SATU per satu tajuk-tajuk buku
yang tersusun kemas di atas rak dibaca dengan teliti. Hampir setengah jam dia
mencari buku Institusi Islam untuk dijadikan rujukan bagi menyiapkan tugasan
yang diberikan oleh Ustaz Fazli. Dia mengeluh kecil apabila buku yang dicari
masih belum ditemui.
Wardah menunduk. Dia mengintai di bahagian bawah
rak buku tersebut. Satu per satu dibelek sebelum anak matanya melekat tajuk
buku yang sememangnya dicari.
“Hah, jumpa pun!” Ucap Wardah sedikit riang.
Pantas saja tangannya memegang buku tersebut.
Namun, baru saja dia ingin menarik buku itu
keluar, buku tersebut turut ditarik dari arah lain. Arah bersebelahan
dengannya. Dahi Wardah mula berlapis-lapis. Siapa pulak nak cari pasal dengan
aku ni? Getus hati Wardah. Mulai bengang.
“Maaf, buku ni saya jumpa dulu,” ujar Wardah
lantas menarik buku tersebut. Dia mengintai dari celah buku yang sudah
ditariknya tadi.
Buntang matanya sebaik saja wajah seorang lelaki
menyapa di ruang mata. Lelaki itu turut terkejut melihat Wardah dari
celah-celah buku.
“Awak?” Jerit mereka serentak. Namun, sepantas
kila mereka menekup mulut apabila menyedari ada dengusan yang tidak menyenangi
suara mereka yang kedengaran kuat dalam perpustakaan yang sunyi sepi.
“Awak buat apa kat sini?” Soal Wardah dan Emir
Rehan hampir serentak. Mereka berpandangan. Tidak lama kemudian tawa mereka
meletus dengan sendirinya.
“Okeylah, saya bagi awak bercakap dulu,” ujar
Emir Rehan sopan.
“Awak nak buku ni jugak ke?” Soal Wardah sambil
menayangkan buku Institusi Islam yang berada dalam genggamannya.
Emir Rehan mengangguk kecil. Pandangannya
beralih ke wajah Wardah yang manis bertudung ungu.
“Saya saja je nak baca. Bosan tak ada nak buat
apa jadi saya masuk library ni
sementara tunggu kelas. Awak pulak nak buat apa dengan buku tu?” soal Emir
Rehan sambil memuncungkan bibirnya ke arah buku yang dipegang oleh Wardah.
“Saya nak buat assignment. Esok dah nak kena hantar tapi satu pun tak siap.” Jawab
Wardah sambil tersengih.
“Kalau macam tu jomlah saya temankan awak buat assignment. Mana tahu saya boleh tolong
awak apa yang patut lagi pun subjek ni saya dah ambil sem lepas,” balas Emir
Rehan menawarkan pertolongan.
Wardah menahan senyum. Hatinya melonjak gembira
tapi dia berpura-pura tenang.
“Awak pun ambil subjek ni?” soal Wardah lalu
berjalan membuntuti langkah Emir Rehan menuju ke meja yang kosong.
“Mestilah ambil. Awak lupa ke subjek Institusi
Islam kan subjek wajib jadi semua kos kena ambil,” jawab Emir Rehan membuatkan
Wardah malu sendiri.
Wardah memicit dahinya menahan malu. Macam manalah
aku boleh lupa semua ni? Awak punya pasallah ni, satu benda pun saya tak ingat.
Detik hati Wardah sambil tersengih ke arah Emir Rehan.
“Maaf, saya lupa sekejap.”
Emir Rehan ketawa kecil. Sikap polos Wardah
kadang-kadang mencuit hatinya.
“Awak buatlah assignment awak dulu. Saya nak cari buku sekejap. Nanti saya datang
semula,” ucap Emiri Rehan lalu kembali meninggalkan Wardah sendirian.
Senyuman manis tidak lekang daripada bibir
Wardah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Segala buku dan alat tulis dikeluarkan.
Sedaya-upaya dia cuba menumpukan perhatian tetapi kehadiran Emir Rehan kembali
mengganggu konsentrasinya. Wardah mendongak memandang Emir Rehan yang sudah pun
melabuhkan punggung di hadapannya.
“Awak baca buku apa tu?” soal Wardah ingin tahu.
