Tetamu Rindu

Tuesday 28 January 2020

MR. FROST ( Bab 3 )


TERIMA kasih, tuan. Terima kasih sebab beri pak cik peluang untuk betulkan kesalahan pak cik,” ucap Pak Cik Wan lalu mencapai tangan Rais lalu digenggam dengan erat. Matanya berkaca apabila mengenangkan Rais sanggup menarik semula pertuduhan yang dibuat ke atasnya.
Pak Cik Wan memandang wajah tiga orang anaknya yang sedang berdiri di belakang sambil terkebil-kebil memandang Rais.
Hmmm… Jangan guna alasan kesusahan hidup untuk ambil hak orang lain. Anak pak cik masih muda, pak cik nak dia ikut perangai pak cik ke?” soal Rais sambil memandang anak-anak Pak Cik Wan satu per satu. Tangan yang digenggam oleh Pak Cik Wan, ditarik perlahan. Dia tidak selesa disentuh.
Pak Cik Wan menundukkan wajah. Terkesan dengan kata-kata Rais.
“Pak cik minta maaf. Pak cik salah. Pak cik akan berubah. Pak cik akan pastikan anak pak cik contohi sikap tuan,”
“Jangan! Jangan jadikan saya sebagai contoh. Saya bukan orang yang baik.” Balas Rais pantas. Wajahnya masih lagi tegang tanpa senyuman.
Pak Cik Wan tersenyum nipis. Dia cuba merenung anak mata Rais namun lelaki itu lebih cekap melarikan pandangan. Dia yakin tentu ada sesuatu yang cuba disembunyikan di sebalik anak mata itu. Sesuatu yang tidak mampu diselami oleh orang lain.
“Mak cakap, orang baik takkan mengaku dia baik,” salah seorang anak lelaki Pak Cik Wan menyampuk.
“Jangan menyampuk orang tengah bercakap, Daus.” Larang isteri Pak Cik Wan lantas menekup mulut si anak. Dia tersengih malu.
Rais terkedu seketika. Khairil menekup mulut menahan tawa melihat telatah anak kecil itu. Sedangkan Pak Cik Wan hanya tersenyum.
“Maafkan anak pak cik, dia memang banyak bercakap,” ucap Pak Cik Wan merendah diri.
Rais hanya menganggukkan kepala. Dia menghulurkan tangan kepada Khairil lalu dengan selamba, Khairil memegang tangan Rais. Rais terbeliak.
“Yang kau pegang tangan aku buat apa? Aku nak tu…” Ujar Rais dengan suara yang dikeraskan. Dia memuncungkan mulut ke arah plastik yang dipegang oleh Khairil.
Khairil tersengih malu dengan perbuatannya lalu dia menyerahkan plastik tersebut kepada Pak Cik Wan. Kelihatan lelaki itu terpinga-pinga.
“Apa ni, tuan?” soal Pak Cik Wan lantas menyambut huluran Khairil dengan wajah yang tertanya-tanya.
“Itu untuk anak-anak pak cik. Dalam tu ada kad, nanti pak cik boleh ke alamat tu untuk minta kerja.” Terang Khairil apabila Rais hanya membisu.
Pak Cik Wan kehilangan kata. Dia benar-benar terharu saat ini. Lantas, dia cuba memeluk Rais namun Khairil terlebih dahulu menyambut pelukannya kerana Khairil cukup kenal dengan perangai Rais yang tidak suka orang lain menyentuhnya dengan tiba-tiba apatah lagi, orang itu tidak dikenali.
 “Terima kasih, nak. Terima kasih sebab beri peluang pada pak cik. Pak cik doakan kamu berdua dilimpahkan rezeki,” ujar Pak Cik Wan lantas meleraikan pelukan. Dia memandang Rais namun lelaki itu lebih gemar memandang ke tempat lain.
“Sama-sama, pak cik. Apa yang penting, pak cik kena ubah kehidupan pak cik selepas ni. Jangan buat kerja-kerja yang boleh memalukan pak cik sendiri. Kami minta diri dulu,” ujar Khairil lalu bersalaman dengan Pak Cik Wan.
