Tetamu Rindu

Thursday 31 January 2019

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 34

MARHA terjaga daripada tidur apabila dia terdengar tombol pintu bilik dipulas. Matanya terbuka dengan sedikit dan samar-samar dia melihat kelibat Amzar hilang di sebalik pintu. Marha mencelikkan matanya dengan luas. Ruang sekeliling dipandang sambil dia mengengsotkan tubuhnya dan disandarkan ke kepala katil. Dia termenung seketika melihat pakaiannya yang terdampar di sudut hujung kaki katil. Marha tertunduk. Jiwanya kacau seketika.
"Apa yang aku buat ni? Kenapa aku tak halang apa yang dia lakukan semalam?" gumam Marha sendirian. Dia meraup wajahnya menggunakan kedua belah tapak tangan. Selimut tebal ditarik hingga ke dada bagi menghilangkan rasa dingin yang menjengah.
"Kau dah jatuh cinta pada dia kut," suara hatinya menyampuk.
Marha menggelengkan kepala. Namun, tidak lama kemudian dia menganggukkan kepala. Dia sendiri bingung dengan perasaannya.
"Kau sedar tak yang sekarang ni kau dah jadi isteri dia yang sebenar? Kau dah tak boleh lari. Kau milik dia sepenuhnya. Kau tak takut ke dia cuma nak ambil kesempatan? Lepas dia dapat apa yang dia nak, tentu dia dengan senang hati lepaskan kau." Hatinya bersuara lagi.
Marha resah. Dia meraup rambutnya ke belakang. Anak matanya melilau ke kiri dan kanan tanda dia sedang gelisah.
"Tak mungkin. Dia cakap,  dia cintakan aku..." Marha bersuara perlahan. Cuba menentang kata hatinya sendiri.
"Cintakan kau? Kau percaya? Kau lupa apa pandangan dia terhadap kau? Dia cuma anggap kau perempuan murah. Kau lupa semua tu?" soal suara itu lagi.
Marha menggelengkan kepala. Dia cuba menidakkan semua bisikan itu. Kemudian,  Marha mencapai pakaiannya dan terus bergerak ke bilik mandi.
Setelah hampir beberapa minit membersihkan diri, Marha melangkah keluar dengan pakaian yang siap tersarung di tubuhnya.  Dia melangkah ke hadapan cermin. Wajahnya direnung sedalamnya. Dia menyentuh wajahnya.
"I love you..." Suara Amzar yang membisik, kembali terngiang di telinga Marha. Dia tersentak. Kepalanya digelengkan sebelum tudungnya dicapai lalu disarungkan ke kepala.
Dengan langkah perlahan, Marha membuka pintu bilik. Anak matanya melilau ke kiri dan kanan, cuba mencari kelibat Amzar yang tidak kelihatan di mana-mana. Saat itu ruang rumah tersebut sunyi sepi. Saat ini dia hanya memikirkan ingin lari daripada Amzar. Dia tidak mahu berdepan dengan Amzar setelah apa yang terjadi semalam.
Tetapi masalahnya, dia tidak tahu di mana dia berada saat ini. Malah, telefon bimbitnya juga tertinggal di dalam kereta Amzar. Bagaimana dia ingin melarikan diri? Detik hati Marha.
Namun, perkara itu bukan menjadi halangan buat Marha. Dia bertekad untuk menjauhkan diri daripada Amzar. Dia tidak mahu Amzar mentertawakannya kerana tewas dengan perasaan sendiri.
Marha memulas tombol pintu utama yang tidak berkunci. Dia tersenyum nipis.Terasa langkahnya makin mudah. Lantas, dia menjengulkan kepala ke luar pintu. Ternyata kereta Amzar tiada di garaj.
“Yess! Dia tak ada.” Ujar Marha sendirian. Lalu, dia melangkah keluar tanpa rasa takut.
“Aku nak ke mana ni? Dahlah aku tak tahu tempat ni kat mana. Jeti pun aku tak tahu arah mana.” Omel Marha kepada dirinya sendiri. Dia berdiri di hadapan pintu pagar sambil memandang ke kiri dan kanan. Cuba mencari hala tuju langkahnya. Marha menggaru-garu kepalanya yang beralas tudung. Dia kehilangan arah.
Dari jauh kedengaran bunyi kereta tertangkap di telinganya. Wajah Marha berubah ceria. Mungkin dia boleh mendapatkan bantuan. Namun, harapannya musnah apabila melihat kereta yang semakin menghampiri merupakan kereta yang telah membawanya ke rumah ini semalam. Amzar! Hatinya menjerit.
Tidak dapat tidak, Marha mula membuka langkah. Cuba melarikan diri tetapi nasib tidak menyebelahinya kali ini apabila kereta yang dipandu Amzar berhenti betul-betul di hadapannya. Langkah kaki Marha terbejat. Dadanya turun naik mengatur nafas yang terasa sesak. Kakinya mula mengundur setapak ke belakang.
“Kau nak ke mana tu? Nak lari?!” Laung Amzar sebaik saja keluar dari perut kereta. Dia menghempas pintu dengan kuat. Mencerlung matanya merenung Marha yang sedang bersiap siaga.
“Ya! Saya nak lari! Saya tak nak tengok muka awak!” balas Marha dengan suara yang meninggi.
Setapak demi setapak langkahnya diundurkan. Manakala, anak matanya mengawasi setiap gerak geri Amzar. Walaupun dia tidak tahu harus ke mana, tetapi dia tetap nekad dengan keputusannya.
Amzar hanya tenang. Dia mula melangkah menghampiri Marha. Setiap pergerakkan isterinya dikawal dengan bola matanya.
“Kau nak lari ke mana? Tak ada sesiapa yang boleh selamatkan kau sekarang.” Balas Amzar.
“Saya tak kesah lari ke mana pun asalkan saya tak tengok muka awak!” ujar Marha.
Dia memusingkan badannya untuk melarikan diri namun Amzar bertindak pantas dengan mengejar Marha. Tubuh wanita itu dipeluk erat dari belakang. Mengekang Marha daripada terus bergerak.
Marha meronta dengan kuat. Namun, semakin kuat rontaannya, semakin kuat pelukan Amzar.
“Benci sangat ke kau pada aku?” Soal Amzar rapat di telinga Marha.
Marha menjeling. Dia melarikan wajahnya ke tempat lain.
“Lepaskan saya!” ronta Marha. Dia cuba menolak tubuh Amzar namun dia gagal. Dia mendengus.
Amzar melepaskan nafas pendek. Perlahan-lahan, dia memusingkan tubuh Marha supaya menghadap ke arahnya. Kedua belah pergelangan tangan Marha masih dipegang dengan kemas. Bimbang jika wanita itu melarikan diri.
“Cuba cakap pada abang apa yang tak kena ni,” pujuk Amzar dengan bahasa yang bertukar lembut.
Marha tersentak. Tegak anak matanya membalas renungan Amzar. Hatinya berdenyut sebaik saja Amzar bahasa yang digunakan Amzar bertukar seratus peratus.
“Abang?” Soalnya pelik.
Amzar tersenyum manis. Wajah Marha yang keliru mencuit hatinya.
“Salah ke? Memang itu panggilan yang sepatutnya Mar panggil abang kan?” balas Amzar sambil merenung wajah Marha tanpa jemu.
Marha menjeling. Dia mencebikkan bibir. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Dia cuba meleraikan pegangan tangan Amzar namun masih tidak berjaya. Dia melepaskan keluhan pendek.
“Sekarang cakap pada abang, Mar nak ke mana ni? Kalau Mar nak lari daripada abang, abang takkan izinkan.” Sambung Amzar setelah tiada balasan daripada Marha.
“Saya nak balik. Saya tak nak tengok muka awak!” balas Marha dengan tegas. Tiada secalit senyuman pun yang terukir di bibirnya saat ini.
“Kenapa tak nak tengok muka abang? Takut jatuh cinta ke?” Usik Amzar sambil tertawa kecil.
Wajah Marha berubah rona. Namun, dia cuba menayang riak selamba.
“Saya takkan jatuh cinta pada awaklah,” jawab Marha sambil bola matanya dilarikan ke kiri dan kanan. Dia tidak selesa apabila Amzar tidak henti-henti merenungnya. Senyuman lelaki itu sudah cukup untuk hatinya bergendang. Dia berdebar.
“Iya ke? Abang tak percayalah. Habis, semalam tu apa?” soal Amzar sengaja membangkitkan isu semalam. Seronok dia melihat kulit wajah Marha yang bertukar merah padma. Dia mengulum senyum apabila melihat Marha seakan tergagap-gagap.
“Awak yang paksa saya!” balas Marha tidak mahu mengalah.
Sebaik saja Marha selesai berkata-kata, Amzar meletuskan tawa. Terasa ingin dipeluk isterinya saat ini tetapi Amzar masih bersabar.
“Oh, abang yang paksa ya? Tapi abang tak rasa macam tu pun. Abang yakin, Mar bukan perempuan yang buat sesuatu tanpa perasaan. Abang yakin Mar rasa apa yang abang rasa cuma Mar ni ego. Ego nak mengaku perasaan sendiri.” Jawab Amzar lantas mencuit hidung Marha.
Marha menepis. Dia mencebikkan bibir.
“Awak tu lagi ego. Semua benda awak nak control.”
“Of course. Mar isteri abang kut. Abang control sebab abang sayangkan Mar. Abang tak nak kehilangan Mar…”
“Saya tak percaya. Takkan semudah tu perasaan awak boleh berubah. Saya, perempuan yang awak benci sepenuh hati. Awak ingat saya akan percaya semua kata-kata awak? Semua perbuatan awak? Saya tahu apa yang awak buat semalam semuanya disebabkan nafsu! Awak cuma nak ambil kesempatan! Lepas awak dapat apa yang awak nak, awak akan tinggalkan saya!” luah Marha. Turun naik dadanya apabila dapat meluahkan apa yang terpendam.
Amzar mengeluh berat. Apa lagi yang harus dilakukan bagi membuktikan kasih sayangnya kepada Marha? Segala apa yang dikatakan dan dibuat untuk Marha tidak dapat menembusi hati wanita itu.
“Kenapa jauh sangat Mar fikir ni? Abang tak pernah terfikir nak tinggalkan Mar. Apa yang berlaku semalam itu tanggungjawab kita bukan sebab abang nak ambil kesempatan…”
“Saya tak percaya. Awak penipu!” pintas Marha tiba-tiba. Dia masih lagi beremosi. Dalam fikirannya mula membayangkan Amzar akan meninggalkannya seperti yang telah dilakukan oleh Naqib satu ketika dahulu.
“Abang rasa lebih baik Mar ikut abang sekarang. Tak boleh nak bincang bawah matahari ni. Makin panas pula hati abang dengan Mar sekarang ni,” balas Amzar lalu menarik tangan Marha menuju ke kereta.
Marha mengeraskan badannya. Dia tidak mahu mengikuti langkah Amzar. Amzar berpaling. Dia melepaskan nafas. Cuba bersabar dengan kerenah Marha.
“Tak nak ikut ya?” soal Amzar dengan gigi yang sengaja dikancingkan.
Marha mengangguk pantas.
“Baik. Jadi jangan salahkan abang kalau abang terpaksa guna cara kasar untuk buat Mar ikut abang,” ujar Amzar.
Lalu, dia menghampiri Marha. Tubuh gadis itu diangkat lalu dipikul ke bahu. Jeritan Marha yang kuat langsung tidak diendahkan oleh Amzar. Tubuh genit itu dibawa ke kereta lalu dihempaskan ke tempat duduk sebelah pemandu. Pintu kereta ditutup dengan kuat.
“Gila!” marah Marha dari dalam kereta.
Amzar hanya tersenyum kemenangan. Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Namun, sebaik saja dia melangkah masuk, Marha sudah siap bersedia untuk lari keluar. Dengan pantas, Amzar menyambar pergelangan tangan Marha.
“Jangan cuba nak lari daripada abang dan jangan cuba paksa abang guna cara semalam untuk diamkan Mar.” Ugut Amzar dengan suara yang kedengaran tegas. Dia merenung tepat ke anak mata Marha.
Marha terdiam. Segala rontaannya juga terhenti dengan sendiri. Akhirnya dia terpaksa akur.


