“KONTRAK
insurans adalah ‘ubbaramae fidei’
yang bermaksud amat suci hati. Ada sesiapa yang nak jelaskan tentang istilah
perundangan ni?” soal Zahirul sambil matanya memandang wajah pelajarnya satu
persatu. Dia tersenyum apabila semua pelajar menunduk.
Namun, matanya beralih pada wajah Zafran
yang duduk di belakang kelas. Kelihatan fikiran Zafran menerawang ke tempat
lain. Pandangannya kosong.
“Zafran, tolong jawab soalan saya,”
pinta Zahirul. Dia meletakkan buku undang-undang di atas meja. Matanya
difokuskan pada wajah Zafran yang masih lagi termenung. Zahirul tersenyum.
Entah apalah yang menganggu fikiran Zafran sampaikan dalam kelas pun boleh
termenung.
“Ahmad Zafran Wazien!” tekan Zahirul
dengan suara yang sedikit kuat.
Zafran tersentak. Dia mendongak
memandang wajah Zahirul dengan terpinga-pinga. Dia menggarukan kepalanya yang
tidak gatal. Sekilas dia menjeling pada Wardah yang berada di hadapannya. Dia
melihat gadis itu hanya tersenyum nipis.
“Ya, saya Encik Zahirul,” sahut Zafran
selamba. Kedengaran bunyi ketawa singgah ke telinga Zafran.
“Jawab soalan saya tadi,” balas Zahirul.
“Soalan apa, encik?” cukup bersahaja
Zafran menanyakan soalan pada Zahirul. Dia tersengih apabila Zahirul
menjengilkan matanya.
“Awak ni Zafran, terangkan pada saya
tentang istilah perundangan ubberamae
fidei,” Zahirul mengulangi soalannya.
Zafran menelan air liur. Ubberamae fidei? Binatang apa tu? Tak
pernah aku dengar pun. Alahai, abang ni suka sangat tanya soalan yang susah
pada aku. Kalau aku tak boleh jawab nanti jatuhlah reputasi aku dekat mata Wardah.
Aduh, macam mana aku nak jawab ni? benak hatinya berkata- kata. Zafran menggaru
pipinya.
“Errr…
Ubberamae fidei tu… Err… Emm…”
“Apa dia Zaf?” tekan Zahirul lagi. Dia
setia menanti jawapan daripada adik kesayangannya itu.
Zafran mula menggelabah apabila suara
Zahirul mulai tegang. Abangnya itu bukan boleh dikira sangat, kalau dalam
kelas, Zahirul memang seorang yang garang dan tegas.
“Ubberamae
fidei tu… Entahlah bang… Eh, Encik Zahirul,” ucap Zafran gagap. Tanpa
disedari dia tersasul memanggil Zahirul dengan panggilan biasa.
Kedengaran kawan-kawannya sekelas
ketawa. Zafran hanya mampu tersengih pada Zahirul yang sudah menggelengkan
kepala. Dia tahu pasti Zahirul akan membebel padanya apabila balik ke rumah
nanti.
“Zaf, kenapa suka sangat main- main
dalam kelas?”
“Zaf, cubalah fokus masa abang tengah
mengajar,”
Seakan terngiang-ngiang ayat yang selalu
Zahirul gunakan apabila membebel.
“Awak ni Zaf, dalam kelas tempat untuk
belajar bukan untuk termenung. Lepas ni tolong jumpa saya di pejabat. Baiklah,
ada sesiapa yang nak tolong Zaf?” Zahirul mengubah topik. Pasal Zafran biarlah
dia selesaikan di luar kelas.
Perlahan-lahan Wardah mengangkat tangan.
Zahirul tersenyum pada Wardah. Kebiasaannya Wardah juga yang menjawab setiap soalan
yang diajukan. Budak ni memang bagus.
“Silakan Wardah…” ucap Zahirul.
Wardah tersenyum. Dia berdeham sedikit
sebelum membuka bicara.
“Ubberamae
fidei membawa maksud amat suci hati. Dalam kontrak ‘ubberamae fidei’
bermaksud ia memerlukan keikhlasan dan kepercayaan dalam membuat kontrak. Dalam
kontrak insurans, risiko berlakunya perkara yang dilindungi adalah sangat
penting. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi pihak yang berkaitan untuk
memaklumkan segala maklumat-maklumat yang penting kepada syarikat insurans.
