Tetamu Rindu

Thursday 28 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 8 )



TIDUR Qartal terganggu apabila kedengaran pintu pondok yang sedang dijaga olehnya dikuak kasar dari arah luar. Dia terjaga. Anak matanya menebar ke muka pintu. Dia menelan air liur apabila melihat figura Razak Hitam sedang melangkah masuk ke dalam markas mereka. Serta-merta Qartal berdiri dan menunduk hormat.
“Bos…” Sapa Qartal perlahan saat Razak menghampiri dirinya.
“Kau yang jaga budak-budak ni? Geng kita yang lain mana?” soal Razak ingin tahu. Kelihatan Jamal turut datang bersama tiga orang lagi ahli kumpulan mereka yang lain.
“Jeff dan Bob pantau keadaan dekat jeti, bos. Malam nanti budak-budak, dan dua perempuan tu kita akan hantar ke seberang. Openg dan Lan keluar beli makanan.” Terang Qartal.
Razak menganggukkan kepala tanda faham. Perhatiannya teralih pada sebatang tubuh yang dirantai kemas di sebatang tiang. Kelihatan gadis muda itu sedang menyandarkan diri dalam keadaan lemah dan tidak berdaya. Razak tersenyum sinis lantas menghampiri. Dia duduk mencangkung berhadapan dengan gadis bertudung hitam itu.
“Jadi ini anak si King tak guna tu?” soal Razak sambil memaut kasar dagu Aisy.
Aisy yang hampir terlelap tersedar. Pantas dia menepis apabila wajahnya disentuh tanpa kebenaran. Anak matanya tegak memandang wajah yang cukup asing di pandangannya. Siapa pulak ni? Detik hatinya.
“Kau yang tak guna! Lepaskan aku sekarang!” bentak Aisy tanpa menunggu lama. Dia meronta-ronta di hadapan Razak.
Razak ketawa lepas. Dia memandang pada Jamal yang kelihatan serius. Anak mata Jamal tidak lepas daripada merenung Aisy. Kelihatan lelaki itu seperti sedang menahan amarah. Pandangannya sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.
“Oh, kuat melawan. Macam bapak dia jugak. Tapi tak sangka King ada anak perempuan yang manis macam ni. Aku rasa kalau kita jual pasti hasilnya lumayan. Maklumlah, raja dunia hitam kononnya, tapi ada anak yang setaraf dengan ustazah.” Ejek Razak bersama tawa yang bersambung-sambung.
“Tapi bos lebih baik kita serahkan dia pada Kitai sebagai hadiah sebelum berlian tu kita jumpa.” Abdul memberi cadangan.
Razak terdiam sambil menjuihkan bibirnya. Ada benarnya juga cadangan Abdul tu. Dia mengamati batang tubuh milik Aisy daripada atas hingga ke bawah. Satu helai rambut pun dia tidak mampu lihat apatah lagi ingin melihat kulit mulus milik gadis genit itu.
“Aku setuju tapi sebelum tu aku kena check sama ada perempuan ni tak cacat apa-apa. Mana tahu dia tak ada rambut ke. Takkan Kitai tu nak perempuan yang tak cukup sifat. Abdul, kau tanggalkan tudung perempuan tu sekarang!” arah Razak dengan riak wajah yang serius.
Aisy terpempan. Air liur ditelan berkali-kali. Apa? Mereka nak tanggalkan tudung aku? Ya Allah! Jerit hati Aisy bersama gelengan yang laju. Dia menangis. Apabila Abdul semakin mendekati, semakin kuat tangisan Aisy.
“Tolong jangan tanggalkan tudung aku! Tolong jangan sentuh aku! Aku sanggup mati tapi tolong jangan buka tudung aku!” rayu Aisy dengan rontaan semakin menjadi-jadi.
Dengan tenaga perempuannya yang tidak seberapa kuat, dia cuba menendang betis Abdul yang semakin merapat. Dia meracau-racau seperti orang gila kerana tidak mahu disentuh oleh lelaki asing.
“Bos, perempuan ni bisinglah!” marah Abdul kerana tidak dapat melaksanakan arahan yang disuruh oleh Razak.
Razak mengetap bibir. Dia menghampiri Aisy. Lantas, rambut Aisy yang berbalut dengan tudung direntap kasar.
Arghhh!” Jerit Aisy. Kesakitan.
“Kau nak melawan? Kau lebih pilih mati daripada tanggalkan tudung buruk kau ni?” soal Razak sambil mengancing giginya.
Aisy cuba meleraikan pautan tangan Razak namun dia tidak berdaya. Tercungap-cungap dia cuba mengatur nafas yang tidak sekata. Rasa perit dan pedih ditahan dengan sekuat hati. Hanya doa yang terus dipanjatkan dalam hati.
“Ya! Kalau nyawa boleh gantikan maruah aku, aku sanggup kalau kau bunuh aku sekarang! Walaupun kau selamat dalam dunia ni tapi kau jangan lupa akhirat kau masih menunggu. La illa haillah inni kuntum minal zholimin.” Sebaris doa terlafaz di bibir Aisy yang pucat tidak berdarah.
Razak tersentak. Pantas, pautan di rambut Aisy terlerai. Telinganya seakan sakit mendengar ayat yang dilafazkan oleh Aisy. Dia menggelengkan kepala lalu menjarakkan diri daripada Aisy.
“Kenapa bos?” soal Abdul pelik melihat tingkah-laku Razak yang tiba-tiba berubah. Lelaki itu kelihatan resah tanpa punca.
Call King secepat mungkin. Aku nak tengok macam mana reaksi dia bila dia tahu anak kesayangannya dalam genggaman aku. Aku nak dia sendiri yang melutut serahkan berlian tu pada aku.” Ujar Razak.
Abdul hanya menganggukkan kepala. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian gambar Aisy yang sedang dirantai diambil dari setiap sudut.
“Kita ambil gambar dulu bos sebab kalau nak call pun dalam hutan ni. Tak ada coverage.” Ujar Abdul sambil tersengih.
Razak hanya mendengus. Terlupa pula yang mereka sekarang berada di tengah hutan. Lalu, Razak kembali mengorak langkah menuju ke Aisy yang sedang duduk merapati dinding. Wajah gadis itu kelihatan pucat. Malah ada kesan lebam menghiasi pinggir bibirnya. Razak tersenyum sinis.
“Berapa kali aku nak cakap aku tak ada berlian tu kenapa kau tak percaya? Tolonglah lepaskan aku! Aku tak bersalah!” rayu Aisy lagi. Air matanya kembali bercucuran.
