Tetamu Rindu

Monday 15 September 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 10 )



SHARIFAH AKYRA tidak berkelip memandang wajah kacak kekasih hatinya. Dia bagaikan tidak percaya dengan pengakuan berani mati Syed Aryan yang mengaku telah bernikah dengan pembantu rumahnya semata- mata ingin memenuhi impian arwah papanya.
I can’t believe this honey, how could you….” Sharifah Akyra tidak dapat menyambung kata- katanya. Dia cukup kecewa dengan apa yang berlaku.
“Sayang, I bukannya nak sangat kahwin dengan dia tapi papa yang mintak lagipun waktu tu papa tengah nazak, apa lagi pilihan yang I ada? Tolonglah percaya pada I, sayang,” rayu Syed Aryan sambil mengenggam tangan Sharifah Akyra yang lembut.
Sharifah Akyra menarik balik tangannya dari terus berada dalam genggaman Syed Aryan. Dia cukup kecewa malah sakit hati dengan perlakuan Syed Aryan.
“Kepercayaan I pada you dah hilang, Ary. Kenapa you tak bincang dengan I dulu sebelum you buat keputusan? You tahukan I sayangkan you dan I akan berada di sisi you tak kira suka mahupun duka,” ucap Sharifah Akyra lembut.
Please Kyra, I mohon pada you kali ini percayalah pada I. Apa yang I lakukan itu semata- mata untuk papa I. Takkan you tak tahu yang I memang sayang dan cintakan you setengah mati. I tak boleh hidup tanpa you. Please jangan merajuk dengan I lagi. I dah cukup terseksa tak dapat tengok senyuman you yang manis tu,” pujuk Syed Aryan lagi sambil memegang kedua belah bahu Sharifah Akyra yang terdedah.
Bunyi bising dalam kelab malam itu tidak memberi kesan terhadap perbualan mereka. Liuk lentuk anak muda yang tidak kenal erti halal haram tidak dipedulikan oleh Syed Aryan. Apa yang penting hati wanita itu perlu diraih kembali agar dia tidak kelihatan kecundang di mata kawan- kawannya yang lain.
Sharifah Akyra seorang gadis yang cukup cantik dan jelita. Wajah Pan-Asia yang dimiliki gadis itu memukau setiap mata yang memandang namun akhirnya gadis itu memilih Syed Aryan sebagai teman istimewa. Betapa Syed Aryan rasa bangga apabila semua kawan- kawannya memuji kehebatan Syed Aryan dalam menakluki gadis cantik seperti Sharifah Akyra. Hal itu menyebabkan Syed Aryan perlu berhati- hati agar hati gadis manja itu tidak terguris.
“Baiklah kali ini I maafkan you tapi ingat I nak bagi amaran pada you jangan cuba nak curang dengan perempuan kampung tu di belakang I. Kalau tak I akan putuskan hubungan kita,” ugut Sharifah Akyra.
Ceh, Akyra pandai betul kau berkata- kata cuba bayangkan kalau kau putus dengan jutawan muda seperti Syed Aryan, siapa yang akan beri kau kemewahan lagi? hatinya berkata- kata.
Syed Aryan melebarkan senyuman. Dia mengangkat kedua belah tangan tanda tidak akan berlaku curang terhadap gadis itu. Lantas tanpa segan silu Syed Aryan memeluk tubuh Sharifah Akyra yang ramping. Walaupun Sharifah Akyra membalas pelukannya dengan hangat, namun Syed Aryan tidak merasakan ketenangan yang dicari sebaik sahaja dia keluar daripada rumah tetapi Syed Aryan sembunyikan rasa itu jauh dalam lubuk hatinya.
Sharifah Akyra mengangkat muka dan menatap wajah Syed Aryan yang kacak dengan penuh perasaan. Perlahan-lahan dia mendekatkan wajahnya ke wajah Syed Aryan sementara tangannya kemas memeluk tengkuk lelaki itu. Dia akan lakukan apa saja untuk memiliki lelaki kaya itu.
Syed Aryan bagaikan terpesona dengan renungan mata yang galak itu namun jauh di dalam hatinya terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Jiwanya gelisah secara tiba- tiba. Pantas, saat bibir wanita itu hampir menyentuh bibirnya dengan pantas Syed Aryan memalingkan wajahnya ke tempat lain menyebabkan ciuman Sharifah Akyra tidak mengena.
Sharifah Akyra terkejut dengan penolakan Syed Aryan. Lantas, dia meleraikan pelukan, wajah lelaki itu dipandang dengan seribu tanda tanya.
Hey,apa dah jadi ni? I ingat you sayangkan I…”
“Memang I sayangkan you, tapi I mintak maaf, sayang. Let be our first kiss in our first night. I hope you understand,” pinta Syed Aryan. Dia meraup wajahnya.
