Tetamu Rindu

Wednesday 29 January 2020

MR.FROST ( Bab 6 )


SUNYI sepi. Itulah yang dirasakan oleh Tuan Yahya saat ini. Rumah yang dahulunya riuh rendah dengan suara anak-anak perempuannya kini bertukar sepi seolah tiada berpenghuni. Meja makan yang dahulu penuh dengan juadah, kini hanya tinggal sebungkus roti bersama dengan sebotol kaya. Namun begitu, Tuan Yahya tetap tidak menjamah walau sekeping roti. Dia hanya mampu termenung. Mengenangkan kehidupan mereka yang berubah dalam sekelip mata.
“Papa tak cuba minta tolong dengan Tuan Ruslan? Dia kawan papa kan?”
Suara Hafeeza kembali terngiang di telinga. Kalau aku minta tolong dengan Ruslan, nak ke dia tolong aku? Detik hati Tuan Yahya. Senyap. Tiada jawapan. Satu keluhan dilepaskan.
“Papa, kenapa termenung depan rezeki ni?” tegur Hana sambil menyentuh bahu Tuan Yahya.
Tuan Yahya tersentak. Pantas, dia mendongak. Segaris senyuman dihadiahkan buat Hana. Senyuman yang dirasakan cukup hambar.
“Tak ada apa-apa. Papa tengah fikir mana nak cari duit untuk bayar semua hutang-hutang tu,” terang Tuan Yahya. Dia meraup wajah yang terasa lesu. Tubuhnya juga tidak bermaya dek fikiran yang terganggu menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata.
Hana mengangguk kecil. Perlahan-lahan, dia mengeluarkan sesuatu dari belakang lalu diletakkan di atas meja sebelum kertas bersaiz A4 ditolak ke arah Tuan Yahya.
“Ambillah ni, papa…” Ucap Hana sambil membalas renungan Tuan Yahya yang kelihatan terpinga-pinga.
“Apa ni, Hana?”
Tuan Yahya mencapai beberapa helaian kertas itu lalu menelitinya dengan wajah yang berkedut seribu. Tidak lama kemudian dia menggelengkan kepala.
“Kenapa Hana bagi papa geran ni? Dan kenapa geran ni boleh ada dengan Hana sedangkan arwah atuk dan nenek dah wakafkan tanah dan rumah ni kepada orang kampung?” soal Tuan Yahya pelik. Dia memandang tepat ke anak mata Hana. Mengharapkan jawapan daripada anak bongsunya itu.
“Sebenarnya, tanah dan rumah ni kepunyaan arwah atuk. Arwah atuk tak pernah wakafkan tanah dan rumah tu kepada sesiapa pun. Cuma, tanah yang diwakafkan kepada orang kampung itu sebenarnya tanah milik arwah nenek.” Terang Hana lambat-lambat. Bimbang jika Tuan Yahya mengamuk.
“Tanah arwah nenek? Kenapa papa tak tahu apa-apa pasal ni? Kenapa peguam arwah atuk dan nenek tak sebut pasal ni masa bacaan wasiat hari tu?” soal Tuan Yahya sedikit terkejut. Hampir saja dia terbangun daripada duduk dek kerana terkejut.
Hana menundukkan wajah. Cuba mencari kekuatan untuk berterus-terang.
“Arwah nenek yang minta peguam rahsiakan semua ni daripada pengetahuan papa. Lagipun, arwah nenek pernah cakap, soal tanah tu tak ada sesiapa yang tahu. Tanah tu tak ada sesiapa yang usahakan pun, jadi arwah nenek wakafkan tanah tu kepada orang kampung untuk buat masjid atau surau. Atau dijadikan pusat mengaji. Arwah atuk pula tak nak sesiapa pun berebut tanah dan rumah pusaka tu jadi dia minta peguam nyatakan yang rumah dan tanah tu dah diwakafkan. Hana tahu pasal ni pun selepas pembacaan wasiat. Arwah atuk minta peguam berikan pada Hana tanpa pengetahuan papa dan mama.” Jelas Hana panjang lebar.