“Lepaskan kau?” perli Razak sambil menghembus asap rokok ke muka Aisy. Terbatuk kecil gadis itu dibuatnya.
“Baik aku akan lepaskan kau…” sambung Razak dengan wajah bersahaja. Dia merenung anak mata Aisy yang berair.
Aisy tersentak.
“Betul kau akan lepaskan aku?” soal Aisy kembali. Dia teruja.
“Betul. Tapi selepas kau jadi pelacur!” jawab Razak bersama tawa yang kuat.
Serentak, satu pondok buruk itu gamat dengan bunyi ketawa yang cukup menyakitkan telinga Aisy. Tawa yang mengejek dirinya.
Dada Aisy berombak kencang. Geram kerana diperkotak-katikkan. Lantas, tanpa amaran dia meludah muka Razak. Langsung tidak dihiraukan akibat yang bakal dia terima di atas sikapnya itu.
Tawa Razak terhenti. Dia menyentuh pipinya yang terasa melekit dengan sisa air liur milik Aisy. Dadanya mula turun naik menahan amarah yang semakin bergumpal di dalam dada. Tidak pernah sekali walau dalam hidupnya dia diludah sebegini. Hari ini, dia dimalukan oleh seorang perempuan kampung di hadapan anak-anak buahnya. Sungguh, Razak tidak dapat menerima kenyataan.
“Kau ludah aku? Berani kau ludah aku?” tempik Razak lantas tangannya dihayunkan tepat ke muka Aisy.
Panggg!
Aisy rebah. Pipinya terasa pijar namun dia puas. Puas kerana dapat membalas sakit hatinya. Lantas, Aisy bangkit kembali. Darah yang memenuhi ruang mulutnya diludah ke lantai. Kesakitan dialami langsung tidak memberi kudis dalam diri Aisy untuk menentang lelaki di hadapannya ini.
“Air ludah aku tu terlalu suci untuk orang yang hina macam kau!” maki Aisy lagi dengan suara yang perlahan. Dia senyum sinis apabila melihat wajah Razak mula memerah.
“Betina tak guna!” marah Razak.
Dengan amarah yang semakin memuncak, Razak menghadiahkan satu lagi tamparan di pipi kanan Aisy. Tidak kurang itu, perut Aisy ditumbuk dengan kejam. Jeritan Aisy langsung tidak memberi bekas dalam hati Razak.
Semua yang berada dalam pondok itu tidak mampu menghentikan keganasan Razak terhadap Aisy. Ida hanya mampu memejamkan mata. Dia menangis ketakutan melihat Aisy dikasari sebegitu.
“Kau nak lawan aku? Kau ingat kau siapa?” hambur Razak lagi sambil menendang kaki Aisy dengan kuat.
“Allah!” Raung Aisy kuat. Dia mengerekotkan tubuhnya. Kesakitan yang menjalar di seluruh tubuh melemahkan diri Aisy untuk melawan balik. Dia terbatuk kuat sehingga tersembur darah daripada mulutnya.
Hasbunallah wa nikmal wakeel.” Desis Aisy perlahan. Tiada daya upaya untuk dia melawan saat ini. Hanya pertolongan daripada Tuhan Yang Satu dia pohonkan.
“Kalau kau berdoa sekali pun, takkan ada sesiapa yang dapat selamatkan kau daripada aku!” balas Razak sambil menarik kasar rambut Aisy yang berbalut dengan tudung.
“Tiada satu pun yang terlepas daripada balasan Allah termasuk kau!” Aisy masih mampu untuk melawan padahal matanya mula berbinar. Kepalanya turut berpusing.
“Kurang ajar!” tempik Razak lagi lantas dia mengeluarkan pistol revolver daripada jaketnya lalu diletakkan tepat dia dahi Aisy.
“Jangan bos!” Suara Qartal menahan.
Semua mata memandang ke arah Qartal yang mula maju mendekati Razak yang kelihatan hilang kewarasan.
“Qartal, lebih baik kau jangan masuk campur urusan bos.” Jamal pula menegah.
“Aku bukan nak masuk campur tapi kalau perempuan tu mati, bos jugak yang rugi. Berlian kita tak dapat, dendam kau pada King pun akan jadi sia-sia. Kau nak sangat tengok King merana sama macam kau merana tapi kalau satu-satunya anak yang dia ada mati, macam mana kau nak tengok dia terseksa?” Hujah Qartal mendiamkan Jamal.
Kata-kata Qartal membuatkan Razak kembali menjatuhkan pistolnya. Ada benarnya omongan Qartal. Bagaimana dia ingin menentang King jika senjata utamanya sudah lenyap. Tidak. Dia tidak akan benarkan semua itu terjadi. Apa pun yang berlaku King harus jatuh tersungkur di kakinya. Tidak sabar rasanya Razak ingin melihat King melutut di kakinya. Dia akan pastikan saat itu akan tiba.
“Aku nak kau jaga perempuan ni dengan ketat. Kalau dia melawan, pukul aje tapi jangan sampai mampus. Aku nak tengok King jadi gila bila dia tahu anak dia dalam tawanan kita.” Ujar Razak membuat keputusan.
Dia memusingkan tubuh dan meninggalkan Aisy yang terkulai layu di atas lantai. Kedengaran bibir itu terbatuk kecil. Dia sudah tidak berdaya. Sakit yang dia rasa begitu mencucuk-cucuk sehingga terasa ke segenap urat-saraf. Adakah ini pengakhiran hidup aku? Detik hatinya.
Sedangkan Qartal hanya mampu memandang tubuh lemah Aisy dengan pandangan kosong.

“KAK AISY!” panggil Ida sewaktu semua penculik-penculik itu keluar dari pondok. Dia memandang pintu masuk pondok yang tertutup rapat. Bimbang jika suaranya membuatkan penculik itu datang kembali.
“Kau rasa Kak Aisy hidup lagi tak?” soal Hidayu perlahan.
Ida menjeling tajam pada Hidayu. Kurang gemar dengan soalan yang diajukan oleh gadis muda itu.
“Insya-Allah Kak Aisy tak apa-apa. Kak Aisy kuat.” Jawab Ida sambil pandangannya terarah pada tubuh Aisy yang masih terdampar di atas lantai.
“Kakak, bila kita boleh keluar daripada sini? Saya lapar.” Suara halus menyampuk membuatkan Ida dan Hidayu mengalih pandangan ke arah kanan mereka.