Emir Rehan mengangkat buku yang dipegangnya.
Terpapar perkataan Tafsir al-Quran di mata Wardah. Dia tersenyum nipis.
“Malam nanti saya ada usrah dengan kawan-kawan
sebilik jadi saya rasa lebih baik saya sediakan dulu topik apa yang nak saya
bincangkan. Tak adalah saya terkial-kial masa usrah nanti,” terang Emir Rehan
tanpa diminta.
“Selalu ke awak buat usrah?” soal Wardah ingin
tahu.
“Setiap malam jumaat saya dengan kawan-kawan
buat usrah lepas solat isyak. Kalau tak buat usrah pun, kami buat tadarus. Dulu
saya tak biasa tapi bila kawan saya ajak, lama-lama jadi seronok pulak.” Jawab
Emir Rehan.
Wardah menganggukkan kepala. Terasa kembang
setaman hatinya apabila Emir Rehan tidak kekok menceritakan perihal diri dia.
Dia tersenyum manis.
“Oh, patutlah awak ingat semua pasal tajwid
kan?”
“Tajwid? Maksud awak?” Kening Emir Rehan sudah
bercantum. Kata-kata Wardah mengundang rasa hairan dalam dirinya. Apa kaitan
usrah dengan tajwid? Soal hatinya.
Wardah meletakkan pen di atas meja. Wajah Emir
Rehan menjadi tatapannya tetapi tidak lama, dia kembali menundukkan pandangan.
Walaupun hatinya menjerit yang dia suka pada lelaki ini tetapi rasa malu masih
menjadi batas dalam dirinya.
“Saya pernah cakap pada awak kan, kita pernah
jumpa sebelum ni. Tapi awak tak percaya,” ucap Wardah tanpa menerangkan hal
yang sebenar.
“Tapi saya rasa memang saya baru kenal awak,”
balas Emir Rehan masih tetap dengan pendiriannya.
Wardah mengukir senyuman.
“Awak ingat tak, dulu awak pernah tegur
seseorang mengaji masa dalam surau. Awak cakap ada kesalahan dalam bacaan tu…”
Wardah cuba mengingatkan.
Emir Rehan terdiam seketika. Otaknya ligat
memikirkan sesuatu. Jari telunjuknya dibiarkan mengetuk dagu. Semua memori
dalam kotak fikirannya cuba digali semula sebelum tiba-tiba anak matanya membesar.
Otaknya dapat menangkap sesuatu sebaik saja dia melihat renungan mata Wardah
yang redup.
“Awak ke orangnya… Perempuan yang saya tegur
dalam surau…” suara Emir Rehan tergagap-gagap. Jantungnya tiba-tiba saja
berdegup pantas.
Wardah mengerdipkan matanya. Dia mengangguk
kecil.
“Maaf saya tak tahu awaklah orangnya. Patutlah
saya macam pernah dengar suara awak ni. Saya mintak maaf kalau teguran saya tu
buatkan awak kecil hati,” balas Emir Rehan dengan rasa serba salah.
“Eh, tak adalah. Saya tak kecil hati pun
sebaliknya saya patut ucapkan terima kasih kat awak. Awak sudi tegur kesalahan
saya walaupun awak tak kenal saya. Masa tu saya terlupa nak ucap terima kasih
kat awak. Saya cari awak kat kolej tapi tak jumpa. Bila dah jumpa saya malu nak
tegur awak. Tapi alhamdulillah, sekarang Allah bagi kesempatan kat saya untuk
kenal awak. Terima kasih juga sebab awak sudi hadiahkan buku pada saya hari tu.
Saya suka,” luah Wardah. Senyuman manis tidak pernah lekang di bibirnya.
Emir Rehan turut tersenyum. Patutlah selama ini
dia kerap berjumpa dengan Wardah ternyata gadis itu tidak jemu mencarinya
sedangkan dia sudah melupakan apa yang terjadi. Sikap Wardah itu menyentuh hati
Emir Rehan tanpa sedar. Dia tidak menyangka, hanya secebis perbuatan, dia telah
menarik perhatian Wardah. Walhal, tegurannya tempoh hari sekadar
tanggungjawabnya sesama muslim.
