Tetamu Rindu

Friday 21 June 2013

Cinta Karma ( Teaser II )

“ Mak Yam tolong jangan sebut nama dia lagi. Fiya dah tak nak dengar apa- apa yang berkaitan dengan dia. Fiya dah tak ada suami!” tegas Wafiya.
Mak Yam terkesima sebentar. Dia memandang wajah Wafiya. Mata bundar itu memancar sinar kebencian yang tidak dapat diungkapkan dengan kata- kata namun wajah itu basah dengan air mata. Mak Yam tahu gadis itu terseksa.
“ Mak Yam tahu cinta kamu pasti terhalang kerana pangkat dan keturunan. Mak Yam pernah melalui semua itu. Tapi Fiya kena ingat, cinta itu tidak pernah mengenal pangkat atau keturunan. Cinta itu buta untuk membezakan taraf seseorang. Fiya kena kuat. Kembalikan semangat Fiya yang dulu,” nasihat Mak Yam.
Mak Yam menghampiri Wafiya. Tangan gadis itu disampai kemudian digenggam kemas seolah- olah menyalurkan secebis semangat pada anak gadis itu yang kelihatan lemah. Air mata Wafiya diseka dengan hujung jari. Dia sudah menganggap Wafiya seperti anaknya sendiri malah umur gadis itu sebaya dengan Haq. Itu yang membuatkan Mak Yam melayan Wafiya seperti anaknya sendiri.
“ Tapi cinta tu kejam Mak Yam. Cinta itu menyakitkan. Kalau Fiya tahu dia cuma berpura- pura mencintai Fiya, membiarkan Fiya larut dengan sikap ambil beratnya, Fiya takkan sesekali jatuh cinta pada dia. Tapi Fiya dah terlanjur sayang pada dia…” rintih Wafiya meluahkan rasa hatinya yang sebenar. Dia teresak- esak. Dia memeluk lutut.
“ Mak Yam yakin, suami Fiya mempunyai rasa yang sama dengan Fiya cuma pasti ada sesuatu yang menghalang cinta kamu berdua bersatu. Mak Yam yakin suatu hari nanti pasti dia akan datang cari kamu…”
“ Fiya dah tak perlukan dia, Mak Yam. Fiya nak hapuskan segala perasaan yang Fiya simpan pada dia. Buat apa Fiya terhegeh- hegeh pada orang yang tak pernah terima Fiya. Dia berjaya mencuri hati Fiya tapi dia juga yang berjaya menghancurkan perasaan Fiya sedangkan selama ini hati Fiya tak pernah terisi dengan sesiapa pun. Tetapi dia dah merobek hati Fiya. Fiya tak dapat terima Mak Yam. Fiya tak kuat untuk maafkan dia…” luah Wafiya lagi.
........................................................................................................................................


“ Demi Mu yang Allah, hati aku terasa sakit sejak ketiadaan dia. Masih adakah peluang untuk aku bertemu dengan dia? Tolong jagakan dia untuk aku ya Allah kerana dia yang mampu menakluk hati aku,” bisik Syed Aryan. Dia menahan rasa sebak yang mula menghurung dada.
Syed Aryan meraup wajah. Tiba- tiba dia teringatkan sesuatu. Dia menunduk dan memandang ke bawah katil. Sehelai sapu tangan kecil di keluarkan daripada bawah katil. Lama Syed Aryan merenung sapu tangan tersebut sebelum dicium penuh perasaan.
Segala kenangan bersama dengan Wafiya seolah- olah bermain di kotak fikirannya sehingga menjelma di ruang mata. Abang rindukan Fiya. Terlampau rindukan Fiya…rintih hati Syed Aryan. Tanpa disedari setitis air mata menitis dari mata Syed Aryan yang jernih.
Syed Aryan bangkit, dia menuju ke penyidai lalu dia mencapai sejadah putih pemberian Wafiya suatu ketika dahulu dan di bawa bersama ke katil. Syed Aryan merebahkan badannya sambil memeluk sejadah tersebut seolah- olah dengan cara itu dia dapat mengubati rindunya pada Wafiya.
Syed Aryan memejamkan mata mencuba untuk melelapkan mata. Namun, air mata terus- terusan mengalir seakan menceritakan tentang batinnya yang cukup terseksa dengan perpisahan ini. Tiada siapa yang mengetahui isi hatinya, tiada siapa yang mengambil peduli terhadap perasaannya hanya malam- malam yang sepi menemani Syed Aryan setiap hari. Benarlah bagai di kata, soal hati hanya hati dan Allah sahaja yang mengetahui betapa sakitnya apabila mencintai seseorang yang tiada di hadapan mata.

