TERKINI! OKTOBER 2017 |
ZAHIRUL
melangkah masuk ke kelas dengan penuh
semangat. Dia tersenyum melihat pelajarnya yang sudah memenuhi tempat duduk di
dalam kelas pagi itu. Dia terpandang pada Wardah yang duduk di meja di hadapan
kelas. Dia tersenyum. gadis itu tidak pernah lewat untuk ke kelasnya berbanding
dengan Zafran yang selalu lambat ke kelasnya.
“Assalamualaikum semua?” Zahirul memberi
salam. Dia duduk di meja pensyarah yang berada di hadapan kelas.
Serentak semua pelajar menjawab salam
yang diberikan. Zahirul memandang ke serata kelas. Dia menggelengkan kepala
apabila kelibat adiknya tidak kelihatan. Sah, bangun lambat lagi.
Wardah memandang ke belakang kelas.
Kelibat Zafran tidak kelihatan. Tak datang ke mamat ni? Soal Wardah dalam hati.
Dia kembali memandang pada wajah Zahirul yang kelihatan kacak dengan kemeja
berwarna hitam sesuai dengan kulit lelaki itu yang putih kemerahan. Kacaklah
pula dia ni. Bisik hati kecil Wardah nakal.
“Siapa yang tak datang lagi?” tanya
Zahirul sambil memeriksa kedatangan yang telah siap ditandatangani oleh
pelajar- pelajarnya.
“Zafran, Encik Zahirul…” ujar Wardah.
Zahirul hanya tersenyum. Apa nak jadilah
dengan adik aku sorang ni. Keluar malam sampai tak ingat nak balik rumah.
Memang nak kena dia ni. Namun, tidak lama kemudian kelihatan Zafran membuka
pintu kelas sambil tersengih-sengih pada Zahirul.
“Dah lupa nak bagi salam ke?” perli
Zahirul sengaja mengenakan adiknya yang kelihatan kalut.
Zafran menyeringai. “Assalamualaikum….”
Ucap Zafran. Kedengaran pelajar- pelajar lain ketawa. Dia membuang pandangan
pada Wardah yang hanya tersenyum. Abang ni buat malu aku je. Bebel Zafran dalam
hati.
“Waalaikummusalam,
dah awak boleh duduk. Lain kali jangan datang lambat. Saya tak suka pelajar
saya datang lambat.” Ujar Zahirul ditujukan khas untuk adik kesayangannya itu.
“Baik, Encik Zahirul…” balas Zafran. Dia
malas nak bertekak dengan abangnya itu lagipun sebagai pelajar dia harus
menghormati Zahirul yang merupakan pensyarahnya walaupun Zahirul itu adalah
abang kandungnya. Dia cuba bersikap profesional bila berada di dalam kelas.
“Okey. Saya akan pulangkan balik markah test kamu semua dan seperti biasa
Wardah, tahniah awak dapat 100 markah,” ucap Zahirul dengan senyuman manis
dilemparkan pada Wardah yang manis bertudung hijau.
Wardah tersenyum girang. Dia menyambut
huluran kertas ujiannya daripada tangan Zahirul.
“Dan seperti biasa Ahmad Zafran Wazien, awak
dapat markah yang kedua terendah. Tapi tak mengapa boleh diperbaiki lagi
sementara masih ada waktu sebelum final,”
ujar Zahirul. Dia menggelengkan kepala saat Zafran mengambil kertas ujian
daripada tangannya.
Zafran hanya menundukkan kepala. Malu
juga dia pada abangnya itu. Apa tidaknya, abangnya seorang pensyarah undang-
undang, tetapi dia seringkali gagal dalam ujian yang dijalankan. Hai apalah aku
nak buat? Nampaknya kena rebus buku teks lepas tu minum. Mungkin cara ini lebih mujarab. Desis hati kecil Zafran.
“Okey kita teruskan sambung pelajaran
kita yang lepas,”
Setelah hampir satu jam setengah
mengajar. Kelas bersurai. Zahirul melihat adiknya mula mengorak langkah untuk
keluar kelas.
“Zaf dan Wardah tolong tunggu sekejap.
Saya nak jumpa kamu berdua,” ujar Zahirul membuatkan langkah Wardah terhenti.
Dia melangkah menghampiri Zahirul yang duduk di meja pensyarah.
“Ada apa Encik Zahirul nak jumpa saya
dan Zaf?” soal Wardah lembut.
Kelihatan Zafran menghampiri Wardah dan
Zahirul. Kali ni mesti aku kena dengan abang. Aduhai. Keluh hatinya.
“Saya nak minta tolong dengan awak sikit
Wardah itu pun kalau awak sudi,”
Berkerut dahi Wardah mendengar kata-
kata Zahirul. Apa sebenarnya yang Zahirul mahukan?
“Insya-Allah kalau saya mampu, saya akan
tolong.”
