ZAFRAN
tenang sambil duduk bersandar di kerusi
dalam kelas Tasawwur Islam pagi itu. Dia melemparkan pandangan ke arah gadis
manis berjubah labuh yang sedang asyik berbincang dengan sahabat-sahabatnya
tanpa menyedari dirinya menjadi perhatian Zafran. Zafran tersenyum bila gadis
itu tersenyum seolah-olah ada magnet sehingga dia turut terjebak sama dalam
senyuman itu walaupun gadis itu tidak senyum padanya.
Tanpa Zafran sedari perbuatannya
diperhatikan oleh Juliana. Gadis itu mengetap bibir, sakit hati dengan sikap
Zafran. Sejak pertengkaran tempoh hari, Zafran sudah mula mengelak untuk bertemu
dengannya. Bila dia mengajak, ada saja alasan Zafran, malaslah, nak belajarlah.
Padahal sebelum ini boleh saja lelaki itu keluar dengannya. Ini pasti ada
kaitan dengan perempuan tu! Cebik Juliana dengan hati yang mendidih.
“Assalamualaikum..” bunyi suara dari
arah pintu yang terkuak membuatkan semua pelajar di dalam kelas tersebut
terdiam. Mereka mengambil tempat masing- masing. Zafran membetulkan duduknya
sambil mata difokuskan pada Ustaz Fazli yang berdiri di tengah kelas selepas
meletakkan buku dan komputer riba di atas meja pensyarah.
“Waalaikummusalam,
ustaz..” jawab mereka hampir serentak.
“Okey, hari ni kita masuk bab baru kan?
Bab apa?” soal Ustaz Fazli dengan senyuman.
“Bab lima. Wanita dan Islam, ustaz,”
balas Hafiza yang duduk di tepi Amira.
“Yup,
hari ni kita ada presentation kan? Group mana ya?” soal Ustaz Fazli lagi
sambil melilau matanya memandang ke belakang kelas. Kira pelajar kut.
“Group
kami ustaz…” sahut Wardah. Ustaz Fazli tersenyum.
“Baiklah, sebelum kita mulakan presentation, ustaz nak cakap sikit.
Memandangkan tajuk yang kita akan bincangkan hari ni agak menarik jadi saya nak
setiap seorang sediakan satu soalan untuk ditanyakan pada kawan kita yang akan
bentang. Setiap soalan itu saya akan berikan markah, okey?” ujar Ustaz Fazli dengan
senyuman yang tak pernah lekang di bibirnya.
Kedengaran pelajar- pelajar mengeluh.
Apa taknya, kena tanya soalan. Itulah perkara yang paling malas untuk mereka
lakukan. Manakala, kumpulan Wardah sudah berdebar-debar dengan arahan Ustaz
Fazli. Belum pernah Ustaz Fazli buat sesi soal jawab dengan mereka begini,
paling tak bila ada soalan, Ustaz Fazli sendiri yang jawab.
“Okey, Wardah awak boleh mulakan,” arah
Ustaz Fazli. Dia mengambil tempat di belakang kelas untuk melihat dan mendengar
pembentangan itu dengan jelas.
Jantung Wardah mula berdebar- debar.
Bukan tak pernah buat pembentangan tetapi kali ini dia rasa gabra habis. Dia
takut apa yang disampaikan tidak mencapai piawaian Ustaz Fazli. Apa- apa pun
redah jelah Wardah. Bisik hatinya.
“Assalamualaikum semua, hari ni saya Nur
Wardah Zahra, ini Nurul Athira dan sebelah sana Noor Amira Haiza. Wanita dan
Islam tajuk pembentangan kami hari ini,” Wardah memulakan bicara. Dia menarik
nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya dengan lembut. Dia tersenyum
pada Amira dan Athira.
“Sebelum memanjangkan perbincangan, saya
rasa semua yang ada di sini tahu apa makna wanita kan? Wanita menurut Kamus
Dewan adalah lawan kata bagi lelaki jadi tak perlulah saya terangkan lebih
lanjut. Apa yang saya ingin terangkan adalah berkaitan dengan wanita sebelum
kedatangan Islam,” Wardah menelan air liur sebelum menyambung.
