Tetamu Rindu

Wednesday 29 January 2020

MR. FROST (Bab 8 )


SEBUAH kereta Viva berwarna hitam berhenti tidak jauh dari banglo tiga tingkat yang tersergam indah. Tidak lama kemudian, seorang gadis melangkah keluar dari perut kereta. Langkahnya terkaku seketika apabila melihat pemandangan di hadapan matanya saat ini.
“Wow, besarnya rumah.” Ucapnya penuh kagum.
Walaupun papanya sendiri seorang yang berada namun Hana tidak pernah berasakan dirinya seorang yang senang. Semenjak kecil hinggalah melangkah ke alam dewasa, dia dibesarkan oleh arwah datuk dan neneknya membuatkan Hana sentiasa bersederhana dalam semua perkara. Kereta yang dimilikinya sekarang juga merupakan tinggalan daripada arwah datuknya.
“Vila Indah…” Desis Hana sendirian saat matanya menangkap tulisan yang tertera di dinding pagar tersebut.
Tanpa bertangguh, dia menekan loceng dengan hati yang berdengup laju. Dia gementar apabila memikirkan bagaimana gerangan Tuan Ruslan, pemilik Qarya Group yang diceritakan oleh Tuan Yahya. Walaupun Tuan Yahya menghalang keras cadangannya untuk bertemu dengan Tuan Ruslan, tetapi Hana tetap berdegil. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menolong papanya.
“Cik cari siapa?” tegur satu suara mengembalikan Hana ke dunia nyata. Dia berpaling. Satu senyuman diukirkan buat seorang wanita yang sedang berdiri di hadapannya. Kedudukan mereka hanya dipisahkan oleh pagar. Wanita itu memandangnya dengan pandangan pelik.
“Assalamualaikum, kak…”
“Waalaikummusalam…”
“Saya nak jumpa Tuan Ruslan. Dia ada di rumah tak?” soal Hana tanpa menunggu lama.
“Tuan Ruslan? Adik ni siapa?” soal wanita itu lagi.
“Saya Dian Hana, anak kepada kawan Tuan Ruslan. Saya ada hal nak bincang dengan Tuan Ruslan sekejap.” Jawab Hana tanpa teragak-agak.
“Siapa nama ayah adik?”
“Yahya.” Jawab Hana pendek.
Wanita yang berusia lewat 30-an itu hanya terdiam seketika. Lagak seperti memikirkan sesuatu.
“Ayah cik yang datang pagi tadi ke?” soalnya lagi inginkan kepastian.
Hana mengangguk pantas.
“Kalau macam tu, cik masuklah dulu. Cik boleh tunggu di taman tu sekejap sementara saya maklumkan kepada Tuan Ruslan,” ujar wanita itu dengan senyuman menghiasi bibirnya.
“Baiklah. Terima kasih, kak.” Ujar Hana lalu membuntuti langkah wanita tersebut menuju ke kerusi yang terletak di hadapan laman rumah sementara wanita itu menghilangkan diri di sebalik pintu rumah.
Hana menarik nafas dalam dan menghembuskannya dengan perlahan. Debaran di dada makin terasa apatah lagi saat matanya melihat wanita tadi menghampirinya.
“Cik boleh masuk sekarang,” ujar wanita itu penuh sopan.
Hana tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia mengatur langkah menuju ke dalam rumah. Sedaya upaya Hana cuba menenangkan perasaannya saat ini. Bertenang Hana. Kau kena tenang. Pujuk hatinya.
Pada masa yang sama, sebuah kereta meluncur masuk ke ruang rumah Tuan Ruslan sebelum berhenti tepat di bawah garaj. Tidak lama kemudian, Rais melangkah keluar dengan membimbit beg kerja miliknya.
Anak matanya dihalakan ke arah pintu utama. Dahinya berkerut apabila melihat figura seorang gadis yang melangkah masuk ke dalam rumah. Hanya bahagian belakang kepala sahaja yang sempat menyapa pandangan Rais. Selebihnya, ditutupi dengan tubuh Kak Su yang berisi.
“Siapa yang datang petang-petang macam ni?” soalnya sendirian. Namun, soalan itu tiada jawapan. Akhirnya, Rais menjongketkan bahu dan melangkah menuju ke rumah kecilnya.