Tuan Yahya melepaskan nafas pendek. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya saat ini. Kenapa sampai begitu sekali tindakan ibu dan ayahnya sedangkan dia anak kandung mereka?
“Kenapa atuk dan nenek buat macam ni? Mereka tak percayakan papa ke? Papa ni anak mereka tau.” Keluh Tuan Yahya sedikit kesal.
Hana terdiam seketika. Dia ingin mengatakan sesuatu tetapi mulutnya bagaikan berat ingin mengungkapkan. Hanya bibirnya saja yang bergerak namun tiada patah perkataan yang keluar.
“Peguam cuma cakap, arwah atuk dan nenek nak supaya masa depan Hana terjamin andai kata, papa tak nak jaga Hana…” Balas Hana dengan suara yang tersekat-sekat.
Tuan Yahya tersentap. Serentak, dia berpaling pada Hana yang sedang menundukkan wajah. Terbayang segala layanan mereka sekeluarga terhadap Hana selama ini. Tidak pernah walau sekali pun mereka menghargai kehadiran Hana dalam rumah ini. Kewujudan Hana langsung tidak dipedulikan. Seolah-olah Hana orang asing bagi mereka. Tetapi sekarang baru Tuan Yahya sedari, insan yang tidak pernah mendapat tempat di matanya, kini berada di sisinya di saat dia sedang kesusahan. Manakala, insan yang selalu dibanggakan, hilang begitu saja.
“Hana… Papa bukan tak nak jaga…”
“Hana tahu, papa. Hana sedar. Hana bukan budak kecil. Papa, mama, along dan angah anggap Hana pembawa malang dalam keluarga ni kan? Disebabkan Hana, adik mati. Disebabkan Hana balik ke rumah ni, papa bankrap. Hana tahu semua orang salahkan Hana. Sampai sekarang mama tak nak tegur Hana. Nak pandang muka Hana pun mama tak nak. Kenapa papa? Kenapa Hana dipersalahkan sedangkan semua tu bukan kuasa Hana. Bukan Hana yang kawal takdir.” Luah Hana. Dia cuba menahan sebak.
“Hana…” Tuan Yahya cuba memujuk. Tangan Hana dicapai. Namun, Hana pantas menarik dan menolak geran tersebut kembali kepada Tuan Yahya.
“Hana sayangkan papa. Hana sayangkan keluarga ni. Jadi, papa ambillah geran ni. Papa boleh jual rumah dan tanah ni kalau itu dapat membantu kurangkan beban hutang papa. Hana akan buktikan yang Hana bukan pembawa malang. Hana akan buat apa saja untuk pulihkan keadaan keluarga kita.” Ujar Hana penuh tekad.
Tuan Yahya mengetap bibir. Kepalanya digelengkan. Kertas tersebut ditolak kembali kepada Hana.
“Papa tak nak. Ini harta pusaka yang arwah atuk dan nenek dah amanahkan pada Hana untuk jaga. Papa tak ada apa-apa hak ke atas rumah dan tanah ni. Papa takkan jual dan papa takkan ambil kesempatan walaupun Hana anak papa. Sekarang papa lega, kalau jadi apa-apa pada papa, Hana masih ada tempat untuk berteduh. Hana simpan geran ni elok-elok dan pastikan mama dan kakak-kakak Hana yang lain tak tahu pasal ni. Papa tak nak mereka timbulkan masalah nanti,” balas Tuan Yahya dengan senyuman. Telapak tangannya dilekapkan ke pipi Hana sebelum pipi gebu itu dielus lembut.
“Tapi papa ni satu-satunya jalan untuk papa dapatkan duit. Hutang papa masih banyak. Kalau papa tak bayar tepat pada waktu yang ditetapkan, nanti keadaan akan jadi bertambah buruk.” Ujar Hana serba salah.
