TERKINI! OKTOBER 2017 |
JULIANA
tersenyum melihat Zafran yang makin
menghampiri. Penampilan lelaki itu kelihatan santai tetapi tetap kacak di mata
Juliana. Beberapa pasang mata anak dara yang berada di sekitar KFC Teluk
Cempedak itu mengerling ke arah Zafran. Mana taknya, lelaki kacak sedang
tersenyum manis membuatkan Juliana terasa bangga berdampingan dengan Zafran.
“Lama dah awak sampai?” soal Zafran
sambil melabuhkan punggung di hadapan Juliana yang kelihatan cantik dengan
memakai blaus lengan pendek yang agak sendat dengan saiz gadis itu. Rambutnya
yang lurus dibiarkan berterbangan ditiup angin pantai yang sepoi- sepoi bahasa.
“Tak lama mana baru 15 minit je. Kenapa
lambat?” tanya Juliana lembut.
“Saya tertidur tadi penat buat assignment. Nasib baik abang saya kejutkan
kalau tak memang saya terlepas dari jumpa awak,” bohong Zafran.
“Awak buat assignment? Bukan ke selama ni Wardah ke selalu tolong awak buat assignment kenapa awak tak mintak tolong
dia?” soal Juliana membangkitkan soal Wardah.
Zafran mengeluh. Kenapalah dia selalu
sahaja dikaitkan dengan Wardah?
“Saya tak nak susahkan dia dan untuk
pengetahuan awak, Wardah cuma tolong je tapi saya yang buat assignment saya sendiri tau. Saya tak nak awak anggap saya ni
lelaki yang tak berguna pulak,” ujar Zafran. Dia mengirup air Pepsi yang
dibelikan oleh Juliana buatnya.
“Yelah, saya tahu kerja awak adalah
hasil awak sendiri. Tapi saya tengok awak rapat sangat dengan Wardah, ada apa-
apa ke?”
“Ada apa- apa maksud awak?” dahi Zafran
berkerut.
“Awak suka dia ke?”
Serentak, Zafran tersedak. Habis air
yang diminumnya terkeluar balik. Nasib baik tak tersembur ke muka Juliana yang
cantik tu, kalau tak ada peluang dia dapat penampar berganda daripada Juliana.
“Awak ni pun kalau ya pun janganlah
sampai tersembur macam tu. Malulah orang tengok,” rengek Juliana dengan muka
tak puas hati. Dia merengus sambil berpaling ke kiri dan kanan bagi memastikan
tiada sesiapa yang memerhatikan mereka saat ini.
Zafran mengelap mulutnya dengan tisu.
Eh, minah ni aku tengah tersedak bukannya dia nak tolong makin membebel adalah.
Macam ni ke nak jadi bakal isteri. Reject!
“Saya tak sengajalah, awak. Dah awak
asyik sebut nama Wardah mana saya tak tersedak. Lain kali kalau saya jumpa awak
jangan awak sebut nama perempuan lain, okey?” ucap Zafran mendatar.
“Yelah saya janji tak sebut lagi,”
Juliana mengangkat tangan seolah bersumpah. Zafran hanya tersenyum nipis.
“Awak dah siapkan laporan aktiviti
Kursus Perintis Siswa tu? Besok kita nak adakan mesyuarat nanti banyak pulak
yang tertangguh,” Zafran mengalih topik perbincangan.
“Alah, awak ni pasal meeting kita bincang kat kolejlah.
Sekarang kita bincang benda lain pula,” suara Juliana kedengaran manja sambil
mengelipkan matanya pada Zafran.
Dahi Zafran berkedut seribu. Lain macam
je bunyi minah ni. Detik hati Zafran.
“Kita nak bincang apa lagi? Awak cakap
awak nak bincang pasal aktiviti tu dengan saya,” Zafran mula kehairanan.
Juliana tersenyum menggoda. Perlahan-lahan
dia mencapai tangan Zafran membuatkan Zafran mula tidak berasa selesa namun dia
hanya membiarkan. Hah, sudah ulat bulu dah naik daun!
“Kita bincang pasal kitalah. About us,”
ucap Juliana masih berkias.