Monday 17 June 2013

Rasa Yang Tertinggal ( Teaser )


“ Apa mimpi kau semalam bagi aku bunga kat aku hari ini? Tak pernah seumur hidup kau bagi aku bunga. Buang tabiat ke?” Balqis memulakan bicara.
Ryan tersentak. Dia memandang ke kiri ke kanan dan ke belakang, cuba mencari suara yang didengari tadi. Macam suara Balqis. Takkanlah.
“ Kau tak payah buat muka peliklah Ryan. Menyampah tahu tak.” Balas Balqis geram.
Ryan tersenyum. Akhirnya Balqis bersuara juga. Dia meraup wajahnya. Kemudian dia memfokuskan pandangan pada wajah Balqis yang bersih tanpa alat solek. Gadis itu kelihatan segar.
At last dengar juga suara kau. Ingatkan nak lancarkan perang tanpa suara terus.” Balas Ryan.
“ Kalau ikutkan hati memang tak nak cakap dengan kau sampai bila- bila tapi bila fikirkan balik berdosa kalau aku ikutkan rasa marah. Jadi kau jangan fikir, aku baik dengan kau sebab kau bagi bunga.” Ujar Balqis masih dengan egonya. Jari telunjuk diluruskan.
Ryan tersenyum manis. Dia mengangkat punggung dan melabuhkan duduk di sebelah Balqis.
“ Kau suka tak bunga tu?” Tanya Ryan. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Malah tangan kanannya dibiarkan melingkari bahu Balqis.
Balqis terdiam. Dia membiarkan Ryan dalam tanda tanya. Tidak lama kemudian baharulah dia mengangguk membuatkan Ryan menarik nafas lega.
“ Kau dah maafkan aku?” soal Ryan lagi inginkan kepastian. Wajah Balqis direnung sedalamnya.
“ Tak.” Jawab Balqis pendek. Dia berbohong. Dia ingin melihat sejauh mana Ryan mampu melayan kerenahnya. Serentak Balqis menjeling sekilas ke arah Ryan yang sudah bersandar.
“ Qis, aku betul- betul mintak maaf. Aku sedar malam itu aku terlampau ikut emosi sampai aku sanggup tinggikan suara pada kau. Aku tahu kau terasa dengan aku malah aku tak terniat pun nak ungkit soal keikhlasan kau semua tu terjadi sebab aku rasa kau selalu beri perhatian pada Daniel padahal aku pun kawan baik kau jugak. Aku rasa kau lebih suka Daniel daripada aku.” ucap Ryan. Dia meluahkan isi hatinya yang dipendam tempoh hari.
“ Kan aku dah cakap hari itu kau dan Daniel tak ada bezanya. Kau dan dia adalah kawan baik aku. Aku harap kau faham Ryan.” pinta Balqis penuh pengertian.
Balqis pelik sebenarnya kenapa Ryan tidak suka dia berkawan dengan Daniel sedangkan Daniel adalah sepupu lelaki itu. Mungkinkah Ryan cemburu dengan Daniel? Hati Balqis meneka. Tapi tidak mungkin Ryan cemburu kerana mereka hanya kawan baik dan tidak lebih daripada itu.
Ryan terdiam sejenak kemudian mengangguk. Kalau itu yang Balqis mahukan terpaksa dia mengikut memandangkan mereka bukan seperti suami isteri yang lain jadi tidak perlu Ryan mengongkong Balqis.
“ Jadi kau dah maafkan aku atau belum?” Ryan mengalih tajuk perbualan mereka.
“ Aku akan maafkan kau tapi dengan satu syarat.”
“ Syarat apa?” Dahi Ryan berkerut.
“ Kau jangan cuba- cuba nak persoalkan keikhlasan aku menolong kau. Kalau aku tak ikhlas, dah lama aku bagitahu umi pasal perkahwinan kita ni.”
“ Baiklah aku janji…” Ryan mengangkat tangannya seolah- olah berikrar.
“ Dan satu lagi, kau jangan cuba-cuba nak…..”
Balqis tidak dapat meneruskan kata. Dia malu hendak meluahkan. Dia berharap Ryan akan faham dengan apa yang cuba dia sampaikan. Dia memandang tepat ke dalam mata Ryan yang masih lagi dihantui persoalan.
“ Nak apa Qis? Aku tak fahamlah.” Ryan mengerutkan dahi.
Balqis mengetap bibir. Wajahnya sudah merona merah bila teringatkan apa yang Ryan lakukan pada malam itu.
“ Alah, takkan kau tak ingat apa yang kau buat malam tu. Kau cuba nak..nak..” Balqis kehilangan kata. Dia menjadi tidak keruan. Dia gelisah.
Perlahan- lahan Balqis mengangkat jari telunjuk dan diletakkan di bibirnya. Dia berharap dengan cara itu Ryan dapat memahami apa yang hendak dikatakan tanpa perlu dia menyebut perkataan itu. Dia malu.
Lama Ryan berfikir kemudian dia teringat insiden di mana dia mencium isterinya itu secara paksa. Patutlah muka Balqis merah rupa- rupanya gadis itu malu untuk menerangkan apa yang terbuku di hati. Serentak ketawa Ryan pecah berderai. Lucu dia melihat wajah Balqis yang merona merah. Tak sangka Balqis pemalu orangnya.
“ Kenapa kau gelak?” Balqis pelik.
“ Aku rasa malam itu, aku tak cuba tapi aku dah…kau fahamlah maksud aku.” Ryan tersenyum nakal. Mata dikenyitkan pada Balqis.
Cepat- cepat Balqis menunduk. Wajahnya berbahang panas apabila Ryan berkata seperti itu. Cis, Ryan sengaja nak buat aku malu. Balqis merungut dalam hati.
“ Sebab itu aku nak kau janji yang kau takkan ulangi apa yang kau buat tu. Aku tak suka.” Tegas Balqis masih menunduk.
Ryan ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala.
“ Apa yang berlaku malam itu tak sengaja tetapi aku tak janji sama ada boleh ikut cakap kau atau tak maklumlah aku kan lelaki.” Jawab Ryan masih dalam sisa tawanya. Sesekali kenakan Balqis apa salahnya.
“ Gatal lah kau ni!” Bentak Balqis sambil mencubit lengan Ryan.
Ketawa Ryan terhenti. Berkerut wajahnya menahan bisa cubitan Balqis.
“ Sakitlah!” Marah Ryan tetapi dengan nada lembut.
“ Padam muka kau!”

