Tetamu Rindu

Tuesday 30 April 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 5 )



HAMNA terhendap- hendap di sebalik  dinding. Sebaik saja menerima arahan daripada Encik Mohamad, Hamna terus menuju ke tandas. Hari ini dia terpaksa menjadi pencuci tandas yang berwibawa. Dia memandang ke kiri dan kanan untuk mencari kelibat musuh nombor satunya itu. Maklumlah pagi tadi dia telah melancarkan perang telur pada lelaki itu dan pasti lelaki itu masih lagi berang dengannya. Hamna tergelak kecil. Suka betul hatinya dapat mengenakan lelaki yang perasan bagus tu.
“ Cari siapa tu?” soal satu suara dari arah belakang.
“ Cari mamat sewel tulah, kau ada nam..pakk..”
Kata- kata Hamna terhenti di situ. Dia berpaling dan…
“ Makkk!!” dia menjerit. Bulat matanya memandang wajah lelaki yang berada di hadapannya.
Dia menyandarkan belakang badannya di dinding apabila menyedari kedudukan lelaki itu begitu rapat dengannya. Walaupun renungan mata itu sungguh tajam tapi Hamna sedikit pun tidak merasa takut malah dia rasa gelisah pula.
“ Mamat sewel yang kau cari ni ada depan mata. Kau nak apa? Nak baling telur ayam lagi atau nak baling telur dinosaur?” sindir Isyraq geram.
Wajah Hamna yang dekat dengannya ditenung dengan rasa sakit hati yang mendalam. Tetapi apabila gadis itu tersengih, rasa sakit hati itu lenyap dengan sendirinya. Ke mana pergi agaknya? Hmmm…
“ Kalau dinosaur tu hidup zaman sekarang, kaulah orang pertama yang aku bagi makan dekat T- Rex,” omel Hamna dengan nada perlahan.
“ Apa kau cakap?” tengking Isyraq dengan mata yang hampir terkeluar.
“ Heeee…relax, relax..kau ni asyik nak melenting je, period erk?” selamba saja Hamna menutur kata tanpa memikirkan akibatnya. Dia tersengih.
Memang dalam keadaan tersepit seperti ini hanya itu yang mampu dia lakukan. Cakap saja tak takut dengan Isyraq tetapi bila berdua begini, sumpah dia kecut perut!
Sekali lagi mata Isyraq terjegil keluar apabila Hamna berkata begitu. Namun, dalam hatinya bagaikan digeletek Cuma wajahnya saja diketatkan.
“ Kenapa kau cakap dekat Encik Mohamad yang aku tak datang sebab cirit birit? Sesuka hati kau je ye? Kau memang suka naikkan darah aku!” Isyraq mengubah topik.
Hamna tersengih lagi. Dia menggarukan kepalanya yang bertudung.
“ Alah, kalau aku tak cakap macam tu pun, memang  darah kau selalu naik kan?” balas Hamna selamba.
Melotot Isyraq memandang Hamna yang jauh lebih rendah daripadanya. Betul- betul pendek perempuan ni. Dahlah pendek, tembam pula tu dah macam hamster aku tengok dia. Kutuk hati Isyraq.
“ Aku cakap kau menjawab, asal aku cakap, kau suka bangkang. Kau ni memang nak kena dengan aku…”
“ Kena apa Is?” satu suara menyoal dari arah belakang.
Isyraq berpaling. Hamna turut menjenguk. Kemudian kedua- duanya tersengih malu. Sebaik saja terpandang wajah Encik Mohamad, Isyraq terus berdiri di sisi Hamna dan keduanya menundukkan kepala.
“ Tak ada apa- apalah pak cik. Kami tengah berbincang tadi macam mana nak siapkan kerja dalam masa sejam. Betul tak, Na?” soal Isyraq pada Hamna. Sengaja dia memanggil nama manja Hamna untuk menunjukkan lakonan dia pada Encik Mohamad yang berdiri tegak di hadapan mereka.
Dengan baju pengawal keselamatan yang dipakai oleh Encik Mohamad, cukup membuatkan Hamna dan Isyraq berhenti bertengkar. Apa tidaknya, sekali kena libas dengan cota yang selalu dibawa, mahu demam seminggu mereka berdua. Encik Mohamad ni bukan boleh dikira sangat. Sekutu dengan Encik Fahri tu.
Encik Mohamad mengalih pandangan pada laman wajah Hamna yang terdiam kaku. Gadis itu seperti berada di tempat lain. Encik Mohamad menggelengkan kepala. Dalam keadaan macam ni pun kau boleh termenung, Hamna? Budak bertuah betul. Bisik hati Encik Mohamad.
“ Na?” panggil Isyraq. Dia mengerling Hamna yang berdiri di sisinya. Dia mendengus apabila gadis itu tidak mendengar apa yang disoalkan.
“ Hamna!” panggil Isyraq dengan kuat kemudian dengan selamba dia memijak kaki Hamna bertujuan untuk menyedarkan gadis itu.
“ Adoi!!” jerit Hamna. Dia tersedar daripada lamunan. Terhincut- hincut Hamna menahan rasa perit di kaki. Agak- agaklah nak pijak pun. Sakit gila! Jerit hati Hamna.
“ Sorry, tak sengaja. Siapa suruh kau tak dengar apa yang aku tanya? Padamlah dengan muka kau,” perkataan yang terakhir itu diperlahankan cukup untuk Hamna saja yang mendengar.
Hamna merengus. Tak guna!
“ Sudahlah, saya tak ada masa nak dengar awak berdua bergaduh. Sekarang, pergi ambil peralatan dan pergi buat kerja. Mak cik cleaner tak datang hari ni jadi awak berdua kena buat bereskan semua kerja mak cik cleaner sebelum pukul lima petang. Pergi cepat!” arah Encik Mohamad tanpa cakap panjang.
Jelas Hamna dan Isyraq terkejut. Sampai pukul lima? Matilah aku!
“ Takkan semua kerja kitaorang nak buat pakcik? Lagipun mak cik cleaner bukannya sorang, ramai lagi kan. Agak- agaklah nak bagi denda pun. Ingat kitaorang robot ke,” bantah Isyraq tak puas hati.
“ Ini arahan, buat jelah. Kalau tak nak kena denda, jangan buat salah!” balas Encik Mohamad. Suaranya sudah kedengaran tegang. Tidak suka dengan sikap Isyraq yang suka melawan.
“ Ni bukan denda, ni buli!” tambah Isyraq lagi dengan nada geram. Kemudian dia berlalu meninggalkan Hamna dan Encik Mohamad. Dia takut jika lama di situ, terjadi perbalahan dengan Encik Mohamad. Nantikan tak pasal- pasal dia berkurang ajar dengan lelaki separuh umur itu.
Encik Mohamad menggelengkan kepala apabila kelibat Isyraq hilang dalam stor. Inilah anak muda zaman sekarang, kira nak melawan cakap orang tua saja kerjanya. Padahal, denda yang dikenakan pada mereka berdua bertujuan untuk mendidik mereka juga.
“ Maaflah pak cik, memang perangai dia macam tu. Pak cik jangan ambil hati tau..” ucap Hamna dengan senyuman hambar.
Encik Mohamad hanya membalas senyuman Hamna sekadarnya saja.
“ Dahlah, kamu pergi buat kerja. Buat yang mana sempat je…” ujar Encik Mohamad sebelum berlalu.
Hamna hanya menganggukkan kepala.

“ KENAPA kau cakap kasar macam tu dengan Pak Cik Mad? Tak baik tau,” tegur Hamna sewaktu dia Isyraq yang duduk di dalam stor. Wajah itu kelihatan tegang. Alah, apa nak di hairankan, wajah Isyraq mana pernah tak tegang. Asyik mencuka 24 jam, tujuh hari seminggu.
Isyraq mendongak. Wajah Hamna dipandang sekilas sebelum matanya di halakan ke tempat lain. Sibuk jelah minah ni. Bebel hati Isyraq.
“ Eh, suka hati akulah!” balas Isyraq selamba.
Hamna menggelengkan kepala. Kalau nama pun dah gangster, dengan semua orang dia nak tunjuk gangster. Nasib baik kau bukan adik aku, kalau tak dah lama aku pulas- pulas telinga kau. Detik hatinya.

“ Memanglah ikut suka hati kau tapi dengan orang tua kenalah hormat sikit macam kau hormat mak ayah kau. Aku tak kisah kau nak kurang ajar dengan aku tapi dengan orang lain, kawal sikit rasa marah kau tu. Ni semua orang kau nak cari gaduh. Tak penat ke?” soal Hamna. Sempat lagi dia bagi ceramah percuma pada Isyraq.