Wajah kelima-lima kanak-kanak yang turut ditawan dipandang dengan rasa sayu. Rata-rata kesemuanya kurus kering kerana berhari-hari mereka dijamu dengan roti dan air masak.
“Akak tak tahu, dik. Akak pun nak balik juga. Kita berdoa ajelah supaya Allah kirimkan orang untuk selamatkan kita.” Ucap Ida buntu.
“Tapi kak…”
Belum sempat budak lelaki itu bersuara, pintu pondok terkuak dari luar. Muncul Qartal dengan membimbit satu plastik berisi nasi bungkus dan air mineral. Dia mendekati Ida dan Hidayu. Bungkusan itu diletakkan di hadapan mereka berdua.
“Ni makanan untuk kau orang. Lepas ni jangan banyak bunyi. Aku tak suka dengar orang yang banyak cakap. Faham?” tekan Qartal sambil merenung tajam pada tawanan-tawanannya.
Hidayu dan Ida hanya mengangguk laju. Dia mencapai nasi bungkus itu lalu turut diberikan pada kanak-kanak yang lain. Agak sukar untuk dia menjamah makanan kerana tangannya masih terikat kemas. Namun dek kerana lapar, Ida terpaksa menopang nasi bungkus itu dengan kedua belah tapak tangannya. Kepalanya ditundukkan lalu dengan hanya menggunakan mulut, Ida menjamah nasi yang diberikan.
Sesekali anak mata Ida menyoroti tingkah laku lelaki bertopeng yang berada di hadapannya. Kelihatan lelaki itu merapati Aisy dengan membawa sebotol air mineral. Selama dia menjadi tawanan, belum pernah walau sekali pun dia melihat wajah sebenar lelaki bertopeng yang dipanggil Qartal itu. Apa yang Ida dapat lihat, hanya Qartal lebih berhati perut berbanding penculik yang lain.
Qartal menghampiri tubuh Aisy yang mengerekot di atas lantai. Anak matanya beralih pada wajah Aisy yang berbirat malah masih ada sisa darah di hidung dan di pinggir mulut gadis itu kesan daripada tamparan Razak Hitam.
Perlahan-lahan, Qartal mengeluarkan tuala kecil daripada poket seluarnya lalu sedikit air mineral dituangkan ke atas tuala itu. Dengan berhati-hati, dia mengesat darah kering yang terdapat di pinggir bibir Aisy.
Aisy yang terasa seperti wajahnya disentuh sesuatu lantas terjaga. Dia membuka mata dengan perlahan-lahan. Sebaik saja matanya dicelikkan, pandangannya terus bertaut dengan sepasang anak mata yang hitam pekat. Aisy terkedu. Malah, jantungnya mula berdengup laju. Tanpa membuang masa, dia bingkas bangun dan duduk merapati dinding. Dia memeluk lutut.
“Kau nak apa?” soal Aisy garang.
Qartal mengetap bibir. Kedegilan Aisy kadangkala menguji dirinya.
“Jangan banyak tanya boleh tak? Aku nak tolong cucikan luka kau tu. Kang tak pasal-pasal berulat pulak.” Ujar Qartal bersahaja.
Aisy menjeling benci. Tidak sedikit pun dia percaya pada lelaki di hadapannya ini. Sudahlah rupa pun tak kenal. Alih-alih nak tunjuk baik. Pasti ada yang tak kena. Detik hatinya.
“Tolong cucikan luka? Baik tak payahlah. Aku tak nak kau tolong cucikan luka, aku nak kau tolong lepaskan aku. Boleh?” cabar Aisy.
Qartal terdiam. Dia tetap merapati Aisy. Tuala yang telah dibasahkan sengaja disuakan ke wajah Aisy. Kata-kata Aisy dibiarkan tanpa balasan.
Aisy menepis apabila Qartal cuba menyentuh kulit wajahnya dengan menggunakan tuala. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Enggan menatap wajah lelaki itu.
“Sombong! Lantak kaulah!” bentak Qartal lalu mencampakkan tuala kecil itu tepat ke wajah Aisy. Dia bingkas bangun dan memusingkan tubuhnya untuk keluar.
Dia tergamam apabila melihat Jamal berada tepat di belakangnya. Renungan tajam lelaki itu tidak dipedulikan oleh Qartal. Dia menayang wajah selamba.
“Kau buat apa pada perempuan tu?” soal Jamal ingin tahu. Dia memandang Qartal dengan rasa curiga.
“Bukan urusan kau. Ini arahan Razak untuk aku jaga perempuan tu. Kenapa kau ada dekat sini? Sepatutnya kau ikut Razak balik.” Ujar Qartal mengalih topik perbicaraan mereka.
Jamal mengalih pandangan ke arah lain. Dia meneguk liur. Tidak betah dengan sorotan mata Qartal itu.
“Razak arahkan aku untuk pantau tempat ni. Kejap lagi budak-budak ni dan dua orang perempuan tu akan dihantar ke jeti Sungai Golok. Malam karang ada orang yang akan beli budak-budak ni.” Jawab Jamal sambil anak matanya tuntas memandang Aisy yang sedang menyandar lesu di tepi dinding.
Sebaik saja terpandang wajah lembut milik gadis itu hatinya tiba-tiba disengat amarah apabila terkenangkan adiknya yang mati di tangan Tuan Zabir. Api dendam yang menyala sukar untuk dipadamkan. Dia akan pastikan lelaki keparat seperti Tuan Zabir rasa apa yang dirasakan semenjak kematian Sham.
“Kalau macam tu aku keluar dulu. Aku nak cari orang kita yang lain. Boleh buat persiapan untuk malam ni. Kau jaga budak-budak ni. Aku nak keluar sekejap. Pastikan kau jangan tinggalkan tempat ni.” Qartal memberi arahan.
Jamal hanya menganggukkan kepala. Dia tersenyum tawar. Kalau ikutkan hatinya yang menggunung marah, sudah lama Aisy menjadi mangsa untuk dia melunaskan dendam. Tetapi Jamal berusaha untuk memujuk dirinya supaya bersabar. Dia tidak mahu segalanya menjadi kacau-bilau jika dia campur tangan. Biar Razak Hitam yang uruskan segalanya. Dia hanya ingin melihat. Melihat sejauh mana Tuan Zabir mampu bertahan melihat satu-satu anak kesayangannya diseksa oleh lelaki yang berhati binatang seperti Razak Hitam.
Satu senyuman sinis tersungging di bibir Jamal. Anak matanya dibiarkan memandang Aisy dengan penuh kebencian. Kau harus tanggung apa yang bapak kau telah lakukan!

