Tetamu Rindu

Tuesday 28 January 2020

MR. FROST ( Bab 4 )


RAIS tergesa-gesa mendaki tangga menuju ke bilik rehat yang selalu digunakan oleh Razin untuk berehat. Katanya ada urusan penting. Disebabkan itulah Rais terpaksa membatalkan segala urusan kerjanya semata-mata kerana Razin. Sebaik saja dia sampai di muka pintu, langkah Rais terhenti serta-merta apabila melihat Razin yang kelihatan bersahaja dengan wajah yang tidak bersalah memandangnya.
“Hah, sampai pun kau. Bagus! Macam nilah aku nak. Bila aku call, kau terus tercegat depan aku. Kau memang pekerja yang bagus.” Ujar Razin sambil tersenyum puas. Dia bangun dari duduknya dan mendapatkan Rais.
Rais menahan sabar. Bibir dikemam sekuat mungkin.
“Kau cakap ada urusan penting yang nak bincangkan dengan aku. Urusan apa?” soal Rais tanpa bertangguh.
Razin tersenyum senget. Dia menghampiri Rais. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan.
“Tak perlulah terburu-buru. Take it easy, Is.”
“Kerja aku masih banyak di ofis.” Pintas Rais ringkas dan tegas.
Langkah Razin terhenti seketika. Lama dia memandang Rais sebelum tertawa kecil.
“Kalau kau bekerja sampai pecah kepala pun, Qarya Group takkan jadi milik kau. Jadi tak payahlah kau berangan. Tak payah susah-susah kerja keras,” jawab Razin. Cukup sinis.
“Sekurang-kurangnya aku tahu erti tanggungjawab. Aku sedar mana tempat aku berpijak.” Jawab Rais tidak mahu mengalah. Wajahnya kaku tidak beriak.
Razin hanya mencebikkan bibir. Meluat dengan kata-kata Rais.
“Baguslah kalau kau sedar. Jadi tak perlulah aku ingatkan kau selalu. Kau tu menumpang, buat cara menumpang. Sekarang, aku nak kau tengok semua barang kemas ni…” Ujar Razin kembali melabuhkan punggung di sofa. Tangannya ditunjukkan ke arah dua bekas berbentuk segi empat tepat berwarna biru yang tersusun di atas meja.
“Apa ni?” soal Rais lantas menarik salah satu bekas tersebut.
“Aku nak kau pilih mana yang kau rasa sesuai untuk aku bagi pada Fina,” balas Razin membuatkan Rais tersentak. Dia memanggungkan kepala memandang Razin yang sedang mengangkat kening.
“Kau nak bagi pada Fina?” soalnya sedikit terkejut.
Razin yang sudah menjangkakan reaksi Rais menyembunyikan senyumnya. Kedua belah tangan disilangkan ke dada.
“Kenapa tak boleh ke?”
“Boleh. Terpulang pada kau. Jadi kenapa kau panggil aku ke sini?” Rais cuba berlagak selamba. Dia merenung Razin sejenak sebelum pandangannya dihalakan ke tempat lain. Begitulah kebiasaannya. Dia tidak akan memandang mata orang lain melebihi satu minit.
“Aku nak kau pilihkan rantai ni untuk Fina. Memandangkan kau pernah jadi kekasih dia, jadi tentu kau tahu cita rasa Fina macam mana. Aku nak dia terharu dengan hadiah yang aku berikan ni,” ujar Razin. Sekadar untuk menguji.
Rais tidak mempedulikan kata-kata Razin sebaliknya pandangan terus diarahkan kepada dua bekas baldu biru berisi rantai leher yang satunya terdiri daripada rantai leher bertatahkan berlian. Manakala, satu lagi bekas merupakan rantai leher emas yang berloketkan batu permata berwarna hijau kebiruan. Kedua-duanya nampak memukau dan pasti harganya mencecah puluhan ribu.
“Aku rasa lebih baik kau sendiri yang tanya dia. Aku tak tahu apa-apa pasal barang kemas ni,” ucap Rais setelah agak lama mendiamkan diri.
Razin tersenyum sinis.
“Aku dah agak dah. Kau takkan sanggup buat pilihan. Aku tahu tentu kau berat hati tengok hadiah yang bakal aku berikan pada bekas kekasih kau tu kan?” soal Razin. Perkataan bekas kekasih ditekankan.
“Ini bukan urusan aku dan aku tak nak ambil tahu.” Tegas Rais. Dia memalingkan wajahnya.