“Papa dah tak kesah semua tu, Hana. Biarlah papa tak dapat selesaikan hutang tu daripada papa khianati arwah atuk dan nenek. Sejak papa menetap di sini, jarang sangat papa balik kampung jenguk mereka. Masa papa dihabiskan dengan bercuti sana sini. Sibukkan diri dengan hal syarikat walaupun mereka telefon hari-hari. Kadang-kadang, papa tak angkat. Bila papa angkat, papa bagi alasan sibuk. Padahal arwah atuk dan nenek cuma nak tanya khabar satu-satunya anak yang dia ada. Papa tak pernah pedulikan perasaan mereka. Papa cuma hantar duit padahal mereka tak perlukan semua tu. Papa bebankan mereka dengan hantar kamu ke sana. Sedangkan itu tanggungjawab papa. Papa bersalah, Hana. Papa bersalah dengan mereka dan papa tak sempat pun nak mohon ampun. Bankrap? Mungkin ni balasan untuk anak yang tak kenang budi macam papa.” Luah Tuan Yahya panjang lebar.
Tanpa sedar ada titisan air mata mengalir di juring mata. Titisan air mata keinsafan.
“Papa, arwah atuk dan nenek sayangkan papa…”
“Papa tahu. Tapi papa tak bersyukur…” Pintas Tuan Yahya. Dia meraup wajahnya. Air mata masih tidak berhenti mengalir. Menangisi perbuatannya sendiri.
Hana menggigit bibir. Dia bingkas bangun. Tubuh Tuan Yahya dipeluk bagi memujuk papanya yang dilanda hiba.
“Yang dah berlaku, kita dah tak dapat ubah, papa. Sekarang, kita kena fikirkan cara untuk selesaikan masalah papa.” Hana cuba mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak betah melihat lelaki segagah papanya menitiskan air mata. Dia turut sebak.
Tuan Yahya menyapu sisa air matanya. Pelukan dileraikan. Dia mendongak memandang wajah Hana yang polos.
“Papa rasa, papa terpaksa…”
Belum sempat Tuan Yahya menyambung kata, kedengaran bunyi bising di luar pagar rumah mereka. Hana dan Tuan Yahya berpandangan.
“Bunyi apa tu, papa?” soal Hana pelik.
Tuan Yahya kebingungan. Dia hanya mampu mengangkat bahu.


ASSALAMUALAIKUM!” laungan salam yang kuat membuatkan Tuan Yahya semakin dilanda tanda tanya. Dia bergerak ke muka pintu sambil diikuti oleh Hana yang berada di belakang.
“Waalaikummusalam.” Jawab Tuan Yahya lalu membuka pintu utama.
Matanya terbuntang apabila melihat sekumpulan manusia berdiri di hadapan pintu pagar rumahnya dengan wajah yang bengis. Tuan Yahya meneguk air liur. Dia kenal setiap wajah-wajah itu.
“Siapa mereka tu, papa?” soal Hana ingin tahu.
“Mereka tu pekerja syarikat papa. Syarikat dah tutup. Nampak gayanya mereka terpaksa ke sini untuk cari papa.” Terang Tuan Yahya. Hana hanya menganggukkan kepala.
“Kenapa berdiri tercegat dekat situ? Bukalah pintu ni! Kami datang nak tuntut hak kami! Kami nak gaji kami! Dah berapa bulan tertunggak. Janji nak bayar tapi tak bayar-bayar! Tuan ingat kami tak ada anak bini nak tanggung ke?” salah seorang lelaki daripada kumpulan itu mula bersuara. Disambut dengan suara-suara yang lain.
“Jom kita masuk ke dalam Hana. Kalau kita layan mereka, memang takkan habis. Bila mereka penat, mereka baliklah tu.” Bisik Tuan Yahya lalu cuba menarik tangan Hana.
Namun, Hana menarik tangannya daripada pegangan Tuan Yahya. Dia menggelengkan kepala.
“Dengan melarikan diri, kita takkan dapat selesaikan masalah, papa. Lebih baik kita berbincang dengan mereka. Mereka ada hak untuk mendapat penjelasan daripada kita selaku majikan. Kita dah buat silap, tak salah pun kalau kita akui kesilapan kita,” ujar Hana membantah kata-kata Tuan Yahya.
Tuan Yahya tersentak. Bibirnya dikertap. Sedikit terkesan dengan teguran Hana walaupun setiap bait itu dituturkan dalam nada yang lembut.
“Nak bincang apa lagi, Hana? Mereka tuntut gaji sedangkan kita tak ada satu sen pun untuk bayar gaji mereka!”
