“ASSALAMUALAIKUM…”
ucap Zafran sewaktu melangkah masuk ke dalam kelas yang digunakan untuk mereka
bermesyuarat pagi itu. Zafran memanggil Wardah masuk untuk diperkenalkan kepada
ahli fasilitator yang lain.
“Baiklah, saya kenalkan ini Wardah
Zaharah fasilitator yang baru. Dia akan bersama-sama kita untuk mengendalikan
Kursus Perintis Siswa untuk pelajar-pelajar baru semester ini,” ucap Zafran
sambil memperkenalkan Wardah.
Wardah tersenyum manis. Satu per satu
wajah yang berada di hadapannya dipandang. Semua yang berada di situ menyambut
baik kedatangannya kecuali Juliana. Kelihatan gadis yang memakai baju kurung
berwarna ungu itu hanya tersenyum hambar. Satu jelingan di hadiahkan buat
Wardah.
“Baguslah kalau kau dah jumpa fasi
tambahan. Kalau nak harapkan kita yang berapa kerat ni, aku rasa tak terlayan
kerenah budak-budak junior tu nanti,”
sampuk Muaz yang duduk berhampiran dengan Zafran.
“Betul tu Muaz, senang sikit kerja kita
nanti,” sambung Hafiza tidak lama kemudian.
Zafran tersenyum gembira di atas
penerimaan sahabatnya terhadap Wardah. Dia memandang sekilas pada Wardah yang
hanya tahu tersenyum manis. Gadis itu nampak agak kekok dan segan berhadapan
dengan ahli kelab fasilitator yang lain.
“Tapi saya tak ada pengalaman dalam
mengendalikan budak-budak junior ni.
Zaf yang ajak saya sertai kelab ni jadi saya haraplah awak semua dapat tunjuk
ajar apa yang patut pada saya,” ucap Wardah merendah diri.
Wajah-wajah di hadapannya kini bukan
lagi asing buat Wardah memandangkan mereka semua pelajar semester enam dan
semester lima tetapi Wardah tidak pernah bekerjasama dalam satu kumpulan jadi
dia tidak tahu sama ada mereka boleh menerima kehadirannya atau pun tidak.
“Kalau niat nak sertai kelab ni sekadar
untuk menggatal baik batalkan saja niat tu. Biasa orang cakap, kalau niat tak
baik semua kerja buat pun jadi tak baik,” sinis Juliana tiba-tiba.
Wardah tersentak. Aikk, lain macamlah bunyi Juliana ni. Macam tak puas hati pun ada.
Wardah dapat rasakan yang kehadirannya tidak diterima oleh Juliana. Dia
memandang pada Zafran yang turut terkejut mendengar bicara Juliana yang agak
tidak sopan.
Zafran melemparkan senyuman dan
mengerdipkan matanya pada Wardah. Dia
tidak mahu gadis itu merasa tidak selesa dengan kata-kata Juliana. Dia ketua
dalam kelab tersebut jadi suka hati dialah nak ambil siapa pun untuk menyertai
kelab ini. Juliana tiada hak untuk menghalang.
“Saya yang mintak Wardah untuk sertai
Kelab Fasilitator Ivory ini sebab saya rasa dia layak. Bukan sahaja daripada
pencapaian akademik tetapi daripada segi kemahiran dalam menguruskan sesuatu event. Jadi, saya pilih Wardah bukan
atas sebab-sebab peribadi ya, Juliana,” balas Zafran bagi pihak Wardah.
Juliana menarik muka masam. Dia dapat
rasakan sesuatu yang tak kena pada tindakan Zafran untuk mengambil Wardah
sebagai fasilitator. Sepatutnya Zafran tanya pendapatnya terlebih dahulu
sebelum membuat keputusan memandangkan dia juga salah seorang ahli kelab itu
juga.
“Saya nak jumpa awak selepas meeting ni,” bisik Juliana pada Zafran.
Kedengaran keras dan tegas.
Zafran hanya mengangkat bahu. Dia
mengalih pandangan ke hadapan. Malas dia melayan perangai Juliana yang agak
merimaskannya saat ini.
“Zaf, bila tarikh Kursus Perintis Siswa
yang sebenarnya? Aku dengar macam- macam tarikh yang pihak HEP cadangkan,”
Iqram mengalih topik perbincangan. Wajah Zafran dipandang.