“Kenapa tak nak ambil tahu? Sakit hati? Aku tahu kau masih berhubungan dengan Fina dan aku tak suka. Kau kena ingat, Rais. Kau dah tukarkan Fina dengan sebahagian daripada saham aku di Qarya Group. So, dia milik aku sekarang. Aku nak kau putuskan segala hubungan kau dengan dia dan pegang janji kau.” Ujar Razin kembali berdiri.
Kata-kata Razin menghentikan langkah Rais. Dia memejamkan mata sejenak. Cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan orang bongkak seperti Razin.
“Kau jangan risau. Aku tak pernah langgar janji aku. Cuma aku nak kau tahu, Fina bukan jenis perempuan yang mudah ditundukkan.” Jawab Rais akhirnya.
“Aku tak percaya. Aku tak percaya ada perempuan yang kebal dengan berlian seperti ni. Aku boleh berikan apa saja yang dia nak asalkan dia terima aku.” Balas Razin. Anak matanya jelas menunjukkan yang dia benar-benar berharap.
“Itu kau kena usahakan sendiri. Kau lebih berpengalaman daripada aku.” Ucap Rais malas memanjangkan perbualan. Banyak perkara lain yang lebih penting perlu difikirkan.
Razin terdiam. Kata Rais ada benarnya. Kalau diikutkan pengalaman, lebih daripada berpuluh perempuan pernah menjadi kekasihnya, kenapa dia perlu mendapatkan nasihat Rais yang hanya sekali bercinta? Detik hatinya.
“Kalau tak ada apa-apa, aku keluar dulu.” Ujar Rais setelah Razin hanya mendiamkan diri.
Dia ingin melangkah, namun panggilan daripada Razin kembali menghentikan langkahnya. Dia menunggu Razin menghampirinya.
“Ambil cek ni…” Ujar Razin lalu menyerahkan sekeping cek kosong, hanya terdapat tanda tangan di atas kertas itu.
Dahi Rais berkerut. Dia memandang cek dan Razin silih berganti sebelum pandangannya dihalakan ke tempat lain.
“Untuk apa?” soalnya pendek.
“Kau akan tahu nanti,” jawab Razin turut ringkas.
Rais melepaskan keluhan. Bosan apabila terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti ini seumur hidupnya.


HANA meneruskan langkah yang tidak berpenghujung. Suasana malam di ibu kota seperti kebiasaannya, ramai muda mudi yang masih melepak bagi mengisi masa lapang mereka. Namun, berbeza dengan Hana. Dia berjalan tanpa arah tujuan bukan untuk mengisi masa lapang, sebaliknya dia ingin meredakan tekanan yang dialami saat ini. Masalah yang datang serentak membuatkan dia lelah seketika.
Awak diterima bekerja di Penerbitan Pena Qarya? Awak tahu tak yang Pena Qarya tu dibawah naungan Qarya Group? Semalam, awak dipecat oleh salah seorang pengarah dia. Sekarang, awak cakap awak nak bekerja di bawah syarikat yang sama pula? Awak tak takut ke terjumpa semula dengan Mr. Frost tu?” soal Emma sewaktu mereka bertemu sebentar tadi kembali terngiang di telinga Hana.
Hana sedikit tersentak mendengar kenyataan itu. Dia terlupa seketika tentang hakikat tersebut. Air sirap yang ingin diteguk, diletakkan kembali. Wajah Emma dan Dahlia dipandang silih berganti. Ada jalur resah tergambar di wajahnya.
Awak cakap Mr. Frost bertugas di HQ kan? Jadi saya rasa saya takkan jumpa dengan dia. Lagipun HQ dengan Penerbitan Pena Qarya bukan di bahagian yang sama.” Jawab Hana cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Memang bukan bahagian yang sama tapi tetap dalam bangunan yang sama. Awak lupa ke bermula dari penerbitan, cetakan dan edaran semuanya terletak di kawasan yang sama. Lambat laun awak akan berjumpa juga dengan Mr. Frost tu.” Balas Dahlia menambahkan rasa gundah dalam hati Hana.
Hana mencebikkan bibir.
“Lantaklah kalau saya terjumpa dengan dia sekali pun, saya diterima bekerja sebab saya layak. Dia tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan saya. Lagiupun saya mohon kerja tu dah lama. Kalau dia nak kaitkan saya dengan kes tadi, maknanya dia tak profesional.” Jawab Hana.
