Tetamu Rindu

Tuesday 28 January 2020

MR. FROST ( Bab 5 )


TUAN RUSLAN memakukan pandangan pada figura Rais yang sedang menanggalkan kasut di muka pintu. Anak mata dikerling ke arah jam dinding yang menginjak ke angka sebelas. Dia menggelengkan kepala. Tangan disilangkan ke dada sambil menunggu pemuda itu menghampirinya.
Rais yang menyedari keberadaan Tuan Ruslan hanya bersikap selamba. Tidak jauh daripada tempat Tuan Ruslan berdiri, kelihatan Razin dan Puan Leyla turut memandang ke arahnya dengan senyuman sinis terukir di bibir. Rais tidak mengambil pusing sebaliknya kaki diayunkan ke arah dapur.
“Is, tunggu dulu.” Tuan Ruslan bersuara menghentikan langkah Rais.
“Is dari mana ni? Dari kelab lagi? Perempuan mana pula yang Is usung kali ni?” soal Tuan Ruslan bertalu-talu.
Rais tersentak. Pandangan segera dihalakan ke arah Razin yang menjongketkan bahu. Dia tidak menjawab. Langkah cuba diaturkan. Soalan Tuan Ruslan dibiarkan tergantung tanpa jawapan.
“Is! Dengar tak apa yang abah tanya ni?” soal Tuan Ruslan kali ini meninggikan suara.
“Saya penat. Saya nak ke dapur sekejap. Nanti saya balik semula ke tempat saya,” jawab Rais penuh dengan kedinginan.
“Penat? Penat berfoya-foya? Boleh tak kalau Is jangan buat perangai liar tu? Abah tak pernah ajar Is jadi macam ni. Cuba jadi macam adik kamu tu. Tak pernah buat abah susah hati!” bebel Tuan Ruslan cuba menahan kemarahan dengan sikap yang ditunjukkan oleh Rais.
Rais memandang sekilas pada Razin yang tersenyum bangga. Senyuman kemenangan.
“Abah patut bersyukur saya tak jadi macam Razin…” Jawab Rais perlahan. Cukup untuk Tuan Ruslan mendengar.
Walaupun kata-kata itu dituturkan dengan perlahan namun bicaranya cukup menikam hati Tuan Ruslan. Melotot matanya memandang Rais yang kelihatan bersahaja.
“Is!”
“Nampaknya saya mengganggu waktu rehat abah dan sekeluarga, saya minta diri dulu,” ucap Rais lalu mengundurkan diri. Dia kembali melangkah keluar meninggalkan Tuan Ruslan yang mendengus marah.
“Is! Abah tak habis cakap lagi ni! Bilik kamu di atas. Kenapa kamu nak sangat tinggal di rumah belakang tu?!” laung Tuan Ruslan tidak berpuas hati.
Kata-katanya tidak mampu untuk menghentikan langkah Rais kali ini. Anak lelakinya itu berlalu tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Sikap dingin yang ditunjukkan oleh Rais sejak bertahun lamanya sedikit sebanyak mengguris hati tuanya. Entah di mana silap, Rais yang dahulunya seorang kanak-kanak periang kini bertukar beku. Tuan Ruslan mengeluh panjang.
“Sudahlah tu, you. Anak you tu degil. Bukan nak dengar cakap you. Biarkan dia dengan dunia dia. Terikut-ikut perangai ibu dia agaknya,” sampuk Puan Leyla sambil menyentuh bahu Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan berjeda saat perihal ibu Rais disebut. Dia memejamkan mata. Walaupun peristiwa pahit itu sudah lama berlalu, lukanya terasa sehingga ke hari ini.
“Tapi sampai bila, Leyla? Sampai bila dia nak buat perangai macam ni? Banyak kali I suruh dia pindah ke rumah ni tapi dia tetap tak nak. Apa yang seronok sangat duduk rumah belakang tu?” tekan Tuan Ruslan.