Tindakan menyembunyikan maklumat-maklumat tersebut membuatkan mereka hilang
kelayakan untuk mendapat pampasan,” terang Wardah.
Zahirul tersenyum puas. Penerangan
Wardah memang jelas.
“Betul Wardah, boleh bagi contohnya…”
pinta Zahirul lagi.
“Sebagai contoh, sekiranya Ali ingin
membeli insurans nyawa, dia seharusnya memaklumkan segala fakta material yang
penting terutama rekod kesihatannya kepada pihak insurans. Malah, jika Ali
mempunyai penyakit yang serius, dia harus memaklumkan kepada pihak insurans.
Hal ini kerana jika dia enggan berbuat demikian, maka dia telah membuat salah
nyata yang tidak mewujudkan kerelaan bebas,” jelas Wardah lagi.
“Bagus Wardah. Contoh yang tepat. Zaf,
cuba ulang balik apa yang Wardah jelaskan tadi,” pinta Zahirul.
Zafran terdiam sebentar. Memang segala
apa yang dijelaskan oleh Wardah melekat dalam kepalanya. Maklumlah sepanjang
Wardah bercakap, tidak sedikit pun dia berpaling ke tempat lain. Dia lebih
berminat mendengar apa yang Wardah katakan berbanding dengan abangnya.
“Kontrak insurans adalah ubberamae fidei atau istilah lainnya, amat
suci hati…” Zafran mengulangi satu persatu penerangan yang telah dijelaskan
oleh Wardah sebentar tadi.
Zahirul mengangguk-anggukkan kepala. Dia
tersenyum pada Zafran.
“Awak ni Zaf, kalau saya yang jelaskan
bukan main payah untuk awak ingat. Tapi kalau Wardah, laju macam keretapi je
awak terangkan,” tempelak Zahirul dan disambut dengan ketawa pelajar- pelajar
lain.
Wardah tertunduk malu sedangkan Zafran
hanya tersenyum. Sekilas dia mengerling memandang wajah Wardah yang kemerahan
kerana malu disindir oleh Zahirul. Suka dia melihat wajah itu tersipu malu.
Tanpa disedari, Zahirul turut
memerhatikan tingkah adiknya itu. Oh, patutlah termenung dalam kelas, rupa-rupanya
adik aku ni tengah angau. Bisik hatinya. Dia tersenyum penuh makna.
“IBU,
jangan tinggalkan adik…” Sayu suara Zafran kedengaran saat melihat si ibu
sedang mengemas pakaian lalu disumbatkan ke dalam beg dengan kasar. Zafran
menangis.
“Kau jangan sibuk, boleh tak? Kau
duduklah dengan ayah kau tu. Tak sanggup aku hidup dalam rumah ni lagi!
Hari-hari makan ikan masin. Muak! Kau tahu tak?” Jerkah si ibu dengan pandangan
yang cukup tajam. Tangan Zafran yang cuba memeluk tubuhnya ditepis kasar.
Zafran jatuh tertiarap di atas lantai.
“Adik!” Jerit Zahirul lalu mendapatkan
adiknya. Tubuh si adik yang sedang menangis hiba, dipeluk dengan kasih sayang.
“Sampai hati ibu buat abang dan adik
macam ni. Abang dengan adik ni anak ibu. Kami perlukan ibu!” Zahirul turut
mengongoi.
Si ibu mendengus marah. Dia berdiri
sambil bercekak pinggang.
“Aku tak perlukan kau. Aku dengan bapak
kau yang miskin tu dah tak ada apa-apa hubungan! Kau jangan cari aku! Aku tak
perlukan kau orang!” Lantang suara si ibu kedengaran.
Lantas, tanpa belas kasihan, dia
mencapai beg pakaianya lalu berlari meninggalkan bilik tidur yang satu ketika
dahulu pernah dihuninya. Tanpa sedikit pun berpaling, si ibu meninggalkan dua
anak lelakinya yang masih mentah. Tangisan Zahirul dan Zafran langsung tidak
dipedulikan.
