Saat
dendam mengambil takhta, mampukah cinta menyelamatkannya?
“JOM
main sorok-sorok, nak?” Soal seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan
sepuluh tahun kepada sahabatnya yang berusia sebaya dengannya.
Kanak-kanak perempuan itu mengetuk dagu
sambil matanya di hala ke atas. Lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Takkan nak main sekarang? Panas ni.”
Kanak-kanak perempuan itu membalas.
Budak lelaki tersebut menarik muka tidak
berpuas hati. Dia mencebikkan bibir. Wajahnya mula bertukar keruh.
“Aku bosanlah. Jomlah main.” Rengeknya
lagi sambil menarik lengan baju sahabatnya itu.
Kanak-kanak perempuan itu mengeluh
kecil. Rengekkan daripada sahabatnya itu mengundang simpati dalam dirinya.
“Yalah, jom kita main!”
Keputusan akhirnya dibuat. Budak lelaki
itu menjerit keseronokan. Mereka berdua bersiap sedia untuk memulakan
permainan. Bunyi riuh suara mereka berdua sudah cukup untuk menggamatkan
suasana. Kadang-kadang mereka berkejaran bagi mengelakkan diri ditangkap. Akan tetapi, tidak sampai lima belas minit
mereka bermain, tiba-tiba budak lelaki tersebut menghentikan langkah di
tengah-tengah laman rumah. Kanak-kanak perempuan yang rambutnya diikat toncang
turut menghentikan langkah. Dia berdiri berhadapan dengan sahabatnya itu sambil
memegang lutut, bertujuan untuk melepaskan lelah.
“Kenapa kau berhenti? Tadi kata nak main
sangat.” Ujarnya sambil memandang wajah budak lelaki tersebut dengan tanda
tanya bermain di benaknya.
“Aku penatlah. Aku lapar. Kat rumah kau
ada makanan tak?” soal budak lelaki itu dengan riak tidak bersalah.
“Makanan? Mak kau tak masak ke kat
rumah?” soal kanak-kanak perempuan itu pula.
“Tak. Mak dan ayah aku keluar dari
rumah. Tinggal abang aku je kat rumah tu. Abang aku bukannya reti masak.
Semalam pun aku tak makan,” adunya lagi. Ada genangan air mata yang cuba
disembunyikan.
Kanak-kanak perempuan tersebut terdiam.
Lama dia merenung wajah sahabatnya itu.
“Kenapa mak kau tak masak?” soalnya
lagi. Inginkan jawapan.
“Entah. Mak aku tak sayang aku kut.”
Balasnya bersahaja.
“His, mana ada mak tak sayang anak.”
“Ada. Mak aku.”
“Merepeklah kau ni. Jomlah, masuk rumah
aku. Aku rasa mak aku ada masak lebih kerabu mangga tadi. Bolehlah kau makan.”
Ajak kanak-kanak perempuan itu dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Wajah budak lelaki itu bertukar ceria.
Dia melonjak kegembiraan.
“Yeayyy!
Aku suka kerabu mangga. Dah lama aku tak makan. Kau teman aku makan, ya?”
pintanya lembut.
“Yalah. Jom masuk dulu.” Ucap
kanak-kanak perempuan tersebut lalu melangkah untuk menaiki anak tangga sambil
diikuti oleh budak lelaki tersebut.
Baharu saja kakinya ingin melangkah ke
anak tangga yang ketiga, tiba-tiba terdengar riuh suara memanggil dirinya.
Langkah budak lelaki tersebut terbejat. Dia berpaling.
“Adik! Ikut abang balik sekarang!” suara
si abang kedengaran cemas. Matanya turut berair. Riak wajahnya benar-benar
menunjukkan yang dia sedang diamuk dengan perasaan gelisah.
“Adik nak makan dulu. Adik lapar. Kejap
lagi adik balik.” Balasnya tanpa memikirkan apa-apa yang berlaku.
Si abang mengetap bibir. Tangan si adik
ditarik kuat.
“Sekarang tak ada masa nak makan. Ibu
lebih penting!” tekan si abang lalu menarik tangan si adik. Tubuh kurus milik
si adik terdorong bersama langkahnya yang laju menuju ke rumahnya yang terletak
bersebelahan dengan rumah kanak-kanak perempuan tersebut.
“Ibu? Kenapa dengan ibu?” soal budak
lelaki itu dengan rasa pelik menyelubungi fikirannya.
Kini, langkah mereka dua beradik semakin
mendekat. Jelas kedengaran bunyi pertengkaran yang kuat dari dalam rumah
bersama dengan bunyi hempasan pintu. Jantung budak lelaki tersebut berlari
pantas. Dia sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku. Dia memandang wajah si
abang dengan rasa libang-libu.
“Ibu bergaduh dengan ayah lagi ke,
bang?” soalnya polos.
Si abang hanya mendiamkan diri. Sebaik
saja sampai di muka pintu, anak mata budak lelaki tersebut terbuntang.
Kelihatan ibunya sedang mengemas semua pakaian lalu disumbatkan ke dalam beg.
Ayahnya hanya berdiri memerhatikan perbuatan ibunya.