“Kenapa you tak sayangkan I?” soal Sharifah Akyra lagi. Dia rasa sedikit terhina dengan penolakan Syed Aryan. Selama ini bersusun lelaki ingin menjadi kekasihnya dan memenuhi waktu sunyinya tetapi Syed Aryan menolaknya mentah- mentah. Memang mendatangkan kemarahan.
“Sebab I sayangkan you, I takkan sentuh you selagi you tak jadi isteri I yang sah and you jangan risau  first kiss I adalah untuk gadis yang yang I cinta dan gadis itu adalah you. Itu janji I pada you, ” ujar Syed Aryan dengan bersungguh.
Dia mengelus pipi Sharifah Akyra dengan lembut membuatkan gadis itu tersenyum kembali. Gadis itu kembali ke dalam dakapan Syed Aryan tanpa perasaan malu yang sepatutnya ada dalam diri seorang manusia yang bergelar wanita.
Ary, can I ask you something?” soal Sharifah Akyra dengan manja.
“Apa dia sayang?”
“You dengan minah kampung tu dah ‘tu’ ke?” soal Sharifah Akyra.
Dahi Syed Aryan berkerut. Dia mencari raut wajah Sharifah Akyra yang  tersembam di dada bidangnya. Dia tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Sharifah Akyra.
“Apa maksud you dengan ‘tu’?” tanya Syed Aryan pelik. Dahinya berlapis- lapis.
Sharifah Akyra menampar lembut dada Syed Aryan. Dia mencebikkan bibir.
“You ni pura- pura tak tahu pulak. You dengan minah tu dah ‘together’ ke? I mean as real husband and wife,”
What?! You ingat I ni apa? Suka- suka hati nak terkam anak dara orang. Lagipun dia tu bukan taste I. Tak selera I tengok perempuan kampung tu dahlah bertutup litup 24 jam. Rimas I tengok. Tak ada satu pun pada diri dia yang mampu menarik perhatian I dan I nak you tahu yang I tak pernah dan takkan pernah sentuh perempuan kuno tu. Please, not my taste darling. Bagi free pun I takkan pandang walau sebelah mata,” ujar Syed Aryan dengan penuh rasa yakin yang dia tidak akan terpikat pada isterinya itu.
Sharifah Akyra tersenyum lega selepas mengetahui isi hati Syed Aryan yang sebenar. Sekurang- kurangnya dia boleh menuntut janji daripada lelaki itu jika berlaku apa- apa yang di luar jangkaan.


DI hamparan sejadah yang terbentang, Wafiya Khadeeja duduk berteleku sambil menadah tangan memohon kekuatan daripada Sang Maha Pencipta yang Maha Mengetahui segala yang telah ditakdirkan untuknya. Walaupun dengan tubuh yang masih lemah dengan kesan luka dan lebam yang menyakitkan, Wafiya gagahkan diri untuk Solat Sunat Tahajud dan menyerah diri di hadapan Allah s.w.t.
“Ya Allah, Ya Tuhanku, Engkau maha mengetahui apa yang aku tidak ketahui jika ujian yang Kau berikan ini mendekatkan aku dengan Kau, maka redhailah hatiku untuk menempuhnya dengan berlapang dada. Aku tahu Engkau Maha Adil lagi Maha Penyayang, lindungilah aku daripada kekejaman dunia dan jauhkan aku dari disakiti oleh hamba- hamba-Mu yang lain.
Namun, jika ujian ini adalah kifarah daripada dosa aku yang dulu, maka ampunkanlah dosaku kerana sesungguhnya Kau Maha Pengampun dosa- dosa besar. Kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku, dosa Uncle Umar, dosa ibu mertua ku dan juga suamiku walaupun aku bukanlah isteri dan menantu impian mereka,” rintih Wafiya dalam doanya. Air matanya tidak berhenti mengalir seolah- olah dengan mengeluarkan air mata, dapat mengurangi kesakitan yang di alaminya.
Wafiya teresak- esak bila terbayangkan wajah arwah ayah dan ibunya yang telah pergi meninggalkannya keseorang di atas muka bumi ni. Tiada lagi tempat untuk dia mengadu, tiada lagi tempat dia mencurahkan perasaan dan tiada lagi tempat untuk dia berkongsi perasaan suka dan duka. Cuma yang tinggal sekarang hanya kegelapan yang menyelubungi apabila terperangkap di dalam sangkar yang di luarnya bagaikan istana tetapi di dalamnya tak ubah seperti gua yang kelam tanpa sinar yang dapat menyinari harinya.
