mengenali Zafran, Wardah cukup kenal dengan perangai Zafran yang tidak percaya pada cinta. Bagi Zafran, cinta dan wanita hanyalah mainan semata-mata. Bukan tidak pernah Wardah menasihati Zafran tentang hakikat yang sebenarnya tetapi Zafran tetap tidak mengendahkannya malah Wardah pula yang diejek oleh Zafran. Pening kepala Wardah memikirkannya.
“Oit, apa yang kau menungkan tu? Panjang betul,” tanya Zafran selepas meletakkan telefon.
Wardah  tersentak lalu tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi. Dia menggelengkan kepalanya.
“Tak ada apa-apalah. Kau ni Zaf perempuan keliling pinggang. Tadi Zarina cari kau. Dia tanya aku, aku jawablah tak tahu. Kau ni bila nak serik kalau kau tak nak bercinta, jangan nak mainkan perasaan perempuan nanti termakan diri kau sendiri,” nasihat Wardah.
Zafran berpura- pura menutup telinga. Dia mengenyitkan mata pada Wardah.
“Aku bukan mainkan perasaan mereka tapi masalah aku, aku ni pencinta wanita,” ucap Zafran sambil tergelak kecil.
“Banyaklah kau pencinta wanita. Pencinta wanita ke pemusnah wanita?” tempelak Wardah sambil tergelak.
Mati terus senyuman Zafran. Dia melemparkan jelingan buat Wardah yang sedang galak ketawa.
“Tak baik kau cakap aku pemusnah wanita. Malaslah kawan dengan kau,” Zafran berpura- pura merajuk. Dia berpeluk tubuh.
Wardah menyambung gelaknya. Aik, sejak bila Zafran pandai merajuk? Tanpa menghiraukan rajuk Zafran, Wardah mengemas segala notanya dan berdiri sambil memandang Zafran yang masih berpura- pura merajuk. Dia tersenyum manis dan berlalu tanpa sebarang kata.
Zafran mengetap bibir. Melihat senyuman yang mekar di bibir Wardah membuatkan Zafran tersenyum sendirian. Argghh, dia kalah lagi dengan senyuman Wardah.

ZAHIRUL memandang adiknya yang kelihatan kacak dengan kemeja T dan jeans tersarung di badannya yang tegap. Nak buat macam mana kekacakan adiknya adalah waris daripadanya juga. Puji Zahirul dalam hati. Dia tersenyum nipis. Masuk bakul, angkat sendiri!
“Yang kau lawa-lawa ni nak ke mana adik ooi!” perli Zahirul sambil menjeling ke arah adiknya  yang sedang membetulkan rambutnya di hadapan cermin.
“Hello, abang! Bukan lawa tapi kacak. Jaga sikit bahasa tu, okey?” balas Zafran sambil menggoyangkan jari telunjuknya. Sementara Zahirul hanya tergelak.
“Kali ni kau nak keluar dengan siapa pulak?” tanya Zahirul sambil matanya tidak lepas memandang skrin komputer riba miliknya.
“Malam ni Juliana kut. Petang tadi dia call Zaf ajak keluar, Zaf ingatkan malas nak keluar,”
“Hah, elok sangatlah tu keluar date dengan anak dara orang malam buta ni. Semalam dengan Sofie, hari ni Juliana, esok dengan aci mana pulak? Tapi dalam ramai- ramai perempuan yang kau date, tak pernah sekali pun kau cakap pada abang yang kau keluar date dengan kawan baik kau tu. Siapa nama dia?” tanya Zafran sambil menggarukan dahinya.
“Wardah maksud abang?” soalan di balas soalan.
“Haah dia. Tapi dia tu budak pandai tau, test yang abang buat selalu skor. Attendant pun sentiasa full tak macam kau, dik. Patutnya kau belajar dari dia,” puji Zahirul.