“APA yang awak buat ni? Awak dah gila ke?” Soal Marha apabila melihat tubuhnya yang terikat kemas pada kerusi. Seluruh tubuhnya dililit dengan tali oleh Amzar. Lelaki itu hanya mempamerkan wajah selamba sedangkan Marha berusaha untuk melepaskan diri.
“Mar yang buat abang jadi gila macam ni. Kalau Mar ikut cakap abang, abang takkan ikat Mar macam ni.” Balas Amzar dengan bersahaja. Dia berdiri sambil memeluk tubuh. Wajah Marha yang berpeluh dipandang dengan lama.
“Awak ingat saya tawanan awak ke? Saya boleh buat laporan yang awak culik saya tahu tak?” marah Marha lagi. Dia memandang tubuhnya yang terikat kemas dengan rasa tidak percaya.
“Oh, nak buat laporan polis? Buatlah kalau berani. Polis pun tak nak layan laporan Mar tu kalau dia tahu yang isteri abang ni cuba larikan diri. Abang takkan buat semua ni, kalau Mar cuba beri peluang pada abang untuk jelaskan segala-galanya.”
“Jelaskan segala-galanya? Jelaskan apa? Apa yang saya cakap tadi tak betul ke? Awak dah rancang semua ni kan? Awak cuma nak ambil kesempatan pada saya. Lepas awak dapat apa yang awak nak, awak akan tinggalkan saya dan kembali kepada kekasih awak tu.” Pintas Marha. Masih dengan serkap jarangnya.
Amzar mengeluh. Dia menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Marha. Nafas ditarik dan dilepaskan dengan perlahan.
“Kenapa Mar fikir sampai macam tu sekali? Abang tak pernah rancang apa-apa dan abang tak pernah ambil apa-apa kesempatan pun pada Mar. Apa yang abang buat dan apa yang abang cakap semuanya lahir daripada hati abang sendiri. Kenapa susah sangat untuk Mar percaya? Ya, memang abang nak sesuatu daripada Mar. Abang cuma nak hati Mar, bukan jasad Mar semata-mata.” Tekan Amzar. Perlahan-lahan, jarinya mengelus pipi Marha dengan lembut. Berharap agar wanita itu mengerti niat hatinya yang benar-benar ikhlas.
“Tapi saya bukan perempuan yang awak suka. Bukan perempuan yang awak pilih. Saya tak layak untuk awak.”
“Habis siapa yang layak untuk abang? Cuba Mar cakap. Kalau Mar nak cakap Ratna layak untuk abang, baik tak payah. Ratna tak mampu buat abang untuk jatuh cinta. Mungkin Mar akan fikir abang cakap macam ni sebab abang cuma nak ambil hati Mar aje tapi percayalah hati abang cuma tertarik pada Mar. Cuma mahukan Mar jadi pendamping hidup abang. Abang tak tahu bagaimana caranya untuk yakinkan Mar. Abang cuma minta Mar bagi abang peluang untuk buktikan kepada Mar,” luah Amzar panjang lebar. Berharap agar Marha mengerti.
Marha menundukkan kepala. Kata-kata Amzar menyentuh hatinya. Sedikit sebanyak dia tersentuh.
“Semua ni terjadi dengan pantas, susah saya nak percaya dengan kata-kata awak. Susah saya nak percaya yang perasaan awak boleh berubah secepat ni,” balas Marha dengan suara yang perlahan.
Amzar tersenyum. Dia menarik dagu Marha agar bertentangan dengannya. Anak mata itu direnung dengan sedalamnya.
“Mar tak gembira abang berubah? Mar nak abang jadi macam dulu ke?” Soal Amzar turut perlahan.
Marha menggelengkan kepala.
“Cuma saya takut…”
“Takut abang tinggalkan Mar sama seperti bekas tunang Mar lakukan dulu?” pintas Amzar pantas.
Marha terdiam. Lambat-lambat dia menganggukkan kepala. Itulah perkara yang dia paling takuti. Ditinggalkan tanpa sebab yang pasti kemudian hadir untuk menagih kasih yang lama. Dia tidak suka dipermainkan seperti itu.
“Kalau abang nak tinggalkan Mar, abang tak perlu bersusah payah buat semua ni. Culik Mar dari semua orang, ikat Mar macam ni semata-mata nak Mar dengar penjelasan abang. Abang boleh lepaskan Mar sejak kali pertama Mar nak abang lepaskan Mar tapi abang tak buat semuanya tu. Mungkin juga kuasa Allah yang halang abang buat semua tu. Mulut abang berat untuk lafazkan kata-kata tu pada Mar dan sekarang abang terima apa yang terjadi kepada kita dahulu disebabkan jodoh.” Sambung Amzar apabila Marha hanya mendiamkan diri.
“Terima abang, ya? Beri abang peluang boleh?” Pinta Amzar lagi.
Marha mengangkat pandang. Bola mata Amzar yang penuh dengan pengharapan membuatkan Marha terkedu seketika. Sinar mata itu cukup mendamaikan hati Marha sehingga berat untuk dia menolak permintaan lelaki itu. Benarkah tiada cinta wujud di hatinya buat Amzar? Atau hatinya cuba menafikan rasa indah yang mula bermain di jiwanya.
“Lepaskan saya dulu. Awak ikat saya macam ni, rimas tahu tak?” rungut Marha tanpa menjawab soalan Amzar.
Amzar mengetap bibir. Wajahnya diraup. Dia tahu Marha sengaja ingin bermain tarik tali dengannya.
“Abang tahu cuma abang tak boleh lepaskan Mar lagi. Abang nak ambil barang-barang dalam kereta dahulu, lepas tu kita makan. Abang cuma beli makanan bungkus aje. Nanti abang bawa Mar jalan-jalan kat kawasan pulau ni,” balas Amzar lantas berdiri. Dia membetulkan tubuhnya yang terasa lenguh.
“Jalan-jalan? Bila kita nak balik rumah?” soal Marha ingin tahu.
“Rumah kita?” Soal Amzar sambil tersenyum penuh makna.
Pantas, Marha tertunduk.
“Rumah saya. Bila nak balik rumah saya? Berapa lama lagi awak nak kurung saya dekat sini?” Soal Marha dengan kepala yang masih tertunduk.
“Sampai Mar terima abang.” Jawab Amzar selamba.
Marha kembali mendongak.
“Mana boleh macam tu. Nanti ibu risau.”
“Mar tak payah risau. Ibu dah tahu Mar ada dengan abang.”
“Macam mana ibu tahu? Awak telefon ibu?” Soal Marha lagi. Dahinya berkerut.
Amzar menggelengkan kepala. Dia tersenyum.
“Sebelum abang jumpa Mar dekat pantai, abang jumpa ibu terlebih dahulu. Ibu pun dah bagi peluang pada abang, takkan Mar tak kesiankan abang?”
“Awak nak saya terima awak sebab kesian ke?” soal Marha membuatkan Amzar terdiam.
Laju saja kepalanya digelengkan. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Marha.
“Mestilah tak nak. Abang nak Mar terima abang sebab hati Mar yang sudi bukan sebab terpaksa tau.” Balas Amzar. Hidung Marha dicuit mesra.
“Kalau macam tu bukalah tali ni. Saya janji saya takkan lari.” Pinta Marha dengan pandangan penuh pengharapan. Terkebil-kebil matanya memandang Amzar. Mengharapkan simpati daripada lelaki itu.
Amzar mencebikkan bibir. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
“No! Abang tahu sangat Mar tu banyak helah. Seminit abang tinggal, pasti berdesup Mar larikan diri. Abang takkan biarkan Mar tinggalkan abang lagi.” Tegas Amzar dengan jari telunjuk digoyangkan ke kiri dan kanan.
Marha mengeluh. Tidak dapat tidak dia hanya mampu memandang Amzar yang berlalu menuju ke luar rumah. Selang beberapa minit, lelaki itu muncul semula dengan membawa beberapa beg plastik lalu diletakkan di hadapan Marha.
“Banyaknya barang yang awak beli. Macam lama je nak duduk sini. Tak boleh ke kita balik hari ni juga?” soal Marha lagi.
“Tak boleh. Kenapa Mar tergesa-gesa sangat nak balik ni? Ada sesiapa yang menunggu dekat rumah ke?” Soal Amzar pula. Suara berubah tegang. Mencerun anak matanya memandang Marha.
“Tak ada sesiapa pun yang tunggu. Cuma esok saya ada interview…”
“Interview di Langkawi? Mar memang rancang nak tinggalkan abang ke apa ni?” Pintas Amzar dengan pantas.
“Maaa… cam mana awak tahu?” Soal Marha tergagap-gagap. Wajahnya berubah cuak.
“Ibu yang bagitahu.” Jawab Amzar ringkas.
“Saya cuma nak cuba nasib kat tempat orang lain. Mungkin saya boleh cari pengalaman…”
“Tak boleh. Abang tak benarkan!” tegas Amzar tanpa sempat Marha menghabiskan ayatnya.
“Tapi saya perlu kerja untuk tanggung adik-adik saya…”
“Kerja dengan abang atau tak payah kerja terus. Adik-adik Mar tu abang boleh tanggung lagi,”
“Tak payah. Tu tanggungjawab saya.”
“Tanggungjawab Mar pun tanggungjawab abang juga.” Pintas Amzar tidak mahu mengalah.
Marha melepaskan nafas kecil. Bercakap dengan Amzar memang dia tidak akan menang. Lelaki itu akan cari pelbagai cara untuk melihat dia tewas dan ikut segala arahannya.
“Saya tetap nak kerja!” tegas Marha.
Amzar menjongketkan bahu. Dia mencapai sudu sebelum bekas makanan yang berisi nasi lemak itu dibuka. Aromanya menusuk ke hidung mereka berdua.
“Kerjalah. Abang tak larang pun. Tapi kerja dengan abang sahaja yang dibenarkan. Kerja dengan orang lain, abang takkan benarkan.” Tegas Amzar lalu menyuakan sudu yang berisi nasi lemak ke mulut Marha.
Marha menggelengkan kepala. Perbalahan antara di dan Amzar membuatkan seleranya hilang dengan tiba-tiba.
“Saya bukan pekerja awak lagi. Awak tak hak nak halang ke mana pun saya nak kerja,” bidas Marha geram.
“Memang Mar bukan pekerja tapi Mar isteri abang. Abang gunakan hak abang sebagai suami untuk tak benarkan Mar kerja dengan orang lain selain abang. Lagipun abang tak pernah setuju Mar letak jawatan. Anggap saja Mar tengah cuti sekarang bukan berhenti.” Balas Amzar selamba.
“Boleh tak awak jangan kongkong saya?” soal Marha melepaskan rasa geramnya atas sikap Amzar yang terlihat cuba mengawal segala pergerakannya.
“Tak boleh. Kalau abang betul-betul kongkong Mar, abang takkan bagi Mar keluar rumah pun tau. Ni abang bagi Mar kerja tapi syarat kerja dengan abang sahaja. Lagipun sebelum ni Mar memang kerja dengan abang pun. Buat apa nak kerja dengan orang lain? Jawatan Mar masih kosong. Sekurang-kurangnya abang boleh tengok Mar tiap saat tiap minit,” jawab Amzar sambil tersengih.
Mar menjeling. Cuba tidak mengendahkan kata-kata Amzar.
“Tak bosan ke tengok saya hari-hari? Saya ni bukan cantik pun macam bekas kekasih awak tu,” ujar Marha sambil menekankan perkataan bekas kekasih.
Amzar ketawa kecil. Dia meletakkan sudu di atas pinggan. Tumpuannya diberikan sepenuhnya kepada Marha.
“Sikit pun abang tak bosan. Kalau boleh, abang nak tengok Mar hari-hari dan nak tengok Mar dekat-dekat macam ni…” ucap Amzar perlahan. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Marha.
Marha menjarakkan wajahnya daripada Amzar. Hatinya diuji lagi. Semakin dia menjauh, semakin Amzar cuba merapat. Marha menelan air liur apatah saat ini dia menyedari bola mata Amzar singgah di bibirnya. Dia seakan dapat membaca apa yang berada di dalam fikiran Amzar.
“Tunggu!” ujar Marha tiba-tiba. Cuba menghentikan perbuatan Amzar yang tiba-tiba berubah menjadi romantik.
“Saya lapar…” sambung Marha. Dia tersengih.
Amzar ketawa kecil. Dia tahu Marha cuma ingin mengelak tetapi Amzar tetap menjarakkan tubuhnya. Dia kembali mencapai sudu dan mula menyuapkan nasi lemak ke mulut Marha.
“Lepas makan ni Mar cubalah baju yang abang belikan tu. Malam karang abang nak bawa Mar ke tempat special.” Ucap Amzar dengan senyuman bahagia mekar di bibirnya.
“Tempat special? Kat mana?”
“Mar nak tahu?” Soal Amzar.
Marha mengangguk laju.
“Cium pipi abang dulu.” Arah Amzar lalu menyuakan pipinya ke arah Amzar.
Marha mengecilkan mata. Dia sedar Amzar cuba mempermainkannya.
“Awak sengaja nak ambil kesempatan kan?” Soal Marha geram.
Amzar ketawa. Kepalanya digelengkan.
“Tak. Nak tahu ke tak ni? Kalau tak nak tahu, tunggu jelah malam karang.” Ujar Amzar dengan bersahaja.
Marha mengetap bibir. Tidak dapat tidak dia menghadiahkan satu ciuman kecil di pipi Amzar. Lelaki itu tersenyum suka. Lebar senyumannya sehingga ke telinga.
“Cakaplah kat mana,” gesa Marha.
“Eh nanti dulu. Mana cukup. Sebelah lagi,” ujar Amzar lalu menyuakan sebelah lagi pipinya keapada Marha.
Marha mendengus geram.
“Banyak songehlah awak ni. Lebih baik saya tak payah tahu!” bentaknya.
Amzar menjongketkan bahu. Seolah-olah dia tidak kesah dengan kata-kata Marha.
“Terpulang pada Mar. Kalau Mar sanggup tunggu sampai malam…”
Chupp! Satu ciuman hinggap di pipinya. Amzar terpanar.
“Saya dah ikut cakap awak kan. Sekarang awak cakap tempat tu kat mana.” ujar Marha laju.
Amzar mengulum senyum. Dia membalas pandangan Marha yang penuh mengharap.
“Jawapannya…” Amzar meleret kata.
Marha menunggu dengan penuh sabar.
“Rahsia!” Jawab Amzar dengan cukup bersahaja. Dia ketawa apabila melihat wajah Marha yang tidak berpuas hati.
“Am!”