“Ya Allah, dengan nama-Mu aku maafkan segala kesalahan insan-insan yang telah menyakitiku dan moga Kau berikan hidayah dan petunjuk kepada mereka. Kau bukakanlah hati Tuan Ary dan Puan Sri untuk kembali ke jalan yang Kau redhai dan jangan Kau pesongkan hati kami setelah Kau berikan petunjuk. Ya Allah, jodoh dan maut itu urusan-Mu jika memang dia di takdirkan untukku, baik untukku, agamaku, duniaku dan akhiratku maka Kau dekatkanlah hatiku dan hatinya namun jika dia bukan untukku, Kau damaikan hatiku dengan ketentuan-Mu dan Kau berikan yang terbaik untukku. Hanya kepada Kau aku berserah dan meletakkan harapan. Amin ya Rabbal al-amin,”
Wafiya mengakhiri doanya dengan meraup wajahnya yang lesu dan tidak bermaya. Rasa ketenangan mula menjengah ke tangkai hatinya yang gundah. Wafiya terasa lapang dan damai. Dia tersenyum nipis lalu dengan tiba- tiba dia melurut jatuh di atas tikar sejadah. Perlahan- lahan matanya yang berair tertutup rapat.
Tanpa disedari ada seseorang sedang memerhatikan Wafiya dengan perasaan berbaur.


 



Pewaris Takhta Cinta ( Bab 9 )



SYED ARYAN mundar mandir di hadapan Puan Sri Sharifah Mastura yang duduk bersandar sambil memeluk tubuh di sofa dalam bilik bacaan yang selalu Tan Sri Syed Umar  gunakan semasa hayatnya.
“Macam mana ni mama takkan kita nak biarkan perempuan tak guna tu bermaharajalela dalam rumah kita sendiri. Ary tak sanggup nak mengadap muka dia hari- hari,” ujar Syed Aryan sambil menggigit jari.
Puan Sri Sharifah Mastura melepaskan keluhan kuat.
“Habis tu apa yang mama boleh buat kalau dah itu arwah papa kamu nak. Papa sendiri yang tulis wasiat tu dan wasiat tu sah di sisi undang- undang. Kita kena ikut walaupun terpaksa,” balas Puan Sri Sharifah Mastura tegang.
“Ary tak dapat terima mama. Tak dapat terima langsung yang perempuan kampung tu jadi mem besar dalam rumah ni,”
Syed Aryan menggelengkan kepalanya. Dia meraup wajahnya yang kegelisahan apabila mengenangkan yang dia hanya menumpang di dalam rumahnya sendiri.
“Itu Ary jangan bimbang mama akan buat dia menyesal kerana masuk dalam keluarga kita. Dasar perempuan tak sedar diri. Dahlah budak kampung ada hati nak rampas harta keluarga kita. Apa kata Ary ceraikan saja perempuan tu dan selepas itu kita halau dia dari rumah ni,” Puan Sri Sharifah Mastura memberi cadangan. Dia berdiri dan menepuk bahu anak tunggalnya itu.
Syed Aryan terdiam sebentar. Cerai? Kemudian dia menggeleng- gelengkan kepala.
“Ary rasa ceraikan dia bukan selesaikan masalah tapi menambah masalah. Kalau Ary ceraikan dia sekalipun, kita tetap tak boleh halau perempuan tu dari rumah ni sebab arwah papa dah tetapkan syarat hanya selepas enam bulan baharu perempuan tu boleh keluar atau tukar hak milik mama,” balas Syed Aryan.
Ye tak ye jugak. Memang dasar perempuan tak guna. Apa yang dia dah bagi pada papa sampaikan papa sanggup berikan rumah ni pada dia? Mama memang sakit hati dengan perempuan tu. Sebab itu mama tak suka kamu berkawan dengan golongan bawahan tengoklah apa yang jadi. Kita bagi dia tempat tinggal, sekarang dia yang pijak kepala kita. Habis tu apa yang kamu nak buat dengan perempuan tu?”
“Ary tak nak ambil tahu pasal dia. Mama uruskan dia ikut suka hati mama. Ary tak nak ambil kisah,” ucap Syed Aryan dengan muka tak ada perasaan.
Puan Sri Sharifah Mastura tersenyum penuh makna. Memang itu yang dia mahukan. Dia akan membuat Wafiya tidak betah tinggal di rumah itu. Dulu cinta mak kau yang merampas suami aku sekarang aku takkan berdiam diri dengan membiarkan kau merampas harta aku, Fiya. Kalau aku tak dapat balas dendam pada mak kau, jadi kau yang harus terima balasan akibat perbuatan mak kau yang tak guna itu. Bisik hati Puan Sri Sharifah Mastura penuh dengan dendam kesumat dan apa yang pasti dia tidak akan melepaskan Wafiya sebelum gadis itu membayar harga sakit hatinya.

“TOLONG Puan Sri lepaskan saya. Sakit Puan Sri!” rintih Wafiya dengan air mata yang lebat mengalir di pipi.
Dia cuba melepaskan genggaman tangan Puan Sri Sharifah Mastura yang kuat mencengkaman rambutnya. Dia mengadu kesakitan tetapi Puan Sri Sharifah Mastura bertindak dengan lebih ganas dengan menampar pipinya berkali- kali.
