Tetamu Rindu

Thursday 16 July 2015

CERPEN ISTIMEWA: PEWARIS TAKHTA CINTA RAMADAN / SYAWAL



SINAR CINTA RAMADAN

SEPASANG mata bundar milik Wafiya memandang ke arah suaminya yang sedang sibuk memasang pelita di sekeliling rumahnya. Lelaki itu ketawa riang bersama Muzamil dan Haq. Sesekali anak mata suaminya itu memandang ke arahnya dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
Itulah Syed Aryan Haidar. Lelaki yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pendamping hidupnya. Tanpa Wafiya sedar, sudah hampir dua tahun lebih dia hidup bersama  Syed Aryan. Walaupun pelbagai dugaan dan onak yang terpaksa mereka tempuhi akhirnya Allah memberikan mereka sinar bahagia.
Wafiya memandang rumahnya yang didudukinya saat ini, walaupun kayu dan tidak sebesar rumah Syed Aryan di Kuala Lumpur, tetapi itu sudah cukup untuk mereka berteduh. Sungguh, Wafiya merasa bahagia hidup dengan keadaan yang serba sederhana apatah lagi dengan kehadiran empat cahaya mata mereka. Itu merupakan rezeki terbesar dalam hidup mereka berdua.
“Sayang, buat apa termenung je? Jomlah ikut abang pasang pelita. Seronok tau.” Tegur Syed Aryan mengembalikan Wafiya ke alam realiti.
Wafiya tersentak. Dia memandang wajah Syed Aryan yang berdiri sambil memegang tangga rumahnya. Satu senyuman dihadiahkan pada suaminya yang tercinta.
“Abang pergilah. Fiya tengok dari sini je. Nanti kalau si kembar tu terjaga, Fiya tak dengar pula.” Balas Wafiya lembut.
Syed Aryan terdiam seketika. Betul juga kata Wafiya. Anak-anak kembar mereka sedang nyenyak tidur. Kalau terjaga dan Wafiya tiada di sisi, meraung pula nanti. Akhirnya Syed Aryan menganggukkan kepala.
“Okeylah kalau macam tu. Fiya tunggu sini tau. Jangan pergi mana-mana, abang tak boleh kalau tak pandang Fiya, nanti rindu.” Ujar Syed Aryan sambil tersengih.
Wafiya ketawa kecil. Begitulah Syed Aryan, lelaki itu langsung tidak boleh berenggang dengannya. Kalau boleh, setiap masa Syed Aryan ingin Wafiya berada di sisinya.
“Abang ni, hari-hari tengok muka Fiya tak jemu ke?” soal Wafiya seolah menguji.
“Fiya kan separuh daripada abang, mana mungkin abang jemu dengan diri abang sendiri.” Jawab Syed Aryan sambil mengenyitkan mata.
Wafiya hanya mampu melebarkan senyuman. Kata-kata Syed Aryan membuatkan hati Wafiya berbunga-bunga.
“Abang ni jangan nak romeo sangatlah. Pergilah sambung pasang pelita tu, Abang Amil dan Haq panggil tu…” ujar Wafiya sambil memuncungkan mulutnya ke arah belakang Syed Aryan.
Syed Aryan berpaling. Dia melambai-lambaikan tangan pada Muzamil dan Haq yang menjerit memanggil namanya.
“Abang pergi dulu, sayang.” Ucap Syed Aryan lantas berlalu.
Wafiya hanya mengangguk. Dia menghantar langkah Syed Aryan dengan anak matanya. Lelaki itu masih kacak sama seperti kali pertama dia bertentang mata dengan Syed Aryan. Hingga sekarang dia masih tidak dapat melupakan bagaimana dia disatukan dengan Syed Aryan. Atas nama wasiat dia disatukan dan kerana dendam Puan Sri Sharifah Mastura, mereka dipisahkan tetapi kerana jodoh dan cinta, mereka kembali bersatu.
Masih tergambar jelas dalam fikiran Wafiya saat pertama kali menyambut bulan Ramadan sebagai isteri kepada Syed Aryan. Walaupun ketika itu hubungan mereka masih dalam fasa perkenalan namun sikap prihatin Syed Aryan tetap terserlah. Walau berulang kali bibir lelaki itu melafazkan benci namun cemburu yang terzahir di pandangan Syed Aryan mengungkap segalanya.

“MAK Milah, esok kita puasa kan?” soal Wafiya saat dia dan Mak Milah sedang sibuk menyediakan makan malam untuk Syed Aryan dan Puan Sri Sharifah Mastura.
“Betullah esok puasa. Semalam Mak Milah dengar berita. Kenapa Fiya?” soal Mak Milah pula.
Wafiya terdiam. Hatinya sedikit sayu apabila terkenangkan bulan Ramadan yang datang menjengah. Pasti dia teringat akan arwah ibunya yang telah meninggal dunia. Jika arwah ibunya masih ada, pasti saat ini mereka sekeluarga sedang sibuk menyediakan kelengkapan untuk berpuasa dan pastinya Solehah akan sibuk menjahit baju raya untuk mereka berdua. Sungguh, Wafiya rindukan suasana itu.
“Fiya teringatkan arwah ibu. Ibu suka sangat makan bubur lambuk waktu puasa ni. Kadang-kadang, macam-macam kuih ibu buatkan. Ibu jahitkan baju untuk Fiya, masakkan Fiya rendang ayam. Fiya rindu semua itu, Mak Milah.” Ucap Wafiya dengan sebak yang menghurung dada.
Mak Milah terdiam. Sayu hati tuanya melihat mutiara jernih yang bergenang di kelopak mata Wafiya. Dia tahu gadis itu cukup terseksa dengan keadaan sekarang. Dengan sikap Syed Aryan yang dingin bagaikan bongkah ais di Kutub Utara ditambah lagi dengan sikap ketidakperimanusiaan Puan Sri Sharifah Mastura pada Wafiya, cukup membuatkan gadis itu menderita.
“Fiya, yang lepas biarkan lepas, ya? Dalam bulan puasa nanti, Fiya doakan banyak-banyak untuk arwah ibu Fiya. Jadi anak yang tak pernah berhenti untuk mendoakan ibunya. Beruntung ibu Fiya dapat anak macam Fiya tak macam Mak Milah ni, bila Mak Milah meninggal nanti, tak ada sesiapa yang nak doakan Mak Milah.” Ujar Mak Milah. Giliran dirinya pula yang sebak apabila terkenangkan dirinya yang tidak mempunyai zuriat.
Wafiya mengetap bibir. Pantas saja tangannya mencapai tangan Mak Milah lalu digenggam erat.
“Mak Milah masih ada Fiya. Fiya dah anggap Mak Milah macam mak Fiya. Doa Fiya selalu ada untuk Mak Milah,” pujuk Wafiya lembut.
Mak Milah tersenyum nipis. Dia turut membalas genggaman tangan Wafiya.
“Puasa nanti, Puan Sri berbuka dekat rumah ke tak?” soal Wafiya mengubah topik perbualan. Dia meleraikan genggaman tangannya.
“Biasanya bila masuk bulan puasa, Puan Sri akan bercuti ke London, Fiya. Tahun ni pun Mak Milah rasa Puan Sri akan bercuti ke luar negara.” Ujar Mak Milah.
“Tuan Ary ikut tak?” soal Wafiya perlahan. Dia menatap wajah Mak Milah dengan lama. Berharap jawapan Mak Milah akan menggembirakan hatinya.
“Rasanya tak. Ary tu bukan suka sangat duduk luar negara lama-lama. Dia belajar luar negara pun sebab Puan Sri yang paksa. Kalau ikutkan Ary tu lebih suka duduk di Malaysia ni. Kalau Fiya nak tahu, perangai Ary tu sebijik macam perangai arwah Tan Sri cuma baran dia tu terikut-ikut baran Puan Sri,” cerita Mak Milah lagi.
Wafiya mengeluh. Nampaknya, tiada ruang untuknya lari daripada berhadapan dengan Syed Aryan. Sejak lelaki itu menyelamatkan dia dari John, hidup Wafiya semakin sesak apabila tiap-tiap hari dia kena mengadap muka Syed Aryan yang jarang sekali melemparkan senyuman buatnya. Kalau ikutkan hatinya, memang sudah lama dia melarikan diri dari Bayu Mahligai tetapi apabila terkenangkan permintaan arwah Tan Sri Syed Umar, dia mengalah. Amanah haruslah dipikul sebaiknya. Itu prinsip Wafiya.
“Mak Milah, makan malam dah siap ke belum?” soal satu suara mengejutkan Wafiya. Dia mendongak. Kelihatan Syed Aryan berdiri di ruang masuk dapur.
Sepantas kilat, Wafiya berdiri. Dia menundukkan wajahnya apabila berhadapan dengan Syed Aryan.
“Sikit lagi nak masak, Ary. Awal Ary balik hari ni. Tak keluar dengan Kyra ke?” soal Mak Milah turut bangun. Dia tersenyum melihat figura Syed Aryan yang sedang merungkai tali laher.
Syed Aryan mengerling sekilas pada Wafiya yang sudah berlalu ke singki. Gadis itu hanya mendiamkan diri. Dia lebih rela menghadap singki daripada tengok muka aku yang handsome ni? Kurang asam punya perempuan. Bebel hati Syed Aryan sambil menjeling.
“Ary malas nak ke mana-mana, Mak Milah. Esok puasa kan?” soal Syed Aryan lagi sambil menapak ke meja makan.
“Haah, kejap lagi lepas Isyak, Mak Milah dengan Fiya nak pergi terawih. Kamu nak ikut?” soal Mak Milah kembali duduk.
Syed Aryan melemparkan pandangan pada Wafiya yang masih berdiri menghadap singki. Entah apa yang dibuat pun Syed Aryan tak tahu. Pandanglah sini oii! Jerit hatinya.
“Ary…” panggil Mak Milah sambil memandang ke belakang. Dia tersenyum sendirian.
“Ya, Mak Milah? Mak Milah tanya apa tadi?” soal Syed Aryan sambil matanya kembali fokus pada wajah Mak Milah yang kelihatan mengulum senyum. Janganlah Mak Milah sedar yang aku pandang Fiya. Doa hati Syed Aryan.
“Bukan main kuat Mak Milah tanya kamu boleh tak dengar? Itulah lain kali kalau tengah bercakap tu kena fokus. Jangan mata ke lain, telinga ke lain, hati ke lain.” Ujar Mak Milah sambil ketawa kecil.
Syed Aryan menggigit bibir. Sah, Mak Milah sedar akan perbuatannya. Malunya aku!
“Ary naik dululah, Mak Milah. Bila makanan dah siap, Mak Milah tolong panggil Ary, ya?” Syed Aryan mengalih topik. Dia berpaling.
“Eh nantilah dulu. Ary tak minum air lagi. Fiya, tolong ambilkan air untuk Ary.” Arah Mak Milah pada Wafiya yang hanya mendiamkan diri.
