Tetamu Rindu

Wednesday 29 January 2020

MR. FROST ( Bab 9 )


HANA menggaru-garu kepalanya yang beralas tudung saat melangkah keluar dari rumah Tuan Ruslan. Wajahnya diraup dengan kedua belah telapak tangan. Langkah kakinya terasa berat saat ini apabila teringatkan apa yang terjadi beberapa minit yang lepas.
“Kalau geran tu tak cukup untuk tampung jumlah pinjaman yang papa saya minta, saya sanggup cagarkan diri saya sendiri, tuan!”
Kata-kata yang terluah daripada mulutnya sendiri membuatkan Hana galau. Apatah lagi reaksi Tuan Ruslan yang cukup menyinga dengan kata-katanya.
“Apa? Kau nak jadikan diri kau sebagai cagaran? Bernilai sangat ke diri kau tu?!” soal Tuan Ruslan dengan suara yang hampir meninggi. Dia benar-benar terkejut dengan kata-kata Hana. Gadis muda ini benar-benar berani!
Hana tertunduk. Dia tiada pilihan lain selain menjadikan dirinya sebagai cagaran asalkan Tuan Ruslan sudi membantu.
“Saya… Saya…”
“Aku tak nak dengar apa-apa daripada kau! Keluar sekarang! Jangan buat aku pandang kau lebih hina daripada sekarang!” ujar Tuan Ruslan dengan nada marah.
“Kalau membantu papa saya satu penghinaan bagi tuan, saya sanggup dihina berapa banyak yang tuan mahu. Salah ke niat saya untuk tolong papa saya sendiri? Sejak kecil, saya tak pernah ada peluang untuk rapat dengan ayah saya sendiri. Saya tak pernah ada peluang untuk dapat kasih sayang dia. Saya tak tahu apa salah saya. Tapi sekarang, Allah dah beri peluang pada saya untuk berbakti pada dia, salah ke niat saya, tuan? Tuan seorang ayah dan tuan juga seorang anak, saya yakin tuan tentu faham perasaan saya. Jika dengan merendahkan diri saya mampu mengembalikan kasih sayang papa, saya sanggup tuan.” Balas Hana dengan suara yang lirih.
Tuan Ruslan melepaskan nafas berat. Dia menggeleng kepala berkali-kali.
“Balik! Lebih baik kau balik sekarang!” arah Tuan Ruslan tanpa mempedulikan kata-kata Hana.
Hana kecewa. Nampaknya dia perlu berhenti merayu. Mungkin rezeki tidak berpihak padanya kali ini. Perlahan-lahan, dia mencapai fail geran yang terletak di atas meja lalu dimasukkan ke dalam beg. Manakala, sehelai kertas kecil dikeluarkan daripada poket beg lalu diletakkan di atas meja.
“Ini, nombor telefon saya jika tuan ubah fikiran, saya harap sangat tuan hubungi saya. Saya dan papa betul-betul perlukan bantuan tuan. Tuan tentu tahu, jika tuan permudahkan urusan orang lain, Allah tentu akan permudahkan urusan tuan. Saya percaya kata-kata papa saya, hati tuan baik.” Ujar Hana lalu mengundur setapak ke belakang.
“Saya balik dulu, tuan. Terima kasih sudi luangkan masa untuk saya. Assalamualaikum…” Ujarnya lalu melangkah keluar dari ruang istirehat tersebut.
“Hey, perempuan!” sergah satu suara mengejutkan Hana daripada lamunan. Dia tersedar. Dia memandang kedudukannya yang ketika ini sedang duduk di atas kerusi yang terletak di hadapan halaman rumah banglo tersebut. Dahinya berkerut. Bila masa pula aku duduk? Soal hatinya.
“Tadi aku dengar suara…”
Belum sempat Hana menghabiskan bicara, telinganya mula menangkap derap tapak kaki dari arah belakang. Laju saja dia berpaling. Kali ini dia tergamam. Matanya membulat besar. Alamak! Dia buat apa di sini?

MACAM mana tuan boleh ada di sini?” soal Hana pelik. Dia memandang figura Rais yang semakin mendekat. Langkahnya mula terundur ke belakang apabila menyedari renungan Rais yang tajam.
“Sepatutnya saya yang tanya kenapa awak boleh ada di sini? Awak cuba nak ugut saya dengan gunakan video tu ke?” soal Rais sambil merenung beg sandang milik Hana.