“Tahu sakit. Hati aku yang sakit kau tak tahu. Kalau tak sebabkan janji laki aku dengan mak kau, aku takkan dapat menantu sampah macam kau ni. Dulu mak kau menggatal dengan laki aku dan sekarang kau berangan nak jadi mem besar dalam rumah ni. Lebih baik kau cermin muka kau tu sikit atau kau tak pernah cermin muka kau selama ni. Mari sini aku tunjuk muka kau biar kau sedar diri!” herdik Puan Sri Sharifah Mastura lagi.
Dengan tidak berperikemanusiaan, Puan Sri Sharifah Mastura menarik rambut Wafiya dan mengheret tubuh kurus itu ke hadapan cermin. Dia menunja-nunjal kepala Wafiya supaya gadis itu berdiri di hadapan cermin. Apabila Wafiya sudah berdiri, Puan Sri Sharifah Mastura menarik kepala Wafiya ke belakang sedikit supaya kepala Wafiya tegak memandang ke arah cermin.
“Kau pandang muka kau tu betul- betul, sesuai tak dengan anak aku yang kacak tu. Kau sedar tak kau tu tak ubah macam sampah di mata Ary malah kau lebih murah daripada pelacur di jalanan. Kau tak payah nak berangan nak duduk dalam mahligai yang indah ni. Budak kampung macam kau ni patut sedar diri, dahlah busuk, kotor ada hati nak jadi anak raja!” tambah Puan Sri Sharifah Mastura dengan kasar. Tanpa belas dia terus menghina Wafiya yang sudah menangis teresak- esak.
Wafiya terus- terusan menangis. Remuk redam hatinya apabila dicaci dan dicerca sedemikian rupa seperti dia tiada maruah dan harga diri. Ya Allah, kepada-Mu hamba berserah. Tolonglah hamba-Mu ini. Rintih hati Wafiya bersama tangisan dan kesakitan.
“Saya tak mintak Tan Sri berikan rumah ini pada saya, Puan Sri. Maafkan saya Puan Sri jika saya ada buat salah pada Puan Sri tapi tolong lepaskan saya Puan Sri. Sakit…” rayu Wafiya lagi. Dia cuba meleraikan cengkaman tangan Puan Sri Sharifah Mastura di rambutnya tetapi semakin dia cuba semakin kuat Puan Sri Sharifah Mastura kuat.
“Kau nak aku lepaskan kau ye?”
Pantas Wafiya mengangguk dengan wajah yang berkerut. Dia cuba menahan kesakitan yang semakin membalut dirinya. Namun, tanpa di sangka- sangka, Puan Sri Sharifah Mastura menolak tubuh kurus Wafiya sehingga gadis itu jatuh tersungkur di atas lantai. Tubuhnya yang kurus di sepak sesuka hati oleh wanita yang tidak berperikemanusiaan itu.
“Rasakan kau dasar perempuan sundal, perempuan sial!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura lagi.
Seperti dirasuk iblis, Puan Sri Sharifah Mastura memukul dan menyepak tubuh Wafiya dengan sesuka hatinya tanpa ada sedikit belas kasihan dalam hatinya yang bergelar wanita. Dia hanya inginkan kepuasan agar dendamnya terhadap Soleha terbalas.
Manakala Wafiya tidak dapat berbuat apa- apa. Dia hanya menahan kesakitan yang tidak bertepi. Dia hanya mampu mengerang kesakitan dan merayu agar tubuhnya yang lemah tidak terus menjadi mangsa pukulan Puan Sri Sharifah Mastura. Namun, semakin dia merayu, semakin kuat habuan yang diterima daripada Puan Sri Sharifah Mastura. Wafiya hanya mampu berserah bersama air mata yang tidak berhenti mengalir mengenangkan nasib diri yang diperlakukan seperti binatang.

MAK MILAH menjerit memanggil nama Wafiya dari luar bilik anak gadis itu. Dia tahu Puan Sri Sharifah Mastura telah melakukan sesuatu pada Wafiya kerana dia mendengar jeritan suara gadis itu merayu pada Puan Sharifah Mastura.

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 8 )



SYED ARYAN termenung panjang mengenangkan papanya yang telah tiada di sisi mereka sekeluarga. Tan Sri Syed Umar telah menghembuskan nafas terakhir selepas dia dan Wafiya selamat dinikahkan malam itu juga. Sungguh Syed Aryan tidak menjangkakan sebaik sahaja dia melihat mesin hayat yang terhenti secara tiba- tiba, dia berfikir bahawa dia akan kehilangan papanya tetapi Tan Sri Syed Umar kembali bernafas buat seketika.