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 7 )



TIDUR Aisy terganggu apabila dia merasa kepalanya seperti dibaling dengan benda keras. Perlahan-lahan, kelopak matanya terbuka luas. Anak mata hitamnya melilau-lilau memandang ke sekeliling sebelum dia terdengar suara seakan berbisik memanggil dirinya.
“Kak, bangun. Orang jahat tu dah keluar.” Panggil satu suara membuatkan Aisy bingkas bangun. Dia terduduk sambil mencari pemilik suara halus itu.
Anak matanya tertancap pada  salah seorang daripada dua orang anak gadis yang sedang duduk di satu sudut tidak jauh daripada tempatnya dirantai. Di tepi anak-anak gadis itu kelihatan lima kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang tidur dengan tangan dan kaki turut diikat. Terbit rasa simpati dalam diri Aisy apabila melihat kanak-kanak yang tidak berdosa dikurung dan dipukul sebelum dijual ke negara seberang.
“Akak okey ke? Saya Ida.” Ucap Ida memperkenalkan dirinya.
Aisy tersenyum tawar.
“Panggil akak Kak Aisy. Akak okey. Berapa lama Ida kena kurung kat sini?” soal Aisy.
Ida berpandangan dengan dua rakannya lain. Mereka menjongketkan bahu.
“Saya tak pasti, kak. Rasanya dah lama kami dekat sini. Saya dengar mereka nak hantar kami ke jeti hari ni. Kami tak nak, kak! Kami nak balik. Kami takut.” Jawab Ida dengan air mata yang bergenangan. Terpancar riak ketakutan di wajah anak gadis itu.
Aisy mengeluh berat. Kalau Ida takut, dia apatah lagi. Tidak pernah terbayang dalam fikirannya selama ini yang dia akan berhadapan dengan situasi sebegini.
“Akak tahu. Akak pun sama. Kita cuba lepaskan diri sama-sama dan berdoa supaya polis datang cari kita.” Ujar Aisy cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Tapi bila bantuan akan sampai kak? Sekarang ni kita kat tengah-tengah hutan. Bukan mudah polis nak kesan tempat ni.” Sampuk seorang lagi rakan Ida.
Anak mata Aisy teralih pada laman wajah gadis muda yang berambut panjang. Gadis yang berusia kira-kira dua puluh tahun itu memang cantik. Kulitnya putih kemerahan namun kesan lebam tetap menghiasi wajah cantik itu.
“Memang tak mudah tapi tak ada yang mustahil bagi Allah. Kita memang tak ada polis yang dapat tolong kita sekarang, tapi kita masih ada Allah. Dia akan bantu kita untuk lepas daripada penculik tu.” Ujar Aisy berbaur nasihat.
Aisy memandang tangannya yang dirantai. Telapak tangannya masih lagi luka malah luka itu terasa berdenyut-denyut. Tetapi Aisy tetap tahankan jua. Dia nekad untuk melarikan diri. Tapi macam mana? Tangan dan kakinya masih terpasung. Lalu keluhan berat dilepaskan.
“Kita kena lakukan sesuatu, kak. Semalam saya dengar dia orang cakap, bos besar mereka nak datang hari ni. Saya takut kak. Saya tak nak kena jual. Kesian dekat mak ayah saya. Dia orang tentu risau sekarang ni.” Keluh kawan Ida dengan wajah yang murung.
Aisy tidak menjawab sebaliknya kata-kata kawan Ida itu mengingatkan dia pada Tok Awang dan Nek Hajar. Apa agaknya nasib nenek dan datuknya sekarang ini?
“Akak pun sama tapi kita…” Kata-kata Aisy tergantung apabila pintu pondok buruk itu dikuak dari luar. Aisy  mengesot punggungunya ke belakang. Matanya dipejam apabila terkena pancaran matahari saat pintu itu terbuka.
Perlahan-lahan, Aisy membuka mata. Tegak anak matanya memandang ke hadapan. Kelihatan seorang lelaki bertopeng menutupi separuh wajahnya berjalan ke arah Aisy dengan membawa sebungkus makanan di tangan. Aisy menjeling benci.
Qartal duduk mencangkung berhadapan dengan Aisy. Wajah Aisy yang lebam-lebam dipandang sekilas sebelum anak matanya beralih pada Ida dan rakannya yang terkebil-kebil memandang ke arah mereka berdua.
“Kau orang lapar?” soal Qartal perlahan.
Ida mengangguk laju. Bukan setakat lapar malah tahap kebulur. Kali terakhir mereka diberi makanan pada petang semalam. Itu pun sekadar roti.
“Tunggu sampai makanan sampai. Sekarang aku nak bagi tuan puteri ni makan dulu. Kalau tuan puteri ni kebulur, aku pulak yang susah.” Ujar Qartal sambil pandangannya kembali pada Aisy.
“Aku tak lapar.” Jawab Aisy mendatar. Dia mengalih pandangan ke tempat lain. Rasa benci untuk melihat wajah penculik yang berhadapan dengannya ini.
“Kau cakap apa?” soal Qartal kembali. Dia menyuakan telinganya pada Aisy.
Aisy mendengus benci.
“Aku tak lapar! Pekak ke?” bentak Aisy berani.
Qartal tersentak. Dadanya berombak kecil menahan rasa marah dengan keberanian yang ditunjukkan Aisy. Lalu, Qartal membuka bekas polistrina lalu ditolak ke arah Aisy.
“Makan sekarang!” arah Qartal.
Aisy membeku. Dia memeluk lututnya sendiri. Enggan mengikuti arahan Qartal. Dia lebih rela berlapar daripada menerima pemberian penjenayah seperti Qartal.
“Kau degil? Kau nak aku paksa kau ke?” suara Qartal meninggi.
Aisy tidak menjawab sebaliknya dia hanya menjeling.
“Aku tak nak makan! Kau tak faham bahasa?” balas Aisy berkeras.
“Kau ni dah lebih, perempuan. Kau nak mati agaknya…”
“Lebih baik aku mati daripada jadi mangsa manusia tak guna macam kau ni!” tengking Aisy. Dadanya berombak-ombak menahan kesabaran yang sudah terbang melayang. Dia memberanikan diri menentang pandangan Qartal yang tajam.
“Tak guna!” Marah Qartal. Serentak tangannya diangkat namun terhenti apabila melihat sepasang mata bundar milik Aisy merenung tajam ke arahnya.
