Tetamu Rindu

Saturday 31 August 2013

Cinta Si Gadis Kebun ( Bab 5 )


“NEK dengar Isya tak nak ikut Kimi pindah rumah? Betul ke?” Aisya terkedu apabila mendengar pertanyaan yang tidak dijangka dari neneknya itu.
“Ini sah-sah mamat sengal tu yang mengadu kat nenek aku ni. Entah apa-apa aje mamat ni. Pasal benda kecil ni pun nak mengadu kat nenek. Tak apa…tak apa…siap kau nanti.” Bebel Aisya dalam hati.
“Nenek tanya ni?Jangan buat tak dengar pulak.” Nek Timah menampar peha Aisya. Tersentak Aisya dibuatnya. Memang dia buat-buat tak dengar pun dengan pertanyaan Nek Timah sebentar tadi. Dia malas hendak berbahas dengan Nek Timah kerana dia tahu yang dia pasti akan kecundang.
“Nek tanya apa tadi? Isya tak dengar. Syok sangat tengok cerita Lawak Ke Der ni.” Tipu Aisya sambil tersengih sehingga menampakkan barisan giginya yang putih.
“Nenek tanya tadi kenapa Isya tak nak ikut Kimi pindah rumah? Sampai bila Isya nak tinggal dengan nenek?”Pertanyaan sebentar tadi diulang semula dengan nada yang agak lembut. Bercakap dengan cucu kesayangannya perlukan kesabaran yang amat tinggi.
Aisya mengeluh sebelum membuka mulut.
“Bukannya Isya tak nak ikut Kimi pindah tapi Isya kesiankan nenek. Takkan Isya nak biarkan nenek tinggal seorang diri kat dalam rumah ni. Nanti kalau ada apa-apa yang berlaku kat nenek siapa yang susah?Kalau tak lain dan tak bukan Isya jugak.”Aisya memberi alasan.
Moga-moga nenek boleh terimalah alasan cliché aku ni. Doa Aisya dalam hati.
“Kamu tak payahlah risaukan nenek. Nenek boleh jaga diri sendiri lagipun nenek ni bukannya budak kecik lagi. Tempat isteri adalah disisi suaminya. Ingat Isya, syurga seorang isteri letaknya dibawah tapak kaki suami. Kalau kamu ingkar atau derhaka pada suami kamu maka nerakalah tempat kamu. Kamu nak masuk neraka ke?” Anak mata Nek Timah menikam anak mata Aisya. Aisya tertunduk memandang lantai. Kata-kata neneknya itu menikam tangkai jantungnya. Adakah selama ni aku berdosa dengan Hakimi Danial a.k.a suami aku sendiri? Tiba-tiba persoalan itu timbul dibenak Aisya membuatkannya terfikir sendiri.
“Nenek harap Isya dapat fikir mana baik mana buruk untuk diri kamu. Tak rugi pun kalau ikut cakap Kimi tu. Lagipun bukannya dia suruh kamu buat benda buruk. Susah sangat ke kamu nak ikut cakap dia?” Satu lagi soalan membunuh yang keluar dari mulut Nek Timah. Aisya mati katak. Dia tidak tahu untuk menepis soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut neneknya.
Nenek ni sah-sah nak basuh aku. Habislah aku malam ni. Ini semua mamat sengal tulah pasal.Ngomel Aisya.
“Isya tahu semua tu nek tapi….”Aisya tidak dapat menghabiskan kata-katanya kerana telah dicantas oleh Nek Timah.
“tapi apa?Nenek tahu kamu tak suka pada Kimi kan?”
Adoyai..nenek ni main serangan psikologi la pulak. Aku nak jawab apa ni?Takkanlah aku nak cakap yang aku memang tak suka pada Hakimi Danial?Kalau aku cakap macam tu sah-sah naik remote control Astro atas kepala aku nanti. Aiseyman…
“Isya bukan tak suka Kimi nek tapi Isya masih dalam proses mengenal hati budi dia.”Jawab Aisya dengan dengan riak yang tenang.
Fuhhhh…lega dapat beri jawapan yang sedikit bernas.Moga-moga nenek dapat terima dengan jawapan terbaik aku ni.