ASSALAMUALAIKUM, tuan…” Salam dihulurkan sebaik saja dia melangkah ke ruang istirehat yang cukup mewah bagi Hana. Dia cuba menenangkan diri saat anak mata terarah kepada seorang lelaki sebaya Tuan Yahya sedang duduk sambil menyilang kaki. Hana meneguk liur.
“Waalaikummusalam…” Lelaki itu berpaling. Sebaik saja mata mereka bertentangan, Hana gelabah seketika. Air mukanya cukup garang. Malah, pandangan mata itu cukup menggerunkan Hana. Tanpa Hana sedari, langkahnya sedikit terundur ke belakang.
“Maaf, kalau kedatangan saya mengganggu waktu tuan...” Hana mula menyusun kata.
“Kalau dah tahu mengganggu kenapa datang? Papa kau tak faham ke apa yang aku cakap?” soal Tuan Ruslan tanpa sempat Hana menghabisbkan bicara. Satu jelingan dihadiahkan buat Hana yang kelihatan cuak.
Hana tersentap. Jantungnya mula berdetak laju. Dahi dan telapak tangan mula berpeluh apabila melihat reaksi Tuan Ruslan tidak seperti yang dijangkakan.
“Bukan macam tu tuan. Saya tahu salah faham yang terjadi antara tuan dan papa saya sukar untuk tuan lupakan. Semua itu dah berlalu. Papa saya benar-benar menyesal dengan perbuatan dia. Dia akui semua kesalahan yang pernah di lakukan pada tuan dahulu. Papa saya bukan seorang yang mudah untuk mengakui apa yang berada dalam hatinya, tapi buat kali pertama saya lihat dia benar-benar menyesal. Dia tetap anggap tuan sebagai sahabatnya,” ujar Hana. Cuba memberanikan diri.
Namun, Tuan Ruslan hanya tersenyum sinis.
“Bila dah susah baru ingat aku sebagai sahabat? Waktu senang, mana dia campak aku? Kau tak tahu sebab kau belum lahir lagi.” Balas Tuan Ruslan sarat dengan luka yang terpendam.
“Ya, saya tak tahu apa-apa. Saya cuma mampu lakukan semua ni untuk papa saya. Saya tak sanggup tengok dia susah hati. Saya tak sanggup tengok dia bersedih. Walau seteruk apa pun perangai papa saya dahulu, saya tak boleh tinggalkan dia saat dia dalam kesusahan. Dia satu-satunya ayah yang saya ada. Saya tahu, kedatangan saya tak dialu-alukan oleh tuan, saya tahu perbuatan saya ni akan menampakkan saya hina di pandangan tuan. Tapi apa lagi saya boleh buat selain cuba lakukan apa saja untuk papa saya.” ucap Hana perlahan. Tanpa sedar dia meluahkan perasaannya. Bukan untuk menagih simpati, sekadar untuk menerangkan hal yang sebenar.
Tuan Ruslan terdiam. Sikap berani yang ditunjukkan oleh gadis muda ini sedikit sebanyak membuatkan dia kagum. Walaupun dia memiliki dua orang anak lelaki, namun kedua-duanya hidup dalam dunia mereka sendiri. Jika dia berada dalam keadaan Tuan Yahya, adakah anak-anaknya akan melakukan perkara yang sama seperti yang Hana lakukan? Hati Tuan Ruslan sangsi.
“Itu bukan urusan aku. Tak ada sebab untuk aku tolong papa kau,” jawab Tuan Ruslan dingin.
“Tapi papa saya pernah jadi sahabat baik tuan.”
“Saat dia buang aku daripada syarikat, saat itulah aku tak ada sahabat seperti dia,” tingkah Tuan Ruslan mematikan bicara Hana.
Hana tertunduk seketika. Dia kehabisan idea untuk memujuk Tuan Ruslan. Ternyata hati Tuan Ruslan begitu keras untuk memaafkan Tuan Yahya sedangkan ini saja peluang yang dia ada untuk menolong papanya.
“Kalau tuan tak dapat terima papa saya sebagai sahabat, boleh tak tuan tolong papa saya sebagai sesama manusia. Saya tak malu mengaku yang saya benar-benar perlukan pertolongan tuan sekarang ni. Papa saya ada cakap, tuan tak nak tolong papa disebabkan papa tiada cagaran untuk buat pinjaman. Macam mana kalau saya bawakan cagaran untuk tuan pertimbangkan?” soal Hana masih tidak mengalah. Dia menanti reaksi daripada Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan berpaling. Kelopak matanya dikecilkan memandang Hana.