“Kenapa tak pukul je aku? Takut kalau bos kau yang keparat tu tahu? Pengecut!” hambur Aisy lagi. Dia sudah tidak peduli tentang siapa lelaki di hadapannya itu.
Qartal hilang kesabaran. Lantas, satu tamparan kecil hinggap di pipi gadis itu sekadar untuk mendiamkan Aisy.
“Sekali lagi kau berbunyi, aku tak agak-agak nak robek mulut kau tu.” Ugut Qartal.
Aisy mencebik. Ingat aku takut agaknya. Silap-silap mulut kau tu aku pijak. Jawab Aisy cuma dalam hati.
“Makan sekarang!” arah Qartal lagi. Dia menolak bekas makanan tersebut dekat dengan Aisy.
Namun, Aisy tetap enggan. Dia menolak kembali bekas makanan tu pada Qartal.
“Aku tak nak makan. Aku nak keluar daripada sini. Lepaskan aku! Sia-sia saja kau kurung aku sebab memang aku tak tahu apa-apa pasal berlian tu. Kalau betul abah aku ada curi berlian tu daripada kau, kau mintak dengan dia bukan aku!” ujar Aisy. Air matanya menitis tanpa dia sedar apabila menyebut tentang ayahnya.
“Nak mintak dengan bapak kau? Sampai mampus pun dia takkan bagi. Satu-satunya cara nak dapatkan berlian tu balik, kita orang terpaksa gunakan kau. Orang yang dia sayang. Tapi tak tahulah kalau-kalau dia lebih sayangkan berlian tu daripada nyawa anak dia sendiri.” Jawab Qartal sambil menilik kukunya sendiri.
Aisy terdiam. Kedengaran esakan kecil terbit daripada bibirnya. Puas dia cuba menguatkan hatinya tetapi apabila menyebut tentang ayahnya, hati Aisy sedikit rapuh. Terbayang di ruang mata wajah Tuan Zabir yang semakin berusia. Rindunya semakin mengasak jiwa tetapi masih wujudkan peluang untuk dia menatap wajah ayahnya itu?
“Sekarang aku letak makanan ni kat sini. Lantaklah kalau kau nak makan ke tak. Peduli apa aku. Kau yang kebulur bukan aku.” Sambung Qartal apabila Aisy tidak membalas kata-katanya.
Pantas, dia bangkit dan menuju ke satu sudut yang disediakan untuk mengawasi tawanan-tawanan mereka. Qartal melabuhkan punggung di kerusi plastik yang telah disediakan. Anak matanya dibiarkan mengawasi gerak-geri Aisy yang kelihatan termenung panjang. Wajah gadis yang bertudung itu diamati dalam diam.
Dia tidak menyangka orang sejahat King mempunyai anak semanis Aisy. Tampak sopan tapi kuat melawan. Malah berkali-kali dia dihamburkan dengan kata-kata pedas oleh Aisy. Qartal mencebik sendirian.
“Kak Aisy…” panggil Ida sambil anak matanya memandang Qartal dan Aisy silih berganti. Dia bimbang jika Qartal menyedari yang dia sedang memanggil Aisy.
Aisy mengesat sisa air matanya dengan menggunakan lengan sebelum berpaling pada Ida. Dia mengangkat kening pada gadis remaja itu.
“Kenapa?” soalnya pendek.
Ida tidak menjawab sebaliknya dia memuncungkan bibirnya menunjukkan ke arah makanan yang tersadai di hadapan Aisy.
Aisy yang faham dengan isyarat Ida lantas mencapai bekas makanan tersebut dengan tangan yang masih berantai lalu makanan tersebut ditolak ke arah Ida. Sekilas dia mengerling ke arah Qartal yang kelihatan memejamkan mata. Tidur agaknya. Fikir Aisy.
“Terima kasih…” ucap Ida hanya menggerakkan bibirnya. Dia mengambil bekas makanan yang berisi nasi putih dan ayam goreng lalu dimakan dengan rakus.
Aisy hanya tersenyum nipis melihat Ida dan rakannya. Mungkin nasib Ida lebih teruk daripada aku. Bisik hatinya.
Tanpa sedar perbuatan Aisy diintai oleh Qartal. Seulas senyuman terukir di bibir Qartal yang ditutupi dengan topeng.

TUAN ZABIR menolak pintu dengan kasar. Dadanya turun naik menahan rasa yang bercampur baur. Antara risau, sedih dan amarah berkumpul dalam hatinya saat ini. Namun, langkah kakinya terhenti di muka pintu. Kelihatan sekujur tubuh yang ditutupi dengan kain pelekat terbaring kaku di atas lantai. Kedengaran alunan surah Yassin bergema di rumah batu itu.
“Ayah….” Desis Tuan Zabir perlahan. Dia melurut jatuh di muka pintu sambil anak matanya tuntas memandang tubuh tua yang ditutupi kain hingga ke kepala. Dia tidak dapat menahan kesedihan. Akhirnya, mutiara jernih menitis juga daripada sepasang mata tuanya.
Bacaan Nek Hajar terhenti. Dia mendongakkan kepala. Serentak, anak matanya tertangkap pada wajah yang amat dikenali. Spontan, air mata yang telah kering kembali bertakung. Zabir! Jerit hatinya.
Nek Hajar bangun lalu mendapatkan Tuan Zabir yang termenung panjang. Menantunya itu tidak berkata apa-apa sebaliknya hanya air mata yang lebat menuruni lekuk pipi.
“Apa yang dah mung buat, Zabir?” soal Nek Hajar perlahan tetapi cukup tegas.
Tuan Zabir mengalih pandangan. Wajah tua ibu mentuanya dipandang dengan pandangan kosong.
“Apa dah jadi, mak? Macam mana ayah boleh meninggal?” soalan dibalas soalan oleh Tuan Zabir.
Nek Hajar mengeluh panjang. Dia duduk bersimpuh di sebelah Tuan Zabir yang kelihatan murung. Itulah satu-satunya menantu yang dia ada. Selepas ketiadaan anak tunggalnya, Tuan Zabir yang menyara kehidupan mereka sekeluarga. Segala kemewahan dilimpahkan pada dia dan Tok Awang. Katanya sebagai membalas jasa kerana sudi menjaga Aisy. Tetapi kini baharu Nek Hajar sedar, kemewahan yang dilimpahkan bukan daripada sumber yang halal!
“Soalan tu bukan untuk mak. Sepatutnya mak yang tanya apa yang mung dah buat sampai ayah mung meninggal. Kenapa jalan ini yang mung pilih?” Nek Hajar membalas. Dia menundukkan wajahnya menahan rasa kecewa yang menggunung.