Masih jelas di fikiran Syed Aryan saat papanya meminta dia menikahi Wafiya di hadapannya. Tiada pilihan lain, Syed Aryan terpaksa meminta Muzamil untuk mencari jurunikah dan saksi serta wali hakim untuk membolehkan dia bernikah dengan Wafiya. Syed Aryan tahu mamanya tidak bersetuju dengan pernikahan itu tetapi selepas dipujuk akhirnya mamanya mengalah.
Sekarang, Tan Sri Syed Umar sudah kembali kepada Penciptanya meninggalkan dirinya dengan tanggungjawab sebagai seorang suami juga sebagai ketua syarikat. Apabila dihitung ternyata sudah seminggu mereka sekeluarga berkabung dengan pemergian Tan Sri Syed Umar. Mamanya, hanya murung dan asyik termenung sama seperti dirinya yang merindukan Tan Sri Syed Umar.
Namun lamunannya terhenti apabila telinga Syed Aryan menangkap bunyi bising di dalam rumah dan tanpa menunggu lama dia bergegas berlari ke dalam rumah. Kelihatan Puan Sri Sharifah Mastura sedang menolak Wafiya sehingga gadis itu jatuh terduduk. Apa yang berlaku ni?
“Apa yang berlaku ni, mama?” tanya Syed Aryan sambil mendapatkan mamanya.
“Perempuan ni patut kita halau je dari rumah. Disebabkan dia papa kamu mati dan disebabkan dia kamu kena berkahwin dengan dia. Dasar perempuan pembawa sial!” jerkah Puan Sri Sharifah sambil menunjal kepala Wafiya.
Wafiya menangis. Dia memberanikan diri untuk menentang wajah Puan Sri Sharifah Mastura dan Syed Aryan yang hanya diam membatu melihat perlakuan mamanya.
“Bukan saya penyebab kematian Tan Sri, Puan Sri dan bukan saya yang pinta untuk berkahwin dengan Tuan Ary. Ini semua takdir, Puan Sri.” balas Wafiya berani. Dia mengesat air matanya yang masih lebat menuruni lekuk pipi.
“Takdir? Pandai kau menjawab kan. Kau dengan mak kau yang dah mampus tu sama sahaja dah merampas keluarga aku. Kau ingat aku tak tahu yang mak kau ada hubungan sulit dengan laki aku. Dasar keturunan tak tahu malu. Mak dengan anak sama je. Aku tahulah rancangan kau. Kau cuma nak kan harta keluarga aku kan? Hey perempuan kampung, kau jangan nak berangan!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura sambil menendang kaki Wafiya.
Wafiya menjerit kesakitan sedangkan Syed Aryan memandang tanpa perasaan melihat isterinya diperlakukan seperti itu oleh mamanya.
“Puan Sri sabar jangan buat Fiya macam ni,” tiba- tiba Mak Milah datang mendapatkan Wafiya yang terdampar di lantai rumah.
“Mak Milah jangan nak menyibuk. Perempuan tak sedar diri ni perlu tahu kedudukan diri dia yang sebenarnya. Entah apa- apa keturunan berangan nak berkahwin dengan keturunan yang baik- baik,”
“Tapi ini bukan caranya, Puan Sri. Ary tak kesian ke tengok isteri Ary ni?” Mak Milah mengalih pandangan pada Syed Aryan yang setia berdiri di sebelah mamanya.
“Itu bukan urusan saya, Mak Milah. Saya hanya menunaikan permintaan papa je selebihnya pandai- pandailah dia uruskan sendiri. Lagipun apa yang yang dikatakan oleh mama tu betul. Dia patut sedar diri siapa diri yang sebenar. Mentang- mentang arwah papa ambil dia jadi anak angkat, nak naik kepala pula. Sorry sikit dia tak layak nak jadi menantu dalam keluarga ni. Malulah nak mengaku pembantu rumah ni sebagai isteri,” selamba sahaja Syed Aryan berkata- kata tanpa rasa bersalah. Dia sempat melemparkan senyuman sinis pada Wafiya yang memandang wajahnya dengan mata yang berair. Ingat aku nak kesian ke?
Wafiya terkesima dengan kata- kata Syed Aryan. Bukan kau ke yang minta aku mengahwini kau di hadapan Tan Sri Syed Umar? Pertanyaan itu hanya berlegar di dalam fikiran Wafiya sahaja.
“Kenapa Tuan Ary dan Puan Sri buat saya macam ni? Saya tak mintak pun semua ni,” Wafiya menangis lagi.
“Kau tak payah buat muka kesianlah. Sekarang aku nak, kau bungkus semua kain baju kau dan kau berambus dari rumah aku. Tak ada siapa dalam rumah ni nak terima kau apatah lagi anak aku ni. Kau sedar tak yang kau tak layak jadi isteri sekaligus jadi menantu dalam rumah ni. Baik kau pergi jadi orang gaji rumah orang lain! Pergi!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura lantang. Matanya dibeliakkan.