Demi mendengar nama Wafiya disebut oleh Mak Milah, spontan Syed Aryan memakukan langkah. Dia berpaling menghadap Wafiya yang bergerak perlahan-lahan ke peti ais.
Wafiya mengetap bibir. Kalau boleh dia ingin mengelak dari bertembung dengan Syed Aryan. Rasa resah yang melanda hatinya membuatkan Wafiya tidak selesa apatah lagi apabila bertentangan mata dengan anak mata hitam cair itu. Dada Wafiya bagaikan ingin meletup.
Perlahan-lahan, jus mangga dituangkan ke dalam gelas sebelum dibawa kepada Syed Aryan yang sedang berdiri berhampiran dengan meja makan.
“Ni airnya, tuan.” Ucap Wafiya perlahan sambil anak matanya dibiarkan tunduk menekur lantai.
Syed Aryan tersenyum nipis. Lalu, dia menyambut huluran Wafiya. Dengan sengaja dia menyentuh tangan Wafiya yang melekat di gelas.
Wafiya tersentak. Dengan pantas gelas yang dipegang, terlepas dari genggaman. Pecah berderai gelas tersebut terhempas ke lantai.
“Fiya!” jerit Mak Milah kerana terkejut.
Syed Aryan juga terkejut. Dia mengundurkan langkah ke belakang.
Wafiya cuak. Apatah lagi kedengaran suara Puan Sri Sharifah Mastura semakin mendekat.
“Bunyi bising apa ni?” soal Puan Sri Sharifah Mastura dengan suara yang seakan memetir.
Anak matanya terpandangkan kaca yang bertaburan di atas lantai bersama dengan air yang membasahi lantai. Serentak dada Puan Sri Sharifah Mastura berombak menahan rasa marah yang meluap-luap.
“Ini mesti kerja kau kan? Dasar perempuan bodoh! Habis pecah harta aku. Lebih baik kau bersihkan semua ni sekarang sebelum aku sumbat kaca tu dalam mulut kau!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura lantang.
Wafiya diam tidak berkutik. Dia kecut perut melihat wajah garang Puan Sri Sharifah Mastura lalu dengan pantas, dia menunduk dan mengutip serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai.
“Buat kerja sikit pun dah lembik. Kalau bodoh tu buat cara bodoh. Ini tak berangan nak jadi orang kaya. Dasar tak sedar diri!” Maki Puan Sri Sharifah Mastura lagi.
“Mama, sudahlah tu. Mama naik dulu. Hal ni biar Ary yang uruskan.” Pujuk Syed Aryan. Sakit telinganya mendengar makian yang terbit dari mulut mamanya.
Hati Wafiya berdarah kembali. Matanya berbalam-balam kerana digenangi dengan air mata yang menunggu masa untuk tumpah. Dia mengutip sisa-sisa kaca tanpa mempedulikan jarinya yang terluka akibat terkena serpihan kaca itu.
“Fiya, tinggalkan kaca tu kat situ nanti Mak Milah bersihkan. Nanti tangan kamu luka pulak kena kaca tu.” Ujar Mak Milah setelah Puan Sri Sharifah Mastura beredar meninggalkan ruang dapur.
“Tak apalah, Mak Milah. Salah Fiya sebab cuai. Biar Fiya bersihkan sendiri.” balas Wafiya sambil mengawal sebak yang menyerang dada. Dia hanya tunduk mengutip kaca-kaca tersebut.
Syed Aryan mengetap bibir. Dia tahu gadis itu menangis. Pantas, dia turut menunduk dan mengutip sisa-sisa kaca yang bertaburan. Alangkah terkejutnya apabila melihat jari jemari Wafiya yang runcing berdarah. Lalu, dia menarik pergelangan tangan Wafiya membuatkan perbuatan gadis itu terhenti.
“Tangan kau berdarah ni. Biar Mak Milah yang bersihkan kaca ni,” ujar Syed Aryan sambil membelek jari Wafiya yang terluka.
Wafiya menarik tangannya kembali. Dia menggelengkan kepala.
“Tak mengapa, tuan. Saya dah biasa. Tuan pergilah berehat biar saya kemas semua ni.” Balas Wafiya berdegil.
“Susah betul bercakap dengan orang degil macam kau ni. Mak Milah, tolong kemas ni sekejap ya? Kau, ikut aku!” arah Syed Aryan.
Laju saja dia menarik tangan Wafiya supaya membuntuti langkahnya.
“Tapi tuan, kalau Puan Sri tahu Mak Milah yang kemas nanti saya yang kena. Tangan saya ni luka sikit je. Nanti saya letak ubat. Tolong lepaskan saya, tuan.” Rayu Wafiya sambil cuba melepaskan tangannya daripada genggaman tangan Syed Aryan yang kemas.
“Kalau aku cakap jangan nak melawan. Ikut ajelah. Itu pun susah ke?” marah Syed Aryan sambil terus mengheret tubuh isterinya ke tingkat atas. Sampai saja di hadapan pintu biliknya, tubuh Wafiya ditolak masuk sebelum pintu bilik itu dikunci dari dalam.
Wafiya cuak. Air liur ditelan berkali-kali. Tuan Ary nak buat apa dengan aku ni? Detik hatinya. Mulai gelisah.
Kelihatan Syed Aryan mencapai kotak berwarna putih merah yang berada di atas almarinya sebelum dia kembali merapati Wafiya yang berdiri kaku di birai katil.
“Yang tercegat saja tu kenapa? Duduklah.” Arah Syed Aryan sambil menarik tangan Wafiya untuk duduk di sebelahnya.
Wafiya akur. Timbul rasa segan dalam dirinya apabila duduk berdua-duaan dengan Syed Aryan. Belum pernah dalam hidupnya duduk berdekatan dengan lelaki sebegini rapat. Akibat trauma dengan bapa tirinya yang hampir mencabul kehormatannya dahlu, Wafiya sangat menjaga batasnya dengan semua lelaki. Dia takut.
Syed Aryan mengulum senyum melihat Wafiya yang kelihatan malu-malu. Jelas wajah itu merona merah apabila dengan sengaja, Syed Aryan merapatkan lagi duduknya dengan Wafiya.
“Kau ni kan, bila dengan aku mesti pandang lantai. Cantik sangat ke lantai tu sampai kau tak nak pandang muka aku ni?” soal Syed Aryan seakan membebel. Dia menarik tangan Wafiya yang terluka.
Wafiya hanya mendiamkan diri. Tidak berani mengangkat pandangan. Jantungnya sudah bergetar saat tangan kasar itu menyentuh kulit tangannya. Rasa pedih mula terasa saat Syed Aryan menyapu ubat di tempat yang terluka. Wafiya berdecit menahan sakit. Berkerut wajahnya.
“Sakit ke?” soal Syed Aryan risau. Melihat wajah Wafiya yang berkedut seribu itu sudah menjawab segalanya. Lantas, dia menarik jemari runcing itu rapat ke mulutnya. Ditiup tempat yang terluka itu dengan perlahan-lahan.
Wafiya terkesima seketika dengan perbuatan Syed Aryan. Tegak anak matanya memandang wajah Syed Aryan yang masih leka membalut jarinya yang terluka. Sungguh Wafiya terharu. Walaupun Syed Aryan selalu berkata kasar dengannya, namun lelaki itu mempunyai hati yang lembut sama seperti arwah Tan Sri Syed Umar.
“Sehari dua nanti sembuhlah luka ni…” ucap Syed Aryan seraya mendongak.
Dupppp! Jantungnya berdegup kencang. Berderau darah Syed Aryan saat anak matanya bertentangan dengan anak mata Wafiya yang bundar. Cukup memukau jiwa lelakinya. Tanpa sedar, mereka berpandangan dalam jangka masa yang lama.
Bunyi Azan maghrib yang berkumandang menyentakkan kedua pasangan itu. Dengan pantas, Wafiya menarik tangannya kembali. Dia membetulkan duduk. Hatinya yang berdetak kencang juga cuba diredakan.
“Terima kasih, tuan.” Ucap Wafiya perlahan. Dia tidak berani untuk mengangkat wajahnya.
Syed Aryan menggigit bibir. Debaran di dada semakin kuat membuatkan dia kelu untuk berbicara. Hanya senyuman yang mampu dia ukirkan walaupun jelas senyuman itu dirasakan cukup hambar.
Apabila tiada balasan daripada Syed Aryan, Wafiya bangun. Dia ingin cepat-cepat berlalu dari bilik yang menyesakkan dada itu.
“Tunggu dulu. Kau nak ke mana?” suara Syed Aryan kedengaran terus menghentikan langkah Wafiya.
“Saya nak keluar. Kejap lagi nak pergi terawih.” Ujar Wafiya sambil membelakangi Syed Aryan.
Syed Aryan bangun dan menghampiri Wafiya. Dia berdiri rapat di belakang isterinya itu.
“Takkan nak keluar macam tu je. Kau tahu tak, dalam dunia ni tak ada yang percuma tau.” Bisik Syed Aryan rapat di telinga Wafiya.
Wafiya tersentak. Dia menelan air liur. Dia tidak berpaling kerana dia tahu sebaik saja dia berpaling pasti tubuhnya akan bersentuhan dengan tubuh Syed Aryan. Jadi, Wafiya terus membekukan diri.
“Jadi tuan nak saya buat apa?” soal Wafiya.
Syed Aryan tersenyum nakal. Perlahan-lahan dia menyentuh pinggang Wafiya. Niatnya sekadar ingin mengusik. Suka benar dia melihat wajah itu merona merah akibat malu.
Wafiya sudah mengeras. Sentuhan Syed Aryan membuatkan hatinya semakin tidak keruan. Dia menunggu jawapan Syed Aryan dengan penuh debaran.
“Soalan yang baik tu. Aku nak upah…” jawab Syed Aryan perlahan seakan berbisik.
“Upah? Saya bukannya ada duit.” Sangkal Wafiya. Matanya sudah membulat.
Dia cuba mengelak apabila tangan Syed Aryan cuba melingkari pinggangnya. Wafiya cukup tidak selesa dengan keadaan sekarang ini.
“Upah tak semestinya dengan duit.”
“Habis tu tuan nak apa?” soal Wafiya lurus.
Syed Aryan menyembunyikan tawanya. Berada dekat dengan Wafiya begitu menguji ketahanan imannya. Pertama kali batinnya terasa tidak keruan apabila berhadapan dengan wanita dan wanita itu adalah isterinya sendiri. Selama ini walaupun Sharifah Akyra datang menyerah, tidak pernah dia tergoda tapi saat ini, naluri lelakinya bagaikan terpancing dengan satu rasa yang tak mampu Syed Aryan ungkapkan.
“Cium pipi aku sikit.” Pinta Syed Aryan nakal.
Mata Wafiya terbuntang. Dengan pantas dia menolak tubuh Syed Aryan supaya menjauhinya.