Sebagai pensyarah yang sentiasa memantau akademik pelajar- pelajarnya, Zahirul memang cukup berkenan dengan sikap Wardah yang sentiasa  komited dalam pelajaran. Tugasan yang diberi jarang yang tersilap disebabkan itulah Wardah menjadi salah seorang pelajar kegemarannya dalam subjek Undang-Undang Perniagaan.
“Abang ni buat lawak ke apa? Wardah tu bukan type Zaf nak buat teman wanitalah. Zaf ada type Zaf sendiri. Dia tu cuma kawan baik Zaf aje. Sesama kawan baik mana boleh ada perasaan. Tu dah dikira melanggar peraturan persahabatan. Salah tu!” ujar Zafran sambil tergelak kecil. Jari telunjuknya digoyangkan bersama kepala yang menggeleng laju.
Zahirul membetulkan duduk. Pandangannya dilemparkan ke arah Zafran yang sedang berdiri berhadapan dengan cermin.
“Tapi kau dengan dia dan berkawan sejak kecil lagi kan? Tak salah pun kalau persahabatan tu tukar kepada cinta. Bertambah bahagia abang rasa. Dia kenal kau, kau kenal dia. Perfect! Lagipun Dia selalu tolong kau kalau kau kena buli masa kau kecil-kecil dulu. Takkan kau tak sayang dia kut?” giat Zahirul.
Zafran tergelak besar. Sayang? Wardah? Oh, no!
“Encik Zahirul Haq, untuk pengetahuan abang Zaf tak pernah teringin pun nak sayang menyayang bagai. Rimaslah. Mengarut pun ada. Serabai!” balas Zafran selamba.
Zahirul menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Susah bercakap dengan orang yang tiada cinta di hati ni. Bercakap dengan Zafran seolah-olah bercakap dengan cermin semuanya memantul pada dirinya balik. Tapi itulah perangai adiknya yang seorang ni. Tak percaya cinta!
“Rimas konon jangan sampai kau terperangkap dalam cinta sudah,” Zahirul mengalah.
“Zafran Wazien takkan sesekali kalah dengan cinta yang mengarut tu. Zaf ni kalis cinta tau,” Zafran mendabik dada. Dia menghampiri abangnya yang sudah duduk bersandar di sofa. Tajam renungan abangnya itu.
“Tak ada orang dalam dunia ni yang kalis cinta, dik. Cinta tu fitrah, kenapa adik nak halang perasaan itu dengan bersikap keras terhadap cinta? Abang tak faham. Takkan disebabkan mak yang tinggalkan ayah dan ayah berkahwin dengan perempuan lain, adik nak bekukan hati dengan jadi lelaki yang mempermainkan perasaan gadis-gadis yang adik kenal?” ujar Zahirul kedengaran serius.
Zafran menarik nafas panjang. Susah untuk dia terangkan kenapa dia tidak percaya pada cinta kerana itu yang dirasakan hatinya saat ini. Disebabkan cinta manusia sanggup mengkhianati, kerana cinta juga manusia sanggup curang dengan pasangan sendiri seperti yang berlaku dalam keluarganya. Ibunya yang tercinta sanggup pergi meninggalkan ayahnya semata- mata ayahnya tidak berduit dan berkahwin dengan kekasih lama.
Selepas perniagaan ayahnya kembali seperti biasa dan menjadi salah seorang orang yang kaya di kampung, muncul seorang wanita yang kini menjadi ibu tirinya. Memang cinta itu akan wujud bila adanya harta? Itu yang kerap berlegar-legar di fikiran Zafran. Oleh sebab itu  dia tidak pernah percaya pada cinta apatah lagi wanita. Cinta akan wujud jika kita berharta dan wanita akan muncul untuk menagih harta dengan menggunakan alasan cinta. Itulah prinsip yang Zafran pegang sehingga sekarang.
“Zaf tak mainkan perasaan perempuan abang, dia orang yang membiarkan perasaan mereka tersentuh. Zaf tak pernah janjikan apa-apa pada mereka. Bukan salah Zaf kalau mereka suka pada Zaf. Kalau abang percaya sangat dengan cinta dan perempuan, kenapa abang tak pernah bercinta walau sekali pun?” balas Zafran selepas lama mendiamkan diri. Dia cuba membela dirinya.
