HAKIMI Danial menghampiri Nek Timah
yang sedang leka mengupas kulit bawang. Punggungnya dilabuhkan atas kerusi yang
berhadapan dengan Nek Timah.
“Eh, Kimi rupanya. Ingatkan siapa tadi.” Nek Timah
tersenyum sehingga menampakkan gusi yang tidak bergigi itu.
“Kenapa nek?Nek ada ingat kat siapa-siapa ke?Atau
nek ingat kat pakwe lama nenek.”Usik Hakimi Danial.
Lengan sasa Hakimi Danial dicubit lembut oleh Nek
Timah.
“Isyyy…kamu ni ke situ pulak. Nenek mana ada pakwe
lama. Nenek setia pada arwah datuk kamu seorang aje.”
“Hehehe….nenek tak nak cari pengganti atuk ke nek?”
Hakimi Danial masih ingin mengusik Nek Timah.
“Kamu ni Kimi, nenek ni kan dah tua tak ada maknanya
nak cari pengganti atuk kamu. Bak kata pepatah rumah kata pergi kubur kata
mari…mari..marilah…” Ujar Nek Timah sambil jari-jemarinya menggamit memanggil
seseorang.
Hakimi Danial hanya tergelak. Dia tidak dapat
bayangkan kalau Nek Timah mencari pengganti arwah atuknya. Mesti gempak kampung
itu dibuatnya.
“Isya mana?Dari tadi nenek tak nampak pun batang
hidung dia.” Tangan Nek Timah ligas mengupas bawang putih pula.
“Dia keluar sekejap.”Jawab Hakimi Danial ringkas.
Bawang merah yang telah dikupas kulitnya oleh Nek Timah diambil dan dipotong
kecil-kecil supaya senang untuk dikisar.
“Mesti ke kebunlah tu.” Keluh Nek Timah.
“Apa yang istimewa sangat kebun tu nek sampai
tiap-tiap hari Isya pergi ke kebun tu?” Soal Hakimi Danial ingin tahu. Wajah
tua Nek Timah ditenung lembut.
“Kebun tu banyak menyimpan kenangan indah arwah mak
ayah Isya. Setiap kali tiba musim buah pasti mak ayah Isya akan pulang ke
kampung bersama-sama Isya untuk memungut buah-buahan yang ada dalam kebun tu.
Kadang-kadang mereka bertiga akan bersama-sama membersihkan kebun buah-buahan
tu. Nenek ingat lagi pernah satu hari mereka bertiga sanggup bermalam didusun
semata-mata untuk menunggu buah durian gugur. Boleh dikatakan masa mereka
dihabiskan didusun saja.” Cerita Nek Timah panjang lebar.
Hakimi Danial masih lagi fokus pada Nek Timah. Dia
ingin mengetahui sebab kenapa Aisya terlalu gemar menghabiskan masa di kebun
buah-buahan milik arwah ibu dan bapanya.
“Tetapi kebahagian mereka sekeluarga tidak selamanya
kerana arwah ibu dan ayah Aisya terlibat dalam kemalangan jalan raya…” Mata Nek
Timah berkaca. Namun dia masih dapat menahan agar air matanya tidak tumpah. Ibu
mana yang tidak sebak apabila mengenangkan si anak yang harus menghadap Dia
Yang Maha Esa terlebih dahulu.
Hakimi Danial agak simpati dengan nasib isterinya.
Patutlah Aisya selalu menghabiskam masa di kebun rupa-rupa disitulah tempat
untuk dia melepaskan rasa rindu kepada kedua ibu bapanya.
“Selepas kematian kedua ibu bapa Aisya neneklah yang
menjaga dia. Nenek tak pernah larang dia kalau dia nak ke kebun sebab nenek dah
tahu tujuan dia ke situ. Kalau dia merajuk ke, frust ke, marahkan orang lain ke memang kat kebun tulah tempat dia
menenangkan jiwa. Nenek dah masak sangat dengan perangai Isya tu.” Cerita Nek
Timah dengan beria-ia.
Kini baharulah Hakimi Danial tahu keistimewaan kebun
buah-buahan itu kepada Aisya.
“Kalau boleh saya tahu semasa kematian mak dan ayah
Aisya, masa tu umur Aisya berapa nek?”