“Tadi aku baru saja jumpa dengan Puan
Umi, aku dimaklumkan tarikh sebenar kursus tu akan diadakan awal bulan depan
selama tiga hari dua malam di Taman Pertanian Jubli Perak…”
“Maknanya kita juga perlu berkhemah
dengan student baru?” sampuk Juliana
yang sejak tadi mendiamkan diri.
“Yup, kita akan berkhemah dan mengawasi student kat sana. Kemungkinan pihak
kolej akan menggunakan khidmat pihak luar untuk mengendalikan student kali ini. Jadi, kita tak perlu
menyediakan modul-modul seperti kursus yang lepas sebaliknya kita cuma jadi pemantau
je. Tetapi satu saja yang yang penting, ini untuk perhatian pada AJK
perhubungan luar, kita perlu pastikan yang penceramah untuk sesi malam sampai
tepat pada waktunya,” ujar Zafran memberi maklumat.
Kelihatan semua yang hadir mengangguk-
angguk tanda faham. Wardah turut mencatat isi yang penting cuma dia terasa
janggal kerana tidak tahu apa tugasnya nanti sedangkan semua fasilitator
mempunyai tugas mereka sendiri. Takkan aku tengok je kut. Desis hati Wardah.
“Err…
Tapi Zaf apa tugas aku? aku tak tahu apa- apa ni,” akhirnya Wardah bersuara.
“Itulah kalau tak tahu nak buat kerja,
tak payah sibuk nak join kelab ni.
Sebenarnya kelab ni memerlukan orang yang berpengalaman bukannya baru nak
belajar,” sampuk Juliana. Kedengaran agak sinis di telinga Wardah.
Wardah mengangkat pandangan memandang
wajah Juliana. Eii, perempuan ni
sabar jelah hati aku ni. Kalau aku tak fikirkan Zafran yang mintak tolong
memang dah lama aku cabut dari kelab ni. Buat sakit hati aku je. Agak-agak
kalau aku gam mulut dia salah tak? Hati Wardah berbicara menahan kesabaran
melihat kerenah Juliana yang menyakitkan hatinya.
“Jue, boleh tak awak jaga sikit bahasa
awak tu. Dulu masa awak masuk kelab ni, terkial- kial jugak awak nak handle budak-budak junior. Jangan asyik nak mengata orang je,” bebel Zafran. Masih
terus membela Wardah. Dia hanya menggelengkan kepala melihat wajah cemberut
Juliana yang tidak berpuas hati.
Juliana mendengus geram. Bertambah sakit
hatinya apabila melihat senyuman sinis dilemparkan oleh ahli kelab yang lain
kepadanya. Rata-rata semua yang hadir di situ berpihak pada Wardah. Macam bagus
je!
“Tak apa Ada, kau bantu aku apa yang
patut. Aku lantik kau jadi penolong aku memandangkan kau dah biasa satu
kumpulan dengan aku kan? Jadi lebih senang untuk kita bekerjasama nanti,” ucap
Zafran kemudiannya.
“Alah Zaf, Wardah boleh je satu satu
geng dengan aku. Lagipun AJK makanan memang memerlukan tenaga yang lebih,”
sampuk Iqram sambil mengenyitkan mata pada Zafran.
Zafran yang mengerti maksud sebenar
Iqram hanya menggelengkan kepala. Inilah masanya untuk memikat Wardah demi
untuk pertaruhan itu. Dia tak mahu tewas dalam pertaruhan yang telah dipersetujui
antara dia, Iqram dan Riduan. Malulah dia nanti.
“Tak mengapalah Iq, aku rasa kau punya
bahagian dah cukup korum, Wardah ni aku yang jemput dia masuk dalam kelab ni
jadi biarlah aku yang ajar dia selok-belok kelab kita ni,” balas Zafran.
“Aikk,
kau nak ajar selok-belok ke atau kau tak boleh berenggang dengan Wardah, Zaf?”
Muaz bersuara.
Serentak, bunyi ketawa bergema di dalam
kelas tersebut kecuali Juliana. Wardah tertunduk malu. Sementara Zafran hanya
ketawa kecil namun sempat lagi dia mengerling ke arah Wardah yang sudah
tersipu-sipu. Suka dia melihat wajah sahabatnya itu yang kemerahan. Terasa ada
sesuatu yang menjentik tangkai hatinya namun sebaik sahaja Wardah membalas
pandangannya, dengan pantas Zafran mengalih pandangannya ke tempat lain.
