KELUARAN OKTOBER 2017 |
Cinta mampu mempertahankan sebuah persahabatan,
tetapi pendustaan menghancurkan kedua-duanya.
WARDAH
melambaikan tangan pada jejaka yang
sedang berjalan menuju ke arahnya. Senyuman dilemparkan. Jejaka itu tampak
tampan dengan kemeja dan seluar slack tersarung di badan tegapnya.
“Oit, kau dah habis kelas bukannya nak call aku,” sapa Zafran tanpa memberi
salam. Dia terus melabuhkan punggung di hadapan Wardah.
“Waalaikummusalam..”
perli Wardah selamba.
“Opps,
assalamualaikum,” ucap Zafran sambil menepuk mulutnya sendiri. Sejak dia
berkawan dengan Wardah, dia cukup masak dengan perangai Wardah yang amat
menitikberatkan soal salam.
“Hah, macam tulah. Jangan asyik nak
meluru je salam tak bagi,” bebel Wardah sambil membelek nota yang berada di tangannya.
“Aku baru je habis kelas ni. Aku
ternampak kereta kau kat parking.
Bukan ke kau tak ada kelas hari ni?” sambung Wardah lagi.
“Kalau ikutkan tak ada, tapi aku ada
mesyuarat MPP. Kau tahulah kan lepas aku jadi presiden ni banyak kerja yang aku
kena buat. Sekarang ni aku kena uruskan aktiviti untuk pelajar baru. Dahlah
tahun ni, tahun akhir. Banyak betul kerja aku,” rungut Zafran. Dia turut
mencapai kertas yang berada di hadapan Wardah. Kertas apalah yang minah ni
baca?
“Dah itu tanggungjawab kau Zaf, kau
kenalah pikul. Maklumlah tiap-tiap tahun kau je yang menang dalam pilihan raya
kampus, nak atau tak nak kau kena terima,” nasihat Wardah.
Zafran mengangguk lemah.
“Betul tu. Tahun ni aku kena struggle sikitlah, mana nak fokus final exam lepas itu aktiviti untuk
pelajar baru lagi. Tapi boleh tak kali ini aku nak mintak tolong kau sikit?”
tanya Zafran lembut.
“Apa dia? Kalau aku mampu, aku
tolonglah,” balas Wardah.
“Kau tolong jadi fasilitator.
Fasilitator untuk kali ni tak cukuplah,” ucap Zafran.
Wardah terkebil-kebil memandang laman
wajah Zafran yang kacak. Biar betul mamat ni nak suruh aku jadi fasilitator? Lingkup
budak-budak junior aku kerjakan nanti. Bisik hati Wardah.
“Kau biar betul nak aku jadi fasi? Aku
tak ada pengalaman handle budak
junior ni. Kau tampal notis mana tahu ada student
yang berminat nak jadi fasi kali ni,” balas Wardah menolak.
Zafran mengetap bibir. Dia memandang
wajah Wardah dengan penuh mengharap.
“Lecehlah Wardah nak tampal notis bagai.
Lagipun sorang je tak cukup. Bolehlah Wardah kau tolong aku. Kalau tak ada
pengalaman nanti kolej hantar kau pergi kursus fasilitator. Kau jangan risau,
aku pun turun padang kali ni jadi fasi. Bolehlah ya?” pinta Zafran seakan
merayu.
Wardah menggarukan kepalanya yang tidak
gatal. Nak tolak kesian pula kawan aku ni. Emmm…
“Kali ni Kursus Perintis Siswa buat kat
mana pula?” soal Wardah kemudiannya membuahkan senyum di bibir Zafran.
“Macam biasalah kat Taman Pertanian.
Kira kau setujulah ni nak tolong aku jadi fasi, Ada?” Zafran meminta kepastian.
Wardah tersenyum. Tak salah rasanya
untuk dia menimba pengalaman menjadi fasilitator sebelum meninggalkan zaman
kolej.
“Insya- Allah,” ucap Wardah pendek.
Zafran tersenyum riang. Dia tahu Wardah
memang boleh diharap memandangkan hanya Wardah tempat dia meminta pertolongan
selama ini. Persahabatan dia dan Wardah bukanlah baharu tetapi sejak kecil lagi
mereka menjalinkan persahabatan memandangkan mereka sekampung dan juga
berjiran. Takdir telah menempatkan mereka membesar bersama-sama hingga ke kolej
pun sama. Bukan mereka yang rancang tetapi semua sudah tertulis.
Namun, lamunan Zafran terbantut apabila
telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Juliana membuatkan dia mengeluh
panjang. Tadi Sofea, sekarang Juliana penat betul melayan kerenah perempuan-
perempuan ni. Susah betul jadi jejaka
yang terhangat di pasaran ni. Perasan!
“Kekasih hati yang ke berapa tu?” usik
Wardah sambil menjuihkan bibirnya.