“Rata-rata semua agama sebelum
kedatangan Islam berpendapat kewujudan wanita ini hanya menyusahkan dan
mendatangkan bala bagi keluarga mereka jadi tak hairanlah bila masyarakat
Jahiliah membunuh semua bayi-bayi perempuan semata-mata tidak mahu menanggung
malu kerana bagi mereka, kelahiran bayi perempuan mendatangkan bala pada
keluarga mereka. Tak kurang juga, mereka menjadikan wanita-wanita sebagai hamba
pemuas nafsu sahaja tanpa sedikitpun memberi hak yang sewajarnya kepada wanita
yang merupakan makhluk Allah.
Namun, selepas kedatangan Islam,
martabat wanita Islam di angkat seiring dengan kedudukan lelaki. Dalam al-Quran
turut menyatakan hak-hak wanita sama dengan lelaki. Tiada yang dapat membezakan
hak wanita dan lelaki kecuali iman mereka. Islam juga mengakui bahawa pahala
dan amal ibadat yang wanita lakukan sama seperti pahala yang diperolehi oleh
orang lelaki. Islam turut membanteras pandangan sial terhadap wanita seperti
mengkuburkan bayi perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan orang Arab
Jahiliah malah Islam memberi hak sama rata kepada semua wanita,” terang Wardah
panjang lebar.
Matanya menangkap pandangan Zafran yang
tidak beralih daripada memandang wajahnya. Wardah hanya melemparkan senyuman.
Matanya beralih pula pada Ustaz Fazli yang khusyuk mendengar penerangannya.
“Penerangan dan rumusan yang baik
Wardah, okey sila teruskan,” ujar Ustaz Fazli.
“Tajuk seterusnya saya serahkan pada
Athira..” ujar Wardah mengundur ke belakang sedikit.
Zafran masih memakukan pandangannya pada
Wardah walaupun bukan gadis itu yang membuat pembentangan. Dia meneliti
penampilan gadis itu, Wardah kelihatan manis dengan jubah berwarna hitam
dipadankan dengan tudungnya yang turut berwarna hitam menyerlahkan kulit
wajahnya yang cerah. Mata gadis itu yang bundar dan bulat kelihatan cantik pada
pandangan Zafran. Senyuman yang tidak lekang daripada bibir merekah itu
menggetarkan hati Zafran tiba-tiba. Ralit dia memerhatikan Wardah sehingga
tidak kedengaran apa yang Athira bentangkan.
“Secara ringkasnya tanggungjawab wanita
merangkumi tanggungjawab sebagai hamba Allah, tanggungjawab sebagai pemimpin
rumahtangga, tanggungjawab sebagai isteri dan tanggungjawab sebagai pendidik
generasi akan datang. Apabila segala tanggungjawab ini dapat dilaksanakan
dengan baik oleh wanita maka insya-Allah mereka merupakan seorang wanita yang
solehah,” ucap Athira mengakhiri pembentangannya. Dia menarik nafas lega kerana
bahagiannya telah selesai. Tinggal Amira sahaja lagi.
Amira sudah ke depan untuk memulakan
perbentangannya. Dia mengalih pandangan ke skrin putih. Wanita solehah, itulah
tajuk yang akan dibentangkan. Rasa gemuruh di tolak ke tepi. Apatah lagi saat
melihat wajah Ustaz Fazli yang tenang, terbang semua rasa gemuruhnya.
“Dunia adalah perhiasan tetapi seindah
perhiasan adalah wanita solehah. Kita biasa mendengar kata-kata ini tetapi
apakah wanita solehah dalam erti kata yang sebenar? Wanita solehah diibaratkan
seperti bidadari di dunia malah bidadari di syurga turut mencemburui wanita
yang solehah. Tiada apa yang diinginkan oleh wanita di dunia ini selain menjadi
wanita yang solehah, untuk menjadi wanita yang solehah, seseorang wanita itu
perlu mempunyai keislaman kental dan murni, keimanan yang jelas dan teguh,
berterusan dalam ketaatan, jujur dan memiliki kesabaran yang tinggi.” terang
Amira tenang.