Dahlia hanya tersenyum. Diikuti Emma yang hanya mampu menjongketkan bahu.
Saya doa awak takkan jumpa dengan Mr. Frost tu, Hana.” Ujar Emma sambil tersengih.
Perbualan di antara mereka bertiga lenyap daripada fikiran Hana. Dia mengetuk dagu memikirkan kata-kata Dahlia dan Emma.
“Kalau aku jumpa dia sekali pun, biarlah. Lagipun aku dapat kerja tu dengan hasil usaha aku sendiri. Dalam keadaan sekarang ni, aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Masalah papa lebih utama sekarang.” Ucap Hana sendirian. Dia meneruskan langkah.
“Aku di mana ni?” soalnya lagi. Kepalanya berpusing cuba mengamati tempatnya berdiri. Dia melepaskan nafas pendek. Dek terlampau larut dalam lamunan, dia tidak menyedari di mana dia berada.
“Nampaknya kat sana ada tempat tunggu bas. Lebih baik aku balik sebelum papa risau,” ujarnya sendirian.
Setelah keputusan dibuat, Hana mula menapak ke arah perhentian bas tersebut. Namun, belum sempat kakinya melangkah, tiba-tiba sebuah kereta mewah berhenti di hadapan perhentian bas tersebut. Dahi Hana berkerut apabila seorang wanita keluar dari perut kereta diikuti oleh seorang lelaki yang tergesa-gesa mengejar wanita terbabit.
Mr. Frost?!” hampir terbuntang mata Hana apabila melihat Rais yang sedang bertegang urat dengan wanita yang cantik jelita itu.
Tanpa bertangguh, Hana cepat-cepat berdiri di sebalik tiang lampu. Cuba mencuri dengar perbualan pasangan itu. Telefon pintar yang berada di dalam beg sandangnya, segera dicapai lantas dihalakan ke arah mereka berdua.
“Adra, tunggu!” suara Rais kedengaran jelas di telinga Hana.
Wanita bernama Adra menghentikan langkah. Dia berpaling ke arah Rais dengan wajah yang basah dengan air mata.
“Apa lagi yang you nak terangkan, Is? Tak cukup lagi ke you hina I dengan cek ni?” soal Adra cuba menahan sabar. Cek yang berada di tangan, ditayangkan ke muka Rais.
Rais hanya beriak tenang. Sememangnya itulah reaksinya walau apa pun yang berlaku.
“Ini untuk kebaikan you. You boleh mulakan hidup baru dengan duit ni,” ujar Rais.
“Dengan gugurkan kandungan I?!” suara Adra kedengaran sedikit tinggi.
Hana tersentak. Telefon yang dipegang terlepas daripada genggaman. Serta-merta tangannya menggigil. Jantungnya berdegup laju apabila terasa kewujudannya mula disedari oleh Rais. Pantas, dia menunduk dan mencapai telefon bimbitnya semula sebelum berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Bunyi benda terjatuh menarik perhatian Rais. Dia mengalihkan pandangan sebelum anak matanya terhenti pada sebatang tubuh yang cuba bersembunyi di sebalik tiang lampu. Rais mengecilkan matanya. Cuba mencari raut pemilik tubuh itu.
“I dah buat keputusan. I takkan gugurkan kandungan ni walau berapa banyak duit yang you taburkan pada I!” tegas Adra mengganggu pusat pemerhatian Rais. Tumpuannya kembali terarah kepada Adra.
“Sama ada you nak gugurkan kandungan itu terserah pada you, I cuma tak nak berita ni sampai ke pengetahuan orang ramai,” ucap Rais.
“Jadi duit ni untuk tutup mulut I? I tak sangka you sekejam ni, Is!” bentak Adra. Bengang dengan kata-kata Rais yang dirasakan tidak berhati perut. Tanpa mempedulikan rayuan Rais, Adra mengoyakkan cek tersebut menjadi kepingan kecil lalu dicampakkan ke dada Rais.
Rais terkelu. Dia tidak menyangka semuanya menjadi sesukar ini.
“Kalau amaun tu tak cukup, you cakap. I boleh tambah. Asalkan tak ada sesiapa pun boleh tahu tentang kandungan you tu. ” balas Rais tanpa perasaan.
Adra menggelengkan kepala. Bicara Rais cukup mengguris hatinya.
“You takut kandungan I ni akan menghancurkan nama baik keluarga you? Jadi, I takkan gugurkan! Biar keluarga you tahu semuanya!” Ugut Adra dengan riak yang serius.