Cinta Karma ( Teaser )

Tiba- tiba, pintu bilik Wafiya terkuak daripada luar. Dia melihat Puan Sri Sharifah Mastura melangkah masuk ke dalam bilik dengan senyuman sinis di bibir. Wafiya kecut perut. Selimut yang tersingkap di tarik rapat ke dada. Jantungnya berdebar hebat. Air mata yang menuruni lekuk pipi disapu menggunankan telapak tangan.
“ Well, cinderella dah bangun? Selamat pagi…” ucap Puan Sri Sharifah Mastura sambil tersenyum sinis. Dia berdiri di belakang pintu sambil mengadap Wafiya yang sedang duduk termangu.
“ Seronok sangat ke semalam sampai lambat bangun hari ini?” sambung Puan Sri Sharifah Mastura sambil berpeluk tubuh.
Wafiya tertunduk bisu. Air matanya mengalir tanpa sedar. Maknanya, sesuatu telah berlaku semalam. Hatinya bertambah sayu mengenangkan apa yang terjadi. Sampai hati Syed Aryan meninggalkan dia keseorangan setelah dirinya dinodai. Hati Wafiya terasa sakit yang teramat sangat seperti disiat- siat dengan perbuatan Syed Aryan.
“ Kau tahu tak Fiya, sebenarnya kau ni bodoh. Memang semua perempuan kampung macam kau tak tahu nak jaga maruah diri. Pantang diumpan dengan perkataan cinta kau sanggup serahkan maruah kau pada lelaki. Kau percaya ke yang anak aku tu cintakan kau? Fiya, Fiya kau ni memang bodoh, kalau kau nak tahu Ary tak pernah cintakan kau. Dia cuma nak apa yang ada pada kau je. Kau tak payah nak berangan yang dia akan jadikan kau isteri dia buat selamanya. Dia akan kahwin dengan Kyra dan kau hentikanlah angan kau tu,” ujar Puan Sri Sharifah Mastura.
Wafiya terpempan. Dia menggenggam kain selimutnya dengan kuat. Hatinya cukup terluka dengan apa yang Puan Sri Sharifah Mastura katakan. Ternyata dia ditipu dengan suaminya sendiri. Cinta yang diharapkan hanyalah dusta semata- mata sedangkan hatinya sudah mula menyayangi lelaki itu. Begitu tega Syed Aryan mempermainkan hati dan perasaannya.
“ Tuan Ary mana Puan Sri?” akhirnya Wafiya membuka bicara. Dia menahan perasaannya yang membuak- buak.
Puan Sri Sharifah Mastura ketawa kecil. Cukup sinis di pendengaran Wafiya.
“ Tak payah kau nak cari anak aku. Dia dah berlepas ke Korea dengan Sharifah Akyra. Kau takkan dapat jumpa dengan dia lagi. Aku tak benarkan kau jumpa dengan dia lagi,” ucap Puan Sri Sharifah Mastura.
Wafiya meraung. Dia menangis hiba memikirkan nasib dirinya.
“ Puan Sri izinkan saya jumpa dengan Tuan Ary. Saya mahukan penjelasan daripada dia. Saya mahu dengar perkara yang sebenarnya daripada dia. Tolong saya, Puan Sri,” rayu Wafiya sambil teresak.
Dia terasa dirinya cukup kotor dengan perbuatan Syed Aryan. Memang jika difikirkan secara logik, lelaki itu berhak pada dirinya tetapi kenapa perlu lakukan perkara tersebut tanpa kerelaan dirinya sendiri kemudian meninggalkannya terkontang- kanting sendirian.
“ Kau jangan nak bermimpi boleh dekat dengan anak aku. Kau perempuan murah. Perempuan kotor. Aku tak nak kau lahirkan keturunan aku. Kau boleh berambus daripada rumah ni! sekarang rumah ini milik aku,” tegas Puan Sri Sharifah Mastura.
Lantas Puan Sri Sharifah Mastura melangkah ke almari pakaian Wafiya. Pintu almari dua pintu di buka dan segala pakaian Wafiya dikeluarkan dan dicampakkan ke muka Wafiya. Dia menghampiri Wafiya lalu dengan kasar dia menarik rambut Wafiya.
Wafiya menjerit kesakitan. Air matanya mengalir tanpa henti.