“Video?” Hana mengikut arah pandangan Rais sebelum dia kembali memandang wajah Rais dengan dahi yang berkerut.
“Kalau saya ugut tuan dengan video ni, saya akan dapat duit yang banyak ke? Eh, sekejap. Buat apa saya panggil tuan dengan panggilan hormat tu, tuan bukan majikan saya. Hmmm…” Ucap Hana tidak semena-mena. Dia mengetuk dagunya lagak seperti memikirkan sesuatu.
Rais menjeling. Mula bosan dengan sikap Hana yang seolah-olah cuba mempermainkannya. Dia melangkah setapak lagi.
“Tak payah nak banyak cakap. Padam video tu sekarang atau serahkan pada saya. Awak tak payah harap untuk dapatkan duit dengan cara kotor macam tu. Satu sen pun awak takkan dapat!” tegas Rais. Dia menghulurkan tangannya meminta telefon milik Hana.
Hana tersenyum sinis. Dia menyeluk beg sandangnya lalu mengeluarkan telefon pintar lalu ditayangkan di hadapan Rais.
“Ini yang awak nak sangat?” soalnya ringkas. Bahasanya bertukar dengan serta merta.
Rais menganggukkan kepala. Setiap langkah Hana diperhatikan.
“Jangan harap!” jawab Hana ringkas. Telefon tersebut dimasukkan dalam poket seluar sebelum dia berpaling untuk meninggalkan Rais yang tersentak.
Rais mengetap bibir. Geram dengan sikap Hana kali ini. Lantas, dia melajukan langkah, cuba menarik lengan baju Hana namun Hana dengan pantas berpaling. Jelas, dia terkejut dengan tindakan Rais. Lantas, tangan Rais ditepis kuat.
“Apa awak ni?!” marah Hana cuba menjarakkan dirinya daripada Rais yang kelihatan garang.
“Saya tak nak kacau awak. Serahkan video tu pada saya sekarang!” pinta Rais. Seboleh mungkin dia cuba mengawal nada suaranya agar tidak meninggi. Bimbang kejadian ini diketahui oleh Tuan Ruslan.
Hana tersenyum sinis buat kesekian kalinya. Dia memeluk tubuh. Seronok hatinya melihat wajah gelabah milik Rais yang selama ini terkenal dengan sikap dingin. Dia mencebik.
“Kenapa perlu saya serahkan video tu pada awak? Awak takut? Takut segala perbuatan keji awak tu diketahui oleh orang lain? Atau awak takut Tuan Ruslan tahu yang pekerjanya ada perangai buruk?” tempelak Hana dengan selamba.
Rais menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan. Dia cuba menahan sabar yang semakin menipis.
“Itu urusan saya, bukan urusan awak!” tegas Rais.
“Memang bukan urusan saya dan saya tak ingin pun nak masuk campur urusan awak tapi apa yang awak buat tu berdosa besar. Awak tahu tak? Awak dah berzina kemudian awak minta kekasih awak gugurkan kandungan tu? Eiii… Awak ni tak ada hati perut ke apa? Anak tu tak bersalah. Yang bersalah tu awak!” tambah Hana lagi. Dia menggelengkan kepala sambil memandang Rais dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Rais mengetap bibir. Terasa kesabarannya semakin menipis dengan perangai Hana saat ini.
“Diam!” jerkah Rais tidak semena-mena.
Hana menutup mulut. Dia terkejut. Apatah lagi saat ini dia melihat bola mata Rais mula bertukar merah. Alamak, Mr. Frost dah naik angin!
Rais melepaskan nafasnya dengan kuat. Cuba mengawal kemarahan yang datang menjengah. Matanya dipejamkan sejenak.
“Kalau kau tak nak panjangkan perkara ni, serahkan video tu pada aku sekarang. Apa yang aku buat, itu urusan aku dan kau tak ada hak untuk judge aku!” ucap Rais dengan bahasa yang bertukar kasar.
“Video ni ada dalam telefon saya jadi saya ada hak untuk tak berikannya pada awak.” Jawab Hana cukup bersahaja. Dia menjeling sebelum berpaling untuk meninggalkan Rais.
Rais hanya mampu menggelengkan kepala. Nampaknya Hana sengaja ingin mencabar kesabarannya. Lantas, dia mempercepatkan langkah sebelum lengan baju Hana ditarik.
Langkah Hana terhenti dengan serta merta. Matanya terbeliak dengan perbuatan Rais. Kepala dipusingkan. Mencerlung matanya memandang Rais.