“Masa tu umur Aisya baru 12 tahun. Selepas kejadian
tu hampir sebulan dia tak ke sekolah. Kasihan dia nenek tengok masa tu.
Alhamdulillahlah ada cikgu-cikgu dan kawan-kawan datang jumpa dia bagi
semangat. Lagipun masa tu peperiksaan UPSR dah dekat. Nenek tak sanggup tengok
keadaan Isya masa tu. Sedih sangat. Setiap kali nak tidur mesti dia akan cium
dan peluk baju arwah mak ayah dia.” Nek Timah menyeka air mata yang mengalir
dari tubir matanya.
Hakimi Danial pula hanya menahan sebak. Betapa
sedihnya kisah hidup Aisya tidak seperti dirinya. Ketika berusia 12 tahun dia
seronok bermain dan bergurau senda dengan mak, ayah adik-beradiknya dan
kawan-kawannya. Namun dibelah sisi yang lain pula Aisya harus menanggung sebuah
ujian yang begitu berat untuk kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa mengenai
hakikat sebuah kehidupan.
“Eh,rupa-rupanya sudah pukul lima petang. Nenek kena
ke rumah Mak Cik Gayah ni. Nenek dah janji dengan dia nak urut anak dia yang
baru bersalin tu.” Nek Timah mengenakan tudung berwarna hitam dikepalanya.
“Nenek balik pukul berapa nanti?”
“Kalau cepat siap cepatlah balik. Kalau kamu nak
makan kamu makanlah dulu nanti. Tak payah tunggu nenek ya sebab nenek pun tak
tahu balik pukul berapa.” Nenek menyimpan barang-barang keperluan yang akan
dibawa ke rumah Mak Cik Gayah ke dalam bakul rotan.
Hakimi Danial menyalami dan mencium tangan tua Nek
Timah.
“Jangan lupa nanti Kimi pergi panggil Isya balik ya.
Jangan biarkan dia lama-lama kat kebun tu. Dia kalau tak dipanggil balik tak
ada maknanya dia nak balik. Kalau boleh tidur kat situ pun dia sanggup.” Sempat
lagi Nek Timah meninggalkan pesan kepada Hakimi Danial.
Hakimi Danial hanya mengangguk tanda faham dengan
pesanan yang disampaikan oleh Nek Timah sebentar tadi.
“Nenek, pergi dulu.”
“Okey nek.” Hakimi Danial hanya memandang sahaja dari
kejauhan langkah Nek Timah yang semakin lama menghilang selepas membelok
disimpang yang tidak jauh dari rumahnya.
Hakimi Danial mencapai kunci motor yang disangkut
ditepi dinding dan segera ke motornya serta enjin dihidupkan. Dengan sekali
pulasan motornya laju menuju ke jalan raya.
AISYA berjalan seorang diri sambil menyanyi-nyanyi.
Tiba-tiba hatinya berasa berdebar-debar. Ditoleh ke kanan. Ditoleh ke kiri.
Tiada apa-apa yang mencurigakan tetapi hatinya tetap berasa tidak tenteram
seperti ada perkara buruk yang akan berlaku.
“Argghh…lantaklah. Mungkin anak kambing kot ikut
aku.” Aisya cuba mententeramkan jiwanya sendiri. Aisya meneruskan langkahnya.
Kali ini mulut Aisya terus terkunci tanpa menyanyikan sebarang lagu.
Namun, langkah Aisya terhenti secara automatik
apabila telinganya jelas menangkap bunyi ranting kayu dipijak oleh sesuatu.
“Bunyi apa tu?Takkan kambing pijak ranting kayu kuat
macam tu sekali?” Aisya telan liur sendiri. Dahinya sudah berpeluh. Anak
matanya liar memandang kiri dan kanan jalan yang hanya terdapat pokok getah.
“Harimau kot.”Aisya telan liur buat kali kedua. Hati
Aisya makin berdegup kencang. Aisya masih lagi tercegat seperti patung cendana
di tepi jalan. Kakinya seperti diikat dengan rantai besi tidak dapat bergerak
kemana-mana walaupun selangkah.
Semakin lama derapan tapak kaki itu semakin
menghampiri Aisya. Semakin dekat bunyi tapak kaki itu semakin kencang jantung
Aisya berdegup. Aisya cuba membaca semua ayat-ayat suci Al-quran yang terlekat
dalam kepala otaknya termasuklah Alif Ba Ta..