“Kau ni Muaz ada- ada je. Kau tengok
muka Wardah tu dah merah,” balas Zafran meredakan suasana.
“Apa salahnya Wardah kan?” usik Liana
yang duduk di sebelah Wardah.
Wardah hanya mampu tersengih. Dia tidak
mampu untuk berkata apa- apa. Terasa wajahnya berbahang. Athira, Amira aku
perlukan kau orang saat ini! jerit hati Wardah.
MESYUARAT
yang di adakan hampir sejam itu berakhir setelah segala mendapat kata sepakat
daripada ahli-ahli yang hadir. Wardah mengemas buku nota dan alat tulis lalu
disimpan di dalam beg galasnya.
“Ada, sekejap lagi kau nak terus ke
kelas ke?” Soal Zafran sambil menyandang begnya. Wajah Wardah dipandang.
“Yup, aku ke kelas teruslah. Lagipun
Athira dan Amira tunggu aku kat kelas. Kau jangan lambat masuk pulak nanti
marah pulak Puan Putri tu,” Wardah sekadar mengingatkan.
“Aku tahulah, tapi kau tak nak pergi
makan dulu ke? Jomlah temankan aku makan,” ajak Zafran lembut.
“Eh, tak apalah Zaf. Aku rasa Jue tengah
tunggu kau kat luar tu. Dia boleh temankan kau pergi makan. Lagipun aku nak
pergi solat dulu,” ujar Wardah mengelak.
Jika boleh dia tidak mahu terlalu rapat
dengan Zafran. Dia tidak mahu mencari masalah dengan perempuan-perempuan yang
minat habis dengan Zafran. Tak pasal- pasal ada yang cari gaduh dengannya.
Tengok daripada gaya, rasanya Juliana mungkin orang yang pertama akan cari
gaduh dengannya.
“Baru pukul 12.30 Ada, lambat lagi Zohor
nak masuk. Jomlah teman aku makan…”
“Zaf, saya nak jumpa awak sekarang,”
suara Juliana membantutkan perbualan mereka. Zafran berpaling ke arah muka
pintu. Dia mengeluh berat. Serabut!
“Pergilah Zaf… Aku tunggu kau kat
kelas,” ujar Wardah tersenyum.
“Tak, kau kena teman aku makan jugak.
Kau tunggu aku kat bawah tau,” tegas Zafran.
Dia berlalu tanpa sempat Wardah
membalas. Wardah menepuk dahi. Dia ni suka buat aku tak ada pilihan. Detik hati
Wardah sebelum keluar melalui pintu belakang.
Zafran berdiri sambil berpeluk tubuh di
hadapan Juliana. Memang dia akui, sekarang ini dia sudah tawar hati dengan
gadis yang berada di hadapannya ini.
“Awak nak apa?” tanya Zafran.
“Sejak bila awak buat keputusan tanpa
tanya pendapat saya dulu? Kenapa awak ajak Wardah masuk kelab kita tanpa
pengetahuan saya?” tanya Juliana tanpa berdalih. Dia merenung tempat ke dalam
anak mata Zafran yang hitam pekat.
Zafran mengeluh panjang. Inilah yang aku
tak berkenan dengan perangai perempuan, semua benda yang kita buat kena
bagitahu dia dulu. Macamlah dia tu perdana menteri sampaikan semua perkara nak
kena repot padahal aku bukan rasmi lagi jadi boyfriend dia. Bentak hati Zafran geram.
“Saya tak tahu pulak semua keputusan
yang saya buat kena melalui awak. Saya pengerusi ke atau awak yang pengerusi?”
sindir Zafran.
“Saya salah seorang AJK kelab ni jadi
saya perlu tahu siapa yang awak ambil jadi ahli. Awak cakap pada saya yang awak
tak nak ada kaitan dengan Wardah tapi akhirnya awak ambil dia juga jadi ahli
kelab ni. Apa cerita?” Juliana mula menghamburkan rasa tidak puas hati.
Wajahnya berkerut seribu.
“Hah? Salah ke saya ambil Wardah jadi
fasi? Kelab kita tak cukup kakitangan, awak tahu tak? Dah banyak kali saya nak
bincang dengan awal pasal ni tapi awak asyik nak bercakap pasal hubungan
kitalah, pasal couple lah, bla, bla,
bla. Bila saya buat keputusan awak
asyik nak bantah je. Apa salahnya kalau saya ambil Wardah? Dia kawan saya dan
saya jamin dia memang seorang yang bagus. Cuma bersikap profesional sikit, Jue.