Zahirul hanya menggelengkan kepala dan melepaskan keluhan panjang. Soalan Zafran membuatkan dia terdiam dengan sendirinya. Jauh dalam hatinya, dia berdoa supaya suatu hari nanti adiknya itu akan berjumpa dengan wanita yang mampu mengubah persepsi adiknya tentang cinta.
“Abang nasihatkan kau pun bukannya kau dengar, alih-alih abang pulak yang kena. Dahlah kau pergilah jumpa buah hati kau yang ke-300 tu. Nanti lambat pulak,” ucap Zahran mengalah. Jika boleh dia tidak mahu Zafran membangkitkan isu itu di hadapannya.
Zafran tersengih. Akhirnya abangnya mengalah juga.
“Yelah-yelah, Zaf pergi sekarang,”
Zahirul hanya mampu menghantar kelibat Zafran melalui pandangan matanya saja. Dia tersenyum nipis sebaik saja teringat soalan yang diajukan oleh Zafran tadi.
“Kalau abang percaya sangat dengan cinta dan perempuan, kenapa abang tak pernah bercinta walau sekali pun?”
Soalan yang diutarakan oleh Zafran kembali terngiang di telinga. Satu keluhan dilepaskan oleh Zahirul.
“Hakikatnya, abang juga takut Zaf. Bukan takutkan cinta, tapi takut kepada wanita yang tak setia cintanya.” Desis Zahirul perlahan. Hanya dia yang mendengar.


INGKAR CINTA ( PROLOG II )



KELUARAN OKTOBER 2017
 
Dirantai kenangan, digelangi kerinduan, kepada siapa harus dirungutkan hati yang rawan?

AWALLUDIN makrifatullah. Siapa yang tahu maksud ayat ini?” Soalan yang diajukan oleh Ustaz Mustakim memenuhi ruang surau yang dihadiri lebih dari dua puluh orang jemaah lelaki.
“Awal agama ialah mengenal Allah. Betul tak ustaz itu maksudnya?” Satu suara dari arah belakang menjawab.
Mata Ustaz Mustakim dialihkan ke arah empunya suara. Dia tersenyum manis lalu menganggukkan kepala. Tiba-tiba  matanya tertangkap pada seraut wajah yang kelihatan kusut, sedang duduk bersandar di dinding surau. Wajah itu kelihatan asing di mata Ustaz Mustakim. Namun, dia hanya membiarkan. Tazkirah yang harus disampaikan ini lebih utama.
“Betul. Tapi sejauh mana kita faham maksud ayat itu?” Soal Ustaz Mustakim lagi membuatkan para jemaah mendiamkan diri.
“Sejak kecil kita diajar untuk bersolat. Menyebut nama Allah, mengingati Allah setiap masa tapi sejauh mana kita mengenal Allah? Adakah kita hanya mengenal Allah saat kita ditimpa bencana? Adakah kita hanya mengenal Allah saat kita berada di dalam kesusahan? Adakah kita mengenal Allah saat ditimpa bahaya? Tetapi apabila kita diberi kesenangan, di mana kita campak kesyukuran kita kepada Allah? Saat kita gembira, apa yang kita lakukan untuk Allah? Saat manusia mengecewakan kita, kenapa kita berlari mencari Allah sedangkan saat kita bahagia, Dia kita lupakan?” Soal Ustaz Mustakim lagi menyentak hati jemaah yang hadir.
Suasana sepi seketika. Anak mata Ustaz Mustakim terarah pada jejaka yang masih duduk bersandar di dinding surau. Jelas di mata Ustaz Mustakim, lelaki itu sedang mengesat pipinya. Menangiskah lelaki itu? Wajahnya keruh bak awan yang berarak mendung. Roman wajahnya  juga seolah-olah menyatakan yang hatinya sedang dilanda kesedihan. Tetapi apa puncanya?