Pak Cik Wan menganggukkan kepala. Dia melemparkan senyuman kepada Rais tetapi seperti biasa, wajah pemuda itu beku tanpa segaris senyuman. Namun, Pak Cik Wan sudah cukup berasa lega dengan kesudian Rais untuk memberi peluang kepadanya.
Tanpa menunggu lama, Rais terus meninggalkan Pak Cik Wan dan keluarga. Langkah diatur menuju ke kereta.
“Tuan, kenapa tuan tarik semula kes ni?” soal Khairil setelah dapat menyaingi langkah Rais.
Rais hanya menjongketkan bahu tanpa menjawab soalan Khairil. Khairil hanya mampu menggelengkan kepala. Memang begitulah sikap Rais, sukar ditebak. Apa yang lelaki itu katakan, tidak sama dengan apa yang dia lakukan. Tiada sesiapa yang dapat menyelami hingga ke dasar hati milik Rais Lutfan. Tembok ais yang lelaki itu bina terlalu kukuh sehingga api pun tidak dapat mencairkan.

LANGKAH Tuan Yahya yang longlai dipandang lama oleh Puan Zaharah. Wajah sugul milik si suami sudah cukup menceritakan segalanya. Dia yakin saat ini tentu Tuan Yahya dilanda kegelisahan.
“Macam mana, bang? Dapat tak pinjam?” soal Puan Zaharah akhirnya. Tidak betah untuk menyembunyikan rasa ingin tahu yang semakin membuak-buak di dalam dada.
Tuan Yahya melabuhkan punggung di sebelah Puan Zaharah. Tubuhnya disandarkan ke belakang. Wajahnya diraup lesu. Tali leher dilonggarkan.
“Tak ada siapa yang sudi bagi abang pinjam, Za. Satu juta bukannya sikit! Sekarang abang tak tahu apa akan jadi pada kita. Duit syarikat semuanya lesap disebabkan awak terlampau percayakan si Razali tu untuk uruskan kewangan syarikat. Sekarang awak tengok apa yang dah jadi? Duit kita lesap. Client tuntut ganti rugi. Dia pula hilang entah ke mana sedangkan kita terpaksa ganti segala kerugian. Belum termasuk dengan gaji pekerja lagi. Mereka dah mula tunjuk perasaan. Ada yang dah failkan saman. Mana abang nak cekau duit untuk bayar semua tu?” Tuan Yahya bersuara. Cuba meluahkan rasa gundah yang semakin merajai hati.
Puan Zaharah mendengus. Kata-kata yang tidak mahu didengari olehnya. Dia tidak pernah menyangka akan menempuhi situasi seperti ini dalam seumur hidupnya. Bankrap! Ya, mereka telah diisytiharkan bankrap.
“Kenapa awak diam pula ni? Takkan awak tak ada kawan-kawan yang boleh tolong pinjamkan duit untuk kita?” soal Tuan Yahya apabila merasakan Puan Zaharah hanya diam membatu.
Puan Zaharah tersedar daripada lamunan. Dia menarik muka apabila Tuan Yahya menyebut perihal kawan-kawannya.
“Kawan-kawan saya mana ada yang kaya-raya, bang. Abang kan ramai kawan-kawan yang jutawan, takkan seorang pun tak nak tolong abang. Masa mereka susah dulu, saya tengok abang bukan main lagi ke depan nak beri pertolongan. Takkan masa abang susah, seorang pun tak berani nak tolong?” soal Puan Zaharah sedikit bengang.
Tuan Yahya memicit dahinya. Persoalan yang diutarakan oleh Puan Zaharah menambahkan lagi tekanannya.
“Sekarang ni buat baik pun dah tak berguna, Za. Kebaikan yang kita buat tak boleh dijadikan cagaran untuk pinjam duit. Satu juta bukan amaun yang sedikit. Dengan keadaan kita sekarang ni, tak ada bank atau syarikat kewangan lain yang nak bagi kita pinjaman. Cuma yang ada barang kemas awak, beg branded awak dengan anak awak tu aje…” ucap Tuan Yahya sambil menjeling ke arah Puan Zaharah.
Puan Zaharah terkulat-kulat apabila Tuan Yahya menyebut perihal beg tangan berjenama dan barang kemas miliknya.