Zafran hanya mengangkat bahunya. Tanda
tidak tahu. Di kesempatan yang ada, Wardah memandang wajah temannya dengan
senyuman. Dia menggelengkan kepala. Itulah dia Ahmad Zafran Wazien, dunia
lelaki itu sentiasa di kelilingi dengan wanita tetapi lelaki itu tidak pernah
serius dalam menjalinkan hubungan. Lelaki itu lebih suka dilabelkan sebagai playboy daripada serius atau pun
melibatkan diri daripada mana- mana gadis yang di kenalinya.
Bertahun dia mengenali Zafran, Wardah
cukup kenal dengan perangai Zafran yang tidak percaya pada cinta. Bagi Zafran,
cinta dan wanita hanyalah mainan semata-mata. Bukan tidak pernah Wardah
menasihati Zafran tentang hakikat yang sebenarnya tetapi Zafran tetap tidak
mengendahkannya malah Wardah pula yang diejek oleh Zafran. Pening kepala Wardah
memikirkannya.
“Oit, apa yang kau menungkan tu? Panjang
betul,” tanya Zafran selepas meletakkan telefon.
Wardah
tersentak lalu tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi.
Dia menggelengkan kepalanya.
“Tak ada apa-apalah. Kau ni Zaf perempuan
keliling pinggang. Tadi Zarina cari kau. Dia tanya aku, aku jawablah tak tahu.
Kau ni bila nak serik kalau kau tak nak bercinta, jangan nak mainkan perasaan
perempuan nanti termakan diri kau sendiri,” nasihat Wardah.
Zafran berpura- pura menutup telinga.
Dia mengenyitkan mata pada Wardah.
“Aku bukan mainkan perasaan mereka tapi
masalah aku, aku ni pencinta wanita,” ucap Zafran sambil tergelak kecil.
“Banyaklah kau pencinta wanita. Pencinta
wanita ke pemusnah wanita?” tempelak Wardah sambil tergelak.
Mati terus senyuman Zafran. Dia
melemparkan jelingan buat Wardah yang sedang galak ketawa.
“Tak baik kau cakap aku pemusnah wanita.
Malaslah kawan dengan kau,” Zafran berpura- pura merajuk. Dia berpeluk tubuh.
Wardah menyambung gelaknya. Aik, sejak
bila Zafran pandai merajuk? Tanpa menghiraukan rajuk Zafran, Wardah mengemas
segala notanya dan berdiri sambil memandang Zafran yang masih berpura- pura
merajuk. Dia tersenyum manis dan berlalu tanpa sebarang kata.
Zafran mengetap bibir. Melihat senyuman
yang mekar di bibir Wardah membuatkan Zafran tersenyum sendirian. Argghh, dia kalah lagi dengan senyuman
Wardah.
ZAHIRUL
memandang adiknya yang kelihatan kacak dengan kemeja T dan jeans tersarung di badannya yang tegap. Nak buat macam mana
kekacakan adiknya adalah waris daripadanya juga. Puji Zahirul dalam hati. Dia
tersenyum nipis. Masuk bakul, angkat sendiri!
“Yang kau lawa-lawa ni nak ke mana adik
ooi!” perli Zahirul sambil menjeling ke arah adiknya yang sedang membetulkan rambutnya di hadapan
cermin.
“Hello, abang! Bukan lawa tapi kacak.
Jaga sikit bahasa tu, okey?” balas Zafran sambil menggoyangkan jari
telunjuknya. Sementara Zahirul hanya tergelak.
“Kali ni kau nak keluar dengan siapa
pulak?” tanya Zahirul sambil matanya tidak lepas memandang skrin komputer riba
miliknya.
“Malam ni Juliana kut. Petang tadi dia call Zaf ajak keluar, Zaf ingatkan malas
nak keluar,”
“Hah, elok sangatlah tu keluar date dengan anak dara orang malam buta
ni. Semalam dengan Sofie, hari ni Juliana, esok dengan aci mana pulak? Tapi
dalam ramai- ramai perempuan yang kau date,
tak pernah sekali pun kau cakap pada abang yang kau keluar date dengan kawan baik kau tu. Siapa nama dia?” tanya Zafran sambil
menggarukan dahinya.
“Wardah maksud abang?” soalan di balas
soalan.
“Haah dia. Tapi dia tu budak pandai tau,
test yang abang buat selalu skor. Attendant pun sentiasa full tak macam kau, dik. Patutnya kau
belajar dari dia,” puji Zahirul.
Sebagai pensyarah yang sentiasa memantau
akademik pelajar- pelajarnya, Zahirul memang cukup berkenan dengan sikap Wardah
yang sentiasa komited dalam pelajaran.
Tugasan yang diberi jarang yang tersilap disebabkan itulah Wardah menjadi salah
seorang pelajar kegemarannya dalam subjek Undang-Undang Perniagaan.
“Abang ni buat lawak ke apa? Wardah tu
bukan type Zaf nak buat teman
wanitalah. Zaf ada type Zaf sendiri.
Dia tu cuma kawan baik Zaf aje. Sesama kawan baik mana boleh ada perasaan. Tu
dah dikira melanggar peraturan persahabatan. Salah tu!” ujar Zafran sambil
tergelak kecil. Jari telunjuknya digoyangkan bersama kepala yang menggeleng
laju.