“Allah adalah Tuhan kita. Bukan majikan atau pun tuan yang setara dengan kita. Andai seluruh manusia timur dan barat, penduduk langit dan bumi, jin dan para malaikat, bergabung untuk untuk menderhakai Allah, kuasa Allah s.w.t. sedikit pun tidak akan berkurang. Kenapa? Kerana Allah adalah al-Jabbar, Maha Perkasa. Al- Qayyum, Maha Berdiri Sendiri, sedangkan kita? Siapa kita tanpa Allah? Siapa kita di mata Allah? Apa yang harus dirisaukan adalah kita, adakah Allah memandang kita sebagai hamba-Nya?”
Hatinya tersentap mendengar bait kata yang dilontarkan oleh ustaz yang memberi tazkirah malam itu. Kata-kata itu meresap terus ke dalam jiwanya. Selama ini dia banyak permainkan perasaan orang sehinggalah dia diuji dengan kekecawaan. Saat dia gagal memiliki hati insan yang dia sayang, dia kembali untuk mencari cinta Tuhan. Layakkah dia untuk mendapatkan cinta Allah sedangkan selama ini, dia hanya mengingati Allah saat kesusahan? Layakkah dia untuk mengemis secebis perhatian daripada Allah sedangkan selama ini, hanya perhatian manusia yang didambakan?
Allah, hati aku terlalu hancur sehinggakan aku tidak tahu bagaimana untuk menyembuhkannya. Mungkin ini adalah kifarah untuk semua dosa-dosa ku. Dosa kerana berdusta. Dosa kerana mempermainkan cinta. Allah, masih belum terlambatkah aku untuk merasai cinta-Mu yang maha mulia?

INGKAR CINTA ( PROLOG I )




Saat dendam mengambil takhta, mampukah cinta menyelamatkannya?
JOM main sorok-sorok, nak?” Soal seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan sepuluh tahun kepada sahabatnya yang berusia sebaya dengannya.
Kanak-kanak perempuan itu mengetuk dagu sambil matanya di hala ke atas. Lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Takkan nak main sekarang? Panas ni.” Kanak-kanak perempuan itu membalas.
Budak lelaki tersebut menarik muka tidak berpuas hati. Dia mencebikkan bibir. Wajahnya mula bertukar keruh.
“Aku bosanlah. Jomlah main.” Rengeknya lagi sambil menarik lengan baju sahabatnya itu.
Kanak-kanak perempuan itu mengeluh kecil. Rengekkan daripada sahabatnya itu mengundang simpati dalam dirinya.
“Yalah, jom kita main!”
Keputusan akhirnya dibuat. Budak lelaki itu menjerit keseronokan. Mereka berdua bersiap sedia untuk memulakan permainan. Bunyi riuh suara mereka berdua sudah cukup untuk menggamatkan suasana. Kadang-kadang mereka berkejaran bagi mengelakkan diri ditangkap.  Akan tetapi, tidak sampai lima belas minit mereka bermain, tiba-tiba budak lelaki tersebut menghentikan langkah di tengah-tengah laman rumah. Kanak-kanak perempuan yang rambutnya diikat toncang turut menghentikan langkah. Dia berdiri berhadapan dengan sahabatnya itu sambil memegang lutut, bertujuan untuk melepaskan lelah.
“Kenapa kau berhenti? Tadi kata nak main sangat.” Ujarnya sambil memandang wajah budak lelaki tersebut dengan tanda tanya bermain di benaknya.
“Aku penatlah. Aku lapar. Kat rumah kau ada makanan tak?” soal budak lelaki itu dengan riak tidak bersalah.
“Makanan? Mak kau tak masak ke kat rumah?” soal kanak-kanak perempuan itu pula.
“Tak. Mak dan ayah aku keluar dari rumah. Tinggal abang aku je kat rumah tu. Abang aku bukannya reti masak. Semalam pun aku tak makan,” adunya lagi. Ada genangan air mata yang cuba disembunyikan.