“Apa yang awak buat ni? Lepaskan baju saya!” bentak Hana dengan garang. Dia cuba merentap tangannya kembali namun dia bimbang kain bajunya akan terkoyak dek pegangan tangan Rais yang kuat.
Rais mengangkat kening sebelah. Terasa kemenangan akan berpihak kepadanya tidak lama lagi.
“Aku rasa kau cukup tahu betapa tak berhati perutnya aku kan? Tentu kau dapat agak apa yang aku akan buat pada kau kalau kau tak serahkan video tu pada aku sekarang,” ugut Rais dengan suara yang seakan berbisik. Namun, bunyi suara itu cukup untuk membuat Hana kecut perut.
“Awak ingat saya takut?” soal Hana dengan berani. Tanpa bertangguh, dia merentap lengannya dengan kuat tanpa memikirkan padah yang akan diterima.
Prakk!
Tidak semena-mena lengan baju milik Hana terkoyak dek rentapan tangannya sendiri. Hana terkejut. Rais tergamam.
Aaaaa!” Hana menjerit lalu menutup bahunya yang sedikit terdedah dengan menggunakan telapak tangan.
“Ya Allah, maaf!” ucap Rais mula gelabah apabila melihat wajah Hana berubah merah. Gadis itu seperti ingin menangis. Dia rasa bersalah.
“Awak sengaja nak malukan saya ke?!” bentak Hana. Air mata hampir menitis kerana cuba menahan rasa malu saat ini.
“Maaf. Aku tak sengaja. Siapa suruh kau rentap baju ni kuat sangat?” soal Rais penuh dengan rasa bersalah. Soal video itu terus dilupakan tanpa dia sedar.
“Oh, jadi semua ni salah sayalah?” soal Hana dengan mata yang mencerun tajam.
Rais mengetap bibir. Dia kehilangan kata.
“Okey-okey. Sekarang kau ikut aku.” Ajak Rais tidak semena-mena.
“Nak ke mana?” soal Hana pantas. Dia memegang kemas lengan bajunya yang terkoyak.
“Cari baju lain untuk tutup baju kau tu. Takkan kau nak balik dengan baju terkoyak?”
Hana terdiam. Dia memandang Rais dengan lama. Cuba mencari keikhlasan daripada kata-kata Rais. Ternyata wajah lelaki itu kelihatan ikhlas.
“Nak cari kat mana? Takkan nak minta dengan Tuan Ruslan. Tuan Ruslan baru je halau saya,” ujar Hana dengan suara yang perlahan.
Dahi Rais berkerut. Tuan Ruslan halau Hana? Tapi kenapa? Soal hatinya. Namun, persoalan itu dipendamkan.
“Kau ikut aku sekarang.” Arah Rais lalu mengatur langkah menuju ke arah kanan menuju ke tempat tinggalnya.
“Nak ke mana ni? Rumah awak ke?” soal Hana ingin tahu.
Rais sekadar menganggukkan kepala sedangkan Hana mula cuak dengan anggukan Rais. Kenapa dia ajak aku ke rumah dia? Dia nak buat apa dengan aku? Soal hati Hana. Sangsi.
“Kau tak payah fikir bukan-bukan. Aku bukan jenis buruk laku nak terkam anak dara orang sesuka hati.”
“Tapi awak dah mengandungkan anak dara orang tapi tak nak bertanggungjawab. Itu pun boleh dikira buruk juga. Buruk perangai!” tempelak Hana dengan suara yang perlahan. Namun, kata-kata itu sempat singgah di telinga Rais.
Langkah Rais terhenti. Dia menoleh. Satu jelingan dihadiahkan.
Hana tersengih. Dia menutup mulut. Malah, anak matanya diliarkan ke tempat lain. Tidak betah apabila dipanah dengan anak mata Rais yang tajam menikam. Tanpa dia sedar, langkahnya terhenti di hadapan sebuah rumah batu kecil yang terdapat di bahagian belakang banglo tiga tingkat milik Tuan Ruslan. Kawasan itu cukup bersih dan lapang. Terdapat dua batang pokok mempelam di tepi rumah tersebut membuatkan tempat itu kelihatan redup.
“Awak tinggal di sini?” soal Hana apabila melihat Rais sedang menanggalkan seliparnya.
Rais menganggukkan kepala sebagai jawapan.