Wafiya tidak dapat berkata apa- apa. Dia cuba berdiri dengan pertolongan Mak Milah. Air mata yang merembes laju dikesat dengan belakang telapak tangan. Kalau ini ujian yang perlu dijalani, dia akan cuba untuk menerima dengan hati yang tabah walaupun dia bukanlah sekuat mana.
“Fiya takkan ke mana- mana,”
Satu suara garau menyampuk membuatkan semua yang berada di situ berpaling ke arah pintu utama. Kelihatan Muzamil yang segak berkemeja berdiri di situ sambil membimbit briefcasenya. Tajam mata lelaki itu merenung Puan Sri Sharifah Mastura dan Syed Aryan yang jelas terkejut dengan kehadirannya.
“Amil…buat apa dekat sini?” soal Puan Sri Sharifah Mastura sedikit gagap. Dia menelan air liur bimbang Muzamil melihat apa yang dilakukan dan dikatakan pada Wafiya sebentar tadi.
“Mama jangan risau Amil takkan bagitahu sesiapa apa yang mama lakukan pada Fiya untuk kali ini dan Amil harap mama takkan ulangi apa yang mama buat tu. Fiya awak jangan ke mana- mana,”
Halang Muzamil apabila melihat Wafiya ingin mengorak langkah menuju ke biliknya. Dia perlu menyelesaikan masalah keluarga ini sekarang juga. Ada sesuatu yang perlu Puan Sri Sharifah Mastura dan Syed Aryan tahu tentang kepentingan Wafiya dalam keluarga mereka.
“Apa maksud kau, Amil? Kenapa perempuan ni tak boleh keluar daripada rumah ni? Dia ni macam sampah tak perlu aku simpan dalam rumah ni,” sampuk Syed Aryan. Tuturnya agak kasar di pendengaran Muzamil.
Wafiya memejamkan mata. Air matanya tidak berhenti mengalir apabila mendengar kata- kata kejian daripada Syed Aryan. Hatinya bagaikan dihiris dan dicincang apabila dikeji sebegitu rupa oleh lelaki yang bergelar suami.
Muzamil menggelengkan kepalanya. Simpatinya tumpah pada gadis pemalu itu hingga membuatkan dirinya berkobar- kobar untuk memiliki gadis itu agar dapat menyelamatkan dia daripada cengkaman keluarga Puan Sri Sharifah Mastura yang kejam. Namun, Muzamil sedar diri yang Wafiya telah pun menjadi isteri yang sah pada Syed Aryan.
“Jom kita duduk dulu. Ada sesuatu yang perlu saya beritahu pada mama dan Ary berkenaan dengan wasiat yang ayah suruh saya bacakan selepas seminggu dia tiada. Saya harap mama dan Ary dapat terima dengan hati yang terbuka. Wafiya dan Mak Milah juga harus ada saat saya bacakan wasiat,” ujar Muzamil.
Tanpa banyak bicara, mereka semua berlalu ke ruang tamu untuk mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Muzamil. Selepas semuanya selesai melabuhkan duduk dengan lafaz bismillah sebagai pembuka kata, Muzamil membacakan wasiat dengan tenang.
“Arwah Tan Sri telah melantik Syed Aryan menjadi CEO syarikat Bayu Bina Sdn. Bhd berkuat kuasa dari tarikh wasiat ini dibacakan dan segala saham yang terdapat di bursa saham  adalah milik Syed Aryan. Segala tanah dan aset yang berjumlah 30 juta diserahkan pada  Puan Sri Sharifah Mastura tetapi perlu dipantau oleh Syed Aryan. Arwah Tan Sri tak nak berlaku sebarang pembaziran terhadap hartanya.
Selain itu, sejumlah wang sebanyak satu juta telah arwah dermakan kepada rumah anak- anak yatim dan badan- badan kebajikan di seluruh Malaysia dan duit itu perlu diagihkan seadilnya oleh Syed Aryan dan Puan Sri. Manakala, harta- harta yang selebihnya diberikan pada Syed Aryan sebagai anak lelaki tunggalnya,” ujar Muzamil panjang lebar.
Syed Aryan dan Puan Sri Sharifah Mastura tersenyum lebar. Namun, senyuman Puan Sri Sharifah Mastura mati tiba- tiba apabila dia teringatkan sesuatu.
“Sekejap, rumah ni macam mana? Amil tak sebut pun pasal rumah ni,” tanya Puan Sri Sharifah Mastura.
Muzamil tersenyum lantas dia membuka fail yang berwarna hitam. Buat seketika dia menjeling pada Wafiya yang diam membeku di sebelah Mak Milah.