“Tuan ni gatallah!” marah Wafiya. Dia cuba memboloskan diri daripada pelukan Syed Aryan tetapi lelaki itu semakin mengetatkan pelukan di pinggangnya.
“Lepaslah, tuan! Tak sukalah tuan buat macam ni!” sambung Wafiya lagi.
Syed Aryan ketawa lepas. Dia menggelengkan kepala.
“Aku takkan lepaskan kau sebelum kau ikut cakap aku!” balas Syed Aryan lagi.
“Tak naklah!” jerit Wafiya. Dia mulai cuak dengan sikap Syed Aryan yang mula berubah. Jantungnya mula berdetak tidak menentu.
“Baiklah kalau kau tak nak, biar aku yang….” Syed Aryan tidak menghabiskan bicara sebaliknya dia memusingkan tubuh Wafiya supaya menghadap dirinya. Kedua belah lengan Wafiya dipegang kemas.
Perbuatan Syed Aryan terhenti apabila melihat Wafiya yang memejamkan mata dengan kemas. Mulut gadis itu terkumat-kamit seperti sedang berkata sesuatu yang tidak jelas di telinga Syed Aryan.
“Jangan apa-apa kan saya. Saya takut…” kedengaran suara halus itu merayu.
Syed Aryan Aryan tersenyum nipis. Anak matanya tuntas memandang bibir Wafiya yang mungil. Kelihatan sedikit bergetaran. Takut mungkin. Fikir Syed Aryan. Lalu, perlahan-lahan Syed Aryan melepaskan genggaman tangannya. Dia berlalu tanpa menunggu Wafiya membuka mata. Dia bimbang, dia akan hilang pertimbangan jika terus menatap wajah gadis itu.
Perlahan-lahan Wafiya membuka matanya. Berpusing kepalanya apabila melihat kelibat Syed Aryan yang menghilang. Dia menarik nafas lega.

WAFIYA mengerling jam yang tergantung di dinding. Jam sudah menunjukkan pukul 4.45 minit pagi namun bayang Syed Aryan dan Puan Sri Sharifah Mastura tidak kelihatan sedangkan hidangan untuk bersahur sudah siap sepenuhnya.
Tanpa menunggu lama, Wafiya mendapatkan Mak Milah yang berada di dapur. Wanita itu masih lagi mengemas dapur yang masih lagi kotor.
“Mak Milah, Puan Sri dengan Tuan Ary dah bangun ke belum ni? Nanti terlambat pula nak sahur.” Wafiya bersuara.
Hmmm… Puan Sri tu kamu jangan haraplah dia nak bangun awal-awal pagi macam ni. Dia rela membuta daripada turun bersahur. Sejak pertama kali Mak Milah kerja dekat rumah ni, mana pernah Puan Sri tu puasa. Ni hah, pukul 10 pagi karang, Puan Sri akan berlepas ke New York. Tinggallah si Ary tu menyambut puasa seorang diri. Kamu pergi kejutkan Ary tu. Budak bertuah tu memang liat nak bangun pagi.” Ujar Mak Milah sempat lagi dia mengomel perihal Puan Sri Sharifah Mastura.
“Tak naklah Fiya kejutkan Tuan Ary, Mak Milah. Takkan Fiya nak masuk bilik Tuan Ary pagi-pagi macam ni. Mengamuk pula dia tengok muka Fiya ni.” Bantah Wafiya sambil menggelengkan kepalanya.
Mak Milah berhenti mengelap dapur. Dia berdiri sambil menghadap Wafiya yang menggelengkan kepala.
“Fiya, Ary tu suami kamu. Patutnya kamu yang jaga segala keperluan dia. Kamu kena kejutkan dia. Bukan Mak Milah tak nak kejutkan Ary tu, buatnya Ary tu mengigau peluk Mak Milah, macam mana? Naya kan? Kalau terpeluk kamu tu lainlah.” Usik Mak Milah sambil mengekek ketawa.
Wajah Wafiya berubah rona. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Teringat peristiwa semalam sewaktu Syed Aryan memeluk tubuhnya dengan sengaja. Masih terasa denyut jantungnya yang berlari pantas.
“Mak Milah ni ke situ pulak. Tuan Ary benci Fiya, Mak Milah. Tentu dia bengang kalau Fiya masuk ke bilik dia.” Dalih Wafiya lagi.
“Banyaklah alasan Fiya. Ary tu bukan benci sangat pun pada Fiya. Apa yang terjadi sebelum ni disebabkan dia terkejut dengan permintaan arwah Tan Sri tapi sekarang Mak Milah tengok Ary dah macam boleh terima Fiya. Bercakap pun tak adalah sekasar Puan Sri.” Ucap Mak Milah kemudian berlalu ke kabinet. Uncang Teh Lipton diambil lalu diletakkan ke dalam teko.
“Tapi Tuan Ary tetap dingin dengan Fiya. Dia masih tak dapat terima Fiya sebagai isterinya dan Fiya tak berharap pun.” Balas Wafiya lagi.
“Fiya, setiap perkara itu memerlukan waktu macam itu juga dengan Ary. Dia perlukan waktu untuk sesuaikan diri dengan keadaan. Bayangkan dalam sekelip mata dia kena pikul semua tanggungjawab, sebagai seorang ketua syarikat dan seorang suami. Manalah dia tak terkejut.” Jawab Mak Milah menyebelahi Syed Aryan.
Wafiya mencebikkan bibir. Bukan saja Syed Aryan yang terkejut, dia pun sama. Ingatkan lari dari kampung dia boleh mulakan hidup baru dengan aman tetapi ternyata kehidupan dia memang berubah seratus peratus. Menjadi isteri kepada Syed Aryan dan juga pemegang amanah terbesar Tan Sri Syed Umar. Akhirnya, dia dikurung dalam sangkar emas milik Syed Aryan dan dijadikan orang gaji sepenuh masa untuk Syed Aryan. Sungguh, kisahnya seperti kisah dongeng yang tak masuk dek akal. Fikir Wafiya.
“Kamu jangan nak berdalih lagi. Cepat kejutkan Ary nanti terlewat pulak.” Ujar Mak Milah lalu menolak tubuh Wafiya yang sengaja mengeraskan tubuhnya.
“Tapi Mak Milah, Fiya segan…” luah Wafiya akhirnya.
“Nak segan apanya? Ary tu suami kamu. Lambat laun kamu kena serahkan diri kamu tu pada dia juga.” Jawab Mak Milah sambil tersengih-sengih.
Wafiya mengeluh berat. Dengan langkah kaki yang perlahan, dia menuju ke tingkat atas. Pintu bilik Syed Aryan diketuk berkali-kali sambil nama lelaki itu dilaungkan tetapi malangnya tiada sahutan dari arah dalam. Wafiya mendengus. Sakit betul hatinya apabila mengejutkan orang yang tidur mati.
Pantas, tangan Wafiya memulas tombol pintu. Dia menjengukkan kepalanya ke dalam. Kelihatan Syed Aryan masih lagi lena dibuai mimpi. Elok saja lelaki itu memeluk bantal peluk tanpa sedikit pun rasa terganggu dengan ketukan dari Wafiya tadi.
“Amboi-amboi, seronok betul anak Tuan Syed ni tidur. Mentang-mentanglah sejuk, lupa terus hari ni puasa.” Omel Wafiya lantas mendekati katil.
“Tuan Ary…” panggil Wafiya sambil menggoncangkan lengan Syed Aryan.
Syed Aryan masih lagi kaku. Matanya terpejam rapat.
“Tuan Ary, bangun sahur.” Kejut Wafiya lagi. Lengan Syed Aryan digoncang berkali-kali.
Kali ini barulah Syed Aryan tersedar. Dia membuka mata dengan luas.
“Kau buat apa kat sini?” soal Syed Aryan terkejut apabila melihat wajah Wafiya yang terjengul di hadapan matanya. Pantas, dia bangun dan menyandarkan belakang badannya di kepala katil.
Wafiya berdiri tegak di sisi katil Syed Aryan. Dia menundukkan wajah seperti kebiasaan apabila dia berhadapan dengan Syed Aryan.
“Hari ni dah start puasa, tuan. Mak Milah mintak saya kejutkan tuan untuk sahur.” Terang Wafiya sambil mengesat dahinya yang  berpeluh.
“Dah start puasa? Lupa pulak aku. Hmmm…tapi aku tak nak makan kat bawah.” Ujar Syed Aryan tiba-tiba.
Wafiya mengangkat pandangan. Wajah Syed Aryan yang kelihatan kusut di pandang lama.
“Kalau tuan tak nak makan kat bawah, tuan nak makan kat mana?” soal Wafiya pelik.
“Aku nak makan dalam bilik. Kau pergi ambil sekarang!” arah Syed Aryan tegas. Dia menyelak selimut.
“Tapi tuan. Mak Milah tunggu tuan dekat bawah. Takkan Mak Milah nak makan sorang-sorang.” Jawab Wafiya. Permintaan Syed Aryan kali ini dirasakan terlalu mengarut. Macamlah kaki dia patah sampaikan makanan pun kena dibawa ke bilik. Omel hati Wafiya. Geram dengan sikap mengada-ngada yang ditunjukkan oleh Syed Aryan.
“Argh, aku tak peduli. Kau pergi ambil makanan dan bawak ke bilik. Aku nak lepas aku keluar bilik air, makanan dah terhidang depan mata aku!” ujar Syed Aryan tegas.
Wafiya masih lagi keberatan. Dia ingin membuka mulut tapi jelingan Syed Aryan mematikan niatnya. Dengan hati yang mendongkol marah, Wafiya turun ke dapur mengambil makanan untuk Syed Aryan. Mak Milah hanya mampu ketawa melihat wajah Wafiya yang cemberut dengan permintaan Syed Aryan.
Manakala, Syed Aryan hanya tersenyum simpul melihat Wafiya yang bergegas turun ke tingkat bawah. Sebaik saja kelibat Wafiya menghilang, Syed Aryan terus ke bilik air. Giginya digosok dan wajahnya dicuci dengan sebersihnya malah rambutnya turut dibasahkan dengan air. Wajahnya yang tadi kelihatan kusut kini bertukar menjadi kacak seperti kebiasaannya.
Sebaik saja dia membuka pintu bilik air, dia melihat makanan sudah tersedia di atas meja sisinya. Matanya pantas menangkap kelibat Wafiya yang ingin cuba menarik daun pintu.
“Hoi, kau nak ke mana tu?” panggil Syed Aryan lalu duduk di birai katil.
Langkah Wafiya terhenti. Dia berpaling pada Syed Aryan.
“Saya nak turun makan dengan Mak Milah. Nanti waktu sahur habis pula.” Ujar Wafiya.
“Aku tak benarkan kau keluar sampai aku habis makan. Siapa nak kemaskan pinggan-pinggan ni lepas aku makan. Takkan aku pula? Apa guna ada orang gaji.” Balas Syed Aryan sengaja menyakiti hati Wafiya.
