BUNTANG
mata Wardah melihat novel-novel baharu
yang tersusun kemas di dalam kedai buku Popular, Megamall. Terlalu banyak
pilihan sehinggakan Wardah sendiri pening kepala harus memilih yang mana satu.
Dia memandang sebentar pada Athira yang leka menilik sebuah novel terbitan
Karyaseni.
“Novel apa tu Ati?” soal Wardah
mendekati Athira.
“Novel Rindu Dalam Sepi. Best novel ni, semalam aku ada terbaca
dalam blog Penulisan2u. Kalau tak silap aku, novel ni bestseller tau,” jelas Athira bersungguh- sungguh.
Wardah hanya mengangguk. Dia mencapai
novel tersebut. Sinopsis di baca. Kepalanya di angguk-anggukkan.
“Apa yang kau terangguk-angguk tu, Ada?
Dah macam burung belatuk aku tengok,” tegur Amira lantas mendekati Wardah.
Wardah hanya tersengih dan memberikan
novel yang dipegangnya pada Amira. Hulurannya di sambut lalu dia berlalu ke
bahagian buku-buku agama. Wardah tersenyum sendirian. Banyak betul pilihan yang
ada dan ternyata buku- buku agama lebih menarik perhatiannya.
Dia mencapai buku karya Burhan Sodiq
bertajuk Ya Allah Ku Tak Ingin Bersendiri. Lama dia membelek helaian demi
helaian di dalam buku tersebut. Hmmm…
Boleh tahan buku ni. Buku motivasi yang berkaitan dengan cinta dan Islam
menarik minat Wardah namun Wardah meletakkan semula buku tersebut di atas rak.
“Ati jomlah kita balik, aku nak beli
buku ni tapi duit tak cukuplah. Kejap lagi aku nak kena beli barang nak pergi
kem pulak,” ucap Wardah tanpa memandang wajah Athira yang berada di
belakangnya.
Athira hanya terdiam. Dia tidak berkata
apa-apa. Lalu, tanpa menoleh sedikit pun, Wardah menarik pergelangan tangan
Athira untuk keluar daripada kedai buku tersebut tetapi saat langkahnya
terhenti saat matanya terpandangkan batang tubuh Athira dan Amira yang berdiri
berhadapan dengannya. Jantung Wardah berlari kencang. Kalau di depan aku ni
Athira habis tu tangan siapa yang aku tarik ni? Benak hatinya bertanya.
Nafasnya berombak ganas.
Terkebil-kebil dia memandang wajah
Athira dan Amira. Kedua sahabatnya itu turut memandangnya dengan pandangan yang
pelik. Athira menunjukkan jarinya ke belakang supaya Wardah memandang ke
belakang. Wardah terkaku, tangannya masih memegang pergelangan tangan makhluk
yang disangka Athira itu. Hah sudah, siapalah yang aku pegang ni? Ya Allah… Perlahan-
lahan Wardah memalingkan wajahnya ke belakang dan…..
“Aaaaa!!”
Wardah terjerit kecil sebaik sahaja melihat wajah lelaki yang berada di
belakangnya. Dengan pantas dia melepaskan tangan tersebut. Bunyi gelak ketawa
Athira dan Amira membuatkan Wardah diserbu perasaan malu yang tersangat. Rasa
seperti mahu dicabut mukanya dan diletakkan di tempat lain.
Bukan sahaja Wardah yang malu tetapi
lelaki yang menjadi mangsa Wardah turut malu. Merah wajahnya menambah lagi
perasaan malu Wardah apatah lagi lelaki tersebut adalah lelaki yang dia suka.
Siapa lagi kalau bukan Emir Rehan!
“Err…
Awak, saya mintak maaf. Saya betul-betul tak sengaja…” ucap Wardah sambil
menundukkan wajah. Kalau boleh nak aje dia benamkan wajahnya ke dalam simen
biar rasa malu itu hilang. Tapi apakan daya terpaksa juga dia berhadapan dengan
Emir Rehan yang turut terkaku.