Buat seketika dia memandang pada Wardah
yang terangguk- angguk. Tanda faham dengan apa yang dibentangkan. Pandangannya
dihalakan pada pelajar lain yang berada di dalam kelas tersebut, mereka semua
terdiam dan mendengar dengan khusyuk.
“Itu saja ustaz pembentangan kami,” ujar
Wardah menutup pembentangannya.
“Okey, bagus pembentangan kamu bertiga. Slide pun cantik walaupun ringkas tapi
padat, itu yang ustaz nak. Tak payah panjang berjela. Penerangan pun okey.
Baiklah, saya bukakan soalan sekarang. Kita mulakan dengan Juliana. Apa soalan
awak?” Ustaz Fazli mengalihkan pandangan pada laman wajah Juliana yang
terkebil- kebil.
Juliana menggarukan kepalanya. Apa yang
aku nak tanya ni? Selendang yang agak senget dibetulkan. Itulah kebiasaannya,
dia akan memakai tudung apabila kelas Ustaz Fazli, bila balik saja daripada
kelas, tudung terbang entah ke mana.
“Hmmm…
Apa pendapat korang bila ada orang kata perempuan yang bertudung bukan baik
sangat pun, kadang-kadang perangai perempuan bertudung ni lebih teruk daripada
perangai perempuan yang tak bertudung,” ucap Juliana. Okey ke soalan aku tadi? Argh, lantaklah!
Athira ke depan untuk menjawab.
Berkobar-kobar dadanya untuk menjawab soalan Juliana yang di anggap pedas tu.
Tahulah dia tidak bertudung, tapi sampai bila nak prejudis terhadap wanita yang
bertudung. Setiap wanita tidak wajib bertudung, tetapi wajib menutup aurat.
Tiba- tiba Athira teringat kata- kata Ustaz Azhar Idrus.
“Cik Juliana, awak cakap macam tu
seolah-olah semua perempuan bertudung tu jahat. Memang tak semua perempuan
bertudung tu baik, jadi semua perempuan tak bertudung tu baik ke? Jawapannya
tentu tidak kan? Selagi nama manusia, selagi itulah kita tidak terlepas
daripada melakukan dosa. Memang tidak
dinafikan perempuan yang tak mengenakan tudung tu ada yang baik tetapi kebaikan
dia tu boleh ke menutup aurat yang terdedah? Jawapannya tentu tidak, kerana aurat
hanya dapat ditutup dengan pakaian, bukannya sikap baik. Sikap baik itu hanya
dapat membantu menjadikan dia seorang yang baik bukannya untuk menutup aurat.
Kalau kita sayangkan suami, ayah dan keluarga kita ayat ‘perempuan bertudung
lebih jahat daripada wanita tak bertudung’ tu seharusnya tak perlu keluar
kerana arahan menutup aurat bagi perempuan dan lelaki bukan dibuat oleh manusia
tetapi itu ketetapan Yang Maha Esa sejak 1400 tahun dahulu,” terang Athira
panjang lebar.
Muka Juliana berubah kelat. Kata-kata
Athira mengena tepat batang hidungnya. Mukanya bertambah merah apabila
mendengar tepukan bergema di dalam kelas itu sebaik sahaja Athira menghabiskan
ayatnya.
“Firman Allah dalam Surah al-Azab ayat
59 yang bermaksud, wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu,
dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi
menutupi seluruh tubuhnya semasa mereka keluar, cara yang demikian lebih sesuai
untuk mereka dikenali sebagai perempuan yang baik-baik, maka dengan itu mereka
tidak diganggu. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, itu
perintah Allah di dalam al-Quran. Sebagai hamba kita tak boleh pertikaikan
perkara ini,” sampuk Ustaz Fazli.
Semua pelajar terangguk-angguk mengiakan
kata- kata Ustaz Fazli. Kini giliran Zafran mula yang harus bertanya soalan.
Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Aku nak tanya apa ni? Dia
tersengih. Pandangan dihalakan pada Wardah yang tersenyum padanya. Zafran
membalas senyuman manis tu.
“Apa soalan awak Zafran?” soal Ustaz
Fazli.
“Err...