Isyraq tersentak. Dia menjeling pada Hamna yang kelihatan sibuk mengambil mop dan penyapu yang tersusun di tepinya. Isyraq mendengus. Inilah kali pertama seorang gadis berani menasihatkannya, itu pun gadis yang dibencinya.
“ Jangan nak menyibuk hal aku, boleh tak? Aku paling pantang orang masuk campur dalam hal aku!”
“ Eleh, kau tahu kau punya pantang je. Pantang aku, kau tak nak tahu pulak?” bebel Hamna sambil mencekak pinggang.
“ Tak ada masa aku nak sibuk pasal kau. Tak penting langsung!”
“ Tahu pun tak penting, yang kau ganggu hidup aku sampai kita kena denda macam ni, apa cer, bro?” balas Hamna geram. Sekarang, tumpuannya hanya pada Isyraq yang sedang duduk dengan santai.
“ Kalau kau tak mulakan, aku takkan masuk campur hal kau!” jawab Isyraq bersahaja.
“ Dah memang apa yang kau buat dulu itu salah. Takkan aku nak menidakkan?”
“ Jangan nak tunjuk baiklah, perempuan!” Isyraq tersenyum sinis.
Nampaknya bunga- bunga pertengkaran akan meletus bila- bila masa. Hamna semakin bingit dengan sikap ego Isyraq yang tiada kesudahan. Manakala, Isyraq semakin bengang dengan Hamna yang suka menjawab dan melawan katanya.
“ Ini bukan masalah nak tunjuk baik atau tak, apa yang aku buat untuk kebaikan kau juga. Kalau kau lulus dengan meniru, sampai bila kau nak berjaya? Bila masa lagi kau nak berdikari. Tahu tak, dengan meniru ni boleh buatkan rezeki kau tak berkat yelah menirukan salah satu daripada menipu,” balas Hamna. Kali ini suaranya dikendurkan. Tak ada guna bertekak lagi, buat sakit anak tekak adalah bergaduh dengan Isyraq yang sememangnya tidak akan mengalah.
Isyraq mencebik. Buat untuk kebaikan aku konon, padahal dia memang suka tengok aku gagal. Mentang- mentanglah dia tu memang cerdik, nak sabotaj akulah tu. Dia ingat aku akan percaya kata- kata seorang perempuan? Eiiii…pleaseee!
Terkebil- kebil Hamna melihat wajah Isyraq yang mencebik. Nampak comel pula lelaki itu pada pandangannya. Sekali tengok mamat ni boleh tahan cutenya tapi bila berkali- kali tengok rasa macam nak bagi pelempang je. Desis hati Hamna.
“ Kenapa pandang aku macam tu?” sergah Isyraq tiba- tiba.
Hamna tersentak. Dia memandang ke tempat lain. Jantungnya berdenyut tiba- tiba.
“ Sebab muka kau lebih kacak daripada mop ni!” balas Hamna kemudian dia ketawa kuat.
Isyraq mengetap bibir. Cuba menahan rasa geli hatinya. Wajahnya terus dimasamkan. Ketawa Hamna yang nyaring tidak dipedulikan namun bunyi ketawa itu menenangkan hatinya. Kenapa ya?
Lalu dia bangun dan menghampiri Hamna. Mop yang dipegang oleh Hamna dirampas.
“ Kalau macam tu, kau bercintalah dengan mop ni sebab muka kau dengan mop ni, tak ada bezanya!” balas Isyraq selamba.
Hamna tersentak. Tawanya terhenti.
“ Kurang ajar!”
“ Sebab itu aku belajar!”

MEREKA berdua menjalankan kerjanya bermula daripada tandas. Walaupun berat hati namun Hamna dan Isyraq terpaksa melakukan kerjanya sehingga siap. Hamna yang sememangnya sudah terbiasa dengan semua kerja cuci- mencuci ni tidak kisah tetapi masalah timbul apabila Isyraq enggan untuk mencuci tandas.
“ Kau cuci tandas lelaki, aku cuci tandas perempuan,” Hamna membuat keputusan.
“ Tak naklah aku cuci tandas. Buat jatuh maruah aku je…”
“ Kau ada maruah ke?” soal Hamna selamba.
Isyraq tersentak. Dia menjeling marah.
“ Sekali lagi kau tanya macam tu, aku tak teragak- agak nak lempang muka kau!” balas Isyraq kasar.
Hamna hanya mencebik. Dia sudah lali dengan kata- kata kasar daripada Isyraq. Cakap je nak lempang tapi tak lempang- lempang jugak. Rungut hati Hamna.
“ Dah tu kalau kau tak nak cuci tandas lelaki, takkan kau nak cuci tandas perempuan? Buatnya kau nampak benda yang pelik- pelik, boleh pengsan kau nanti,” Hamna mengingatkan.
Padahala sebenarnya dia yang tidak mahu mencuci tandas lelaki. Segan kut, tandas lelaki dan dia seorang saja perempuan. Buatnya pelajar- pelajar lelaki dalam tu buat perkara tak senonoh, mahu tebal mukanya nanti.
“ Aku tak nak cuci dua- dua…” balas Isyraq selamba.
“ Banyak hodoh muka kau? Kau ingat aku sorang je ke yang kena denda? Kau pun terlibat sama,” jawab Hamna geram. Dia mengancip gigi. Sengal betul mamat ni sorang.
Isyraq tayang muka bosan. Apabila ada pelajar yang melintasi mereka, dengan pantas Isyraq menarik topi yang dipakai supaya menutupi mukanya. Haish, buat malu muka aku je.
“ Dah tu? senang cerita, kita cuci tandas ni sama- sama. Kau tak ingat apa yang Encik Fakhri dan Pak Cik Mad cakap? Kita kena buat kerja sama- sama jadi cuci tandas ni pun kena bekerjasama,” Isyraq melontarkan buah fikirannya.
Hmmm..betul juga. Desis hati Hamna. Akhirnya dia mengangguk.
Mereka berdua terpaksa melakukan kerja mencuci bersama- sama. Nasib baiklah, waktu sekarang ini pelajar kurang ke tandas jadi mereka dapat buat kerja dengan senang hati. Hamna mendengus apabila Isyraq hanya tahu memberi arahan sedangkan tangan lelaki itu rancak menekan butang- butang telefon bimbitnya. Main gamelah tu. Desis hati Hamna.
“ Boleh tak kau sental betul- betul. Kotor pun tak hilang ni,” kompelen Isyraq tanpa rasa bersalah. Sedangkan dia hanya duduk goyang kaki di atas singki.
“ Kau banyak bunyilah, satu kerja pun kau tak buat. Aku penatlah!” rungut Hamna.
Dia mengesat peluh di dahi kemudian cermin mata bulat yang tersungging di hidungnya di tanggalkan. Dia mengelap keseluruhan wajahnya dengan menggunakan sapu tangan yang sentiasa di bawa di dalam poket.
Tidak berkelip Isyraq memandang wajah Hamna yang tidak memakai cermin mata. Tak sangka wajah Hamna sungguh comel dengan matanya yang bulat dan bundar. Keningnya lebat manakala anak mata gadis itu hitam pekat dihiasi dengan bulu mata yang melentik cantik. Hidung gadis itu yang kecil dan comel itu sesuai dengan bibirnya yang mungil. Ada tahi lalat kecil di atas bibir gadis itu. Buat pertama kali dalam hidup Isyraq, dia meneliti wajah seorang gadis yang bergelar musuhnya. Ish, buang tebiat dah aku ni.
Hamna memakai kembali cermin matanya dan memandang Isyraq yang kelihatan seperti leka memandang wajahnya. Dia mengangkat kepala. Lalu lelaki itu menggelengkan kepala dan mengalih pandangan ke tempat lain.
Hamna mencebik. Kemudian dia melangkah menuju ke ruang depan. Baldi mop ditolak. Dia ingin mencuci mangkuk yang berada di ruang depan pula namun langkahnya kaku apabila terlihat sebatang tubuh yang sedang berdiri di hadapannya sedang menggunakan ruang depan. Gulppp! Air liur di telan kemudian…
“ Aaaaaaa!!” jerit Hamna nyaring. Dia menekup muka.
“ Aaaaaaa!!” lelaki itu turut berpaling dan menjerit. Cepat- cepat dia menarik zip seluarnya. Darah merah menyerbu ke muka.
Pada masa yang sama, Isyraq yang mendengar jeritan Hamna dengan pantas mendapatkan gadis itu. Sepantas kilat dia berdiri di hadapan Hamna bagi menghalang daripada Hamna melihat apa yang tidak patut di lihat.