Tuan Zabir tersentak. Lama dia menatap wajah Nek Hajar mencari jawapan terhadap kata-kata ibu mentuanya itu.
“Apa maksud, mak? Apa kena mengena Zabir dengan kematian ayah?” soal Tuan Zabir tidak pelik.
Baharu saja Nek Hajar ingin membuka mulut, muncul Pian di hadapan muka pintu.
“Assalamualaikum, nek. Ada polis nak jumpa Nek Hajar.” Ucap Pian sambil menunjuk ke arah belakang.
Nek Hajar menjengah ke belakang. Salam Pian dijawab perlahan. Dari jauh kelihatan dua anggota polis berpangkat inspektor sedang berjalan di halaman rumah menuju ke ruang rumahnya. Nek Hajar tersenyum tawar sebelum anak matanya mengerling pada Tuan Zabir yang kelihatan gelisah.
“Polis? Buat apa polis datang sini?” soal Tuan Zabir lebih pada diri sendiri. Dia mula resah. Dahinya berpeluh lebat. Dia tidak boleh menunjukkan wajahnya pada pihak polis. Buruk padahnya nanti.
Lantas, Tuan Zabir bingkas bangun dan berlari menuju ke dalam bilik saat salam dihulurkan oleh salah seorang anggota polis tersebut.
Nek Hajar hanya memandang tingkah-laku Tuan Zabir dengan hatinya yang membengkak. Dia tidak menyangka jalan hitam yang dipilih oleh menantunya telah menghancurkan hidup mereka sekeluarga dengan sekelip mata.


Monday 25 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 6 )



 
“HOI, bangun!” jerkah Jeff sambil menepuk-nepuk kasar pipi Aisy yang lebam. Dia mengambil air mineral lalu direnjis-renjis ke arah Aisy yang sudah dirantai kaki dan tangannya.
Mata Aisy bergerak-gerak sebelum terbuka dengan perlahan-lahan. Kepalanya masih terasa berpusing-pusing namun Aisy gagah dirinya untuk mencelikkan mata. Sebaik saja kelopak matanya terbuka, terpampang wajah yang cukup asing daripada pandangannya. Pantas, Aisy bingkas dan mengesotkan tubuhnya ke belakang.
Aisy panik apabila melihat tubuhnya yang dirantai kaki dan tangan. Anak matanya meliar memandang persekitaran yang agak janggal di pandangannya. Ini bukan rumah tok. Aku kat mana ni? Soal hati Aisy mulai cuak.
“Kat mana ni? Kau orang siapa?” soal Aisy sambil menarik lututnya hingga ke dada. Tangannya yang dirantai ke hadapan memudahkan dia untuk memeluk lutut. Dia benar-benar ketakutan saat ini. Melihat pandangan lelaki botak itu cukup menggerunkan hati Aisy.
“Kita kat syurga ni, sayang. Tak nampak ke istana indah ni?” sindir Jeff sambil ketawa lepas.
Tawanya disambut oleh kawan-kawannya yang lain. Aisy menelan air liur. Fikirannya kembali berputar pada peristiwa sebelum dia pengsan. Terimbau di fikirannya wajah Tok Awang dan Nek Hajar yang dibelasah teruk oleh sekumpulan samseng yang menceroboh masuk ke rumahnya.
“Kau nak apa? Apa salah aku dengan kau?” soal Aisy sebak. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata daripada gugur tetapi dek kerana rasa takut yang kian menjalar, setitis demi setitis mutiara jernih gugur daripada kelopak mata.
“Kau memang tak salah dengan kami tapi bapak kau tu dah menyusahkan kami semua!” jawab Jeff sambil mencekak pinggang.
“Aa…apa yang abah aku dah buat pada kau?” soal Aisy lagi. Dia menundukkan wajah. Tidak berani untuk menentang pandangan tajam lelaki asing itu.
“Kau tak tahu apa yang bapak kau buat?” soalan dibalas soalan oleh Jeff.
Aisy menggeleng laju. Dia melarikan wajah apabila Jeff mendekatkan wajahnya. Ya Allah, selamatkan aku! Rintih hati Aisy semakin ketakutan. Menggigil tubuhnya apabila dagunya dipaut kasar oleh Jeff.
“Jangan sentuh aku!” bentak Aisy berani. Dia menepis tangan Jeff yang tanpa amara cuba menyentuh wajahnya.
Jeff mencerun tajam memandang Aisy. Terasa egonya dicabar dengan suara Aisy yang meninggi. Pantas, rambut Aisy yang dibaluti tudung dicekak kasar. Jeritan Aisy langsung tidak mendatangkan belas dalam diri Jeff.
“Kau nak tahu apa yang bapak keparat kau dah buat? Dia curi berlian daripada kami. Sekarang aku nak berlian tu. Kau tahu tak mana bapak kau simpan berlian tu?” soal Jeff dengan gigi yang sengaja dikancingkan.
“Aku tak tahu! Abah aku takkan buat kerja-kerja kotor tu!” balas Aisy membela abahnya. Dia cuba melepaskan cengkaman tangan Jeff di rambutnya. Namun, dia tidak berdaya. Sungguh, kulit kepalanya teras perit dan sakit.
Jeff ketawa lepas. Dia melepaskan cengkaman daripada rambut Aisy yang tertutup oleh tudung. Dia menuju ke arah rakan-rakannya yang lain. Tangannya disangkutkan ke bahu Bob sementara pandangannya dibiarkan tertancap pada wajah Aisy yang ketakutan.
“Kau silap besarlah, perempuan! Bapak kau tu ketua segala kerja-kerja kotor. Mungkin kau bodoh sebab percayakan bapak kau tu. Hari ni biar aku cerita siapa bapak kau yang sebenar. Kau nampak tak budak-budak dan perempuan-perempuan tu?” soal Jeff.
Dia kembali menghampiri Aisy. Kepala Aisy ditarik lalu memaksa gadis itu supaya berpaling ke satu sudut dinding tidak jauh daripada tempat Aisy duduk. Kelihatan dua orang anak gadis dan lima orang kanak-kanak dalam lingkukan tujuh hingga sepuluh tahun sedang duduk bersandar di sudut dinding. Semuanya kelihatan letih dan tidak bermaya. Malah, wajah mereka dipenuhi luka-luka dan kesan lebam.
“Tak lama lagi budak-budak dan perempuan tu akan dijual ke luar negara untuk dijadikan peminta sedekah atau pun pelacur. Kau nak tahu siapa tauke besar dalam kerja-kerja macam ni?” soal Jeff sambil menarik kasar tudung Aisy.