“Dah dia tak nak, kita tak boleh paksa. Kalau you paksa sangat, nanti dia memberontak. You nak ke dia buat benda-benda tak elok bila dia memberontak nanti? Cukuplah sekarang ni kawan-kawan I mengata dia buat perkara tak senonoh belakang kita. Sakit telinga I dengar bila mereka cakap kita tak pandai jaga anak. Padahal Razin tu elok aje perangainya,” ujar Puan Leyla dengan bibir yang terjuih-juih menceritakan keburukan Rais.
“You pun, sekali-sekala nasihatkan dia. Tunjukkan kasih sayang you pada dia,” balas Tuan Ruslan membuatkan Puan Leyla mencebikkan bibir.
“You nak I nasihatkan anak you tu? Nasihat you pun dia tak dengar apatah lagi nasihat I? Sebelah mata pun dia tak pandang. Kalau kecil lagi, bolehlah I rotan, ni dah besar, silap-silap I pula yang kena tampar.” Dalih Puan Leyla. Dia memeluk tubuh sendiri.
Tuan Ruslan mengeluh buat kesekian kali. Makin sakit kepalanya apabila memikirkan perangai Rais yang susah untuk dijangka. Mungkin peristiwa dua puluh tahun lepas memberi kesan yang mendalam diri anaknya itu. Peristiwa yang tidak pernah terlintas dalam fikiran Tuan Ruslan akan berlaku akhirnya terjadi tanpa kerelaannya. Kepercayaannya dikhianati. Cintanya dipersiakan.

RAIS menghempaskan badan di atas katil bersaiz queen. Rasa penat semakin menjalar ke segenap tubuh. Wajahnya diraup dengan kedua belah telapak tangan.
“Aduh…” Dia mengaduh kesakitan apabila menyedari ada kesan calar di telapak tangannya. Spontan, kejadian beberapa jam yang lepas kembali bertandang di ingatan. Lantas, poket seluar diseluk. Keychain beruang panda sebesar telapak tangan menyapa pandangan.
“Kalau tahu dah buat salah, bertanggungjawablah. Bukan guna jalan pintas untuk tutup kesalahan! Nasihat orang pandai, tapi diri sendiri jauh menyimpang. Anak tu amanah Allah, bukan untuk disia-siakan! Video ni saya simpan, mungkin boleh guna di waktu kecemasan!”
Kata-kata Hana kembali terngiang di telinga. Rais melepaskan nafas berat. Lengan diletakkan di atas dahi sambil anak mata tegak memandang kipas yang berputar laju di siling.
“Macam mana kalau perempuan tu sebar video yang dia rakam? Bukan nama aku aje yang buruk. Nama Adra pasti terlibat sekali dan kalau perkara ni sampai ke pengetahuan abah, pasti jahanam semuanya.” Rais bercakap sendirian.
Dia menepuk dahinya berkali-kali. Kesal dengan diri sendiri yang tidak berhati-hati.
“Mana aku nak cari perempuan tu?” soalnya lagi. Lantas, dia bangun dan duduk di birai katil. Telefon pintar miliknya dicapai lalu nombor telefon Khairil didail pantas.
Tidak sampai beberapa saat, panggilannya berjawab.
“Hello, tuan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soal Khairil penuh tertib walaupun saat ini mereka di luar waktu bekerja.
“Aku nak kau cari maklumat tentang pekerja kedai buku yang dipecat semalam secepat mungkin,” arah Rais tanpa berfikir panjang.
Khairil terdiam seketika. Dia cuba mengingati kejadian yang berlaku awal pagi semalam.
“Maksud tuan, Cik Dian Hana ke?” Soal Khairil lagi inginkan kepastian.
Giliran Rais pula yang berjeda. Dian Hana?
“Entah. Aku tak ingat nama dia. Kau cari alamat tempat dia tinggal. Aku nak segera.”