Wafiya tertunduk. Takkan dalam bulan puasa ni pun Syed Aryan ingin menyeksanya?
“Tapi tuan, saya kena sahur. Saya nak puasa…” ujar Wafiya. Suaranya sudah mula tenggelam timbul menahan rasa sebak yang mula menjengah.
“Kalau kau sempat kau sahur, kalau tak, kau tak payah sahur. Aku nak kau tunggu sampai aku habis makan. Kalau kau melawan, tahulah nasib kau. Aku jual kau dekat John!” ugut Syed Aryan membuatkan Wafiya mati kutu.
Akhirnya, pintu bilik Syed Aryan ditutup kembali. Dia berdiri di belakang pintu sambil menundukkan wajah. Air matanya menitis jua. Tangannya kejap memegang perut yang terasa pedih. Dari semalam dia tidak menjamah apa-apa makanan dan harapannya untuk bersahur hari ini juga punah. Nampaknya, dia harus berpuasa tanpa menjamah apa-apa makanan.
Syed Aryan mengerling pada Wafiya yang berdiri kaku di belakang pintu. Gadis itu diam seribu bahasa. Dia tersenyum sambil menikmati makanannya. Nasi berlaukkan sayur campur dan sup ayam begitu membuka selera Syed Aryan pagi ini. Namun, hanya tiga suap saja yang mampu ditelan oleh Syed Aryan sebelum pandangannya dipakukan pada Wafiya yang hanya tahu menundukkan kepalanya.
“Hoi, datang sini sekejap.” Panggil Syed Aryan.
Wafiya akur. Perlahan-lahan dia menghampiri Syed Aryan. Sedikit pun suaranya tidak berbunyi.
“Duduklah. Sakit kepala aku nak tengok kau berdiri macam patung kat kedai baju.” Omel Syed Aryan lagi. Dia menarik tangan Wafiya untuk duduk bertentangan dengan dirinya.
Wafiya hanya menurut. Namun, dia tersentak apabila Syed Aryan menarik dagunya. Pantas saja, anak mata mereka berlaga.
“Kau menangis? Kenapa?” soal Syed Aryan lembut. Dia merenung jauh ke dalam anak mata milik Wafiya. Gadis itu hanya mendiamkan diri.
“Lapar?” soal Syed Aryan lagi.
Wafiya hanya menganggukkan kepala. Tak guna dia melawan dengan Syed Aryan kerana ternyata dia yang akan tertewas.
“Makanlah nasi tu. Aku dah makan separuh. Separuh lagi kau makan…” ujar Syed Aryan sambil menunjukkan ke arah pinggan yang berada di dalam dulang.
Wafiya terkelu seketika. Dia tak salah dengar ke ni? Baik betul Syed Aryan Haidar ni. Ddetik hatinya.
“Tapi tu nasi tuan.” Wafiya bersuara.
Syed Aryan tersenyum. Sekali lagi Wafiya terkesima melihat senyuman itu. Kacak sungguh!
“Aku dah kenyang. Kau makanlah. Lagipun tak sempat kalau kau nak turun makan. Sekarang dah pukul lima suku. Kejap lagi nak subuh pulak.” Balas Syed Aryan.
Betul juga apa yang dikatakan oleh Syed Aryan. Tetapi Wafiya masih teragak-agak. Perlahan-lahan, dia mencapai pinggan Syed Aryan yang masih berbaki separuh lagi nasi putih. Kemudian dia memandang tangannya yang masih belum dibasuh.
“Saya nak basuh tangan dulu.” Ucap Wafiya.
“Tak payah. Guna aje sudu yang aku guna tu.” Syed Aryan menahan.
Wafiya tidak jadi melangkah. Dia duduk kembali. Lambat-lambat dia menyambut huluran daripada Syed Aryan tetapi dia terpaksa akur apabila mata Syed Aryan tajam merenung wajahnya.
Setelah membaca bismillah, Wafiya menyuapkan makanannya dengan perlahan. Dia agak kekok makan berhadapan dengan Syed Aryan saat ini. Lelaki itu merenungnya seakan tebus terus ke hatinya.
“Kenapa tuan tak habiskan nasi ni? Tak sedap ye sup yang saya masak ni?” soal Wafiya cuba beramah dengan Syed Aryan yang sedang leka memerhatikan dirinya.
Syed Aryan tersedar dari terus ralit memerhatikan Wafiya makan. Gadis itu tampak begitu sopan ketika menyuapkan makanan. Hampir dia terlupa bahawa gadis di hadapannya ini adalah gadis yang cukup dibencinya.
“Kalau aku habiskan nanti kau pulak yang lapar. Aku ni kadang-kadang bukannya kejam sangat.” Jawab Syed Aryan bersahaja.
Wafiya ketawa kecil dengan jawapan Syed Aryan. Kadang-kadang bukan kejam? Bukan ke Syed Aryan tak pernah tak kejam? Soal hatinya.
Syed Aryan terpana seketika melihat Wafiya yang tertawa. Cantik. Puji hatinya. Gadis itu nampak ayu dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Inilah kali pertama dia melihat bibir itu tertawa. Berdenyut jantungnya secara tiba-tiba.
“Kenapa kau ketawa?” soal Syed Aryan pelik.
Wafiya menggelengkan kepalanya. Dia menghabiskan sisa-sisa makanan yang tinggal. Soalan Syed Aryan dibiarkan tanpa jawapan.
“Saya nak turun dulu, boleh? Nak bersihkan pinggan kotor ni.” Pinta Wafiya.
Syed Aryan mengangguk. Dia mencapai gelas lalu meneguk air putih yang dihidangkan oleh Wafiya kemudian dia memberikan gelas itu kepada Wafiya.
“Minumlah. Ada separuh lagi tu. Cepat, dah nak masuk imsak ni.” Ujar Syed Aryan.
Pantas, Wafiya mencapai gelas daripada Syed Aryan. Dia meneguk separuh lagi air dari gelas yang sama digunakan oleh Syed Aryan. Walaupun sedikit pelik dengan perangai Syed Aryan hari ini namun Wafiya hanya mendiamkan diri. Mana tak pelik, Syed Aryan Haidar sanggup berkongsi makanan dan gelas dengannya? Sah, lelaki itu dah buang tabiat!

TANPA sedar bibir Wafiya mengukir senyuman apabila terkenangkan kisah lama antara dia dan Syed Aryan. Waktu pertama kali menyambut bulan Ramadan setelah sah menjadi isteri kepada Syed Aryan. Memang Wafiya akui, waktu itu Syed Aryan memang seorang yang garang, ego dan suka memerintah. Rimas Wafiya dibuatnya. Tapi kini, Syed Aryan sudah berubah seratus peratus.
Wafiya melebarkan pandangan ke arah Syed Aryan yang sedang melangkah menghampirinya. Sekeliling rumah sudah pun diterangi dengan cahaya pelita. Sungguh indah beraya di kampung.
“Sayang senyum sorang-sorang ni kenapa?” tegur Syed Aryan lalu melabuhkan punggungnya di atas tangga bersebelahan dengan Wafiya. Pinggang wanita itu dipeluk mesra.
“Tak ada apa-apalah, bang. Fiya teringatkan pertama kali Fiya berpuasa dekat Bayu Mahligai.” Terang Wafiya sambil melentokkan kepalanya ke bahu Syed Aryan.
Syed Aryan turut tersenyum apabila teringatkan kisah itu.
“Masa tu abang pun tak percaya yang abang dah kahwin. Dengan Fiya pulak tu. Abang tak pernah jumpa Fiya, tak pernah kenal Fiya tup-tup abang jadi suami Fiya. Ajaib sangat abang rasa,” balas Syed Aryan sambil mengucup ubun-ubun Wafiya yang beralaskan tudung.
Wafiya ketawa kecil. Apa yang dirasakan oleh Syed Aryan turut dirasai oleh Wafiya.
“Fiya pun tak sangka kita berjodoh. Bila dah jodoh tu, lari ke hujung dunia pun akan bertemu juga. Tapi Fiya tak puas hati dengan abang masa bulan puasa dulu. Abang jahat sangat dengan Fiya. Asyik marah Fiya je sampaikan Fiya nak pergi bazar pun abang marah.” Rengek Wafiya manja. Dia menampar lembut dada Syed Aryan yang sudah ketawa.
Syed Aryan memeluk bahu Wafiya dengan erat.
“Abang bukan marah sayang tapi abang sakit hati, Fiya lebihkan Amil dari abang. Fiya tahu tak masa tinggal di Bayu Mahligai, abang sunyi sangat. Mama selalu tak ada masa bulan puasa tapi bila Fiya ada dalam rumah tu, adalah hiburan untuk abang sikit. Abang suka buat Fiya marah tapi sebenarnya abang nak Fiya beri perhatian pada abang.” Syed Aryan berterus terang.
Dia tersenyum apabila terkenangkan sikapnya pada Wafiya dahulu.

“MAK MILAH nak pergi ke mana lawa-lawa ni?” soal Syed Aryan setelah turun dari kereta. Dia mencapai briefcase yang berada di tempat duduk sebelah.
“Amil ajak Mak Milah dengan Fiya pergi bazar Ramadan. Ni yang Mak Milah siap-siap ni. Tunggu Amil datang jemput.” Jawab Mak Milah.
Dahi Syed Aryan berkerut.
“Nak pergi bazar dengan Amil? Fiya ikut sekali?” Syed Aryan inginkan kepastian.
Mak Milah sekadar menganggukkan kepala. Dia dapat mengesan sesuatu dari soalan yang diutarakan oleh Syed Aryan.
“Mestilah Fiya ikut, Ary. Amil yang beria-ria nak ajak Fiya. Maklumlah sejak Fiya datang Kuala Lumpur ni mana pernah dia pergi jalan-jalan. Nilah masa untuk Fiya kenal KL.” Sambung Mak Milah lagi sengaja ingin menduga hati Syed Aryan.
Syed Aryan mengetap bibir menahan rasa tidak keruan. Baru saja dia ingin bersuara, muncul Wafiya dia muka pintu membuatkan Syed Aryan berpaling. Gadis itu kelihatan manis dengan baju kurung tersarung di tubuhnya yang genit. Tudung bawal yang disilangkan melepasi dada cukup membuatkan gadis itu kelihatan ayu. Hanya solekan tipis menghiasi wajah Wafiya tapi itu sudah cukup untuk membuatkan gadis itu kelihatan menawan.
“Fiya dah siap. Abang Amil tak sampai lagi, Mak Milah?” soal Wafiya seakan tidak mempedulikan Syed Aryan yang berdiri tidak jauh darinya. Mata Wafiya asyik memandang ke arah pintu masuk menanti kedatangan Muzamil.
Syed Aryan mengerling. Hatinya gundah dengan setiap perlakuan Wafiya yang seolah-olah tidak sabar menanti kedatangan Muzamil. Ini tak boleh jadi ni, takkan aku nak biarkan Fiya keluar dengan Muzamil pula? Makin besar kepalalah minah ni. Detik hati Syed Aryan.