“Itu yang saya nak cakapkan, mama. Arwah Tan Sri sudah buat keputusan rumah ini yang bernilai RM3 juta telah diserahkan pada anak angkat dan menantu beliau iaitu Wafiya Khadeeja binti Uthman…”
“Apa?!!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura dan Syed Aryan serentak. Mereka betul- betul terkejut dengan apa yang dibacakan oleh Muzamil.
Wafiya juga terkejut begitu juga dengan Mak Milah cuma Muzamil sahaja yang kelihatan tenang.
“Aku rasa kau dah salah ni Mil. Kenapa perempuan kampung tu pulak yang dapat rumah ni? Habis tu aku dan mama aku nak tinggal dekat mana? Apa hak perempuan ni dalam rumah ni? Dia cuma anak angkat dan kalau daripada hukumnya, dia tak layak pun untuk terima harta arwah papa,” Soal Syed Aryan bertalu- talu. Dia tidak berpuas hati dengan apa yang didengar sebentar tadi. Rasa seperti mahu dikerjakan Wafiya itu secukupnya biar rasa sakit hatinya hilang saat melihat wajah gadis itu.
“Memang jika mengikut hukum faraid, anak angkat tidak layak untuk mendapat apa-apa harta pusaka tinggalan ayah angkatnya, tetapi Islam itu syumul dan Allah itu Maha Adil, Ary. Arwah Ayah Umar memberikan rumah ini pada Wafiya mengikut sistem wasiat dan bukannya faraid. Lagipun hanya rumah ini sahaja yang diberikan pada Wafiya, harta-harta yang lain masih milik kau dan mama,” jelas Muzamil dengan tenang.
“Memang mengarut! Aku rasa mesti perempuan ni yang hasut papa untuk berikan rumah ni pada dia!” tohmah Syed Aryan sambil merenung tajam ke arah Wafiya.
Muzamil hanya menggelengkan kepala melihat sikap Syed Aryan yang terburu-buru menyalahkan Wafiya tanpa mengetahui cerita yang sebenar.
“Surat wasiat ini sah dan surat wasiat ini ditulis sendiri oleh arwah Tan Sri dan tiada siapa yang memaksa arwah untuk memberikan rumah ini pada Wafiya. Semuanya atas kerelaan arwah sendiri kerana Wafiya adalah menantu keluarga ini. Kau dan Puan Sri boleh tinggal di dalam rumah ini bersama dengan Wafiya tanpa ada sebarang syarat tetapi jika kau berani menghalau Wafiya, dia boleh mengambil tindakan undang- undang kerana rumah ini telah ditukar kepada nama dia,” terang Muzamil lagi.
Syed Aryan melepaskan keluhan berat. Dia memandang wajah Wafiya dengan penuh rasa kebencian. Dadanya berombak kerana cuba menahan kesabaran yang semakin menipis.
“Memang mengarut, Mil. Mama tak dapat terima rumah ni diberikan pada perempuan kampung ni. Mama nak Mil batalkan wasiat tu secepat mungkin,” sampuk Puan Sri Sharifah Mastura cuba bertenang walaupun hatinya memberontak untuk menampar muka Wafiya sebagai balasan untuk hatinya yang sakit.
“Maaf mama, wasiat ini sah di sisi undang- undang dan tidak boleh di batalkan,”
“Kalau macam tu boleh tak kalau saya nak tukarkan nama saya pada Puan Sri dan Tuan Ary?” Wafiya mula bersuara. Dia mengangkat muka memandang Muzamil yang tenang.
Muzamil membalas pandangan Wafiya yang redup. Jika aku mampu, ingin saja aku menghapus kedukaan dan air mata kau Fiya kerana aku sayang pada kau. Bicara hati Muzamil.
“Kalau Fiya nak tukarkan nama boleh, tetapi selepas enam bulan sebab itu yang arwah Tan Sri yang mahukan. Selepas enam bulan baru Fiya boleh tukarkan nama secara sah. Sepanjang tempoh itu Fiya, Ary dan mama perlu tinggal satu bumbung. Ini bukan saja wasiat tapi ia satu amanah yang perlu kita laksanakan dan Fiya perlu pikul amanah ini kerana amanah adalah satu perkara yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Satu lagi, arwah Tan Sri telah memberikan sejumlah wang kepada Mak Milah dan Mak Milah nanti saya berikan cek tersebut pada Mak Milah,” ujar Muzamil tersenyum.
“Memang mengarut. Semuanya mengarut!” bantah Puan Sri Sharifah Mastura.
“Sabar, mama. Ini semua bukan saya yang aturkan tetapi kehendak arwah ayah sendiri. Mil harap mama dan Ary dapat menerima Fiya sebagai ahli baru keluarga ni,” pujuk Muzamil lembut.