Saya buat semua ni atas dasar kelab kita
bukan disebabkan saya ada affair
dengan dia atau sebab lain,” tekan Zafran. Dia cuba mengawal suaranya agar
tidak kedengaran terlalu tinggi.
Kedengaran Juliana tersenyum sinis. Nak
suruh aku profesional konon, tapi dia tu bukan main lagi aku tengok duk
menggatal dengan Wardah. Ingat aku tak perasan. Dasar lelaki!
“Sudahlah Zaf, lebih baik awak mengaku
yang awak dah jatuh cinta dengan perempuan tu. Awak dengar sini ya, saya takkan
biarkan perempuan tu rampas awak daripada saya…”
“Tolonglah Jue, grow up. Saya bukan kekasih awak malah saya tak pernah declare yang awak kekasih saya, kenapa
tiba-tiba awak nak kongkong saya pulak?” Zafran mula meninggikan suara.
Perempuan ni dah lebih. Aku tak pernah
cakap pun pada dia yang aku setuju nak jadi teman lelaki dia. Aku tak suka kena kongkonglah, perempuan!
“Saya tahu awak sukakan saya kalau tak,
takkan awak asyik keluar dengan saya je. Mungkin kehadiran Wardah buat awak
berubah hati. Saya nak awak tahu yang saya takkan benarkan Wardah dekat dengan
awak. Saya sayang awak Zaf, awak kena faham,” ujar Juliana. Dia cuba memegang
tangan Zafran namun dengan pantas Zafran menarik kembali tangannya. Ish, tak
suka betul aku.
Zafran meraup rambutnya ke belakang. Ini
yang aku tak suka, kenapa perempuan cepat sangat perasan?
“Awak pernah dengar saya cakap yang saya
setuju nak jadi kekasih awak ke? Jue, saya rasa awak dah salah faham dengan
layanan saya selama ni, saya anggap awak kawan je, tak lebih daripada tu. Saya
keluar bukan dengan awak seorang aje tau. Fiqa, Suzie, Laila, Zarina, ramai
lagilah kalau saya nak sebut sorang-sorang. Jadi tolonglah faham. Saya tak
pernah dan takkan jatuh cinta dengan mudah dan saya bukan seorang yang setia. Saya
nak pergi dulu dan tolong jangan ungkit lagi pasal ni,” ujar Zafran.
Dia berpaling untuk mengorak langkah
namun suara Juliana menghentikan langkahnya.
“Awak milik saya Zaf, saya akan pastikan
yang awak akan jatuh cinta pada saya. Saya tahu yang awak sayangkan saya sama
seperti saya sayangkan awak, saya takkan berhenti buat awak jatuh cinta pada
saya sampai awak sendiri yang mengalah,” ucap Juliana.
Dia memandang Zafran yang
membelakangkannya. Dia pasti Zafran akan kembali padanya. Dia gadis yang
cantik, takkan lelaki seperti Zafran sanggup meninggalkannya. Ya, dengan
kecantikan itulah dia akan gunakan untuk menawan hati Zafran Wazien.
Zafran hanya tersenyum hambar. Juliana
tidak pernah memahami apa yang di alaminya, prinsip hidupnya tentang cinta. Dia
belum bersedia untuk memberi sebarang komitmen malah dia masih belum bersedia
untuk membuka hatinya bagi mengisi mana- mana cinta.
“Saya tak kisah dengan apa yang awak nak
buat tapi saya nak ingatkan awak yang hati saya ni tak mudah untuk terima cinta
jadi saya akan tunggu awak sendiri yang mengalah,” balas Zafran.
Tanpa menunggu lama, dia melangkah
meninggalkan Juliana sendirian.
ZAFRAN
mendekati Wardah yang setia menunggu di pintu masuk kolej. Dia tersenyum
sendirian melihat Wardah yang tekun membaca buku. Dia memang tahu hobi Wardah
yang suka membaca jika ada masa terluang jadi tak hairanlah kalau Wardah cerdik
orangnya. Sekilas dia menjenguk buku yang dibaca oleh Wardah. Buku Fiqh Wanita
berada di tangan gadis itu membuatkan Zafran tersenyum lagi.
“Hahhhh!” sergah Zafran dengan sengaja.