“Siapa yang benarkan kau keluar?” soal Syed Aryan tiba-tiba.
Wafiya berpaling. Anak matanya tuntas membalas pandangan Syed Aryan yang kelihatan tajam. Wajah itu juga kelihatan tegang.
“Saya nak keluar dengan Mak Milah dan Abang Amil, takkan itu pun tak boleh?” soal Wafiya inginkan kepastian. Dia berpandangan dengan Mak Milah yang hanya mampu menjongketkan bahu.
“Aku tak tanya kau keluar dengan siapa, aku tanya siapa yang benarkan kau keluar?” Syed Aryan mengulangi soalannya. Dia menghampiri Wafiya yang hanya mampu mendiamkan diri. Dia tiada jawapan untuk soalan Syed Aryan kerana dia tidak pernah meminta kebenaran dari Syed Aryan untuk keluar bersama Muzamil.
“Kau masuk sekarang!” arah Syed Aryan sambil menuding jari ke dalam rumah.
Wafiya tersentak. Wajahnya serta-merta berubah keruh.
“Ary, janganlah marah macam ni. Kita tengah puasa ni, sabarlah sikit.” Nasihat Mak Milah perlahan.
“Saya…cuma…cumaa…” Wafiya tergagap-gagap. Dia menahan air mata daripada menitis.
“Tunggu apa lagi? Masuklah!” jerkah Syed Aryan tanpa menghiraukan nasihat Mak Milah.
Terhinjut bahu Wafiya. Dengan hati yang sebal, Wafiya berpaling. Setitis demi setitis air mata menitis ke pipi. Apalah dosa saya dengan awak, Tuan Ary? Kenapa tak pernah awak nak berdamai dengan saya? Desis hati Wafiya. Terluka.
“Kalau kau nak marah, kau marah aku. Jangan lepaskan kemarahan kau pada Fiya. Dia tak bersalah.” Sampuk satu suara dari arah belakang menyebabkan langkah Wafiya terhenti. Itu suara Muzamil. Wafiya cukup kenal lantas bibirnya mengorak secangkir senyuman.
“Abang Amil!” panggil Wafiya sebelum berpaling. Dia mendapatkan Muzamil yang sudah berdiri bertentangan dengan Syed Aryan. Jelas wajah Syed Aryan tegang.
“Hal ni tak kaitan dengan kau, Amil. Fiya bekerja di rumah aku. Dia hak aku!” balas Syed Aryan tidak mahu mengalah.
Muzamil tersenyum sinis. Dia tahu Syed Aryan sedang menyembunyikan perasaan cemburu tetapi perasaan itu jelas tergambar di sebalik anak mata Syed Aryan yang hitam cair. Dia ingin menguji lagi.
“Sejak dia bekerja di rumah ni, belum pernah pun kau bagi dia cuti. Kalau ikut undang-undang, setiap pekerja wajib diberi cuti sehari seminggu tapi kau, sehari pun kau tak bagi. Kalau dia buat laporan, kau yang kena.” Muzamil mengutarakan fakta.
Syed Aryan terdiam. Kata-kata Muzamil memang tak boleh disangkal. Tapi sanggup ke dia melepaskan Wafiya keluar bersama dengan Muzamil?
“Baik, kali ni kau menang tapi aku tak peduli, aku nak ikut kau jugak!” balas Syed Aryan bertegas.
Mak Milah dan Wafiya berpandangan. Mereka terpempan seketika dengan kata-kata Syed Aryan. Cuma Muzamil yang tersenyum simpul. Telahannya tepat.
“Kau tak kisah ke pergi bazar Ramadan? Tempat tu ramai orang. Tak sesuai dengan lelaki korporat macam kau ni.” Ucap Muzamil.
Syed Aryan mengetap bibir. Dia serba salah. Memang dia tidak suka pergi ke tempat yang ramai orang tetapi tak bermakna dia tak suka dengan tempat-tempat sebegitu cuma dia kurang selesa apabila terpaksa bergesel dengan orang lain sewaktu berjalan.
“Aku tak kisah langsung!” balas Syed Aryan akhirnya.
“Kalau macam tu, jomlah kita pergi. Nanti lambat.” Ujar Muzamil.
Wafiya merengus. Perlu ke dia menghadap wajah Syed Aryan setiap saat dan setiap masa. Dia juga perlukan ruang untuk bernafas. Kehadiran Syed Aryan membuatkan nafasnya terasa sesak. Dia benci dengan rasa itu!
Syed Aryan hanya menurut. Dia melihat Wafiya membuka pintu di tempat duduk sebelah pemandu, lalu dengan pantas Syed Aryan menolak tubuh Wafiya membuatkan gadis itu terdorong ke belakang.
“Kau duduk kat belakang dengan Mak Milah. Tak payah nak jadi mem besar kat sini.” Sindir Syed Aryan.
Wafiya mengacip gigi tanda geram dengan sikap Syed Aryan. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Selagi dia mampu bersabar, dia akan bersabar dengan kerenah Syed Aryan. Bukankah bulan Ramadan itu melatih diri untuk bersabar? Sedangkan Muzamil dan Mak Milah hanya mampu menahan tawa melihat tingkah Syed Aryan.

OMELAN yang tak jelas terbit daripada mulut Syed Aryan membuatkan Muzamil ketawa kecil. Dia menghampiri Mak Milah yang sedang leka memerhati juadah-juadah yang dijual di bazar Ramadan di Putrajaya.
“Mak Milah, apa kena dengan Ary tu? Dari tadi Mil tengok tak henti-henti membebel. Itulah Amil dah pesan, dia tu tak biasa pergi bazar tapi nak juga ikut kita.” Ucap Muzamil sambil berbisik di sebelah Mak Milah.
Mak Milah hanya tersenyum. Dia memandang ke belakang. Kelihatan Syed Aryan sedang berjalan di belakang Wafiya. Lelaki itu seakan-akan mengawasi setiap pergerakan Wafiya. Mak Milah tahu, Syed Aryan tidak suka jika Muzamil dekat dengan Wafiya. Mungkin lelaki muda itu cemburu. Fikir Mak Milah.
“Biasalah, Amil. Dia cemburu tengok kamu baik dengan Fiya tapi kalau kita cakap dia cemburu, nanti dia marah kita balik. Jadi kita biarkan Ary dengan perasaan dia tu. Kita tengok sejauh mana dia cuba sembunyikan perasaan dia tu.” Balas Mak Milah dengan suara yang perlahan.
Muzamil menganggukkan kepala. Timbul akal jahatnya untuk menguji Syed Aryan. Lantas, dia berpaling memandang Wafiya yang mengekori belakangnya.
“Fiya, datang sini sebelah abang. Fiya nak makan apa? Fiya beli nanti abang bayarkan.” Ucap Muzamil lembut. Dia menggamit Wafiya supaya berjalan di sisinya.
Tanpa berfikir panjang, Wafiya berjalan pantas ke sebelah Muzamil. Dia tersenyum manis.
Bulat mata Syed Aryan melihat tingkah laku Wafiya. Lalu, dengan pantas dia menyelit di tengah-tengah antara Wafiya dan Muzamil. Dia membuntangkan matanya pada Wafiya seolah-olah memberi amaran secara diam.
“Ingat janji kau pada aku dulu. Kalau kau rapat dengan Amil, tahulah nasib kau nanti.” Bisik Syed Aryan rapat di telinga Wafiya.
Wafiya mengetap bibir. Syed Aryan suka sangat menggunakan ugutan itu untuk melemahkannya sehinggakan dia tiada daya untuk melawan. Akhirnya satu keluhan yang terbit dari celah bibirnya yang mungil.
“Kalau Abang Amil saya tak boleh rapat, dengan Haq pun saya tak boleh rapat, habis tu saya nak berkawan dengan siapa, tuan?” soal Wafiya sambil mengacip giginya. Menahan rasa geram dengan sikap Syed Aryan yang suka mengongkong.
“Dengan sesiapa saja kecuali lelaki.” Balas Syed Aryan sambil memerhatikan gerak-geri Muzamil dan Mak Milah yang sudah berjalan mendahului mereka berdua. Tinggal dia dan Wafiya yang berada di belakang.
“Maknanya saya pun tak boleh rapat dengan tuan. Tuan pun lelaki.” Bidas Wafiya.
Syed Aryan terdiam. Dia merapatkan kedudukannya dengan Wafiya sehingga bahu mereka bersentuhan.
“Dengan aku dikecualikan…” balas Syed Aryan dengan senyuman.
“Kenapa pula? Tak adillah macam tu.” Wafiya membantah.
“Sebab aku berhak ke atas kau.” Bisik Syed Aryan di telinga Wafiya.
Wafiya terkelu seketika. Berkelip-kelip anak matanya membalas renung Syed Aryan yang sedang tersenyum sumbing. Tanpa mereka sedar, mereka berdiri di tengah-tengah keramaian orang namun yang pelik, tiada bunyi bising kedengaran di telinga mereka berdua. Wafiya tersedar apabila bahunya dilanggar seseorang, lantas lamunannya terhenti. Dengan pantas, Wafiya mengalihkan pandangan ke tempat lain. Dia tidak mahu terus terbuai dengan renungan itu.
Syed Aryan tersenyum sendirian melihat Wafiya yang agak kelam-kabut. Perlahan-lahan, anak matanya menjalar melihat jari-jemari Wafiya yang runcing. Pantas, tanpa berfikir panjang jari-jemari Syed Aryan menyulam erat jemari milik Wafiya.
Wafiya tersentak. Jantungnya berdegup keras melihat telapak tangannya kemas dalam genggaman tangan kasar Syed Aryan. Terasa kehangatan tangan itu menular terus ke dalam hatinya.
“Tuan?” Hanya sepatah saja yang terbit dari mulut Wafiya. Dia memandang Syed Aryan. Mengharapkan penjelasan.
“Tempat ni ramai orang, kalau aku biarkan kau berjalan seorang nanti kau sesat pulak. Dah, cepat pilih makanan apa yang kau nak. Lepas tu kita balik. Aku rimas tahu tak? Dahlah panas.” Omel Syed Aryan cuba menghilangkan debaran di hatinya apabila dipanah dengan anak mata bundar itu.
Tapi perlu ke pegang tangan sampai macam ni sekali? Detik hati Wafiya tetapi tidak dinyatakan pada Syed Aryan. Dia bimbang jika lelaki itu akan mengamuk. Akhirnya dia hanya menurut langkah kaki Syed Aryan. Hilang terus moodnya untuk membeli. Berpimpinan tangan dengan Syed Aryan begitu mengundang resah di hati Wafiya.
Dari jauh Mak Milah tersenyum di samping Muzamil. Dia melihat kedua insan itu masih malu-malu tetapi sinar kebahagiaan terpancar di mata Syed Aryan.