“Takkan terima kasih je kut?” soal Emir Rehan
tiba-tiba. Dia tersenyum penuh makna.
Wardah tersentak. Wajahnya berubah.
“Dah tu awak nak apa?” Soal Wardah dengan hati
yang berdetak kencang.
“Saya nak awak jadi kawan saya, boleh?” soal
Emir Rehan kemudian ketawa kecil. Riak muka Wardah yang kelat cukup
menghiburkan hatinya.
Wardah mengetap bibir. Ingatkan apalah tadi.
Buat luntur semangat aku aje, dia ni. Getus hati Wardah. Tidak lama kemudian
dia tersenyum suka. Laju saja kepalanya dianggukkan. Lebih daripada kawan pun
boleh. Desis hatinya. Nakal.
“ZAF!”
Panggilan seseorang membuatkan langkah Zafran terhenti. Berpusing kepalanya
mencari empunya suara sebelum anak matanya terhenti pada wajah Iqram yang
sedang berjalan menuju ke arahnya.
“Hah, kau rupanya Iq. Ada apa panggil aku?” soal
Zafran lantas melabuhkan punggung di bangku tidak jauh dari surau.
“Tak ada apa. Kau buat apa kat sini? Ada kelas
ke?” soal Iqram lalu mengambil tempat di sebelah Zafran.
“Ada tapi pukul empat. Aku ke surau kejap tadi…”
ujar Zafran. Dia dapat melihat roman wajah Iqram berubah apabila dia menyebut
perkataan surau. Ada bunga-bunga tawa yang akan meletus daripada bibir rakannya
itu.
“Kau ke surau? Wah, aku tak sangka kau
betul-betul berubah.” Sindir Iqram lalu meledakkan tawa.
Zafran mengetap bibir. Bahu Iqram ditumbuk kuat.
“Aku tak berubahlah. Tadi Wardah ada sekali. Dia
ajak aku pergi surau. Aku terpaksalah ikut. Kalau tak, nanti buruklah reputasi
aku depan mata dia. Kau kenal Wardah tu macam mana kan? Dia suka lelaki yang
alim, aku kenalah berlakon. Macam mana aku nak menang dalam pertaruhan tu kalau
aku tak dapat tarik perhatian dia?” jelas Zafran membuatkan tawa Iqram
terhenti.
“Maknanya kau solat tadi tu tak ikhlaslah? Kau
buat semua tu sebab Wardah bukan sebab kau nak solat,” tempelak Iqram.
Berdesing telinga Zafran mendengarnya. Dia
menjeling tajam pada Iqram. Kecil besar, kecil besar saja Iqram di matanya.
“Siapa yang ajak aku bertaruh dapatkan Wardah?”
Soal Zafran pula.
Iqram tersengih.
“Aku dan Duan.” Jawabnya ringkas.
“Hah, tahu pun kau. Jadi kau orang pun
bersubahat dengan aku. Kau orang yang nak aku buat apa saja untuk dapatkan
Wardah, jadi ini saja cara untuk dapatkan dia. Bila aku menang pertaruhan tu
nanti, tak perlulah aku berlakon lagi. Wardah pun takkan rugi apa-apa,” jawab
Zafran tanpa perasaan.
“Kau rasa Wardah akan terima kau semula ke lepas
dia tahu apa yang kau buat kat dia?” soal Iqram menyentak Zafran.
“Kalau kita tak bagi tahu dia, dia takkan tahu.
Dia perempuan baik, Iq. Aku rasa dia akan maafkan aku kalau dia tahu sekali
pun,” balas Zafran antara yakin dan tidak.
Anak matanya ditebarkan ke kawasan surau. Dari
jauh kelihatan Wardah, Athira dan Amira keluar dari perut surau. Wajah itu
sejuk mata memandang. Tanpa sedar, Zafran tersenyum kecil.
Iqram yang menyedari ada senyuman yang menguntum
di bibir Zafran mula terasa sesuatu. Pandangan Zafran yang redup itu sudah
cukup memberitahu segala-galanya.
“Dan perempuan baik hanya untuk lelaki yang baik
aje, Zaf…” ucap Iqram. Bahu Zafran ditepuk lembut.