“Ibu!” Jerit Zafran kuat. Sedaya-upaya
dia menolak tubuh Zahirul lalu berlari untuk mengejar batang tubuh milik si ibu
yang sudah jauh ke hadapan. Air mata yang berjuraian, dibiarkan mengalir deras.
Hanya satu dalam fikirannya saat ini,
dia inginkan ibunya kembali. Dia masih dahagakan kasih-sayang seorang insan
yang bergelar ibu.
“Ibu jangan tinggalkan adik!” Jerit
Zafran di muka pintu. Tanpa menyarung selipar di kaki, Zafran terus berlari
mendapatkan si ibu yang sudah bersiap-sedia untuk melangkah masuk ke dalam
kereta mewah.
Tangan si ibu ditarik dengan sekuat
tenaga. Walaupun badannya kecil tika itu namun semangatnya berkobar-kobar. Dia
tidak akan biarkan ibunya berlalu begitu saja.
“Hoi, lepaslah!” Jerkah si ibu lalu
menepis tangan Zafran dengan kasar.
Pautan terlerai. Zafran masih belum
berputus asa. Kedua belah kaki ibunya dipeluk. Dia menangis teresak-esak kerana
mahukan ibunya kembali.
“Adik janji adik takkan nakal lagi. Adik
akan ikut semua cakap ibu. Tapi ibu jangan tinggalkan adik! Ibu tak sayang adik
ke? Ibu tak sayang abang?” Soal Zafran dengan hiba.
Si ibu menarik nafas dalam. Dia mulai
bosan. Hatinya mendidih panas. Tidak ada secebis simpati pun dalam hatinya tika
ini.
“Tak! Aku tak sayang kau! Kau boleh
berambus!” Bentak si ibu lalu menolak tubuh Zafran dengan kuat sebelum dia
meloloskan diri ke dalam kereta.
Zafran tergamam. Dia jatuh terduduk di
atas tanah bersama dengan tangisan yang tidak henti-henti. Hatinya hancur
apabila terkenangkan si ibu yang sanggup tinggalkan keluarga mereka demi
mengejar kemewahan yang tidak pernah kekal. Dia ditinggal saat hatinya masih
memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada seorang ibu. Sampai hati ibu
tinggalkan adik! Adik sayangkan ibu! Jerit hatinya.
“Zaf… Zaf…”
Bunyi suara halus memanggil namanya
mengejutkan Zafran daripada tidurnya yang seketika. Mata Zafran terbuka luas.
Terkebil-kebil dia memandang seraut wajah lembut yang duduk bertentangan
dengannya. Wardah? Aku kat mana ni? Soal hatinya.
“Kau okey tak ni? Tadi kau terlelap. Aku
dengar kau meracau-racau. Kau tak sihat ke?” Soal Wardah dengan riak kerisauan
tergambar di wajahnya.
Zafran membetulkan duduk. Dia mengamati
keadaan sekeliling. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan
perlahan. Aku mimpi rupanya. Desis hati Zafran. Lantas, wajahnya diraup sebelum
secangkir senyuman diukirkan buat Wardah yang masih menanti jawapan
daripadanya. Senyuman yang dirasakan cukup hambar.
“Aku tertidur ke? Lama ke?” Soal Zafran
kemudian.
“Taklah lama. Adalah dalam sepuluh
minit. Kau penat sangat ke? Ke kau tak sihat?” Soal Wardah kembali. Risau juga
apabila melihat keadaan Zafran seperti itu. Belum pernah Zafran tertidur
selepas waktu kelas. Nasib baik keadaan dalam student center ini lengang, kalau tidak pasti lelaki itu menjadi
tumpuan pelajar lain.
“Aku sihat je…” Jawab Zafran pendek.
Lalu dia kembali merebahkan kepalanya di atas meja. Lengannya dilapikkan di
bawah kepala.
Wardah mengetap bibir. Dia dapat
mengesan sesuatu yang tidak kena dengan reaksi Zafran. Lalu, Wardah bangun.
“Eh, kau nak ke mana ni?” Soal Zafran
pelik. Dia mendongak memadang wajah Wardah yang serius.
“Aku nak pergi kedai kejap. Aku belikan 100 plus
untuk kau, ya? Kau nampak tak sihat ni.” Ujar Wardah sambil membalas pandangan
Zafran.