“Memang kita tak ada duit untuk bayar gaji mereka, tapi sekurang-kurangnya kita boleh jelaskan perkara sebenar kepada mereka. Jangan biar mereka ternanti-nanti macam tu. Makin lama mereka menanti, makin marak api kemarahan mereka. Makin berdendam mereka dengan kita. Papa tak fikir ke semua tu?” ucap Hana mengajak Tuan Yahya berfikir secara rasional.
“Tapi Hana… Mereka takkan dengar,” keluh Tuan Yahya.
“Belum cuba belum tahu, papa. Apa yang penting, jangan sesekali lari daripada masalah. Kita juga yang susah satu hari nanti,” balas Hana lalu mengatur langkah menuju ke pintu pagar.
“Hana! Papa kata jangan!” larang Tuan Yahya dengan keras. Dia menyebak rambut ke belakang. Kusut fikirannya memikirkan sikap berani yang ditunjukkan oleh Hana.
“Hoi, bukalah pintu! Ingat kami pengemis ke apa ni?!” laung pekerja-pekerja tersebut.
“Kalau tuan tak buka pintu pagar ni, kami tak teragak-agak nak rempuh!” ugut mereka.
“Sabar dulu encik-encik semua. Kita bincang dengan tenang ya?” pinta Hana yang pada ketika itu sudah berada di hadapan pintu pagar. Kini, Hana dan sekumpulan pekerja tersebut hanya dipisahkan oleh pintu pagar.
“Buka pintu pagar ni, baru kita boleh bincang!” seorang wanita yang sudah berusia mula bersuara.
Hana hanya tersenyum nipis.
“Ada jaminan yang encik dan puan takkan bertindak kasar jika saya buka pintu pagar ni? Tak ada kan? Jadi saya rasa lebih baik kita berbincang seperti ini saja.” Ujar Hana membuatkan mereka berlapan terdiam.
“Kau siapa? Kami nak jumpa dengan Tuan Yahya. Bukan kau!”
“Saya anak bongsu Tuan Yahya,” jawab Hana tenang.
Mereka semua terkejut. Masing-masing tidak percaya dengan kata-kata Hana kerana mereka hanya mengenali Humaira dan Hafeeza yang selama ini menjadi pengurus di syarikat.
“Mustahil! Tuan Yahya hanya ada dua anak perempuan!” tingkah mereka masih meragui identiti Hana.
“Sama ada encik nak percaya atau tidak, itu terpulang. Tapi, saya mewakili papa saya nak minta maaf di atas apa yang telah terjadi. Kami sekeluarga ada masalah kewangan yang sangat kritikal saat ini menyebabkan kami tak dapat nak jelaskan gaji encik dalam masa terdekat. Cuma, insya-Allah kami akan usahakan untuk bayar gaji yang tertunggak.” Balas Hana menjelaskan perkara yang sebenar.
“Masalah kewangan? Cik tak fikir kami pun ada masalah kewangan? Kami bekerja makan gaji, bila majikan buat perangai tahi macam ni, macam mana kami nak makan?! Pernah cik fikir? Pasti tak kan? Papa cik pun pasti tak fikir semua tu. Kami perlukan duit untuk teruskan hidup. Kami tak ada rumah besar, tak ada kereta besar, tapi kami perlukan duit untuk sesuap nasi. Bila Tuan Yahya larikan diri macam ni, siapa yang susah? Kami!” bentak wakil mereka dengan wajah yang bengis. Pintu pagar digoncang dengan kuat bagi menunjukkan kemarahannya.
Hana cuba bertenang. Tangannya dikepal cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan mereka yang masih tidak berpuas hati dengan Tuan Yahya.
“Ya, saya faham kesusahan yang encik dan puan-puan alami…”
“Tak! Kau tak faham. Keluarga kau hidup mewah. Tiap-tiap bulan bercuti ke luar negara. Kereta bertukar jenama setiap masa. Rumah besar macam tak ingat nak mati. Itu kau kata, kau faham? Kalau kau faham, jual semua harta kau ni, bayar gaji kami!” seorang wanita muda yang sebaya Hana bersuara dengan agak kasar.