“Mak ayah awak mana?” soal Hana lagi. Dia pelik apabila lelaki sehebat Rais hanya tinggal di tempat sekecil ini sedangkan lelaki itu mempunyai jawatan yang tinggi di syarikat Tuan Ruslan.
Rais menjongketkan bahu. Malas mengulas panjang.
“Kau tunggu di sini sekejap,” ujar Rais lalu berlalu ke dalam rumahnya tanpa menunggu balasan daripada Hana. Pandangan Hana yang penuh dengan tanda tanya tidak dipedulikan.
“Takkan dia tak ada mak ayah? Rumah ni biasanya digunakan oleh orang gaji. Mesti mak atau ayah dia orang gaji di rumah Tuan Ruslan ni. Macam mana agaknya kalau mak dan ayah dia tahu tentang perangai dia yang sebenarnya? Tentu mereka kecewa.” Hana bicara sendiri.
“Nah….” Bunyi suara Rais mengejutkan Hana. Dia berpaling.
Sehelai jaket berwarna hitam dihulurkan ke hadapan muka Hana. Pantas, Hana menyambut huluran Rais lalu jaket tersebut disarungkan ke tubuh seterusnya menutupi lengan bajunya yang terkoyak. Dia menghembus nafas lega apabila dapat menutupi auratnya.
“Kenapa kau datang ke sini?” soal Rais. Matanya diliarkan ke tempat lain saat Hana merapikan jaket yang tersarung di tubuhnya.
“Bukan urusan awak!” dengus Hana lalu berpaling. Sempat lagi dia menghadiahkan jelingan.
Rais tersentak. Giginya dikancingkan. Aku tanya elok-elok dia jawab main-main. Dasar perempuan! Bentak hati Rais.
“Jaket ni… Terima kasih!” laung Hana dari jauh.
Rais mula menyedari sesuatu apabila melihat Hana yang semakin menjauh. Dia menepuk dahi.
“Video tu…”

TANPA Rais sedar, ada sepasang mata yang memerhatikan setiap kejadian yang berlaku di antara dia dan Hana dengan dahi yang berkedut seribu. Tangan disilangkan ke dada dengan persoalan penuh di minda.
“Apa hubungan mereka berdua? Macam mana mereka boleh kenal antara satu sama lain?” soal Tuan Ruslan sambil menggosok dagunya. Lama dia memerhatikan gelagat Rais dan Hana. Jelas, mereka berdua seperti sedang bertengkar.
Tuan Ruslan menggigit bibir. Dahinya digarukan tanda dia sedang berfikir. Namun, anak matanya terbuka besar apabila melihat kelibat Hana yang menapak ke pintu pagar dengan jaket milik Rais tersarung di badan. Wajah gadis itu kelihatan cemberut.
“Itu jaket Rais. Macam mana Rais…” Kata-kata Tuan Ruslan mati di situ. Dia menutup mulut yang hampir terbuka luas. Dia tidak percaya dengan kenyataan yang dilihat di hadapan mata. Kali pertama dia melihat Rais bersikap sebegitu dengan orang lain.
“Siapa Dian Hana sebenarnya ni?” soal Tuan Ruslan sendirian. Lantas, telefon bimbit yang berada di dalam poket dikeluarkan sebelum satu nombor didail.
Tidak lama kemudian, panggilannya berjawab.
“Aku nak kau siasat apa yang terjadi kepada keluarga Yahya Ahmad, pemilik Kalam Kreatif. Siasat apa saja yang terjadi kepada syarikat tu dan terutama sekali tentang anak perempuannya, Dian Hana. A.S.A.P!” arah Tuan Ruslan lantas mematikan panggilan.
Pandangan terus dihalakan ke arah Rais yang sudah menghilang daripada pandangan mata. Tuan Ruslan mengeluh kecil. Sejak Rais mengambil keputusan untuk tinggal di rumah bekas pembantu rumah mereka, hubungan mereka menjadi begitu renggang. Rais seolah-olah ingin menjauhkan diri daripadanya. Malah, walau bersua muka sekali pun, Rais hanya membatukan diri. Seakan dia tidak wujud. Sungguh, Tuan Ruslan rindukan anak lelakinya yang dahulu. Sentiasa ceria dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
“Abah akan buat apa saja asalkan abah dapat lihat Is tersenyum lagi.” Ucap Tuan Ruslan perlahan dengan senyuman penuh makna terukir di bibirnya. Dia nekad.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.