......................................................................................................................

“ Fiya…jangan main dekat situ…”
Bunyi satu suara mengejut Syed Aryan ke dunia realiti. Dia memandang ke arah suara tadi. Kelihatan seorang budak perempuan berusia dalam lingkungan lima tahun sedang bermain- main di kerusi sebelahnya. Nama budak itu sama seperti nama Wafiya. Syed Aryan menahan sebak kerana rindu sudah mula bermain di jiwanya. Hampir dia menitiskan air mata apabila kanak- kanak itu tersenyum manis padanya. Terasa seperti dia melihat wajah Wafiya tersenyum padanya.
Pantas, di luar kawalannya Syed Aryan memeluk tubuh kecil itu. Air matanya mengalir dengan sendirinya.
“ Fiya, abang rindukan Fiya…”rintih Syed Aryan perlahan.
“ Maaf, encik tak apa- apa ke ni?” tegur satu suara menyentakkan Syed Aryan yang sedang melayan perasaan. Dia mendongak dan melepaskan pelukan daripada tubuh kecil kanak- kanak itu.
“ Maafkan saya, encik ni ayah Fiya ni ke?” tanya Syed Aryan kembali. Wajah lelaki dan wanita yang berdiri di hadapannya di pandang dengan rasa bersalah kerana telah memeluk anak mereka tanpa kebenaran.
“ Yup, kami mak dan ayah Zafiya ni. Encik nampak macam ada masalah je…” lelaki itu bertanya kembali.
Syed Aryan tersenyum hambar. Dia menggelengkan kepala dengan perlahan. Dia menggosok- gosok kepala Zafiya dengan perlahan.
“ Tak ada apa- apa, cuma nama anak encik mengingatkan saya pada seseorang. Maafkan saya sebab terbawa- bawa perasaan,” ujar Syed Aryan.
Lelaki tersebut hanya tersenyum manis. Dia mencapai tangan Zafiya dan mendukung anaknya itu. Satu ciuman kecil hinggap di pipi Zafiya.
“ Tak mengapa, kalau begitu saya minta diri dulu,” ujar lelaki tersebut kemudian meninggalkan Syed Aryan sendirian.
Syed Aryan tersenyum dan tertunduk. Dia tersenyum dalam kepayahan. Kedengaran penerbangannya ke Mekah akan berlepas kurang daripada 20 minit. Selamat tinggal Malaysia, selamat tinggal sayang…bisik hati Syed Aryan kemudian melangkah ke balai berlepas dengan perasaan yang berbaur.

Tuesday 4 June 2013

Ingkar Cinta ( Bab 1 )