“Kau ingat senang untuk kami terima perempuan tak guna dalam keluarga ni? Baik, kalau itu yang arwah papa nak, aku terima. Hey perempuan, kau dengar sini lepas enam bulan aku nak kau kembalikan balik rumah ni pada mama atau aku. Kalau tak nahas kau aku kerjakan. Kau jangan sesekali cabar aku. Dengan papa kau boleh tunjuk muka tak bersalah, tapi dengan aku jangan harap aku kesiankan perempuan macam kau. Dasar mata duitan! Gila harta!” tohmah Syed Aryan lagi sambil merenung tajam wajah Wafiya yang tertunduk.
Wafiya tidak mahu berkata apa- apa. Hanya air matanya sahaja yang mampu keluar saat itu. Kemarahan Syed Aryan memang dijangkakan.
“Ary sudahlah tu jangan cakap macam tu. Fiya tak tahu menahu pun pasal wasiat ni,” tegur Muzamil.
Argh, kau pun sama Amil selalu je sebelahkan perempuan tak guna tu. Kenapa kau dah jatuh cinta ke pada dia? Huh, aku nasihatkan kau lupakan je perasaan kau tu sebab perempuan macam ni nampak luar je baik, bertudung konon tapi hati busuk macam longkang!” sambung Syed Aryan sarat dengan kemarahan yang tidak pernah padam. Tanpa menunggu balasan daripada Wafiya dan Muzamil, Syed Aryan berlalu meninggalkan ruang tamu dengan diikuti oleh mamanya.
You have pay for this!” tuding Puan Sri Sharifah Mastura pada Wafiya lantas berlalu.

“SABAR Fiya, Mil tahu Fiya tak sangka dengan apa yang papa berikan tetapi Fiya kena terima sebab ini adalah amanah daripada Ayah Umar untuk Fiya. Ayah Umar buat semua ni sebab ayah sayangkan Fiya dan Ary,” pujuk Muzamil apabila melihat Wafiya mengalirkan air mata.
“Betul tu, Fiya. Fiya jangan risau Mak Milah akan sentiasa ada untuk tolong Fiya. Walaupun Ary cakap macam tu tapi Ary tu baik orangnya cuma dia tengah marah. Jadi Fiya bawa bersabar ye,” sampuk Mak Milah sambil memeluk mesra bahu Wafiya. Dia menyeka air mata Wafiya dengan menggunakan hujung jarinya. Simpatinya tumpah buat gadis malang itu.
“Tapi saya tak layak untuk terima pemberian uncle. Saya cuma pembantu rumah ni saja bukannya sesiapa dan apa yang dikatakan oleh Tuan Ary betul, saya tak ada hak ke atas rumah ni. Saya rasa lebih baik saya pergi dari sini,” balas Wafiya teresak- esak.
“Jangan Fiya itu lagi mengeruhkan keadaan kerana rumah ini adalah amanah daripada Ayah Umar untuk Fiya menjaganya. Kalau Fiya nak tahu, ayah berharap dengan kehadiran Fiya dalam rumah ini mampu mengubah mama dan Ary ke jalan Allah disebabkan itulah Ayah Umar nak Ary dan Fiya bernikah. Tolong Fiya jangan hampakan Ayah Umar dia sangat sayangkan Fiya,” pujuk Muzamil lagi.
“Tapi saya tak kuat, Mil,”
“Fiya jangan risau, Ayah Umar telah amanahkan Mil untuk menjaga Fiya jika ada berlaku perkara yang tak diingini memandangkan Ayah Umar sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Jadi Fiya boleh anggap Mil ni sebagai abang Fiya sendiri,” ucap Muzamil tersenyum.
Wafiya menarik nafas panjang. Begitu berat amanah yang perlu dipikul namun atas nama amanah dia akan cuba penuhi juga kerana dia tidak mahu hamba yang berdosa kerana tidak tahu menjaga amanah.
“Kalau macam tu Fiya kena panggil Amil ni Abang Amil la ye,” usik Mak Milah sambil menepuk lembut lengan Wafiya.
Muzamil tersenyum simpul manakala Wafiya hanya menundukkan wajah. Dia malu apabila dipanah dengan anak mata hitam pekat itu.
Ish, Mak Milah ni…”
“Tapi betul juga tu Fiya, apa salahnya Fiya panggil Mil dengan panggilan Abang Amil lagipun Mil lebih tua daripada Fiya. Baiklah mulai hari ini Fiya harus panggil Amil dengan panggilan Abang Amil sebab Abang Amil akan jaga Fiya mulai detik ini sebagai seorang abang. Betul tak Mak Milah?” Soal Muzamil pada Mak Milah. Dia tersenyum manis.
Mak Milah hanya mengangkat ibu jarinya tanda setuju. Tidak dapat tidak akhirnya Wafiya tersenyum nipis. Namun saat dia mendongak, pandangannya bertembung dengan pandangan Muzamil yang redup. Lelaki itu melemparkan senyuman yang ikhlas menyebabkan hati Wafiya sedikit bergetar sebelum dia mengalihkan pandangan ke tempat lain.