Tetamu Rindu

Tuesday 3 July 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 17


MARHA melangkah masuk ke dalam rumah dengan berhati-hati. Anak matanya meliar mencari kelibat Amzar yang tidak kelihatan di dalam rumah. Ruang tamu sunyi sepi. Begitu juga ruang dapur. Selepas kejadian di kafe hotel, kelibat lelaki itu tidak kelihatan termasuklah di ofis.
“Mana agaknya mamat ni pergi? Takkan tak balik lagi.” Soal Marha sendirian. Dia meletakkan tas tangannya di atas sofa kemudian berlalu ke tingkat atas dengan membawa sampul surat bersaiz A4.
Tombol pintu bilik Amzar dipulas dengan berhati-hati. Daun pintu ditolak dengan perlahan. Marha menjengukkan kepala. Dia memandang ke arah katil. Amzar tiada di situ. Dahi Marha berkerut. Kemudian, anak matanya terhala ke arah pintu balkoni yang terbuka. Kelihatan Amzar sedang duduk bersantai di situ. Marha menarik nafas lega lantas menapak ke arah suaminya itu.
“Assalamualaikum…” salam dihulurkan dengan sopan. Dia berdiri di belakang Amzar yang kelihatan beku sebaik saja mendengar suaranya.
Amzar merengus. Ketenangannya terganggu. Lantas, majalah perniagaan yang berada di tangan, ditutup dengan kuat sebelum dicampak ke atas meja.
“Waalaikummusalam. Kau nak apa masuk bilik aku?” soal Amzar tanpa memandang wajah Marha.
Marha menggigit bibir. Tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara. Kedinginan yang Amzar tunjukkan membuatkan dia kecut perut.
“Errr… Saya tahu tuan tak suka tengok muka saya. Saya pun tak boleh paksa jadi saya dah buat keputusan… Ini… Saya bawa sesuatu yang tuan tunggu selama ni.” Ucap Marha lalu meletakkan sampul surat berwarna coklat di atas meja. Dia menapak ke hadapan Amzar. Dia ingin melihat reaksi lelaki itu sebaik saja mengetahui isi kandungan sampul surat tersebut.
Amzar bersikap tenang. Sampul surat dan Marha dipandang silih berganti. Hatinya dilanda tanda tanya lantas sampul surat itu dicapai. Beberapa helai kertas dikeluarkan.
“Surat perletakan jawatan? Borang permohonan cerai? Apa semua ni?” soal Amzar cuba melindungi rasa terkejutnya. Wajah Marha direnung tajam.
Marha menjilat bibirnya yang terasa kering. Berdebar juga hatinya saat ini. Berdepan dengan Amzar tidak ubah seperti berhadapan dengan harimau. Renungan lelaki itu memang menikam tepat ke jantungnya. Menggerunkan!
“Errr… Saya tahu saya dah menyusahkan hidup tuan selama ni. Tuan pun tak pernah cuba nak berdamai dengan saya walau sebanyak mana kebaikan yang saya buat. Tuan tetap tak percayakan saya. Jadi saya fikir lebih baik saya undur diri. Surat letak jawatan tu saya tulis untuk tiga bulan akan datang. Tepat mengikut tarikh dalam surat tu, saya akan letak jawatan…”
“Kenapa nak tunggu tiga bulan? Kenapa kau tak letak jawatan sekarang je?” soal Amzar sinis.
Marha menundukkan pandangan. Tidak berani membalas pandangan Amzar yang sarat dengan kebencian.
“Ayah saya baru meninggal, jadi saya kena tanggung adik-adik saya belajar. Tanggung keluarga saya. Jadi, saya nak mintak tempoh tiga bulan sebelum saya cari kerja lain. Tuan pun mesti nak kena cari setiausaha lain juga kan? Saya janji saya takkan kacau hidup tuan sepanjang tiga bulan ni. Saya takkan tuntut apa-apa hak daripada tuan. Saya janji.” Ujar Marha bersungguh.