Thursday 24 January 2019

RINDU DALAM RAHSIA (RDS remake) - BAB 33

“AWAK nak bawak saya ke mana ni?” Soal Marha resah apabila kelihatan kereta yang dipandu oleh Amzar melepasi kawasan kampungnya dan menuju ke jalan utama. Dia memandang Amzar sekilas dengan riak resah tergambar jelas di wajahnya.
“Ke mana saja asalkan jauh daripada bekas tunang kau tu.” Jawab Amzar selamba. Dia masih lagi dikuasai cemburu. Sekilas pun dia tidak memandang Marha. Dia masih lagi terasa kekok apabila teringatkan pengakuannya sebentar tadi. Anak matanya tegak memandang jalan raya.
“Saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Kenapa susah sangat awak nak percaya?” soal Marha geram.
“Kau nak aku percaya tapi kau sendiri yang berat nak mengaku tentang status kau depan dia. Bermakna, kau masih ada perasaan pada dia. Kau masih berharap untuk kembali pada dia kan?” Tekan Amzar lagi membuat andaian sendiri.
Marha meraup wajahnya. Makin kusut dengan jalan fikiran Amzar.
“Saya tak berharap apa-apa pun. Walaupun saya tak mengaku, tapi saya sedar status diri saya yang sebenar. Tolonglah percaya cakap saya. Saya tak tahu macam mana nak terangkan pada awak supaya awak faham kalau satu pun cakap saya awak tak percaya.” Balas Marha mula mengalah. Dia malas untuk berbalah kerana saat ini ada perkara lebih penting yang perlu difikirkan.
“Jadi, buat aku percaya kata-kata kau. Buat aku percaya yang kau tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Buat aku percaya yang kau tak cintakan dia.” Jawab Amzar tegas.
“Macam mana yang nak buat awak percaya?” Soal Marha buntu.
“Buktikan.” Jawab Amzar pendek.
“Buktikan? Macam mana?” Soal Marha dengan kening yang bertaut. Terkebil-kebil dia memandang Amzar yang hanya mendiamkan diri.
Amzar tidak menjawab sebaliknya tangannya laju menggeser skrin telefon yang diletakkan di pemegang telefon sebelum alat bebas tangan disumbatkan ke telinganya. Marha hanya memerhati dengan penuh tanda tanya.
“Hello Harith, tolong sediakan bot. Lagi setengah jam saya sampai. Kemudian, minta Abang Karim sediakan kereta di jeti dan siapkan Bayu Sutra untuk saya.” Amzar memberi arahan dengan suara yang tegas.
Marha mula tidak keruan. Hatinya mula terasa kurang enak apabila mendengar perbualan Amzar dengan lelaki yang bernama Harith. Tentu pekerjanya. Apa maksud lelaki itu dengan bot dan jeti? Mereka mahu ke mana? Bayu Sutra? Apa tu? Soal hati Marha bertalu-talu.
“Awak nak bawak saya ke mana ni? Lebih baik awak cakap sekarang, sebelum saya terjun daripada kereta ni.” Ujar Marha sebaik saja Amzar mematikan talian.
Amzar tersenyum sinis. Dia memandang sekilas pada Marha.
“Kau cakap nak berpisah kan? Jadi aku nak bawak kau ke tempat yang boleh kita berbincang dengan aman soal ni. Kau takut ke? Kau takut aku culik kau?” Soal Amzar seolah-olah mencabar Marha.
“Saya tak takut langsung. Saya cuma tak nak ibu risaukan saya.” Jawab Marha lalu mengeluarkan telefon bimbitnya daripada clutch yang dibawa. Dia cuba untuk mendail nombor telefon rumahnya.
Namun, belum sempat jarinya menyentuh skrin telefon, Amzar terlebih dahulu merampas telefon terbabit lalu dicampak ke tempat duduk belakang. Marha tergamam. Matanya terbuntang.
“Am!” Bentaknya. Bengang.
“Tak payah nak telefon sesiapa. Ini antara aku dan kau.”
“Saya cuma nak telefon ibu…”
“Tak payah!” Tegas Amzar membuatkan Marha terdiam. Terhenjut bahunya apabila mendengar suara Amzar yang sedikit meninggi. Marha terkesip.
Akhirnya, dia hanya mendiamkan diri sehinggalah mereka sampai di sebuah jeti. Terdapat pelbagai jenis bot yang tersadai di atas permukaan air. Marha mula cuak.
“Kita buat apa kat sini? Kita nak ke mana sebenarnya ni?” Soal Marha dengan dada yang berdebar. Dia resah dalam diam.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia menyarungkan kaca mata hitam ke wajah. Dia mengambil sesuatu dari dalam kotak dashboard lalu ditunjukkan kepada Marha.
“Kita nak pergi berbincang pasal penceraian yang kau nak sangat tu. Ini, borang cerai yang kau dah siap isi. Aku akan pertimbangkan permintaan kau, kalau kau ikut aku sekarang.” Ujar Amzar seolah memberi tawaran kepada Marha.
“Tapi sekurang-kurangnya awak bagitahulah ke mana awak nak bawa saya.” Rungut Marha. Dia melepaskan nafas pendek. Nampaknya, Amzar benar-benar ingin memutuskan hubungan mereka. Jadi, kalimah yang diucapkan lelaki itu sebentar tadi hanyalah mainan kata. Fikir Marha. Jauh dalam hatinya, tercuit rasa kecewa.
“Kenapa kau nak tahu? Takut aku jual kau ke?” Soal Amzar tanpa menjawab soalan Marha.
“Manalah saya tahu niat hati awak,” balas Marha tidak mahu mengalah.
Amzar merenung tepat ke dalam mata Marha. Dia mengetap bibir. Kenapa kau tak faham isi hati aku, Marha? Perlu ke aku ungkap sekali lagi agar kau mengerti?
“Kau terlalu berharga untuk aku jual.” Balas Amzar dengan selamba. Tanpa menunggu balasan daripada Marha, dia terus menolak pintu kereta sedangkan Marha terpinga-pinga. Kata-kata berjaya membuatkan hatinya berdengup tidak senada.
Marha menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Tidak dapat tidak, akhirnya dia terpaksa melangkah keluar apabila Amzar tidak henti-henti mengetuk cermin tingkap tempat duduknya.
“Ikut aku!” Arah Amzar masih lagi dengan wajah yang kelat. Dia mula menapak menuju ke jeti sementara Marha masih kaku tidak bergerak.
Amzar berpaling apabila menyedari Marha tidak berada di belakangnya. Dia melepaskan nafas berat lalu kembali mendekati Marha.
“Yang tercegat kat situ kenapa? Ikut aku sekarang!” arah Amzar lalu menarik lengan Marha.
Marha menarik lengannya kembali. Enggan mengikuti Amzar. Dia memandang bot yang teroleng-oleng di permukaan air. Dia menelan air liur. Dahinya mula berpeluh walaupun cuaca ketika ini redup.
“Perlu ke kita naik bot untuk berbincang? Bincang kat sini tak boleh ke?” Soal Marha tidak berpuas hati.
“Tak boleh. Hal ni antara kau dan aku. Aku tak nak melibatkan orang lain.” Jawab Amzar lalu menarik tangan Marha untuk kesekian kalinya.
Namun, Marha masih tidak lagi berganjak. Amzar semakin pelik.
“Kau ni kenapa? Boleh tak bagi kerjasama?” soalnya sedikit bengang dengan sikap keras kepala Marha.
Wajah Marha bertukar keruh. Bukan dia tidak mahu memberi kerjasama tapi sebaik saja dia melihat air laut, serta-merta dia menjadi tidak selesa. Dia gelisah.
“Saya takut…” ucap Marha perlahan. Berharap agar Amzar memahami ketakutan yang dialaminya saat ini.
Amzar tercengang. Lama dia memandang Marha. Jelas, gadis itu tidak berbohong. Riak wajahnya yang tidak selesa telah menjelaskan segalanya.
“Aquaphobia?” Soal Amzar ringkas.
Lambat-lambat Marha menganggukkan kepala. Dia tertunduk. Malu untuk mengakui kelemahan dirinya sendiri.
Amzar menyembunyikan senyumnya. Gadis itu nampak comel di matanya. Lantas, dia menghampiri Marha.
“Kau tak payah risau, aku ada. Jom ikut aku sekarang,” ajak Amzar lalu menghulurkan telapak tangannya kepada Marha.
Marha memandang tangan Amzar dan wajah lelaki itu silih berganti. Dia waswas. Dia bukan tidak percayakan Amzar tetapi saat ini otaknya mula membayangkan perkara yang bukan-bukan.
“Macam mana kalau bot tu tenggelam?” Soal Marha tiba-tiba. Dia masih lagi berat hati untuk mengikuti Amzar.
Amzar menahan tawa mendengar soalan Marha. Segala amarah yang terkumpul buat gadis itu sedari tadi terbang begitu saja.
“Kalau tenggelam, kita berenang sama-sama. Dah, tak payah risau. Aku ada. Takkan tenggelam bot tu kalau bukan izin Allah. Kau percaya aku tak?” Soal Amzar lagi.
Lambat-lambat Marha menganggukkan kepala. Akhirnya, dia menyambut huluran tangan Amzar dan mengikuti Amzar dengan langkah yang berat. Namun, sebaik saja sampai di permukaan jeti, kaki Marha terus saja menjadi beku. Dia kaku. Bot yang teroleng-oleng membuatkan kepalanya turut pening.
Buat kesekian kalinya Amzar berpaling. Dia simpati melihat isterinya yang ketakutan. Lalu. Amzar melangkah ke dalam bot. Dia berdiri sambil menghulurkan tangannya kepada Marha yang masih teragak-agak.
“Jangan takut, kau takkan tenggelam. Aku ada dengan kau. Hulur tangan kau sekarang.” Arah Amzar.
Marha memejamkan matanya sejenak sebelum huluran tangan Amzar disambut. Tetapi kakinya masih enggan untuk melangkah masuk ke dalam ruang bot.
Amzar tiada pilihan. Tangan Marha ditarik menyebabkan tubuh gadis itu terdorong ke arahnya. Kedua-dua belah tangannya dilekapkan ke pinggang Marha sebelum tubuh gadis itu diangkat lalu diletakkan di dalam ruangan bot.
“Aaaa!” Marha terjerit kecil dengan mata yang terpejam. Kemas dia berpaut pada lengan Amzar.
Amzar hanya menggelengkan kepala melihat telatah Marha yang benar-benar ketakutan.
“Kau dah ada dalam bot sekarang. See, tak tenggelam pun kan?” soal Amzar apabila Marha sudah mula membuka kelopak matanya.
Anak mata Marha mula melilau-lilau memandang sekeliling, ternyata dia benar-benar berada di atas bot. Air liur ditelan berkali-kali. Dia mencari tempat berpaut namun tiada. Lantas, dia terus duduk di bangku yang telah disediakan.
Amzar turut duduk di sebelah Marha. Kemudian, dia memberi isyarat kepada Harith supaya memulakan perjalanan. Enjin dihidupkan. Marha semakin tidak keruan.
“Tak ada jaket keselamatan ke?” Soal Marha dengan suara yang meninggi kerana cuba melawan bunyi angin dan enjin bot yang kuat.
Amzar menggelengkan kepala.
“Tak ada! Tapi kau boleh guna ni…” ucap Amzar lalu menunjukkan lengannya.
Marha mencebikkan bibir. Pandangannya dialihkan ke tempat lain. Dia cuba memberanikan diri namun saat bot itu semakin laju, Marha tiada pilihan selain memeluk erat lengan Amzar. Kepalanya disandarkan ke bahu lelaki itu sambil matanya terpejam rapat.
Amzar tersenyum suka. Terasa bahagia apabila Marha berada dekat dengannya.



"RUMAH siapa ni?" Soal Marha sebaik saja kereta yang dipandu oleh Amzar berhenti di laman rumah dua tingkat yang terletak berhampiran dengan pantai.
Dia memandang Amzar lama. Berharap agar lelaki itu memberi jawapan.
"Rumah aku," jawab Amzar ringkas. Kemudian dia melangkah keluar dari kereta diikuti oleh Marha.
"Rumah awak? Kenapa awak beli rumah kat pulau ni?" Soal Marha ingin tahu.
Amzar memandang Marha seketika lalu melangkah menuju ke pintu utama untuk membuka kunci. Soalan Marha dibiarkan tergantung.
Kesempatan itu diambil oleh Marha untuk memerhati kawasan persekitaran rumah yang dijaga rapi. Bunyi ombak yang menghempas pantai kedengaran jelas di telinganya memberikan sedikit ketenangan kepada Marha. Namun,  apabila memikirkan tujuan dia dibawa ke sini,  serta merta wajahnya berubah. Dadanya berdebar apabila memikirkan keputusan yang bakal dibuat oleh Amzar. Mungkinkah hubungan mereka akan tamat tidak lama lagi?
Sedang asyik Marha termenung, tiba-tiba terasa pinggangnya disentuh dari belakang. Marha tersentak. Lamunannya pecah berderai.
"Kau fikir apa tu?" Soal Amzar perlahan seakan berbisik di telinga Marha.
Marha menelan air liur. Dia tidak selesa dalam keadaan itu, lantas dia menolak tangan Amzar dengan lembut. Amzar kecewa. Riaknya berubah.
"Kita datang sini nak berbincang je kan? Saya harap awak boleh jaga tingkah laku awak." Ujar Marha dengan wajah yang ditundukkan.
Amzar mendengus. Hatinya yang hampir sejuk kini panas kembali. Terasa dia hanya bertepuk sebelah tangan sedangkan Marha langsung tidak merasai apa yang dia rasa.
"Kalau nak bincang, masuk sekarang!" arah Amzar dengan tegas. Kemudian, Amzar melangkah mendahului Marha. Pintu rumah dibiarkan terbuka sementara menunggu Marha masuk.
Amzar duduk di sofa dengan wajah yang kelat. Tiada segaris senyuman pun menghiasi bibirnya saat ini. Kakinya disilangkan sementara kedua belah tanganya memeluk tubuh.
Marha cuak namun dia beranikan diri untuk menghampiri Amzar. Dia hanya berdiri sambil menunggu arahan daripada Amzar.
"Duduk." Arah Amzar tanpa secalit senyuman.
Marha hanya menurut. Dia melabuhkan punggung di sofa yang bertentangan dengan Amzar. Dia menunggu bicara dari lelaki itu.
"Aku tanya kau buat kali terakhir, kau betul-betul nak berpisah ke? Kau nak aku proceed borang ni?" Soal Amzar sambil mengangkat borang permohonan cerai yang telah siap diisi oleh Marha.
Marha terdiam. Wajah bengis Amzar cukup untuk membuatkan dia kecut perut. Dia menelan air liur.
"Kalau ikatan ni tak mendatangkan apa-apa makna, lebih baik kita putuskan. Awak takkan rasa terbeban dan saya tak perlu rasa berdosa sebab tak jalankan tanggungjawab saya sebagai isteri. Lagipun, kita berkahwin bukan atas dasar perasaan tapi disebabkan rasa terpaksa. Saya tak nak awak teruskan hubungan ni kalau rasa terpaksa. Semua tu takkan tahan lama. Awak pernah cakap, apa yang terjadi antara kita satu kesilapan dan mungkin dengan cara ini, kita boleh betulkan kesilapan tu semula. " Terang Marha berharap agar Amzar mengerti.
Amzar tersenyum sinis. Dia meraup wajahnya. Cuba untuk bersabar sebaik saja mendengar bicara daripada Marha.
"Kesilapan?" Soal Amzar lebih kepada dirinya.  Dia mengetap bibir menahan rasa galau di hati.
"Memang apa yang berlaku kepada kita satu kesilapan. Kau muncul dalam hidup aku pun satu kesilapan. Kita terperangkap dalam ikatan ni pun satu kesilapan..."
"Saya tahu..." Balas Marha sambil menundukkan kepala. Tiba-tiba hatinya terasa nyilu. Dia sedar kedudukannya di mata Amzar meski pun dia hampir percaya dengan ungkapan lelaki itu ketika mereka di pantai tadi.
"Jatuh cinta pada kau juga satu kesilapan. Kesilapan yang tak ingin aku perbetulkan," sambung Amzar kemudian merenung Marha dengan lama dan bermakna.
Dup!
Hati Marha berdegup. Dia mengangkat pandang. Sekali lagi jantungnya seakan berhenti berdegup apabila anak matanya bertembung dengan anak mata coklat perang Amzar. Kata-kata Amzar berjaya membuatkan jiwanya huru-hara.
"Aaa...pa yang awak mengarut ni?" soal Marha lalu melarikan pandangan ke tempat lain.
"Kenapa? Kau tak percaya? Mungkin kau rasa itu semua karut. Sepatutnya itu yang aku rasa. Aku sendiri tak percaya kenapa aku boleh rasa semua tu. Aku marah bila ada lelaki lain yang cuba rapat dengan kau. Aku cemburu. Aku asyik teringatkan kau walaupun aku cuba lupakan kau. Walaupun aku cuba bencikan kau tapi bayang kau selalu ada dalam fikiran aku. Aku tak dapat buang. Aku rindukan kau tiap saat. Kadang-kadang aku rasa ini mungkin hukuman untuk aku di atas ego aku dulu," jawab Amzar penuh perasaan.
Marha menggelengkan kepala. Tiba-tiba dia terasa ingin pitam mendengar luahan Amzar.  Pantas, dia bangkit.
"Tak payahlah awak nak mainkan perasaan saya sampai macam ni sekali. Saya nak balik." Ujar Marha lalu cuba mengatur langkah menuju ke pintu utama.
Amzar bertindak pantas. Dia turut bingkas dan menarik pergelangan tangan Marha bagi menghalang gadis itu dari berlalu. Tubuh Marha dipalingkan supaya menghadapnya.
"Aku tak pernah main-main soal perasaan, Mar. Sebab hanya aku yang rasa seksanya setiap kali rindukan kau. Kau tahu tak apa perasaan aku bila kau ungkit pasal perpisahan ni? Sakit. Sakit sangat." Ujar Amzar lalu menggenggam jari-jemari Marha.
Marha gelisah. Dia cuba menentang pandangan Amzar namun dia tewas. Renungan anak mata coklat itu seakan tembus terus ke hatinya. Perlahan-lahan, dia cuba menarik tangannya kembali tetapi genggaman Amzar dirasakan terlalu kuat.
"Takkan perasaan awak boleh berubah sekelip mata je, Am? Saya ni orang yang paling awak benci dalam hidup awak. Orang yang awak takkan biarkan hidup bahagia. Awak ingat saya akan percaya apa yang awak cakap? Semua ni rancangan awak nak buat saya terbuai dengan kata-kata awak. Bila awak dapat apa yang awak nak,  awak pasti tinggalkan saya kan?" balas Marha. Cuba menahan sebak.
Amzar menggeleng dengan pantas. Dia tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan tentang perasaannya pada Marha. Perlukah dia menjerit bagi membuktikan setiap kata-katanya lahir dari hatinya sendiri?
"Tak mustahil orang yang paling kita benci boleh jadi orang yang paling kita sayang kan?" balas Amzar dengan riak tenang.
Dia merenung ke dalam anak mata Marha sambil ibu jarinya mengusap pipi Marha yang gebu. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Marha. Cuba menyentuh bibir gadis itu. Namun, Marha terlebih dahulu memalingkan wajahnya ke tempat lain. Sekali lagi dia dikecewakan. Bibirnya digigit. Menahan perasaan.
"Saya pernah dikecewakan dan saya tak nak rasai semua tu sekali lagi. Lebih baik saya undur diri daripada saya tanggung rasa sakit itu seorang diri. Saya tak benarkan awak ambil kesempatan pada saya lagi kalau perasaan awak hanyalah palsu. Saya tahu, awak cuma jadikan saya sebagai tempat untuk lepaskan amarah awak. Awak cuma nak ambil kesempatan pada saya. Awak tak pernah anggap saya sebagai isteri awak pun." Balas Marha. Dia terpandang borang permohonan cerai yang terdampar di atas sofa. Lantas, dia mencapai borang tersebut lalu disuakan kepada Amzar.
"Kita tamatkan semua ni, Am. Jangan seksa perasaan saya dengan pengakuan awak tu..." ucap Marha dengan matanya yang berkaca.
Amzar memejam mata sejenak. Dadanya terasa ingin meletup saat ini. Susahnya untuk membuktikan sesuatu yang tidak nampak di mata.
"Kenapa susah sangat kau nak percaya yang aku cintakan kau? Aku perlukan kau,  tahu tak?!" Suara Amzar mula meninggi.
Dia merampas borang tersebut lalu mengoyakkannya menjadi serpihan kecil lalu dicampakkan ke udara.
Marha tergamam.
"Am!" bentak Marha.
"Sekarang ni borang tu dah tak ada. Jadi boleh tak kau percayakan aku? Beri aku peluang untuk buktikan kasih sayang aku."
"Buktikan? Awak takkan dapatkan buktikan." Pintas Marha. Dia tersenyum mengejek.
"Jadi isteri aku sekarang." Pinta Amzar tiba-tiba. Dia kembali mendekati Marha. Wajah itu direnung sedalam-dalamnya. Renungan yang Marha sendiri tidak tahu ertinya.
Dada Marha mula berdebar. Dia tidak keruan. Kakinya dilangkah setapak ke belakang.
"Aaa... Apa yang awak naa.. Nak buat ni?" soal Marha mula tergagap-gagap.
Dia terus mengundurkan langkah sehingga kakinya terlanggar sofa dan jatuh terduduk sementara Amzar terus mendekat dengan senyuman nakal menghiasi bibirnya.
"Kau rasa? Kau nak aku layan kau seperti seorang isteri yang selayaknya kan? Ini langkah pertama." Ucap Amzar perlahan. Rapat di telinga Marha.
Marha kaget. Dia berpaling dan saat itu Amzar turut berpaling ke arahnya. Hujung hidung mereka bertemu. Mata bertentang mata. Kedua-duanya membisu. Hanya detak jantung yang kedengaran memainkan rentak tanpa irama.
Anak mata Amzar mula meliar ke segenap anggota wajah Marha sebelum pandangannya terhenti di bibir Marha yang mungil.
"Mulai saat ni, detik ni, kau milik aku. Hanya aku."