Kanak-kanak perempuan tersebut terdiam. Lama dia merenung wajah sahabatnya itu.
“Kenapa mak kau tak masak?” soalnya lagi. Inginkan jawapan.
“Entah. Mak aku tak sayang aku kut.” Balasnya bersahaja.
“His, mana ada mak tak sayang anak.”
“Ada. Mak aku.”
“Merepeklah kau ni. Jomlah, masuk rumah aku. Aku rasa mak aku ada masak lebih kerabu mangga tadi. Bolehlah kau makan.” Ajak kanak-kanak perempuan itu dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Wajah budak lelaki itu bertukar ceria. Dia melonjak kegembiraan.
Yeayyy! Aku suka kerabu mangga. Dah lama aku tak makan. Kau teman aku makan, ya?” pintanya lembut.
“Yalah. Jom masuk dulu.” Ucap kanak-kanak perempuan tersebut lalu melangkah untuk menaiki anak tangga sambil diikuti oleh budak lelaki tersebut.
Baharu saja kakinya ingin melangkah ke anak tangga yang ketiga, tiba-tiba terdengar riuh suara memanggil dirinya. Langkah budak lelaki tersebut terbejat. Dia berpaling.
“Adik! Ikut abang balik sekarang!” suara si abang kedengaran cemas. Matanya turut berair. Riak wajahnya benar-benar menunjukkan yang dia sedang diamuk dengan perasaan gelisah.
“Adik nak makan dulu. Adik lapar. Kejap lagi adik balik.” Balasnya tanpa memikirkan apa-apa yang berlaku.
Si abang mengetap bibir. Tangan si adik ditarik kuat.
“Sekarang tak ada masa nak makan. Ibu lebih penting!” tekan si abang lalu menarik tangan si adik. Tubuh kurus milik si adik terdorong bersama langkahnya yang laju menuju ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah kanak-kanak perempuan tersebut.
“Ibu? Kenapa dengan ibu?” soal budak lelaki itu dengan rasa pelik menyelubungi fikirannya.
Kini, langkah mereka dua beradik semakin mendekat. Jelas kedengaran bunyi pertengkaran yang kuat dari dalam rumah bersama dengan bunyi hempasan pintu. Jantung budak lelaki tersebut berlari pantas. Dia sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku. Dia memandang wajah si abang dengan rasa libang-libu.
“Ibu bergaduh dengan ayah lagi ke, bang?” soalnya polos.
Si abang hanya mendiamkan diri. Sebaik saja sampai di muka pintu, anak mata budak lelaki tersebut terbuntang. Kelihatan ibunya sedang mengemas semua pakaian lalu disumbatkan ke dalam beg. Ayahnya hanya berdiri memerhatikan perbuatan ibunya.
“Awak dah fikir masak-masak ke nak berpisah? Awak tak kesiankan anak-anak?” suara si ayah kedengaran tegang.
Si ibu menoleh ke arah ayahnya. Senyuman sinis bergayut di bibir.
“Kesian? Awak tu yang tak kesian kat saya. Hari-hari saya terpaksa makan benda sama. Baju saya ni dah bertahun tak berganti. Saya bosan awak tahu tak! Cuba awak tengok rumah awak ni, apa yang ada? Semua barang-barang awak jual sebab nak bayar hutang awak yang berlonggok tu. Macam ni awak nak suruh saya hidup dengan awak. Saya kahwin dengan awak sebab saya nak lari dari kesusahan hidup saya, bukannya nak tambah susah. Budak-budak tu anak awak, awak jelah yang jaga. Kalau dia orang ada pun, cuma nak menyusahkan hidup saya je!” ucap si ibu tanpa perasaan belas.
Zappp!
Kata-kata itu menikam terus ke lubuk hatinya yang paling dalam. Hatinya terluka. Pedih. Perit. Terasa lututnya menggigil mendengar kata-kata yang terbit daripada mulut si ibu yang sepatutnya menyayanginya dan menjaganya.