“Saya nak awak tolong ajarkan adik saya
yang tercinta ni pasal undang- undang. Kalau boleh saya nak awak jadi tutor untuk Zaf. Dia bukan tak pandai
dalam subjek saya tapi dia ni malas nak membaca. Awak tolong ajarkan dia apa
yang patut. Kalau boleh buat study group,
awak buat je. Boleh?” pinta Zahirul lembut.
Kelihatan Zafran mengeluh berat.
Tolonglah abang mengerti isi hati ini. Aku boleh belajar sendiri. Jerit hati
Zafran. Kadang-kadang dia geram dengan sikap Zahirul yang membuat keputusan
tanpa menanyakan dirinya dulu. Nak buat macam mana, itulah abangnya Ahmad
Zahirul Haq.
“Tapi Encik Zahirul, Wardah pun banyak
kerja yang dia nak lakukan selain jadi tutor
saya,” bantah Zafran geram sambil menekan perkataan Encik Zahirul dan ‘saya’.
Zahirul tergelak kecil dengan reaksi
Zafran. Manakala, Wardah hanya mendiamkan diri.
“Bukankah korang berdua ni kawan baik?
Jadi tak salahlah kalau kawan tolong kawan. Betul tak Wardah?” Zahirul
tersenyum pada Wardah yang membisu.
Lambat-lambat Wardah mengangguk. Apa-
apa jelah Encik Zahirul.
“Memanglah kawan baik encik tapi saya
boleh usaha sendiri. Encik tak fikir ke yang encik akan membebankan Wardah
nanti?” balas Zafran tidak mahu mengalah.
“Zaf, awak ingat saya tak kenal dengan
perangai awak tu. Keputusan saya muktamad, Wardah akan jadi tutor awak untuk subjek ni. Sebarang
bantahan takkan diterima, faham?” tegas Zahirul. Dia mengemas barang- barangnya
dan berdiri. Dia tahu adiknya itu akan ikut juga arahannya.
“Macam ni, saya akan bantu Zaf untuk
tajuk yang dia tak tahu sahaja dan selebihnya dia akan belajar sendiri. Mungkin
Zaf ada kerja lain dan tak boleh untuk datang bila ada study group. Jadi untuk setiap test
dan final exam, saya akan cuba ajar
yang saya mampu,” sampuk Wardah bila dia melihat ada bunga- bunga pertengkaran antara
dua beradik itu.
Zahirul tersenyum. Gadis itu memang
ternyata lebih bijak daripada adiknya.
“Baiklah saya setuju. Saya tahu hanya
awak yang boleh guide adik kesayangan
saya ni…” balas Zahirul selamba sambil melirik adiknya yang tidak berpuas hati.
Dia cuba mencuit dagu Zafran tapi dengan pantas Zafran menepis. Zahirul
tergelak.
Zafran melepaskan keluhan berat. Dia
menjelirkan lidah pada abangnya. Geram dengan sikap Zahirul seperti diktator.
“KENAPA
kau tak setuju dengan cadangan abang kau tadi?” soal Wardah selepas mereka
berdua keluar daripada kelas.
Zafran memandang wajah Wardah yang manis
bertudung hijau. Lembut wajah itu menenangkan hatinya. Dia tersenyum hambar.
“Aku malas sebenarnya. Abang aku tu
bukannya tak kenal aku, aku memang malas nak membaca itu sebab aku selalu tak
lulus subjek dia. Aku nak belajar dengan dia, dia asyik sibuk memanjang. Itu
yang aku buat akta undang-undang aku sendiri tu,” ujar Zafran.
Wardah tergelak kecil. Dia sudah agak
memang itulah yang Zafran rasakan.
“Tak susah pun subjek law ini cuma kau kena rajin baca dan
hafal. Buat nota apa yang patut…”
“Sebab kena buat nota aku malas. Nak
membaca pun malas apatah lagi nak buat nota. Aku pinjam nota kau boleh?” soal
Zafran.
“Boleh je. Itu pun kalau kau faham apa
yang aku tulislah,” balas Wardah.
“Emmm…
Zaf…” Panggil Wardah lembut. Dia mengerling ke sisi.
“Ada apa?” Soal Zafran sambil memakukan
langkah. Wajah Wardah dipandang lama.
“Aku nak mintak maaf pasal semalam. Aku
tahu kau tak suka aku sebut pasal tu. Aku tak ada hak nak campur urusan kau,
aku mintak maaf, ya?” pinta Wardah cuba memberanikan diri. Melihat wajah Zafran
yang kelat sudah cukup untuk membuatkan dia kecut perut.
Zafran tersenyum nipis. Pandangan
dihalakan ke tempat lain. Nafas ditarik sedalamnya sebelum dihembuskannya
dengan perlahan.
“Kau ada buat apa-apa salah ke? Kenapa
aku tak ingat apa-apa pun?” soal Zafran berpura-pura lupa tentang kata-kata
Wardah semalam.
“Tapi Zaf, semalam kan aku…”
“Hal semalam, semalam punya cerita. Dah
lepas. Aku dah tak ingat. Jadi kau jangan ingatkan aku lagi, boleh?” pinta
Zafran. Tepat anak matanya menikam ke anak mata Wardah yang terkebil-kebil.