Thursday 17 January 2019

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 32


AMZAR tunduk menekur lantai saat berhadapan dengan Puan Kalilah yang masih menanti bicara daripadanya. Hampir lima belas minit, hanya bunyi suara televisyen yang menemani mereka berdua. Amzar gugup.
“Apa yang kamu nak bincangkan tadi?” Soal Puan Kalilah akhirnya bersuara.
Amzar mengangkat pandang. Bola matanya bertaut dengan anak mata Puan Kalilah. Dia tersenyum kelat sedangkan dalam otaknya sedang menyusun ayat yang hendak diucapkan kepada ibu mentuanya itu.
“Soal penceraian saya dan Marha, saya rasa saya tak boleh ikut permintaan ibu,” ujar Amzar akhirnya. Perlahan tapi tegas.
Puan Kalilah menyembunyikan senyum. Wajahnya diketatkan.
“Kenapa? Kamu berdua bukan seperti suami isteri yang lain kan? Ibu rasa penceraian adalah jalan yang terbaik untuk kamu berdua,” Puan Kalilah cuba memprovokasi.
Amzar terdiam. Dia mencapai gelas yang berisi air oren lalu diteguk buat kesekian kalinya. Dia cuba meredakan hatinya yang gundah.
“Tapi saya tetap takkan lepaskan Marha. Dia masih isteri saya. Saya harap ibu bagi saya peluang untuk jadi suami dia yang sepatutnya. Saya akan jaga dia. Saya takkan sia-siakan dia.” Ucap Amzar seakan berjanji. Dia merenung tepat ke anak mata Puan Kalilah. Dia ingin Puan Kalilah percaya bahawa dia benar-benar maksudkan setiap kata-katanya.
“Ibu tak percaya kamu akan jaga dia. Perkahwinan kamu bukan atas dasar cinta. Malah, ibu yakin kamu cukup benci pada Marha disebabkan perkahwinan kamu tu. Mustahil kamu akan jaga dia dengan baik,” balas Puan Kalilah masih enggan mempercayai kata-kata Amzar.
“Tapi perkahwinan kami terjadi disebabkan jodoh, ibu. Saya akui, dulu saya sombong dengan kata-kata saya sendiri, tapi itu dulu. Sebelum saya kenal dia. Saya tahu tentu ibu kecil hati dengan perangai saya. Saya mintak maaf. Masa tu saya benar-benar marah. Saya tak dapat terima kenyataan atas apa yang berlaku antara saya dan Marha. Tapi sekarang, saya dah kenal Marha. Saya perlukan dia dalam hidup saya,” jawab Amzar bersungguh-sungguh.
Puan Kalilah menjongketkan kening.
“Perlukan Marha dalam hidup kamu? Sebagai setiausaha?” Soal Puan Kalilah sekadar menguji.
Pantas, Amzar menggelengkan kepala.
“Saya perlukan dia sebagai isteri saya. Saya tak boleh lepaskan dia. Bukan saya tak cuba untuk lupakan dia tapi saya tak mampu. Saya rasa… Saya rasa…” Amzar mula tergagap. Dia menelan air liur berulang kali. Terasa seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkong saat ini.
Dahi Puan Kalilah berkerut. Dia menahan tawa melihat wajah Amzar yang cuak. Kulit wajah yang putih kemerahan itu kelihatan berpeluh.
“Rasa apa?!” Sergah Puan Kalilah kuat.
“Saya cintakan dia!” jawab Amzar laju akibat terkejut. Dia mengurut dada. Kus semangat!
Namun, dia terdiam seketika. Dia menutup mulut. Terkejut dengan kata-katanya sendiri. Ternyata tiga patah perkataan itu akhirnya berjaya meluncur laju daripada mulutnya tanpa dia sedari.
“Kamu yakin ke kamu cintakan dia? Bukan disebabkan rasa simpati atau rasa bersalah?” soal Puan Kalilah lagi. Jelas, hatinya sedikit tenang mendengar kata-kata Amzar tadi. Dia yakin yang Marha tidak bertepuk sebelah tangan.
“Saya yakin, ibu.” Jawab Amzar penuh dengan keyakinan.
“Tapi kami ni tak setaraf dengan keluarga kamu. Kamu dan Marha ibarat langit dan bumi. Kalau boleh ibu nak kamu fikir betul-betul dengan keputusan kamu tu. Ibu tak nak kamu menyesal kemudian hari.”
“Saya tak pernah fikir pasal taraf tu ibu dan saya takkan pernah menyesal dengan keputusan saya. Mengenali Marha merupakan perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya. Mungkin saya terlambat menyedari tentang perasaan tu tapi saya tak malu nak mengaku yang saya dah tertawan dengan hati dia,” jawab dengan yakin.
Puan Kalilah tersenyum juga akhirnya. Dia membalas pandangan Amzar dengan lembut. Hatinya sedikit tenang dengan kata-kata Amzar. Dia yakin anak muda itu serius dalam berkata-kata. Lantas, satu keluhan lega dilepaskan.
“Kenapa kamu lambat sangat datang, Am?” soal Puan Kalilah.
Amzar terpinga-pinga. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Apa maksud ibu?”


“NAQIB, awak buat apa kat sini?” soal Marha lantas berdiri akibat terkejut dengan kemunculan Naqib yang tiba-tiba.
Naqib menghampiri Marha dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
“Sepatutnya Qib yang tanya Mar buat apa kat sini, Mar lupa ke ini kan pantai kenangan kita?” Soal Naqib dengan menjongketkan kening.
Marha terdiam. Pantai kenangan? Sungguh, dia terlupa bahawa pantai ini menjadi saksi Naqib melamarnya suatu ketika dahulu dan pantai ini juga menjadi saksi bisu perpisahan mereka.
“Saya datang sini sebab pantai ni dekat dengan rumah. Tak ada maksud lain,” jawab Marha jujur.
Wajah Naqib berubah kelat. Dia menatap wajah Marha dengan sedalamnya.
“Mar memang dah lupakan Qib ke? Takkan tak ada sekelumit pun rasa sayang yang tertinggal dalam hati Mar untuk Qib?” Soal Naqib dengan suara yang lirih.
Marha senyap. Dia kembali melabuhkan punggung di atas pasir pantai yang memutih. Soalan Naqib dibiarkan tanpa jawapan. Dia lebih tenang menghadap laut yang berombak kecil.
“Apa yang berlaku antara kita dah lama berlalu, Qib. Tak perlulah awak ingatkan lagi. Jalan ini yang awak pilih. Banyak kali saya tanya awak, sama ada keputusan awak ambil tu betul atau salah, tapi awak tetap bertegas dengan keputusan awak. Awak lebih pilih Harlina daripada pertahankan hubungan kita waktu tu. Ya, saya tahu awak betul-betul terdesak perlukan duit untuk rawatan ibu awak. Saya faham. Tapi kenapa mesti putuskan hubungan kita? Kenapa mesti awak pilih untuk bersama dengan perempuan lain?” jawab Marha dengan soalan yang bertalu-talu.
Bukan niatnya untuk membangkit apa yang terjadi beberapa tahun dahulu, tetapi Naqib yang memaksanya berbuat demikian. Mengingati peristiwa itu membuatkan hatinya dirundung sebak. Cinta yang disemai dan diharapkan putus di tengah jalan.
Naqib duduk melutut di hadapan Marha. Wajah itu ditenung dengan penuh kasih. Dia tahu dia bersalah dan sekarang dia menyesal.
“Masa tu Qib tak dapat fikir apa-apa selain kahwin dengan Harlina. Itu saja pilihan yang Qib ada, Mar. Qib sayangkan Mar tapi ibu Qib jauh lebih penting. Qib terpaksa…”
“Saya tak pernah minta awak buat pilihan antara saya dan ibu awak. Kan saya dah cakap, saya faham. Cuma saya tak faham kenapa awak lepaskan Harlina. Dia isteri awak dan saya yakin dia sayangkan awak,” pintas Marha pantas.
Naqib menundukkan kepala.
“Qib tak cintakan dia. Qib dah cuba tapi dia tak sama seperi Mar. Qib tak dapat lupakan Mar walau Qib dah cuba. Harlina memang sayangkan Qib tapi Qib tak dapat tipu diri Qib sendiri. Qib mengaku, Qib sanggup balik ke sini semata-mata nak cari Mar. Qib tahu Mar masih sayangkan Qib kan?” Soal Naqib dengan penuh yakin.
Marha menggelengkan kepala.
“Itu silap awak. Awak langsung tak hargai orang yang sayangkan awak. Awak tak cuba untuk perjuangkan hubungan awak dan Harlina. Memang awak tak sayangkan dia tapi awak dah jadi suami dia. Awak wajib sayangkan dia dan lupakan saya. Saya dah jadi sejarah dalam hidup awak. Kalau awak fikir dengan melepaskan Harlina akan buat saya kembali semula kepada awak, awak silap. Walaupun saya masih ada perasaan pada awak, saya tetap takkan kembali pada awak.” Tegas Marha.
Naqib sedikit tersentak. Lama dia merenung anak mata Marha. Jelas, gadis itu benar-benar maksudkan apa yang telah dikatakan.
“Tapi kenapa, Mar? Mar dah jumpa pengganti?” Soal Naqib berbaur kecewa.
Marha terdiam. Bayang wajah lelaki itu tergambar di ruang mata. Marha mengetap bibir.
“Errr….”
“Mar, kejap!” Pintas Naqib lalu mendekatkan dirinya ke arah Marha. Marha pegun.
“Kenapa?” Soalnya pendek.
“Ada ulat atas tudung Mar,”
“Ulat?! Tolong buangkan cepat!” Marha mula menjerit. Dia geli. Matanya dipejamkan.
Naqib hanya ketawa kecil melihat reaksi Marha yang kegelian. Lalu, dia menghampiri Marha dan terus membuang ulat yang berada di atas kain tudung gadis itu.
“Ada tak lagi?” Soal Marha dengan mata yang terpejam rapat.
“Dah tak ada dah.” Ucap Naqib sambil merenung Marha dengan senyuman yang mekar di bibir.
Marha menarik nafas lega. Dia membuka mata. Sebaik saja kelopak matanya terbuka, pandangannya bersabung dengan anak mata Naqib. Dia terkebil-kebil. Peliknya, dia tidak berasa apa-apa saat ini. Debaran yang dahulu sering menjengah hatinya setiap kali bertentang mata dengan Naqib kini sirna. Perasaannya kosong walaupun saat ini lelaki itu sedang tersenyum manis.
“Marha!”
Jerkah satu suara garau menghentikan pandangan mereka berdua. Marha berpaling. Matanya terbeliak.
Alamak!