“Tak mengapa saya maafkan. Saya tahu
awak tak sengaja. Hajat hati saya nak tegur awak tapi awak terlebih dulu tarik
saya,” usik Emir Rehan sambil tersengih nakal.
Wardah terkesima. Dia rasakan seluruh
dunianya berhenti berputar. Terasa seperti dia terbang di atas awan saat
melihat senyuman Emir Rehan. Ya Tuhan, aku dah jatuh cinta ke?
“Kalau awak nak tahu, nama dia Wardah
Zahra.…” sampuk Amira sambil memeluk bahu Wardah.
Wardah tersipu- sipu. Dia memandang
wajah Emir Rehan sekilas. Sungguh, dia tidak dapat memandang wajah itu, malu!
“Oh, nama saya Emir Rehan panggil Emir
je…” ucap Emir Rehan lembut. Dia merenung wajah Wardah yang manis. Gadis inilah
yang selalu terserempak dengannya di kolej. Dia suka melihat Wardah yang ayu
dan terbit juga dalam hatinya untuk berkenalan dengan gadis itu tetapi dia
seorang yang pemalu.
“Err…
Say… Saya… Saya balik dululah, sorry
sekali lagi,” ucap Wardah tergagap-gagap. Saat ini dia tidak mampu untuk
menahan denyut jantungnya yang berlari pantas seperti tidak mahu berhenti. Lalu
dia menarik sahabat-sahabatnya untuk keluar dari Kedai Buku Popular. Kalau dibiarkan
pasti Athira dan Amira akan melalut lebih-lebih dengan Emir Rehan, si pujaan
hatinya itu.
KETAWA
Athira dan Amira menyakitkan telinga Wardah. Kalau ikutkan hati memang ingin
dicubit-cubit pipi Athira yang tembam tu. Sakit hati digelakkan seperti itu.
Tahulah aku yang salah, siapa suruh dia berdiri belakang aku, tak pasal- pasal
batal air sembayang aku hari ni. Bebel hati Wardah.
“Hah, gelaklah sampai terbungkam kat
situ. Aku memang suka kena gelak macam ni,” sindir Wardah geram. Dia
melemparkan pandangan ke arah jalan raya yang sesak. Sejak dari tadi dia tunggu
teksi, tapi satu pun tidak kelihatan. Wardah mengeluh.
“Ada ke kau tarik tangan dia. Kau ingat
tangan dia tu tangan aku ke? Lawaklah kau Ada. Aku nak post dalam facebooklah,” ujar Athira sambil terkekek-kekek ketawa.
Amira tergelak besar. Dia menekan-nekan
perut kerana tak tahan melihat wajah Wardah yang masam mencuka kerana menjadi
bahan tawa mereka berdua. Tetapi tiba-tiba tawa mereka terhenti apabila Emir
Rehan muncul di hadapan mereka.
“Assalamualaikum…” sapa Emir Rehan
lembut.
“Waalaikummusalam…”
jawab mereka hampir serentak.
Wardah terkejut lantas dia berdiri
berhadapan Emir Rehan. Apa lagi dia nak? Aku tahu salah aku. Tapi kan aku dah
mintak maaf.
“Awak, saya tahu salah saya tapi saya betul-betul
tak sengaja tadi. Saya ingatkan awak kawan saya ni hah,” ucap Wardah pantas
tanpa membenarkan Emir Rehan bercakap terlebih dahulu. Terkelip- kelip matanya
memandang matanya Emir Rehan yang redup.
Emir Rehan tersenyum manis.
“Awak, tolong senyap sekejap. Saya
datang ke sini bukan nak cari gaduh dengan awak, tapi saya nak bagi ni…” balas
Emir Rehan sambil menghulurkan beg plastik Popular pada Wardah.
