Tetamu Rindu

Wednesday 29 January 2020

MR. FROST ( Bab 7 )


TUAN YAHYA mundar mandir di ruang tamu sambil menanti kemunculan seseorang. Dia mengamati ruang tamu yang cukup mewah itu dengan rasa kagum memenuhi ruang hatinya. Tidak lama kemudian, anak matanya terhenti pada potret keluarga yang tergantung di dinding.  Dahi Tuan Yahya berkerut apabila gambar wanita dan pemuda yang berada di dalam potret itu agak asing di pandangannya.
“Hujan tak ada, ribut tak ada, kenapa tiba-tiba kau muncul di rumah aku ni?” soal satu suara mengembalikan Tuan Yahya ke dunia realiti. Dia berpaling.
Kelihatan seorang lelaki sebaya dengannya, berdiri sambil memeluk tubuh. Ada senyuman sinis terukir di bibir. Tuan Yahya sedikit cuak. Namun, dia cuba melindungi perasaan yang sebenar.
“Lan….” Ucap Tuan Yahya cuba merapati Tuan Ruslan tetapi Tuan Ruslan dengan pantas mengangkat tangan seolah-olah menahan Tuan Yahya daripada merapatinya.
“Aku rasa, hubungan kita bukan rapat mana untuk kau tunjukkan sikap mesra kau tu,” ujar Tuan Ruslan lalu melabuhkan duduk di atas sofa tanpa mempelawa Tuan Yahya.
Tuan Yahya terkulat-kulat. Dia menundukkan kepala.
“Lebih tiga puluh tahun aku tak nampak batang hidung kau, kenapa sekarang kau muncul depan aku?” sambung Tuan Ruslan apabila Tuan Yahya hanya mendiamkan diri.
“Lan… Aku perlukan pertolongan kau…”
“Pertolongan? Hah! Aku tak salah dengar ke ni?” pintas Tuan Ruslan sebaik saja Tuan Yahya bersuara.
Tuan Yahya menjilat bibirnya yang terasa kering. Kedinginan yang ditunjukkan oleh Tuan Ruslan sedikit menggusarkannya. Dia tidak yakin, usahanya akan berjaya kali ini.
“Aku tahu banyak salah aku pada kau…”
“Oh, kau tahu? Jadi kau percayalah yang aku tak bersalah dulu? Kau percaya yang aku jadi mangsa keadaan? Kalau kau percaya, kenapa kau halau aku dari syarikat yang kita bina dengan susah payah? Kenapa? Kenapa kau buat aku nampak hina di mata orang lain?!” suara Tuan Ruslan meninggi. Dadanya turun naik menahan sabar yang mungkin hilang pada bila-bila masa.
Tuan Yahya terkesip. Dadanya berdentum-dentam saat ini. Dia resah.
“Bukan aku seorang yang buat keputusan, Lan. Lagipun semua bukti menunjukkan kau bersalah. Apa yang aku boleh buat selain pecat kau?” soal Tuan Yahya.
“Alasan! Itu semua bukan bukti. Kau tak pernah siasat apa yang terjadi pada waktu tu. Kau tuduh aku disebabkan aku yang jaga kewangan syarikat waktu tu kan? Kau nak bolot segala keuntungan syarikat seorang diri sampaikan kau lupa jasa aku. Kau percaya segala kata-kata teman wanita kau dan kau lupa aku yang selama ni susah payah dengan kau. Kau tamak, Yahya. Kau tamak!” tekan Tuan Ruslan. Geram.
Tuan Yahya menundukkan kepala. Dia tidak dapat menyanggah apa yang dikatakan oleh Tuan Ruslan kerana semua itu ada benarnya. Dek kerana dibutakan cinta dengan Puan Zaharah, dia mempercayai bulat-bulat apa yang dikatakan oleh wanita itu yang bekerja sebagai setiausahanya. Walau berkali-kali Tuan Ruslan menafikan yang dia menggelapkan wang syarikat, namun tidak sekali pun Tuan Yahya memberi ruang untuk dia menjelaskan perkara sebenar. Tanpa belas kasihan, Tuan Ruslan dibuang daripada syarikat.