“Kenapa tuan nak saya cari maklumat tentang dia? Tuan nak bagi dia peluang untuk bekerja kembali ke?” soal Khairil masih lagi sangsi dengan permintaan Rais yang tiba-tiba.
Rais mengetap bibir. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Susah untuk dia terangkan kepada Khairil saat ini. Semuanya bercelaru.
“Aku takkan jilat ludah aku semula. Kau cari aje. Ada masa aku terangkan pada kau.” Ujar Rais malas memanjangkan perbualan.
“Baik tuan.” Akur Khairil.
Rais hanya menganggukkan kepala. Dia menamatkan perbualan sebaik saja Khairil memberi salam. Telefon bimbit dicampakkan ke atas tilam. Dia menghela nafas dalam dan melepaskannya dengan perlahan.
Anak mata mula meliar memandang ruang bilik yang kecil. Bukan sahaja bilik, malah rumah batu yang mempunyai dua bilik itu cukup kecil jika dibandingkan rumah milik Tuan Ruslan. Namun, Rais lebih selesa tinggal di rumah ini berbanding tinggal sebumbung dengan abahnya itu.
“Kalau ibu ada di sini, tak perlulah Is hadap semua ni. Is rindu ibu. Is rindu Mak Nah. Kenapa tinggalkan Is sorang-sorang di sini? Is sunyi.” Rintihnya perlahan. Hanya dia yang mendengar.

Imbas kembali…
TUBUH gempal milik Mak Nah dipeluk erat, seakan tidak mahu melepaskan wanita tua itu dari pelukan. Peluh dan air mata yang membasahi wajah tidak langsung dipedulikan. Dia menangis teresak-esak dalam pelukan Mak Nah.
Syhhh… Jangan menangis, Is. Is lelaki kan? Lelaki kena kuat. Tak boleh menangis macam ni,” pujuk Mak Nah sambil mengelus lembut rambut kanak-kanak yang berusia dua belas tahun tersebut.
“Sakit, Mak Nah. Auntie Leyla asyik pukul Is. Kurung Is bila abah tak ada. Bila abah ada pun, abah tak pernah ambil tahu pasal Is. Abah dah tak sayang Is.” Rais mengongoi. Pelukan diketatkan.
Mak Nah menghela nafas berat dan melepaskannya dengan perlahan. Hatinya bengkak apabila melihat lengan dan wajah Rais yang lebam sana sini. Mungkin kesan daripada cubitan yang dihadiahkan oleh Puan Leyla. Entah di mana silapnya, sikap Tuan Ruslan yang dahulu selalu mengambil berat dan menyayangi Rais sepenuh hati kini berubah watak dalam sekelip mata dek kerana kejadian itu. Kejadian yang diragui kesahihannya.
“Abah bukan tak sayang Is, abah cuma banyak masalah yang kena selesaikan. Is anak yang bijak kan? Is kena faham keadaan abah sekarang ni,” pujuk Mak Nah lagi.
Namun pujukan itu tidak berbekas dalam diri Rais. Dia terseksa bukan saja fizikal malah mental. Tidak pernah dalam sehari dia dapat hidup dengan tenang. Pasti ada saja kesalahannya yang diungkit oleh Puan Leyla dan Razin. Jika dia memberontak, pasti tubuh kecilnya mendapat habuan. Jika dia cuba mengadu kepada Tuan Ruslan, pasti dia akan tidur kelaparan.
“Is tak nak tinggal dalam rumah tu lagi. Is nak tinggal dengan Mak Nah. Is nak tinggal dekat sini!” tekad Rais. Pelukan di pinggang Mak Nah dieratkan.
“Tapi rumah ni rumah untuk pekerja. Is bukan pekerja. Tempat Is dalam rumah besar tu.” Mak Nah cuba mengingatkan.
“Tu bukan rumah, itu neraka! Is nak duduk kat sini. Kalau Mak Nah tak bagi Is duduk sini, biar Is lari! Biar Is cari ibu! Mak Nah pun tak sayangkan Is!” bentak Rais lalu meleraikan pelukan. Dia berpaling untuk melarikan diri.