WARDAH melambai tangan pada jejaka yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Senyuman dilemparkan. Jejaka itu tampak tampan dengan kemeja dan seluar jeans tersarung di badan tegapnya.
“ Oit, kau dah habis kelas bukannya nak call aku,” sapa Zafran tanpa memberi salam. Dia terus melabuhkan punggung di hadapan Wardah.
“ Wa’alaikummusalam..”perli Wardah selamba.
“ Opps, assalamualaikum,” ucap Zafran sambil menepuk mulutnya sendiri. Sejak dia berkawan dengan Wardah, dia cukup masak dengan perangai Wardah yang amat menitikberatkan soal salam.
“ Hah, macam tulah. Jangan asyik nk meluru je salam tak bagi,”bebel Wardah sambil membelek nota yang  berada di tangannya.
“ Aku baru je habis kelas ni. Aku ternampak kereta kau kat parking. Bukan ke kau tak ada kelas hari ni?” sambung Wardah lagi.
“ Kalau ikutkan tak ada tetapi aku ada mesyuarat MPP. Kau tahulah kan lepas aku jadi presiden ni banyak kerja yang aku kena buat. Sekarang ni aku kena arrange kan aktiviti untuk pelajar baru. Sudahlah tahun akhir banyak betul kerja aku,” rungut Zafran. Dia turut mencapai kertas yang berada di hadapan Wardah. Kertas apalah yang minah ni baca?
“ Dah itu tanggungjawab kau Zaf, kau kenalah pikul. Maklumlah tiap- tiap tahun kau je yang menang dalam pilihanraya kampus nak atau tak nak kau kena terima,” nasihat Wardah.
Zafran mengangguk lemah. Apa yang dikatakan oleh Wardah ada benarnya walaupun kalau diikutkan dia sudah mahu meletakkan jawatan tetapi kata- kata pendorong daripada Wardah membuatkan Zafran sedia menerima tanggungjawab sebagai presiden MPP.
“ Betul tu Wardah aku tak nafikan. Tahun ni aku kena struggle sikitlah mana nak fokus pada final exam lepas itu aktiviti untuk pelajar baru lagi. Tapi boleh tak kali ini aku nak mintak tolong kau sikit?” tanya Zafran lembut.
“ Apa dia? Kalau aku mampu, aku tolonglah,” balas Wardah.
“ Kau tolong jadi fasilitator untuk kali ini. Fasilitator untuk kali ni tak cukuplah,” ucap Zafran.
Wardah terkebil- kebil memandang laman wajah Zafran yang kacak. Biar betul mamat ni nak suruh aku jadi fasilitator?Lingkup budak- budak junior aku kerjakan kejap lagi. Bisik hati Wardah.
“ Kau biar betul nak aku jadi fasi? Aku tak ada pengalaman handle budak junior ni. Kau tampal notis mana tahu ada student yang berminat nak jadi fasi kali ni,” balas Wardah menolak.
Zafran mengetap bibir. Dia memandang wajah Wardah dengan penuh mengharap.
“ Lecehlah Wardah nak tampal notis bagai. Lagipun sorang je tak cukup. Bolehlah Wardah kau tolong aku. Kalau tak ada pengalaman nanti kolej hantar kau pergi kursus  fasilitator. Kau jangan risau, aku pun turun padang kali ni jadi fasi. Bolehlah ye?” pinta Zafran seakan merayu.
Wardah menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak tolak kesian pula kawan aku ni. Emmm…
“ Kali ni Kursus Perintis Siswa buat kat mana pulak?” soal Wardah kemudiannya membuatkan Zafran tersenyum.
“ Macam biasalah kat Taman Pertanian. Kira kau setujulah ni nak tolong aku jadi fasi Wardah?” Zafran meminta kepastian.
Wardah tersenyum. Tak salah rasanya untuk dia menimba pengalaman menjadi fasilitator sebelum meninggalkan zaman kolej.
“ Insya-Allah,” ucap Wardah pendek.
Zafran tersenyum riang. Dia tahu Wardah memang boleh diharap memandangkan hanya Wardah tempat dia meminta pertolongan selama ini. Persahabatan dia dan Wardah bukanlah baharu tetapi sejak kecil lagi mereka menjalinkan persahabatan memandangkan mereka sekampung dan juga berjiran. Takdir telah menempatkan mereka membesar bersama- sama hingga ke kolej pun sama. Bukan mereka yang rancang tetapi semua sudah tertulis.
Namun, lamunan Zafran terbantut apabila telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Juliana membuatkan dia mengeluh panjang. Tadi Sofea, sekarang Juliana penat betul melayan kerenah perempuan- perempuan ni. Susah betul jadi  jejaka yang terhangat di pasaran ni. Perasan!
“ Awek la tu..” usik Wardah sambil menjuihkan bibirnya.
Zafran hanya mengangkat bahunya. Di kesempatan yang ada, Wardah memandang wajah temannya dengan senyuman. Dia menggelengkan kepala. Itulah dia Ahmad Zafran Wildan, dunia lelaki itu sentiasa di kelilingi dengan wanita tetapi lelaki itu tidak pernah serius dalam menjalinkan hubungan. Lelaki itu lebih suka dilabelkan sebagai playboy daripada serius ataupun melibatkan diri daripada mana- mana gadis yang di kenalinya.
Bertahun dia mengenali Zafran, Wardah cukup kenal dengan perangai Zafran yang tidak percaya pada cinta. Bagi Zafran, cinta dan wanita hanyalah mainan semata- mata. Bukan tidak pernah Wardah menasihati Zafran tentang hakikat yang sebenarnya tetapi Zafran tetap tidak mengendahkannya malah Wardah pula yang diejek oleh Zafran. Pening kepala Wardah memikirkannya.
“ Oit, apa yang kau menungkan tu? panjang betul,” tanya Zafran selepas meletakkan telefon.
Wardah  tersentak lalu tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi. Dia menggelengkan kepalanya.
“ Tak ada apa- apalah. Kau ni Zaf perempuan keliling pinggang. Tadi Zarina cari kau. Dia tanya aku, aku jawablah tak tahu. Kau ni bila nak serik kalau kau tak nak bercinta, jangan nak mainkan perasaan perempuan nanti termakan diri kau sendiri,” nasihat Wardah.
Zafran berpura- pura menutup telinga. Dia mengenyitkan mata pada Wardah.
“ Aku bukan mainkan perasaan mereka tapi masalah aku, aku ni pencinta wanita,” ucap Zafran sambil tergelak kecil.
“ Banyaklah kau pencinta wanita. Pencinta wanita ke pemusnah wanita?” tempelak Wardah sambil tergelak.
Mati terus senyuman Zafran. Dia melemparkan jelingan buat Wardah yang sedang galak ketawa. Eh-eh minah ni boleh pula gelakkan aku.
“ Tak baik kau cakap aku pemusnah wanita. Malaslah kawan dengan kau,” Zafran berpura- pura merajuk. Dia berpeluk tubuh.
Wardah menyambung gelaknya. Aik, sejak bila Zafran pandai merajuk. Tanpa menghiraukan rajuk Zafran, Wardah mengemas segala notanya dan berdiri sambil memandang Zafran yang masih berpura- pura merajuk. Dia tersenyum manis dan berlalu tanpa sebarang kata.
Zafran mengetap bibir. Melihat senyuman yang mekar di bibir Wardah membuatkan Zafran tersenyum sendirian. Argghh, dia kalah lagi dengan senyuman Wardah.