Amzar mencebik. Anak matanya kembali memandang borang permohonan cerai yang telah lengkap dengan butir peribadi Marha. Dia kembali mendongak memandang gadis itu.
“Borang ni, apa penjelasan kau?” soal Amzar sambil mengangkat helaian kertas tersebut.
“Itu… Borang cerai tu saya dah isi butir peribadi saya, saya dah tanda tangan. Tinggal tuan aje yang isi dan tanda tangan. Selepas saya letak jawatan, tuan boleh proceed. Saya tunggu surat dari mahkamah je. Semua kesalahan saya akan tanggung kalau itu dapat padamkan kebencian tuan pada saya. Lepas kita berpisah, saya janji akan pergi jauh dari hidup tuan seperti yang tuan nak. Saya akan pastikan, kita takkan berjumpa lagi. Saya janji.” Balas Marha bersungguh.
Amzar hanya tersenyum sinis mendengar penjelasan Marha. Dia meletakkan surat-surat itu kembali di atas meja. Nafas dilepaskan dengan kuat. Perasaannya bercampur baur saat ini.
“Senangnya kau cakap. Kau lupa apa yang aku cakapkan dulu, aku takkan bertanggungjawab pada kau tapi aku takkan lepaskan kau. Aku dah bagi kau peluang untuk tolak permintaan mama supaya kita bernikah tapi kau degil. Sekarang, anggap saja kau dah terperangkap. Tak ada jalan keluar untuk kau lagi.” Jawab Amzar tanpa perasaan.
“Takkan tuan nak gantung hubungan kita ni untuk seumur hidup tuan? Tuan akan kahwin dengan Cik Ratna, macam mana kalau Cik Ratna dapat tahu pasal ni? Tuan juga yang susah. Saya tak nak timbul sebarang masalah pada masa akan datang.” Balas Marha tidak berpuas hati.
Amzar hanya menjongketkan bahu. Seolah-olah tidak mengambil pusing dengan kata-kata Marha.
“Aku lelaki, itu bukan masalah besar pun pada aku. Kau nak sangat kan kahwin dengan aku, jadi aku takkan lepaskan kau. Biar kau tergantung macam ni. Takkan ada mana-mana lelaki yang akan tunggu kau.” Jawab Amzar dengan senyuman sinis yang tak pernah lekang daripada bibirnya.
Marha mengetap bibir. Ternyata Amzar ingin mencabarnya. Dia cuba bersabar dengan sikap Amzar kali ini. Nampaknya lelaki itu tidak mahu berkompromi. Jadi, Marha perlu memikirkan cara yang lain untuk melepaskan diri. Lantas, satu keluhan dilepaskan.
“Baiklah, kalau tuan nak gantung sangat hubungan kita ni, tuan gantunglah. Saya tak kisah pun. Kalau saya tak dapat kahwin dengan lelaki lain pun, saya tak kisah. Lagipun,  saya dah penat bercinta. Penat layan kerenah lelaki terutama lelaki macam tuan ni. Tapi tuan jangan menyesal, kalau dosa tuan bertambah disebabkan saya. Maklumlah, setiap dosa yang isteri buat, suami pun akan terpalit sama. Mungkin takkan ada sesiapa yang tahu kita dah bernikah, tapi hakikatnya tuan tahu kan?” balas Marha tidak mahu mengalah.
Amzar tersentak. Dia tidak menyangka Marha akan melawan kata. Malah, kata-kata gadis itu ada benarnya.
“Kau ugut aku?” soal Amzar.
Marha tersenyum nipis. Dia melepaskan nafas pendek.