Hati Zafran tersentuh. Wardah begitu
mengambil berat tentang dirinya. Lagaknya tidak ubah seperti seorang ibu yang
risaukan anaknya.
“Aku sihatlah, Ada. Otak aku je ting
tong sikit. Kau duduklah temankan aku sementara tunggu waktu kelas.” Jawab
Zafran. Lalu dengan selamba, dia menarik lengan baju Wardah. Memaksa gadis itu
untuk duduk kembali.
Wardah hanya menurut. Dia duduk kembali.
Sementara Zafran hanya tersenyum manis. Wajah Wardah ditenung lama sambil kedua
belah tangannya ditopangkan ke dagu.
“Kau tahu tak apa beza kau dengan laut?”
Soal Zafran tiba-tiba.
Dahi Wardah berkerut-kerut. Dia
memandang Zafran dengan penuh tanda-tanya. Apa kaitan aku dengan laut pulak, mamat ni. Keluh hati Wardah.
“Aku rasa banyak perbezaan.” Jawab
Wardah ringkas.
“Betul. Memang banyak perbezaan. Laut
menenangkan sesiapa saja yang memandang tapi kau, hanya beri ketenangan pada
aku…” Jawab Zafran dengan lagak bersahaja.
Mata Wardah membulat. Dia terdiam.
Namun, tidak lama kemudian dia ketawa lepas. Kata-kata Zafran cukup untuk
membuatkan dia geli hati.
“Sweet
talker betullah kau ni. Sakit perut aku gelak, kau tahu tak?” Ucap Wardah
sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan. Dia yakin Zafran bergurau.
Tetapi riak wajah lelaki itu kelihatan tenang.
“Aku serius ni, Ada. Kau ada ketenangan
yang tak ada pada perempuan lain…” Ujar Zafran perlahan. Anak matanya dibiarkan
menatap terus ke dalam anak mata Wardah.
Wardah terdiam. Mati terus tawanya
apabila melihat Zafran yang berubah serius. Dia meneguk liur. Tiba-tiba saja
bulu romanya meremang mendengar bicara Zafran yang lembut. Ada getar halus mula
muncul di celah hatinya.
“Ketenangan tu milik Allah, kalau kau
nak cari ketenangan, kau cari Allah. Bukan tengok muka aku, faham?” Tekan
Wardah lantas menutup mukanya dengan buku.
Zafran ketawa kecil. Buku yang dipegang
oleh Wardah ditarik lalu diletak ke tepi.
“Kau ni apa hal, Zaf? Sejak bila pulak
kau jadi romeo dengan aku ni?” Wardah mula berdebar-debar. Renungan Zafran
merimaskan dirinya.
“Janganlah tutup muka kau tu. Tak salah
rasanya kalau aku nak tatap perhiasan dunia yang cantik depan aku ni…” Jawab
Zafran masih dengan ayat-ayat manisnya.
“Perhiasan dunia? Apa?” Soal Wardah
polos. Dia memandang ke kiri dan kanan.
Zafran ketawa lagi. Dia mengerdipkan
mata.
“Kaulah. Wanita kan perhiasan dunia.
Tapi seindah hiasan adalah wanita yang solehah. Kaulah tu…” Jawab Zafran
selamba.
Wardah menepuk dahi. Dah parah dah,
kawan aku ni. Makin dilayan, makin menjadi. Baik aku cabut lari. Benak hatinya
berkata.
“Kau tahu tak, apa beza kau dengan
cahaya matahari?” Soal Wardah kemudiannya. Dia mengecilkan mata memandang
Zafran.
Zafran terdiam sejenak. Ligat otaknya
memikirkan jawapan yang harus diberikan.
“Entah, mungkin aku lebih bersinar kut,”
jawab Zafran tersengih.
Wardah tersenyum sinis.
“Salah. Cahaya matahari menyakitkan mata
tapi kau menyakitkan hati!” Balas Wardah lantas bingkas bangun. Dia ketawa
jahat apabila melihat Zafran yang menarik mulut muncung. Tanpa menunggu lama,
dia berlalu meninggalkan Zafran yang tidak berpuas hati.
“Ada, kau…” Zafran mengetap gigi. Dia
kalah kali ini.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.