KELUARAN OKTOBER 2017
Dirantai kenangan, digelangi kerinduan, kepada siapa harus dirungutkan
hati yang rawan?
“AWALLUDIN makrifatullah. Siapa yang tahu maksud ayat ini?” Soalan yang
diajukan oleh Ustaz Mustakim memenuhi ruang surau yang dihadiri lebih dari dua
puluh orang jemaah lelaki.
“Awal agama ialah mengenal Allah. Betul tak
ustaz itu maksudnya?” Satu suara dari arah belakang menjawab.
Mata Ustaz Mustakim dialihkan ke arah empunya
suara. Dia tersenyum manis lalu menganggukkan kepala. Tiba-tiba matanya tertangkap pada seraut wajah yang
kelihatan kusut, sedang duduk bersandar di dinding surau. Wajah itu kelihatan
asing di mata Ustaz Mustakim. Namun, dia hanya membiarkan. Tazkirah yang harus
disampaikan ini lebih utama.
“Betul. Tapi sejauh mana kita faham maksud ayat
itu?” Soal Ustaz Mustakim lagi membuatkan para jemaah mendiamkan diri.
“Sejak kecil kita diajar untuk bersolat.
Menyebut nama Allah, mengingati Allah setiap masa tapi sejauh mana kita
mengenal Allah? Adakah kita hanya mengenal Allah saat kita ditimpa bencana?
Adakah kita hanya mengenal Allah saat kita berada di dalam kesusahan? Adakah
kita mengenal Allah saat ditimpa bahaya? Tetapi apabila kita diberi kesenangan,
di mana kita campak kesyukuran kita kepada Allah? Saat kita gembira, apa yang
kita lakukan untuk Allah? Saat manusia mengecewakan kita, kenapa kita berlari
mencari Allah sedangkan saat kita bahagia, Dia kita lupakan?” Soal Ustaz
Mustakim lagi menyentak hati jemaah yang hadir.
Suasana sepi seketika. Anak mata Ustaz Mustakim
terarah pada jejaka yang masih duduk bersandar di dinding surau. Jelas di mata
Ustaz Mustakim, lelaki itu sedang mengesat pipinya. Menangiskah lelaki itu?
Wajahnya keruh bak awan yang berarak mendung. Roman wajahnya juga seolah-olah menyatakan yang hatinya
sedang dilanda kesedihan. Tetapi apa puncanya?
“Allah adalah Tuhan kita. Bukan majikan atau pun
tuan yang setara dengan kita. Andai seluruh manusia timur dan barat, penduduk
langit dan bumi, jin dan para malaikat, bergabung untuk untuk menderhakai
Allah, kuasa Allah s.w.t. sedikit pun tidak akan berkurang. Kenapa? Kerana
Allah adalah al-Jabbar, Maha Perkasa.
Al- Qayyum, Maha Berdiri Sendiri,
sedangkan kita? Siapa kita tanpa Allah? Siapa kita di mata Allah? Apa yang
harus dirisaukan adalah kita, adakah Allah memandang kita sebagai hamba-Nya?”
Hatinya tersentap mendengar bait kata yang
dilontarkan oleh ustaz yang memberi tazkirah malam itu. Kata-kata itu meresap
terus ke dalam jiwanya. Selama ini dia banyak permainkan perasaan orang
sehinggalah dia diuji dengan kekecawaan. Saat dia gagal memiliki hati insan
yang dia sayang, dia kembali untuk mencari cinta Tuhan. Layakkah dia untuk
mendapatkan cinta Allah sedangkan selama ini, dia hanya mengingati Allah saat
kesusahan? Layakkah dia untuk mengemis secebis perhatian daripada Allah
sedangkan selama ini, hanya perhatian manusia yang didambakan?
Allah, hati aku terlalu hancur sehinggakan aku
tidak tahu bagaimana untuk menyembuhkannya. Mungkin ini adalah kifarah untuk
semua dosa-dosa ku. Dosa kerana berdusta. Dosa kerana mempermainkan cinta.
Allah, masih belum terlambatkah aku untuk merasai cinta-Mu yang maha mulia?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.