Wardah tersenyum manis. Lega sedikit
hatinya apabila Zafran sudah memaafkannya. Begitulah sikap Zafran, seorang yang
sangat sensitif tapi mudah memaafkan. Wardah ingin berkata sesuatu namun,
perbualan mereka diganggu oleh Fiqa yang datang menghampiri Zafran dan Wardah.
“Hai Zaf, dah lama I tungggu you, baru
you keluar kelas,” ujar Fiqa tanpa sedikit pun memandang dan menyapa Wardah
yang berdiri di sebelah Zafran.
“Encik Zahirul nak jumpa I sekejap, itu
yang lambat. You ada kelas ke hari ini?” soal Zafran juga cuba berbasa basi.
Tangan Fiqa yang memegang lengannya dileraikan. Dia segan dengan Wardah. Gedik
betullah perempuan ni. Rimas aku! Bentak hati Zafran.
“I tak ada kelas tapi I saja datang
kelas semata-mata nak jumpa you. You, jom kita makan, I laparlah…” rengek Fiqa
manja.
Hampir termuntah Wardah di buatnya. Loya
betul tekak aku. Balik rumah aku nak muntah banyak-banyak. Omel hati Wardah.
“Okey kita pergi makan. Ada, kau tak nak
join kita orang ke?”
“Buat apa ajak dia, sayang? Biarlah dia
makan sorang…” sampuk Fiqa. Agak kurang sopan bunyinya. Mendidih tahi telinga
Wardah mendengarnya.
Wardah tersenyum sinis.
“Tak apalah Zaf, aku tak nak kacau daun.
Lagipun aku ada date. Kau pergilah..”
ujar Wardah malas. Dia mengorak langkah menuju ke gerai makan.
“Date?
Dengan siapa? Bila?” soal Zafran pelik. Sejak bila Wardah ada boyfriend? Selama ini perempuan tu single aje. Eh, tak boleh jadi ni. Getus
hatinya.
Wardah tidak membalas sebaliknya dia
berlalu meninggalkan Zafran dengan seribu tanda tanya. Dia menjeling ke sisi,
kelihatan Fiqa menarik lengan Zafran untuk ke kedai makan. Wardah mencebik.
Rimas betul dia melihat perangai Fiqa yang gedik tak tentu pasal.
Sedang asyik dia membebel dan mengutuk
di dalam hati, tiba- tiba dia terlanggar seseorang.
Bukkk!
“Adoi!” Wardah terjerit kecil sambil
memegang kepalanya.
Dia mengangkat wajah. Matanya bertautan
dengan anak mata hitam milik seseorang jejaka. Dia? Mr.Crush! Jerit hati Wardah teruja. Namun, cepat-cepat Wardah
tersedar apabila lelaki itu mengawang-awangkan tangannya di hadapan muka
Wardah.
“Awak okey ke?” soal lelaki tersebut
dengan senyuman mekar di bibirnya yang merah.
“Saya okey cuma kepala saya sakit sikit
terkena laptop awak tu,” balas
Wardah. Dia tidak lepas memandang wajah lelaki yang telah mencuri perhatiannya sejak
pertama kali mereka bertemu. Pertemuan yang memberi bekas dalam hati Wardah.
Akan tetapi lelaki itu tidak mengenali dirinya seperti mana dia mengenali
lelaki itu.
“Oh, saya mintak maaf…” ujar lelaki itu
sambil menundukkan pandangan. Panahan mata Wardah menusuk ke dalam hatinya.
“Tak mengapa,” balas Wardah sambil
matanya melilau memandang ID card
milik lelaki itu.Oh nama kau, Emir Rehan.
Lelaki itu tersenyum sekali lagi dan
berura-ura untuk meninggalkan Wardah.
“Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?”
soal Wardah tiba-tiba.
Langkah Emir Rehan terbantut. Dia
berpaling memandang Wardah yang sedang tersenyum manis. Lama dia mengamati
gadis yang berada di hadapannya ini. Cuba mengingati jikalau mereka pernah
terserempak di mana-mana. Namun, gagal. Dia tidak menemui apa-apa ingatan
tentang gadis itu.
“Tak. Saya tak rasa kita pernah jumpa
sebelum ni,” ucap lelaki itu dengan yakin.
Senyuman manis Wardah bertukar hambar.
“Tak mengapalah kalau macam tu. Tapi
saya rasa ini bukan pertama kali kita jumpa,” balas Wardah selamba.
Dahi Emir Rehan berkedut seribu.
Kata-kata gadis yang tidak diketahui nama itu menimbulkan tanda tanya dalam
dirinya. Siapa dia? Pernah ke aku jumpa dia sebelum ni? Soal hatinya sarat
dengan persoalan yang tidak mampu dijawab oleh dirinya sendiri.
Emir Rehan ingin bertanya tetapi gadis
itu terlebih dahulu menghilangkan diri. Emir Rehan mengeluh. Siapa agaknya
perempuan tu?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.