“MARHA!”
Bunyi suara yang menjerkah kuat mengejutkan Marha dan Naqib. Dia dan Marha berpaling sebelum tubuhnya dijarakkan daripada Marha. Dahinya berkerut melihat seorang lelaki yang berbadan tegap sedang merenung ke arah mereka berdua dengan renungan yang tajam.
“Am?” Soal Marha perlahan. Dia terkejut melihat kemunculan Amzar yang tiba-tiba. Pantas, dia bangun.
“Siapa lelaki tu, Mar?” Soal Naqib turut bangun.
“Dia… Dia bekas bos saya,” jawab Marha sedikit tergagap-gagap. Dia menelan air liur apabila pandangannya bersambung dengan anak mata Amzar. Wajah lelaki itu kelihatan tegang. Jelas, Amzar sedang menahan amarah.
“Apa yang kau orang buat tadi?” Soal Amzar dengan tanpa secalit senyuman menghiasi bibirnya. Dia menghampiri Marha sebelum menjeling ke arah Naqib.
“Kami tak buat apa-apa pun.” Jawab Naqib.
Amzar mendengus. Dia kembali merenung Marha.
“Marha?” Soalan diajukan pula kepada Marha. Gadis itu kelihatan gelabah.
“Betullah apa yang Naqib cakap, saya dan dia tak buat apa-apa pun. Dia cuma tolong buangkan ulat yang melekat kat tudung saya je.” Terang Marha dengan suara terketar-ketar.Dia cuak melihat wajah Amzar yang serius.
Naqib berpaling pada Marha.
“Kenapa Mar nak kena terangkan pada bekas bos Mar ni. Dia tak ada apa-apa hak untuk tahu apa yang kita buat. Lagipun Mar bukan pekerja dia lagi. Kalau dia majikan Mar sekali pun, dia tak berhak untuk campur tangan dalam urusan peribadi Mar,” tegur Naqib sedikit bengang dengan tingkah lelaki kacak yang merupakan bekas majikan kepada Marha. Dia dapat rasakan lelaki itu tidak senang dengan kehadirannya.
Amzar tersenyum sinis. Dadanya seakan ingin meletup saat ini. Rasa cemburu makin membelit tangkai hatinya apabila kelihatan Naqib berdiri di hadapan Marha seolah-olah cuba mempertahankan gadis itu.
“Bekas bos? Itu saja yang kau bagi tahu bekas tunang kau ni?” Soal Amzar sambil menekankan perkataan bekas tunang. Dia berharap agak lelaki itu sedar akan kedudukannya saat ini.
“Errr… Am, kita bincang tempat lain. Qib, awak baliklah dulu. Nanti saya call awak,” ujar Marha cuba menyelamatkan suasana.
“Call? Kenapa mesti kau nak call dia lagi? Apa hubungan kau dengan dia?” Pintas Amzar pantas. Terasa darahnya naik hingga ke ubun-ubun. Hatinya bagai diinjak-injak dengan keras. Perhatian yang Marha tunjukkan kepada Naqib sudah cukup untuk membuatkan hatinya pecah berderai.
“Sepatutnya aku yang tanya, kenapa kau sibuk sangat hal aku dan Marha? Kau nak apa dengan Marha?” Soal Naqib kemudiannya. Dia turut berang dengan perlakuan Amzar yang kelihatan menekan Marha.
Renungan Amzar teralih kepada Naqib. Dia mengumpul kesabaran yang semakin menipis. Kebisuan Marha makin menambah sakit di hatinya. Egonya sebagai lelaki tercabar.
“Sudahlah Qib. Awak baliklah dulu,” tegur Marha cuba menjernihkan suasana yang terasa tegang.
“Kenapa susah sangat kau nak terus-terang, Marha? Kau malu ke? Atau kau masih ada perasaan pada bekas tunang kau ni?” Amzar mula melenting.
“Apa yang awak merepek ni, Am? Saya cuma tak nak awak berdua bergaduh. Kita kat kampung sekarang, malu kalau orang nampak.” Balas Marha.
Amzar tersenyum sinis.
“Malu? Malu orang nampak kalau aku bergaduh. Kau orang berdua-duaan tepi pantai ni tak malu pulak? Sedar diri kau tu sikit, Marha. Kau isteri aku! Aku tak suka kau keluar dengan lelaki lain. Kenapa kau degil sangat, hah?” balas Amzar. Oktaf suaranya mula meninggi.
Naqib terpempan. Sebaris perkataan itu membuatkan dia tertegun bersama hati yang retak seribu. Dia kalih pandangan ke arah Marha yang kelihatan serba salah.
“Apa? Isteri? Mar, apa ni?” Soal Naqib dengan tergagap-gagap.
Marha menjatuhkan kepala. Tidak sanggup untuk bertentangan mata dengan Naqib saat ini. Dia rasa bersalah kerana tidak berterus-terang sedari awal.
Sikap mendiamkan diri Marha menambah rasa bengang dalam diri Amzar. Dia yakin gadis itu masih mempunyai perasaan kepada lelaki tersebut. Tengoklah, bibir Marha bagaikan digam apabila Naqib mempersoalkan hubungan mereka.
“Kenapa kau diam, Marha? Kau takut nak mengaku yang kau tu isteri aku. Atau kau nak aku buktikan sekarang?” soal Amzar lalu menghampiri Marha.
Marha tercengang. Dia tidak dapat mengelak apabila tangan Amzar mula merangkul pinggangnya. Dia tergamam. Naqib terbeliak.
“Saya dah jadi isteri orang, Qib…” ucap Marha perlahan. Dia menundukkan pandangan.
Naqib terdiam seribu bahasa. Bibirnya beku untuk membalas kata-kata Marha. Kenyataan itu seakan-akan menampar pipinya. Pedih. Apabila melihat tangan Amzar kemas di pinggang Marha, hatinya bagai dicincang dengan lumat. Sakit!
“Saya minta maaf, Qib…” sambung Marha lagi apabila Naqib hanya mendiamkan diri. Wajah lelaki itu bertukar keruh.
“Kau ikut aku sekarang!” arah Amzar bengang. Dia menarik pergelangan tangan Marha dengan kuat agar gadis itu mengikuti langkahnya.
Naqib tidak mampu berbuat apa-apa kerana antara mereka sudah tidak mempunyai apa-apa ikatan. Dia tersilap langkah kali ini. Sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa gadis yang dinanti dan disayangi setiap hari akhirnya menjadi milik orang lain. Kerana kesilapannya, dia kehilangan orang yang dicintainya sepenuh hati.
Sementara itu, Marha meronta-ronta untuk meleraikan cengkaman tangan Amzar di pergelangan tangannya. Lelaki itu langsung tidak mengendahkan rontaannya. Dia tidak tahu mengapa mesti Amzar melepaskan kemarahannya sedangkan selama ini hubungan mereka sarat dengan kebencian.
“Lepaskan saya! Sakitlah!” Marah Marha lalu merentap tangannya daripada pegangan Amzar.
Langkah Amzar terbejat. Dia berpaling ke belakang. Wajah Marha direnung dengan tajam. Kelihatan gadis itu menggosok pergelangan tangannya. Mungkin betul-betul kesakitan. Kerutan di dahinya telah menjelaskan segalanya.
“Sakit? Apa yang kau buat tadi lebih menyakitkan hati aku. Kau tahu tak?” suara Amzar mula mengendur namun sakit di hatinya masih belum reda sepenuhnya.
“Saya tak buat apa-apa pun. Kenapa susah sangat awak nak faham? Saya terjumpa Naqib dan kami berbual…”
“Berbual? Perlu ke berbual sampai duduk rapat-rapat macam tu? Kau ingat aku tak nampak? Kau ingat aku buta?!” Soal Amzar memintas percakapan Marha.
Marha mengetap bibir. Susah untuk dia terangkan hal sebenar jika Amzar masih dikuasai amarah. Jalan terbaik adalah dengan berdiam diri tetapi jika berdiam diri, Amzar tidak akan henti-henti bersangka buruk pada dia dan Naqib.
“Yang awak nak marah sangat ni kenapa?Awak cemburu?” bentak Marha. Geram.
“Ya, aku cemburu! Puas hati kau?” Akui Amzar akhirnya.
Marha tergamam. Pengakuan Amzar membuatkan dia terkebil-kebil seketika. Amzar cemburu? Biar betul? Detik hatinya. Namun, Marha tidak mahu terbuai dengan perasaan. Dia yakin, kata-kata Amzar tidak membawa sebarang makna. Marha senyum sinis.
“Saya tak percaya yang awak cemburu. Saya cuma percaya yang awak tak pernah fikir baik pasal saya. Apa yang saya buat semua salah pada mata awak. Saya tak faham kenapa awak nak marah sampai macam ni sekali. Antara kita bukan ada apa-apa hubungan. Saya tak pernah soal apa yang awak buat dengan Cik Ratna jadi awak tak payah masuk campur dalam hal saya!” tegas Marha. Dia memeluk tubuh.
Amzar terpempan dengan kata-kata Marha.
“Ratna tak ada kena mengena dengan hal ni. Sekarang, kita bercakap pasal kau dan Naqib bukan pasal aku dan Ratna. Jadi kau nak cakap aku tak ada hak nak masuk campur dalam hal kau dan Naqib? Kenapa? Kau dah bercadang nak kembali semula pada bekas tunang kau tu?!” soal Amzar lagi. Dia bengang.
Marha tersenyum sinis.
“Kalau ada peluang, apa salahnya.” Jawabnya selamba. Sengaja menaikkan amarah Amzar.
Amzar tersentak. Dia mengetap bibir. Cuba menahan rasa cemburu yang semakin membuak-buak saat ini. Nafas ditarik dan dilepaskan dengan kuat. Bunyi ombak yang menghempas pantai tidak mampu untuk menghilangkan rasa panas di hatinya. Kecil saja Marha di matanya saat ini.
“Kalau ada peluang, ya?” Gumam Amzar sendirian. Dia menundukkan kepala seketika sebelum menghampiri Marha. Dia berdiri setentang dengan isterinya itu. Kedua-dua bahu gadis itu ditarik supaya menghadapnya.
Marha tertegun. Dia mengikut rentak tangan Amzar. Dia menelan air liur apabila kedudukan Amzar begitu dekat dengannya. Dia dapat melihat wajah Amzar dengan jelas. Renungan lelaki itu sudah cukup untuk menggetarkan hatinya saat ini.
“Aku akan pastikan yang kau takkan dapat peluang tu. Kau isteri aku. Milik aku.” Bisik Amzar rapat di telinga Marha.
Marha menelan rengkungnya sendiri. Bulu romanya meremang dengan bisikan Amzar. Dia cuak. Dia kehilangan kata. Namun, dia tersedar apabila tangannya ditarik oleh Amzar.
“Apa ni? Awak nak heret saya ke mana ni?” Soal Marha mulai gusar dengan tingkah Amzar kali ini. Kakinya hampir tersadung apabila terpaksa mengikuti langkah kaki Amzar yang laju.
“Nampaknya kau lupa siapa suami kau sendiri, jadi aku kena ingatkan kau semula.” Jawab Amzar dengan selamba.
“Apa maksud awak?” Soal Marha dengan suara yang tenggelam timbul. Dia resah.
“Saya tak nak ikut awak!” tegas Marha dan cuba merentap tangannya kembali.
Amzar geram. Langkahnya terhenti betul-betul berhadapan dengan keretanya. Dia merenung Marha dengan tajam. Tubuh gadis itu ditarik lalu ditolak lembut ke sisi kereta. Kedua belah tangannya mengepung Marha bagi mengelak gadis itu melarikan diri.
Marha tertelan air liur. Dadanya bergetar hebat. Renungan lelaki itu cukup untuk menggoncang hatinya saat ini.
“Kenapa kau tak nak ikut aku? Kau nak ikut bekas tunang kau tu ke? Dah bercadang nak lari dengan dia?” Soal Amzar bertalu-talu. Suaranya kedengaran dingin.
Marha mengangkat wajah. Cuba menentang pandangan Amzar dengan berani. Dia melepaskan keluhan.
“Kenapa diam?” sambung Amzar apabila Marha hanya mendiamkan diri.
“Kalau saya terangkan pun, awak takkan terima. Awak tetap tuduh saya ada hubungan dengan Naqib. Saya tak tahu nak jelaskan macam mana lagi pada awak pasal ni. Awak takkan percayakan saya. Jadi lebih baik kita tamatkan segalanya hari ni. Awak datang ke sini sebab nak bincang pasal penceraian tu kan?” Giliran Marha yang menyoal.
Amzar melepaskan nafas berat. Dia merenung tepat ke anak mata Marha yang bundar.
“Kau memang nak kita berpisah ke?” soal Amzar dengan perlahan. Cuba menahan rasa sakit di hati.
“Memang itu tujuan awak datang ke kampung saya kan? Antara kita tak ada apa-apa yang mengikat. Awak tak ada perasaan pada saya dan saya yakin awak masih bencikan saya. Sementara tiada seorang pun tahu tentang hubungan ni, lebih baik kita putuskan saja.” Balas Marha cuba mengawal suaranya yang kedengaran bergetar. Dia cuba menentang pandangan Amzar, namun dia tewas. Dia menurunkan pandangan bersama jantung yang berdetak laju
“Perasaan kau macam mana? Kau masih cintakan bekas tunang kau?” Soal Amzar lagi. Inginkan kepastian.
“Sama ada saya masih cintakan dia atau pun tidak, itu semua dah tak penting. Antara saya dan dia dah jadi sejarah…”
“Tapi bagi aku tetap penting sebab aku cintakan kau!” pintas Amzar pantas.
Marha terdiam. Sebaris ayat itu cukup untuk membuatkan Marha tergamam. Terkebil-kebil dia membalas pandangan Amzar. Jelas, wajah lelaki itu mula berona merah.
“Awak caaa…kap apa?” Soal Marha dengan tergagap-gagap. Aku tak salah dengar ke ni? Soal hati kecilnya.
Amzar resah. Dia harus mengungkapkannya sekali lagi ke? Sedangkan tadi nyawanya hampir tercabut untuk mengucapkan tiga patah kata itu, inikan pula harus mengucapkannya sekali lagi. Mama, tolong Am! Jerit hatinya.
“Ikut aku sekarang!” tanpa menjawab soalan Marha, Amzar terus menarik pergelangan tangan isterinya itu sebelum pintu kereta dibuka. Tubuh Marha didorong untuk masuk ke dalam kereta kemudian pintu kereta itu ditutup dengan rapat.
Amzar meraup wajahnya dengan dada yang bergetar hebat. Kemudian, dia melangkah masuk ke dalam kereta tanpa memandang wajah Marha yang kelihatan bingung.
“Kita nak ke mana ni?” Soal Marha mulai cuak.
“Ke tempat yang hanya ada aku dan kau.” Jawab Amzar laju.
“Hah?”