Wardah terpinga- pinga. Namun, huluran
daripada Emir Rehan tetap disambut.
“Apa ni?” tanya Wardah dengan dahi yang
berkerut.
“Tengoklah sendiri. Saya pergi dulu…”
ucap Emir Rehan sebelum berlalu meninggalkan Wardah yang masih terpinga- pinga.
“Awak!” panggil Wardah. Dia lupa untuk
mengucapkan terima kasih pada lelaki itu tapi lelaki itu telah berlalu. Dia
menghantar bayang Emir Rehan dengan pandangan mata. Wardah tersenyum suka.
“Tak payahlah awak panggil saya, saya
nak balik. Awak bukalah dulu plastik tu,” ejek Athira sambil memeluk bahu
Wardah. Mereka berdua ketawa lepas.
Wardah menjeling. Geram kerana
diperkotak- katikkan oleh sahabatnya. Tapi dia mengikut apa yang Athira
cakapkan. Perlahan- lahan dia mengeluarkan buku yang berada di dalam plastik
tersebut. Dia terpempan sekali lagi. Buku Ya Allah Aku Tak Ingin Bersendiri
berada di dalam pegangannya.
Perasaan Wardah saat ini berbaur. Suka,
teruja semua bercampur. Rasa ingin menjerit tapi suaranya tidak terkeluar.
Sudahnya dia hanya tersenyum simpul. Menyembunyikan rasa di hati.
ZAFRAN
tersenyum sendirian saat menatap skrin komputer riba miliknya. Jari- jemarinya
tidak duduk diam memainkan tetikus yang
terletak di atas meja. Segala post
dan status update gadis itu di baca
satu persatu. Selama ini belum pernah dia membuka profile facebook milik gadis itu tetapi hari ini terasa seperti ada
yang menarik pula.
Dalam diam Zafran membaca profile gadis itu. Hatinya terasa
sesuatu bila membaca status update gadis
itu yang banyak memberi kata- kata semangat serta nasihat-nasihat yang berguna.
Jarang sekali dia melihat gadis itu memuatnaik gambar-gambar peribadi seperti
kebanyakan kawan-kawan perempuannya yang lain. Ternyata gadis itu lain daripada
kawan-kawan wanitanya yang lebih suka menayang- nayang gambar sesuka hati.
Dalam hati Zafran terdetik sesuatu.
Kenapa Riduan mahu bertaruh dengan dia untuk memiliki gadis itu? Gadis sebaik
Wardah perlukah dipermainkan sedangkan gadis itu adalah kawannya? Zafran
menutup laptop lalu menghempas badannya ke atas katil. Dia merenung siling yang
berwarna putih.
“Aku pelik dengan kau Zaf…” ucap Riduan
sewaktu mereka melepak di gerai petang itu.
Zafran mengangkat muka memandang Riduan
dengan kening yang bertaut. Dia memandang sekilas pada Iqram yang turut
berkerut.
“Pelik apanya, Duan?” soal Zafran
akhirnya.
“Aku suruh kau pikat Wardah semata-mata
untuk pertaruhan tu tapi aku tengok kau ni macam dah syok je kat dia tu,” balas
Riduan sambil menyiku Iqram yang asyik dengan cendolnya.
“Laaa…
Kau jugak yang nak aku dapatkan si Wardah tu, jadi aku kenalah pandai berlakon
yang aku ni ambil berat pasal dia, nanti kalau aku buat tak tahu macam mana aku
nak dapatkan si Wardah tu. Walaupun aku sekampung dengan Wardah tapi tak banyak
sangat yang aku tahu pasal Wardah cuma aku tahu dia perempuan yang baik-baik,”
ujar Zafran menerangkan perkara yang sebenar.