“Nenek harap sangat yang kamu dapat terima Kimi sebagai suami kamu. Nenek kenal sangat dengan Kimi tu. Dia seorang lelaki yang baik dan penyayang. Kalau dia bukan lelaki yang baik nenek tak akan kahwinkan kamu dengan dia. Nenek percaya yang dia boleh jaga kamu dengan baik apabila nenek sudah tiada nanti.” Ujar Nek Timah dengan nada yang agak mendatar.
Dalam hati kecilnya berdoa agar cucunya dapat menerima dan mencintai Hakimi Danial dengan setulus hati sebagai suami. Dia begitu mengenali Hakimi Danial. Arwah nenek Hakimi Danial adalah kawan baik kepada Nek Timah dan mereka berdua sudah berjanji untuk menyatukan cucu-cucu mereka jika mereka sudah dewasa.
 Nenek Timah juga amat berkenan dengan perilaku yang dibawa oleh Hakimi Danial. Pada pandangannya Hakimi Danial seorang lelaki yang begitu menghormati orang tua dan ringan tulang menolong sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.
Nek Timah yakin yang Hakimi Danial mampu menjadi seorang suami yang baik dan dapat membimbing Aisya untuk menjadi seorang isteri yang solehah.
“Alaaa..nenek ni kenapa nak emosional sangat malam ni?Isya tahulah. InsyaAllah suatu hari nanti Isya akan dapat terima Kimi sebagai suami Isya. Buat masa sekarang ni biarlah Isya kenal hati budi dia dulu.”
“Iyalah tu. Kamu kena ingat Isya kamu akan menyesal kalau kamu lepaskan Si Kimi tu. Bukan senang nak cari lelaki yang baik macam Kimi.” Pesan Nek Timah dengan keras. Kemudian dia bangun dari sofa untuk masuk kedalam bilik. Matanya sudah berat. Kalau melayan Aisya memang tak akan settle.
Nenek ni suka sangat puji Hakimi Danial tu melambung-lambung. Apa yang best sangat tentang dia pun aku tak tahulah. Entah-entah dia sudah bagi minyak dagu kat Nek Timah kot?Astaghfirullahalazim…takkanlah Hakimi Danial sanggup buat macam tu. Benda tukan syirik. Berdosa besar tau. Tak…tak…Kimi tak akan buat perkara-perkara yang macam tu. Monolog Aisya sendiri.
“Nenek nak pergi masuk tidur. Kamu pun pergilah masuk bilik. Kasihan Kimi tunggu lama dalam bilik tu.” Nek Timah memberi arahan. Kakinya melangkah perlahan menuju ke bilik. Langkahnya hanya diperhatikan oleh anak mata Aisya. Kasihan pula dia melihat keadaan neneknya yang sudah agak membongkok tu. Kenapa nenek suka sangat puji si Hakimi Danial tu?Apa kurangnya Aisya ni?Aisya mengeluh sendiri. Alat kawalan dicapai dan butang off ditekan dan dengan serta merta kaca televisyen bertukar menjadi gelap.
Lampu diruang tamu ditutup. Dengan langkah yang malas Aisya menuju ke biliknya. Pintu bilik dikuak perlahan. Terjojol kepalanya dibalik pintu. Matanya mencari kelibat Hakimi Danial.
Dia menarik nafas lega apabila terpandang tubuh Hakimi Danial sudah terbaring atas sofa.
“Alhamdulillah. dah tidur pun mamat ni.”Ucap Aisya sendiri. Dia berjalan perlahan-lahan melintasi Hakimi Danial sambil matanya menjeling ke arah Hakimi Danial yang sedang lena diulit mimpi.
Langkahnya tiba-tiba terhenti dengan sendiri. Seperti ada kuasa magnet, lututnya melutut dihadapan Hakim Danial. Matanya tertumpah pada seraut wajah yang cukup tenang dengan lenanya.
Wajah Hakimi Danial ditenung lama. Kening yang lebat. Kulit yang cerah. Bibir yang merah membuatkan Hakimi Danial sempurna sebagai seorang lelaki yang diciptakan oleh Allah dengan cukup indah sekali. Dalam diam Aisya memuji kekacakan dan ketampanan suaminya itu.