“Awak dah fikir masak-masak ke nak
berpisah? Awak tak kesiankan anak-anak?” suara si ayah kedengaran tegang.
Si ibu menoleh ke arah ayahnya. Senyuman
sinis bergayut di bibir.
“Kesian? Awak tu yang tak kesian kat
saya. Hari-hari saya terpaksa makan benda sama. Baju saya ni dah bertahun tak
berganti. Saya bosan awak tahu tak! Cuba awak tengok rumah awak ni, apa yang
ada? Semua barang-barang awak jual sebab nak bayar hutang awak yang berlonggok
tu. Macam ni awak nak suruh saya hidup dengan awak. Saya kahwin dengan awak
sebab saya nak lari dari kesusahan hidup saya, bukannya nak tambah susah.
Budak-budak tu anak awak, awak jelah yang jaga. Kalau dia orang ada pun, cuma
nak menyusahkan hidup saya je!” ucap si ibu tanpa perasaan belas.
Zappp!
Kata-kata itu menikam terus ke lubuk
hatinya yang paling dalam. Hatinya terluka. Pedih. Perit. Terasa lututnya
menggigil mendengar kata-kata yang terbit daripada mulut si ibu yang sepatutnya
menyayanginya dan menjaganya.
“Ibu!” panggil dia akhirnya. Dia berlari
mendapatkan ibunya yang sedang mengemas baju. Lengan si ibu dipeluk erat.
“Ibu nak ke mana ni? Ibu jangan
tinggalkan adik! Adik dengan abang masih perlukan ibu!” rayunya dengan air mata
yang mengalir deras.
Si ibu mengetap bibir. Kepala anak
bongsunya ditunjal sehingga si anak jatuh terduduk di atas lantai.
“Aku dengan bapak kau dah tak ada kena
mengena! Aku nak cari kehidupan aku sendiri. Kau tinggallah dengan bapak kau
tu! Kau tu cuma menyusahkan aku nak hidup senang!” balas si ibu cukup garang.
Tanpa berlengah, dia mencapai beg
pakaiannya lalu berlari menuju ke luar rumah. Si adik dan si abang terus
berlari cuba mendapatkan ibunya yang tergesa-gesa menuju ke arah kereta
Mercedes yang terparkir tidak jauh dari halaman rumah mereka.
“Ibu, jangan tinggalkan adik! Adik janji
adik takkan nakal lagi! Adik janji adik akan ikut cakap ibu! Adik takkan
curi-curi makan lauk ibu. Ibu jangan tinggalkan adik!” rintih budak lelaki itu
lalu berlari sekuat hati untuk mendapatkan ibunya.
Kaki si ibu dipeluk kuat. Tangisannya
kedengaran kuat. Air mata seakan laju merembes membasahi pipinya yang cengkung.
Dia menggelengkan kepala tanda tidak membenarkan ibunya berlalu pergi.
Si ibu merengus. Kakinya direntap kuat.
Rambut milik anaknya dicengkam lalu wajahnya didekatkan ke wajah anaknya.
“Aku tak ada anak! Kau orang bukan anak
aku!” keras suara itu kedengaran bersama tolakan yang kuat menyebabkan budak
lelaki tersebut jatuh tersungkur di atas tanah yang berbatu. Siku dan lututnya
mula berdarah. Terluka.
“Adik!” jerit si abang lalu berlari
mendapatkan adiknya yang jatuh tertiarap.
Si ibu terus meloloskan diri ke dalam
kereta tanpa sedikit pun ada perasaan belas terhadap anaknya. Tanpa menoleh ke
belakang, tanpa rasa bersalah, dia terus berlalu pergi.
Tinggallah dua beradik yang menangis
sambil berpelukan. Si abang cuba menenangkan adiknya yang meracau. Tangannya
tergapai-gapai cuba memanggil si ibunya yang telah hilang dari pandangan.
“Adik nak ibu! Abang, panggillah ibu
balik.” Rayu si adik dengan air mata yang sudah lencun membasahi pipi.
“Nanti ibu baliklah tu. Adik jangan
sedih. Abang kan ada. Abang akan jaga adik,” pujuk si abang. Air mata yang
ditahan, akhirnya tumpah juga. Tubuh adiknya dipeluk dengan erat.
Si adik terdiam bersama air mata yang
menitis.
“Aku tak ada anak! Kau orang bukan anak
aku!” suara itu kedengaran jelas di telinganya. Takkan dia lupakan suara itu
sampai bila-bila. Itu janjinya bersama hati yang hancur berkeping-keping.
Pelukan si abang dibalas dengan erat.
Bola matanya dihalakan ke rumah yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Dia
mencari seseorang. Namun, kelibatnya tidak kelihatan. Dia menarik nafas lega.
Lega kerana tiada sesiapa tahu keretakkan yang berlaku dalam keluarganya.
Tanpa mereka berdua sedari, ada sepasang
mata kecil yang memerhati di sebalik tiang rumah mereka berdua. Dia menekup
mulut menahan tangisan daripada kedengaran kuat. Hatinya cukup tersentuh sebaik
saja melihat air mata budak lelaki itu tumpah. Aku takkan biarkan kau
keseorangan, itu janji aku!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.