“Tengok tu Amil. Bukan main lagi Ary tu. Senyum sampai ke telinga. Agaknya dia dah boleh terima Fiya.” Ujar Mak Milah sambil mengibas wajahnya dengan kain tudung yang dipakai.
Muzamil mengalih pandangan ke arah pasangan itu. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Dia memanjatkan syukur kerana impian arwah Tan Sri Syed Umar akhirnya terlaksana. Dia dapat rasakan Syed Aryan sudah boleh menerima Wafiya cuma lelaki itu masih ego untuk mengakuinya.
“Fiya tu seorang perempuan yang baik, Mak Milah. Mana ada lelaki yang takkan tertawan dengan sikap dan perwatakan dia tu. Cuma Ary tu perlukan masa untuk terima keadaan dia sekarang ni. Tambahan pulak Mama Mastura tu suka menghasut Ary tapi Amil harap berkat bulan puasa ni, Ary akan terbuka hati untuk terima Fiya sepenuhnya.” Balas Muzamil penuh pengharapan.
Mak Milah hanya menganggukkan kepala. Suka benar hatinya melihat Syed Aryan yang memimpin tangan Wafiya. Pandangan mata itu tidak lagi menunjukkan benci sebaliknya sinar cinta terbias di anak mata itu walau cuba disembunyikan oleh pemiliknya. Bukankah mata adalah cermin rasa di hati?

JAM sudah menunjukkan pukul tiga pagi tetapi Syed Aryan masih gagal untuk melelapkan mata. Sudah puas dipejam tetapi lenanya tidak bertandang. Ada sesuatu menganggu fikirannya. Ada bayangan yang menghantui mindanya membuatkan Syed Aryan rimas lantas dia bangun dan duduk di birai katil.
“Fiya tu bukan seperti yang kau fikirkan, Ary. Dia perempuan yang baik sebab itulah papa nak sangat kau bersatu dengan dia. Papa nak kau kenal hati budi dia terlebih dahulu sebelum kau buat apa-apa keputusan. Walaupun papa mewasiatkan rumah ini pada dia tapi dia tak pernah sekali pun ambil kesempatan. Kalau dia betul-betul nak ambil kesempatan seperti yang Mama Mastura cakapkan, dah lama dia halau kau dan mama.”
Suara Muzamil terngiang-ngiang di telinga Syed Aryan. Syed Aryan menggigit jari. Memikirkan kata-kata Muzamil petang tadi.
“Betul juga kata Amil, dengan kuasa yang ada pada dia, dah lama dia boleh halau aku kalau dia nak. Rumah ni atas nama dia dan aku tak berhak tapi kenapa dia setuju aje jadi orang gaji sedangkan dia boleh jual rumah ni?” Syed Aryan menyoal dirinya sendiri. Dia mengetuk dagunya yang ditumbuhi dengan janggut.
“Dia perempuan baik sama seperti arwah ibunya. Cuba kau fikirkan kalau ibu dia perempuan yang pentingkan diri sendiri, dah lama dia paksa papa kau kahwin dengan dia. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Walaupun dia dihimpit dengan kesusahan, arwah ibu Fiya tetap minta arwah papa taat dengan permintaan arwah nenek. Tak cukup lagi ke itu sebagai buktinya, Ary?” soalan Muzamil menjengah ke dalam kotak fikirannya.
Syed Aryan tiada jawapan untuk soalan itu. Hanya keluhan berat yang dapat dilepaskan.
“Kenali dia. Dekati dia. Baru kau akan kenal siapa dia yang sebenar.” Kata-kata Muzamil masih terngiang di telinganya.
“Wafiya Khadeeja…” tanpa sedar Syed Aryan menyebut sebaris nama itu.
Serentak dengan itu, Syed Aryan bangun. Dia menuju ke pintu. Tombol pintunya dipulas sebelum kakinya melangkah keluar. Langkah diatur ke tingkat bawah sehingga sampai di hadapan pintu bilik Wafiya. Dengan perlahan-lahan, Syed Aryan memulas tombol pintu bilik isterinya itu.
Kelihatan Wafiya sedang duduk berteleku di atas sejadah sambil mengalunkan bait-bait suci al-Quran. Tersentuh hati Syed Aryan mendengar suara itu mendayu-dayu. Cukup lembut di peluput telinganya. Pantas, Syed Aryan melangkah setapak demi setapak sebelum duduk di birai katil bujang milik Wafiya.
Wafiya terkejut apabila melihat sebatang tubuh duduk di birai katil berhampiran dengannya. Bacaannya terhenti dengan sendiri. Kepalanya tegak memandang empunya diri yang masuk ke dalam biliknya tanpa salam.
“Tuan? Tuan buat apa dalam bilik saya? Tuan tak tidur lagi ke?” soal Wafiya bertalu-talu. Dia pelik dengan kedatangan Syed Aryan dalam biliknya. Belum pernah walau sekalipun Syed Aryan masuk ke dalam biliknya semenjak dia tinggal di Bayu Mahligai.
Syed Aryan hanya tersenyum kelat. Anak matanya dibiarkan meliar menjamah setiap inci wajah Wafiya yang ditutupi dengan telekung. Wajah itu tampak begitu segar. Nampak manis walaupun tanpa solekan menghiasi wajahnya. Hati Syed Aryan tenang dengan sendirinya.
“Aku tak mengantuk. Puas aku paksa tapi mata aku tak nak lelap. Kau pulak, kenapa tak tidur lagi. Esok kena bangun awal.” Syed Aryan menjawab.
Wafiya tersenyum nipis. Anak matanya dialihkan pada lembaran al-Quran yang berada di hadapan mata.
“Saya dah tidur lepas balik terawih tadi. Saya dah biasa terjaga waktu-waktu macam ni. Sementara tunggu nak masak untuk sahur, saya mengaji dulu.” Terang Wafiya dengan lembut.
Syed Aryan menganggukkan kepala. Benar kata Muzamil, gadis ini seorang gadis yang baik. Jika perempuan lain pasti sudah berdengkur sementara menunggu waktu sahur. Adakah telahan dia pada Wafiya selama ini salah?
“Dah berapa kali kau khatam al-Quran?” soal Syed Aryan tiba-tiba.
Wafiya terdiam seketika.
“Saya tak ingat berapa kali tapi setiap bulan puasa saya cuba khatam al-Quran.” Jawab Wafiya.
“Siapa yang ajar kau?” soal Syed Aryan lagi.
“Ibu. Tapi kalau ibu tak larat, saya mengaji dekat surau kampung.” Ujar Wafiya.
Hatinya dilanda seribu pertanyaan dengan soalan yang diajukan oleh Syed Aryan. Dia ni macam nak temuduga aku aje. Detik hati Wafiya.
Syed Aryan mengangguk lagi. Dia terdiam seketika. Anak matanya melilau memandang bilik Wafiya yang sempit. Ruang bilik itu hanya mampu memuatkan sebuah katil bujang, satu almari dua pintu dan satu meja solek yang kecil. Ruang untuk gadis itu bersolat pun agak sempit. Muat untuk Wafiya seorang.
“Kau mengajilah. Aku nak dengar. Mana tahu bila dengar kau mengaji, aku boleh tidur.” Ucap Syed Aryan serius.
Wafiya hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia memulakan bacaannya yang tertinggal. Alunan suaranya yang lembut begitu meruntun hati Syed Aryan. Hatinya yang dulu keras mampu dicairkan dengan sekelip mata oleh Wafiya!
Perlahan-lahan, Syed Aryan turun dari katil. Dia duduk di sebelah Wafiya yang masih leka mengaji. Entah apa yang merasuk dirinya, tiba-tiba Syed Aryan merebahkan kepalanya di atas peha Wafiya. Wafiya tersentak. Bacaannya terhenti dengan serta-merta.
“Kenapa berhenti? Teruskan aje. Aku nak dengar. Aku nak pinjam riba kau sekejap, boleh? Aku nak tidur.” Ujar Syed Aryan cukup membuatkan Wafiya terkejut.
“Tapi tuan, nanti tuan tak selesa tidur atas lantai ni.” Balas Wafiya.
“Syyyssshhh…” Syed Aryan meletakkan jari telunjuk di bibirnya sendiri mengisyaratkan supaya Wafiya diam.
“Kau teruskan mengaji…” sambung Syed Aryan. Kemudian dia memejamkan mata.
Wafiya mengalah. Kepala Syed Aryan yang berat menghempap pehanya dibiarkan saja. Kesian pula melihat wajah itu keletihan. Akhirnya, Wafiya mengaji sambil ditemani oleh Syed Aryan yang tidur dipangkuannya.

“KENAPA abang masuk bilik Fiya hari tu? Bukan ke masa tu abang tak suka Fiya?” soalan Wafiya mematikan lamunan Syed Aryan.
Syed Aryan hanya mampu tersengih sebagai jawapan. Dia kalih ke sisi. Kelihatan Wafiya masih merenungnya, mungkin menanti jawapan daripada bibirnya.
“Sebenarnya abang pun tak tahu kenapa abang boleh masuk bilik Fiya dan dengar Fiya mengaji. Cuma abang ingat waktu tu otak abang memang berserabut sangat fikirkan permintaan papa supaya terima Fiya sebagai isteri. Amil pun asyik desak abang supaya kenal Fiya terlebih dahulu sebelum membenci Fiya.” Terang Syed Aryan bersama senyuman manis terukir di bibir hanya untuk Wafiya.
“Masa tu abang jahat sangat dengan Fiya. Abang suka buli Fiya tau. Benci betul…” rengek Wafiya manja.
Syed Aryan ketawa. Dengan selamba dia menarik lembut hidung Wafiya. Dingin bayu malam menambah lagi kehangatan suasana pasangan ini.
“Kalau abang tak buat semua tu, Fiya takkan pandang abang. Bagi Fiya Amil ajelah sebaik-baik lelaki sedangkan abang ni? Tak berharga langsung di mata Fiya waktu tu.” Ucap Syed Aryan sayu. Air wajahnya berubah.
Wafiya tersenyum nipis. Dia memeluk lengan Syed Aryan dengan kejap.
“Fiya tak sangka yang abang akan jatuh cinta pada Fiya sebab Fiya ni langsung tak memenuhi ciri-ciri wanita idaman abang. Fiya miskin. Fiya kampung. Abang mana pedulikan Fiya sebab itulah Fiya ambil keputusan untuk halang hati Fiya dari jatuh cinta dengan abang. Fiya sedar di mana Fiya berpijak waktu tu, bang.” Balas Wafiya dengan suara yang lembut.
“Tapi Fiya tak tahu yang waktu itu hati abang dah terjatuh…” ujar Syed Aryan. Dia kembali tersenyum.
“Terjatuh ke mana?” soal Wafiya pendek.
“Terjatuh ke dalam hati Fiya…” jawab Syed Aryan sambil mengenyitkan matanya.

“KENAPA sunyi aje rumah ni? Mak Milah mana?” soal Syed Aryan sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah. Briefcase yang dipegang, dihulurkan pada Wafiya yang berdiri di hadapannya.