“Aku… Aku… Aku minta maaf Lan. Aku bersalah pada kau. Aku tak pernah bagi kau ruang untuk bela diri. Aku hanya dengar sebelah pihak dan sekarang aku dah terima balasan untuk sikap aku pada kau dulu. Aku dan bankrap, Lan…” Ucap Tuan Yahya dengan nada yang lirih.
Namun, Tuan Ruslan hanya bersikap selamba. Wajahnya tenang seolah-olah berita yang disampaikan oleh Tuan Yahya berita biasa.
“Baguslah! Bagus untuk kau. Bila kau kahwin dengan perempuan tu, aku tak pelik suatu hari nanti kau akan bankrap. Sekarang dah terbukti, apa yang aku fikirkan dah jadi kenyataan. Kau tahu perempuan tu cuma nakkan duit kau, tapi kenapa kau tetap berkahwin dengan dia? Disebabkan aku halang hubungan kau dengan dia, dia tuduh aku bukan-bukan dan kau percaya. Sekarang, bila kau dalam kesusahan, mana dia? Aku tak nampak pun.” Sindir Tuan Ruslan. Kepalanya dijengukkan ke luar seolah-olah mencari seseorang.
Tuan Yahya tidak berani mengangkat muka. Kata-kata Tuan Ruslan tepat. Puan Zaharah pergi meninggalkannya sebaik saja dia ditimpa kesusahan. Adakah selama ini dia salah mentafsir isteri sendiri?
“Dia dah tinggalkan aku…”
Tuan Ruslan tersentak. Namun, tidak lama kemudian dia menepuk tangan.
“Aku dah agak. Perempuan macam tu takkan betah hidup susah. Kau percaya ke bila dia cakap, dia sanggup tinggalkan keluarga dia semata-mata untuk kau?” soal Tuan Ruslan membuatkan Tuan Yahya mengangkat kepala.
“Apa maksud kau? Dia memang tinggalkan keluarga dia demi aku.” Jawab Tuan Yahya bertegas.
“Kau memang bodoh, Yahya. Kalau dia sanggup tinggalkan keluarga dia untuk hidup susah dengan kau, mana dia sekarang? Dulu, dia berani cakap macam tu disebabkan kau tengah senang. Sekarang, kau tengah susah. Biar aku teka, tentu dia balik semula ke keluarga dia kan?” tebak Tuan Ruslan.
Lambat-lambat Tuan Yahya menganggukkan kepala. Sedangkan, Tuan Ruslan hanya ketawa. Ketawa yang dirasakan cukup hambar. Melihat sahabat baiknya dalam keadaan tidak terurus itu cukup membuatkan hatinya tersiat.
“Disebabkan cinta, kau lupa sahabat kau sendiri. Disebabkan perempuan, kau sanggup buang aku. Sekarang, patut ke aku tolong kau? Aku rasa tak patut. Selayaknya, aku halau kau sebagaimana kau halau aku dulu.” Balas Tuan Ruslan dengan suara yang mendatar. Tetapi setiap bait itu cukup menikam hati Tuan Yahya.
“Lan… Aku minta maaf pada kau pasal kisah lama. Aku tahu aku dah buat kesalahan yang besar disebabkan ikut kata hati. Aku buta masa tu. Aku tahu kau tak sekejam ni, Lan. Kau sahabat aku yang paling baik. Tolong aku, Lan. Aku tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Semua orang tak nak tolong aku,”
“Dan kenapa kau yakin sangat aku akan tolong kau?” soal Tuan Ruslan sinis.
“Sebab aku kenal kau, Lan. Aku kenal hati kau. Kau takkan biarkan aku kesusahan sama seperti waktu kita belajar dulu. Kau selalu lebihkan aku dalam segala hal. Kau takkan berubah. Aku cukup yakin tentang tu.”
Tuan Ruslan menggigit bibir. Pandangan dihalakan ke tempat lain. Tangannya dikepalkan. Cuba mencari kekuatan sebaik saja Tuan Yahya menyebut tentang kenangan lama.
“Tapi sekarang, kau silap! Aku boleh jadi lebih kejam daripada tu. Kau nak aku tolong kau? Tentu kau nak pinjam duit kan?” soal Tuan Ruslan seakan dapat meneka apa yang bermain di minda Tuan Yahya.