Aisya begitu khusyuk merenung wajah kacak Hakimi Danial. Kerana kekhusyukan itulah dia tidak menyedari yang dia begitu hampir dengan wajah Hakimi Danial. Deru nafas Hakimi Danial begitu dekat diwajahnya membuatkan naluri wanitanya bergelora. Aisya telan liur.
Perlahan-lahan Hakimi Danial membuka matanya sehingga membuatkan Aisya terdorong sedikit kebelakang kerana terperanjat dengan bukaan mata Hakimi Danial yang tajam menikam ke dalam anak matanya.
Aisya melurut dadanya. Kantoi aku..Sesal Aisya dalam hati.
“Awak buat apa tadi?”Hakimi Danial berpura-pura tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh isterinya sebentar tadi.
“Saya tak buat apa-apa pun.”Jawab Aisya ringkas. Wajahnya masih lagi merona merah. Malulah katakan.
“Ya ke awak tak buat apa-apa?” Hakimi Danial masih ingin menduga Aisya. Hatinya melonjak kegembiraan kerana dapat menyakat Aisya.
“Betullah saya tak buat apa-apa kat awak.”
“Kalau awak tak buat apa-apa kat saya kenapa saya rasa macam ada orang aje yang asyik tenung muka saya tadi. Muka orang tu dekat aje dengan muka saya. Nasib baik saya tak cium dia.” Ujar Hakimi Danial sambil tersengih. Aisya terbatuk kecil.
Alamak…mamat ni perasan ke yang aku tenung dia tadi?Kantoi sudaaa aku…Aisya tersengih-sengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Awak jangan nak perasan ya. Mungkin tadi tu awak bermimpi aje kot. Itulah awak tidur tak nak basuh kaki kan dah mimpi yang bukan-bukan.” Aisya cuba menutup rasa malunya.
“Ya ke?Tapi saya rasa saya tak mimpilah.”
“Awak mimpilah. Tulah awak ni kuat sangat perasan kacak sebab tu sampai terbawa-bawa dalam mimpi.Ishhh..ishhh..”Aisya menggeleng-gelengkan kepalanya.
Hakimi Danial mengerutkan dahinya.
“Bukan perasan tapi memang kenyataan pun yang saya ni kacak. Kalau tak kacak tak akan ada orang tu duduk menongkat dagu tenung muka saya yang kacak lagi tampan ni.” Ada senyuman bangga dibibir Hakimi Danial. Aisya hanya menjeling tajam. Meluatlah tu….
Macamlah aku tak tahu yang kau asyik tenung muka aku tadi. Kau jangan nak berdalihlah Aisya. Lagipun tadi aku tak tidurlah. Aku pura-pura tidur ajelah.
“Uwekkkk…kacaklah sangat.”Aisya menunjukkan aksi seperti orang ingin muntah sambil meletakkan tangannya didada dan mata pandang ke atas. Hakimi Danial gelak kecil.
“Comellah awak buat muka macam tu.’’Hakimi Danial meneruskan gelaknya. Tak sangka betul dia yang Aisya memang berbakat dalam membuat lawak.
“Banyaklah awak punya comel. Sudahlah, saya nak tidur. Saya dah mengantuk ni. Malas saya nak layan awak.” Aisya merangkak perlahan-lahan naik ke atas katil. Hakimi Danial mengikuti Aisya dari belakang.
“Awak buat apa ni?”
“Saya nak tidurlah. Takkan nak picnic pulak.”Jawab Hakimi Danial selamba.
“Saya tahulah awak nak tidur tapi tempat awak kan kat sana bukannya kat sini.”Jari telunjuk Aisya lurus menunding ke arah sofa yang telah menjadi tempat tidur Hakimi Danial semenjak mereka berdua diijabkabulkan.
“Alaaa…awak bagilah saya peluang malam ni untuk tidur atas katil ni. Dah lama dah saya tidur atas sofa tu sampai sakit tulang belakang saya ni. Awak tak kesian kat saya ke?”Rayu Hakimi Danial sambil buat mimik muka comel. Aisya berfikir sejenak.