“Cagaran? Apa cagaran yang boleh kau berikan?” soal Tuan Ruslan akhirnya.
Hana tersenyum kecil. Perlahan-lahan, dia membuka beg sandangnya lalu mengeluarkan fail nipis lalu disuakan ke arah Tuan Ruslan yang kelihatan terpinga-pinga.
“Apa ni?” soal Tuan Ruslan pelik.
“Geran rumah pusaka tinggalan arwah atuk dan nenek saya di kampung. Saya dah minta papa jualkan rumah dan tanah ni tapi papa tak nak. Jadi saya rasa, ini boleh dijadikan cagaran untuk tuan pertimbangkan permintaan papa.” Terang Hana penuh semangat.
Tuan Ruslan menyambut huluran Hana. Dia meneliti butir-butir yang terdapat di geran tersebut sebelum fail itu dicampakkan ke atas meja.
“Yahya tahu pasal ni?” Soalnya ringkas.
“Papa tahu pasal geran ni tapi papa tak tahu saya bawa geran ni untuk jadikan cagaran. Sebenarnya, papa tak benarkan saya cagarkan atau jual tanah pusaka ni…”
“Kalau papa kau tak bagi, kenapa kau nak jadikan cagaran juga? Kau nak main-mainkan aku ke apa ni?” soal Tuan Ruslan garang.
“Tak! Saya tak main-main. Saya sanggup lakukan apa saja untuk selamatkan papa. Seorang ayah jauh lebih berharga daripada harta. Saya takkan wujud ke dunia ni tanpa papa,” jawab Hana perlahan.
Tuan Ruslan melepaskan nafas pendek. Gadis muda yang berdiri di hadapannya ini begitu sayangkan Tuan Yahya. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan gadis yang kuat pendirian seperti Hana. Sedikit sebanyak dia tersentuh. Namun, kesalahan yang dilakukan oleh Tuan Yahya dahulu, perlukah dimaafkan begitu saja?
“Saya tahu tuan mesti sangsi sama ada saya boleh bayar atau tidak pinjaman tu kan? Tuan jangan risau, saya dah diterima bekerja di syarikat tuan jadi tuan boleh buat potongan melalui gaji. Saya takkan lari daripada hutang. Itu janji saya. Kalau tuan nak buat kontrak pun saya sanggup tandatangan. Berapa pun faedah yang perlu saya bayar, saya sanggup.” Sambung Hana lagi. Cuba menyakinkan Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan tersenyum sinis. Dia memeluk tubuhnya sendiri sambil merenung wajah Hana yang polos.
“Patutlah kau berani datang ke sini, rupanya kau akan jadi salah seorang pekerja aku. Kau tahu tak, dengan sikap kau macam ni, kau tak rasa ke kau akan dibuang kerja?” soal Tuan Ruslan lagi.
Hana menggeleng kepala dengan laju.
“Saya yakin tuan profesional.” Jawab Hana bersungguh.
“Dengan bawa geran dan jaminan kosong kau ingat aku akan setuju nak bagi kau pinjaman. Dahlah, kau bawa geran kau tu, kau balik. Aku tak ada duit sebanyak yang papa kau minta.” Ujar Tuan Ruslan akhirnya.
Hana melongo seketika. Terkedu juga dengan kata-kata Tuan Ruslan sedangkan reaksi yang diberikan oleh lelaki itu tampak positif.
“Tuan… Saya mohon ihsan daripada tuan…” Rayu Hana lagi.
Tuan Ruslan mengetap bibir. Suara gadis muda itu yang merayu sedikit sebanyak menyentuh hati tuanya. Namun, dia tetap keraskan hati. Dia melangkah setapak.
“Cari orang lain. Atau kau pergi pinjam dengan along!” jawab Tuan Ruslan tanpa belas kasihan.
“Kalau geran tu tak cukup untuk tampung jumlah pinjaman yang papa saya minta, saya sanggup cagarkan diri saya sendiri, tuan!”
Mata Tuan Ruslan terbeliak besar. Spontan, dia berpaling.
“Apa?!”



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.