Thursday 10 January 2019

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 31

DATIN ZAHIDAH mengeluh kecil apabila melihat Amzar yang terus mendaki tangga menuju ke biliknya tanpa menegur dia dan Dato Zuhdi terlebih dahulu. Dia tidak tahu apa yang dirasakan oleh Amzar sekarang ini. Jika ditanya anak sulungnya itu hanya tersenyum seolah-olah semuanya baik-baik sahaja padahal Datin Zahidah tahu, Amzar sedang menyembunyikan perasaannya yang sebenar.
“Abang tengoklah Am tu. Dia macam tak nampak pula kita kat sini,” ujar Datin Zahidah sambil menggelengkan kepalanya. Kesal.
“Dia bukan tak nampak tapi dia tak sedar. Awak tak nampak ke pandangan dia kosong je tu. Jasad dia memang kat sini tapi fikiran dia dah jauh melayang. Bukan hari ni je tapi sejak kebelakangan ni memang itulah perangai anak awak. Dia hilang fokus. Masa meeting pun dia asyik termenung.” Balas Dato Zuhdi sambil mencicip kopi yang dihidangkan oleh Datin Zahidah.
“Agaknya kenapa Am jadi macam tu, bang?” soal Datin Zahidah ingin tahu.
“Abang perasan dia jadi macam tu sejak Marha resign dan balik kampung. Mungkin juga dia tertekan bila kita dan keluarga Marha paksa dia lepaskan Marha. Abang rasa Am tak dapat terima permintaan keluarga Marha tu,” balas Dato Zuhdi membuat andaiannya sendiri.
“Kalau Am tak dapat terima permintaan keluarga Marha bermakna Am dah boleh terima Marha sebagai isteri dia?”
Dato Zuhdi mengerdipkan mata. Dia yakin dengan kata hatinya.
“Awak kenal Am macam mana kan? Dia memang susah nak luahkan perasaan dia sendiri. Segala apa yang terjadi kepada dia, dia pendam. Tapi kita boleh baca daripada bahasa badan dia. Selama ni abang tak pernah tengok Am tak terurus macam ni. Maksud abang, macam ada sesuatu yang mengganggu fikiran dia. Dia asyik termenung. Kadang-kadang terlebih buat kerja. Kadang-kadang sampai ke malam dia buat kerja tapi satu kerja dia pun tak ada yang siap. Dia hilang fokus. Abang syak ni memang ada kaitan dengan Marha,” sambung Dato Zuhdi lagi.
Datin Zahidah terdiam sambil mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar penerangan Dato Zuhdi. Dia memicit dahi.
“Abang rasa kita terlalu berkasar ke dengan Am? Kita sengaja paksa dia lepaskan Marha, mungkin dia rasa tertekan disebabkan itu.” Balas Datin Zahidah mula rasa bersalah dengan tindakannya memaksa Amzar melepaskan Marha walhal itu semua hanya lakonan. Dia ingin melihat sejauh mana perasaan Amzar terhadap Marha dan sekarang dia tahu Amzar cuba memendam perasaannya sendiri.
“Kita cuma nak dia sedar dengan perasaan dia sendiri. Itu aje. Tapi awak tengoklah, sampai sekarang dia tak sebut apa-apa tentang penceraian tu dan abang rasa Am betul-betul tak nak lepaskan Marha,” jawab Dato Zuhdi.
“Abang tak rasa ke Am tak nak lepaskan Marha sebab dia nak balas dendam? Yalah, kita paksa dia kahwin jadi sebagai balasan dia takkan lepaskan Marha tapi dia tak nak bertanggungjawab atas ikatan mereka,”
Dato Zuhdi menggelengkan kepala. Dia tersenyum nipis.
“Kalau awal perkahwinan mereka dulu, abang memang pasti Am terpaksa kahwin dengan Marha tapi sekarang dah lain. Am dah mula terima Marha tapi dia keliru dengan perasaan dia sendiri. Dia tak yakin dengan perasaan yang wujud untuk Marha. Awak tahu kan anak kita tu tak boleh nak sebut langsung perkataan cinta tu. Manalah dia nak tahu dia jatuh cinta ke tak,” balas Dato Zuhdi.
Datin Zahidah menganggukkan kepala tanda faham. Dia termenung seketika.
“Saya rasa kita kena jumpa dengan Am ni, bang. Kita kena sedarkan dia,” ujar Datin Zahidah dengan semangat yang berkobar-kobar.
“Awak mamanya, saya rasa dia lebih selesa bercerita dengan awak. Awak pergilah bercakap dengan dia. Nanti saya menyusul,” balas Dato Zuhdi setuju dengan cadangan Datin Zahidah.
Datin Zahidah hanya menganggukkan kepala. Dia bangun dan menuju ke tingkat atas. Langkah kaki diatur menuju ke bilik Amzar. Pintu bilik itu diketuk sebelum tombol pintu dipulas dengan perlahan. Dia melepaskan nafas kecil apabila melihat Amzar sedang termenung di balkoni. Pemuda itu seakan tidak menyedari kedatangannya.
“Assalamualaikum. Am…” panggil Datin Zahidah dengan lembut. Dia menghampiri Amzar yang sedang termenung panjang.
Amzar tersentak. Dia berpaling sejenak. Secangkir senyuman diukirkan buat mamanya. Namun, senyuman itu dirasakan cukup hambar.
“Waalaikummusalam. Eh, mama.” Ucapnya ringkas. Pandangannya kembali menghadap ke hadapan. Dia hanya membiarkan Datin Zahidah berdiri di sisinya.
“Am dah makan?” soal Datin Zahidah berbasa-basi.
Amzar hanya menganggukkan kepala.
“Mama tak nampak pun Am makan tadi. Am makan kat luar ke? Tapi setahu mama, kalau dinner, Am lebih suka makan dekat rumah,” ucap Datin Zahidah cuba menarik minat Amzar untuk membuka mulut.
“Am dah makan sebelum balik tadi.” Jawab Amzar.
“Okey. Mama tengok Am makin tak bermaya je ni. Am tak sihat ke?” soal Datin Zahidah lagi.
“Am sihat, mama.”
Datin Zahidah kehabisan bicara. Sikap Amzar kali ini membuatkan Datin Zahidah mati kutu. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab.
“Berita tentang Ratna tu macam mana? Am dah selesaikan ke masalah Am dengan dia?” Datin Zahidah masih belum berputus asa untuk mengajak Amzar bercerita.
“Dah. Am dah minta dia jelaskan perkara sebenar kepada public. Kalau dia buat hal lagi, Am terpaksa batalkan kontrak dia sebagai duta hotel kita,” terang Amzar.
Datin Zahidah menganggukkan kepala tanda faham.
“Baguslah kalau kamu bertegas dengan dia. Mama tak suka dia gunakan media sosial untuk ikat kamu. Kita orang bisnes, Am. Apa saja berita buruk yang keluar di media tentang kamu atau kakitangan lain pasti akan menjejaskan nama baik syarikat. Sebab itulah mama paksa kamu nikah dengan Marha dulu. Mama tak nak nama baik syarikat kita terjejas,” ujar Datin Zahidah tanpa sedar menyebut nama Marha.
Amzar terdiam apabila nama Marha meniti di bibir Datin Zahidah. Sebaris nama itu sudah cukup membuatkan hatinya tersentuh. Sudah seminggu dia tidak mendengar khabar daripada gadis itu. Apa yang sedang gadis itu lakukan sekarang ini? Sihatkah dia? Soal hati Amzar dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak. Dia mendongak ke langit. Seakan terlihat bayang wajah gadis itu sedang tersenyum ke arahnya. Amzar menggigit bibir. Hatinya terasa seperti dicubit. Sakit.
Datin Zahidah mengemam bibir. Sedar akan keterlanjuran kata-katanya.
“Jadi kenapa sekarang mama paksa Am lepaskan Marha? Mama tak takut kalau orang tahu tentang ni?” soal Amzar setelah agak lama mendiamkan diri. Dia berpaling ke arah Datin Zahidah.
“Mama mengaku, dulu mama paksa kamu kahwin dengan Marha sebab mama takut orang tahu tentang berita itu. Tetapi alhamdulillah, sampai sekarang tak ada sesiapa pun yang tahu tentang perkahwinan kamu berdua ni melainkan keluarga terdekat. Jadi memandangkan kamu tak ada apa-apa perasaan pada Marha dan hubungan kamu tak lebih daripada pekerja dan majikan, mama rasa lebih baik kamu berdua berpisah dan buat hal masing-masing. Mama tak nak kamu berdua lebih berdosa jika teruskan hubungan ni tapi tak jalankan tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri. Mama rasa kamu faham kan maksud mama?” ujar Datin Zahidah panjang lebar.
“Tapi Am tak boleh nak ikut cakap mama kali ni,” jawab Amzar laju.
Datin Zahidah terdiam. Lama dia memandang wajah Amzar. Berharap agar lelaki itu memberi penjelasan.
“Maksud kamu?”
“Selepas Marha letak jawatan dan pula ke kampung, Am cuba untuk lupakan dia. Am cuba untuk bencikan dia dengan ingat semula sejarah pernikahan kami tapi Am tak mampu untuk bencikan dia, mama. Am tak mampu lupakan dia. Setiap sudut di pejabat tu, Am nampak dia. Setiap ruang dalam rumah ni, Am nampak dia. Apa yang Am perlu buat untuk lupakan dia mama?” Soal Amzar dengan suara yang lirih. Wajahnya ditundukkan. Air mukanya berubah sendu.
Datin Zahidah terkedu. Pengakuan Amzar sedikit sebanyak membuatkan dia ingin melonjak gembira tetapi Datin Zahidah cuba mengawal perasaannya. Namun, jauh dalam hati, dia bersyukur kerana Amzar mengakui perasaannya sendiri walaupun anak lelakinya itu masih nampak keliru.
“Am rindukan Marha?” Soal Datin Zahidah lambat-lambat.
“Rindu? Ini ke perasaan rindu, mama?” Soalan dibalas dengan soalan oleh Amzar namun soalannya tidak ubah seperti remaja yang baru belajar tentang perasaan.
“Apabila hati dan fikiran kamu teringat orang yang sama, itulah rindu. Apabila hati kamu takut untuk kehilangan seseorang, itulah cinta.” Jawab Datin Zahidah dengan perlahan.
Amzar terdiam. Cuba menghadam kata-kata Datin Zahidah. Jika inilah rasanya rindu, benar dia rindukan Marha saat ini. Dek kerana rasa rindu itu, hatinya rasa seperti ditumbuk. Sakit. Perit.
“Tapi Am dah terlambat, mama. Keluarga Marha takkan terima Am lagi. Marha pun dah tak nak pandang Am. Am banyak buat salah pada dia. Am sakitkah hati dia. Am hina dia. Am tuduh dia bukan-bukan. Am yakin dia takkan terima Am,” balas Amzar dengan riak kecewa tergambar jelas di wajahnya.
“Jadi, Am nak mengalah macam tu aje ke?” sampuk satu suara dari arah belakang membuatkan Datin Zahidah dan Amzar berpaling.
Kelihatan Dato Zuhdi tersenyum kepada mereka berdua. Dia menghampiri Amzar. Bahu anak lelakinya dipeluk mesra.
“Papa…” ucap Amzar perlahan.
“Lelaki sejati takkan menyerah kalah apabila berkaitan dengan hati dan perasaan. Tunjukkan perasaan sebenar kamu pada Marha, papa yakin dia akan terima kalau kamu ikhlas dengan perasaan kamu sendiri,” sambung Dato Zuhdi sambil berpandangan dengan Datin Zahidah. Isterinya itu hanya tersenyum manis.
“Tapi keluarga Marha nak Am lepaskan Marha…”
“Keluarga Marha aje kan? Bukan Marha. Keluarga Marha nak kamu lepaskan Marha sebab dia yakin kamu tak ada apa-apa perasaan pada Marha. Dia tak nak pernikahan ni mendatangkan dosa kepada kamu berdua, tapi kalau kamu tak nak lepaskan Marha disebabkan kamu dah mula sayangkan dia, papa rasa keluarga dia tentu akan terima. Cuma kamu perlu usaha lebih sikit untuk pujuk Marha dan keluarga dia,” balas Dato Zuhdi cuba memberi semangat pada Amzar.
“Macam mana Am nak pujuk? Am tak pandai nak pujuk perempuan,” jawab Amzar dengan perlahan. Dia tertunduk malu.
Dato Zuhdi dan Datin Zahidah berpandangan. Mereka ketawa lepas. Reaksi Amzar sudah cukup membuktikan bahawa anak lelakinya itu benar-benar sudah jatuh cinta.
“Betul ke yang ada depan papa ni, Amzar Mukhriz? Papa macam tak percaya pula. Hebat betul penangan Marha sampaikan Am yang gagah perkasa boleh tersipu malu macam ni,” gurau Dato Zuhdi kembali menyambung tawa.
Wajah Amzar mula berona merah. Dia tidak mampu untuk mengangkat muka saat ini. Jantungnya mula berdetak tak menentu.
“Abang, tak payahlah usik budak ni. Kesian dia,” tegur Datin Zahidah lalu memeluk erat lengan Amzar. Lengan anak lelakinya itu diusap lembut.
“Nak pujuk perempuan, kamu mesti bijak guna perasaan. Apa yang Marha nak adalah kepastian daripada kamu. Pengakuan kamu sendiri. Tunjukan dan ucapkan yang kamu sayangkan dia. Barulah dia yakin untuk terima kamu,” tambah Datin Zahidah.
“Kalau dia tak nak terima juga?” soal Amzar lagi.
“Lepaskan dia. Kamu tahu kan, cinta tak boleh dipaksa,” balas Dato Zuhdi sambil tersengih.
“Tak! Am takkan lepaskan dia!” ucap Amzar dengan yakin.
“Kalau macam tu, apa tunggu lagi?” balas Dato Zuhdi sambil tersenyum penuh makna.
Amzar menganggukkan kepala. Dia mula berpaling untuk melangkah ke ruang kamarnya.
“Am nak ke mana pula tu?” soal Datin Zahidah pelik.
“Am nak kemas baju, mama.”
“Kemas baju? Nak pergi mana?”
“Nak bawa menantu mama balik,” ucap Amzar dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
Datin Zahidah turut tersenyum. Lega.


“KAMU nak ke mana ni, Mar?” soal Puan Kalilah apabila berselisih dengan Marha di muka pintu. Anak gadisnya itu hanya tersenyum nipis.
“Mar nak ke pantai kejap, ibu. Nak ambil angin.” Jawab Marha kemudian menuruni tangga dan terus menyarung selipar.
“Kamu buat apa kat pantai tu tiap-tiap hari? Kalau tak ke pantai, kamu termenung aje memanjang. Kamu fikir apa sebenarnya ni? Fikirkan orang jauh ke?” Soal Puan Kalilah bertalu-talu.
Marha melarikan pandangan ke tempat lain. Dia tidak mahu Puan Kalilah membaca hatinya saat ini.
“Mar tak fikir sesiapa pun, ibu. Mar cuma nak tenangkan fikiran je. Nak fikir masa depan Mar. Pasal kerja lagi. Banyak perkara yang Mar nak kena fikir,” balas Marha cuba berdalih.
Puan Kalilah duduk di atas tangga. Wajah Marha ditenung dengan lama. Dia tahu Marha sedang menyembunyikan sesuatu.
“Sebut pasal kerja, betul ke kamu nak pergi temuduga terbuka di Langkawi sana tu? Tak ada tempat lain ke? Jauh sangat tu.” Balas Puan Kalilah mula teragak-agak dengan keputusan Marha.
“Insya-Allah, Mar ingat memang nak cuba nasib kat sana. Lagipun hotel tu buat temuduga terbuka, kalau ada rezeki Mar diterima, Mar kerja ajelah. Kalau tak ada, Mar nak cari kerja dekat-dekat sini je.” Jawab Marha.
“Tak boleh ke kalau kamu cari kerja dekat sikit?” Soal Puan Kalilah lagi. Berat hatinya untuk melepaskan Marha sejauh itu.
“Mar nak cari pengalaman tempat lain, ibu. Lagi jauh lagi baik,” jawab Marha. Hujung suaranya kedengaran perlahan.
“Kamu nak larikan diri?” soal Puan Kalilah sambil mengecilkan kelopak matanya.
Marha menggaru-garu kepalanya yang beralas tudung. Dia menggigit bibir.
“Taklah. Mana ada Mar nak larikan diri. Mar cuma nak cari pengalaman kat tempat lain je,” dalih Marha lagi. Dia menurunkan pandangan. Dia menguis-nguis pasir dengan hujung selipar yang dipakainya.
“Ibu kenal kamu, Mar. Ibu tak kesah apa saja keputusan kamu. Kalau kamu rasa itu terbaik untuk masa depan kamu, teruskan. Tapi satu aje yang ibu minta, jangan lari daripada masalah. Selesaikan apa yang patut kamu selesaikan. Tak elok kamu tangguh-tangguh perkara macam ni.” Ujar Puan Kalilah dengan tegas.
Marha terdiam. Dia cukup faham apa yang dimaksudkan oleh Puan Kalilah. Bukan dia yang menangguhkan sebaliknya sehingga ke hari ini, tiada satu pun surat daripada mahkamah sampai ke tangannya. Dia tidak pasti sama ada lelaki itu ingin memutuskan ikatan mereka atau pun tidak.
“Mar ke pantai dululah, ibu.” Ucap Marha tanpa mengulas lanjut kata-kata Puan Kalilah.
“Tengoklah tu. Ada aje kamu nak mengelak kan?” balas Puan Kalilah tidak berpuas hati dengan reaksi Marha.
Marha hanya tersengih. Dia mencapai tangan Puan Kalilah lalu dikucup lembut sebelum berlalu sebaik saja memberi salam.
“Bukan Mar yang nak tangguh semua ni, ibu, tapi Mar tak tahu macam mana nak berhadapan dengan dia nanti. Mar bimbang hati Mar tak kuat. Kenapa Mar harus rasa sakit yang sama?” gumam Marha sendirian seiring kaki yang melangkah. Tanpa sedar setitis air mata gugur ke tanah mengenangkan nasib dirinya sendiri. Mungkinkah, cinta tidak akan pernah menjadi miliknya? Desis hati Marha. Galau. Dia terus melangkah meninggalkan halaman rumah menuju ke pantai tempat dia selalu menghilangkan kebosanan.
Sementara itu, Puan Kalilah hanya mampu menggelengkan kepala melihat tingkah Marha yang kelihatan seperti tidak bermaya. Keceriaan yang selalu menghiasi wajah itu seakan sirna sejak dia pulang ke kampung. Puan Kalilah mengerti cuma dia tidak mahu memanjangkan bicara.
“Budak-budak zaman sekarang, susah sangat ke nak mengaku? Kalau suka cakap suka. Bukan susah pun. Pendam sorang-sorang, nanti makan diri sendiri. Barulah nak menangis air mata darah. Tak faham betul aku.” Bebel Puan Kalilah lalu bangun dari duduknya. Dia berpaling untuk mendaki tangga.
Tetapi bunyi kereta memasuki halaman rumahnya membantutkan langkah Puan Kalilah. Dia berpaling. Kelihatan sebuah kenderaan jenis SUV berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Dahi Puan Kalilah berlapis.
“Siapa pula ni? Bukan main mewah lagi kereta,” omelnya sendiri sambil menunggu pemandunya melangkah keluar dari kereta.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki muda melangkah keluar dari kereta sambil tersenyum ke arah Puan Kalilah.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan oleh Amzar. Lalu dia menghampiri Puan Kalilah yang kelihatan tergamam sebaik saja melihatnya.
“Waalaikummusalam. Am? Kamu buat apa kat sini?” soal Puan Kalilah masih lagi tidak percaya dengan kedatangan Amzar saat ini.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Puan Kalilah. Huluran tangannya disambut oleh Puan Kalilah dengan tanda tanya tergambar jelas di wajahnya.
“Ibu sihat?” Soal Amzar. Walaupun terasa kekok dengan panggilan itu namun dia cuba gagahkan juga.
Puan Kalilah terdiam. Dia akui hatinya seakan disimbah dengan sebaldi ais sebaik saja mendengar panggilan Amzar terhadap dirinya.
“Alhamdulillah, sihat.” Jawab Puan Kalilah ringkas.
Amzar mula berdebar. Dia kehilangan punca. Bibirnya digigit bagi menghilangkan rasa gemuruh yang mula merajai hatinya. Dahinya mula memercikkan peluh. Malah jari jemarinya mula menggigil. Apa yang aku nak cakap ni? Soal hatinya.
“Am nak bincang sikit dengan ibu boleh tak?” soal Amzar dengan suara yang bergetar. Dia membalas renungan Puan Kalilah. Namun, dia tidak dapat bertahan dengan lama. Pandangannya ditundukkan. Jiwanya resah. Beginikah rasanya apabila berhadapan dengan ibu mentua? Detik hati Amzar.
“Kamu nak bincang apa?”