Semua soalan yang saya nak tanya, semua dah ditanya. Saya nak tanya apa lagi
ustaz,” ujar Zafran berseloroh.
Serentak satu kelas ketawa mendengar
kata- kata Zafran yang di anggap lucu. Ustaz Fazli ketawa kecil. Kemudian
wajahnya bertukar serius.
“Awak tanyalah apa-apa pun yang
berkaitan dengan wanita. Ingat, setiap soalan ada markah.” balas Ustaz Fazli.
“Kalau macam tu baiklah saya cuba, soalan ni
saya ajukan pada Wardah. Apa ciri- ciri suami idaman awak, Wardah?” tanya
Zafran selamba. Mukanya cukup bersahaja sedangkan satu kelas sudah
mentertawakan soalannya.
“Aik,
Zaf kau dah pasang angan-angan nak jadi suami Wardah ke?” usik Iqram yang
berada di belakang kelas.
Sekali lagi kelas Tasawur Islam gamat
dengan bunyi ketawa. Zafran turut ketawa, dia melemparkan pandangan pada laman
wajah Wardah yang kelihatan merah. Gadis itu sudah tersipu malu.
“Awak ni Zaf, cuba tanya soalan yang
berkaitan dengan topik kita hari ni, Wanita dan Islam. Soalan awak tu lebih
kepada memilih calon isteri. Baiklah, macam mana kalau ustaz tujukan soalan itu
pada awak. Apa ciri-ciri isteri idaman awak?” Ustaz Fazli mengubah soalan.
Zafran tercengang. Alamak, aku pulak
yang kena. Apa yang aku nak jawab ni? Zafran menggigit jari. Dia tersengih pada
Ustaz Fazli.
“Perlu ke saya jawab soalan tu ustaz?”
tanya Zafran pula. Harap-haraplah ada peluang untuk melepaskan diri. Dia masih
tidak terfikir spesifikasi perempuan untuk dijadikan isteri.
“Eh, mestilah. Soalan dah ditanya mesti
awak kena jawab,” balas ustaz selamba.
“Jawab jelah Zafran, semua gadis dalam kelas
ni nak tahu macam mana gadis pilihan kau,” suara Shahril mencelah.
“Err…
Isteri pilihan saya macam… Macam…” suara Zafran tergagap-gagap. Dia menelan air
liur. Kelat!
“Macam apa Zaf? Sejak bila pula kamu ni
dah jadi gagap?” sergah Ustaz Fazli.
“Macam Wardah, ustaz!” jawab Zafran
pantas tanpa berfikir panjang. Terkejut jugak apabila disergah oleh Ustaz
Fazli. Dia mengurut dada. Fuhh!
Namun, suasana di dalam kelas bertukar
sunyi sepi. Zafran memandang ke kiri dan kanan. Aku tersalah cakap ke? Eh,
bukan ke aku cakap isteri pilihan aku macam Wardah? Alamak, aku dah tersasul!
Zafran mengetap bibir. Darah menyerbu ke mukanya apatah lagi bunyi ketawa kuat
membingitkan telinganya. Dia mengerling ke arah Wardah yang berada di hadapan
kelas, gadis itu menutup muka dengan buku. Malu!
“Sudah, sudah. Zaf, awak ni dah jauh
menyimpang ni. Sekarang saya bagi peluang untuk awak tanya soalan sekali lagi,”
ucap Ustaz Fazli selepas tawanya reda.
“Baiklah ustaz, memandangkan kita dalam
tajuk Wanita dan Islam, saya nak tanya tentang wanita dan pekerjaan. Bukankah
sebaik-baik tempat wanita adalah di rumah? Habis tu macam mana dengan wanita
yang bekerjaya? Salah ke kalau mereka bekerja?” soal Zafran. Sekali tanya,
berderet pula soalannya.
Wardah ke hadapan sikit. Walaupun masih
malu dengan apa yang Zafran katakan sebentar tadi, tetapi dia gagahkan diri
juga untuk menjawab soalan Zafran. Dia tersenyum dan Zafran membalas
senyumannya membuatkan Wardah gelabah.