“Okey..tapi dengan satu syarat”
“Apa syaratnya?”Ada riak gembira diwajah Hakimi Danial.
“Syaratnya adalah awak kena batalkan niat awak untuk pindah rumah, boleh?”
Hakimi Danial diam sejenak. Anak mata Aisya ditatap dalam. Aisya segera mengalihkan anak matanya apabila anak mata Hakimi Danial menikam anak matanya. Berdebar pulak hati aku bila bertentang mata dengan mamat ni. Bisik Aisya dalam hati.
“Macam mana awak setuju tak dengan syarat saya tu? Kalau awak setuju awak boleh tidur atas katil ni kalau tak setuju dengan segala hormatnya dipersilakan tidur atas sofa empuk awak tu semula ya.” Ujar Aisya.
Hakimi Danial buat-buat tidak mendengar butir bicara Aisya. Dengan selamba badaknya dia menguap seluas-luasnya dan merampas batal yang dipeluk oleh Aisya. Kemudian tanpa rasa bersalah dan segan silu dia merebahkan dirinya diatas katil itu bersebelahan dengan Aisya. Aisya mengetap bibir. Sakit hati campur geram yang teramat sangat.
“Saya bercakap dengan awak ni. Awak dengar tak?”Aisya meninggikan sedikit suaranya tetapi Hakimi Danial tetap buat selamba. Langsung tidak berkata apa-apa. Dia tidur membelakangkan Aisya. Dia berpura-pura berdengkur dengan kuat.
Aisya mengepal penumbuk. Haishh…nasib baik dia ni suami aku. Kalau orang lain memang sah-sah aku lipat-lipat macam kain. Bebel Aisya dalam hati.
Akhirnya Aisya mengalah. Dia mendengus kasar. Dia merebahkan badannya dengan kasar. Diletakkan sebiji batal peluh ditengah-tengah antara mereka berdua.
Kalau mamat ni berani buat macam-macam kat aku karang memang aku terajang biar jatuh katil. Ngomel Aisya sambil tersengih sumbing. Perlahan-lahan matanya tertutup dengan sendirinya dan akhirnya dia lena diulit mimpi indah. Itupun kalau indahlah. Entah-entah nightmare.
Hakimi Danial menutup mulutnya menahan tawa yang ingin pecah apabila melihat reaksi Aisya yang tidak puas hati. Dia merenung tubuh Aisya yang membelakanginya dengan senyuman meleret. Perlahan- lahan dia mencapai bantal peluk lalu diletakkan dibelakangnya. Perlahan- lahan dia mendekati belakang Aisya.
‘ Dah tidur ke dia ni? Mintak- mintaklah dah tidur. Kalau tak tidur bukan main ganasnya lagi. Kalahkan aku yang lelaki ni. Tapi bila dia dah tidur, bolehlah aku nak bermanja sikit. Hehehe,’ bisik hati Hakimi Danial lalu memeluk pinggang Aisya tanpa segan silu.
Sempat lagi dia mengucup pipi Arisya. Ganas- ganas pun bini aku jugak. Redha jelah dapat bini macam ni. Desis hatinya lagi. Hakimi Danial cuba memejamkan mata namun tubuh Aisya yang bergerak- gerak mengejutkan Hakimi Danial. Dia mengangkat tangan daripada memeluk pinggang Aisya, bimbang juga gadis itu akan mengamuk.
Namun, dia tersenyum apabila Aisya memalingkan wajah dan mengadap wajah Hakimi Danial. Kemudian, Hakimi Danial ketawa kecil apabila melihat Aisya yang tidur sambil menghisap ibu jari. Persis seperti anak kecil.
“ Nek, nak ais krim tu…” Aisya mengigau sambil matanya terpejam rapat.
Hakimi Danial tidak mampu menahan gelak. Buntang biji matanya apabila terdengar suara Aisya yang mengigau. Perangai ganas bukan main lagi tapi mengigau. Buat malu kaum betullah Aisya ni. Detik hati Hakimi Danial. Dia merenung wajah Aisya yang tenang dalam lenanya. Satu kucupan lekat di dahi Aisya kemudian beralih di pipi Aisya. Dia merenung bibir Aisya.