Aisy mula menganggis teresak-esak. Hatinya bagaikan ingin pecah menahan rasa gementar dan takut. Dia takut untuk menerima kenyataan abahnya melakukan pekerjaan terkutuk itu.
“Nak tahu tak?!” jerkah Jeff lalu menampar kasar wajah Aisy. Terteleng wajah Aisy disebabkan tamparan keras itu. Ada darah mengalir daripada celah bibirnya. Dengan rasa terpaksa, Aisy menganggukkan kepala.
“Hah, macam tulah! Bapak kaulah taiko segala kerja-kerja haram. Berlian yang aku curi pun dia dah rembat. Jadi kau tak payah peliklah kenapa bapak kau boleh hidup kaya-raya.” Ujar Jeff sambil bingkas bangun.
“Jeff, cukuplah tu. Kita tunggu bos datang. Kalau apa-apa jadi pada perempuan ni, kita juga yang susah.” Ucap Qartal cuba mengekang perbuatan Jeff yang terlalu berkasar dengan Aisy.
Jeff terdiam. Dia mengibas-ngibas tangannya. Kata-kata Qartal ada benarnya juga. Lebih baik Razak yang uruskan perempuan itu.
“Aku cuma geram dengan bapak dia ni. Sebabkan dia, nyawa kita dalam bahaya sekarang. Kalau kita tak dapat semula berlian tu dalam masa dua minggu, nyawa kita yang akan melayang, Qartal. Kau nak mampus ke? Aku tak nak mampus lagi!” ujar Jeff sambil menggosok-gosok kepalanya yang tidak berambut.
“Kau ingat kita orang ni nak mati ke, Jeff? Tapi kalau kau balun budak tu sampai mati pun dia takkan jawab. Lebih baik kita tunggu keputusan bos. Mana tahu bos nak jual perempuan ni kat seberang. Lumayan juga habuan yang kita dapat nanti.” Sampuk Bob yang berdiri di sisi Qartal.
Topeng ketiga-tiga lelaki itu sudah ditanggalkan cuma Qartal saja masih selesa memakai topeng yang menutupi hidungnya hingga ke mulut. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas sehingga menutupi dahi. Langsung tidak terlihat wajahnya yang sebenar.
Aisy tersentak apabila mendengar perkataan ‘jual’. Dia tidak mahu dijadikan barang dagangan. Maruahnya tidak semurah itu!
“Lepaskan aku! Lepaskan akulah setan!” jerit Aisy tidak semena-mena.
Dia bingkas bangun dan cuba untuk meleraikan rantai yang mengikat tangan dan kakinya. Namun, semuanya sia-sia. Rantai itu terlalu utuh untuk dileraikan.
“Cuba ulang apa yang kau cakap tadi…” Jeff kembali menghampiri Aisy.
Dia menyuakan telinganya pada Aisy. Seolah-olah meremehkan Aisy yang sedang terikat. Dada gadis itu kelihatan berombak menahan rasa. Marah mungkin. Tebak Jeff.
“Lepaskan aku! Pekak ke? Aku tak ada kena-mengena dengan kehilangan berlian bodoh kau tu! Abah aku tak salah. Kau yang gila!” tempik Aisy melepaskan kemarahan yang terpendam.
Panggg!
Buat kesekian kalinya pipi Aisy ditampar dengan kuat. Sehingga membuatkan hidung dan bibir Aisy pecah berdarah. Tetapi Aisy tidak mengalah. Dia akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan dirinya daripada cengkaman penculik yang tak berhati perut seperti Jeff.
“Perempuan tak guna! Sekali lagi kau berbunyi, aku tak teragak-agak nak tembak mulut kau!” tengking Jeff lantas mengeluarkan pistol yang terselit di pinggangnya.
Qartal dan Bob berpandangan. Dua lagi rakan mereka yang bersiap-siaga di luar pondok penyembunyian mereka turut menjenguk ke dalam rumah. Suasana menjadi tegang. Jeff dan Aisy beradu pandangan.
“Kau pengecut! Kau nak bunuh aku? Bunuhlah!” cabar Aisy garang. Mencerlun anak matanya menentang pandangan Jeff yang tajam.
“Kau jangan cabar aku, perempuan!” Jeff memberi amaran. Rahangnya berlaga sama sendiri akibat menahan rasa amarah yang membuak dalam dadanya. Picu pistol ditarik. Kepala Aisy dijadikan sasaran.
Aisy cuba memberanikan diri. Walhal dalam hati betapa kecut perutnya apabila melihat muncung pistol revolver itu betul-betul dihalakan tepat ke dahinya. Sekali petikan, pasti otaknya berkecai.
‘Ya Allah, andai ini penamat hidup aku, Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku. Tetapi aku masih berharap agar Kau selamatkan aku daripada seksaan ini, Ya Allah. Aku tak mahu pergi menghadap-Mu dengan keadaan yang tidak sempurna.’ Monolog Aisy bersama air mata yang laju menuruni lekuk pipi.
Kebisuan Aisy menambahkan rasa sakit hati Jeff. Belum pernah ada gadis yang berani mencabar dirinya. Kali ini biar dia menamatkan riwayat gadis degil seperti Aisy. Lantas, picu pistolnya terus ditarik. Jeff nekad!
Bang!
Tembakan Jeff tersasar ke udara apabila tangannya ditepis oleh Qartal. Sepantas kilat, Qartal berjaya merampas pistol daripada tangan Jeff. Dia mencampakkan pistol milik Jeff jauh ke belakang.
“Kau dah gila ke, Jeff? Kau lupa perempuan tu tawanan bos kita? Kau nak cari nahas ke? Kalau perempuan ni mati, aku yakin kau pun akan mati!” jerkah Qartal sambil menolak bahu Jeff.
Jeff tersedar. Dia meraup wajahnya. Nafas ditarik dan dihembus dengan perlahan.
“Perempuan ni memang cari pasal. Kalau bukan sebab kau, pasti maut yang menjemput dia malam ni!” bentak Jeff cuba mendapatkan Aisy sekali lagi.
Aisy menjerit lalu mengelak. Qartal pantas bertindak dengan menangkap tubuh Jeff bagi menghalang lelaki itu menyerang Aisy.
“Sudahlah, Jeff! Kau akan keruhkan lagi keadaan. Sekarang kau keluar dulu. Biar aku yang jaga perempuan ni.” Qartal memberi idea.