Zafran tersentak. Ayat Iqram seakan-akan
merentap tangkai hatinya. Dia berpaling ke arah Iqram. Wajah rakan subahatnya
itu ditenung lama.
“Maksud kau?”
“Cuba kau tengok sana…” ujar Iqram lalu
memuncungkan bibirnya ke arah Wardah yang sedang bercakap dengan seseorang di
hadapan surau.
Zafran turut memandang ke tempat yang
ditunjukkan oleh Iqram. Semerta, darahnya berderau. Kelihatan Wardah sedang
bertukar senyuman dengan seorang lelaki. Wajah lelaki itu tidak jelas di
pandangannya kerana lelaki itu sedang membelakanginya. Siapa lelaki itu? Kenapa
Wardah kelihatan bahagia apabila bersua dengan dia? Benak hati Zafran mula
resah.
“Siapa lelaki tu?” soal Zafran dengan perasaan
yang tertahan-tahan. Ada bahang panas terasa di kulit wajahnya.
“Entah. Aku tak ingat nama dia. Tengok dari gaya
kalau tak silap aku, dia ketua Persatuan Mahasiswa Islam,” jawab Iqram.
“Ketua PMI? Macam mana kau tahu?” soal Zafran
lagi. Dia menelan air liur.
“Masa sem satu dulu, pernahlah aku masuk PMI
tapi aku jarang ikut aktiviti kelab tu. Cuma aku tahulah siapa ketua kelab tu.
Selebihnya aku tak tahu…” balas Iqram tersengih.
Zafran merengus. Ternyata Wardah mempunyai kawan
lelaki yang jauh lebih hebat daripadanya. Zafran mula terasa sesuatu. Jelas,
dia dapat melihat Wardah sedang menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu. Dada
Zafran mula berombak.
“Kau dah ada saingan, Zaf. Lelaki itu jauh lebih
baik kalau nak dibandingkan dengan kau. Silap-silap kau kalah sebelum sempat
bertanding,” bisik Iqram seakan-akan menyimbah minyak ke api yang sedang marak.
Dia yakin Zafran sedang berperang dengan perasaan sendiri.
Zafran tidak menunggu lama. Dia bingkas bangun
dan mendapatkan Wardah yang sedang menuju ke arahnya. Kelibat lelaki yang
berbual dengan Wardah hilang daripada pandangan.
“Siapa lelaki tadi tu?” Soal Zafran tanpa sempat
Wardah memberi salam.
Wardah berpandangan dengan Amira dan Athira.
Lelaki mana? Emir Rehan ke yang Zafran maksudkan? Soal hati Wardah.
“Lelaki mana?” Soal Wardah dengan dahi yang
bertindih-tindan.
“Aku nampak kau bagi sesuatu kat lelaki tu. Kau
bagi apa?” Zafran melanjutkan persoalan. Wajahnya serius.
Makin berkerut wajah Wardah. Apa yang Zafran
merepek ni? Tiba-tiba dia teringatkan air mineral yang diberikan pada Emir
Rehan sebagai tanda terima kasih pada lelaki itu yang sanggup menemaninya di
perpustakaan pagi tadi.
“Oh, aku bagi air mineral je…”
“Kenapa kau bagi? Dia tak boleh beli sendiri
ke?” soal Zafran dengan pandangan tajam. Dia tidak peduli dengan pandangan
Athira dan Amira yang kehairanan melihat perubahan sikapnya.
“Salah ke kalau aku nak belanja kawan aku? Air
mineral je kut.”
“Salah. Bagi aku salah! Jangan pernah ambil
berat pasal orang lain depan aku. Aku tak suka!” tegas Zafran dengan dada yang
berombak kecil.
Makin pelik Wardah dibuatnya. Athira mula
menyiku lengannya. Ketegangan wajah Zafran membuatkan mereka takut untuk
bertanya.
“Kenapa kau tak suka Ada ambil berat pasal orang
lain? Kau suka Ada ke?” soal Amira tiba-tiba.
Duppp! Jantung Zafran bagaikan direntap. Persoalan yang terbit daripada mulut
Amira umpama bom yang meledak kuat. Dia tersedar dengan sendirinya. Kenapa aku
tak suka Ada dengan lelaki lain? Perasaan ni… Perasaan ni betul atau pun cuma
lakonan? Rasa apa yang bermain dalam hati aku saat ini? Dari mana wujudnya rasa
ini? Jerit hati Zafran hanya dia yang mendengar.