Zahirul membetulkan duduk. Pandangannya
dilemparkan ke arah Zafran yang sedang berdiri berhadapan dengan cermin.
“Tapi kau dengan dia dan berkawan sejak
kecil lagi kan? Tak salah pun kalau persahabatan tu tukar kepada cinta.
Bertambah bahagia abang rasa. Dia kenal kau, kau kenal dia. Perfect! Lagipun Dia selalu tolong kau
kalau kau kena buli masa kau kecil-kecil dulu. Takkan kau tak sayang dia kut?”
giat Zahirul.
Zafran tergelak besar. Sayang? Wardah?
Oh, no!
“Encik Zahirul Haq, untuk pengetahuan
abang Zaf tak pernah teringin pun nak sayang menyayang bagai. Rimaslah.
Mengarut pun ada. Serabai!” balas Zafran selamba.
Zahirul menggarukan kepalanya yang tidak
gatal. Susah bercakap dengan orang yang tiada cinta di hati ni. Bercakap dengan
Zafran seolah-olah bercakap dengan cermin semuanya memantul pada dirinya balik.
Tapi itulah perangai adiknya yang seorang ni. Tak percaya cinta!
“Rimas konon jangan sampai kau
terperangkap dalam cinta sudah,” Zahirul mengalah.
“Zafran Wazien takkan sesekali kalah
dengan cinta yang mengarut tu. Zaf ni kalis cinta tau,” Zafran mendabik dada.
Dia menghampiri abangnya yang sudah duduk bersandar di sofa. Tajam renungan
abangnya itu.
“Tak ada orang dalam dunia ni yang kalis
cinta, dik. Cinta tu fitrah, kenapa adik nak halang perasaan itu dengan
bersikap keras terhadap cinta? Abang tak faham. Takkan disebabkan mak yang
tinggalkan ayah dan ayah berkahwin dengan perempuan lain, adik nak bekukan hati
dengan jadi lelaki yang mempermainkan perasaan gadis-gadis yang adik kenal?”
ujar Zahirul kedengaran serius.
Zafran menarik nafas panjang. Susah
untuk dia terangkan kenapa dia tidak percaya pada cinta kerana itu yang
dirasakan hatinya saat ini. Disebabkan cinta manusia sanggup mengkhianati,
kerana cinta juga manusia sanggup curang dengan pasangan sendiri seperti yang
berlaku dalam keluarganya. Ibunya yang tercinta sanggup pergi meninggalkan
ayahnya semata- mata ayahnya tidak berduit dan berkahwin dengan kekasih lama.
Selepas perniagaan ayahnya kembali
seperti biasa dan menjadi salah seorang orang yang kaya di kampung, muncul
seorang wanita yang kini menjadi ibu tirinya. Memang cinta itu akan wujud bila adanya
harta? Itu yang kerap berlegar-legar di fikiran Zafran. Oleh sebab itu dia tidak pernah percaya pada cinta apatah
lagi wanita. Cinta akan wujud jika kita berharta dan wanita akan muncul untuk
menagih harta dengan menggunakan alasan cinta. Itulah prinsip yang Zafran
pegang sehingga sekarang.
“Zaf tak mainkan perasaan perempuan
abang, dia orang yang membiarkan perasaan mereka tersentuh. Zaf tak pernah
janjikan apa-apa pada mereka. Bukan salah Zaf kalau mereka suka pada Zaf. Kalau
abang percaya sangat dengan cinta dan perempuan, kenapa abang tak pernah
bercinta walau sekali pun?” balas Zafran selepas lama mendiamkan diri. Dia cuba
membela dirinya.
Zahirul hanya menggelengkan kepala dan
melepaskan keluhan panjang. Soalan Zafran membuatkan dia terdiam dengan
sendirinya. Jauh dalam hatinya, dia berdoa supaya suatu hari nanti adiknya itu
akan berjumpa dengan wanita yang mampu mengubah persepsi adiknya tentang cinta.
“Abang nasihatkan kau pun bukannya kau
dengar, alih-alih abang pulak yang kena. Dahlah kau pergilah jumpa buah hati
kau yang ke-300 tu. Nanti lambat pulak,” ucap Zahran mengalah. Jika boleh dia
tidak mahu Zafran membangkitkan isu itu di hadapannya.
Zafran tersengih. Akhirnya abangnya
mengalah juga.
“Yelah-yelah, Zaf pergi sekarang,”
Zahirul hanya mampu menghantar kelibat
Zafran melalui pandangan matanya saja. Dia tersenyum nipis sebaik saja teringat
soalan yang diajukan oleh Zafran tadi.
“Kalau abang percaya sangat dengan cinta
dan perempuan, kenapa abang tak pernah bercinta walau sekali pun?”
Soalan yang diutarakan oleh Zafran
kembali terngiang di telinga. Satu keluhan dilepaskan oleh Zahirul.
“Hakikatnya, abang juga takut Zaf. Bukan
takutkan cinta, tapi takut kepada wanita yang tak setia cintanya.” Desis
Zahirul perlahan. Hanya dia yang mendengar.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.