“Ehem,
benar dalam hadis pun ada menyebut sebaik-baik tempat seorang wanita itu adalah
di rumahnya tetapi Islam memberi kelonggaran kepada wanita untuk keluar
menuntut ilmu dan juga bekerja tetapi dengan syarat yang perlu dipatuhi oleh
wanita. Syarat-syarat tersebut seperti meminta keizinan wali bagi yang belum
berkahwin tetapi bagi yang sudah berkahwin haruslah meminta keizinan daripada
suami untuk bekerja. Selain itu, sebagai wanita Islam, menuntut aurat adalah
wajib jika mahu keluar daripada rumah tidak kira untuk bekerja ataupun belajar
selain menjaga batas pergaulan dalam kalangan rakan sekerja yang berlawanan
jenis. Syariat juga menuntut supaya pada sesiapa wanita Islam yang ingin
bekerja supaya memilih kerja yang sesuai dengan fikrah wanita supaya tidak
mengabaikan tanggungjawabnya yang lain,” terang Wardah panjang lebar.
Zafran terangguk-angguk. Dia mulai faham
dengan apa yang Wardah terangkan.
“Tapi kalau banyak sangat syaratnya,
tidakkah ia seolah-olah mengongkong pergerakan wanita itu?” soal Zafran
seterusnya.
“Islam tidak pernah mengongkong umatnya
apatah lagi wanita. Apa yang Islam lakukan untuk wanita adalah untuk menjaga
kesucian wanita Islam. Perintah untuk menutup aurat dan menjaga pergaulan yang
disarankan Islam adalah untuk melindungi wanita itu sendiri daripada bahaya dan
fitnah yang akan merosakkan maruah wanita Islam. Apa yang Allah syariatkan
tidak pernah mengongkong kerana Dia lebih tahu fitrah kita sebagai hamba-Nya,”
Wardah menghabiskan ayat yang terakhir
dengan tenang. Dia tersenyum apabila mendapat tepukan daripada kelas. Dia
memandang Zafran yang tersenyum manis. Lelaki itu mengangkat ibu jari tanda
bagus. Alhamdulillah. Ucap Wardah dalam hati.
“WARDAH,
tunggu sekejap!” panggil Zafran apabila kelas Tasawwur Islam tamat. Dia
menghampiri Wardah yang sudah pun melangkah keluar kelas bersama Athira dan
Amira.
Wardah menghentikan langkah. Dia
memandang Zafran dengan penuh tanda tanya. Apahal pula dia ni?
“Hah, kenapa?” soal Wardah pendek.
“Baguslah pembentangan korang tadi.
Kagum pulak aku tengok. Korang nak pergi sarapan kan? Aku nak join boleh?” soal Zafran kembali.
Athira dan Amira berpandangan. Mereka
hanya menjadi pemerhati Wardah dan Zafran yang berdiri bertentangan.
“Alhamdulillah Zaf, terima kasih. Haah,
memang kami nak pergi sarapan pun. Jomlah join
sekali. Kau tak kisah ke sarapan dengan Wonder
Girl ni?” balas Wardah sambil tergelak kecil kerana memberi gelaran Wonder Girl pada kawan-kawannya.
“Aku no
hal je. Aku kan pencinta wanita…” ucap Zafran sambil tergelak kecil. Wardah
turut tergelak.
“Pencinta wanita ke, pencinta Wardah?” tempelak
Athira membuatkan tawa Wardah dan Zafran terhenti.
Athira tergelak sakan melihat reaksi
mereka berdua. Amira turut sama tergelak dengan kata- kata Athira. Ambik kau,
nak pencinta sangat. Kan dah kena. Hatinya ketawa jahat.
Muka Wardah mula berona merah. Dia
mengerling ke arah Zafran yang saat tu turut mengerling ke arahnya.
Zappp!
Jantung bagai direntap bila anak matanya
berlaga dengan anak mata hitam itu. Terasa seperti terkena kejutan elektrik,
Wardah memalingkan mukanya ke tempat lain. Jantungnya berdetak tidak menentu.
Zafran turut merasa perkara yang sama.
Dia menelan air liur yang rasa tersekat di kerongkong. Merah wajah apabila
dikenakan oleh Athira tadi. Hish, buat malu muka kasanova je Athira ni. Getus
hatinya.