“ Dekat sini, belum lagi…” bisik Hakimi Danial. Dia mencium jari telunjuknya sebelum meletakkan jari telunjuknya di bibir Aisya yang lembut.
“ Selamat malam, sayang,” bisik Hakimi Danial lagi lalu mengeratkan pelukannya pada tubuh Aisya yang sudah terbuai mimpi indah. Dia tersenyum dalam tidurnya.

Cinta Si Gadis Kebun ( Bab 4 )


AISYA menongkat motosikal yang berjenama Yamaha Ego di halaman rumah. Tidak semena-mena hidungnya menangkap bau yang cukup menyelerakan. Serta merta perutnya berkeroncong. Namun, otaknya ligat memikirkan sesuatu.
“Tadi aku pergi hantar nenek kat rumah Mak Cik Jemah. Habis tu siapa yang masak ni? Best pulak bau. Tak kanlah orang bunian kot.” Teka Aisya sendiri. Jari telunjuknya mengetuk-ngetuk dagunya sendiri.
Aisya menguak pintu utama perlahan-lahan. Ruang tamu senyap sunyi. Dia terdengar bunyi bising di dapur. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke ruang dapur. Tangannya kemas memegang helmet sebagai alat untuk melindungi diri sendiri jikalau ada pencuri yang memecah masuk ke dalam rumahnya.
Aisya melangkah dengan perlahan-lahan menuju ke dapur. Hatinya sedikit berdebar.
“Laaa…awak rupanya. Saya ingatkan pencuri tadi. Nasib baik saya tak hempuk dengan topi keledar tadi.”
Hakimi Danial hanya tersengih seperti kerang busuk.
“Sorrylah kalau saya buat awak takut.”Hakimi Danial meneruskan kerjanya menggoreng ikan.
“Awak masak apa ni? Macam sedap aje sebab dari luar tadi saya dah bau masakan awak.” Aisya cuba mengacau gulai yang sedang mendidih dalam periuk.
Hakimi Danial hanya memandang dengan kehairan. Minah ni tak kan tak tahu yang ini gulai apa? Nampak sangat tak pernah ke dapur. Ish…ish.. Desisnya dalam hati.
“Kalau Aisya sayang nak tahu ini namanya gulai lemak tempoyak ikan patin. Awak makan tak ikan patin?” Tanya Hakimi Danial dengan nada lembut.
“Saya makan semua jenis makanan tolak kayu dengan batu aje.” Ujar Aisya sambil gelak kecil. Hakimi Danial tidak berkelip-kelip melihat Aisya tergelak. Manisnya…pujinya dalam hati.
“Awak ni comel bila gelak. So saya harap awak lepas ni jangan asyik nak masam-masam mukalah. Kalau muka asyik masam mencuka nanti muka tak cantik.”
Aisya telan liur apabila Hakimi Danial memujinya begitu. Aku comel ke? Soalnya sendiri. Tiba-tiba pipinya merona merah.
“Kenapa awak masak semua ni?” Aisya cuba mengalih topik.
“Saya masak untuk awak. Lagipun saya tahu awak tak berapa pandai masak kan?”
“Saya bukan tak pandai masak tapi kurang mahir aje.” Aisya masih ingin memenangkan dirinya sendiri. Aisyeman..ni mesti nenek yang bocorkan rahsia kat mamat sengal ni yang aku tak pandai masak. Nenek ni memang tak boleh simpan rahsialah. Rungut Aisya sendiri.
“Yalah tu..”Hakimi Danial mencuit hidung Aisya. Aisya hanya mencebik bibir.
“Jangan nak muncung sangatlah. Lauk ni dah masak. Jom kita makan. Saya dah lapar ni.” Hakimi Danial meletakkan lauk gulai lemak tempoyak ikan patin atas meja manakala Aisya mengambil pinggan dari rak pinggan.
Mereka makan dengan penuh berselera sekali.