“Kalau boleh kami jual, kami akan jual, puan. Tapi semua harta yang kami ada, bukan milik kami sepenuhnya. Kami pun tengah sesak sekarang ni dengan masalah kewangan. Kami minta sangat jasa baik encik dan puan untuk beri kami peluang untuk cari jalan penyelesaian. Saya janji, pihak papa saya akan bayar gaji encik dan puan dengan sepatutnya. Cuma saya minta tempoh. Tempoh untuk dapatkan semula apa yang hilang,” pinta Hana dengan menggenggam tangannya seolah-olah merayu.
Arghhh! Penipu! Kami takkan percaya dengan janji-janji kosong! Buka pintu ni sekarang! Biar kami jumpa dengan Tuan Yahya. Dasar penakut! Cuma tahu menyorok belakang anak. Pengecut!” maki mereka lagi. Ada yang meludah ke tanah. Seolah-olah jijik dengan perbuatan Tuan Yahya.
“Saya bukan pengecut!” bunyi suara Tuan Yahya dari arah belakang membuatkan Hana berpaling. Dia resah apabila melihat figura papanya yang semakin mendekat. Dia bimbang jika pekerja-pekerja Tuan Yahya bertindak agresif jika terlihat Tuan Yahya.
“Hah! Boleh pun tunjuk muka! Mana duit kami? Berapa lama lagi kami nak kena tunggu?!” jerkah lelaki selaku ketua kumpulan.
Wajah Tuan Yahya berubah cuak. Belum pernah lagi dia menghadapi situasi seperti ini. Dia tertelan air liur.
Errr… Duit… Saya…”
“Apa?! Mana duit kami? Kami nak sekarang!” jerit mereka lagi. Pagar rumah Tuan Yahya digoncang kuat seolah-olah ingin dirempuh pintu pagar besi itu.
“Tunggu dulu! Bawa bertenang!” Hana cuba mententeramkan suasana.
“Bertenang? Berapa lama lagi kau orang nak kami bertenang?! Kami cuma nak hak kami!” laung mereka.
Tuan Yahya serba salah. Dia kehilangan punca saat ini. Wajahnya mula dibasahi peluk.
“Saya selaku bekas majikan kamu semua, minta maaf disebabkan perkara yang tak diingini berlaku. Saya janji, saya akan pulangkan hak kamu jika semua masalah saya dapat diselesaikan dengan secepatnya.” Ucap Tuan Yahya. Akhirnya dia memperoleh kekuatan untuk bersuara.
Arghhh! Sembang lebih!” balas mereka sekali gus tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Tuan Yahya.
“Saya janji…”
Bukkk!
Sebiji batu hinggap di dahi Tuan Yahya. Dia terjerit kecil. Hana turut terkejut apabila melihat dahi Tuan Yahya yang mula berdarah. Pantas, dia mendapatkan Tuan Yahya.
“Papa tak apa-apa?” soal Hana cemas. Sepantas kilat dia memeriksa dahi Tuan Yahya yang terluka.
“Ya Allah, dahi papa berdarah. Papa masuk ke dalam rumah dulu. Biar Hana selesaikan hal ni,” pinta Hana.
Namun, belum sempat Tuan Yahya melangkah. Tujahan demi tujahan batu yang mengenai mereka dua beranak. Hana yang menyedari perkara tersebut bertindak dengan menjadikan belakang tubuhnya perisai agar batu-batu tersebut tidak mengenai papanya.
“Jom kita masuk sekarang, papa. Mereka takkan bertenang selagi nampak kita dekat sini. Hana nak call polis. Hanya polis yang boleh tenteramkan keadaan.” Ujar Hana lalu menarik tangan Tuan Yahya.
“Jangan! Jangan call polis! Nanti hal lain pula timbul. Biar mereka lepaskan kemarahan mereka. Bila mereka puas, mereka baliklah tu.” Tegah Tuan Yahya lalu tergesa-gesa mengikut langkah kaki Hana menuju ke dalam rumah.
Hana mengetap bibir. Dia tidak bersetuju dengan fikiran Tuan Yahya namun dia terpaksa akur dengan arahan papanya. Mungkin ini jalan yang terbaik buat masa sekarang.