“ Apahal perempuan ni buat dalam toilet lelaki ni? Nak skodeng ke apa ni?” soal pelajar lelaki itu dengan nada marah.
“ Relax bro. Dia kena denda dengan Encik Fakhri. Lu pun kalau nak kencing pandanglah sekeliling. Buat malu je kalau dia ternampak ‘harta’ lu tu…” ujar Isyraq menyebelahi Hamna
Pelajar lelaki itu menggarukan kepala kemudian beredar tanpa berkata panjang. Nasib baik maruahnya sempat diselamatkan hari ini.
Isyraq menghela nafas panjang. Kemudian dia tergelak saat berpaling ke belakang. Hamna masih lagi menutup wajahnya dengan telapak tangan.  Tak sangka Minah Gendut ni ada rasa malu.
“Dah, budak tu dah bla. Tak payahlah nak tutup muka lagi,” ucap Isyraq.
Dengan perlahan- lahan, Hamna menurunkan telapak tangannya dan membuka mata. Dia memandang ke kiri dan kanan. Lelaki tadi hilang entah ke mana akhirnya dia melepaskan nafas panjang. Fuhhh, lega!

Sunday 14 April 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 3 )


ISYRAQ menjerit sepuas- puasnya di dalam bilik. Habis satu bilik disepahkan. Cadar katil di tarik lalu dipijak- pijak dengan rasa marah dan geram yang bercampur baur. Tak guna punya perempuan, tak guna!! Jerit batin Isyraq.
“ Kau akan menyesal Hamna! Kau akan menyesal! Aku takkan biarkan kau hidup tenang!” dia menjerit seperti orang terkena histeria.
“ Apa aku nak buat? Apa aku nak buat pada Minah Gendut tu?” tanya Isyraq pada diri sendiri,
Dia mundar- mandir di dalam bilik. Bila dia sudah puas mundar- mandir, dia menghempaskan badannya di atas tilam.  Ditenungnya siling rumahnya lama- lama.  Tapi bila ditenung lama, muncul pula wajah gadis berkaca mata tebal dengan senyuman yang cukup sinis. Cukup menaikkan suhu kemarahan Isyraq.
“ Ish, menyampah betul aku dengan muka dia tulah. Kalau ada depan mata aku ni, memang lebam bijik mata minah tu aku tumbuk. Hidup, kalau tak menyakitkan hati orang tak sah agaknya. Jadi perempuan tu biarlah yang lemah lembut, ini tidak kalahkan ahli gusti.” Bebel Isyraq.
“ Apa aku nak buat? Kalau guna cara kasar tak boleh, aku guna cara halus. Kau tunggulah Hamna, kau akan menyesal!” sambung Isyraq lagi. Masih dalam mood bercakap sendiri.
Dia tersenyum- senyum. Otaknya sudah mula mengatur rancangan. Tapi kali ini rancangan ini hanya dia yang tahu. Sahabat- sahabatnya tidak perlu tahu. Dia tersenyum penuh makna.

“ SEMINGGU??!” tanya Hamna hampir menjerit.
Encik Mohamad menutup telinganya dan menjeling garang pada Hamna yang menjerit. Kok ya pun terkejut tak perlulah sampai perlu terjerit macam itu sekali. Desis hati Encik Mohamad.
“ Ini arahan Encik Fakhri yang perlu kamu berdua ikut,” terang Encik Mohamad lagi.
“ Kami bergaduh tak sampai sehari, takkan nak kena denda sampai seminggu pak cik?” balas Hamna selamba.
Encik Fakhri menggelengkan kepala. Kenapalah budak perempuan sorang ni bengap sangat? Dah nama pun denda, mestilah kena lama.
Isyraq yang berada di sebelah hanya tersenyum sinis. Kadang- kadang sikap kelam kabut Hamna mencuit hatinya tetapi bila diingatkan apa yang perempuan itu sudah lakukan padanya, membuatkan Isyraq menarik muka masam.
“ Apa yang kami kena buat pak cik?” soal Isyraq tanpa bercakap banyak. Dia sudah naik bosan tengok muka Hamna yang langsung tiada daya tarikan.
Macam mana nak menarik, penampilan gadis itu memang cukup buruk pada pandangan Isyraq. Dengan cermin mata tebal empat inci, tudung yang dipakai pun mengikut fesyen lama. Dibiarkan lepas melepasi dada. Baju pula hanya baju kurung dan kadang- kadang gadis itu memakai t-shirt lengan panjang dan berseluar slack. Cukup biasa pada pandangan Isyraq tapi yang luar biasa adalah mulut gadis itu. Memang mulut longkang!
“ Selama seminggu, kamu berdua kena tolong  mak cik cleaner cuci toilet dan mop lantai di sekitar kawasan kolej dan jadi tukang kebun kolej kita,” terang Encik Mohamad.
“ Alah, tu kerja senang je pak cik. Biar saya tolong mak cik cleaner, mamat perasan bagus tu jadi tukang kebun. Memang sesuai sangatlah dengan muka dia yang macam pasu bunga tu!” cukup bersahaja Hamna menuturkan kata.
Berderau darah Isyraq mendengar kata- kata pedas daripada Hamna. Dia menjeling benci.
“ Saya setuju pak cik. Elok sangatlah dia jadi cleaner. Muka pun dah macam  mangkuk tandas!,” sindir Isyraq kasar.
Hamna mengetap bibir. Main kasar nampak. Suka- suka hati dia je samakan muka aku yang cute ni macam mangkuk tandas, muka aku ni cantik sikit daripada mangkuk tandas tau. Monolog Hamna dalam hati. Dia memandang wajah Isyraq dengan pandangan tajam. Dia ingin membalas tetapi suara Encik Mohamad menghalang.
“ Baguslah kalau kamu berdua setuju tapi masalahnya pak cik tak setuju. Encik Fakhri dah tetapkan setiap kerja yang kamu berdua lakukan mestilah kerjasama. Kalau kamu berdua bergaduh lagi, denda ini akan dilanjutkan. Faham?” tanya Encik Mohamad sambil membetulkan cermin matanya.
Hamna dan Isyraq mengeluh. Mereka menundukkan kepala.
“ Ini semua kau punya pasal!” Isyraq menuding jari pada Hamna. Hamna panggung kepala dan memandang Isyraq sebelum matanya memandang wajah Encik Mohamad yang sedang memerhatikan tingkah laku mereka. Hamna tersenyum manis.
“ Memanglah aku punya pasal tapi pasal kau yang buat pasal,” Hamna bercakap sambil mengancingkan giginya. Mudah- mudahan dengan cara itu suaranya tidaklah kedengaran tinggi sangat.
Isyraq ingin membalas tapi isyarat mata yang diberikan oleh Hamna menghentikan niatnya. Dia memandang Encik Mohamad yang berwajah garang. Isyraq tersengih.
“ Baiklah kami faham pak cik. Kami akan ikut apa saja yang pak cik suruh, betul tak Na?” soal Isyraq lembut siap dengan senyuman lagi tu.
Tiba- tiba saja Hamna terasa ingin muntah apabila Isyraq memanggil nama pendeknya itu. Dia berpaling ke belakang dan menjolok tekaknya. Eeiii…geli betul telinga aku dengar. Nak muntah!
“ Ye Is, kita akan bekerjasama kan? Kan?” giliran Hamna pula yang berlakon.
Isyraq menjuihkan bibir namun apabila memikirkan yang mereka berdua berada di hadapan Encik Mohamad, Isyraq memaniskan muka dan menganggukkan kepala seperti burung belatuk.
“ Baguslah, kalau macam tu saya nak awak berdua minta maaf sesama sendiri…”
Arahan Encik Mohamad membuatkan mereka berdua saling berpandangan. Minta maaf? No way! Jerit hati mereka berdua.
Hamna menentang pandangan mata Isyraq yang tajam.
‘ Kalau kucing bertanduk sekali pun, aku takkan minta maaf dengan kau!’ bisik hati Hamna sambil matanya terus tajam menikam anak mata Isyraq.
‘ Kalau ayam bertelur anak kembar sekali pun, aku takkan minta maaf dengan perempuan macam kau!’ balas hati Isyraq. Matanya terus beradu dengan mata Hamna yang tersembunyi di sebalik kaca mata.
Namun kata hati mereka tidak seiring dengan apa yang mereka lakukan. Isyraq menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi hulurannya hanya dipandang sepi oleh Hamna. Dia memandang tangan Isyraq lama. Eh, takkanlah mamat ni tak tahu bersalaman dengan lelaki itu haram. Ini tak lain tak bukan, nak suruh aku ajarlah tu. Cebik Hamna.