Mata Tuan Yahya sedikit bersinar. Sepantas kilat, dia menganggukkan kepala.
“Ya. Aku nak pinjam duit untuk selesaikan hutang-hutang aku. Gaji pekerja-pekerja aku pun perlu dibayar. Jadi aku nak pinjam lebih sikit daripada kau,” pinta Tuan Yahya. Rasa malu dibuang ke tepi walaupun saat ini dirasakan maruahnya seakan diinjak-injak.
“Berapa kau nak?” soal Tuan Ruslan.
“Satu juta.” Jawab Tuan Yahya tanpa teragak-agak.
“Satu juta?! Banyak tu! Apa cagaran yang kau ada?” soal Tuan Ruslan sedikit terkejut dengan amaun yang disebut oleh Tuan Yahya.
“Cagaran? Cagaran apa, Lan?” soal Tuan Yahya pelik.
“Cagaran. Takkan kau tak faham maksud cagaran. Setiap pinjaman yang kau nak buat, perlukan cagaran. Takkan aku nak bagi kau pinjaman secara percuma tanpa apa-apa cagaran untuk aku. Aku tak percayakan kau. Buatnya kau lari dengan duit tu, siapa nak bertanggungjawab? Duit tu bukan aku petik kat pokok. Duit tu bukan juga duit aku curi daripada orang lain. Takkan sesenang tu aku nak bagi kat kau.” Sinis Tuan Ruslan lagi.
Tuan Yahya hanya terdiam. Sinar di matanya padam dengan tiba-tiba.
“Tapi, aku tak ada apa-apa harta yang boleh dijadikan cagaran. Aku dah tak ada apa-apa sekarang.” Jawab Tuan Yahya perlahan.
“Kalau macam tu, kau tak ada apa-apa urusan dengan aku. Kau boleh keluar daripada rumah aku sekarang!” ujar Tuan Ruslan tanpa memandang Tuan Yahya.
“Lan… Takkan kau tak percayakan aku?”
“Sikit pun aku tak percayakan kau lepas apa yang kau dah buat pada aku. Sekarang, kau boleh keluar. Keluar ikut jalan yang kau masuk tadi.” Ujar Tuan Ruslan lantas berlalu meninggalkan Tuan Yahya yang terkulat-kulat.
Satu keluhan dilepaskan. Dia gagal lagi.

ANAK mata Hana tidak lepas daripada menatap skrin telefon yang berada di tangannya. Selesai memasak makanan tengah hari untuk dirinya dan Tuan Yahya, Hana berehat seketika di ruang tamu sementara menunggu kepulangan Tuan Yahya. Video yang terpapar membuahkan kerutan di dahinya.
“Tak sangka perangai dia macam ni. Dah mengandungkan anak dara orang kemudian tak nak bertanggungjawab? Lelaki jenis apa dia tu?” bebel Hana sendirian. Dia menayang muka meluat apabila paparan video itu dimainkan.
“Aku nak buat apa dengan video ni? Nak buang ke simpan?” soalnya lagi sambil mengetuk dagu.
“Lebih baik aku simpan. Minggu depan aku dah mula kerja di Pena Qarya, mana tahu tiba-tiba aku dia datang ke sana dan cari pasal dengan aku, boleh aku gunakan video ni sebagai senjata.” Omel Hana sambil menganggukkan kepala. Dia tersenyum jahat.
“Assalamualaikum, papa dah balik ni.” Bunyi suara Tuan Yahya bersama derap tapak kaki mendekatinya, membuatkan Hana berpaling. Serta-merta dia tersenyum manis.
“Waalaikummusalam…”
Namun, apabila melihat wajah Tuan Yahya yang mendung, sedikit sebanyak senyuman Hana pudar dengan sendirinya.
“Kenapa ni papa? Hana tengok papa macam tak bermaya je. Macam mana dengan perjumpaan dengan kawan papa tu? Dia boleh tolong kita tak?” soal Hana tanpa berselindung.
Tuan Yahya hanya mendiamkan diri. Tubuhnya dihempaskan ke sofa. Dia penat. Penat mengemis simpati dengan semua orang seakan maruahnya tidak bernilai saat ini. Bilakah semua ini akan berakhir? Soal hatinya.