Rais tersenyum sinis.
“I langsung tak pedulikan you dan kandungan you. I yakin you takkan berani buat semua tu sebab nama you yang akan busuk! I dah bagi amaran. Terserah pada you. Kalau you tak nak nyawa you dan anak you terancam, ikut cakap I.” Ujar Rais tanpa memujuk Adra. 
“You memang tak guna, Is!” bentak Adra lalu berlalu meninggalkan Rais. Sebuah teksi ditahan. Tanpa menghiraukan panggilan Rais, dia berlalu membawa hatinya yang hancur remuk.
“Adra!” panggil Rais kuat. Dia cuba mengejar namun teksi tersebut terlebih dahulu meninggalkannya.
Satu keluhan dilepaskan. Rambutnya diraup ke belakang. Namun, bunyi deringan telefon mengejutkan Rais. Pantas, dia berpaling.
“Hana dah nak balik ni, papa. Hana tengah tunggu bas.” Suara itu kedengaran tergesa-gesa dan seakan berbisik. Rais mendengus. Dia mula menapak menghampiri gadis yang berdiri di sebalik tiang lampu.
Hana cuak. Menyedari langkah Rais ke arahnya, dia mula tidak keruan. Namun, dia hanya berdiri tegak seolah tiada apa-apa berlaku.
Excuse me…” Suara garau milik Rais menegur. Dia cuba mengamati wajah gadis yang berdiri tegak itu. Tetapi sebaik saja wajah gadis itu menyapa pandangan, mata Rais membulat.
“Awak?!” dia hampir menjerit.
Hana tersengih kekok.
“Anggap saja saya ni tiang lampu,” ujarnya sambil tersengih-sengih dengan jantung yang berdengup laju.
“Awak buat apa di sini?” soalnya ringkas. Dia memandang Hana dengan curiga.
“Tunggu bas. Buat apa lagi?” jawab Hana cuba mengawal suaranya yang bergetaran.
Rais terdiam. Dia memandang Hana dari atas hingga ke bawah sebelum anak matanya terhenti pada telefon yang berada dalam genggaman gadis itu. Dia yakin tentu Hana telah mendengar perbualannya dengan Adra.
“Berapa lama dah awak berdiri di sini?” soal Rais lagi inginkan kepastian. Tiada seulas senyuman menghiasi bibirnya.
Errr… Baru.. baru je sampai,” bohong Hana. Anak matanya diliarkan ke kiri dan kanan tanda dia sedang berbohong.
“Bohong!” bentak Rais tiba-tiba. Dia berdiri berhadapan Hana sambil mencekak pinggang.
Hana terkesip. Terhenjut bahu Hana mendengar suara Rais yang meninggi. Kecut juga perutnya. Namun, Hana tetap menayang wajah selamba. Sedaya upaya dia cuba mengawal riak wajah agak tidak ketara perasaannya yang sebenar.
“Terpulang pada tuan sama ada nak percayakan saya atau tidak. Itu bukan urusan saya,” jawab Hana berani. Dia mula berpaling untuk meninggalkan Rais.
“Tunggu!” halang Rais membuatkan langkah Hana terbantut.
“Saya akan percayakan awak kalau awak bagi saya check telefon awak tu,” ujar Rais. Matanya dihalakan ke arah telefon yang dipegang oleh Hana.
Hana berpaling. Dia menunjuk ke arah telefon bimbitnya sebelum menggelengkan kepala.
“Tak ada sebab untuk saya serahkan telefon ni pada tuan. Ini barang saya. Hak saya.” Balas Hana tegas.
“Memang hak awak. Tapi awak jangan ingat saya bodoh, tak tahu apa yang awak dah buat. Awak curi-curi dengar perbualan saya dan rakam apa yang terjadi kan?” tempelak Rais.
Hana terkedu seketika. Bagaimana Rais boleh menyedari perbuatannya tadi? Atau itu sekadar serkap jarang untuk membuatkan dia mengaku?
“Tuan tak ada bukti untuk menuduh…”
“Jadi serahkan telefon tu untuk saya cari bukti. Kalau awak tak buat apa yang saya katakan tadi, kenapa perlu takut?” pintas Rais. Masih tetap dengan sangkaannya.
Dia menghulurkan tangan meminta agar Hana menyerahkan telefon tersebut kepadanya. Dia memandang Hana dan telefon milik gadis itu silih berganti.