“Is!” jerit Mak Nah.
Bukk!
Belum sempat Rais memanjangkan langkah, tubuhnya terlebih dahulu melanggar sepasang kaki yang tegak berdiri di hadapannya. Rais jatuh terduduk. Dia mengaduh kesakitan. Tidak lama kemudian, dia mendongak. Air liur ditelan berkali-kali. Dia ketakutan.
“Kau nak lari ke mana?” suara itu menyoal dengan nada yang mendatar tapi cukup menggerunkan Rais saat ini. Dia cuba untuk bangun tetapi kakinya terasa lembik. Dia terduduk kembali di atas tanah.
“Saya… Saya… Saya nak cari ibu!” Rais cuba memberanikan diri untuk bersuara.
Wanita itu tersenyum sinis. Kolar baju Rais ditarik, memaksa Rais untuk berdiri.
“Kau nak cari ibu kau? Pergilah! Tapi pastikan kau jangan balik ke rumah ni lagi. Kalau kau balik, nahas aku kerjakan kau!” suara itu meninggi. Tubuh Rais kembali ditolak dengan kasar.
Rais mengaduh kesakitan. Tubuhnya terhenyak ke tanah. Sakit di tubuh tidak mampu menandingi kesakitan yang merobek hati dan jiwanya.
“Is!” Mak Nah tersentak. Tanpa bertangguh, dia mendapatkan Rais yang terduduk di atas tanah. Tubuh kecil itu dirangkul. Cuba untuk melindungi Rais semampunya.
“Puan, maafkan Is. Dia kecil lagi. Dia tak tahu apa-apa. Jangan seksa dia sampai macam ni sekali,” pujuk Mak Nah cuba meraih simpati.
Puan Leyla memandang jijik ke arah Mak Nah. Dia menghampiri kedua insan itu dengan penuh bongkak.
“Kau nak nasihatkan aku? Sedarlah diri kau tu sikit!” herdik Puan Leyla lantas menunjal kepala Mak Nah tanpa belas kasihan.
“Ya, saya sedar saya cuma pembantu dalam rumah ni. Puan majikan saya. Saya hormatkan puan. Jadi saya minta puan jangan seksa Is lagi. Kalau puan bencikan dia, saya janji saya takkan bagi dia jejakkan kaki dalam rumah puan lagi. Saya akan jaga Is di rumah ni. Saya akan rahsiakan perkara ni daripada tuan. Lagipun, Is akan masuk ke sekolah berasrama. Puan takkan nampak muka Is. Puan jangan risau. Saya takkan biarkan Is dekati puan.” Mak Nah bersuara. Suaranya terputus-putus, bimbang jika cadangan dia itu akan menaikkan kemarahan Puan Leyla.
Puan Leyla terdiam seketika. Lagak seperti memikirkan sesuatu. Cadangan Mak Nah boleh diterima akal. Inilah masanya untuk dia menjauhkan Rais daripada Tuan Ruslan. Pucuk dicita, ulam mendatang. Puan Leyla tersenyum sinis.
“Baik! Mulai hari ni aku nak kau pastikan budah busuk ni jangan dekat dengan aku dan anak aku. Paling penting, jangan biar dia dekat dengan tuan. Kalau aku nampak dia cuba dekat dengan suami aku, tahulah aku nak kerjakan dia. Dengan kau sekali, aku pecat. Faham?” tekan Puan Leyla dengan mata yang hampir terjojol keluar.
Mak Nah menganggukkan kepala bak burung belatuk. Matanya berkaca. Tubuh Rais dipeluk erat. Jika inilah yang harus dilakukan untuk menyelamatkan Rais, dia sanggup. Budak itu tidak salah apa-apa. Dia menjadi mangsa keadaan. Mangsa kebencian, hasad dengki dan salah faham.