WAJAHNYA
tidaklah secantik Emma Maembong tapi kelembutan dan keayuannya kadang- kadang
meruntun jiwa lelakinya. Segala nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan
membuatkan dia merasakan dirinya selalu diperhatikan oleh gadis itu. Jika dulu
dia amat rimas dengan layanan gadis itu tetapi sekarang dia rasa senang malah
dia suka jika gadis itu menghubunginya. Apa erti perasaannya ini?
Dahulu dia pernah mengatakan yang
makhluk Allah yang bernama wanita ini suka menyusahkan dan merimaskan tetapi
kehadiran gadis itu memberi ketenangan dalam dirinya. Dia suka jika gadis itu
ada bersama. Dia suka bila gadis itu berbual dan ketawa dengannya. Terasa
hidupnya ceria dengan kehadiran gadis itu.
Hanya dengan gadis itu dia selesa untuk
menceritakan masalah yang melanda dirinya malah dia mengakui dalam hati,
senyuman gadis itu mampu memukau sanubarinya. Saat bibir itu melebarkan
senyuman, segala masalah terbang di bawa angin yang lalu. Senyuman itu mampu
memberikannya kuasa yang menenangkan.
Namun, saat ada lelaki lain yang cuba
menghampiri gadis itu, jujur Zafran akui dia tidak boleh terima. Hatinya pasti
akan berbahang panas. Dia mahu gadis itu hanya memandang dirinya dan bukan
orang lain.
Duhai hati, adakah kau dah terpikat
dengannya? Apakah erti perasaan aku padanya sekarang ini? Dia sahabatku, dia
temanku tetapi hatiku tidak dapat menerima semua itu lagi. Kenapa?
Zafran meraup wajahnya berulang kali.
Entah kenapa hatinya asyik merepek perkara yang bukan-bukan. Mindanya asyik
teringatkan gadis itu. Virus apalah yang menyerangnya kali ini. Belum pernah
rasa ini menjengah sanubarinya.
“Hoi, termenung nampak!” sergah Zahirul
yang masuk ke dalam bilik Zafran secara tiba- tiba.
Zafran tersentak. Dek kerana terkejut
dia tergolek jatuh ke lantai. Berkerut dahi Zafran menahan sakit di punggung
kerana terhentak di lantai.
“Adoii!!”
Zahirul ketawa mengekek. Tak sangka
sampai begitu sekali tindakan refleks adiknya.
“Seronoklah abang kenakan Zaf,” ujar
Zafran geram. Dia bangkit perlahan-lahan dan kembali duduk di atas katil.
Abangnya yang masih tercegat dibiarkan saja.
Zahirul melabuhkan punggung di birai
katil. Dia memandang wajah Zafran. Tangannya di angkat dan membelek-belek wajah
Zafran dengan selamba. Kemudian, dia melekapkan telapak tangannya di dahi
Zafran. Tak panas pun.
Berkerut dahi Zafran dengan tingkah laku
Zahirul. Dia menepis tangan Zahirul yang masih lagi merayap.
“Abang ni dah kenapa? Buang tabiat ke?”
Tanya Zafran geram. Dia mengetap gigi.
“Bukan abang yang buang tabiat, tapi
kau…” balas Zahirul selamba.
“Kenapa Zaf pula?” soal Zafran pelik.
Terkebil-kebil matanya memandang wajah tampan milik Zahirul.
“Abang pelik kenapa kau tak keluar malam
ni? Selalunya nak nampak muka kau kat rumah pun payah. Itulah abang cakap kau
buang tabiat,” balas Zahirul sambil tergelak.
Zafran geram lantas dia menumbuk lembut
bahu Zahirul. Puas hatinya bila melihat Zahirul menggosok-gosok bahunya. Padan
muka!
“Sakitlah!” marah Zahirul.
“Itulah siapa suruh abang perli Zaf,”
jawab Zafran.
“Kau tu yang buat abang pelik. Kenapa
kau tak keluar malam ni? Dah habis ke stok perempuan yang kau selalu usung tu?
Abang tak dengar pun telefon kau berbunyi,” suara Zahirul kembali serius.