MARHA duduk sambil menatap laut yang terbentang luas di hadapan mata. Angin pantai yang bertiup lembut menyapa tubuhnya. Marha memegang tudungnya yang hampir terselak akibat ditiup angin. Air laut dan langit yang terbentang luas sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada diri Marha saat ini. Namun, ketenangan itu tidak dapat mengusir rasa galau yang bermukim di hatinya.
“Sampai hati Mar tak cakap yang Mar dah resign,” suara Kak Izzah yang menelefonnya semalam kembali terngiang di telinga. Perbualan tersebut seakan diputar semula dari kotak memori milik Marha.
“Semuanya berlaku dalam sekelip mata, kak. Mar minta maaf kalau buat akak terkejut.” Balas Marha dengan perlahan.
“Memanglah akak terkejut. Apatah lagi bila dengar berita tentang datuk yang tak guna tu. Memang patut pun dia kena tangkap. Gatal! Miang! Bini dah ada dua pun sibuk nak menggatal dengan anak dara orang. Akak memang tak berkenan dengan dia tu.” Bebel Kak Izzah di hujung talian. Marha hanya tersenyum.
“Dahlah kak tak payahlah cakap pasal datuk tu. Saya tak nak ingat tentang tu. Saya resign ni pun sebab saya nak cari ketenangan. Nak pulihkan semula semangat saya. Akak tak payahlah risaukan saya. Insya-Allah, saya baik-baik aje.” Balas Marha.
Kedengaran Kak Izzah mengeluh kecil.
“Risau tu memanglah akak risau, Mar. Akak anggap kamu macam adik akak dah. Akak percaya kamu kuat. Tapi sejak kamu tak ada, akak tengok bos kita tu tak senang duduk. Serba tak kena akak tengok Tuan Am tu,” ujar Kak Izzah.
Marha sedikit tersentak apabila nama Amzar meniti di bibir Kak Izzah. Bagi Kak Izzah mungkin perkara itu biasa tetapi bagi Marha, sepotong nama itu sudah cukup untuk menggoncang ketenangan hatinya.
“Serba tak kena macam mana, kak?” Soal Marha ingin tahu.
“Haiiii… Susah akak nak cerita, Mar. Kalau dulu kita susah nak tengok dia senyum kan? Sekarang ni sepuluh kali ganda susah nak senyum. Setiap hari moody. Tapi moody Tuan Am ni lain. Dia diam aje. Macam tak ada perasaan. Pernah sekali tu dia tidur dekat ofis. Esok pagi baru dia balik. Nampak macam tak terurus. Akak tak tahu apa puncanya tapi banyak kali juga dia tersasul sebut nama Mar.” Cerita Kak Izzah.
Marha senyap. Dia hanya menggeleng kecil. Sukar untuk mempercayai kata-kata Kak Izzah. Mungkin itu cuma cerita rekaan yang dibuat-buat. Mustahil perubahan sikap Amzar berpunca daripadanya.
“Sementara je tu kak. Nanti eloklah mood Tuan Am tu. Dia bergaduh dengan Cik Ratna kut sebab tu mood dia kurang baik. Lepas kahwin dengan Cik Ratna, tentu mood dia kembali seperti biasa,” ujar Marha sambil ketawa kecil. Tawa yang dirasakan cukup janggal.
“Tuan kahwin dengan Cik Ratna? Huh! Agaknya Mar tak tahu berita yang terbaharu. Cik Ratna tu aje yang perasan lebih…” balas Kak Izzah mula membuka cerita.
“Perasan? Bukan ke dia dua orang saling bercinta?” Soal Marha.
“Memang. Tapi dulu. Akak tak tahu apa yang terjadi pada hubungan dia orang tetapi pasal hal pertunangan yang tersebar kat sosial media tu, semuanya rekaan daripada Cik Ratna. Kononnya jika dia buat pengakuan macam tu, Tuan Am akan terharu. Tapi sebaliknya pula yang berlaku. Entah apa yang Tuan Am cakap, tak lama selepas tu Cik Ratna buat pengakuan yang sebenar tentang hubungan dia dan Tuan Am yang dah lama berakhir.”  Cerita Kak Izzah lagi.
Marha terus terdiam. Jadi, benarlah lelaki itu tiada sebarang hubungan lagi dengan Ratna? Soal hati Marha. Mula dilanda tanda tanya.
Dia melepaskan nafas dengan dengan perlahan. Tiupan angin yang kuat memusnahkan lamunannya yang panjang. Marha meraup wajahnya.
“Assalamualaikum… Marha…” sapa satu suara membuatkan Marha berpaling.
Bulat matanya apabila melihat figura seorang lelaki sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman manis terukir di bibir.
“Waalaikummusalam. Naqib? Awak buat apa kat sini?” Soal Marha dengan suara yang sedikit meninggi. Dia tergamam.

Friday 4 January 2019

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 30

AMZAR terjaga daripada tidur apabila terasa lengannya digoncang seseorang. Wajahnya sedikit berkerut apabila lengan sebelah kanannya terasa lenguh. Perlahan-lahan, dia membuka mata. Sebaik saja pandangannya jelas, terpampang wajah Datin Zahidah di hadapan mata.
"Mama..." ucapnya dengan suara yang serak. Dia memisat-misat mata.
"Am buat apa ni? Kenapa tak balik semalam?" soal Datin Zahidah dengan suara yang perlahan. Bimbang tidur Marha terganggu.
Amzar tidak terus menjawab soalan Datin Zahidah sebaliknya dia memandang Marha yang masih tidur sambil beralaskan lengannya. Dengan berhati-hati Amzar mengangkat kepala Marha dan diletakkan di atas bantal sebelum berdiri. Dia menggeliat. Cuba menghilangkan lenguh di pinggang dan lengannya.
"Marha meracau semalam jadi Am temankan dia tidur," jawab Amzar akhirnya.
"Temankan dia tidur? Habis tu ni apa?" soal Datin Zahidah lantas menunjukkan beberapa keping kertas kepada Amzar.
"Apa ni?" soal Amzar lalu menyambut huluran Datin Zahidah.
"Patutnya mama yang tanya kamu, kenapa borang cerai dan surat perletakkan jawatan Marha ada dalam simpanan kamu. Kamu berdua memang serius nak berpisah?" soal Datin Zahidah lagi dengan nada yang masih terkawal.
Amzar terdiam. Dia hampir terlupa dengan kehadiran borang dan surat tersebut.
"Macam mana mama boleh jumpa borang dan surat ni?" soalan dibalas soalan oleh Amzar.
"Mama ternampak borang ni masa masuk bilik kamu. Sekarang cakap dengan mama, kamu memang serius nak berpisah dengan Marha?" soal Datin Zahidah inginkan kepastian.
"Am nak ke tandas dulu, lepas tu kita bincang." Jawab Amzar kemudian terus berlalu ke tandas.
Pintu tandas ditutup rapat. Amzar menyandarkan belakang badannya di pintu. Matanya dipejam seketika. Nafasnya dilepaskan.
"Mama rasa lebih baik Am lepaskan Marha. Mama tak nak tengok dia terseksa lagi." Suara Datin Zahidah kembali terngiang di telinga Amzar. Dia meraup wajahnya.
"Macam mana aku nak lepaskan kau, Marha kalau hati aku sendiri yang tak nak lepaskan kau? Aku dah terbiasa dengan kehadiran kau. Apa yang jadi pada aku kalau aku lepaskan kau? Aku tak pernah rasa terbeban seperti ni seumur hidup aku. Betul ke kau terseksa jika aku teruskan hubungan ni?" Gumam Amzar sendirian sambil belakang kepalanya dihantuk dengan perlahan ke pintu.
Kelopak mata Amzar kembali terbuka. Dia menggigit bibir lalu menuju ke singki. Paip dibuka, kemudian dia menunduk untuk membilas wajahnya. Segar.
Dia kembali mengangkat muka. Dia merenung dirinya sendiri di hadapan cermin.
"Berapa lama lagi kau nak seksa Marha, Am? Kalau kau tak sanggup lepaskan dia, cepat akui perasaan kau pada dia." Kedengaran satu suara menyapa Amzar.
Amzar tersentak. Melalui cermin kaca, kelihatan figura dirinya sendiri sedang merenung Amzar dengan tajam.
"Perasaan? Apa perasaan aku?" soal Amzar kemudiannya.
"Perasaan kau yang sebenarnya. Kau tak sanggup kehilangan Marha kan? Kau dah tak mampu nak benci dia kan? Itu tandanya dia dah mula berada dalam hati kau. Kau perlukan dia dalam hidup kau. Kau takut kehilangan dia. Itu bermakna kau dah mula sayangkan dia. Cintakan dia." Suara itu berbunyi lagi.
Amzar terdiam sejenak.
"Cin... Cin... Ta... Mustahil!" ucap Amzar tergagap-gagap. Dahinya mula berpeluh. Sepatah perkataan itu mungkin senang untuk dituturkan oleh orang lain tapi tidak Amzar. Bibirnya seakan berat untuk mengungkapkan sepatah perkataan tersebut. Lidahnya kelu. Disebabkan itulah Ratna selalu merungut tentang dirinya yang tidak romantik. Bukan dia enggan mengungkapkan tetapi dia tidak mampu.
"Ungkapkan sebelum terlambat. Sebelum kau menyesal. Menafikan kenyataan akan lebih menyakitkan diri kau sendiri," ucap suara itu.
Tok! Tok!
Bunyi ketukan dari arah luar mengejutkan Amzar. Cepat-cepat dia meraup wajahnya yang masih dibasahi dengan air. Kemudian dia melangkah keluar.
"Lamanya Am kat dalam..." tegur Datin Zahidah sewaktu Amzar berdiri di hadapannya.
Amzar hanya tersenyum hambar. Kemudian, anak matanya mula menangkap kehadiran seorang wanita sebaya Datin Zahidah bersama seorang gadis dan lelaki remaja sedang berdiri di sisi katil Marha. Pandangannya beralih pada Datin Zahidah. Mengharap penjelasan.
"Tu mak mentua dan adik-adik ipar kamu. Kamu dah lupa ke? Pergi salam sekarang," arah Datin Zahidah.
Amzar hanya menurut. Dia menghampiri Puan Kalilah.
"Mak... Mak cik..." tegur Amzar tergagap-gagap. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.
Puan Kalilah berpaling. Dia pegun seketika melihat Amzar yang sedang menghulurkan tangan. Inikah pemuda yang hilangkan diri sebaik saja akad nikah mereka berdua selesai? Kenapa berlainan sekali renungannya? Detik hati Puan Kalilah lalu menyambut huluran tangan Amzar.
"Dah lama mak cik sampai?" soal Amzar dengan sopan. Dia tersenyum kepada kedua-dua adik Marha. Sungguh, dia tidak pernah kenal kedua-duanya. Malah, nama mereka berdua pun Amzar tidak tahu. Teruknya aku ni! Marah Amzar pada dirinya sendiri.
"Baru aje. Encik tak kerja ke hari ni?" soal Puan Kalilah berbasa basi.
Amzar berpandangan dengan Marha. Sungguh saat ini dia mula berasa jarak di antara dia dan Marha walaupun gadis itu berada di hadapannya. Terasa dirinya tidak diterima oleh keluarga gadis itu.
"Tak payahlah panggil encik. Mak cik boleh panggil saya Am. Saya cuti hari ni. Selagi Marha tak sihat, selagi tulah saya akan jaga dia," balas Amzar dengan senyuman. Dia membalas pandangan Marha yang sedang merenungnya.
"Kalau awak nak ke ofis, awak pergilah. Saya dah rasa sihat sikit ni. Nanti banyak pula kerja yang tertangguh," Marha bersuara.
Amzar menggelengkan kepala. Secangkir senyuman diukirkan untuk Marha.
"Tak mengapa. Apa yang terjadi pada kau... Err... Maksud saya,  apa yang terjadi pada awak, tanggungjawab saya." Ujar Amzar. Dia menggigit lidah apabila tersasul menggunakan bahasa yang kasar di hadapan Puan Kalilah. Jelingan wanita itu sudah cukup menunjukkan bahawa Puan Kalilah tidak selesa dia menggunakan bahasa itu kepada Marha.
"Mak cik rasa apa yang Marha cakap tu betul. Mak cik boleh jaga Marha. Dia anak mak cik. Mak cik boleh jaga dia. Mak cik bersalah sebab abaikan dia selama ni. Mak cik halau dia. Mak cik biarkan dia tanggung kesedihan sorang diri. Jadi, tiba masanya mak cik tebus balik kesalahan mak cik," ucap Puan Kalilah lalu merenung Marha dengan air mata yang mula bergenang.
Marha sebak. Lantas, dia bangkit dan merangkul leher Puan Kalilah dengan erat. Dia melepaskan tangisan kerinduan yang selama ini dia pendamkan buat ibu dan adik-adiknya.
"Mar minta maaf,  ibu. Mar dah lukakan hati ibu. Mar tak dapat jadi anak yang baik untuk ibu. Tapi percayahlah tak pernah walau sesaat Mar lupakan ibu dan adik-adik. Mar rindukan ibu," ngongoi Marha.
"Ibu pun sama, sayang. Maafkan ibu sebab halau kamu. Ibu terlalu ikutkan perasaan. Ibu fikir ibu kuat untuk lepaskan kamu tapi sebenarnya tidak. Ibu tak sanggup nak lepaskan kamu dengan cara macam tu. Tentu kamu terseksa kan dengan apa yang terjadi?" soal Puan Kalilah lalu meleraikan pelukan. Wajah Marha yang dibasahi dengan air mata diseka dengan jari jemarinya. Wajah lembut itu direnung dengan penuh kasih sayang.
Marha mengangguk sebagai jawapan. Namun, anggukan Marha membuatkan Amzar tersentak. Dia menundukkan kepala. Jadi, benarlah Marha terseksa selama ini dan dia tidak pernah membahagiakan gadis itu walau sesaat.
Hati Amzar terguris dengan kenyataan itu lalu dia berpaling. Dia beredar meninggalkan bilik tersebut dengan rasa galau memenuhi ruang hatinya.