“ Mana boleh salam, berdosa…” tegur Hamna sambil menggoyangkan jari telunjuknya pada Isyraq.
Isyraq tercengang. “ Oh,” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Isyraq. Dengan pantas dia menjatuhkan tangannya.
“ Tunggu apa lagi, cepatlah minta maaf…” sampuk Encik Mohamad yang tadi hanya diam membisu.
Hamna menggaru- garu kepalanya yang tidak gatal. Matanya dipandang ke tempat lain. Begitu juga dengan Isyraq, dia buat- buat tak tahu. Berat betul mulutnya untuk melafazkan perkataan maaf itu pada Hamna.
“ Nampaknya, awak berdua ni degil betul. Baiklah, saya akan maklumkan perkara ni pada Encik Fakh…”
“ Nanti dulu pak cik!” tahan Hamna. Dia menjeling pada Isyraq yang masih selamba.
Lalu dia bergerak sedikit menghampiri Isyraq. Rapat sehingga hampir bersentuhan bahu tetapi sempat Isyraq menjarakkan diri. Apa kena pula perempuan ni dekat- dekat dengan aku? Ada aku tempeleng minah ni kan. Bisik hati Isyraq namun dia hanya mengeraskan diri menanti bicara daripada Hamna.
“ Lebih baik kau minta maaf dulu, mati kita kalau pak cik bagitahu dekat Encik Fakhri,” bisik Hamna perlahan.
“ Kenapa aku pula yang kena minta maaf dulu? Kau yang mulakan. Jadi kaulah yang kena minta maaf dengan aku,” balas Isyraq turut berbisik. Dia masih belum mahu mengalah.
Hamna menepuk dahi. Dasar lelaki! Egonya memang tak boleh nak kalah. Sekali aku cepuk mamat ni sembah lantai lagi kan. Bentak hati Hamna. Dia mengetap bibir.
“ Kau lelaki, kenalah tunjuk yang kau ni gentleman. Takkan aku pula yang nak mulakan. Malulah kau nanti. Kita berlakon je minta maaf. Kalau kau tak ikhlas pun tak apa sebab aku bukannya ikhlas pun nak maafkan kau,” selamba saja Hamna berkata.
Bulat mata Isyraq mendengar kata- kata Hamna. Sah, memang perempuan ni dah mereng! Ada ke minta maaf pun nak berlakon? Agak- agaklah sikit. Bebel hati Isyraq.
“ Kau tak payah buat muka macam ayam berak sembelitlah. Cepatlah, kalau tak nanti pak cik perasan…” sambung Hamna lagi. Dia dah lenguh kerana terpaksa menjinjit untuk berbisik di telinga Isyraq. Mamat ni dahlah tinggi kalahkan hantu galah. Makan apalah sampai jadi tinggi macam ni? Hati Hamna mula merepek.
Isyraq tersedar. Tidak dapat tidak akhirnya dia terpaksa akur dengan cadangan Hamna. Buat pertama kali dia setuju dengan Hamna, tapi sumpah kali ini saja!
“ Yelah- yelah, Hamna, aku minta maaf….” Tutur Isyraq dengan muka yang meluat. Dia memandang ke tempat lain tanpa sedikit pun memandang wajah Hamna.
Hamna tersenyum sumbing. Nampak sangat tak ikhlasnya. Tapi tak apa, aku pun bukan ikhlas sangat nak maafkan dia. Biar sama- sama tak ikhlas. Bisik hati Hamna.
“ Baiklah, aku maafkan…” balas Hamna dengan wajah dibuat- buat ceria. Kemudian dia memandang wajah Encik Mohamad yang sedang memerhatikan mereka berdua. Lelaki tua itu tersenyum.
“ Macam itulah bagus. Kita kan sesama Islam, bergaduh itukan tak elok apatah lagi awak Hamna, awak tu perempuan bertudung pulak tu. Sepatutnya awak jaga tatatertib sebagai seorang gadis yang lemah lembut bukannya gadis yang suka belasah anak orang,” nasih Encik Mohamad sambil menulis sesuatu di atas kertas.
Hamna mencebik. Kurang bersetuju dengan kata- kata Encik Mohamad. Mengapa kalau perempuan dan lelaki bergaduh, perempuan yang asyik dipersalahkan sedangkan lelaki juga harus dipersoalkan kerana berkasar dengan perempuan. Dunia memang tidak adil atau manusia itu sendiri yang menjadikan dunia tidak adil?
Isyraq mencuri pandang wajah Hamna yang mencebik. Dia tersenyum sinis. Ternyata Encik Mohamad memihak kepadanya. Oh, bahagianya!
“ Lelaki pun sama. Jangan nak tunjuk lagak sangat dengan perempuan. Mentanglah perempuan kaum yang lemah, ingat mereka semuanya ni diciptakan hanya untuk dibuli? Sebagai lelaki sejati, awak Isyraq sepatutnya melindungi perempuan bukannya turut sama buli mereka,” tempelak Encik Mohamad tidak semena- mena. Bulat matanya memandang wajah Isyraq yang tersenyum sinis.
Senyuman Isyraq mati. Dia terkulat- kulat memandang Encik Mohamad. Hampeh betul pak cik ni, ingatkan nak bela aku rupa- rupanya dengan aku sekali dia sembur. Bosan betul!
“ Tengok dululah pak cik. Bila kami boleh start denda tu? Saya ada kelas pula lepas ni,” ucap Isyraq malas mendengar Encik Mohamad membebel.
“ Esok, pukul satu jumpa saya di sini…” balas Encik Mohamad.
“ Baiklah,” jawab mereka serentak.
Tanpa menunggu lama, Isyraq keluar daripada bilik Encik Mohamad dan meninggalkan Hamna bersama dengan lelaki itu. Dia tidak peduli ke mana gadis itu pergi kerana dia masih ada urusan lain yang perlu diuruskan. Dendamnya perlu dibalas. Hatinya tergelak jahat.
Sewaktu sampai di tempat letak motor, Isyraq memandang ke satu tempat. Dia tersenyum sinis.
“ Kat sini kau letak motor buruk kau tu ye? Kau memang suka cari nahas dengan aku. Dahlah kau malukan aku, tempat letak motor aku pun kau kebas. Jagalah nasib kau, perempuan!” Isyraq berbisik sendirian penuh dengan maksud yang tersirat.
Dia menghampiri motor Honda EX5 berwarna hitam yang terparkir di celah- celah motor yang lain. Kemudian matanya memandang ke kiri dan kanan. Kawasan kolejnya lengang, tiada seorang pun yang kelihatan dan inilah masanya.
Perlahan- lahan Isyraq menarik motor tersebut yang tidak berkunci itu keluar dari tempat parkir dan diheretnya sehingga ke tebing longkang yang berhampiran. Dia tersenyum sinis.
“ Memandangkan mulut tuan kau macam longkang jadi tak salah kalau tempat kau dekat longkang!” ucap Isyraq.
Tanpa belas kasihan, Isyraq menolak motor itu sehingga jatuh ke dalam longkang. Dia ketawa jahat sambil mengibas- ngibas tangannya. Urusannya sudah selesai. Maka tamatlah riwayat kesan degil!

“ BABY! Baby!” panggil Hamna sambil melilau- lilau di kawasan tempat letak motor. Wajahnya tergambar riak cemas kerana motor kesayangannya hilang. Dia mengintai di celah- celah motor lain tetapi Babynya tidak kelihatan.
“ Mana pulak baby aku ni pergi? Tadi eloknya ada dekat sini. Janganlah ada yang culik dia…” rintih Hamna. Dia takut kehilangan satu- satunya kenderaan yang dia ada untuk ulang- alik ke kolej.
Hamna mundar- mandir mencari motorsikal kesayangannya itu tetapi bayangnya pun tidak kelihatan. Dia rasa mahu meraung di situ juga. Kepalanya digaru entah ke berapa kali tetapi Babynya tetap tidak kelihatan. Hamna resah.
“ Hamna, kenapa dengan kau ni?” satu suara menyapa daripada arah belakang memeranjatkan Hamna. Dia berpaling.
“ Eh, kau rupanya Elyas. Aku cari Baby akulah. Kau nampak tak Baby aku?” soal Hamna dengan muka cemberut.
Kelihatan dahi Elyas berkerut. Baby?
“ Kau dah kahwin ke Na? Kenapa aku tak tahu pun?” soal Elyas lurus. Dia memandang tepat wajah Hamna yang kelihatan berserabut.