Zafran tersengih kemudian dia menayangkan
telefon bimbitnya di hadapan Zahirul.
“Zaf off,”
balasnya selamba.
Zahirul hanya menggelengkan kepala
dengan sikap Zafran. Dia kembali memandang wajah Zafran. Dia dapat rasakan
Zafran seperti menyembunyikan sesuatu daripadanya.
“Kau ada nak cakap apa- apa pada abang
ke?”
“Nak cakap apa, bang?”
“Manalah abang tahu. Abang tengok sikap
kau lain sejak kebelakangan ni. Hari tu kau tanya abang kat mana nak beli tuala
wanita. Kau nak beli untuk siapa tuala wanita tu?” soal Zahirul cuba mengingatkan
Zafran tentang peristiwa beberapa hari lepas.
Zafran hanya tersengih mempamerkan
giginya yang putih bersih. Kali pertama dia membeli tuala wanita untuk seorang
gadis. Gadis yang berjaya menjadikan dia kelam-kabut tempoh hari. Sedaya-upaya
dia tahan perasaan malu di hadapan Zahirul semata-mata ingin menyelamatkan
gadis itu.
“Beli untuk kawan perempuanlah, abang.
Takkan Zaf pulak yang nak pakai.” Jawab Zafran lantas melarikan pandangan.
“Mustahillah kau ambil berat pasal
perempuan. Selalunya kalau girlfriend
kau ada masalah, kau tinggalkan aje. Kali ni boleh pulak kau tolong. Mesti dia special kan?” soal Zahirul lagi cuba
mencungkil rahsia daripada Zafran.
Zafran mengawal riak wajahnya.
“Abang juga yang ajar, kalau orang
perlukan pertolongan, kita kena tolong. Tolong orang tu kan satu sedekah. Tak
gitu, Encik Zahirul?” soal Zafran kembali.
Zahirul ketawa kecil. Dia merenung wajah
Zafran dengan lama. Tawanya terhenti dengan sendiri.
“Betullah, abang rasa kau ni ada
masalah. Kau tak nak cerita kat abang ke?” Zahirul masih belum mengaku kalah.
“Eh, tak adalah bang. Zaf tak ada
masalah pun. Perasaan abang je kut,” balas Zafran. Dia mengalihkan pandangannya
ke tempat lain.
Dia mencapai novel Rasa Yang Tertinggal
karya Siti Khadijah yang berada di atas meja. Itulah kesukaan Zafran, membaca
novel. Walaupun ramai lelaki tidak suka membaca novel tetapi bagi Zafran,
membaca novel merupakan hobinya sejak sekolah lagi cuma tiada sesiapa pun yang
tahu akan hobinya itu.
“Kau kalau nak bohong, kau bohong orang
lainlah. Abang tahu kau tengah fikirkan sesuatu, ceritalah kat abang,” pujuk
Zahirul lagi.
Zafran merenung wajah Zahirul. Namun,
wajah Zahirul bertukar dengan gambaran wajah seorang gadis yang bertudung.
Manis dengan senyuman yang mekar di bibirnya yang merah. Renungan matanya
mendebarkan sukma.
Ya Allah, kenapa dia ada di sini? Dalam
bilik aku pula tu.
“Zaf, sejauh mana kau cuba sembunyikan
rasa itu tapi debaran di dada tak pernah membohongi hati kau. Jangan sesekali
kau ingkari cinta itu,” bisik gadis itu cukup lembut.
Jantung Zafran berdetak tidak menentu.
Dia cukup terpukau dengan renungan mata gadis bertudung itu. Dia menggosok- gosok matanya beberapa kali.
Biar betul ni.
“Bukan aku mengingkari cuma aku masih
keliru… Rasa ini melemaskan diri aku sendiri…” desis Zafran.
Perlahan-lahan dia mencapai tangan gadis
yang berada di hadapannya. Cukup lembut sehingga menggoncangkan naluri
lelakinya. Belum pernah dia merasakan perasaan ini dengan mana- mana perempuan
yang dikenalinya. Ya Allah, rasa apakah ini? Benak hati Zafran berbisik.