“Mak Milah kurang sihat sikit. Tadi lepas Haq hantar Mak Milah pergi klinik, Mak Milah terus balik ke rumah dia.” Terang Wafiya sambil membuntuti langkah Syed Aryan dari belakang.
Syed Aryan menganggukkan kepala. Kemudian dia berpaling.
“Mak Milah sakit apa?” soalnya kembali.
“Tak tahu pula saya, tuan. Haq tak bagitahu apa-apa pun.” Jawab Wafiya.
“Okey, kalau macam tu hari ni kau tak payah masaklah untuk berbuka.” Ujar Syed Aryan sambil memandang Wafiya yang tegak berdiri di hadapannya.
Wafiya mengangkat wajah. Dahinya berkerut mendengar arahan Syed Aryan.
“Kenapa tuan?” soal Wafiya pelik.
“Kita berbuka dekat luar aje. Tak payahlah kau masak hari ni.” Ujar Syed Aryan lembut.
Wafiya bagaikan tidak percaya dengan kata-kata Syed Aryan. Terkebil-kebil anak matanya memandang wajah Syed Aryan.
“Err…saya rasa tak payahlah, tuan. Kita berbuka dekat rumah ajelah. Tuan mesti penat, baru je balik dari kerja.” Ujar Wafiya.
Syed Aryan tersenyum. Dia mendekati Wafiya.
“Aku cuma tak nak bebankan kau. Kalau kau nak masak, aku tak kisah. Jangan kau cakap aku tak bagi kau berehat sudah.” Balas Syed Aryan.
Dia menghempaskan badannya di atas sofa. Tangan Wafiya diraih supaya duduk di sebelahnya.
Wafiya tersentak. Dia menjarakkan duduknya dari Syed Aryan. Syed Aryan tersenyum nakal.
“Saya tak kisah, tuan. Dah jadi kerja saya untuk masak. Lagipun tak adalah tuan membazir makan kat luar.” Wafiya menjawab.
Syed Aryan hanya menjongketkan bahu. Kalau itu yang dikatakan oleh Wafiya, dia hanya menurut. Bukan apa, sejak Wafiya menjadi isterinya belum pernah dia membawa Wafiya keluar melihat dunia luar. Kadang-kadang timbul simpatinya melihat Wafiya yang bagaikan katak di bawah tempurung. Tetapi tidak sesekali pun dia mendengar rungutan dari gadis itu.
“Ikut suka kaulah…” balas Syed Aryan.
Dengan selamba dia merebahkan kepalanya di atas paha Wafiya. Kakinya diluruskan manakala tangannya dibiarkan memeluk tubuh. Sejak peristiwa dia tertidur di atas ribaan Wafiya malam itu, Syed Aryan merasakan dia cukup selesa jika tidur beralaskan pangkuan Wafiya. Lenanya pasti akan datang dengan sendiri.
Wafiya benar-benar terkejut dengan perbuatan Syed Aryan. Tak sempat langsung dia mengelak. Kini jantungnya sendiri menyahut debaran.
“Tuan…tuan…” Wafiya tergagap-gagap.
“Syyhhh…aku nak tidur sekejap. Letih sangat ni.” Ujar Syed Aryan lalu memejamkan mata.
Wafiya mengeluh. Dia tidak berdaya untuk melawan. Akhirnya dia biarkan saja Syed Aryan tidur di pangkuannya. Simpatinya tertumpah saat melihat wajah lelaki itu yang kelihatan penat. Kedengaran dengkuran halus terbit dari celah bibir Syed Aryan yang sudah terlena.
“Amboi, cepat betul dia ni tidur.” Omel Wafiya bersama senyuman kecil.
Dia mengamati wajah Syed Aryan yang agak dekat dengannya. Inilah baru pertama kali dia berkesempatan untuk meneliti wajah suaminya itu. Wafiya akui memang Syed Aryan memiliki raut wajah yang sempurna malah dia hampir terpesona apabila melihat lelaki itu melebarkan senyuman. Tapi malangnya, Wafiya sedar dia tidak setaraf dengan Syed Aryan. Tiba saatnya, dia harus pergi meninggalkan kehidupan lelaki ini.
“Kenapa takdir satukan kita sedangkan kita tidak pernah sehaluan?” desis Wafiya perlahan. Dia memberanikan diri untuk mengelus rambut Syed Aryan yang hitam pekat.
Syed Aryan tergeliat apabila terasa tidurnya terganggu. Tanpa sedar, dia menarik tangan Wafiya lalu memeluknya erat.
Wafiya menggigit bibir. Dia terpaksa menyandarkan belakang badannya di sofa dan terus membiarkan Syed Aryan memeluk erat lengannya. Walaupun lenguh namun dia terpaksa biarkan jua kerana jauh dalam hatinya ada satu perasaan yang semakin bercambah saat melihat lelaki ini lena di atas pangkuannya.
Syed Aryan tersedar apabila bantal yang dipeluknya jatuh di atas lantai. Dia menggeliat kecil sebelum anak matanya melilau mencari kelibat Wafiya. Dia bangun dan membetulkan duduknya. Jam di dinding dikerling sekilas.
“Dah pukul enam patutlah Fiya tak ada.” Ucap Syed Aryan sendirian. Dia menutup mulutnya yang menguap.
Telinganya dapat menangkap dengan jelas bunyi bising di dapur. Pasti Wafiya sedang sibuk memasak juadah untuk berbuka puasa. Keadaan rumah yang sunyi sepi memberi ruang pada Syed Aryan untuk mendekati Wafiya. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman nipis. Dia bangun dan menuju ke tingkat atas untuk membersihkan diri.
Setelah siap membersihkan diri, Syed Aryan cepat-cepat turun ke dapur. Dia mengintai di sebalik dinding. Kelihatan Wafiya bertungkus-lumus memasak. Sekejap gadis itu mengacau lauk di dalam periuk. Tidak lama selepas itu, dia memotong sayur pula. Syed Aryan tersenyum kecil melihat gelagat Wafiya.
“Sibuk sangat ke?” tegur Syed Aryan lalu melangkah mendekati Wafiya.
Wafiya terkejut. Spontan dia mengangkat muka. Satu senyuman dilemparkan untuk Syed Aryan yang sudah mula menarik kerusi untuk duduk.
“Taklah sibuk mana, tuan. Cuma bila memasak sorang ni, memang banyak benda yang kena buat.” Jawab Wafiya lembut.
Syed Aryan menganggukkan kepala.
“Kau masak apa hari ni?” soalnya lagi. Sekadar untuk menghidupkan suasana. Berada berdua-duaan dengan Wafiya sedikit sebanyak meresahkan hatinya.
“Saya masak ikan percik, tomyam campur dan pajeri terung.” Jawab Wafiya lagi.
“Semua seafood? Ayam tak ada?” soal Syed Aryan sambil mengambil sebiji lobak sebelum dia bangun dan mencapai papan pemotong dan pisau.
Berkerut dahi Wafiya melihat perlakuan Syed Aryan namun dia hanya mendiamkan diri.
“Kalau ikut sunnah, lebih baik jika makanan laut dan makanan darat tak dicampurkan. Sebab kalau campur nanti perut kita pula yang meragam.” Ujar Wafiya.
Memang itulah yang diajarkan oleh arwah ibunya dahulu. Makanan laut dan makanan darat tidak boleh dimakan sekali bimbang akan memberi kesan yang tidak elok pada sistem penghadaman. Selain mendapat pahala sunnah, kesihatan pun terjamin.
“Kenapa sebelum ni kau masak je tak kira laut ke darat?” soal Syed Aryan. Dia mula memotong lobak merah menjadi potongan kecil.
“Sebab Puan Sri nak semua lauk tu jadi saya masak ajelah. Err…sebenarnya Mak Milah yang masak. Puan Sri tak suka kalau saya masakkan. Tuan Ary tak kisah ke kalau saya masak untuk tuan hari ni?” giliran Wafiya pula yang menyoal. Dia takut sebenarnya. Takut dimarahi oleh Syed Aryan.
Syed Aryan mendongak. Dia tersenyum manis.
“Kalau aku tak makan masakan kau, tak adanya aku tolong kau sekarang ni.” Balas Syed Aryan.
Wafiya ketawa kecil. Dia menutup mulut. Bunga kobis, bawang besar dan beberapa bahan lain yang sudah siap dipotong, diletakkan di dalam bekas. Dia hanya memerhatikan Syed Aryan yang masih terkial-kial untuk memotong lobak merah.
“Tuan tak payahlah tolong saya. Saya boleh buat sendiri. Tuan pergilah berehat. Bila dah nak berbuka nanti saya panggil.” Ucap Wafiya.
Syed Aryan menggelengkan kepala.
“Aku bosan duduk sorang-sorang. Kalau duduk kat dapur ni boleh juga bersembang dengan kau. Atau kau tak suka aku ada kat sini?” soal Syed Aryan sambil memandang tepat ke mata Wafiya.
Wafiya mengalihkan pandangan. Kecut hatinya melihat renungan Syed Aryan yang tajam.
“Bukan tu maksud saya cuma tuan kan tak biasa buat kerja-kerja dapur.” Jawab Wafiya.
“Yang tak biasalah kena biasakan. Sekurang-kurangnya boleh juga aku tolong kau apa yang patut.”
Wafiya tersenyum manis. Entah mengapa dia merasakan sikap Syed Aryan banyak berubah. Sekarang lelaki itu lebih suka bersembang dengannya malah Syed Aryan akan mencari ruang untuk mendekatinya tetapi bagi Wafiya selagi dia boleh menjauhkan diri, dia akan lakukan kerana dia bimbang hatinya akan tertawan dengan pesona yang ada pada Syed Aryan.
“Senyum sorang nampak. Teringatkan siapa?” soalan Syed Aryan memecah lamunan Wafiya.
“Mana ada, tuan. Saya…saya…”
Kata-kata Wafiya mati di situ apabila Syed Aryan sudah berdiri di belakangnya. Kedudukan Syed Aryan yang rapat membuatkan jantung Wafiya sudah berdegup kencang.
“Dengar sini aku tak izinkan kau ingat orang lain selain aku. Aku tak izinkan senyuman kau tu untuk orang lain selain aku. Faham?” bisik Syed Aryan rapat di telinga Wafiya yang membelakanginya.
Wafiya terkedu. Apa maksud lelaki itu sebenarnya? Dia tersedar apabila terasa tangannya disentuh oleh jemari kasar milik Syed Aryan. Spontan dia berpaling. Air liur ditelan apabila tubuhnya hampir terlanggar dengan tubuh Syed Aryan yang gagah. Serta-merta Wafiya pegun di tempatnya berdiri. Pandangan mereka bertaut.