“ Hah??” giliran Hamna pula yang melongo mendengar pertanyaan daripada Elyas. Bila pula aku cakap aku kahwin? Bakal jodoh pun macam tak ada je inikan pula nak kahwin? Apa- apa jelah Elyas ni. Desis hati Hamna.
“ Kau tanya pasal baby maknanya kau dah kahwin kan?” tambah Elyas lagi sambil memeluk rapat buku yang dipegangnya ke dada. Cermin mata yang melurut, dibetulkan sedikit.
Hamna menepuk dahi. Ke situ pula Elyas ni. Itulah berkawan lagi dengan mamat bengap macam Isyraq tu tak pasal- pasal diri sendiri pun terjangkit sama. Bebel hati Hamna.
“ Bukan baby itulah maksud aku…”
“ Habis itu, baby mana?” soal Elyas pantas.
“ Baby tu nama motorsikal aku. Motor aku hilanglah. Kau ada nampak tak?” soal Hamna sekali lagi.
Elyas tersengih- sengih. Oh, nama motor rupanya aku ingatkan apalah tadi. Macam- macam si Hamna ni, patutlah ramai orang cakap Hamna ni pelik ternyata memang pelik. Ada ke motor dipanggil baby? Habis itu kalau baby, agak-agaknya apa yang Hamna panggil? Soal hati kecil Elyas.
“ Elyas! Kau dengar tak aku tanya ni?” soal Hamna mengejutkan Elyas. Dia tersengih lagi.
“ Dengar- dengar. Baby kau tu jenama apa?” balas Elyas mengikut rentak Hamna. Layankan jelah dia ni.
“ Honda EX5 je…” balas Hamna pendek. Dia menjenguk- jengukkan kepala cuba mencari motornya di kawasan berdekatan namun tidak kelihatan.
Elyas turut meninjau kawasan sekeliling sebelum matanya tertacap pada sesuatu yang terdampar di dalam parit tidak jauh daripada tempat mereka berdiri. Dahi Elyas berkerut. Macam rupa motorsikal je tu tapi takkanlah sampai ke situ motor Hamna. Lalu, Elyas mendekati longkang tersebut dan ternyata….
“ Hamna!” panggil Elyas lantang.
Dengan terkocoh- kocoh, Hamna berlari- lari anak menghampiri Elyas yang berdiri tegak di tepi longkang.
“ Kenapa Elyas?” soal Hamna termengah- mengah. Dia memandang wajah Elyas yang kelihatan sedikit pucat.
“ Itu ke Baby kau, Na?” soal Elyas sambil menuding jari ke arah motorsikal yang tersadai di dalam longkang.
Hamna tercengang- cengang namun pandangannya tetap dihalakan ke arah tempat yang ditunjukkan oleh Elyas. Sah, memang itu Baby!
“ Arghhh! Babyyy!!” jerit Hamna seperti orang kena rasuk.
Dengan pantas dia turun ke dalam parit untuk menyelamatkan motorsikal kesayangannya. Dengan bantuan Elyas, motorsikalnya dapat diselamatkan tetapi segalanya sudah terlambat, Babynya sudah lencun terkena air longkang.
Hamna terasa ingin menangis namun tiada air mata yang keluar Cuma sekarang ini hanya terbit rasa marah. Siapalah yang berani kenakannya dengan sebegini rupa?
“ Tak guna! Siapa yang nak main- main dengan aku ni Elyas? Siapa yang berani humban Baby aku dalam longkang ni?” Hamna sudah terjerit. Dia menghentak- hentak kaki tanda geram. Separuh daripada seluarnya sudah kotor terkena air longkang.
“ Aku tak tahu, Na. Aku pun terkejut tengok motor kau ada dalam longkang macam anak kena buang. Dia jatuh sendiri kut,” Elyas cuba membuat andaian,
Hamna menggelengkan kepala dengan pantas. Andaian Elyas tidak boleh diterima akal. Motornya itu sudah diletakkan elok di tempat biasa, takkanlah boleh bergerak sampai ke dalam longkang. Memang tak masuk akal melainkan ada orang yang tolong menggerakkan motornya.
“ Aku tak rasa motor ni gerak sendiri…aku rasa macam….”
Hamna tidak sempat menghabiskan kata- katanya apabila telinganya menangkap deruman yang kuat dari arah belakang. Dia berpaling dan kelihatan Isyraq sedang menuju ke arahnya dengan menunggang YZF R1 berwarna merah. Hamna terpaku seketika.
Lelaki itu membuka penutup helmetnya. Satu senyuman sinis dilemparkan buat Hamna yang berdiri di sebelah motornya yang basah kuyup.
“ Elok sangatlah tu, motor dengan tuan mandi longkang. Dua- dua busuk macam air longkang. Sesuai sangat youuuuu!!!” perli Isyraq dengan ketawa kuat. Cukup menyakitkan telinga Hamna.
Hamna mengetap gigi. Perasaan dia kuat mengatakan Isyraq yang bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi pada motornya. Memang lelaki ni tak guna!
“ Ini semua kau punya kerja kan?!!” tempik Hamna kuat. Turun naik dadanya menahan rasa marah yang membuak- buak.
Tapi Isyraq hanya bersahaja malah ketawanya semakin menjadi- jadi melihat wajah Hamna yang merah.
“ Tak baik fitnah aku. Berdosa. Bukan kau tak tahu fitnah itu lebih kejam dari membunuh…” giliran Isyraq mengingatkan Hamna. Dia suka melihat wajah bengang Hamna.
“ Kalau membunuh tu bukan berdosa, kaulah orang pertama yang aku bunuh!!” jerit Hamna lagi. Kali ini dia betul- betul bengang dengan apa yang Isyraq lakukan. Dia takkan biarkan lelaki itu terlepas kali ini. Dia akan balas dendam!
“ Oh, yeke? Takutnya…hahahahaha!!!” Isyraq mengejek.
“ Kau! Kau!...” Hamna kehilangan kata- kata. Menggigil lututnya menahan rasa marah yang semakin memuncak.
“ Mulai hari ni aku isytiharkan perang!!!” jerit Hamna pada Isyraq.
Isyraq ketawa sepuas hati.
“ Baiklah, aku sambut perang kau tu! Tunggu dan lihat apa yang bakal jadi pada kau! Kita perangggg!!!” jerit Isyraq kemudian dia menghidupkan enjin motorsikalnya dan berlalu selepas memberi lambaian terakhir pada Hamna.
“ Jantan tak gunaaa!!!!!” bergema kawasan kolej itu dengan suara Hamna yang lantang.
Elyas hanya menelan air liur.


Friday 12 April 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 2 )


HAMNA menarik tangannya dengan kasar. Dia merengus kerana Fika menganggu urusannya dengan mamat perasan bagus tu. Kalau tidak gerenti lelaki itu sudah tewas di tangannya.
“ Kau ni Na ganas betul. Tak malu ke bergaduh depan orang ramai?” tempelak Fika dengan geram.
“ Aku tak peduli. Dia ingat aku ni lembik sangat ke? Kau tak nampak apa yang dia buat dan kutuk aku. Dahlah dia panggil aku Minah Gendut, dia tunjal pulak kepala aku. Aku ni memang pantang orang tunjal- tunjal kepala aku!” bentak Hamna marah.
Wajahnya tegang tapi hatinya puas kerana dapat membelasah seteru nombor satu dalam hidupnya itu. Terasa kemenangan di pihaknya. Tiba- tiba Hamna ketawa. Ketawanya bersambung- sambung.
Fika mengerutkan dahi. Dia pelik melihat Hamna yang sudah ketawa. Tadi marah, sekarang ketawa pula. Apa dah jadi dengan kawan aku ni? Teruk juga penangan Isyraq tu.
“ Yang kau ketawa macam tak ingat alam realiti ni kenapa?” soal Fika pelik.
“ Mahu aku tak gelak. Suka benar hati aku tengok muka mamat tu bila dia jatuh terlentang atas lantai tadi. Kalau ikutkan hati aku yang sakit ni, nak je aku pijak- pijak perut dia biar muntah hijau!” Hamna membayangkan saat dia memijak- mijak perut musuhnya itu. Wow, mesti best kan? Hamna tergelak lagi.
Fika menggelengkan kepala. Apa- apa jelah Hamna janji kau tanggunglah akibatnya.
“ Kau tahu tak Na, kau dah main dengan api….” Ujar Fika tiba- tiba.
Langkah Hamna terhenti. Wajah Fika direnung dalam. Kurang mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Fika.