ZAHIRUL memandang adiknya yang kelihatan kacak dengan kemeja dan jeans tersarung di badannya yang tegap. Nak buat macam mana kekacakan adiknya adalah waris daripadanya jugak. Hai, Zahirul pun dua kali lima dengan adiknya. Perasan!
“ Yang kau lawa- lawa ni nak ke mana adik ooi!” perli Zahirul sambil menjeling ke arah adiknya  yang sedang membetulkan rambutnya di hadapan cermin.
“ Hello abangku yang tercinta, bukan lawa la tapi kacak. Jaga sikit bahasa tu okey?” balas Zafran sambil menggoyangkan jari telunjuknya. Sementara Zahirul hanya tergelak.
“ Kali ni kau nak keluar dengan siapa pulak?” tanya Zahirul sambil matanya tidak lepas memandang skrin komputer riba miliknya.
“ Malam ni Juliana kot. Petang tadi dia call Zaf ajak keluar, Zaf ingatkan malas nak keluar,”
“ Hah, elok sangatlah tu keluar date dengan anak dara orang malam buta ni. Semalam dengan Sofie, hari ni Juliana, esok dengan aci mana pulak? Tapi dalam ramai- ramai perempuan yang kau date, tak pernah sekali pun kau cakap pada abang yang kau keluar date dengan kawan baik kau tu. Siapa nama dia?” tanya Zafran sambil menggarukan dahinya.
“ Wardah maksud abang?” soalan di balas soalan.
“ Ha’ah dia. Tapi dia tu budak pandai tau, test yang abang buat selalu skor. Attendant pun sentiasa full tak macam kau dik. Patutnya kau belajar dari dia,” puji Zahirul.
Sebagai pensyarah yang sentiasa memantau akademik pelajar- pelajarnya, Zahirul memang cukup berkenan dengan sikap Wardah yang sentiasa  komited dalam pelajaran. Tugasan yang diberi jarang yang tersilap disebabkan itulah Wardah menjadi salah seorang pelajar kegemarannya dalam subjek Undang- undang Perniagaan.
“ Abang ni buat lawak ke apa? Wardah tu bukan type Zaf nak buat teman wanitalah. Zaf ada type Zaf sendiri,” ujar Zafran sambil tergelak kecil.
“ Tapi kau dengan dia dan berkawan sejak kecil lagi kan? Dia selalu tolong kau kalau kau kena buli masa kau kecil- kecil dulu. Takkan kau tak sayang dia kot?” giat Zahirul.
Zafran tergelak besar. Sayang? Wardah? Oh, no!
“ Wahai Encik Zahirul Haq, untuk pengetahuan abang Zaf tak pernah teringin pun nak sayang menyayang bagai. Rimaslah. Mengarut pun ada. Serabai!” balas Zafran selamba.
Zahirul menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Susah bercakap dengan orang yang tiada cinta di hati ni. Bercakap dengan Zafran seolah- olah bercakap dengan cermin semuanya memantul pada dirinya balik. Tapi itulah perangai adiknya yang seorang ni. Tak percaya cinta!
“ Rimas konon jangan sampai kau terperangkap dalam cinta sudah,” Zahirul mengalah.
“ Ini Zafran Wildan la abang, takkan sesekali Zaf kalah dengan cinta yang mengarut tu.Zaf ni kalis cinta tau,” Zafran mendabik dada. Dia menghampiri abangnya yang sudah duduk bersandar di sofa. Tajam renungan abangnya itu.
“ Tak ada orang dalam dunia ni yang kalis cinta dik. Cinta tu fitrah kenapa adik nak halang perasaan itu dengan bersikap keras terhadap cinta? Abang tak faham. Takkan disebabkan mak yang tinggalkan ayah dan ayah berkahwin dengan perempuan lain adik nak bekukan hati dengan jadi lelaki yang playboy dengan mempermainkan perasaan gadis- gadis yang adik kenal,” ujar Zahirul kedengaran serius.
Zafran menarik nafas panjang. Susah untuk dia terangkan kenapa dia tidak percaya pada cinta kerana itu yang dirasakan hatinya saat ini. Disebabkan cinta sanggup manusia itu mengkhianati kerana cinta juga manusia sanggup curang dengan pasangan sendiri seperti yang berlaku dalam keluarganya. Ibunya yang tercinta sanggup pergi meninggalkan ayahnya semata- mata ayahnya jatuh bankrap dan berkahwin dengan kekasih lama.
Selepas perniagaan ayahnya kembali seperti biasa dan menjadi salah seorang orang yang kaya di kampung, muncul seorang wanita yang kini menjadi ibu tirinya. Memang cinta itu akan wujud bila adanya harta? Itu yang kerap berlegar- legar di fikiran Zafran. Oleh kerana itu  dia tidak pernah percaya pada cinta dan wanita.
“ Zaf tak mainkan perasaan perempuan abang, diaorang yang membiarkan perasaan mereka tersentuh. Zaf tak pernah janjikan apa- apa pada mereka. Bukan salah Zaf kalau mereka suka pada Zaf,” balas Zafran selepas lama mendiamkan diri. Dia cuba membela dirinya.
Zahirul hanya menggelengkan kepala dan melepaskan keluhan panjang. Dia berdoa supaya suatu hari nanti adiknya itu akan berjumpa dengan wanita yang mampu mengubah persepsi adiknya tentang cinta.
“ Abang nasihatkan kau pun bukannya kau dengar, dahlah kau pergilah jumpa buah hati kau yang ke-300 tu. Nanti lambat pulak,” ucap Zahran mengalah.
Zafran tersengih. Akhirnya abangnya mengalah juga.
“ Yelah-yelah, Zaf pergi sekarang,”