“Sedap jugak awak masak. Sedap.” Puji Aisya dengan penuh keikhlasan. Hakimi Danial hanya tersenyum. Kembang kempis, kembang kempis hidung selepas dipuji oleh Aisya.
“Saya tahu. Kalau saya masak tak sedap takkanlah awak tambah nasi sampai tiga kali kan.” Ujar Hakimi Danial selamba. Serta-merta Aisya berhenti menyuap nasi ke mulut selepas ditegur begitu oleh Hakimi Danial.
Tiga kali aku tambah? Aku rasa aku baru tambah sekali aje. Bebel Aisya dalam hati.
“Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak ni tapi awak janji jangan marah tau.” Dengan lembut Hakimi Danial bersuara.
Aisya mengangkat muka memandang tepat ke anak mata Hakimi Danial.
“Awak tak tanya lagi macam mana saya nak marah.” Gurau Aisya.
“Kita pindah rumah nak tak? Takkan selama-lamanya kita nak duduk kat rumah nenek awak ni.”
“Pindah?” Terjojol biji mata Aisya. Mulut pula ternganga.
“Yalah pindah.” Jawab Hakimi Danial.
“Tak boleh. Saya tak nak pindah. Saya nak duduk jaga nenek kat sini. Kalau awak nak pindah, awak pindahlah seorang diri. Saya tak nak ikut.” Ujar Aisya dengan nada yang tegas.
“Tapi Aisya takkanlah kita nak duduk kat dalam rumah selama-lamanya. Kita kenalah berdikari sendiri. Hidup macam suami isteri yang lain. Nanti kalau ada anak takkan kita masih nak duduk bawah ketiak nek Timah lagi. Awak tak malu kat orang kampung ke?”
“Buat apa malu kat orang kampung. Bukan dia orang yang bagi saya makan. Saya langsung tak hairan dengan cakap orang kampung ni. Nanti kalau dia orang dah penat bercakap dia orang diamlah.” Aisya cuba menegakkan pendiriannya.
Aisya memang tidak mahu tinggal berdua dengan Hakimi Danial. Dia tidak betah bila bertentang mata dengan Hakimi Danial. Setiap kali mata mereka berdua bertentangan jantungnya akan berdegup kencang seperti mahu gugur dibuatnya.
“Awak ni memang keras kepalalah. Sekarang saya tak mahu dengar apa-apa alasan lagi. Bulan depan kita pindah rumah. Kita pindah ke Kuala Lumpur sebab bulan depan saya dah kena start kerja. Saya dah bagi tahu pada Nek Timah. Nek Timah pun dah setuju. So sekarang tak ada alasan untuk awak bangkang arahan saya.” Tegas Hakimi Danial.
“Saya tak nak ikut awak. Awak pindahlah sorang. Read my lip ok. Saya tak nak pindah.” Ucap Aisya satu persatu ayat.
“Awak tengok mulut saya pulak ya. Ada saya kisah.” Balas Hakimi Danial pula. Aisya mendengus kasar. Dia mencuci tangannya rakus. Kemudian dengan kaki yang menghentak-hentak lantai dia keluar meninggalkan Hakimi Danial seorang diri di meja makan itu.
Hakimi Danial hanya menggeleng kepalanya melihat kedegilan isterinya.
“Macam budak-budak dia ni.” Gumam Hakimi Danial sendiri.

“DIA ingat dia siapa. Sedap-sedap je nak aku ikut arahan dia.” Bebel Aisya sambil kakinya laju melangkah menuju ke kebunnya. Disitulah tempat untuk dia menenangkan perasaannya yang sentiasa berkecamuk.
“Tapi kalau diikutkan memang dia ada hak untuk perintah aku supaya ikut arahan sebab diakan suami aku.” Aisya menggaru kepalanya sendiri.
“Arrgghhh…lantaklah. Ada aku kisah dengan semua tu.” Aisya menepuk-nepuk sebatang pokok yang sedang ranum dengan buah rambutan berwarna kuning. Aisya senyum sendiri.
“Rindunya aku kat kau pokok. Dah lama aku tak jenguk kau orang semua. Mesti kau orang rindukan aku kan.” Aisya bercakap-cakap dengan pokok rambutan itu serta dengan semua pokok yang berada dalam kebun arwah ayah dan ibunya.