“ Bila masa pulak aku main api? Aku ni hisap rokok pun tak. Nak kata bakar sampah, memang taklah. Pencemaran udara tu…” balas Hamna lurus.
Fika menepuk dahi. Lain aku cakap, lain pula yang kau balas Hamna. Tak sangka kau bendul juga. Bisik hati Fika.
“ Bukan itu maksud aku, Na. Kau tak kenal siapa Isyraq tu. Semua orang tak berani cari pasal dengan dia tau, kau tak ingat ke orang panggil dia apa?” soal Fika memandang wajah Hamna yang sudah kembali tenang.
Hamna mengetuk dagunya. Cuba mengingati apa gelaran yang biasa orang berikan pada mamat perasan bagus tu. Lama dia mengingat namun dia tidak dapat ingat apa- apa. Tiada satu pun perkara tentang lelaki itu yang melekat dalam kepalanya kecuali satu perkataan yang selalu bermain di fikirannya iaitu BENCI!
“ Aku tak ingat pun. Tak ada masa aku nak ingat pasal mamat tu,” balas Hamna selamba. Dia meneruskan langkah untuk menunggu bas.
“ Biar aku ingatkan kau. Kawan- kawan sekelas kita panggil dia Is Tiger tahu tak!” ujar Fika bersungguh- sungguh. Hampir menjerit suaranya kedengaran di telinga Hamna.
Hamna memandang wajah Fika. Erk? Is Tiger? Kenapa perut aku tak kecut pun?
“ Kenapa kau tak terkejut pun bila aku cakap nama dia? Kau tak ada rasa takut ke?” soal Fika seperti orang bodoh. Dia pelik melihat reaksi Hamna yang selamba tanpa perasaan. Tiada riak takut pun tergambar di wajah temannya itu.
“ Perlu ke aku takut?” soalan dibalas soalan. Hamna menjongketkan kening.
Fika melongo mendengar soalan Hamna. Akhirnya dia menepuk dahi. Susah betul bercakap dengan orang yang memang tak ada perasaan macam Hamna ni. Memang Fika akui, Hamna seorang yang berani. Cukup berani dalam mempertahankan dirinya tetapi Fika takut keberanian Hamna akan memakan diri sendiri.
Bukannya dia tidak kenal Isyraq. Lelaki itu memang dikenali dengan sikap dingin, garang dan tegas apabila bercakap dengan perempuan. Fika takut Isyraq akan lakukan perkara yang tak elok pada Hamna. Dia sayang sahabatnya itu.
“ Aku tak tahulah nak cakap apa lagi dengan kau ni Na. Ikut suka kaulah tapi aku nak nasihatkan kau yang jangan cuba main- main dengan Is, kau bukan lawan dia…” balas Fika.
“ Aku tak pernah gentar walau sedikit pun dengan mamat tu. Apa aku lakukan untuk pertahankan diri aku daripada dihina dan dimaki dengan dia. Aku tahu dia suka buli orang, dia boleh dikatakan kaki gangster tapi tu sikit pun tak bagi kesan kat aku. Siapa yang cuba cabar aku, akan aku tentang!” ujar Hamna bersungguh- sungguh.
Fika mendiamkan diri. Dia menggelengkan kepala. Lantak kaulah, Na.
“ Ikut suka kaulah Hamna, janji kau bahagia…”

PENUMBUK dikepal dengan seeratnya lalu satu tumbukan lekat di dinding seolah- olah dinding itu muka perempuan yang sudah berani mencabar kesabarannya. Selama ini,belum pernah ada orang berani melawannya tidak kira lelaki apatah lagi perempuan. Tetapi hari ini dalam sejarah apabila seorang gadis telah ‘membelasah’ dirinya di depan orang ramai.
Isyraq mundar mandir di hadapan gengnya yang setia berada di sisinya. Elyas yang tahu cerita sebenar hanya mendiamkan diri. Dia lebih suka mengadap novel daripada campur tangan dalam urusan Isyraq.
“ Habis tu apa yang kau nak buat bro? Malu weh, Is Tiger kena belasah dengan perempuan. Aku dengar semua orang duk bercerita pasal kau dengan perempuan tu. Kau tak nak balas ke?” Sampuk Redza cuba membakar api kemarahan yang sudah memuncak dalam hati Isyraq.
“ Arghhhh!!” Isyraq menjerit dengan tiba- tiba. Peristiwa di kafe tadi terbayang di ruang mata menjadikan jiwa Isyraq terus digaru amarah.
“ Sabar bro. Kau tenang dulu, lepas tu baru kita fikir apa yang patut kita  buat pada perempuan tu,” sampuk Zaim.
“ Aku takkan lepaskan perempuan tu! Takkan!” bentak Isyraq. Dia meraup rambutnya ke belakang.
Zaim dan Redza berpandangan. Dia tumpah simpati pada sahabatnya itu. Bayangkanlah seorang lelaki yang terkenal dengan sikap gangsternya akhirnya tumbang dibelasah oleh seorang gadis yang entah apa- apa. Nak cakap hebat, rupa gadis itu cukup buruk di pandangan mereka berdua. Dengan cermin mata yang bulat dan tebal tersungging di hidung gadis itu cukup membuatkan Hamna seperti nenek bongkok tiga. Tudung yang dipakainya juga membuatkan gadis itu kelihatan lebih tua daripada umurnya. Eiii…tak sangka masih wujud lagi perempuan macam itu dalam era milinium ini. Kutuk hati mereka berdua.
“ Apa kau nak buat pada minah tu?” soal Redza.
Isyraq berhenti mundar mandir. Dia berdiri tegak di hadapan sahabatnya itu sekilas dia memandang Elyas yang leka membaca novel Ramlee Awang Murshid itu. Memang itulah perangai Elyas Minhad. Tidak suka masuk campur bila dia sedang mengatur rancangan untuk kenakan musuh- musuhnya.
“ Kau nak buat sampai dia dia melutut pada kau macam yang kau buat pada Ema dulu?” Soal Zaim pula.
Tiba- tiba dia teringatkan Ema, gadis itu suka melawan dan bertikam lidah dengan Isyraq sewaktu di dalam kelas sama seperti Hamna lakukan, akibatnya Isyraq telah meletakkan seekor anak katak di dalam beg gadis itu sehingga Ema menangis meraung pada Isyraq dan merayu supaya Isyraq keluarkan anak katak itu daripada begnya.
Saat itu tiada siapa yang berani menolong Ema kerana takutkan Isyraq yang memang terkenal dengan sikap barannya. Siapa yang cuba masuk campur dalam urusan dia, orang itu yang terima padahnya. Nampaknya kali ini ada seorang lagi yang akan jadi mangsa Isyraq.
“ Memang itu yang akan aku lakukan. Aku nak tengok sejauh mana beraninya dia dengan aku. Aku akan pastikan dia melutut mintak maaf pada aku. Dia takkan hidup tenang selepas apa yang dia lakukan pada aku,” tegas Isyraq.
Zaim dan Redza mengangkat ibu jari. Mereka bersedia untuk berperang kali ini. Namun senyuman mereka mati saat terpandangkan Elyas yang asyik dengan novelnya.
“ Kau ni Elyas, langsung tak membantu Is…” ujar Zaim.
Elyas berpaling. Dia hanya mengangkat bahu. Walaupun dia kelihatan seperti tidak dengar apa yang dirancang oleh mereka tapi sebenarnya dia tetap pasang telinga Cuma dia malas campur tangan. Lantak koranglah!
“ Kau pedulikan si Elyas ni. Bukan kau tahu, dia ni kalau dah dapat novel thriller tu memang tak ingat dunialah…” sampuk Isyraq.
Zaim dan Redza terdiam. Kalau bos dah bersuara lebih baik jangan lawan, nanti tak pasal- pasal buku lima singgah dekat muka.
“ Tapi untuk kenakan minah tu, aku perlukan korang berdua…” sambung Isyraq seterusnya.
“ Any time bos!” jawab mereka hampir serentak.
Isyraq hanya tersenyum. Senyuman penuh makna yang akan memusnahkan musuhnya itu.

HAMNA merengus apabila dia terpaksa berjumpa dengan Encik Fakhri selaku ketua Hal Ehwal Pelajar kolej mereka. Paling menyakitkan hati apabila dia terpaksa berjumpa bersama- sama dengan Isyraq. Lelaki yang memang tak mahu dilihat dalam muka bumi ini.
“ Mesti hal semalam kan?” bisik Fika perlahan.
Hamna mencebik. Dah memang tak ada hal lain dah. Bisik hatinya. Buat seketika dia menjeling pada Isyraq yang turut bangun daripada tempat duduk. Makin mendidih rasa marahnya. Disebabkan lelaki itu dia menjadi perhatian unit Hal Ehwal Pelajar.