“Taklah. Bukan ugut cuma mengingatkan. Suami yang biarkan isteri dia keluar dengan lelaki lain, suami yang dayus. Suami yang tak tegur kesalahan isteri adalah suami yang dayus. Tuan tahu kan dosa untuk suami yang dayus ni besar mana? Tuan nak gantung hubungan ni, saya boleh jadikan tuan suami yang dayus. Adil.” Jawab Marha sambil tersenyum mengejek. Dia memeluk tubuh. Hatinya bagai digeletek apabila melihat wajah Amzar berubah apabila perkataan dayus disebut. Tahu pun takut. Ingatkan tak ada perasaan. Detik hati Marha.
“Kau…”
“Sebab itulah tuan kena lepaskan saya kalau tuan tak nak dosa tuan bertambah. Tuan tak tahu betapa jahatnya saya. Tuan pernah cakap saya ni perempuan murah kan? Saya akan tunjukkan macam mana murahnya saya sampai tuan serik nak simpan isteri macam saya.” Potong Marha sambil mengenyitkan mata.
Dia berpaling dan berlalu tanpa memberi peluang untuk Amzar membalas. Puas hati dia apabila melihat Amzar kehilangan kata. Asyik dia aje mengata aku, sekarang rasakan. Aku akan buat kau mengalah, Amzar Mukhriz.

AMZAR mundar mandir di dalam biliknya. Sejak tengah hari hingga ke malam dia hanya duduk berkurung di dalam bilik tanpa berbuat apa-apa. Hanya sekali Marha mengetuk pintu biliknya, selepas itu tiada lagi gangguan daripada Marha.
Amzar mencebikkan bibir. Kata-kata Marha petang tadi kembali terngiang di telinga.
“Dia nak letak jawatan tiga bulan akan datang? Nak aku ceraikan dia? Huh, sepatutnya jangan cari pasal dengan aku dulu. Sampai mati pun aku takkan ceraikan kau. Terseksalah kau sorang-sorang.” Ucap Amzar sendirian.
Dia mencapai gelas yang berada di atas meja. Dia mengeluh apabila menyedari gelas tersebut kosong tanpa setitis air.
“Dahagalah pulak. Baik aku cari air dulu.” Ucap Amzar lagi. Lalu bingkas bangun ingin menuju ke tingkat bawah.
Langkah kakinya terhenti seketika sewaktu di hadapan pintu bilik Marha. Senyap. Tiada bunyi yang kedengaran dari dalam bilik tersebut.
“Dah tidur ke perempuan tu? Awal betul.” Omel Amzar sendirian.
“Argh, lantaklah. Peduli apa aku.” Sambungnya lantas meneruskan langkah menuju ke dapur.
Sebaik saja sampai di dapur, dia terus mencapai mug dan menapak ke kabinet dapur. Sebotol kecil nescafe dicapai lalu diletakkan di atas kabinet. Dia cuba membuka penutup nescafe dengan menggunakan tangan kirinya namun tidak berjaya.
“Macam mana nak buka ni?” soalnya sendiri. Dia cuba memegang botol tersebut menggunakan tangan kanannya yang masih sakit sementara tangan kirinya cuba memulas penutup botol.
“Aduh!” jerit Amzar apabila tangan kanannya masih belum mampu untuk memegang. Dia merentap tangannya dan tanpa sengaja,  dia tertepis mug yang terletak di birai kabinet.
Prankkk!
Mug tersebut jatuh terhempas ke lantai. Amzar tersentak. Dia berpaling memandang ke lantai. Dia mengetap bibir. Kesal dengan kesalahan diri sendiri.
“Tuan! Tuan tak apa-apa?” muncul suara Marha dari arah belakang menghentikan perbuatan Amzar yang ingin mengutip kaca yang bertaburan. Dia kembali berdiri dan menoleh.
Dia kaku seketika apabila melihat figura Marha saat ini. Bergetar hebat jantungnya saat ini. Tanpa sedar kakinya mula menapak ke belakang.
“Siapa kau?” soalnya dengan suara yang bergetaran.