Derapan tapak kaki itu akhinya berhenti dibelakang
Aisya. Dengan kekuatan yang diberi oleh Allah S.W.T Aisya memberanikan diri
untuk menoleh ke belakang. Aisya menjerit sekuat hati apabila terpandang
seorang lelaki yang amat dikenali sedang tersengih sumbing kepadanya.
Sepantas kilat lelaki tersebut menekup mulut Aisya
dengan tangan sasanya. Aisya meronta-ronta minta dilepaskan. Lelaki itu kemas
memeluk Aisya. Kaki Aisya sibuk menendang-nendang kaki lelaki itu. Lelaki itu makin mengemaskan pelukannya apabila Aisya
semakin melawan.
“Lebih baik kau diam kalau kau tak nak aku
apa-apakan.”Ujar lelaki tersebut.
“Lepaskan aku...” Aisya masih meronta-ronta untuk
melepaskan diri.
“Aku tak akan lepaskan kau Aisya walaupun kau sudah
jadi isteri orang. Aku dah lama sukakan kau takkanlah itu pun kau tak tahu.”
Lelaki itu masih lagi merangkul tubuh Aisya sambil berbisik ke telinga Aisya
yang dilitupi oleh tudung bawal.
“Aku tak pernah sukakan kau. Kau boleh pergi
jalanlah dengan suka kau tu.” Marah Aisya. Dengan sekuat hati dia memijak kaki
lelaki itu dan akhirnya dia terlepas daripada rangkulan lelaki tersebut. Lelaki
tersebut menjerit kesakitan dan tanpa membuang masa Aisya memecut melarikan
diri.
“Aisyaaaaa…………”Jerit lelaki itu dan mengejar Aisya
dari belakang.
Aisya sudah tercungap-cungap kerana keletihan. Dalam
seumur hidupnya tidak pernah dia berlari selaju itu. Dalam hati Aisya tidak
putus-putus berdoa supaya ada orang yang datang untuk membantunya kerana dia
sudah tidak berdaya lagi untuk berhadapan dengan lelaki tersebut.
Aisya berhenti sejenak kerana terlalu penat. Ditoleh
ke belakang dan melihat lelaki tersebut sudah menghampirinya. Sebelum sempat
Aisya membuka langkah kali kedua lelaki itu sudah berjaya menangkapnya.
“Kau nak lari kemana Aisya? Hari ni kau akan jadi
milik aku seorang dan bukannya Kimi.”
“Tolong!!!!!”Jerit Aisya.
“Hahahahaha…jeritlah lagi. Petang-petang macam ni tak
ada orang pun yang lalu-lalang kat sini. So, mudahlah sikit kerja aku.”Ujar
lelaki itu sambil ketawa besar.
“Tolong!!!tolong!!!tolong!!!!” Jeritan Aisya makin
kuat sehingga membingitkan telinga lelaki tersebut.
“Lepaskan aku.”Aisya terus meronta-ronta.
“Aku dah cakap tadikan yang aku takkan sesekali
lepaskan kau. Hanya aku cinta kau seorang.” Lelaki itu merapatkan bibirnya
untuk menjamah pipi gebu Aisya namun tidak berjaya apabila penumbuk sebuah
penumbuk hinggap terlebih dahulu di pipi lelaki tersebut.
Lelaki itu jatuh terduduk. Dia memegang pipinya yang
terasa pedih. Serentak pandangannya didongakkan pada seorang lelaki tegap
sedang berdiri di hadapannya. Hakimi Danial? Cis, tak guna betul. Desis
hatinya.
Hakimi Danial
menyinga menentang pandangan lelaki yang dikenalinya itu. Aisya ditarik dan
disembunyikan dibelakangnya. Pinggang Hakimi Danial dirangkul erat oleh Aisya.
Air matanya akhirnya gugurnya tanda syukur kerana Allah S.W.T telah memakbulkan
doanya.
“Kau jangan sesekali terfikir untuk sentuh isteri
aku.” Keras nada suara Hakimi Danial. Tangannya memegang erat jari-jemari
isterinya yang sedang kemas memeluk pinggangnya.
Lelaki itu menggosok pipinya yang sakit ditumbuk
oleh Hakimi Danial. Dia meludah ke kiri. Hatinya panas tak terkira.