“Pasal kita? Pasal apa?” Zafran berpura-
pura tak tahu.
Aduh, perempuan ni mula nak cakap pasal
cinta-cintanlah ni. Aku memang naik muak bila asyik tanya pasal cinta. Ya Allah
tolonglah aku lepas untuk kali ini. Zafran berdoa di dalam hati.
“Alah, awak ni saja je buat-buat tak tahu.
Kita asyik keluar bersama-sama takkan saya ni kawan biasa awak je?” Juliana mula
berbahasa. Tangan Zafran dielus lembut.
Zafran menelan air liur. Aku dah agak
dah tak ada benda lain dah ni. Apa aku nak jawab ya? Zafran menggarukan
kepalanya yang tidak gatal.
“Dah tu awak nak kita kawan macam mana
pulak?” Zafran menggigit lidah. Lain yang ingin dicakapkan lain yang terkeluar
daripada mulutnya.
“Kita couple nak?” Usul Juliana tiba- tiba membuatkan Zafran tersentak.
Aku dah agak dah!
“Couple?
You mean bercinta?” tanya Zafran
hampir meninggikan suaranya.
“Yelah, bercinta macam orang lain tu,”
balas Juliana.
Zafran mengeluh. Ini yang aku malas ni.
Asal aku baik sibuk nak ajak bercinta bagai. Aku tak percaya cintalah,
perempuan. Tapi bukan salah kau, kau tak tahu masalah aku yang anti dengan
cinta apatah lagi dengan kaum kau. Bisik hati Zafran. Lalu dia menyandarkan
badannya di kerusi sambil memandang tepat wajah Juliana.
Memang Zafran tidak nafikan Juliana
memang seorang yang cantik dan jika dia berpacaran dengan Juliana sekali pun
pasti dia akan berasa bangga kerana dapat menjinakkan seorang gadis dambaan
lelaki- lelaki di kolej. Namun, jika dia berbuat begitu, dia yang akan
terperangkap dengan seorang perempuan. Oh, itu yang Zafran tidak bayangkan.
Terasa seperti rasa itu menjerat lehernya. Seksa!
“Look
Jue…”
Baharu sahaja Zafran ingin bersuara,
telefon bimbitnya berdering. Lantas dia mencapai telefon Blackberry yang berada
di atas meja. Dia tersenyum di dalam hati melihat nama yang tertera di
skrinnya.
“Excuse
me…” ucap Zafran dan berlalu meninggalkan
Juliana yang kelihatan kecewa.
Setelah berada agak jauh daripada
Juliana baharulah Zafran mengangkat panggilan yang sudah dua kali berdering.
Nasib baik kau telefon aku, Wardah. Bisik hati Zafran.
“Assalamualaikum…” ucap Zafran lembut
selepas menekan punat hijau.
“Waalaikummusalam,
aku ganggu kau ke Zaf?” soal Wardah di hujung talian. Zafran hanya tersenyum
mendengar suara Wardah yang lembut kedengaran di telinganya.
“Eh, tak adalah. Aku tak buat apa pun.
Ada apa kau call?”
“Tak, aku nak ingatkan petang esok ada test Proses Pembuatan. Kau jangan lupa
bawak nota aku pagi besok masa kelas Law,
aku nak study sikit,” ujar Wardah.
“Yeke ada test? Aku lupa nasib baik kau tolong ingatkan Ada. Esok aku nak study sekali dengan kau boleh?” soal
Zafran pula.
“Eh, boleh je. Tapi kau tak sibuk ke
esok?”
“Aku rasa tak, yang penting aku nak
lulus test Proses Pembuatan ni. Test satu aku dah gagal dah,” rengek
Zafran. Kedengaran agak manja di telinga Wardah.
“Bukan kau sorang je Zaf, aku pun sama,”
ucap Wardah sambil tergelak. Zafran turut tergelak sama.
“Susahlah subjek tu Ada. Aku tak tahu final nanti aku boleh lulus ke tak,” keluh
Zafran dengan nada yang lembut.
Wardah tersenyum di hujung talian.