"MAK cik nak bincang dengan kamu sekejap, boleh?" Soal Puan Kalilah sewaktu dia mendekati Amzar yang sedang duduk termenung di bangku yang berada di luar bilik Marha.
Amzar menganggukkan kepala lantas mengengsotkan sedikit punggungnya bagi memberi ruang untuk Puan Kalilah duduk di sebelahnya. Dia memandang Puan Kalilah tanpa sebarang kata.
"Mak cik nak bincang apa?" soal Amzar dengan sopan.
Puan Kalilah senyap seketika. Nafas ditarik dan dihembus dengan perlahan.
"Marha dah boleh keluar hari ni jadi mak cik rasa mak cik nak bawa dia balik ke kampung semula," ucap Puan Kalilah dengan tenang.
Amzar sedikit tersentak. Dia cuba mengawal riak wajahnya yang terkejut. Dia tersenyum hambar.
"Elok juga tu. Dia dah lama rindukan mak cik dan adik-adik. Bila kat kampung bolehlah dia tenangkan diri sikit. Dia pun perlukan rehat..." ujar Amzar.
"Jadi mak cik nak kamu lepaskan Marha." Balas Puan Kalilah spontan.
Dup! Jantung Amzar bagaikan direntap dengan keras apabila permintaan itu keluar daripada mulut Puan Kalilah. Walaupun ayat yang sama telah diutarakan oleh Datin Zahidah tetapi kata-kata yang diucapkan oleh Puan Kalilah cukup menikam hatinya.
"Lepaskan Marha? Apa maksud mak cik?" soal Amzar dengan suara yang bergetar walaupun dia cukup mengerti apa yang sedang dibicarakan oleh Puan Kalilah.
"Mak cik rasa kamu cukup faham apa yang mak cik maksudkan. Mak cik tahu perkahwinan kamu dan Marha terjadi disebabkan rasa terpaksa bukan kerana kerelaan hati kamu sendiri. Mak cik yakin kamu dan Marha tak bersalah dalam hal tu. Kamu tak pernah terima Marha sebagai isteri dan pernikahan ni kan? Jadi mak cik rasa sudah tiba masanya untuk kamu berdua berpisah," jawab Puan Kalilah dengan wajah yang serius.
"Tapi kenapa mesti sekarang, mak cik? Tak boleh ke kalau mak cik terima saya sebagai menantu mak cik?" soal Amzar kemudiannya. Dia benar-benar buntu saat ini. Semua orang di sekelilingnya menekannya supaya melepaskan Marha sedangkan hatinya enggan melakukannya.
Puan Kalilah terkedu seketika dengan soalan yang keluar daripada mulut Amzar. Wajah itu tampak kusut dan tertekan. Namun, Puan Kalilah cuba tetapkan pendirian.
"Anak mak cik tak sesuai dengan kamu. Dunia kamu dan kami jauh berbeza. Jadi, perpisahan adalah jalan terbaik lagipun kamu dan Marha tak pernah tinggal sebumbung. Hubungan kamu dan Marha bukan seperti suami isteri yang lain. Daripada kamu dan Marha terus berdosa sebab tak menjalankan tanggungjawab, sebaiknya kamu lepaskan Marha. Mak cik tahu mak cik pun bersalah sebab tak didik Marha dengan baik jadi mak cik dan Marha minta maaf kerana dah menyusahkan kamu dan keluarga. Mak cik betul-betul tak sangka semuanya akan jadi macam ni." Balas Puan Kalilah panjang lebar.
Amzar resah. Dia kebingungan. Dia menjilat bibirnya yang terasa kering.
"Mak cik... Saya tak pernah letakkan taraf antara saya dan Marha apatah lagi dengan mak cik. Saya tak boleh lepaskan Marha macam tu saja..."
"Kenapa tak boleh? Kamu nak tengok dia terus terluka? Kalau tujuan kamu pertahankan ikatan ni semata-mata nak tengok dia terluka, mak cik takkan benarkan. Cukuplah sekali mak cik lukakan hati dia. Keputusan mak cik dah muktamad.  Kamu jangan jumpa dengan dia lagi!" ujar Puan Kalilah dengan cukup tegas. Dia bingkas bangun.
"Saya masih ada hak ke atas Marha. Dia isteri saya!" Amzar turut bingkas bangun. Dia cuba memujuk Puan Kalilah walaupun hatinya kacau bilau saat ini.
"Isteri sekadar lafaz layakkah kamu gelarkan dia isteri kamu? Lepaskan Marha. Mak cik juga berhak atas kebahagiaan Marha. Sebelum dia jadi isteri kamu, dia adalah anak mak cik dan takkan ada sesiapa yang boleh ubah kenyataan itu. Perasaan kamu pada Marha mungkin boleh berubah tapi perasaan ibu kepada anaknya takkan pernah berubah. Jadi sebagai ibu yang melahirkan dia, mak cik merayu supaya kamu lepaskan Marha. Bebaskan dia daripada ikatan yang sia-sia ni." ucap Puan Kalilah dengan tekad.
Amzar terpempang. Seakan terdengar bunyi dentuman guruh di telinganya saat Puan Kalilah menghabiskan bicara. Kata-kata itu menusuk hatinya. Adakah ini petanda bahawa hubungan dia dan Marha akan berakhir?
"Mak cik..." suara Amzar kedengaran sayu. Dia ingin mengatakan sesuatu namun bibirnya beku, lidahnya kelu.
"Kamu berdua tak ada apa-apa perasaan antara satu sama lain kan? Jadi itu lebih mudah untuk kamu lepaskan Marha. Mak cik minta maaf kalau mak cik berkasar dengan kamu tapi mak cik minta sangat, tamatkan semua ni. Mak cik akan pastikan Marha takkan ganggu hidup kamu lagi." tambah Puan Kalilah lantas berpaling meninggalkan Amzar tanpa sempat lelaki itu bersuara.
Amzar kehilangan kata. Banyak benda yang ingin diucapkan tetapi suaranya seakan tersekat di kerongkong. Akhirnya dia terduduk di atas bangku mengenangkan dirinya yang tak ubah seperti seorang pengecut.


MARHA hanya memerhatikan gerak geri Puan Kalilah yang agak canggung di pandangannya. Wanita itu kelihatan seperti tergesa-gesa mengemas pakaian miliknya. Marha berpandangan dengan Humaira dan Rifqi.
"Kenapa ibu kelam kabut sangat ni?" soal Marha dengan lembut.
"Mar dah boleh keluar dari hospital sekarang kan? Ibu kenalah cepat. Cepat kemas, cepatlah kita balik kampung." Balas Puan Kalilah lalu menghampiri Marha yang duduk di birai katil.
"Kita nak balik hari ni ke, ibu? Tapi Mar kena maklumkan pada Am dulu. Dia kan bos Mar." jawab Marha sambil menjengukkan kepala memandang ke pintu bilik. Berharap agar Amzar muncul.
"Tak payah maklumkan pun tak apa. Mulai hari ni Mar ikut ibu balik kampung. Cari kerja kat sana. Tak payahlah kita ganggu hidup Am dan keluarga dia. Kita tak setaraf dengan mereka. Kita kena sedar diri, Mar." Ujar Puan Kalilah membuatkan Marha tersentak. Lama dia merenung wajah Puan Kalilah dengan tanda tanya tergambar jelas di wajahnya.
"Apa maksud ibu? Kontrak Mar dengan syarikat belum tamat lagi. Mar masih pekerja Am dan Mar rasa keluarga Datin Zahidah bukan orang yang memandang taraf, ibu. Mereka baik sangat dengan Mar." Balas Marha.
"Keluarga datin memang baik tapi Amzar? Dia boleh ke terima kamu? Pasti tak kan? Ibu tak nak kamu buang masa lagi dengan pernikahan ni. Jadi ibu dah minta dia lepaskan kamu," ucap Puan Kalilah.
Marha terkedu. Kata-kata Puan Kalilah jelas membuatkan dia tergamam. Hatinya disapa debaran.
"Ibu minta Am lepaskan Mar?" soal Marha inginkan kepastian.
Puan Kalilah mengangguk laju.
"Ibu dah agak dia takkan terima kamu jadi isterinya, tengoklah masa akad nikah tempoh hari. Dia tinggalkan kamu sorang diri selepas selesai akad nikah. Kamu berdua pun tak tinggal satu bumbung kan? Ibu rasa daripada kamu terus berdosa sebab main-mainkan perkahwinan ni lebih baik kamu berdua berpisah aje," jawab Puan Kalilah dengan tenang.
"Betul cakap ibu tu, kak long. Lagipun Abang Am tu dah bertunang," sampuk Humaira menambah lagi kejutan pada Marha. Dia berpaling. Wajah Humaira ditenung dengan seribu persoalan.
"Bertunang? Dengan siapa? Apa yang Maira merepek ni?" Soal Marha bertalu-talu. Hatinya rasa seperti ditusuk dengan duri yang tajam. Sakit tapi tidak kelihatan pada zahirnya.
"Maira dan merepek, cuba kak long tengok ni," ujar Maira lalu mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menunjukkan sesuatu kepada Marha.
"Kawan kolej Mar ni model sambilan jadi dia memang peminat Rania Ratna. Tadi dia ada share berita tentang pertunangan Ratna ni dekat facebook. Ratna tu sendiri yang umumkan yang dia dah jadi tunangan kepada Amzar Mukhriz. Siap tayang cincin lagi," cerita Humaira dengan bibir yang terjuih-juih.
"Cincin?" Marha bingung. Video yang ditunjukkan oleh Humaira seakan tidak kelihatan di matanya. Semuanya kosong termasuk fikirannya.
"Aku takkan tinggalkan kau..."
Bisikan lembut lelaki itu semalam masih terngiang di telinga Marha malah pelukannya masih hangat terasa. Marha akui, hatinya terbuai dengan layanan Amzar tetapi apa maksud segala perlakuan lelaki itu semalam jika semuanya hanya dusta? Perasaannya dipermainkan dengan sebegitu kejam.
"Kan ibu dah cakap, kita dengan dia jauh berbeza. Kita tak setaraf dengan dia. Mar ikut ibu balik ya? Mar mulakan hidup baru. Pedulikan apa kata orang kampung kalau mereka tanya pasal suami kamu. Ibu dah lali dah. Kali ni ibu akan berada di belakang kamu.  Ibu takkan biarkan sesiapa sakiti anak-anak ibu." Ujar Puan Kalilah lalu mencapai tangan Marha, Humaira dan Rifqi.
Marha menundukkan wajah. Kebenaran yang tersingkap hari ini tidak mampu untuk dia jangkakan. Hatinya terguris. Pedih.
"Mar nak jumpa dengan datin, boleh tak ibu?" soal Marha dengan suara bergetar.
"Ibu rasa tak payahlah. Datin dah bayarkan bil hospital untuk kamu jadi tak payahlah kita ganggu dia lagi. Kita balik terus je. Kamu tu perlu rehat yang secukupnya." Jawab Puan Kalilah laju.
Marha mula serba salah. Dia ingin mengatakan sesuatu namun kedengaran pintu ditolak dari luar membuatkan dia mengangkat pandangan.
Kelihatan Amzar berdiri di hadapannya mereka sekeluarga dengan wajah yang kusut. Marha tidak dapat membaca apa yang sedang difikirkan oleh lelaki itu semuanya tampak serabut.
"Sebelum mak cik bawa Marha balik, saya nak cakap sikit dengan dia boleh?" pinta Amzar sambil anak matanya tidak lepas merenung wajah Marha walaupun gadis itu memalingkan wajahnya ke tempat lain.
"Saya rasa tak ada apa-apa lagi yang perlu kita cakapkan. Saya cuma nak ucapkan terima kasih sebab awak dah selamatkan saya, jaga saya sepanjang malam dan bayarkan bil hospital ni untuk saya. Tahniah juga saya nak ucapkan atas pertunangan awak dan Cik Ratna. Awak berdua memang sepadan. Saya minta maaf kalau hubungan kita ni jadi penghalang untuk awak bersatu dengan Cik Ratna dulu.  Jadi lepas ni saya rasa kita boleh terus ke mahkamah." Balas Marha tanpa bertangguh.
"Bertunang? Ratna? Apa yang awak merepek ni?" soal Amzar mulai keliru.
Namun, Marha hanya tersenyum kelat. Dia bangun dan menghampiri Amzar.
"Betul cakap awak dulu, apa yang terjadi kepada kita selama ni hanya satu kesilapan. Maafkan saya sebab hadir dengan tiba-tiba dalam hidup awak. Maafkan saya sebab mengubah awak menjadi seorang yang pendendam. Maafkan saya. Saya takkan ganggu hidup awak lagi. Semoga awak bahagia dengan wanita pilihan awak. Saya pergi dulu. Anggaplah saya tak pernah wujud dalam hidup awak, ya?" ucap Marha tanpa menjawab soalan Amzar. Dia cuba melindungi kelopak matanya yang mula bergenangan. Dia menundukkan wajah.
"Marha, awak dah salah faham ni..."
Marha menggelengkan kepala. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi daripada Amzar. Keputusan sudah dibuat dan dia harus menerima kenyataan bahawa dia tidak akan pernah mendapat tempat dalam hati lelaki itu. Dia tidak mahu menagih simpati.
"Awak tak perlu jelaskan apa-apa sebab saya bukan sesiapa pada awak. Tiba masanya untuk kita tamatkan semua ni, Am. Saya pergi dulu." Ucap Marha tanpa sempat Amzar menghabiskan kata. Dia mengelak apabila Amzar cuba meraih tangannya.
Dengan pantas Marha melangkah setapak demi setapak meninggalkan Amzar sambil diikuti oleh Puan Kalilah, Humaira dan Rifqi.
Akhirnya, Amzar ditinggalkan berseorangan di dalam bilik tersebut. Dia menarik nafas sedalamnya. Dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan segalanya. Melihat Marha melangkah pergi dengan begitu saja cukup untuk membuatkan hati Amzar seperti disiat-siat. Tetapi dia tetap kaku di tempatnya berdiri.
Jika rasa yang hadir ini hanya sekadar untuk menyakitkan, lebih baik rasa ini tak pernah ada. Siapa yang bersalah, aku atau rasa ini?