“Mengarutlah kau ni Ati. Aku lempang,
nak?” soal Wardah geram. Dia mengetap bibir. Padahal dia sengaja buat- buat
marah sekadar untuk melindungi rasa debar di hati.
“Pasal muka aku kau nak lempang?
Patutnya muka Zaf tu hah, dia yang cakap tadi isteri pilihan dia macam kau,”
usik Athira lagi. Kata- katanya disambut gelak oleh Amira.
Wardah menggelengkan kepalanya. Sakit
betul hati dengan usikan Athira. Namun, Zafran kelihatan tenang tanpa sedikit
pun menyampuk.
“Dahlah, jom kita pergi makan…” ajak
Wardah sambil menolak badan kedua sahabat bertuanhnya itu.
Zafran tersenyum melihat telatah Athira
dan Amira. Dia bersikap selamba padahal dalam hati berdentum dentam menahan
debaran. Entah kenapa usikan Athira tadi agak berbekas di hatinya apatah lagi
melihat wajah Wardah yang merah menahan malu. Sungguh, dia suka melihat wajah
Wardah sebegitu!
“Aku memang maksudkan apa yang aku
cakapkan dalam kelas tadi,” bisik Zafran rapat ke telinga Wardah yang berjalan
di sisinya.
“Hah?” Wardah terperanjat. Terkebil-
kebil dia memandang wajah kacak Zafran yang sedang tersenyum. Entah apa jenis
senyuman itu, Wardah tidak mampu untuk menafsirkannya.
Zafran tidak membalas sebaliknya dia
tersenyum menggoda sebelum mengenyitkan matanya pada Wardah.
“Sembunyi, namun kan terlihat yang jelas
di wajah, kita sama-sama merasakan cinta,” Zafran menyanyikan serangkap lagu
dengan nada yang ceria. Wardah yang terkebil-kebil di belakang ditinggalkan.
Zafran tersenyum sendirian.
SAMPAI
sahaja di kedai makan, Amira menggamit pelayan wanita untuk mengambil pesanan.
Sekilas dia tersenyum melihat Wardah yang duduk di sebelah Zafran. Eh, macam
sesuai pulak aku tengok dua makhluk ni. Nampak macam serasi aje muka Ada dengan
Zaf ni. Kenapalah baru sekarang aku perasan? Hati Amira terdetik. Dia tersenyum
sendirian.
“Saya nak teh o ais dengan nasi goreng
ayam. Nak cili potong. Korang nak makan apa?” soal Amira pada Wardah dan
Zafran.
“Nasi lemak ayam,” jawab mereka
serentak.
Amira dan Athira berpandangan. Mereka
tergelak kemudian mengangkat kening pada Wardah dan Zafran.
Zafran dan Wardah menayang muka selamba.
Alamak, macam manalah boleh tersama pula dengan dia. Selama ni tak ada pula
sama. Hati Wardah berbisik.
“Adik nak minum air apa?” soal mak cik
yang masih tercegat berdiri di tepi meja.
“Teh ais!” jawab Wardah dan Zafran serentak.
Wardah menggigit bibir. Zafran mengalih
pandangan ke tempat lain. Hatinya berdenyut tidak henti. Macam manalah boleh
sama pula menu dia dengan Wardah hari ni. Tak sanggup rasanya nak mengangkat
muka memandang wajah Athira dan Amira yang pasti akan mengusik mereka berdua.
“Amboi, tak sangka selera korang berdua
ni sama. Ada chemistry gitu. Ewah-ewah,
kalau kahwin ni mesti senang hidup, tak gitu Mira?” usik Athira sambil menyiku
Amira yang sudah mengulum senyum.
“Kau jangan nak melebih pulak Ati. Aku
tak ambik chemistry, aku ambik
sastera,” balas Wardah bersahaja. Geram sungguh dengan sahabatnya ini. Suka
sangat menyakat.
“Eh, Ada bukan ke kau ambik kelas
Ekonomi dulu? Kau kan satu kelas dengan aku…” sampuk Zafran membuatkan Wardah
menepuk dahi. Aku gurau jelah. Mamat
ni pun. Bebel hati Wardah.