Isyraq yang sudah biasa keluar masuk bilik HEP hanya bersikap biasa. Sempat lagi dia mengenyit mata pada Zaim dan Redza memberi tanda agar rancangan mereka diteruskan.
Zaim dan Redza mengangkat ibu jari tanda bersedia. Mereka mengintai seekor katak yang sebesar tapak tangan yang diletakkan di dalam balang di dalam laci meja. Mereka tergelak sesama sendiri. Namun, apabila Cik Wahida berpaling, mereka mematikan ketawa.
Sementara itu diluar kelas, Hamna membebel apabila terpaksa ke bilik HEP. Dia berjalan di belakang Isyraq, macam- macam aksi dilakukan di belakang lelaki itu. Dia mengangkat penumbuk, dia menjelirkan lidah, dia buat gaya ingin mencekik leher Isyraq. Hanya itu yang dia berani lakukan, selebihnya dia tidak berani. Semalam pun disebabkan dikuasai amarah dia bertindak ganas pada lelaki itu. Itulah siapa suruh mengutuk Ezlaili Hamna, buruk padahnya. Cewaahhh, Hamna, banggalah sangat kau dapat belasah gangster kampung pisang tu! desis hatinya.
Tiba- tiba Isyraq berpaling, Hamna terkejut. Dengan pantas dia turut berpaling ke belakang sambil menggelengkan kepala.
“ Ish- ish, orang sibuk belajar dia sibuk nak berdating…” komen Hamna seolah tiada apa- apa. Kepalanya digelengkan banyak kali.
Isyraq tersenyum dalam hati. Nak cover konon macamlah aku tak nampak dalam cermin apa yang kau buat dekat belakang aku. Dasar Minah Gendut!
“ Kau dengar sini Minah Gendut, kalau apa- apa berlaku, aku takkan lepaskan kau!” Isyraq memberi amaran.
Hamna memandang wajah Isyraq dengan selamba. Dia tayang muka bosan.
“ Oh erk?” hanya itu yang disebut. Kemudian dia menolak daun pintu HEP tanpa memberi apa- apa balasan pada kata- kata Isyraq. Kata- kata itu hanya dibiar sepi dibawa angin yang menghembus.
Isyraq tercengang- cengang. Oh erk je dia balas? Tak guna punya perempuan. Dia tak takut langsung dengan ugutan aku? Orang ke besi minah ni? Jerit hati Isyraq. Dia mengancing gigi.
Tanpa menunggu lama, dia turut meloloskan diri ke dalam bilik HEP untuk mengadap Encik Fakhri yang boleh tahan juga tegasnya tapi taklah setegas ayahnya yang bekas anggota tentera tu.
“ Ezlaili Hamna dan Taufiqul Isyraq, awak tahu kenapa saya panggil awak berdua ke sini?” soal Encik Fakhri memulakan bicara setelah Isyraq berdiri di hadapan mejanya.
“ Encik panggil kami jadi encik lebih jelas tentang sebab kenapa kami dipanggil,” jawab Hamna selamba sambil ibu jarinya ditunjuk ke arah Encik Fakhri kononnya sopanlah tu. Tapi sopannya tidak kena tempat.
Buntang biji mata Isyraq mendengar keberanian Hamna yang menjawab kata- kata Encik Fakhri. Agaknya minah ni jenis tak ada perasaan takut. Dengan Encik Fakhri boleh dibuat main. Desis hatinya.
Mata Encik Fakhri mencerlung pada Hamna membuatkan Hamna diam tak terkutik. Ish, takut aku pandangan Encik Fakhri ni, janganlah pandang saya macam tu encik, rasa macam nak terkucil pulak. Bisik hati kecil Hamna kemudian dia menundukkan wajah.
“ Saya tanya betul- betul, awak main- main. Suka dapat bergaduh depan orang ramai? Dah rasa diri tu kuat? Awak berdua ni tak ada perasaan malu ke?” tekan Encik Fakhri.
“ Ada, encik!” balas Hamna pantas.
Encik Fakhri memandang Hamna dengan tajam. Ish budak ni kuat betul menjawabnya. Rasa macam nak stapler je mulut budak ni.
“ Kalau ada kenapa bergaduh semalam? Nak jadi gangster ke?” tanya Encik Fakhri lagi.
“ Dia yang mulakan encik!”
Hamna menuding jari ke arah Isyraq yang ada disebelahnya. Jelas lelaki itu terkejut. Argh, aku peduli apa dengan muka terkejut kau tu. Janji aku lepas.
“ Aku pulak. Kau yang sesuka hati pijak kaki aku lepas tu kau tumbuk perut aku, sekarang kau nak salahkan akulah!” balas Isyraq berang apabila dirinya dipersalahkan padahal memang dia salah pun.
“ Oh, kau kira aku punya salah jelah. Yang kau sesuka hati panggil aku Minah Gendut tu kenapa? Ada aku benarkan? Tak ada kan? Padam mukalah kena tumbuk. Patutnya aku tumbuk muka kau biar kasih pecah macam pinggan yang kena hempas kat lantai. Baru puas hati aku!” balas Hamna kasar.
“ Kau ingat aku nak biarkan jelah. Jangan sampai muka kau makan penampar aku. Baru kau tahu langit tinggi ke rendah!” balas Isyraq tidak mahu mengalah.
“ Kau ni, kalau aku cakap bangang tentu kau marah. Dah sah- sah langit tu tinggi tak payah nak suruh aku tengok. Tapi jangan sampai roh kau naik ke langit sudah!” balas Hamna lagi.
Dia memeluk tubuh. Sekilas dia menjeling pada Isyraq yang mengetap bibir. Marahlah tu!
“ Dah habis kutuk- mengutuk? Dah habis? Kenapa tak sambung lagi?” sinis Encik Fakhri yang semenjak tadi menjadi pemerhati.
“ Boleh sambung lagi ke, encik?” soal Hamna lurus.
Encik Fakhri menepuk dahi. Soalan Hamna selalu saja menguji kesabarannya. Patutlah  Isyraq hilang sabar dengan Hamna, memang sakit hati melayan kerenah gadis seperti Hamna.
“ Sudah Hamna, jangan menyampuk cakap saya!” tegas Encik Fakhri.
Hamna mengangkat bahu. Dia menutup mulut sambil membetulkan tudungnya yang senget.
“ Depan saya awak boleh bergaduh apatah lagi belakang saya. Saya tak tahu apa yang awak berdua fikirkan sampai boleh bergaduh macam anjing dengan kucing….”
“ Saya kucing dia tu anj….” Sampuk Hamna.
“ Hamna!!” tekan Encik Fakhri geram. Hamna menutup mulut.
Isyraq tahu apa yang ingin dikatakan oleh Hamna. Dia memandang Hamna dengan pandangan tajam. Siaplah kau lepas ni, Minah Gendut.
“ Saya malas nak cakap panjang dengan awak. Saya akan bagi hukuman pada awak berdua!”
“ Hukuman??!” jerit mereka berdua.
Encik Fakhri mengangguk tanpa rasa bersalah.
“ Sama ada awak berdua suka ataupun tidak, mulai esok awak berdua kena buat khidmat masyarakat di sekitar kawasan kolej. Esok saya akan serahkan awak pada Encik Mohamad, pengawal keselamatan kolej kita untuk memantau kerja awak berdua. Tidak ada seorang pun daripada awak berdua boleh terlepas daripada hukuman ini, faham?!” ujar Encik Fakhri.
Isyraq mendengus. Hamna merengus. Hukuman? Memang tak masuk dek akal langsung.
“ Saya bukan budak- budak sampai kena terima hukuman macam ni, encik. Kalau encik nak saya bayar denda saya sanggup asalkan jangan suruh saya bekerjasama dengan minah ni…” Isyraq bersuara.
Encik Fakhri menggeleng. Dia tahu Isyraq bukannya pelajar yang susah malah lelaki itu mampu untuk membayar segala denda yang diberikan namun hukuman seperti itu menjadikan anak muda seperti Isyraq semakin besar kepala. Pelbagai aduan dia terima tentang Isyraq yang suka membuli namun tiada sebarang hukuman pun yang dapat mengubah perangai Isyraq.
“ Kau ingat aku nak sangat ke bekerjasama dengan kau, mati hidup balik, hidup mati balik pun aku tak nak bekerjasama dengan kau!” balas Hamna.