“Kalau abang minta saya jualkan barang-barang saya tu, saya tak nak. Itu barang-barang saya. Susah payah saya dapatkan takkan saya nak jual macam tu je,” tegas Puan Zaharah. Dia memeluk tubuh.
Tuan Yahya terkedu seketika dengan kenyataan Puan Zaharah. Hidup mereka sentiasa dihambat dengan rasa bimbang, namun Puan Zaharah lebih mementingkan harta benda daripada kehidupan mereka anak beranak? Sungguh Tuan Yahya tidak percaya.
“Awak lebih pentingkan harta benda awak tu daripada keluarga kita, Zah?” soal Tuan Yahya sedikit kecewa. Dia bangun dari duduknya.
“Bukan saya tak pentingkan keluarga kita tapi barang-barang tu susah nak dapat. Awak ingat kalau kita jual barang-barang kemas saya, mampu ke nak bayar duit tu? Mampu ke nak nak pulihkan kewangan syarikat? Tak mampu! Jadi lebih baik tak payah jual.” Puan Zaharah memberi alasan.
Tuan Yahya melongo. Dia ketawa kecil. Tawa yang cukup sinis di pendengaran Puan Zaharah.
“Tapi sekurang-kurangnya duit tu mampu untuk kurangkan hutang kita. Awak tak nampak, surat-surat daripada mahkamah yang bersepah tu? Mana saya nak cekau duit untuk bayar semua saman tu? Boleh tak kalau awak tolong saya selesaikan masalah, bukan pentingkan diri sendiri!” suara Tuan Yahya mula meninggi.
“Awak ketua keluarga, sepatutnya awak yang ikhtiarkan jalan bukan saya!” bantah Puan Zaharah.
“Tapi awak rakan kongsi syarikat dan awak juga yang habiskan duit kita selama ni! Melancong ke sana sini. Beli kereta besar. Beli barang-barang yang tak berfaedah. Awak lupa awak guna duit siapa? Duit syarikat banyak keluar disebabkan sikap boros awak tu! Beli barang-barang tak berfaedah! Habiskan duit ke luar negara! Belanja kawan-kawan awak! Bukan awak aje, anak awak pun sama! Awak nak saya senaraikan lagi apa yang awak dah buat dengan duit tu?” tempelak Tuan Yahya mula bengang dengan sikap pentingkan diri yang dimiliki oleh Puan Zaharah.
Puan Zaharah terkesima. Dia bingkas bangun. Turun naik dadanya mengawal amarah.
“Itu hak saya sebagai isteri awak. Lagipun awak cari duit untuk saya dan anak-anak. Kalau saya tak boleh berbelanja, lebih baik kita tak payah kahwin! Saya sanggup ketepikan keluarga saya semata-mata untuk hidup dengan awak. Sekarang, ini balasan awak untuk saya? Kalau saya tahu jadi macam ni, saya takkan keluar dari keluarga saya!” balas Puan Zaharah mula emosi.
Tuan Yahya bengang. Dia berpaling kepada Puan Zaharah.
“Itu ajelah modal awak. Kalau awak nak balik sangat ke keluarga awak, silakan! Saya tak halang pun.” Ujar Tuan Yahya tidak mengalah.
“Baik! Abang takkan halang kan? Saya akan keluar dari rumah ni! Saya dah bosan hidup macam ni!” bentak Puan Zaharah lalu bangun dan berlari-lari anak menuju ke tingkat atas rumah banglo milik mereka.
“Mama, papa…” Panggilan daripada dua anak perempuan mereka membuatkan Tuan Yahya tersedar. Namun, dia hanya mampu mengeluh dan terus terduduk di atas sofa tanpa mengulas apa-apa.
“Kenapa ni papa? Apa dah jadi ni? Kenapa papa dan mama bergaduh?” soal anak sulungnya, Hafeeza. Dia duduk di sebelah Tuan Yahya yang hanya mendiamkan diri.
“Mama kamu dah bosan tinggal dengan papa.” Jawab Tuan Yahya ringkas.
Hafeeza dan Humaira berpandangan. Dahi mereka berkerut. Kurang jelas dengan kenyataan Tuan Yahya.
“Apa yang papa merepek ni?” soal Humaira pula.