“Tuan, hati-hati kaca tu!” Marha cuba menghalang tetapi semuanya terlambat.
“Arghhh!” Amzar menjerit keras. Telapak kakinya tertusuk serpihan kaca. Amzar terjingkit-jingkit menahan rasa sakit dan pedih.
Serentak dengan itu, Marha menarik tangan Amzar bagi mengelak daripada lelaki itu terjatuh. Tindakan refleks itu membuatkan Amzar terjatuh ke dalam pelukan Marha. Marha tergamam. Amzar terkedu.
Suasana menjadi sepi seketika. Hanya kedengaran detak jantung kedua-dua insan itu memenuhi ruang dapur yang sunyi. Namun, Marha tidak membiarkan perkara itu berpanjangan, dia menolak tubuh Amzar dengan lembut. Wajahnya ditundukkan. Cuba menyembunyikan kulit wajahnya yang berubah rona.
“Tuan tak apa-apa ke? Kenapa tuan undur ke belakang, kan ada kaca tu?” soal Marha sambil menggosok hidungnya menahan malu angkara insiden tadi.
Amzar berdeham. Cuba meredakan debar di dada. Dia menunduk memandang telapak kakinya yang sudah berdarah. Anehnya, untuk beberapa saat tadi, dia tidak merasa kesakitan meski pun kaca tersebut masih tercucuk di telapak kakinya.
“Kau yang buat aku terkejut.”
“Saya?” soal Marha sambil menunjuk ke mukanya sendiri.
“Apa yang saya dah buat?” soal Marha kebingungan. Dia menyelak anak rambut yang mengganggu pandangan. Namun, perbuatannya tiba-tiba terhenti. Kejap. Rambut? Marha tertanya-tanya. Pantas, dia meraba kepalanya yang tidak bertutup. Alamak, patutlah mamat ni terkejut tengok aku, rupanya aku lupa pakai tudung. Ya Allah, macam mana aku boleh lupa sarung tudung ni. Keluh Marha dalam hati.
Dengan gelabah, dia berpaling. Dia harus menutup rambutnya dengan segera.
“Eh, kau nak ke mana tu?” soal Amzar pelik dengan sikap Marha yang tiba-tiba kelam kabut.
“Nak cari tudung.” Jawab Marha sambil membalas renungan Amzar.
“Nak cari tudung? Habis tu kau nak biarkan aje kaki aku berdarah macam ni? Kau nak biar je kaca ni melekat kat kaki aku? Sakit tahu tak?” bebel Amzar dengan dahi yang berkerut. Dahinya mula berpeluh menahan rasa pedih dan sakit.
“Errr… Tapi…” Marha mula serba-salah sebaik saja melihat wajah Amzar yang berkerut.
“Tapi apa lagi? Ahhh… Suka hati kaulah nak buat apa pun. Aku sakit, aku yang rasa bukan kau. Pergilah mana kau nak pergi, aku boleh buat sendiri.” Ujar Amzar mula merajuk.
Dia menarik kerusi lalu duduk. Dia membongkokkan badan cuba menarik serpihan kaca yang masih melekat. Dia berdecit. Tangan kanannya yang masih berbalut menyukarkan Amzar untuk melihat telapak kakinya.
“Biar saya tolong…” ucap Marha cuba menarik kaki Amzar.
“Tak payah!” Amzar menepis tangan Marha membuatkan gadis itu terduduk di atas lantai.
Marha mengetap bibir. Mula geram dengan sikap ego Amzar.
“Biarlah saya tolong. Kalau sakit buat cara sakit. Jangan degil boleh tak?” suara Marha meninggi tetapi masih terkawal. Dia mendongak memandang Amzar yang terdiam.
“Biar saya tolong tengokkan. Tangan tuan tu masih sakit lagi. Tuan takkan dapat cuci luka tuan tu kalau tuan degil.” Bebel Marha lantas kembali menarik kaki Amzar.