“ Masalah sekarang awak tengah hidup kan Hamna? Jadi suka atau tidak, rela atau tak, awak berdua kena bekerjasama kalau tidak result final exam awak akan saya tahan dan awak takkan dapat grad,” ugut Encik Fakhri.
“ Mana aci macam ni, encik…” balas Isyraq pula.
“ Aci kat India. Hukuman tetap hukuman. Awak boleh keluar sekarang. Esok tepat pukul tiga petang awak jumpa saya di sini sebelum saya serahkan awak pada Encik Mohamad, faham?” soal Encik Fakhri.
Hamna dan Isyraq mengeluh. Mereka mengangguk.
Sebaik sahaja mereka berpaling untuk keluar daripada bilik Encik Fakhri, Hamna menjelirkan lidah pada Isyraq sementara Isyraq menunjuk penumbuknya pada Hamna. Mereka sama- sama menjeling.
“ Ingat, saya selalu pantau  awak berdua. Kalau saya nampak awak bergaduh lagi, saya tak teragak- agak untuk suruh semua pensyarah yang mengajar awak untuk potong markah carry mark awak berdua,” Encik Fakhri mengugut lagi.
Langkah Hamna dan Isyraq terhenti. Mereka mengeluh. Kuat betul Encik Fakhri ni mengugut. Agaknya cita- cita lelaki itu nak jadi ketua pemeras ugut  dulu kut.
Hamna dan Isyraq berpaling pada Encik Fakhri, mereka tersengih.
“ Eh, mana ada kitaorang bergaduh. Kitaorang dah baik dah…” ujar Hamna berbohong.
Dia tersenyum manis pada Isyraq. Senyuman yang dibuat- buat. Namun, Isyraq turut tersenyum pada Hamna membuatkan Hamna terpana seketika. Berkelip- kelip matanya melihat senyuman Isyraq yang jarang boleh nampak. Subhanallah, comelnya! Desis hatinya.
Namun dengan pantas, Hamna menggelengkan kepala. Comel apanya macam Spongebob je aku tengok muka mamat ni time dia senyum. Tak kacak langsung! Bentak hati Hamna.

HAMNA kembali ke kelas selepas berjumpa dengan Encik Fakhri, dia masih belum berpuas hati dengan arahan yang diterima oleh Encik Fakhri. Ada ke aku nak disuruh bekerjasama dengan mamat tu? Hilang akal agaknya Encik Fakhri ni. Bebel hati Hamna dengan bibir yang dijuihkan.
Dia melabuhkan punggung di sebelah Fika yang sedang khusyuk mendengar apa yang Cik Wahida terangkan. Hamna tidak mempedulikan Fika, dia menyeluk tangannya ke dalam beg yang diletakkan dalam laci meja. Hajatnya untuk mengambil buku nota tetapi tiba- tiba tangannya terpegang sesuatu yang sejuk dan lembik.
‘ Benda alah apa pulak yang ada dalam beg aku ni?’ soal hati kecil Hamna. Keningnya bertaut. Dia menekan- nekan benda yang lembik itu. Hmmm…sejuknya. Macam marshmallow je rasanya. Tapi apa benda erk?
Hamna menundukkan wajahnya dan mengintai ke dalam begnya. Dia dapat melihat benda bulat bersinar dan berkelip- kelip. Hamna menelan air liur. Dadanya berdebar- debar. Aik, macam rasa jatuh cinta pulak. Hamna, kau pernah rasa jatuh cinta ke? Sempat lagi hatinya monolog perkara yang bukan- bukan.
“ Fika, benda apa ni?” soal Hamna sambil mengeluarkan benda sejuk tersebut dan ditunjukkan kepada Fika yang berada di sebelahnya.
Fika berpaling.
“ Katakkkkk!!!!” jerit Fika kuat. Dia bingkas bangun dan melarikan diri daripada Hamna.
Satu kelas riuh- rendah mendengar jeritan Fika. Pelajar- pelajar perempuan menjerit termasuklah Cik Wahida yang terkejut melihat Hamna yang memegang katak sebesar tapak tangan tanpa rasa segan dan silu.
Hamna masih lagi selamba. Dia langsung tidak takut dengan katak yang berada di dalam genggamannya Cuma ada rasa geli sikit jelah. Tapi yang menjadi persoalan, siapa yang meletakkan katak tersebut di dalam begnya? Takkan katak itu melompat dengan sendiri?
“ Hamna, kau tak geli ke dengan katak tu? Tolonglah buang, Na…” rayu Fika sambil menghentak- hentak kakinya.
“ Siapa yang berani letak katak dalam beg aku ni? Baik ngaku!” Hamna sudah mula bangun daripada tempat duduknya.
Dia memandang Isyraq dan kawan- kawannya yang sedang ketawa kuat. Elyas yang berada di hadapan Isyraq hanya tayang muka selamba.
“ Aku tak sangka perempuan ni jenis besi, dengan katak pun dia boleh buat main. Dia ni memang tandingan kau Is,” bisik Zaim ke telinga Isyraq.
Isyraq tersenyum sinis memandang Hamna yang memandang tepat ke dalam matanya. Dia membalas dengan renungan tajam. Benar kata Zaim, Hamna bukan perempuan yang sembarangan. Urat dawai tulang besi agaknya.
Langkah Hamna yang semakin menghampirinya dipandang tanpa rasa gentar. Inilah gadis yang berani mencabarnya, akan dia tentang habis- habisan. Selama ini mana pernah dia kalah dengan perempuan, kali ini gadis itu memang benar- benar mencabar kesabarannya sebagai lelaki.
“ Kau kan yang letakkan katak dalam beg aku?!” sembur Hamna tanpa salam. Dia menentang wajah Isyraq yang duduk sambil bersilang kaki. Memang selamba habis.
“ Nak tuduh pun tengoklah bukti, aku dengan kau pergi bilik Encik Fakhri tadi. Bila masa aku nak letak katak dalam beg buruk kau tu!” balas Isyraq kasar.
Hamna mendengus. Betul juga. Tapi dia tetap tidak percaya dengan kata- kata Isyraq. Pasti lelaki itu telah berkomplot dengan orang lain dan orang lain itu pasti konco- konconya. Lantas, pandangan Hamna beralih pada laman wajah Zaim dan Redza yang memandang ke tempat lain. Sah! Memang mamat dua ekor ni yang cuba cari nahas dengan aku! Tegas hati Hamna.
“ Kalau bukan kau, maknanya kawan- kawan kau nilah. Eh, kalau setakat nak bagi katak ni, kau bagi dekat perempuan lainlah. Aku langsung tak takut apatah lagi nak menjerit tengok katak macam ni. Kat rumah aku lagi banyak aku bela, kau cakap je nak yang macam mana, bulat, segi tiga, empat segi? Semua ada. Tak payahlah nak takutkan aku guna cara macam zaman P. Ramlee dulu. Tak berkesan langsung!” ujar Hamna namun dalam ayatnya ada juga yang dia berbohong. Bila masa pula dia bela katak? Memang taklah!
Elyas cuba menahan ketawa. Dia melihat wajah Isyraq yang sudah merah. Marahlah tu. Padam dengan muka korang. Nampaknya, buku sudah bertemu dengan ruas. Rasakan!
“ Kau jangan nak merepeklah, kau tak ada bukti nak tuduh kami yang letakkan katak tu. Padahal kau yang bawak daripada rumah, nak salahkan kitaorang pulak!” Redza cuba membela diri.
Hamna menarik nafas panjang. Cuba bersabar.
“ Kalau aku bawak ke unit forensic pasti cop jari korang berdua ataupun bertiga ada atas belakang katak ni,” Hamna bercakap dengan nada yang serius. Dia menunjukkan katak tersebut ke wajah Zaim, Redza dan Isyraq.
Mereka menarik muka geli. Biar betul minah ni?
Zaim dan Redza berpandangan. Wajahnya mereka pucat. Lantas, Zaim menyiku lengan Isyraq yang masih membisu.
“ Baiklah, kalau korang tak nak mengaku jadi aku terpaksa pulangkan balik pada tuannya….” Ucap Hamna.
Lalu, dia mencampakkan katak tersebut tepat ke muka Isyraq! Melekat katak tersebut di muka Isyraq yang tercengang- cengang.  Satu kelas gamat dengan suara gelak mentertawakan Isyraq.
Manakala, Zaim dan Redza sudah menjerit melihat katak yang melekat di muka sahabatnya. Isyraq menepis katak tersebut sehingga jatuh ke lantai. Dia betul- betul malu. Tersangat malu!
Isyraq bangun dan keluar dari kelas dengan wajah yang bengang. Tak guna, aku kalah lagi dengan perempuan gila tu!!!