“Argghh!”
jerit Wardah kerana terkejut. Habis buku yang dipegang dilambung dek kerana
terkejut dengan sergahan daripada Zafran.
Zafran tergelak besar. Dia menekan perut
kerana geli hati melihat reaksi wajah Wardah yang terkejut. Rasa senak perut pun
ada akibat terlampau kuat ketawa.
“Tak senonohlah kau ni Zaf, terkejut
aku. Cuba bagi salam,” marah Wardah sambil mengutip kembali bukunya yang
terjatuh di atas lantai.
“Aku dah nak bagi tapi bila aku tengok
kau khusyuk sangat membaca, tak jadilah aku nak bagi salam. Kau baca buku apa
tu?” soal Zafran lalu duduk di sebelah Wardah.
Wardah menjarakkan dirinya daripada Zafran.
Dia mengangkat buku yang di bacanya ke hadapan muka Zafran. Bacalah sendiri
malas aku nak cakap.
“Oh, best
tak buku ni?” soal Zafran.
“Ini buku agama Zaf, buku panduan untuk
hal-hal fikah tentang wanita. Banyak gunanya buku ni untuk perempuan sebab buku
ni banyak menjelaskan tentang hal-hal yang perlu seorang wanita Islam patuhi
untuk menjadi seorang muslimah yang solehah,” balas Wardah menjelaskan sedikit
sebanyak tentang buku yang dibacanya itu.
Zafran tersenyum manis. Dia merenung
wajah Wardah yang asyik bercerita tentang isi kandungan buku tersebut. Wajah
gadis itu selalu sahaja tenang malah sikap sopan santun Wardah cukup
menyenangkan hati Zafran. Walaupun mereka telah lama menjalinkan persahabatan,
namun Wardah tidak pernah melangkaui batas dalam pergaulan antara mereka. Gadis
itu memang lengkap ciri-ciri seorang wanita solehah.
“Kau dan Jue bincang pasal apa tadi?”
soal Wardah membuatkan Zafran tersedar.
Zafran meraup wajahnya. Dia memandang ke
tempat lain sebelum kembali memandang wajah Wardah yang setia menanti jawapan
daripadanya. Dia menghela nafas panjang. Entah apa yang menganggu fikiran
ketika ini.
“Errr…
Tak ada apa pun. Jomlah temankan aku pergi makan, aku dah lapar ni,” ucap
Zafran mengubah topik perbualan. Jika boleh biarlah apa yang di bincangkan
dengan Juliana hanya dia saja yang tahu.
Wardah mengalah. Dia mengangguk setuju
walaupun dia tahu ada sesuatu yang disembunyikan oleh Zafran. Dari air muka
lelaki itu Wardah sudah dapat meneka ada sesuatu yang menganggu fikiran lelaki
itu. Tapi apakah dia?
Wardah dan Zafran melangkah menuju ke
kedai makan yang berada di hadapan kolej mereka. Masing-masing mendiamkan diri
sehinggalah sampai di kedai makan. Suasana di Kedai Makan Taman Gelora agak
bingit, mungkin kerana waktu ini waktu tengah hari. Semua pelajar dan pensyarah
turun untuk menjamu selera.
Selepas mendapat tempat duduk, Wardah
dan Zafran memesan makanan. Wardah merasa tenang saat matanya memandang Pantai
Taman Gelora yang cukup cantik dan mendamaikan. Namun, matanya terpaku pada
seseorang yang memandang ke arahnya. Emir Rehan!
Alamak, Emir Rehan ada juga. Mana aku
nak sorok ni? Tentu dia ingat Zafran boyfriend
aku memandangkan aku berdua sahaja dengan Zafran saat ni. Macam mana ni? Wardah
mula gelisah. Dia membuang pandangan pada Emir Rehan yang setia memandangnya.
Wajah lelaki itu masam mencuka. Tiada lagi senyuman manis yang selalu terukir
di bibir lelaki idamannya itu.
“Eh
Ada yang kau gelisah semacam aku tengok ni kenapa? Macam kucing mati bini je
gaya kau ni,” tegur Zafran.
Wardah tersengih. Macam manalah aku nak
terangkan, bakal jodoh aku tengah tengok kau dengan aku ni. Mesti dia fikir
bukan-bukan. Alahai Zaf, kenapalah hari ni kau ajak aku temankan kau makan
berdua je? Hati Wardah mula melalut.