“Ibu!” panggil dia akhirnya. Dia berlari mendapatkan ibunya yang sedang mengemas baju. Lengan si ibu dipeluk erat.
“Ibu nak ke mana ni? Ibu jangan tinggalkan adik! Adik dengan abang masih perlukan ibu!” rayunya dengan air mata yang mengalir deras.
Si ibu mengetap bibir. Kepala anak bongsunya ditunjal sehingga si anak jatuh terduduk di atas lantai.
“Aku dengan bapak kau dah tak ada kena mengena! Aku nak cari kehidupan aku sendiri. Kau tinggallah dengan bapak kau tu! Kau tu cuma menyusahkan aku nak hidup senang!” balas si ibu cukup garang.
Tanpa berlengah, dia mencapai beg pakaiannya lalu berlari menuju ke luar rumah. Si adik dan si abang terus berlari cuba mendapatkan ibunya yang tergesa-gesa menuju ke arah kereta Mercedes yang terparkir tidak jauh dari halaman rumah mereka.
“Ibu, jangan tinggalkan adik! Adik janji adik takkan nakal lagi! Adik janji adik akan ikut cakap ibu! Adik takkan curi-curi makan lauk ibu. Ibu jangan tinggalkan adik!” rintih budak lelaki itu lalu berlari sekuat hati untuk mendapatkan ibunya.
Kaki si ibu dipeluk kuat. Tangisannya kedengaran kuat. Air mata seakan laju merembes membasahi pipinya yang cengkung. Dia menggelengkan kepala tanda tidak membenarkan ibunya berlalu pergi.
Si ibu merengus. Kakinya direntap kuat. Rambut milik anaknya dicengkam lalu wajahnya didekatkan ke wajah anaknya.
“Aku tak ada anak! Kau orang bukan anak aku!” keras suara itu kedengaran bersama tolakan yang kuat menyebabkan budak lelaki tersebut jatuh tersungkur di atas tanah yang berbatu. Siku dan lututnya mula berdarah. Terluka.
“Adik!” jerit si abang lalu berlari mendapatkan adiknya yang jatuh tertiarap.
Si ibu terus meloloskan diri ke dalam kereta tanpa sedikit pun ada perasaan belas terhadap anaknya. Tanpa menoleh ke belakang, tanpa rasa bersalah, dia terus berlalu pergi.
Tinggallah dua beradik yang menangis sambil berpelukan. Si abang cuba menenangkan adiknya yang meracau. Tangannya tergapai-gapai cuba memanggil si ibunya yang telah hilang dari pandangan.
“Adik nak ibu! Abang, panggillah ibu balik.” Rayu si adik dengan air mata yang sudah lencun membasahi pipi.
“Nanti ibu baliklah tu. Adik jangan sedih. Abang kan ada. Abang akan jaga adik,” pujuk si abang. Air mata yang ditahan, akhirnya tumpah juga. Tubuh adiknya dipeluk dengan erat.
Si adik terdiam bersama air mata yang menitis.
“Aku tak ada anak! Kau orang bukan anak aku!” suara itu kedengaran jelas di telinganya. Takkan dia lupakan suara itu sampai bila-bila. Itu janjinya bersama hati yang hancur berkeping-keping.
Pelukan si abang dibalas dengan erat. Bola matanya dihalakan ke rumah yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Dia mencari seseorang. Namun, kelibatnya tidak kelihatan. Dia menarik nafas lega. Lega kerana tiada sesiapa tahu keretakkan yang berlaku dalam keluarganya.
Tanpa mereka berdua sedari, ada sepasang mata kecil yang memerhati di sebalik tiang rumah mereka berdua. Dia menekup mulut menahan tangisan daripada kedengaran kuat. Hatinya cukup tersentuh sebaik saja melihat air mata budak lelaki itu tumpah. Aku takkan biarkan kau keseorangan, itu janji aku!