Maka, bermula saat itu Rais terus tinggal bersama-sama Mak Nah di rumah yang disediakan untuk pembantu. Walaupun rumah itu jauh lebih kecil daripada rumahnya yang dahulu, namun Rais bersyukur. Dia bersyukur kerana hidupnya tenang tanpa sepak teranjang dan makian. Hanya kepada Mak Nah dia menumpang kasih.
 Namun, apabila dia menginjak ke alam dewasa dan mampu berdikari, Mak Nah terpaksa mengundur diri dan kembali ke kampung halaman. Tinggallah Rais di rumah tersebut berseorangan tanpa ada sesiapa di sisi untuk menemani. Semenjak ketiadaan Mak Nah, dia terus lupa cara untuk menyayangi apatah lagi untuk menerima kasih sayang. Malah, dia terus terlupa cara untuk mengukir senyum.

Masa kini…
DERINGAN telefon mengembalikan ingatan Rais daripada masa lalu. Dia meraup wajah seketika sebelum telefon pintar itu dicapai. Sebaik saja melihat nama yang tertera di skrin, Rais terus menjawab.
“Ibu…” Sebutnya perlahan. Sayu.
“Assalamualaikum, Is sihat?” suara ibunya kedengaran lembut di telinga.
“Waalaikummusalam. Alhamdulillah, Is sihat. Ibu?”
“Alhamdulillah, ibu pun sihat. Is buat apa tu? Dah makan ke belum?” soal si ibu lagi penuh kasih sayang.
“Is baru sampai rumah. Alhamdulillah dah makan. Ibu…” Rais meleretkan kata.
“Is ada apa-apa nak cakap dengan ibu ke?”
“Is penat. Penat sangat. Boleh tak Is tamatkan semua ni?” soal Rais dengan suara yang lirih. Apabila mendengar suara ibunya, hatinya tiba-tiba menjadi lemah.
Kedengaran talian menyepi buat seketika. Hanya hembusan nafas si ibu kedengaran di telinga Rais. Dia menanti bicara daripada Puan Rafiyah dengan sabar.
“Is nak mengaku kalah setelah separuh jalan Is berjuang? Is dah janji pada ibu untuk dapatkan hak Is dan hak ibu semula dan Is nak menyerah macam tu saja? Is nak bagi kemenangan kepada orang yang dah musnahkan kebahagiaan keluarga Is?” soal Puan Rafiyah bertalu-talu.
Rais terdiam seketika. Mengenangkan apa yang telah berlaku kepada dia kebelakangan ni menyebabkan Rais terasa penat. Jika boleh, dia ingin meninggalkan segala kekusutan ini dan hidup bersama dengan ibunya. Namun, janji pada si ibu harus dilaksanakan. Hak mereka harus dituntut.
“Kalau Is berjaya dapatkan hak kita semula, ibu akan maafkan abah?” soal Rais tanpa menjawab soalan Puan Rafiyah.
Namun, soalan Rais tidak mendapat apa-apa jawapan. Talian terus menyepi.
“Ibu…” Panggil Rais perlahan.
Errr… Ibu minta diri dulu. Is berehatlah. Nanti ada masa, kita jumpa.” Ucap Puan Rafiyah tanpa menjawab soalan Rais.
Rais tersenyum hambar. Dia tahu Puan Rafiyah ingin mengelak daripada menjawab soalannya. Dia mengerti apa yang terjadi kepada Puan Rafiyah memang sukar untuk dilupakan.
“Baiklah. Assalamualaikum…” Balas Rais lalu menamatkan panggilan.
Dia melepaskan keluhan yang panjang. Satu soalan kerap menerjah fikirannya, bilakah kemarau hidupnya akan tamat? Dia inginkan kebahagiaan yang pernah dirasai satu ketika dahulu. Adakah dia dapat merasakan semua itu kembali atau semua itu hanya menjadi sejarah hidupnya?



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.