“Tak ada apa- apalah, Zaf. Tiba- tiba
aku rasa panas kat sini,”
“Panas? Aku rasa angin bukan main kuat
lagi. Kau tak sihat ke? Demam? Jom aku bawak kau ke klinik,” ujar Zafran dengan
riak yang risau.
Dengan pantas Wardah menggelengkan
kepala. Aku panas bukan sebab itulah. Eiii,
susah bercakap dengan orang yang tak faham perasaan kita ni. Bisik hati Wardah
lagi. Dia mengintai wajah Emir Rehan dari sebalik wajah Zafran yang sedang leka
menjamu selera. Kelihatan Emir Rehan menumpukan sepenuh perhatiannya pada
makanan yang terhidang di hadapannya.
“Kenapa kau tak nak makan Wardah? Minum
je…” soal Zafran mengangkat muka.
“Aku dah makan roti tadi. Lagipun nanti
aku masak kat rumah,” balas Wardah.
“Kau pandai masak, Ada?” soal Zafran
lagi.
“Alhamdulillah sikit-sikit tu bolehlah
Zaf. Setakat nasi kosong dengan lauk-lauk biasa bolehlah aku masak,” terang
Wardah.
Zafran tidak membalas. Dia tersenyum di
dalam hati. Kalau ikutkan, Wardah ada ciri-ciri wanita yang sesuai untuk
dijadikan isteri cuma… Cuma apa ya? Zafran tiada jawapan untuk soalan yang
ditanya oleh hatinya.
“Sekurang-kurangnya kau pandai jugak
masak. Nanti, kau masaklah untuk aku. Selama ni kau tak pernah pun bagi aku
rasa masakan kau,”
“Macam mana aku nak bagi kau rasa
masakan aku, kau tak pernah balik kampung. Aku selalu bagi kuih-kuih yang aku
masak pada mak kau,” balas Wardah.
Terhenti terus senyuman manis Zafran
bila lelaki itu menyebut dengan mak tirinya itu. Mati terus seleranya. Zafran
meletak sudu di dalam pinggan. Dia mengelap mulut dengan tisu. Air sirap yang
dipesan dihirup perlahan.
“Aku takkan balik selagi perempuan tu
ada dalam rumah aku,” ujar Zafran. Dia berpeluk tubuh,
“Perempuan? maksud kau Mak Cik Saira?”
tanya Wardah dengan dahi yang berkerut.
Zafran mendiamkan diri dan itu sudah
menjawab soalan Wardah. Hampir Wardah terlupa cerita keluarga Zafran. Lelaki
itu memang tidak suka dengan kehadiran Puan Saira dalam keluarganya. Wardah
ingat, Zafran pernah menyatakan yang Puan Saira berkahwin dengan ayahnya kerana
harta sedangkan bagi Wardah, dia melihat Puan Saira seorang wanita yang baik
malah wanita itu seorang yang ramah. Dia sendiri pelik dengan sikap Zafran.
“Zaf, Mak Cik Saira tu mak kau, tak baik
kau panggil dia macam tu.” tegur Wardah
dengan nada yang lembut.
“Dia bukan mak aku malah aku tak ada mak
pun, semua perempuan menyusahkan hidup aku. Menyusahkan hidup ayah aku,” balas
Zafran. Di matanya tergambar perasaan
yang sarat dengan kebencian.
Wardah menghembus nafas panjang. Dia
perlu menyedarkan Zafran daripada terus hanyut dalam perasaan benci yang dia
tanamkan untuk Puan Saira dan ibu kandungnya sendiri. Wardah merenung Zafran
lama.
“Aku tahu kau tak suka kalau aku sebut
pasal ni tapi kau tak boleh terus bersikap macam ini, Zaf. Puan Saira dah jadi
mak kau walaupun hanya sekadar mak tiri tapi dia tetap mak kau. Aku tahu kau
sakit hati dengan ibu kau dulu sebab buat ayah kau macam tu tapi itu bukan
boleh dijadikan alasan untuk kau terus benci mak tiri dan ibu kau sendiri.
Sebagai lelaki, kau harus taat pada kedua ibu bapa kau terutama ibu kau. Syurga
tu di bawah telapak kaki ibu Zaf,” nasihat Wardah lembut.
Zafran terdiam. Dia tidak membalas. Straw yang berada di dalam gelas di
kacau-kacaukan sama seperti fikirannya yang sedang kacau saat ini.
