TERKINI! OKTOBER 2017 |
“ASSALAMUALAIKUM…”
sapa Wardah saat melihat Zafran sedang tekun menulis sesuatu. Beberapa helai
kertas bersepah-sepah di atas meja. Wardah mengelengkan kepala.
Zafran mendongak. Dia memandang wajah
Wardah yang bersih. Buat seketika dia menjeling pada jam di tangan. Dia menarik
muka. Konon- konon merajuk.
“Waalaikummusalam,
dah pukul berapa ni? Baru sekarang nampak muka kau. Dari tadi aku tunggu kau,
tahu tak?” Suara Zafran seolah-olah merajuk.
“Alah baru pukul 1.30, kelas kita pukul
empat kan? Tadi aku pergi sembahyang zohor dulu. Kau sembahyang belum?” soal
Wardah dengan lembut. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan
Zafran.
Zafran tersengih. Dia menggarukan
kepalanya yang tidak gatal. Wardah adalah satu-satunya wanita yang mengingatkannya
tentang solat.
“Errr…
Belum lagi Ada, sekejap lagi aku pergi. Kau dari mana?” soal Zafran kembali.
“Tak baik kau lengah-lengahkan solat.
Jangan amalkan tau. Anyway, sebelum
aku sembahyang tadi aku pergi makan dengan Ati dan Mira. Dia orang kirim salam
kat kau,” ujar Wardah.
“Mana dia orang? Tak nampak pun. Tak nak
join sekali ke kita study ni?” soal Zafran sambil menjenguk
ke arah pintu masuk student center.
Mencari kelibat Amira dan Athira.
“Taklah. Dia orang nak pergi kedai buku
nak cari novel katanya. Eh, kau sorang je ke? Mana ‘saka’ kau?” soal Wardah
selamba.
“Saka? Eh aku tak buatlah benda-benda syirik macam tu. Tak masuk syurga
aku nanti,” balas Zafran kebingungan.
Wardah ketawa lepas. Dia tahu pasti
Zafran tidak faham apa yang cuba dia cakapkan.
“Alah, perempuan-perempuan yang selalu
cari kau tulah. Biasanya di mana ada kau, di situ ada awek-awek cun. Tak ke
macam saka tu?” ucap Wardah menyambung tawanya.
“Kau ni Ada, ada-ada je. Aku ingatkan
saka apalah tadi. Malaslah aku nak fikir pasal perempuan, yang penting sekarang
kita study. Aku dah pening dengan
mesin-mesin ni hah..” balas Zafran sambil menunjukkan buku Proses Pembuatan
kepada Wardah.
Buku tersebut bertukar tangan. Pen yang
berada di tangan digoyangkan. Dia cuba mengingati apa yang di ajar oleh Puan
Ainul pada kelas yang lepas. Tapi sayang satu pun tidak terlekat dalam kepala
Wardah cuma bayang wajah Emir Rehan yang menahan sakit akibat cakaran kucing bermain
di minda Wardah. Dia menggelengkan kepala. His, aku ni dah angau kat dia ke?
“Kau ni dah kenapa Ada? Tergeleng-geleng
macam orang tak betul je…” tegur Zafran dengan dahi yang berkerut.
Wardah tersengih mempamerkan giginya
yang putih bersih.
“Tak ada apa-apa. Ini cara aku untuk ingat
kembali apa yang Puan Ainul ajarkan. Kau tak payah peliklah,” ucap Wardah.
Memberi alasan.
“Apa-apalah kau, Wardah. Macam mana ni,
kau tahu tak apa fungsi mesin-mesin ni?” soal Zafran kembali.
Wardah mengetuk-ngetuk dagunya dengan
pen. Cermin mata yang melurut jatuh di tolak sedikit dengan jarinya. Helaian
nota kecil dibelek.
“Okey, setakat yang aku tahu, mesin
kisar ini digunakan untuk meratakan permukaan atau pun membuat lengkung pada
permukaan yang tidak sekata. Manakala, fungsi mesin larik sama jugak macam
mesin kisar cuma mesin larik ini digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis
rupa bentuk simetri. Mesin larik ini juga digunakan untuk meratakan permukaan
bagi benda kerja yang berbentuk silinder berbeza dengan mesin kisar yang
digunakan untuk benda kerja yang mempunyai bentuk yang tepat seperti segi empat
tepat,” terang Wardah panjang lebar.
Zafran terdiam sebentar kemudian dia
mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.
“Tetapi untuk menggunakan mesin kisar
dan mesin larik ni kita kena pastikan mata alatnya sentiasa tajam bagi
mengelakkan benda kerja itu rosak, betul tak Ada?” soal Zafran seterusnya.