“Syarikat macam mana?” soal Tuan Yahya tanpa menjawab soalan Humaira.
Hafeeza mengeluh berat. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Kami tak masuk ofis pun, papa. Kami mampu pandang dari jauh je. Ramai pekerja yang buat piket di hadapan syarikat. Mereka minta kita jelaskan gaji mereka yang tertunggak.” Jelas Hafeeza tentang keadaan syarikat mereka.
“Kita kena selesaikan hutang gaji mereka serta-merta, kalau tidak memang sampai ke rumah mereka cari,” sampuk Humaira turut khuatir dengan keadaan yang dialami oleh keluarga mereka.
“Nak selesaikan macam mana, angah? Nak buat pinjaman dengan bank memang tak lepas. Nak pinjam dengan kawan papa, semua tak nak bagi pinjam. Habis tu, papa nak buat apa sekarang?” keluh Tuan Yahya.
“Kita pinjam dengan nenek…”
“Tak boleh! Nenek takkan tolong keluarga kita. Dia dah bersumpah. Nenek kamu bencikan papa. Dia takkan sesekali tolong keluarga kita.” Jawab Tuan Yahya laju.
Humaira dan Hafeeza terdiam. Mereka ikut buntu.
“Papa tak cuba minta tolong dengan Tuan Ruslan? Dia kawan papa kan?” Hafeeza kembali bersuara.
“Tuan Ruslan? Pemilik Qarya Group tu? Tapi dia pesaing kita, along.” Komen Humaira sebaik saja Hafeeza menyebut perihal Tuan Ruslan.
“Dia memang pesaing kita tapi dia juga pernah jadi kawan papa, kan?” ujar Hafeeza lantas mengalih pandangan ke arah Tuan Yahya.
“Macam mana kamu tahu Tuan Ruslan tu kawan papa?” soal Tuan Yahya pelik.
Hafeeza hanya tersengih.
“Mama pernah cerita yang papa dan Tuan Ruslan pernah berkawan baik. Dia pernah jadi rakan kongsi papa dulu. Disebabkan papa syak dia pecah amanah, papa pecat dia. Betul kan?” soal Hafeeza lagi.
Tuan Yahya tersentak. Lama dia memandang wajah Hafeeza yang menanti jawapan daripadanya. Dia menggigit bibir. Matanya dipejamkan sejenak.
“Betul ke papa? Betul ke Tuan Ruslan pernah jadi rakan kongsi papa? Betul ke dia pecah amanah?” soal Humaira bertalu-talu. Dia tidak menyangka orang sehebat Tuan Ruslan ada sejarah hitam.
“Sebenarnya….”
Bammm!
Bunyi pintu dihempas kuat mengejutkan mereka bertiga. Mereka bertiga mendongak. Kelihatan Puan Zaharah sedang menuruni tangga dengan membimbit beg pakaian.
“Mama! Mama nak pergi ke mana ni?” soal Humaira lantas bangun mendapatkan Puan Zaharah. Hafeeza turut serta. Hanya Tuan Yahya yang bersikap selamba.
“Mama nak balik rumah nenek.” Jawab Puan Zaharah tanpa sedikit pun memandang wajah Tuan Yahya.
Hafeeza dan Humaira terkejut. Mereka berpandangan.
“Tapi mama, nenek tak pernah terima kita. Kita akan malukan diri kita sendiri nanti,” ujar Hafeeza cuba mengajak mamanya berfikir.
Puan Zaharah mendengus. Wajah si anak yang cantik dipandang sejenak.
“Mama akan lebih malu kalau tinggal dalam rumah yang akan dilelong ni daripada melutut depan ibu mama sendiri. Mama tak paksa kamu ikut mama. Kamu boleh tinggal dengan papa kalau kamu nak. Lagipun kamu dah besar. Kamu boleh pilih jalan hidup kamu.” Ujar Puan Zaharah sambil menjeling ke arah Tuan Yahya yang hanya membatukan diri.
Hafeeza resah. Humaira terus mendapatkan Tuan Yahya. Berharap agar papanya memujuk Puan Zaharah.
“Papa, janganlah biarkan mama keluar daripada rumah ni. Kalau kita ada masalah, kita boleh berbincang,” pujuk Humaira seraya menggoncangkan tangan Tuan Yahya.