“Eh Kimi, kalau kau nak tahu Aisya tu hak aku
bukannya kau.” Marah lelaki itu. Nafasnya turun naik.
“Siapa cakap Aisya ni hak kau? Sedar diri tu sikit,
Zack. Aisya ni sekarang dah sah jadi isteri aku dan secara automatik jugak dia
adalah hak aku.” Hakimi Danial meninggikan suaranya. Aisya sudah kecut perut
mendengar suara Hakimi Danial yang garau dan garang itu. Tidak pernah dia mendengar
suara Hakimi Danial menengking seperti itu.
“Arrggghhh,
aku tak peduli dia isteri kau ke siapa ke yang penting aku sayang dan cintakan
dia.” Mata Zack menentang anak mata Hakimi Danial.
“Aku tak pernah cintakan kau dan tak akan cintakan
kau Zack.” Setelah lama berdiam diri dibelakang Hakimi Danial akhirnya Aisya
bersuara. Dia kini berdiri disebelah Hakimi Danial. Tangannya kemas memegang
lengan sasa Hakimi Danial. Hakimi Danial memandang wajah Aisya melalui ekor
matanya. Tangannya menyentuh jari-jemari Aisya.
“Tapi Aisya aku cintakan kau. Aku dah lama cintakan
kau sejak kau kecil lagi. Kita kahwin ya Aisya.” Rayu Zack.
“Kepala otak kau berjambul. Sedap-sedap kau aje nak
ajak bini orang kahwin. Dia isteri aku. Dia tak boleh kahwin dengan kau.”
Tengking Hakimi Danial.
“Kau diam. Ini semua kau punya pasal. Kalau kau tak
kahwin dengan Aisya pasti Aisya sudah jadi milik aku sekarang. Kau memang
siallah Kimi.” Zack meluru ke arah Hakimi Danial dan menghadiahkan sebiji
penumbuk ke muka kacak Hakimi Danial. Hakimi Danial jatuh tersungkur ke tanah.
“Kimi, awak tak apa-apa?”Aisya memegang pipi Hakimi
Danial yang kelihatan kemerahan selepas ditumbuk oleh Zack.
“Saya tak ada apa-apa. Saya okey.”Jawab Hakimi
Danial.
Zack terus meluru ke arah Aisya. Tangan Aisya dipegang
kasar.
“Lepaskan akulah, Zack. Kau nak bawa aku kemana ni?”
Aisya menampar-nampar tangan Zack yang kemas memegang tangannya.
“Kau ikut aku. Kita kahwin ya Aisya.”
“Kau ni dah gila agaknya. Aku isteri Kimi. Aku tak
akan kahwin dengan kau.” Aisya memulas-mulas tangannya supaya ia terlepas dari
genggaman Zack namun hampa.
“Zackkkk…..”Jerit Hakimi Danial. Dia bangun tercegat
dan meluru ke arah Zack yang sedang mengheret isterinya.
Sebiji penumbuk lagi dihayunkan ke perut Zack. Senak
Zack dibuatnya. Aisya Berjaya dirampas semula oleh Hakimi Danial.
Zack tidak mahu mengalah. Dia cuba menumbuk muka
Hakimi Danial namun berjaya dielak menyebabkan Zack jatuh menyembam ke tanah.
Hakimi Danial memegang leher baju Zack dan
membelasah muka Zack bertubi-tubi. Berdarah mulut Zack dikerjakan oleh Hakimi
Danial.
“Kimi cukuplah tu nanti mati Zack tu awak kerjakan.”
Halang Aisya apabila melihat Zack sudah tidak bermaya untuk menentang Hakimi
Danial.
“Kamu semua kenapa ni?” Tok Ketua memarkir keretanya
dibahu jalan. Dia berlari-lari anak menuju ke arah Hakimi Danial dan Zack yang
sedang bergelut.
“Sudah..sudah. Kamu ni memalukan betul. Dah
besar-besar pun bergaduh macam budak-budak kecik.”Marah Tok Ketua. Hakimi
Danial turun dari badan Zack.
“Apa yang sebenarnya berlaku Kimi? Cuba kamu
ceritakan pada Tok.”Pinta Tok Ketua sambil menolong Zack bangun.