“Yup,
pandai pun kau. Mata alat perlulah dalam keadaan yang elok dan tajam sebab
kalau kita guna mata alat yang tumpul, ini akan merosakkan benda kerja dan akan
menjadikan permukaan benda kerja tak cantik,” balas Wardah.
Zafran tersenyum puas mendengar
penjelasan Wardah. Inilah untung dapat berkawan dengan orang cerdik seperti
Wardah. Tak hairanlah jika Wardah mendapat anugerah dekan untuk setiap
semester.
“Sekarang aku dah faham tapi yang aku
tak faham, kenapa kita kena ambil subjek mekanikal ni sedangkan kita ni
Pengurusan Teknologi?” soal Zafran. Dia menyandarkan belakang di kerusi. Wajah
manis Wardah menjadi tumpuannya saat ini.
Kenapa Riduan beria-ia sangat nak
bertaruh dengan aku untuk mendapatkan Wardah? Nak cakap Wardah cantik, taklah
cantik sangat. Tapi kalau cerdik tu memang aku tak boleh lawanlah. Nak cakap
seksi, memang taklah. Orangnya cukup simple,
berbaju kurung itulah gaya Wardah sejak daripada semester satu lagi. Nak cakap
kaya, orangnya cukup sederhana tapi apa yang membuatkan Riduan nak sangat aku tackle Wardah? Soal hati Zafran tiba-
tiba.
“Kau kena faham Zaf, Pengurusan
Teknologi yang kita ambil ni merangkumi segala subjek yang ditawarkan oleh UTM.
Kalau kita ambil subjek seperti Proses Pembuatan ni, ia akan dedahkan kita
bagaimana sesuatu produk itu disiapkan secara tak langsung ia akan membantu
kita jika kita bekerja berkaitan dengan industri nanti. Sebagai seorang bakal
pengurus, kau kena tahu semua yang berkaitan dalam organisasi sama ada
berkaitan dengan bidang kau atau pun tidak,” jawab Wardah tersenyum.
Kata-kata Wardah mengejutkan Zafran
daripada lamunannya. Dia tersengih. Hanya beberapa patah perkataan saja yang
sempat ditangkap, selainnya fikirannya melayang entah ke mana. Wajah Wardah ditenung
lagi.
Gadis ini terlalu baik untuk
dipermainkan. Bagaimana kalau Wardah tahu yang aku hanya ingin menjadikannya
taruhan semata-mata? Hati Zafran berbisik.
Alah, Wardah kan sporting orangnya. Dia takkan marahkan kau. Apa yang penting
sekarang, kau kena menang taruhan ini. RM1000 dalam genggaman kau, siapa nak
bagi? Tak mengapa, Wardah akan faham. Dia dah berkawan kau dah lama kan… Satu
suara menghasut akal fikiran Zafran.
Ya tak ya jugak. Wardah mesti faham kenapa
aku bertaruh, alah bukan aku buat benda yang tak senonoh pada dia pun. Nak cuit
pun aku tak sanggup. Balas hati Zafran.
“Kenapa kau pandang aku macam tu Zaf?”
soal Wardah tiba-tiba. Dia menjeling pada Zafran. Dia tidak suka pandangan
Zafran yang tajam merenung wajahnya. Hidung aku senget ke sampaikan dia pandang
aku macam nak telan je gayanya. Benak hati Wardah berkata- kata.
“Kau dah ada boyfriend?” soal Zafran tiba-tiba. Hatinya sedikit bergetar saat
Wardah membalas renungan matanya.
“Kenapa tiba-tiba kau tanya soalan pelik
ni Zaf? Soalan kau ni lebih susah dari soalan Proses Pembuatan ni. Tak naklah
aku jawab,” balas Wardah dengan nada bergurau.
Zafran hanya tergelak kecil. Dia tahu
Wardah cuba mengelak pertanyaannya.
“Pelik ke soalan aku tu? Normallah aku
tanya kau ada boyfriend ke tak,
lainlah kalau aku tanya kau ada girlfriend
ke tak. Itu baru soalan yang pelik,” balas Zafran.
“Sudahlah Zaf, aku tak sukalah bercakap
pasal benda ni. Kau kenal aku bukan sehari dua kan? Jadi aku rasa kau kenal aku
perempuan yang macam mana,” ujar Wardah cuba menamatkan persoalan yang ditanya
oleh Zafran.
“Okey, tapi aku nak tahu juga lelaki
macam mana yang kau suka? Maksud aku ciri-ciri lelaki idaman kau. Kau suka
lelaki yang macam mana?” soal Zafran lagi. Masih tidak mengalah. Dia memandang
tepat ke wajah Wardah.
Wardah membalas pandangan Zafran sebelum
menundukkan kepala.
“Kenapa kau nak tahu pulak? Selama kita
kawan, tak pernah pun kau nak ambil tahu.” Balas Wardah sedikit pelik dengan
sikap Zafran hari ini.