Wardah hanya tersengih pada Zafran tanda
jawapan pada pertanyaan lelaki itu. Dia memandang wajah Athira dan Amira yang
masih tersengih-sengih padanya. Wardah menunjuk penumbuk.
Perbualan mereka diganggu dengan
kedatangan pelayan yang datang untuk menghantarkan pesanan mereka. Satu per
satu makanan diletakkan di atas meja. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka
mengambil makanan masing-masing.
“Alah, aku dapat isi ayamlah. Mira,
tukar ayam nak tak? Aku nak peha ayam tu,” pinta Wardah. Dia menunjukkan peha
ayam goreng di dalam pinggan Amira.
“Aku pun tak suka makan isi ayamlah Ada,
jadi kau makanlah apa adanya ye,” balas Amira sambil menayang muka tak
bersalah. Dia tersengih.
“Tak apalah Ada, kau ambik ayam aku ni.
Ayam kau tu kasi kat aku ye,” Zafran bersuara. Cukup lembut. Dia memandang
wajah Wardah yang berada di sebelahnya.
Wardah terkelu seketika. Lama dia
merenung wajah Zafran sebelum menggelengkan kepala.
“Tak mengapalah Zaf, aku tak kesah
sebenarnya makan apa pun cuma aku sengaja nak bermanja dengan Mira. Kau makan
jelah,” balas Wardah menolak.
“Apanya, ambillah… Nah…”
Zafran meletakkan peha ayam goreng
tersebut di dalam pinggan Wardah manakala isi ayam daripada pinggan Wardah diambil
dan diletakkan dalam pinggannya sendiri. Dia tersenyum pada Wardah yang
kelihatan serba salah.
“Makanlah…” ucap Zafran lembut. Wardah
hanya menurut. Tanpa mereka sedari Amira dan Athira memerhatikan gelagat mereka
dengan senyuman penuh makna.
“Wow, romantiknya kau Zaf, patutlah
ramai perempuan yang nak jadi awek kau. Sweet
betul kau ni…” usik Amira.
Zafran hanya tersengih.
“Memang ramai perempuan yang nak jadi
kekasih aku, tapi gadis sebelah aku ni, tak nak pulak,” jawab Zafran selamba.
Tersedak Wardah dibuatnya. Cepat-cepat
dia menyambut huluran air daripada Zafran. Amira dan Athira yang tergelak bagai
nak tercabut anak tekak tidak dipedulikan. Berkerut dahi Wardah memikirkan
kata- kata Zafran tadi. Apa kenalah mamat
ni? Pelik semacam aje aku rasa.
“Makan tu perlahanlah sikit, Ada. Kan
dah tersedak. Kau okey tak ni?” Soal Zafran dengan riak risau tergambar jelas
di wajahnya. Lama dia merenung wajah Wardah yang berkerut.
Wardah meneguk liur. Seram sejuk dengan
layanan Zafran hari ini. Dia tidak mampu untuk memandang Zafran. Sudahnya,
hanya kepala saja dianggukkan.
“Kata-kata kau macam nak melamar Ada je,
Zaf,” sampuk Athira masih dalam mood mengusik. Apatah lagi saat dia melihat
wajah Wardah yang merah menahan malu dan reaksi Zafran yang risau akan Wardah.
Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara dua sahabat baiknya itu.
Zafran menayang giginya yang putih
bersih. Memang nak melamar tapi dalam mimpi jelah. Perempuan baik macam Wardah
nak pula pandang lelaki macam aku ni. Hatinya berbicara. Hampir dia terlupa
niat dia sebenar untuk mendekati Wardah semata-mata untuk pertaruhan.
“Dah, dah jangan nak mengarut. Makan
dulu jangan nak cakap bukan-bukan. Kalau kau layan budak dua orang ni, macam-macam
benda mengarut yang keluar nanti,” pintas Wardah tanpa sempat Zafran membalas.
Dia menjeling pada Athira dan Amira yang masih lagi tersengih- sengih.
Balik nanti aku nak cili-cili mulut
budak dua ekor ni. Omel hatinya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.