Amzar hanya mendiamkan diri. Suara Marha yang meninggi mampu mematahkan bicaranya. Akhirnya, dia membiarkan Marha melihat luka di kakinya. Dengan kesempatan yang ada, Amzar merenung Marha yang kelihatan lain tanpa mengenakan tudung di kepala.
“Tuan tahan sikit ya, saya nak keluarkan kaca ni.” Ucap Marha tanpa memandang wajah Amzar. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada telapak kaki Amzar yang masih berdarah.
Amzar masih membisu. Dia masih ralit meneliti wajah Marha yang nampak cantik di matanya. Anak mata Amzar jatuh pada rambut Marha yang panjang dan lebat. Dilepaskan tanpa ikatan. Inilah kali pertama dia melihat wajah isterinya tanpa mengenakan tudung. Dia terpesona.
Kemudian, anak matanya jatuh pada mata, hidung, bibir milik isterinya sebelum beralih pada leher Marha yang terdedah. Amzar meneguk liur. Sepantas kilat dia mengalih pandangan ke tempat lain. Tubuhnya tiba-tiba terasa berbahang. Panas.
“Auchhh!” Amzar terjerit kecil. Dia menarik kakinya daripada terus dipegang oleh Marha tersentak. Dia mendongak.
“Maaf tuan. Sakit sangat ke?” soal Marha dengan mata yang membulat.
“Sakitlah! Kau ingat kaki aku ni kayu?” perli Amzar dengan wajah yang berkedut seribu.
Marha hanya mencebikkan bibir. Tidak lama kemudian, dia tersenyum nipis. Kaki Amzar ditarik kembali. Kaca yang tercucuk di telapak kaki Amzar sudah berjaya dikeluarkan. Dia mencapai beberapa tisu dan darah yang mengalir akibat luka.
“Tuan nak apa sebenarnya datang ke dapur ni? Kalau tuan nak air, kenapa tak minta dengan saya je? Saya boleh hantarkan.” Ujar Marha memandang sekilas pada Amzar yang kembali tenang.
“Dah kau berkurung je dalam bilik tu, aku ingatkan kau dah tidur.” Jawab Amzar ringkas.
“Saya belum tidur lagi. Baru aje lepas solat. Macam nilah, saya bawa tuan ke ruang tamu dulu. Saya nak bersihkan dapur ni dulu, ya? Nanti saya bawakan air untuk tuan.” Balas Marha lantas bingkas bangun sebaik saja siap membalut luka di telapak kaki Amzar.
Dia mendekati Amzar. Berniat untuk membantu lelaki itu berdiri namun Amzar terlebih dahulu menghalang.
“Kau nak buat apa ni?” soal Amzar. Suaranya kedengaran bergetar akibat menahan rasa debar di dada.
“Saya nak tolong tuan berjalan. Kaki dan tangan tuan sakit kan? Macam mana tuan nak berjalan?” soal Marha mengajak Amzar untuk berfikir. Risau sangat aku pegang dia, macamlah aku nak sentuh dia sangat. Bebel Marha cuma dalam hati.
Amzar hanya mendiamkan diri. Kata-kata Marha ada benarnya juga. Lantas, dia hanya membiarkan Marha mengangkat lengannya dan diletakkan di bahu gadis itu. Amzar bangun dengan berhati-hati. Dia menelan liur saat Marha memeluk pinggangnya bagi mengelakkan dia daripada terjatuh.
Di kesempatan yang ada, Amzar cuba memberanikan diri memandang raut wajah Marha yang jauh lebih rendah darinya. Jelas, wajah gadis itu merona merah. Malu mungkin. Amzar mengulum senyum.
“Tuan ni beratlah.” Komen Marha dengan wajah yang berkerut. Ternyata berat badan Amzar tidak mampu ditampung oleh badan Marha walaupun badannya sedikit berisi.