“Dah itu yang mama kamu nak. Biarkan ajelah. Mama kamu tak pernah susah semenjak kecil jadi biarlah dia cari kesenangan dia sendiri. Papa dah tak boleh berikan apa yang mama kamu nak. Papa dah bankrap, jadi biarlah papa tanggung semua ni seorang diri.” Jawab Tuan Yahya dengan nada suara yang mendatar.
“Papa!” Humaira terkedu. Dia berpandangan dengan Puan Zaharah dan Hafeeza.
Puan Zaharah tersenyum sinis. Sedikit sebanyak ada rasa sebak yang bertandang di hati. Melihat wajah kusut milik Tuan Yahya membuatkan dia terasa sayu. Tiga puluh satu tahun hidup bersama, mustahil dia tidak terkesan dengan keadaan mereka sekarang ini. Lantas, tanpa berfikir panjang, dia menarik tangannya daripada pegangan Hafeeza. Dia sudah bersiap sedia untuk melangkah.
“Mama, along ikut mama.” Pinta Hafeeza. Air mata mula menitis di pipi.
Puan Zaharah tidak menjawab.
“Angah pun nak ikut mama.” Sampuk Humaira lantas bangun mendapatkan Puan Zaharah dan Hafeeza. Sesekali dia berpaling, cuba mengintai reaksi Tuan Yahya namun si ayah hanya membekukan diri. Humaira kecewa. Adakah ini pengakhiran kisah keluarga mereka? Detik hatinya.


MAMA, along dan angah nak ke mana ni?” soal satu suara membuatkan mereka mendongak.
Humaira mendiamkan diri sedangkan Hafeeza menjeling benci. Air mata diseka dengan kasar.
“Ini semua kau punya pasal. Malang kau tu tak habis-habis menyusahkan kita satu keluarga. Tengok, sekarang apa dah jadi? Kenapalah kecil-kecil dulu kau tak mati?” soal Hafeeza cukup lantang.
Hana tersentap. Dia kebingungan. Kenapa dia dipersalahkan sedangkan dia baru saja sampai di muka pintu rumah mereka?
“Along! Jaga mulut tu!” Keras suara Tuan Yahya kedengaran.
Hafeeza terdiam. Hanya jelingan dihadiahkan kepada Hana.
“Apa yang along merepek ni? Keluarga kita dah lama ada masalah. Bukan disebabkan Hana tinggal di sini.” Jawab Hana membela diri.
“Tapi disebabkan kau pindah ke sini, semua masalah tu jadi bertambah besar! Dari kecil kau tak habis-habis menyusahkan mama. Sekarang kau nak menyusahkan papa. Tengok, semua orang yang ada di sekeliling kau meninggal, atuk, nenek, arwah adik, mama pun hampir maut masa nak lahirkan kau. Itu kau masih tak sedar diri lagi?” soal Hafeeza kembali mengungkit kisah-kisah lama.
Hana terdiam. Kata-kata itu umpama belati menghiris hatinya. Dia sedar akan hakikat itu namun dia tidak mahu mengakuinya kerana dia yakin setiap yang berlaku telah ditakdirkan sejak azali lagi.
“Bila dah sampai ajal, tak ada sesiapa yang boleh menghalang. Bukan Hana yang jadi penyebabnya.” Balas Hana tidak mahu mengalah.
“Kau kan… Memang pandai menjawab…”
“Dahlah along. Kamu nak ikut mama atau tak?” sampuk Puan Zaharah menghentikan bebelan Hafeeza.
“Mama nak ke mana?” soal Hana lagi selepas soalanya tadi dibiarkan tanpa jawapan oleh Puan Zaharah.
Namun, Puan Zaharah hanya mendiamkan diri. Wajah Hana tidak dipandang. Hanya tangan Humaira dan Hafeeza yang ditarik.
“Jomlah kita keluar daripada rumah ni, mama. Along tak boleh hidup dengan pembawa malang ni. Makin malang pula kita jadinya,” ujar Hafeeza kemudian menjeling ke arah Hana. Dia menarik tangan Puan Zaharah dengan tergesa-gesa.