“Insya-Allah boleh lepas janji kita
belajar sungguh-sungguh.” Balas Wardah membuatkan Zafran tersenyum. Berbicara
dengan Wardah dapat memberikan ketenangan kepada Zafran.
“Errr… Zaf, tadi mak aku call,
Mak Cik Saira kirim salam. Dia rindu kat kau. Adik-adik kau pun,” sambung
Wardah teragak-agak. Dia tahu Zafran agak sensitif jika menyebut perihal
keluarganya.
Senyum manis Zafran terhenti
sendiri. Wajahnya berubah apabila Wardah menyebut sebaris nama itu.
“Aku tak ada mak!” ucapnya
dengan nada yang tegang. Matanya dibiarkan meliar memandang Pantai Teluk
Cempadak yang kelihatan kelam ditelan kegelapan malam.
“Zaf, Mak Cik Saira kan mak
kau,” balas Wardah perlahan. Suaranya kedengaran lembut di peluput telinga
Zafran tetapi kelembutan suara Wardah tidak mampu memadamkan rasa amarah dalam
diri Zafran apabila teringatkan seraut wajah yang bertanggungjawab menjadikan
dia seorang yang prejudis terhadap semua
wanita.
“Berapa kali aku nak cakap,
dia bukan mak aku! Aku tak ada mak!” bentak Zafran tiba-tiba.
“Zaf, sabar dulu…”
“Sabar apanya? Kau tahu aku
tak suka kau sebut pasal ni. Tapi kau sebut jugak. Kau memang kawan aku tapi
kau tak ada hak nak campur urusan hidup aku!” julat suara Zafran meninggi.
Tanpa menunggu lama, dia
mematikan telefon. Dia mendengus. Cuba meredakan bahang amarah yang mula
bangkit dalam jiwanya.
“Zaf, siapa yang call tu?” bunyi suara Juliana mematikan
lamunan Zafran. Dia mendongak.
Wajah Juliana ditenung lama.
Seakan ternampak wajah wanita lain di wajah Juliana. Wajah yang membuatkan dia
demam berminggu-minggu. Wajah seorang wanita yang tidak bertanggungjawab.
Zafran menarik nafas dalam dan melepaskannya dengan perlahan. Cuba meredakan
rasa sakit hatinya.
“Tak ada siapa. Saya nak
balik!” tegasnya lalu meninggalkan Juliana yang terkulat-kulat di situ. Dahi
gadis itu berkerut. Siapa yang call?
Kenapa tiba-tiba saja mood Zafran berubah? Soalan itu hanya bermain di minda Juliana
tanpa ada jawapan yang pasti.
DAHI
Wardah berkerut apabila talian dimatikan. Dia memandang telefon bimbitnya
dengan lama. Rasa bersalah mula bersarang di hati apabila membangkitkan isu
keluarga Zafran. Betul juga kata Zafran, dia memang sahabat baik lelaki itu
tetapi dia tiada hak untuk ikut campur urusan mereka sekeluarga. Fikir Wardah.
Lantas, bibirnya ditepuk. Menyedari keterlanjuran kata-katanya tadi.
“Oit, kau ni dah kenapa, Ada?” Soal
Athira sambil matanya tuntas memerhati gelagat Wardah yang kelihatan resah
memandang telefon bimbit.
“Tak ada apa. Zaf ni hah, tiba-tiba je
naik angin,” ucap Wardah sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Amira yang sedang mencatat sesuatu di
buku notanya terus berpaling.
“Kenapa dia nak naik angin dengan kau
pulak? Setahu aku Zaf tu paling payah nak naik angin dengan kau. Kalau cakap
dengan perempuan pun gerenti lembut gigi dari lidah. Playboy katakan.” Komen Amira sambil meneguk air mineral yang
dihulurkan oleh Athira.
“Entahlah. Aku terlepas cakap pasal mak
dia,” balas Wardah dengan riak risau jelas terpamer di wajahnya.
“Kenapa dengan mak dia? Dia tak suka kau
sebut pasal mak dia ke?” soal Athira ingin tahu.
Wardah mengangguk laju. Dia merenung
wajah Athira dan Amira silih berganti.