“Kau tak faham perasaan aku Ada, aku
kecewa bila ibu aku sanggup tinggalkan ayah, abang dan aku yang masih kecil
disebabkan ayah aku jatuh muflis saat itu. Dia tak fikir aku yang perlukan kasih sayang seorang ibu saat itu.
Budak yang baru berumur 10 tahun, dia tak fikir ke?” luah Zafran menghuraikan
rasa hatinya yang masih sarat dengan perasaan benci.
“Aku akan cuba faham perasaan kau Zaf,
memang aku tak berada di tempat kau, memang aku tak alami apa yang kau alami. Tetapi
ingat Zaf kau tak boleh letakkan perasaan benci kau pada ibu kau sehinggakan
kau benci semua perempuan yang ada di muka bumi ini. Tak semua perempuan akan
ikut apa yang ibu kau lakukan dan aku rasa Mak Cik Saira seorang ibu yang baik
buktinya dia terima ayah kau dan sudi jaga kau dan abang kau tanpa bezakan kau
dan adik-adik tiri kau yang lain,” balas Wardah. Dia cuba menyelami hati Zafran
kerana dia tidak mahu lelaki itu tenggelam dalam dunia yang diciptakan sendiri.
“Kau tahu tak Zaf, darjat seorang ibu ni
amat tinggi di sisi Allah S.W.T sampaikan Rasulullah S.A.W pernah bersabda, ada
seorang sahabat yang bertanya siapakah yang harus ditaati selepas Allah dan
Rasul? Rasulullah S.A.W bersabda ibumu, kemudian sahabat bertanya lagi selepas
ibu siapakah orang yang harus ditaati? Kemudian Rasulullah menjawab lagi, ibumu
dan ibumu kemudian barulah ayahmu. Kau nampak tak kat sini Zaf, betapa mulianya
seorang ibu itu. Jika Allah dan Rasulullah sangat memuliakan seorang ibu, kita
sebagai manusia takkan nak mengingkarinya walaupun sekadar ibu tiri tapi dia
tetap seorang ibu,” sambung Wardah panjang lebar.
Bukan dia nak menunjuk pandai, tetapi
sebagai seorang sahabat dia perlu menasihati Zafran. Dia tidak mahu sahabatnya
itu memilih jalan yang salah dalam hidupnya.
Zafran terdiam. Apa yang dikatakan
Wardah menyentuh hati lelakinya. Selama ini tiada seorang pun yang sudi
menasihatinya atau menyedarkannya tentang itu tetapi Wardah mampu menyentuh
hati dengan kata-kata nasihatnya. Akhirnya Zafran mengukir senyuman penuh
makna.
“Jomlah kita ke kelas, dah pukul 1.30
ni. Nanti lambat pulak,” balas Zafran menukar topik.
Wardah hanya tersenyum dan mengangguk.
Dia mengangkat punggung untuk berlalu namun kehadiran Fiqa yang datang dan
memeluk lengan Zafran begitu mengejutkan Wardah.
“Sayanggg…” rengek Fiqa manja. Dengan
selamba dia mencuit hidung mancung milik Zafran.
Zafran cukup terkejut dengan sikap
berani dan gedik yang ditunjukkan Fiqa di hadapan khalayak ramai. Zafran tidak
kisah dengan mata-mata asing yang memandang tetapi dia kisah apabila Wardah
yang memandangnya dengan pandangan yang curiga. Alamak, matilah aku!
“Fiqa, apa awak ni? Cuba senonoh sikit,”
tegur Zafran. Dia menepis tangan Fiqa yang memeluk lengannya. Rimas tahu tak?
“Alah, selalu you tak marah pun, hari ni
nak bising pulak. Kenapa you makan tak ajak I?” soalnya dengan suara sengaja di
lunakkan.
“I banyak kerjalah. Dahlah you makan
sorang, I ada kelas,” tegas Zafran lantas dia mencapai begnya lalu beredar
meninggalkan Fiqa yang terpinga- pinga.
Wardah tidak menyampuk sebaliknya dia
mengorak langkah membuntuti Zafran. Sekilas, dia memandang ke arah Emir Rehan
yang turut memandang ke arahnya. Bibir lelaki itu kembali mengukir senyuman setelah
melihat Fiqa dan Zafran sebentar tadi. Wardah tersenyum. Dia menarik nafas
lega.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.