Hana kehilangan kata. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata daripada gugur. Betapa sakitnya apabila dihina sebegitu rupa sedangkan semua yang terjadi bukan salahnya.
“Mama…” Panggil Hana perlahan. Cuba menahan langkah Puan Zaharah namun tangannya ditepis. Tubuhnya dirempuh oleh Hafeeza. Hampir dia terjatuh tetapi cepat-cepat dia mengimbangi badan.
Akhirnya, Puan Zaharah dan dua kakaknya melangkah keluar daripada rumah tanpa sedikit pun menoleh ke arah mereka berdua. Sedangkan Hana hanya mampu memandang dengan rasa yang yang tertahan.
“Papa, papa tak nak halang mama ke?” soal Hana lantas mendapatkan Tuan Yahya yang kelihatan tidak bermaya. Jelas wajah papanya kusut.
“Mama kamu bukannya budak kecil lagi. Dia boleh fikir yang mana baik dan yang mana buruk. Papa tak boleh halang keputusan mama kamu. Sekarang ni, papa ada perkara yang lebih penting untuk papa fikirkan daripada pujuk mama kamu tu.” Balas Tuan Yahya.
“Tapi papa, mama….”
“Kalau kamu nak ikut mama, silakan! Papa tak halang pun. Biar papa selesaikan masalah ni seorang diri!” bentak Tuan Yahya mengejutkan Hana. Serta-merta dia terdiam.
“Papa jangan cakap macam tu. Hana ada dengan papa. Hana takkan biarkan papa fikirkan masalah ni seorang diri. Hana akan tolong papa.” Ujar Hana dengan bibir yang mekar dengan senyuman. Dia menyentuh tangan Tuan Yahya lalu digenggam dengan erat.
Tuan Yahya merenung wajah anak gadisnya itu. Dia tersenyum kecil.
“Apa yang Hana boleh tolong?” soalnya ringkas.
“Apa saja yang papa nak Hana tolong, Hana akan tolong. Hana takkan tinggalkan papa. Hana akan jaga papa. Hana janji!” ujar Hana lantas mengangkat tangannya seolah-olah berikrar.
Tuan Yahya tersenyum lega. Sedikit bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh Hana. Anak gadisnya itu dididik dengan sempurna meskipun bukan dia yang mendidiknya.
“Maafkan papa, sayang.” Ucap Tuan Yahya tiba-tiba. Dia mengusap kepala Hana yang beralas tudung.
Dahi Hana berkerut.
“Untuk apa?” soalnya pendek.
“Sebab tinggalkan Hana dengan atuk dan nenek. Sepatutnya papa yang jaga Hana bukan atuk dan nenek.” Jawab Tuan Yahya penuh penyesalan.
Hana tersenyum manis. Dia menggeleng kecil.
“Hana tak kesah pun papa. Hana seronok tinggal dekat kampung. Lagipun, nenek pernah cakap yang nenek yang nak jaga Hana, bukan sebab papa tak nak jaga Hana.” Balas Hana dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.
Tuan Yahya terkelu seketika. Lama dia memandang wajah lembut milik Hana. Serentak, bayang wajah arwah ayah ibu kembali terlayar ke ruang fikiran. Dia sebak.
“Ya? Nenek cakap macam tu?” soal Tuan Yahya dengan mata yang berkaca.
Hana menganggukkan kepala sebagai jawapan. Sedangkan Tuan Yahya sedaya upaya menahan sebak yang menumbuk dada. Dia menggenggam tangannya dengan kuat. Rasa kesal dengan sikapnya dahulu terhadap Hana seakan menghimpit dada. Anak ini tidak bersalah, namun dia telah meletakkan segala kesalahan di atas bahu Hana tanpa gadis itu sedari. Sekarang, Tuan Yahya tersedar mana kaca mana permata.
“Maafkan papa, Hana. Maafkan papa…” Ucap Tuan Yahya lalu menarik Hana ke dalam pelukan.
Hana terkebil-kebil. Pelik dengan sikap papanya hari ini. Namun, dia tetap tersenyum. Terasa kasih sayang papanya menenangkan jiwanya. Hana janji akan lakukan apa saja untuk tolong papa. Hana janji!



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.