Dia memandang wajah Jeff dan Aisy silih berganti. Sebaik saja dia bertembung pandang dengan Aisy, satu jelingan dihadiahkan oleh gadis itu.
“Baik, kali ni aku bagi perempuan ni peluang. Tapi Qartal, kalau bos arahkan untuk bunuh perempuan ni, kau serahkan pada aku. Aku tak sabar nak cabut nyawa perempuan tak guna ni!” balas Jeff kasar sambil menuding jari pada Aisy yang sedang berdiri sambil melekapkan belakang tubuhnya di dinding.
“Kau yang tak guna!” Aisy melawan.
“Perempuan ni kan, sekali aku…”
“Sudahlah tu, Jeff! Kau keluar sekarang. Bob, Leman, kau bawak Jeff keluar. Biar aku uruskan perempuan ni!” arah Qartal.
Bob dan Leman hanya menurut. Dia menarik lengan Jeff supaya menjauhi Qartal dan Aisy. Tubuh orang kanan Razak itu ditarik hingga ke luar pondok buruk milik mereka. Pintu ditutup rapat.

AISY menarik nafas lega. Spontan dia duduk kembali. Anak matanya melingas memandang lelaki bertopeng yang mundar-mandir di hadapannya. Dahi Aisy berkerut kerana cuba mengamati wajah lelaki itu yang tidak kelihatan kerana ditutupi topeng dan rambutnya yang panjang.
Jantung Aisy berdetak kencang apabila lelaki asing itu menghampiri sebelum duduk berhadapan dengannya. Aisy melarikan pandangan ke tempat lain. Renungan anak mata yang tajam itu cukup membuatkan Aisy tidak selesa.
“Boleh tak kalau kau bagitahu aje kat mana bapak kau sorokkan berlian tu? Kita orang pun tak payah buang masa layan kerenah kau.” Qartal bersuara sambil merenung wajah Aisy yang comot.
Aisy menjeling tajam.
“Lepaskan aku!” ujar Aisy tegas.
Qartal melepaskan keluhan. Tegak anak matanya membalas renungan Aisy yang tidak berpuas hati.
“Kau memang degil kan? Susah sangat ke nak bagi berlian tu? Kau lebih sayangkan berlian tu daripada nyawa kau sendiri? Kau memang bodoh!” ucap Qartal dengan kasar.
“Kau yang bodoh! Aku tak tahu apa-apa pasal berlian tu dan abah aku takkan buat benda yang haram!” tegas Aisy lagi.
Qartal ketawa sinis. Rambut yang menganggu pandangan, diselak ke belakang.
“Bercakap dengan perempuan keras kepala macam kau ni memang tak guna. Sepatutnya aku biarkan aje Jeff tembak mulut kau ni. Banyak sangat bunyinya.” Omel Qartal lalu bingkas bangun sebelum berpaling membelakangi Aisy.
Namun, bunyi esakan dari arah belakang mematikan langkah Qartal.
“Aku tak tahu apa masalah kau dengan ayah aku tapi aku tak bersalah. Aku tak tahu apa-apa pasal berlian tu. Kenapa kau culik aku? Aku bukan orang kaya. Nenek dan atok aku orang miskin. Dia orang tak dapat nak bayar duit tebusan kalau duit yang kau nak.” Rintih Aisy.
Dia mengalah. Esakannya semakin menjadi-jadi. Hatinya sayu mengenangkan nasib diri yang masih belum diketahui. Sungguh saat ini dia takut. Dia takut untuk menghadapi kenyataan saat ini dia dijadikan tebusan untuk mendapatkan sebutir berlian yang entah di mana hilangnya.
Qartal menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak termakan dengan rintihan gadis manis itu.
“Orang yang patut dipersalahkan adalah bapak kau sendiri. Dia yang buatkan kau terperangkap kat sini. Jadi kau yang kena bayar apa yang dia dah lakukan.” Ucap Qartal perlahan tapi masih didengari oleh Aisy.
Aisy tidak mampu menahan perasaannya. Dia menangis semahu-mahunya.
“Diam! Kalau kau menangis sampai buta sekali pun, tak ada siapa yang dapat selamatkan kau.” Sambung Qartal sambil berpaling.
Jelas di pandangannya tubuh Aisy yang melurut jatuh di atas lantai. Gadis itu menekup wajahnya ke lantai yang penuh debu dan kotoran. Raungan dan tangisan gadis itu bergema di dalam pondok buruk yang dijadikan markas untuk kumpulan mereka bersembuyi daripada pihak polis.
“Tok, nek, selamatkan Aisy. Abah, selamatkan Aisy…” rintih Aisy lagi tanpa mempedulikan Qartal yang masih tercegat di hadapannya.
Qartal mendengus. Dia menghampiri Aisy. Lengan Aisy ditarik sehingga gadis itu terduduk semula. Dagu Aisy dipaut kasar oleh Qartal. Bunyi tangisan gadis itu begitu membingitkan telinganya.
“Diam.” Ujar Qartal dengan suara yang mendatar. Namun dadanya berombak menahan rasa marah dengan sikap Aisy yang tidak mendengar kata.
Aisy terus-terusan menangis. Dia menjadi lemah dalam sekelip mata. Dia tidak peduli pada kehadiran Qartal yang berada di hadapannya. Dia larut dalam perasaan sedih yang begitu mencengkam jiwa wanitanya.
“Aku cakap diam, maknanya diamlah!” jerkah Qartal garang.
Aisy tersentak. Tegak anak matanya memandang wajah lelaki bertopeng di hadapannya. Serta-merta tangisan berhenti secara mendadak. Dadanya berombak kencang. Otaknya bercelaru tika ini. Lantas, dia menepis tangan Qartal yang memegang dagunya. Dia bangun dan cuba untuk melarikan diri.
“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Aku nak keluar dari sini!” racau Aisy tidak ubah seperti orang kurang siuman.
Dia menarik rantai yang mengikat kaki dan tangannya. Tarikan yang kuat itu membuatkan telapak tangannya berdarah. Apabila dia tidak berjaya, Aisy mula merentap-rentap rantai itu dengan kuat.
“Aku takkan jadi mangsa kau! Lepaskan aku! Lepaskan aku!!” jerit Aisy dengan lantang.
Qartal mula hilang kesabaran. Pantas, tubuh Aisy ditolak kasar sehinggakan tubuh genit itu terhentak di dinding sebelum jatuh terjelopok di atas lantai. Tangisan Aisy terhenti. Dia semakin lemah lalu perlahan-lahan matanya terpejam rapat.