“Kenapa ni papa? Cuba papa cerita pada Hana. Mana tahu Hana boleh tolong,” pinta Hana lembut. Memujuk. Pantas, Hana bangun dan melabuhkan punggung di sebelah Tuan Yahya. Wajah hampa si ayah, dipandang dengan penuh simpati.
Tuan Yahya meraup wajahnya berkali-kali. Tubuhnya terasa lesu. Semangatnya jatuh merundum sebaik saja teringat segala kata-kata yang diluahkan oleh Tuan Ruslan tadi.
“Kawan papa tak nak tolong…” Jawabnya perlahan. Lemah dan tak bermaya.
“Tak nak tolong? Tapi kenapa?” soal Hana lagi. Ingin tahu.
“Papa tak ada apa-apa yang boleh dijadikan cagaran untuk pinjam duit. Tak ada sesiapa yang nak bagi pinjaman secara percuma, Hana. Papa tak ada apa-apa,” jawab Tuan Yahya dengan keluhan.
“Kalau macam tu, kita cagarkan tanah pusaka arwah atuk dan nenek, papa. Hana rasa kawan papa mesti berminat dengan tanah tu,” Hana memberi cadangan.
Tuan Yahya berpaling. Sepantas kilat, dia menggelengkan kepala.
“Itu harta pusaka peninggalan arwah atuk dan nenek untuk Hana. Amanah Hana untuk jaga. Papa takkan sesekali gunakan tanah tu untuk kepentingan papa dan papa tak nak Hana sebut pasal ni lagi terutama sekali depan mama dan kakak-kakak Hana. Papa tak nak mereka pertikaikan keputusan arwah atuk dan nenek.” Tegas Tuan Yahya.
“Tapi papa, kita terdesak sekarang. Hanya ini cara yang kita ada. Kalau papa tak nak jualkan tanah tu, kita boleh jadikan tanah tu sebagai cagaran. Hana yakin kita mampu bayar balik pinjaman tu.” Balas Hana penuh keyakinan.
“Dengar cakap papa, Hana. Jangan libatkan tanah pusaka tu dalam masalah papa. Kalau ini yang ditakdirkan untuk papa, papa akan terima. Kita dah usaha, tapi semuanya tak berpihak kepada kita. Jadi, papa dah reda.” Ucap Tuan Yahya. Dia pasrah akhirnya.
Giliran Hana pula menggelengkan kepala. Dia sedikit terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Tuan Yahya. Mustahil semudah itu Tuan Yahya mengalah? Hana terdiam seketika. Dia memikirkan sesuatu.
“Papa tak boleh putus asa macam itu aje. Kita kena terus usaha, papa. Okey macam ni, apa kata kalau Hana pula yang cuba pujuk kawan papa tu?” cadang Hana.
Tetapi Tuan Yahya tetap menggelengkan kepala.
“Papa tak nak Hana masuk campur dalam urusan papa. Hana akan mula kerja di syarikat baru kan minggu depan? Papa nak Hana fokus pada kerja Hana.” Ujar Tuan Yahya sekali gus membantah cadangan Hana.
“Selagi masalah papa tak selesai, selagi itulah Hana tak dapat fokus pada kerja Hana. Hana tetap akan tolong papa walau apa pun yang akan berlaku. Siapa kawan papa tu?” soal Hana lagi.
“Tak perlulah Hana tahu.”
“Hana perlu tahu.” Tekan Hana.
Tuan Yahya mengetap bibir. Jika boleh, dia tidak mahu melibatkan Hana dalam soal ini tetapi melihat wajah Hana yang bersungguh membuatkan hati tuanya tersentuh. Dahulu, anak inilah yang diabaikan. Sekarang, anak gadisnya itu sanggup melakukan apa saja untuk dirinya.
“Tuan Ruslan…” Jawab Tuan Yahya akhirnya.
Hana berjeda. Cuba mengingati nama yang disebut oleh Tuan Yahya. Namun, satu bayang wajah pun tiada di dalam ingatannya.
“Siapa tu, papa?” soal Hana polos.
“Kawan lama papa. Sekarang, dia pemilik Qarya Group Sdn. Bhd.”
Hana tersentak. Tanpa sedar, dia terbangun daripada tempat duduknya.
Qarya Group?!”



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.