Jeritan demi jeritan daripada bekas pekerja Tuan Yahya terpaksa dilupakan buat seketika demi keselamatan dirinya dan Hana. Dalam hati Tuan Yahya sudah bertekad. Dia harus mengakhiri kesengsaraan mereka berdua walau dengan apa jua cara sekali pun.

TUAN, apa kita nak buat sekarang? Perlu ke kita panggil polis?” soal Khairil sambil mengerling figura Rais daripada cermin pandang belakang. Lelaki itu kelihatan tenang sambil memandang ke arah sekumpulan manusia yang sedang membaling batu ke arah seseorang.
“Panggil polis? Buat apa? Bukan hal kita pun. Lantaklah apa nak jadi pada mereka,” jawab Rais dengan tangan yang ditongkatkan ke dagu. Memerhati setiap yang berlaku dengan sorotan matanya yang tajam.
“Tapi tuan…”
“Jangan masuk campur dalam urusan yang bukan urusan kita. Jangan nak menyibuk!” tegas Rais membuatkan Khairil terdiam. Dia mengangguk lemah.
“Jadi kenapa kita datang ke sini, tuan? Kenapa tuan nak saya siasat tentang Cik Hana?” soal Khairil lagi. Sekadar ingin tahu.
“Dia dah cabar aku. Mungkin hari ni nasib dia baik. Lain kali aku takkan lepaskan dia,” jawab Rais penuh dengan makna yang tersirat.
Khairil kebingungan. Dia keliru dengan kata-kata Rais namun mengambil keputusan untuk tidak terus bertanya. Bimbang akan menaikkan kemarahan Rais.
“Saya tak sangka pula yang Cik Hana ni anak kepada Tuan Yahya. Pesaing terdekat Qarya Group, tuan. Apa yang saya tahu, kedua-dua anak perempuan Tuan Yahya yang uruskan syarikat selama ni, tapi kenapa Cik Hana bekerja di kedai buku syarikat abah tuan? Kenapa dia tak bekerja di syarikat keluarganya sendiri? Pelajaran dia pun tinggi. Peliklah tuan.” Ucap Khairil. Dahinya digaru kecil.
Rais tidak terus menjawab. Kata-kata Khairil ada benarnya. Kenapa gadis itu tidak terus bekerja di syarikatnya sendiri memandangkan dia mempunyai kelayakan yang tinggi? Atau mungkin gadis itu mempunyai agendanya yang tersendiri? Soal hati Rais.
“Mungkin dia nak belajar selok belok syarikat kita kemudian dia boleh gunakan di syarikat keluarganya sendiri,” balas Rais membuat andaian sendiri.
“Logik juga tuan. Sekarang ni, syarikat Tuan Yahya dah tutup. Pekerja pun dah mula tunjuk perasaan disebabkan syarikat Tuan Yahya gagal membayar gaji mereka yang tertunggak dan melalui info yang saya dapat, Tuan Yahya sekarang dah bankrap.” Terang Khairil lagi. Sekadar berkongsi maklumat yang dia tahu.
Rais hanya menganggukkan kepala. Pandangannya masih terhala ke arah rumah banglo dua tingkat tersebut. Kelihatan Hana sedang melindungi Tuan Yahya daripada terkena balingan batu. Rais menggigit bibir. Pandangan dialihkan ke tempat lain.
Video ni saya simpan, mungkin boleh guna di waktu kecemasan!”
Kata-kata gadis itu masih berlegar-legar di fikiran Rais. Kini, baru dia mengerti akan tindak-tanduk Hana. Pasti, gadis itu ingin menggunakan helah ini untuk mendapatkan duit. Rais tersenyum sinis.
“Balik sekarang.” Ucapnya tanpa mengulas kata-kata Khairil.
“Sekarang, tuan?” soal Khairil inginkan kepastian. Fikirnya, Rais akan menolong Hana tetapi ternyata hati lelaki itu diperbuat daripada batu. Keras. Tidak berperasaan.
“Sekarang!”
“Baik, tuan.” Akur Khairil.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.