Sepantas kilat, Aisya kini sudah berada di atas pokok rambutan tersebut. Setangkai rambutan dicapai. Dia menikmati buah rambutan itu dengan penuh berselera sekali. Sesekali dia akan menyanyi-nyanyi sambil menggoyang-goyangkan kakinya yang terjuntai dari dahan pokok rambutan itu.
Semut-semut yang melintasinya pasti akan ditiup sehingga tercampak dan terbang jauh dari pandangannya. Agak-agaknya apalah salah semut tu berjalan-jalan didepan mata dia. Aisya ni langsung tak boleh tengok semut-semut itu bahagia sikit.
“Aisya, Aisya buat apa atas pokok tu? Cepat turun. Tak elok orang perempuan duduk atas pokok.” Jerit Hakimi Danial dari bawah pokok. Niat dihatinya adalah untuk mengajak isterinya pulang ke rumah.
“Awak tak nampak ke saya tengah makan buah rambutan atas pokok ni takkanlah pancing ikan pulak atas pokok. Apalah awak ni.” Jawab Aisya sambil menjeling Hakimi Danial yang mendongak memandangnya dari bawah pokok.
“Saya cakap turun. Turun cepat. Jangan sampai saya tebang pokok rambutan ni nanti.” Ugut Hakimi Danial.
Aisya sudah membuat jelingan maut kepada Hakimi Danial.
“Awak jangan berani nak tebang pokok rambutan kesayangan saya ni. Jangan pernah ada angan-angan pun tau.” Balas Aisya.
Kalau mamat ni berani sentuh pokok rambutan aku siaplah dia aku kerjakan. Ngomel Aisya dalam hati.
“ Hahahahaha….” Hakimi Danial hanya mampi tergelak mendengar balasan daripada mulut isterinya itu.
“Kenapa awak gelak pulak? Saya rasa saya tak buat lawak pun.”
“Awak ni comellah.” Tidak semena-mena kata-kata itu muncul laju dari mulut Hakimi Danial. Serta-merta membuatkan Aisya diam membisu dan pipinya merona merah. Selama ini tidak pernah ada lelaki yang memujinya comel. Kembang kempis, kembang kempis hidungnya.
“Awak turun ya. Tak elok perempuan comel macam awak duduk atas pokok tu. Hilang kecomelan awak tu nanti.” Hakimi Danial terus memujuk. Aisya memekakkan telinganya. Mulutnya rakus mengunyah isi buah rambutan.
Hakimi Danial mencekak pinggang melihat Aisya yang langsung tidak menghiraukan pujukannya.
“Budak ni degil betul. Nak tarik telinga dah besar panjang. Nak rotan pulak, dia ni isteri aku. Takkanlah aku nak rotan isteri aku sendiri…Haishhh.” Bebel Hakimi Danial dalam hati. Dia mengeluh panjang.
“Awak cepatlah turun. Dah nak masuk maghrib ni. Awak nak saya buat apa lagi supaya awak turun dari pokok ni?” Kaki Hakimi Danial laju menendang batang pokok rambutan yang besar itu.
“Awak jaga sikit kaki awak tu. Jangan sedap-sedap aje nak tendang pokok saya ni. Kalau awak nak saya turun dari pokok ni sekarang boleh, tapi dengan satu syarat…” Aisya mengangkat jari telunjuknya.
Aduh..nak suruh turun dari pokok pun kena pakai syarat bagai ke? Ngomel Hakimi Danial sendiri.
“Okeylah. Apa syaratnya? Awak jangan mintak syarat yang merapu-rapu sudah.” Hakimi Danial mengalah. Aisya tersenyum puas.
Hehehehe…tahu pun mengalah. Aisya bersorak dalam hati.
“Syaratnya ialah kita jangan pindah dari rumah nenek saya. Kita tinggal kat situ sampai bila-bila. Setuju?” Aisya tersenyum manis. Hakimi Danial menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia kelihatan seperti memikirkan sesuatu.