Sebabnya… Kalau aku nak menang
pertaruhan tu, aku kena tahu lelaki macam mana yang kau suka. Barulah senang
kerja aku. Jawab Zafran cuma dalam hati.
“Sebab tak pernah ambil tahulah, aku nak
tahu. Cepatlah bagi tahu aku, kau suka lelaki yang macam mana? Mesti kau suka
lelaki yang kaya kan?”
“Kenapa kau cakap macam tu pulak?
Penting sangat ke kaya tu?” Soalan dibalas soalan oleh Wardah.
Zafran hanya menjongketkan bahu.
Baginya, cinta wanita hanya terletak pada harta. Jika berharta, wujudlah cinta.
Jika tidak berharta, cinta hilang dengan sendirinya. Dia sudah muak dengan
perangai wanita seperti itu.
“Mestilah penting. Semua perempuan kalau
nak pilih lelaki, mesti pilih yang kaya, yang berharta. Biar tua sekali pun,
janji dapat bagi kesenangan. Perempuan semua sama!” balas Zafran sinis.
“Tak semua perempuan macam tu, Zaf. Kalau kau
tanya aku, ya memang aku suka lelaki yang kaya tapi kaya dengan ilmu agama.
Kaya dengan ilmu lebih bernilai dari kaya harta sebab hanya ilmu yang mampu
tunjukkan kita jalan jika kita sesat. Hanya ilmu yang mampu selamatkan kita di
akhirat. Bagi aku lelaki yang tahu agama dan mengamalkan agama itu jauh lebih
mulia berbanding lelaki kaya,” jawab Wardah tegas dan padat.
“Maknanya kau suka lelaki yang alim
macam pak ustaz, macam tu?” soal Zafran lagi. Ada sejalur resah tergambar di
wajahnya.
Wardah suka lelaki yang kuat agama,
sedangkan aku? Solat lima waktu pun culas. Hanya Solat Jumaat saja yang penuh
itu pun disebabkan Zahirul yang paksa. Solat sunat apatah lagi. Langsung tidak
pernah dibuat. Nak berzikir? Tidak pernah terlintas di fikiran Zafran.
Bagaimana aku nak penuhi ciri-ciri lelaki idaman Wardah, jika kewajipan
sehari-hari pun aku gagal nak penuhi? Monolog Zafran.
“Alim tak semestinya untuk ustaz-ustaz
je, Zaf. Aku tak mencari ustaz untuk diri aku tapi cukuplah imam yang mampu
bimbing aku, yang mampu tegur kesalahan aku, yang mampu bagi aku ketenangan,”
jawab Wardah.
Serentak, bayang wajah Emir Rehan
terlayar ke ruang fikiran. Dia tersenyum tanpa sedar.
“Kau dah jumpa ke lelaki tu?” Soal
Zafran ingin tahu. Wajah Wardah ditenung dengan lama. Dia menanti dengan penuh
debar.
“Mungkin…” Wardah meleretkan kata.
Dia mendongak tetapi secara tiba-tiba
dia anak matanya terpaku pada seseorang yang sedang berdiri di hadapan student center. Lelaki itu sedang
berbual dengan sahabatnya. Sesekali lelaki itu tersenyum. Tanpa paksaan, bibir
Wardah turut mengukir senyuman. Hatinya terasa berbunga-bunga setiap kali
lelaki itu muncul di hadapannya. Apakah erti perasaan ini? Soal hatinya.
Zafran pelik melihat sikap Wardah saat
ini. Dia turut menoleh ke belakang cuba melihat apa yang mencuri tumpuan
Wardah. Dahinya berkerut apabila mendapati pandangan Wardah hinggap pada
seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan student center. Wajah lelaki itu tidak kelihatan jelas kerana
Zafran hanya dapat melihat dari sisinya saja. Tapi wajah lelaki itu mampu
membuatkan Wardah tersenyum manis. Zafran menggigit bibir. Dia kembali
memandang Wardah dengan tajam.
“Ada…” Panggil Zafran sambil menepuk
meja. Sekadar untuk menyedarkan Wardah daripada lamunan.
Wardah tersentak. Pandangannya beralih
ke arah Zafran.
“Apa dia?”
“Jangan curi-curi senyum untuk orang
lain depan aku.” Ucap Zafran tiba-tiba. Intonasinya kedengaran mendatar tapi
tegas.
“Hah? Kenapa tak boleh pulak?” Soal
Wardah hairan.
Zafran tidak menjawab sebaliknya dia
bingkas berdiri.
“Esok ada mesyuarat untuk kem Perintis
Siswa, jangan lupa datang,” balas Zafran tanpa menjawab soalan Wardah. Dia
berlalu tanpa sempat Wardah berkata apa-apa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.