“Kau ni ikhlas ke tak tolong aku? Kalau asyik nak merungut, baik tak payah tolong.” Omel Amzar. Dia menarik muka namun dia tetap mengikut langkah Marha.
Kedudukan ruang dapur dan ruang tamu dirasakan sungguh jauh saat ini. Naik kebas wajah Marha menahan perasaan malu.
“Tuan ni macam perempuan tau, cakap sikit nak merajuk. Harap badan je besar, hati kecil.” Getus Marha sambil menjeling ke arah Amzar.
Amzar membuntangkan matanya. Berdesing telinganya mendengar bicara Marha. Dia berpaling.
“Kau cakap apa?” soal Amzar sambil mengecilkan matanya.
Marha tersengih. Pantas saja kepalanya digelengkan.
“Kita dah sampai ni. Tuan duduklah dulu,” ujar Marha tanpa menjawab soalan Amzar.
Perlahan-lahan, lengan Amzar yang melingkari lehernya diturunkan sebelum tubuh sasa itu didudukkan dengan berhati-hati di atas sofa.
Amzar menurut. Dia berdecit apabila kakinya yang terluka memijak lantai. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Ditambah dengan tangannya yang masih belum pulih, betul-betul buat dia tidak selesa. Tanpa sedar, satu keluhan terlepas dari bibirnya.
Marha berpaling. Dia melabuhkan punggung di sebelah Amzar.
“Sakit sangat ke? Kalau tuan tak boleh tahan, jom saya bawa tuan ke klinik.” Ajak Marha.
Dia berura-ura untuk bangun namun, Amzar terlebih dahulu menarik pergelangan tangan Marha. Langkah Marha terhenti. Dia memandang Amzar dengan persoalan yang bermain di fikiran.
“Tak payah pergi klinik. Luka aku ni bukan teruk sangat. Buang masa je kalau pergi. Aku nak rehat je kat rumah.” Jawab Amzar dengan nada yang mendatar.
“Tapi tuan, kita tak tahu…”
Amzar mendongak. Menentang pandangan Marha. Semerta, bibir Marha terkunci. Renungan itu seakan tembus ke hatinya.
“Kenapa susah sangat nak ikut cakap aku ni, hmmm?” soal Amzar. Suaranya bertukar perlahan. Jari-jemari Marha yang berada dalam pegangan, dielus tanpa sedar. Kelembutan tangan itu menghangatkan hatinya saat ini.
Marha meneguk liur. Meremang bulu romanya dengan sikap Amzar malam ini. Lantas, dia menundukkan pandangan. Pada masa yang sama, anak matanya jatuh pada jemarinya yang dipegang oleh Amzar. Seperti terkena renjatan elektrik, Marha menarik tangannya. Dia terus membelakangi Amzar. Sungguh, dia berdebar saat ini. Rambut yang mengganggu pandangan, diselitkan di celah telinga.
Amzar berdeham. Cuba meredakan debaran di dada. Macam manalah dia boleh salah tingkah kali ini? Detik hatinya. Dia menggigit bibir. Nafas ditarik sedalamnya dan dihembus dengan perlahan.
“Err… Saya pergi kemas dapur dululah. Tuan rehatlah dulu.” Ujar Marha tanpa memandang Amzar. Dia menggenggam tangannya yang dipegang oleh Amzar tadi. Kehangatan masih lagi terasa.
“Hmmm… Yalah…” jawab Amzar pendek.
Tanpa menunggu lama, Marha mempercepatkan langkahnya ke dapur. Sebaik saja sampai dapur, dia melepaskan nafas dengan kuat. Dadanya masih lagi turun naik. Lantas, Marha melekapkan telapak tangannya di dada. Debarannya masih terasa.
“Come on, Mar. Wake up!” ujar Marha sendiri. Kepalanya diketuk bagi menyedarkan dirinya sendiri. Akhirnya, hanya keluhan yang mampu dilepaskan.