“Okey. Saya setuju dengan syarat awak tu. Dah…dah…sekarang saya nak awak turun dari pokok itu cepat. Jangan sampai saya berubah fikiran pulak.” Ugut Hakimi Danial. Tangannya menepuk dahinya yang digigit nyamuk. Terburai perut nyamuk itu ditepuk oleh tangan jantan milik Hakimi Danial.
Dengan terkocoh-kocoh Aisya cuba turun dari pokok rambutan itu. Dia perlu lekas turun dari pokok itu jika tidak Hakimi Danial akan berubah fikiran. Kalau Si Mamat Sengal itu berubah fikiran itu bermakna dia harus tinggal serumah dan berdua-duaan dengan Si Mamat Sengal. Ohhh..tidak. Dia tidak akan membiarkan perkara itu menjadi kenyataan.
Hakimi Danial hanya memerhatikan Aisya berusaha untuk turun dari pokok itu. Dia setia menanti di bawah pokok rambutan tersebut. Matanya hanya memerhatikan sahaja isterinya terkial-kial untuk turun dari pokok itu.
Prakkkkkkkkk…..ranting pokok rambutan cekah dan pegangan tangan Aisya terlerai dari dahan itu. Tidak semena-mena badan Aisya mendarat baik punya di atas badan Hakimi Danial. Mata mereka bertentangan buat beberapa saat.
‘Kacak jugak mamat ni.’ Puji Aisya dalam hati. Matanya masih lagi terpaku pada anak mata Hakimi Danial. Bibirnya kelu tidak berbicara.
“Dah puas dah ke selidik muka saya? Saya tahulah muka saya ni kacak.” Hakimi Danial bersuara apabila melihat Aisya begitu asyik menatap wajahnya. Dalam masa yang sama, hatinya juga berderau apabila berada begitu rapat dengan isterinya. Namun dia tetap control macho.
Sepantas kilat Aisya bingkas bangun dari atas badan Hakimi Danial. Pipinya tiba-tiba merona merah menggebu.Blushing…blushing…..
“Awak memang kuat perasanlah.” Aisya menunjal dahi Hakimi Danial. Tanpa berkata panjang Aisya meninggalkan Hakimi Danial yang berlari-lari anak mengejarnya dari belakang.
Spontan Hakimi Danial menarik lengan Aisya daripada belakang. Tindakan spontan lelaki itu membuatkan Aisya jatuh dalam pelukan Hakimi Danial. Aisya terpana. Hakimi Danial hanya tersengih dan mengangkat- angkat kening.
“ Lepaslah!” Aisya meronta- ronta untuk melepaskan diri.
“ Kalau saya tak nak lepaskan, macam mana?” Hakimi Danial bermain tarik tali. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Aisya. Dia tersenyum penuh makna.
Wajah Aisya merona merah. Dadanya juga mula berdetak kencang. Wajah Hakimi Danial yang begitu hampir dengan wajahnya membuatkan Aisya tidak keruan. Sudahlah di tempat terbuka begini, dia pulak buat hal. Desis hati Aisya.
“ Awak jangan menyesal nanti!” balas Aisya geram.
Hakimi Danial menayang muka selamba. Dia tidak mempedulikan ugutan Aisya malah dia semakin galak memeluk tubuh Aisya.
“ Saya tak takut pun!” balas Hakimi Danial bersahaja. Suka pula dia melihat wajah Aisya yang merona merah.
‘ Oh, tak kisah ye? Jaga kau!’
Aisya cuba meronta buat kesekian kalinya namun, Hakimi Danial masih enggan melepaskannya. Lalu, dia memijak kaki Hakimi Danial dengan sekuat hati. Tak kisah sangat kan? Rasakanlah penangan aku. Detik hati Aisya dengan tawa yang tertahan- tahan.
“ Aduh!” Hakimi Danial mengaduh. Spotan dia meleraikan pelukan. Dia mengangkat kaki yang dipijak oleh Aisya. Berkerut dahinya menahan sakit.
Aisya ketawa dan melarikan diri. Sempat lagi dia menjelirkan lidah pada Hakimi Danial yang memandang dengan penuh rasa tidak puas hati. Padam muka!