“Zack ni tok. Dia cuba buat yang tak senonoh dengan
isteri saya. Itu yang saya belasah dia cukup-cukup tu.”Jelas Hakimi Danial
sambil mencerlung tajam ke arah Zack yang kelihatan berdarah dibibir.
“Astaghfirullahalazim,
Zack kenapa kamu jadi macam ni? Kamu ni buat malu mak bapak kamu aje. Sekarang
kamu ikut tok pergi balai. Kita settle
kat balai aje.” Ujar Tok Ketua sambil mengheret tangan Zack untuk dibawa ke
balai.
“Elok jugak tu tok. Biar dia insaf sikit. Jangan
sedap-sedap aje nak kacau bini orang.” Hakimi Danial mengelap bibirnya yang
berdarah.
“Kamu berdua pun ikut ke balai ya.” Arah Tok Ketua.
“Baiklah tok. Sekejap lagi kami berdua pergi.” Jawab
Hakimi Danial ringkas.
“Awak okey tak ni?” Aisya cuba menyentuh bibir
Hakimi Danial yang berdarah itu namun cepat dihalang oleh Hakimi Danial.
“Awak jangan risau saya tak ada apa-apa. Apa yang
penting sekarang awak selamat dan tak ada apa-apa yang buruk berlaku pada
awak.” Jawab Hakimi Danial selamba sambil memandang tepat ke anak mata Aisya.
Aisya terkedu dengan jawapan yang diberikan oleh Hakimi Danial.
“Tak ada apa-apa awak cakap? Mulut awak berdarah tu
apa kebendanya.” Aisya cuba mengelap bibir Hakimi Danial yang berdarah dengan
kain tudungnya.
Hakimi Danial hanya membiarkan sahaja apa yang
dilakukan oleh Aisya kepadanya.
“Okey dah. Darah tu dah berhenti dah.” Ujar Aisya
sambil meniup halus pada tempat yang luka itu.
“Thanks. Sayang juga awak pada saya ya.” Usik Hakimi
Danial sambil mengenyit mata.
“Sudahlah. Jom kita ikut Tok Ketua pergi balai.”
Tanpa disedari Aisya menarik tangan Hakimi Danial.
“Okeylah. Jom..tapi kalau ya pun janganlah tarik
tangan saya kuat sangat. Sakit tangan tumbuk Zack tadi tak hilang lagi ni. Saya
takut tercabut pulak tangan ni nanti.”
Aisya segera melepaskan genggamannya apabila ditegur
begitu. Malu……
“NAH ubat awak.” Aisya menghulur beberapa biji
ubat yang berwarna putih kepada Hakimi Danial.
“Saya kena makan ke semua ubat ni. Kalau tak makan
boleh tak?” Hakimi Danial buat muka monyok sebagai tanda protes untuk tidak
mahu makan ubat. Dalam hidupnya memang dia tidak suka makan ubat. Pahit
katanya. Kenapalah orang cipta ubat semuanya pahit belaka. Lain kali ciptalah
ubat yang manis-manis sedikit. Barulah selera nak makan.
“Awak wajib makan ubat ni. Kalau awak tak makan ubat
ni macam mana bengkak kat muka awak tu nak sembuh.Awak nak ke muka awak bengkak
macam tu buat selama-lamanya?”Pujuk Aisya dengan lembut persis memujuk
anak-anak kecil.
“Alaaa…saya tak naklah makan ubat ni. Ubat ni tak
best.”Rengek Hakimi Danial. Dia duduk menghadap televisyen. Tangannya menolak
huluran daripada Aisya.
“Makanlah. Saya tak nak tengok awak sakit. Awak
makan ubat ni ya.”
Hakimi Danial mencebik bibir sambil menggeleng
kepala dengan lajunya.
Aisya meletakkan gelas berisi air atas meja. Misi
untuk memujuk Hakimi Danial perlu diteruskan hingga berjaya. Chaiyok..chaiyok
Aisya.
“Ala sayang bucuk-bucuk. Sayang makan ubat ya. Kalau
tak makan ubat macam mana nak sembuh. Kalau lambat sembuh nanti muka tu dah tak
handsome sebab bengkak sana bengkak sini. Makan ubat ya.” Pujuk Aisya lembut
Dia tersenyum manis.
‘Sayang??Dia panggil aku sayang tu…Yahooooo…’sorak
Hakimi Danial dalam hati.