Ingkar Cinta ( Prolog )


  MASIH wujud lagi ke cinta sejati atas dunia ni?”
Soal  Sang Adam sambil memandang tepat pada wajah  Sang Hawa yang sedang memandang kebiruan air di tasik. Sang Hawa kelihatan tenang dengan senyuman terukir di bibir merekahnya. Serentak  Sang Hawa berpaling tepat membalas pandangan Sang Adam.
“ Kenapa kau tanya begitu? Kau tak percaya pada cinta ke?” Soal Sang Hawa kembali tanpa menjawab pertanyaan Sang Adam.
“ Bukan aku tak percaya tapi cinta yang berputar di sekeliling aku membuatkan aku sudah tidak percaya wujudnya cinta sejati di atas dunia ini. Hanya tinggal cinta yang penuh kebohongan dan pendustaan semata- mata,” jawab Sang Adam sambil menarik rumput yang berada di hadapannya.
Sang Hawa tersenyum manis. Cinta? Kerap kali manusia menyebut tentangnya tetapi sejauh manakah manusia itu mengerti makna cinta itu sendiri. Tepuk dada, tanyalah iman.
“ Adam, kau harus percaya masih ada cinta sejati yang wujud di atas muka bumi ini. Cinta yang kau sebut penuh kebohongan dan pendustaan itu bukannya cinta tetapi itu hanyalah nafsu yang menjadikan cinta itu kebohongan dan pendustaan. Cinta itu suci dan tidak dapat ditukarkan hatta dengan emas sekalipun. Sekali ia menyapa hati kau, kau takkan dapat berpaling lagi,” ujar Sang Hawa tenang.
“ Apa buktinya ada cinta sejati?”
“ Nabi kita Adam dan zaujahnya Hawa bersatu di dunia walaupun berpisah seribu jarak sekalipun. Begitu juga dengan Nabis Yusuf dan Siti Zulaikha, walaupun cinta mereka di halang tetapi berkat daripada doa dan restu daripada ALLAH s.w.t akhirnya mereka bersatu dan cinta yang paling agung adalah cinta Nabi Muhammad s.a.w dan isteri baginda iaitu Siti Khadijah. Walaupun berbeza umur namun cinta yang ALLAH titipkan dalam hati mereka akhirnya bersatu jua. Tidakkah kau fikirkan semua itu Adam?” Soal Sang Hawa pula apabila dia melihat Sang Adam hanya terdiam.
“ Itu cinta para nabi memang tiada bandingannya. Cinta mereka berpaksikan kepada cinta ALLAH sedangkan kita manusia yang hidup di zaman yang penuh canggih dan moden pasti tidak dapat menandingi cinta para nabi,” balas Sang Adam dengan petah.
“ Aku tak suruh kau menandingi cinta para nabi tapi kau boleh mencontohi cinta mereka dalam mencari cinta kau sendiri Adam. Cinta mereka penuh dengan pengorbanan dalam meraih cinta hakiki iaitu cinta Ilahi,” ucap Sang Hawa masih lagi bertenang dengan soalan yang diberikan oleh Sang Adam.
“ Bercakap memang senang Hawa. Cinta di zaman sekarang tiada yang tulus semuanya memandang harta, rupa dan pangkat. Aku serik dengan cinta dan wanita,” Adam masih tegas dengan pendiriannya.
“ Oh, jadi sebab itulah kau suka mempermainkan perasaan perempuan Adam? Oleh kerana kau tak jumpa cinta sejati jadi kau gunakan perempuan sekadar untuk menghilangkan rasa bosan kau, begitu?” soal Sang Hawa.
Kali ini suara Sang Hawa sedikit tegang. Dia tahu Sang Adam yang berada di hadapannya ini bukan calang- calang orang. Sang Adam yang berada di hadapannya ini seorang yang sempurna daripada rupa parasnya tetapi di hatinya tidak sempurna seperti wajahnya kerana hati itu kosong tanpa cinta.
Sang Adam tergelak kecil. Memang wanita adalah tempat dia menghilangkan rasa bosan. Bukan dia yang  mencari wanita sebaliknya wanita yang terkejar-kejarkannya kerana rupa dan harta yang ada padanya. Kesempatan itu di ambil oleh Sang Adam kerana kebodohan wanita itu sendiri yang mudah tunduk pada kata-kata lelaki yang belum tentu benar.
“ Aku tak kata aku hanya menggunakan wanita untuk menghilangkan rasa bosan tapi memandangkan kau dah kata maknanya betullah itu. Kaum kau tak tahu yang kaum aku akan memilih wanita yang benar- benar sesuai untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak- anak kami bukannya seorang wanita yang hanya boleh dijadikan teman wanita. Begitulah cinta aku hanya untuk wanita yang selayaknya sahaja. Jadi tak salahlah kalau aku berteman dengan ramai wanita untuk memilih siapa di antara mereka yang layak menjadi suri hidup aku nanti,”  ujar Sang Adam sambil memeluk lututnya.