Namun, tiada siapa yang tahu apa yang
dirasakan dalam hatinya. Disebabkan pertaruhan itu dia lebih dekat dengan
Wardah. Setiap hari pasti dia cari jalan untuk mendekati Wardah semata- mata
untuk menang dalam pertaruhan itu tetapi sedikit sebanyak rasa bersalah turut
hadir dalam diri Zafran kerana apa yang dilakukan ini bagai satu penipuan untuk
Wardah. Bukan sahaja dia menipu Wardah tapi dia turut menipu dirinya sendiri.
“Haahlah Zaf, aku pun perasan cara kau
pandang dia, cara kau bercakap dengan dia macam kau dah jatuh cinta dengan dia.
Ingat Zaf, kalau kau jatuh cinta dengan dia, maknanya kau kalah dan duit RM1000
tu kau tak dapatlah,” sampuk Iqram. Riduan terangguk- angguk.
Zafran tergelak kecil. Namun hatinya
terdetik sesuatu.
“Mengarutlah kau orang ni. Aku nak jatuh
cinta dengan Wardah? Memang taklah..” tegasnya dengan berani. Pandangannya di
halakan ke tempat lain.
Riduan dan Iqram memandang Zafran dengan
pandangan yang semacam. Macam nak percaya tapi daripada riak Zafran, dia tahu
lelaki itu sedang menyembunyikan sesuatu.
“Apa hal kau pandang aku macam nak
telan. Percayalah apa yang aku cakap ni. Aku tak suka kat dialah. Dia tu kawan
aku je. Kau tahulah taste aku macam
mana kan. Aku rapat dengan dia sejak dua menjak dan bermenjak-menjak ni pun,
sebab kau orang yang nak bertaruh sangat. Anyway,
aku pelik kenapa kau nak sangat bertaruh dengan aku untuk dapatkan si Wardah tu
Duan? Padahal kau tahu kan perempuan yang macam mana aku suka,” giliran Zafran
pulak yang menyoal.
Tersentak Riduan dibuatnya. Dia hanya
mampu menayang gigi. Tersengih bak kerang busuk.
“Sebab aku tahu perempuan jenis apa yang
kau sukalah aku nak kau try perempuan
yang jenis lain pulak. Aku saja nak tengok Wardah ni jenis perempuan macam
mana. Nampak dari gayanya, macam tak layan lelaki je. Tak pun jenis memilih.
Memandangkan kau nak jadi playboy
yang versatile jadi kau kena try si Wardah tu,” jawab Riduan
tergagap-gagap padahal dia berbohong.
Oleh kerana sakit hati Wardah tidak
melayannya, Riduan menggunakan Zafran untuk membalas sakit hatinya itu kerana
dia tahu Wardah hanya baik dengan Zafran berbanding dengan rakan sekelas yang
lain. Biar Wardah rasakan sakit hatinya nanti. Zafran pula jenis yang pantang
dicabar apatah lagi yang melibatkan perempuan dan duit pasti dia tidak
pedulikan perkara lain termasuklah harga persahabatan yang tidak dapat dinilai
dengan duit atau pun apa saja yang berada di dunia ini.
“Kenapa kau sendiri tak try dia?” Itu dia soalan cepu emas
daripada Zafran membuatkan Riduan terkulat- kulat.
“Bukan tak nak try tapi awal- awal lagi dah kena reject…” pintas Iqram sambil menjeling pada Riduan.
Zafran tergelak kecil. Kena reject? Maknanya Riduan pun ada hati
untuk memikat Wardah tapi tidak dilayan. Kenapa Wardah baik dengan aku
sedangkan dengan lelaki lain, Wardah langsung tak layan. Dia suka aku ke?
Soalnya dalam hati.
“AMBOI,
menung jauh nampak..” tegur satu suara mengejutkan Zafran ke dunia yang sebenar.
Perbualan antara dia dan Riduan terbang melayang.