“Mai sini ubat tu. Bismillahirahmanirahim…” Hakimi
Danial akhirnya mengalah. Ubat itu kini sudah ditelan oleh Hakimi Danial dengan
terpaksa. Mukanya berkedut seribu kerana tidak tahan dengan rasa pahit ubat
tersebut.
“Uweeekkkkk…pahitnya.” Hakimi Danial menjelirkan
lidahnya.
“Hehehehe..kalau tak pahit bukan ubat namanya Encik
Hakimi Danial sayang oii..” Ujar Aisya sambil mencubit pipi Hakimi Danial. Dia
terlupa yang pipi Hakimi Danial bengkak akibat ditumbuk oleh Zack tempoh hari.
“Sakitlah. Pipi saya ni bengkak tak sembuh lagi awak
pulak cubit. Nanti bertambah bengkak dia.” Hakimi Danial menggosok-gosok
pipinya yang dicubit oleh Aisya.
“Sorry…sorry saya lupa. Maafkan saya ya. Saya janji
lain kali saya tak buat lagi.” Aisya menyusun sepuluh jari.
“Okey. Kali ni saya maafkan awak. Lain kali tiada
maaf bagi mu ya.”
“Thanks..Sayang awak.” Ucap Aisya tanpa disedarinya.
Aisya bangun dari tempat duduknya namun tangannya segera disambar oleh Hakimi
Danial. Aisya menggigit bibir. Alamak, tersasul!
“Awak cakap apa tadi?”
“Saya cakap apa?”
“Awak ada cakap sesuatu tadi.” Mata Hakimi Danial
mendongak memandang wajah Aisya yang sedang berdiri dihadapannya.
“Saya rasa banyak yang saya cakap tadi. Apa yang
saya cakap? Saya ada tersalah cakap ke?”
Minah ni nak loyar buruk dengan aku pulak..aku
dengar kau cakap kau sayang akulah. Telinga aku tak pekak lagi Puan Aisya
oiii…Bebel Hakimi Danial dalam hati.
“Awak cakap awak sayang saya kan?”
“Eh ya ke? Saya ada cakap macam tu ke?” Aisya
menggaru-garu kepalanya yang tidak berkutu itu.
“Iyalah. Saya dengar awak cakap awak sayang saya.”
Ujar Hakimi Danial sambil meleret senyuman dibibirnya.
“Mungkin awak salah dengar saya cakap saya sayang
awak,” ujar Aisya tanpa menyedari kata- katanya menambah lagi senyuman di bibir
Hakimi Danial. Terus hilang rasa sakitnya apabila mendengar perkataan sayang
yang meluncur laju daripada celah bibir Aisya.
“Hah, maknanya betullah awak sayang saya?” tempelak
Hakimi Danial dengan suara yang ceria.
Aisya tersentak. Wajahnya terus merona merah. Alamak,
aku salah cakap lagi. Tak apa, Aisya kau buat muka tak ada perasaan je. Jangan
bagi dia perasan perasaan kau yang sebenar. Detik hatinya.
“Erk? Bila saya cakap?” soal Aisya kembali. Dia cuba
mengelak daripada bertentangan mata dengan Hakimi Danial. Apabila Hakimi Danial
ingin membalas, cepat- cepat dia meninggalkan Hakimi Danial termangu- mangu di
ruang tamu.
“Saya tahu awak sayang saya!!” jerit Hakimi Danial
kuat sambil berdiri. Dia tersenyum puas apabila Aisya menghilang di sebalik
pintu bilik tanpa berkata apa- apa. Hatinya kembang semangkuk.
Dia ingin melabuhkan punggungnya kembali tetapi
tiba- tiba..
Gedebuk!
Punggungnya terhenyak ke atas lantai. “Aduh!” jerit
Hakimi Danial sambil menggosok punggungnya. Berkerut dahinya menahan rasa
sakit. Bertambah malu apabila dia terdengar suara tawa seseorang di hujung
sana. Dengan pantas dia mendongak. Aisya!
“Ada nangka busuk jatuh ke? Kimi oiii, kalau ya pun
nak bersayang-sayang pandanglah kiri kanan!” sindir Nek Timah yang berada di
belakang Aisya. Serta merta tawa Aisya berhenti.
Hakimi Danial hanya mampu tersengih. Mana nak letak
muka ni?