“Takut? Saya takut? Saya rasa tuan yang patut takut dengan perbuatan tuan sendiri.” Jawab Hana dengan senyuman sinis. Dia berpaling tanpa mengendahkan kata-kata Rais. Dia menggoyangkan telefon bimbitnya seolah-olah mengejek Rais.
Rais mendengus marah. Pantas, dia menghampiri Hana. Telefon tersebut cuba dirampas, namun Hana lebih cekap mengelak.
“Apa yang tuan buat ni?!” marah Hana. Dia cuba mengelak tubuhnya daripada bersentuhan dengan tubuh lelaki itu yang tegap.
“Saya tahu awak sengaja buat semua ni untuk balas dendam kan?” soal Rais. Sekali lagi dia cuba merampas telefon tersebut namun gagal.
Hana mengetap bibir. Tanpa mempedulikan tohmahan Rais, dengan selamba dia memijak kaki Rais. Rasakan!
Auch!” Rais terhincut-hincut. Kesempatan itu digunakan oleh Hana untuk melarikan diri. Apabila dia merasakan jaraknya dan Rais agak jauh, dia berpaling.
“Kalau tahu dah buat salah, bertanggungjawablah. Bukan guna jalan pintas untuk tutup kesalahan! Nasihat orang pandai, tapi diri sendiri jauh menyimpang. Anak tu amanah Allah, bukan untuk disia-siakan! Video ni saya simpan, mungkin boleh guna di waktu kecemasan!” laung Hana. Sempat lagi dia ketawa besar apabila melihat Rais yang terhincut-hincut menahan kesakitan.
Rais mengecilkan matanya. Dadanya turun naik menahan sabar. Ternyata telahannya benar. Gadis itu telah merakam segalanya! Licik!
Hana tersenyum puas. Semalam kau kenakan aku. Kau salah guna kuasa yang ada pada kau. Sekarang, baru kau tahu langit tinggi atau rendah. Bisik hati Hana. Renungan tajam daripada Rais tidak mampu menakutkan dirinya saat ini.
“Jangan ingat awak boleh lari. Saya takkan lepaskan awak!” jerit Rais lalu berlari untuk mengejar Hana.
Hana terkebil-kebil. Dia fikirkan Rais sudah mengalah tetapi ternyata Rais begitu nekad. Alamak, apa aku nak buat ni? Detik hatinya. Mulai gundah. Tanpa bertangguh, dia berpaling untuk melarikan diri namun Hana tersilap langkah kali ini. Dia tidak menyedari tiang lampu yang tegak di belakangnya. Tidak semena-mena kepalanya terhantuk pada tiang lampu tersebut sebelum dia jatuh terlentang di atas jalan.
“Aduh!” jeritnya sambil memegang dahi. Wajahnya berkerut menahan sakit.
Rais yang melihat kejadian itu sedikit tergamam. Namun, kesempatan itu digunakan sebaiknya. Dia mendapatkan Hana yang kelihatan pening lalat. Beg sandang milik gadis itu dirampas.
Hana tersentak. Dia mendongak.
“Hoi, bagi balik beg saya!” jerit Hana apabila melihat Rais menyelongkar beg sandang miliknya. Pantas, Hana bangkit. Dia menarik beg itu kembali.
“Lebih baik tuan lepaskan sebelum saya menjerit yang tuan cuba ragut beg saya.” Ugut Hana. Dia termengah-mengah.
“Serahkan handphone awak dulu!”
“Tak nak!” tegas Hana.
Rais dan Hana beradu pandangan. Masing-masing tidak mahu mengalah.
“Polis!” jerit Hana lalu menuding jari ke arah belakang.
Rais termakan umpan. Dia berpaling. Kesempatan itu digunakan oleh Hana untuk menolak tubuh Rais dengan kuat. Lelaki itu jatuh terduduk. Manakala, Hana menggunakan kesempatan itu untuk melarikan diri tanpa menoleh ke belakang.
Rais mengetap bibir. Geram. Dia terkena dengan ulah Hana. Kedua belah tangannya digenggam kuat. Dia menahan diri daripada menjerit. Genggaman tangannya kembali dibuka. Kelihatan, keychain beruang panda berada dalam genggamannya. Pasti keychain itu terputus sewaktu dia menarik beg gadis itu. Rais menggengam keychain tersebut seolah-olah dia mencekik Hana.
“Perempuan tak guna!”



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.