Zafran mendongak. Kelihatan Zahirul
melangkah masuk ke dalam biliknya dengan senyuman yang manis. Zafran bingkas
bangun dan duduk di birai katil. Abangnya yang turut melabuhkan punggung di
sisi, di pandang dengan senyuman terukir di bibir.
“Abang tengok kau macam terfikirkan sesuatu
je? Apa dia? Kau ada masalah ke?” bertubi- tubi soalan yang keluar daripada
mulut Zahirul membuatkan Zafran tergelak kecil.
“Abang ni banyak betul soalannya, Zaf
nak jawab yang mana satu?” ucap Zafran.
Zahirul tersengih lebar.
“Dah tu, abang tengok kau menung jauh
sangat. Kau teringatkan Wardah ke?” Serkap jarang Zahirul membuatkan Zafran
tersedak. Ada ke situ pulak abang aku ni. Tapi memang betul pun aku sedang
fikirkan dia sekarang ni. Benak hati Zafran berkata- kata.
“Mengarutlah abang ni, kenapa Zaf kena
ingatkan dia pulak? Ramai lagi girlfriend
Zaf yang boleh Zaf ingat,” dalih Zafran sambil meramas jari- jemarinya yang
runcing. Wajah Zahirul tidak dipandang, dia risau abangnya itu mampu membaca
apa yang tersirat di hatinya saat ini.
“Alah, yang lain tu kawan je kan pada
kau. Tapi abang rasa cara kau layan Wardah tu macam lain daripada yang lain je,
ada apa- apa ke?” giat Zahirul sambil menyiku lengan Zafran.
Zafran tidak membalas. Dia meraup
rambutnya ke belakang. Kenapa semua orang cakap dia layan Wardah lain daripada
yang lain. Semalam Riduan dan Iqram mengatakan perkara yang sama sekarang
abangnya pula. Tapi aku rasa layanan aku pada Wardah sama je atau aku je yang
tak perasan. Soal hatinya.
“Tak ada apa-apalah, abang. Zaf biasa-biasa
je dengan Wardah. Zaf peliklah kenapa abang asyik cakap Zaf ada apa-apa dengan
Wardah sedangkan Zaf tak rasa apa-apa pun,” Zafran mengetap bibir. Geram juga
apabila asyik ditanya dengan soalan yang sama. Kan aku ada hubungan betul-
betul dengan Wardah baru semua orang terkejut beruk!
Namun, Zahirul hanya tenang. Dia tergelak
melihat Zafran yang tiba-tiba melenting apabila dikaitkan dengan Wardah.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa Zaf nak
marah-marah? Tak tumbuh tak melata, kalau tak sungguh orang tak kata,” Tu dia
Zahirul mula bermadah.
Zafran menahan gelak mendengar kata-
kata Zahirul. Tahulah kau pensyarah tapi tak perlu nak berfalsafah dengan aku
abang oii. Hati Zafran berkata.
“Sebab tak ada apa-apalah kena marah,
abang. Bukan abang je, kebanyakan kawan Zaf semua cakap Zaf ada hubungan dengan
Wardah. Zaf tak fahamlah. Abang tahu kan prinsip hidup Zaf,” Zafran mula
mengadu.
“Zaf…” Zahirul memeluk bahu adik
kesayangannya itu. Dia tersenyum manis.
“Macam mana kau nak faham, kalau kau tak
cuba memahami kata hati kau sendiri. Kau cuba selindungkan perasaan kau dengan
prinsip hidup kau padahal ada sesuatu yang mula bermain di sini…” ucap Zahirul
sambil melekapkan telapak tangannya di dada Zafran.
Zafran terkedu. Dia terdiam seribu
bahasa. Kata-kata Zahirul membuatkan jantung Zafran berdebar- debar. Kenapa
agaknya?
“Apa yang abang mengarut ni? Tak ada
apa-apa pun yang bermain kat hati Zaf ni. Zaf muda lagi, tak ada masa nak fikir
soal hati bagai…” dalih Zafran. Matanya dialih ke tempat lain. Tak sanggup
rasanya nak bertentang mata dengan Zahirul. Kecut perut.