Dia menarik tangan gadis itu dan di bawa
ke bibir. Zafran merasakan dunianya berbunga- bunga dan jiwanya seakan terbang
melayang entah ke mana saat bibir gadis itu melebar dengan senyuman yang cukup
manis. Namun, apabila bibirnya ingin menyentuh permukaan tangan gadis itu tiba-
tiba….
“Hoiiii!!!” jerkah satu suara menyentak
Zafran daripada lamunan.
Dia mendongak. Wajah gadis tadi
menghilang tapi di ganti dengan wajah Zahirul!
“Argghhh!!”
jerit Zafran sambil melepaskan tangan Zahirul sepantas kilat. Dia mengesotkan
badannya ke belakang dan menjauhi Zahirul.
Zahirul tidak mampu menahan ketawa.
Bunyi ketawanya kuat memenuhi segenap ruang bilik Zafran. Berair matanya kerana
terlalu kuat ketawa. Bukannya apa, dia tidak tahan melihat mimik muka Zafran
yang terkejut. Macam nampak hantu saja gayanya. Zahirul sendiri pelik dengan
tingkah laku Zafran yang tiba-tiba merenung wajahnya dan memegang tangannya
sambil membisik sesuatu yang tidak jelas di telinga Zahirul.
Namun, Zahirul masih membiarkan Zafran
meneruskan sandiwara walaupun hatinya bagaikan digeletek melihat sikap Zafran
yang berubah secara tiba-tiba. Tetapi apabila Zafran cuba mengucup tangannya,
Zahirul sudah tidak mampu bertahan. Tak pasal-pasal adiknya itu menjadi mangsa
jerkahannya. Itulah buang tabiat sangat. Nak cakap mengigau, matanya terbuka
luas. Apa-apa jelah adik aku ni.
“Apa abang ni?” marah Zafran. Dia
menjeling cuba menutup rasa debar di hati. Habislah aku kali ni dengan abang….
“Kau tanya abang, kenapa? Kau tu yang
buang tabiat nak cium tangan abang. Kau ingat abang ni awek kau ke? Abang tak
pernah tau tengok kau angau sampai macam ni sekali. Cepat, cakap pada abang
perempuan mana yang buatkan dah jadi sasau tahap kritikal ni? Abang nak masuk meminang,”
bebel Zahirul sambil berdiri mencekak pinggang. Wajah Zafran yang kemerahan di
tenung sedalam- dalamnya.
Angau? Sasau? Takkan semua itu berlaku
pada aku? Tidakkkk!! Jerit hati Zafran.
“Mana ada, abang dah salah faham. Zaf practice teater!” Zafran mencipta
alasan. Dia sedikit tergagap- gagap.
“Teater?” soal Zahirul namun tidak lama
kemudian dia ketawa. Muka cuak Zafran mencuit hati Zahirul.
“Sejak bila pulak kau masuk Kelab
Kebudayaan ni, dik?” tempelak Zahirul selepas tawanya reda.
“Errr…
Zaf… Zaf…” Zafran tergagap- gagap. Tubuhnya sedikit menggigil.
“Arghhh!!...”
akhirnya Zafran menjerit. Zahirul terdiam sebentar kemudian dia menyambung
gelak.
“Abang keluar dulu, ya? Kang tak pasal-pasal
Zaf cium pipi abang pulak!” ejek Zahirul sambil mengekek ketawa.
“Abang!” tekan Zafran geram. Dia bingkas
bangun dan cuba untuk mengejar Zahirul tetapi Zahirul dengan pantas menyusup
keluar daripada bilik Zafran dengan bunyi ketawa yang menyakitkan hati Zafran.
Zafran menutup pintu dengan kuat. Dia
menyandarkan belakang badannya di belakang pintu. Debaran di dada cuba
diredakan. Namun apabila teringatkan peristiwa tadi membuatkan Zafran malu
sendiri. Tak pernah ada dalam sejarah hidupnya cuba mencium tangan abangnya
tanpa sebab. Ya Allah, apa dah jadi dengan aku? Bisik hati Zafran. Namun,
secara tiba-tiba bibirnya mengukir senyuman. Wajahnya diraup beberapa kali
sambil menyebut nama Allah. Dia cuba mengusir bayangan gadis itu yang
menghantui fikirannya.
Hebat penangan kau, Wardah!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.