“Apa aku nak buat sekarang? Mesti dia
tengah marahkan aku.” Ucap Wardah sedikit kesal dengan sikapnya sendiri.
Athira menepuk lembut bahu Wardah. Dia
sedia maklum sikap Wardah yang begitu mengambil berat terhadap Zafran.
Persahabatan itu terlalu suci bagi Wardah terutama sekali apabila melibatkan
Zafran. Wardah sanggup melakukan apa saja untuk sahabatnya itu. Itu yang Athira
nampak.
“Kalau salah kau, kau mintaklah maaf.
Cakaplah kau tak sengaja tapi kau jangan mintak maaf sekarang,” ucap Athira
menambah kerutan di dahi Wardah.
“Kau ni mana satu betul? Tadi suruh aku
mintak maaf tapi bukan sekarang. Jadi bila?” Soal Wardah hairan.
Athira hanya tersengih mempamerkan gigi
taringnya yang berlapis. Nampak comel di pandangan Wardah.
“Tunggulah dia sejuk dulu. Lelaki ni
kalau dia tengah marah lebih baik kita diam je. Dia akan sejuk sendiri. Esok
kau try tegur dia macam biasa, aku
rasa Zaf tu akan okey. Dia tu mana boleh merajuk lama-lama dengan kau. Betul
tak, Mira?” usik Athira sambil menyiku lengan Amira.
Amira mengangguk seperti burung belatuk.
Mengiakan saja kata-kata sahabatnya sambil mulutnya ligat mengunyah Twisties.
“Apahal pulak?” Soal Wardah sambil
menjeling.
“Apahal kau tanya? Eh, mana ada lelaki
dan perempuan boleh berkawan baik lama-lama? Mustahil, kau tahu tak? Entah-entah
kau dengan Zaf tu suka sama suka tapi kau orang berlindung atas nama sahabat
kan?” soal Athira sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya di hadapan muka
Wardah.
Wardah menepis tangan Athira. Hidung
sahabatnya itu dipicit kuat. Dia ketawa lepas apabila Athira mengaduh
kesakitan.
“Sakitlah, Ada!” marah Athira. Dia
menjeling tidak berpuas hati.
“Tahu pun sakit. Jangan sesuka hati nak
buat cerita yang bukan-bukan. Aku dengan Zaf hanya kawan. Walaupun kau kata
lelaki dan perempuan ni mustahil jadi kawan baik, tapi aku akan buktikan
yang mustahil tu jadi tak mustahil. Lagi
pun bukan kau orang tak tahu Zaf tu macam mana. Dia tak percaya pada cinta. Dia
tak percaya pada perempuan. Kau orang pernah tengok dia serius dengan mana-mana
perempuan tak? Tak pernah kan? Paling lama dia mampu bertahan pun sebulan je.
Dia pernah cakap pada aku, bagi dia kehadiran perempuan ni menyusahkan hidup
dia jadi dia gunakan perempuan untuk suka-suka je. Macam barang permainan. Suka
ambil, bila dah tak suka, cari yang lain. Itu prinsip dia.” Terang Wardah
membuatkan Athira dan Amira terdiam.
“Aku tak sangka sampai macam tu sekali
Zaf tak suka perempuan. Mesti dia pernah kecewa dengan perempuan kan? Dia
pernah kena tinggal ke, Ada?” soal Amira ingin tahu.
Sejujurnya dia mengenali Zafran hanya di
kolej. Kebetulan mereka dari bidang yang sama dan selalu berada dalam kelas
yang sama. Sedikit sebanyak hubungan persahabatan mereka menjadi rapat tetapi
Amira tahu persahabatan di antara Zafran dan Wardah sudah bermula semenjak mereka
kecil lagi. Jadi tidak hairanlah jika Wardah begitu mengambil berat tentang
Zafran.
Wardah hanya menjongketkan bahu sebagai
jawapan soalan Amira. Dia tidak ada hak untuk bercakap lebih-lebih tentang masa
lalu Zafran. Dia cuma berhak untuk menutup aib orang lain jadi biarlah perkara
itu terus menjadi rahsia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.