“Abang tahu kau nak mengelak kan? Tapi
tak apalah Zaf, satu hari nanti kau akan faham jugak apa yang abang cakapkan
ni. Anyway, abang nak tanya cuti
pertengahan semester nanti kau balik kampung tak?” Zahirul mengalih topik.
Zafran hanya menjongketkan bahu. Apabila
disebut soal kampung, Zafran teringat nasihat Wardah dahulu. Gadis itu sunguh-sungguh
mahu dia balik kampung untuk berjumpa dengan keluarganya. Zafran tersenyum
sendirian. Kata- kata Wardah masih utuh dalam ingatannya.
“Kau ni kenapa? Abang tanya kau nak
balik kampung ke tak, kau boleh senyum pulak,” sergah Zahirul mematikan
senyuman manis Zafran.
“Tengoklah dulu abang. Abang tak balik
ke?” soal Zafran kembali.
“Abang balik tapi lambat sikit. Kau tu,
baliklah kampung. Kesian kat ayah dengan mak. Adik-adik pun rindu kat kau cuma
kau je tak pedulikan mereka. Sudah-sudahlah benci kau kat mak, yang lepas tu
biarlah lepas. Buat apa nak kenang Zaf,” pujuk Zahirul.
“Entahlah abang. Susah Zaf nak hadap
muka perempuan tu. Tambah sakit bila tengok muka budak- budak tu. Lebih baik
Zaf duduk rumah abang ni…”
“Zaf, keras betul hati kau. Mak tu tak
bersalah apatah lagi budak-budak tu. Cuba kau buka hati untuk terima mak tu sebagai mak kau. Apa yang ibu buat tu tak
ada kena mengena dengan mak. Memang ibu tinggalkan kita sebab lelaki lain tapi
mak sanggup korbankan duit, masa dan tenaga dia untuk ayah bina hidup baru,
pernah tak kau ambil kira semua tu?” balas Zahirul lagi.
“Macam mana abang tahu?” Soal Zafran
pelik.
“Itulah kau. Masa abang balik kampung,
kau tak nak ikut. Ayahlah yang cerita kat abang. Mak tu dulu pekerja ayah.
Pekerja yang ayah percaya. Disebabkan ekonomi meleset, ayah terpaksa tanggung
hutang untuk bisnes ayah. Bila ibu tinggalkan ayah, mak datang berikan
pertolongan. Atas dasar simpati, atas dasar sahabat dia tolong ayah sehinggalah
ayah ambil keputusan untuk kahwin dengan mak. Ayah cuma nak kita ada mak je,
Zaf. Tak lebih dari tu.” Terang Zahirul cuba menyedarkan Zafran yang terlalu
lama hanyut dalam rasa bencinya terhadap Puan Saira dan adik-adik perempuannya.
Zafran terdiam. Kenapa dia tidak boleh terima
kehadiran mak tirinya dengan mudah sedangkan Zahirul dengan besar hati menerima
Puan Saira sebagai ibunya. Adik-adik tirinya turut di anggap seperti adik
sendiri oleh Zahirul sedangkan dia tak mampu untuk berhadapan dengan mereka
semua.
“Ingat Zaf, walaupun ibu tiri, dia tetap
ibu kau. Darjat seorang ibu itu tinggi di sisi Allah. Syurga kau ada di bawah
telapak kaki ibu,” suara Wardah bergema di telinga Zafran. Dia meraup rambutnya
ke belakang.
“Mungkin Zaf balik kut tapi selepas
Kursus Perintis Siswa…” ucap Zafran tiba-tiba.
Zahirul yang baru sahaja ingin melangkah
keluar dari bilik Zafran berpaling. Dia tersenyum manis. Apa yang menyebabkan
Zafran menukar fikiran?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.