“ Ya memang tak salah kau berteman dengan ramai wanita tapi cara kau seolah- olah memberi harapan pada wanita- wanita itu…”
“ Aku tak minta mereka berharap pada aku dan aku tak pernah menyatakan perasaan aku pada mereka. Wanita yang cepat perasan!” pintas Sang Adam dengan pantas.
Sang Hawa mengeluh. Memang sukar untuk menjelaskan perihal cinta pada Sang Adam. Hatinya cukup keras untuk mengakui adanya cinta yang telah disematkan dalam tiap hati manusia sejak lahir lagi. Setiap perjalanan hidup dan cinta manusia telah tertulis di dalam kitab takdir.
“ Memang susah untuk kau faham apa makna cinta Adam kerana kau sendiri telah menutup pintu hati untuk mengenali cinta yang sebenarnya. Aku harap satu hari kau akan bertemu dengan jodoh kau kerana hanya jodoh yang akan membawa cinta pada kau,” ucap Sang Hawa mengalah.
“ Kau mengalah Hawa?” Adam bertanya sambil menjongketkan kening.
“ Mengalah tak bererti kalah Adam. Aku mengalah bukan kerana aku tidak mampu mematahkan setiap perkataan kau tapi aku mengalah kerana aku mahu memberi kau ruang untuk mengenali cinta dengan cara kau sendiri. Suatu hari nanti kau akan tahu apa akan jadi pada diri kau apabila cinta mula menghuni hati kau pada wanita yang kau anggap hanyalah mainan semata- mata. Sedarlah Adam jika kau mahu mendapat cinta yang sejati kau kena mencintai diri kau terlebih dahulu tetapi sebelum kau mencintai diri kau sendiri kau harus mencintai ALLAH kerana dari situ kau akan menemui cinta yang sejati,” ujar Sang Hawa panjang lebar.
Sang Adam tersenyum. Dia terdiam buat sementara waktu kerana dia tahu apa yang dikatakan oleh Sang Hawa adalah benar belaka dan dia tidak pernah menolak kata- kata itu. Jauh di sudut hatinya dia yakin suatu hari nanti akan ada wanita yang menyedarkannya tentang makna cinta yang sebenar. Tetapi siapakah wanita itu?
Sang Adam berpaling pada Sang Hawa yang berkira- kira untuk bangun. Gadis itu membetulkan baju kurung yang di pakainya. Tudung yang di tiup angin dibetulkan sedikit. Sang Adam memerhatikan Sang Hawa dengan penuh minat.
“ Hanya satu dalam cinta yang aku percaya Hawa…” ucap Sang Adam secara tiba- tiba.
Sang Hawa berpaling pada Sang Adam yang masih merenungnya dengan senyuman yang tersungging di bibir.
“ Apa yang kau percaya?” soal Sang Hawa.
“ Persahabatan. Cinta adalah persahabatan,” balas Sang Adam dengan senyuman penuh makna.
“ Maksud kau?” Sang Hawa masih lagi pelik dengan kata- kata Sang Adam. Tadi kata tak percaya pada cinta sekarang lelaki itu mengatakan cinta adalah persahabatan. Mana satu yang betul?
“ Tanpa persahabatan cinta adalah kosong sebaliknya persahabatan yang terisi dengan cinta akan membawa bahagia, Aku hanya akan berkahwin dengan wanita yang menjadi kawan baik aku sahaja,” kata- kata Sang Adam penuh dengan makna yang mendalam membuatkan Sang Hawa ketawa kecil.
“ Kau cakap begitu macam kau pernah jatuh cinta. Kenapa kau dah jatuh cinta pada sahabat kau ke?” soal Sang Hawa dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Sang Adam hanya tersenyum nipis melihat Sang Hawa yang sedang tertawa.
“ Mungkin…” jawab Sang Adam pendek.
“ Mungkin? Maknanya betullah?” Sang Hawa makin mendesak.
Namun, Sang Adam hanya mendiamkan diri tanpa sedikitpun menjawab soalan Sang Hawa. Dia membiarkan soalan Sang Hawa di bawa angin lalu. Dia melemparkan pandangan di permukaan tasik yang indah. Tiada apa yang perlu dikatakan pasal cinta kerana cinta itu perkara yang halus yang sukar untuk di fahami. Cinta akan menyapa siapa saja apabila tiba masa pada waktu yang sesuai kerana cinta tidak akan pernah hilang selagi ada hati yang memerlukan cinta.