Syed Aryan membiarkan anak matanya menatap ke dalam anak mata Wafiya yang bening. Dia menemui kedamaian di sebalik redupnya pandangan itu. Sukar untuk Syed Aryan ungkapkan tetapi hatinya sudah tidak mampu untuk membenci gadis yang berada di hadapannya kini. Rasa itu berbeza. Kebencian sudah berlalu pergi cuma keinginan untuk memiliki gadis itu semakin kuat mencengkam jiwa Syed Aryan.
“Faham tak apa yang aku cakapkan tadi?” soal Syed Aryan dengan suara yang perlahan. Dagu Wafiya diangkat lembut.
Wafiya mengangguk. Lidahnya kelu untuk membalas percakapan Syed Aryan. Dia gementar dalam diam. Belum pernah Syed Aryan berbicara seperti ini.
“Angguk tu tanda apa?” soal Syed Aryan lagi.
“Faham, tuan!” jawab Wafiya pantas.
Syed Aryan tersenyum kemenangan. Dia menarik hidung Wafiya sehingga menyebabkan gadis itu terjerit kecil. Spontan, tangan Wafiya menampar lembut lengan Syed Aryan.
“Sakitlah!” ujar Wafiya sambil menggosok hidungnya yang terasa pedih. Dahinya berkerut.
“Berani kau tampar aku?” soal Syed Aryan sambil wajahnya cuba diseriuskan.
Wafiya membulatkan mata. Baru tersedar akan keterlanjuran sikapnya tadi. Dia berpaling pada Syed Aryan. Satu sengihan dilebarkan untuk suaminya itu.
“Maaf, saya tak sengaja.” Jawab Wafiya sambil menggigit lidah.
Giliran Syed Aryan membuntangkan matanya. Konon marah padahal dalam hati dia tergelak melihat wajah Wafiya yang berubah rona.
“Mana boleh maaf macam tu aje. Sebagai hukumannya, aku nak….” Syed Aryan menghentikan percakapannya.
Wafiya mula cuak. Dia mengundurkan langkah lalu menuju ke depan singki untuk mencuci sayur-sayuran yang sudah siap dipotong.
“Tuan nak apa? Saya tak sengaja tadi takkan benda kecil macam tu pun tuan nak hukum saya. Sayaa….”
Belum sempat Wafiya menghabiskan bicara Syed Aryan memeluk Wafiya daripada belakang. Wafiya terus terkaku. Bagaikan terkena renjatan elektrik badan Wafiya mengeras dengan sendirinya. Ini hukuman ke ambil kesempatan?
“KITA nak pergi mana ni, tuan?”  soal Wafiya sambil mengerling Syed Aryan yang kelihatan tenang memandu. Kedengaran nyanyian kecil terbit dari celah bibir suaminya itu.
Syed Aryan berpaling seketika. Dia hanya tersenyum tanpa menjawab soalan yang diajukan Wafiya.
Wafiya turut diam apabila Syed Aryan terdiam. Aku tanya dia boleh senyum aje? Buang tabiat apa Tuan Ary ni ajak aku keluar. Detik hati Wafiya. Bukan main terkejutnya Wafiya sebaik saja dia selesai mencuci pakaian, Syed Aryan menyuruhnya bersiap. Dengan kelam-kabut Wafiya hanya sempat mencapai baju kurung cotton berwarna kuning dan dipadankan dengan selendang yang berwarna putih.
Ketenangan Syed Aryan diganggu apabila telefon bimbitnya berdering. Dia mengeluh apabila melihat nama yang tertera di skrin. Dia hanya membiarkan tanpa menjawab panggilan tersebut.
Kenapa tuan tak jawab? Mungkin panggilan penting tu.” Tegur Wafiya.
Syed Aryan merengus seketika apabila telefon bimbitnya masih berdering. Lantas, earphone disumbatkan ke telinga.
“Hello, you nak apa?” soal Syed Aryan. Nada suaranya jelas menunjukkan dia tidak senang dengan panggilan itu.
“You ke mana, Ary? I call banyak kali tapi you tak angkat. I whatsapp pun you tak reply. SMS apatah lagi. Tadi I baru call rumah you, orang gaji you cakap you keluar. You keluar dengan siapa?” omelan Sharifah Akyra memecah gegendang Syed Aryan.
Syed Aryan mendengus. Wajahnya masam mencuka.
“I ada hal sikit. Lagipun hari ni hari cuti jadi I pun perlukan rehat.” Jawab Syed Aryan malas. Pandangannya hanya difokuskan ke jalan raya yang semakin sesak. Bebelan daripada Sharifah Akyra membuatkan otaknya turut sesak. Dia rimas.
“Kenapa you tak cakap you nak keluar? I boleh temankan. I belum beli baju untuk raya lagi. You temankan I shopping, ya?” suara Sharifah Akyra bertukar lembut.
Sorry, Kyra. I tak boleh temankan you hari ni. Kan I dah cakap, I ada hal. You keluarlah dengan kawan-kawan you tu.” Balas Syed Aryan selamba tanpa menghiraukan perasaan Sharifah Akyra. Buat seketika dia menjeling pada Wafiya yang sedang asyik merenung ke luar tingkap.
Kedengaran dengusan di hujung talian. Dia tahu pasti Sharifah Akyra akan mengamuk jika kemahuannya tidak dituruti. Syed Aryan sudah cukup muak dengan perangai Sharifah Akyra yang satu ini.
“You ni memang dah berubah! Dulu you selalu temankan I ke mana saja I nak pergi tapi sekarang banyak betul alasan you. You jangan menyesal kalau I keluar dengan lelaki lain!” marah Sharifah Akyra.
Syed Aryan hanya tersenyum sinis. Semenjak peristiwa di kelab tempoh hari, hatinya sudah tawar untuk Sharifah Akyra. Dia benci dengan perangai gadis itu yang agak liar. Dia pun tak tahu kenapa perasaan itu mula berubah atau ada perasaan baru mula menjengah jendela hatinya?
“Ikut suka youlah, selama ni pun belakang I you keluar dengan lelaki lain juga. Tak ada beza pun sekarang ni. Okey, bye!” jawab Syed Aryan lalu mematikan talian. Satu keluhan berat dilepaskan.
Wafiya berpaling memandang Syed Aryan. Kelihatan wajah suaminya itu sedikit tegang.
“Tuan okey? Cik Kyra ajak tuan keluar ya?” soal Wafiya lembut.
Dia Cuma takut-takut berani saja nak menegur Syed Aryan. Dengan wajah yang cemberut begitu, dia bimbang akan mengundang amarah lelaki itu.
Hmmm….” Gumam Syed Aryan tanpa jawapan.
“Kalau begitu tuan keluar ajelah dengan Cik Kyra. Nanti Cik Kyra merajuk pula. Tuan boleh turunkan saya kat depan tu, nanti saya balik naik teksi.” Ujar Wafiya perlahan.
Syed Aryan berpaling. Anak mata mereka bersabung pandang buat seketika sebelum Syed Aryan kembali fokus pada jalan raya.
“Tak payah nak mengada. Aku yang ajak kau keluar. Tak ada kena mengena dengan Kyra. Kau tahu tak, aku rimas dengan perangai perempuan macam tu. Semua benda yang aku buat kena bagitahu dia. Semua cakap dia aku nak kena ikut. Dia ingat aku tak ada privacy ke? Bukan dia tak tahu sejak papa meninggal semua urusan aku nak kena settle. Takkan benda remeh-temeh macam tu pun aku nak kena handle juga. Serabut betul!” bebel Syed Aryan meluahkan rasa yang terbuku di hati tentang sikap Sharifah Akyra.
“Tapi Cik Kyra kekasih tuan. Kalau tuan berkasar macam ni, tentu dia terluka.” Balas Wafiya lagi.
“Baru kekasih bukannya isteri aku pun. Aku tak ada apa-apa tanggungjawab pun pada dia. Belum tentu lagi aku akan kahwin dengan dia.” Ujar Syed Aryan yakin.
Wafiya terdiam. Kalau begitu kenapa tuan masih berhubungan dengan Cik Kyra? Soalan itu hanya terpacul di dalam hatinya saja.
“Saya minta maaf kalau kehadiran saya menganggu hubungan tuan dan Cik Kyra…” ucap Wafiya tiba-tiba.
Dahi Syed Aryan berkerut. Dia melihat wajah Wafiya sudah keruh. Gadis itu hanya menundukkan kepala dan bermain dengan jemarinya sendiri. Lantas, Syed Aryan menyentuh lembut jari-jemari runcing itu sebelum digenggam kemas.
Wafiya tersentak. Dia memandang Syed Aryan, mengharapkan pengertian daripada lelaki itu.
“Aku tak nak bincang pasal lagi. Bukan salah kau seratus peratus cuma perasaan aku yang dah berubah…” ujar Syed Aryan. Suaranya bertukar perlahan.
Wafiya tersenyum hambar. Perlahan-lahan, dia menarik tangannya dari genggaman Syed Aryan.
“Saya tak nak dengan kehadiran saya membuatkan hubungan tuan dan Cik Kyra ada masalah. Mungkin silap saya kerana hadir dalam keluarga tuan, tapi saya tak berdaya untuk menolak takdir. Saya pun tak sangka semua ini akan berlaku. Bila tiba masanya nanti, saya akan pergi. Itu janji saya.” Ucap Wafiya dengan suara yang lirih.
Syed Aryan menghela nafas panjang. Rumit. Keadaan dirinya menjadi tambah rumit. Rancangan yang Puan Sri Sharifah Mastura aturkan semakin menghimpit dirinya. Seterusnya mengacau-bilau jiwa lelakinya yang ternyata rapuh.
“Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita disatukan bukan sia-sia. Kau nak pergi dengan begitu mudah? Fiya, kau tak kenal aku lagi. Sekali ia menjadi milik aku, selamanya aku takkan lepaskan. Jangan kau fikir, kau boleh lari dari aku dengan mudah.” Ujar Syed Aryan.
Wafiya terdiam. Dia menelan air liur mendengar kata-kata Syed Aryan yang agak menggerunkan.
Sudahnya, mereka berdua mendiamkan diri sehinggalah mereka sampai di Jalan TAR. Keadaan yang sesak menyukarkan untuk Syed Aryan mencari parking. Setelah beberapa kali berpusing, akhirnya dia memarkirkan kereta agak jauh dari bazar.
“Kita nak buat apa dekat sini, tuan?” soal Wafiya lagi.
Syed Aryan berpaling ke sisi. Tangan Wafiya ditarik selamba. Jari-jemari milik isterinya digenggam erat sebelum dipimpin menuju ke gerai yang menjual pelbagai jenis pakaian khas untuk hari raya.
Walaupun agak pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh Syed Aryan namun Wafiya tidak membantah. Bagi Wafiya mungkin Syed Aryan takut di tersesat di celah keramaian orang.
“Kau belum beli baju raya lagi kan?” soal Syed Aryan rapat di telinga Wafiya. Dia terpaksa berbuat demikian kerana bunyi bising menganggu perbualannya dengan Wafiya.
“Belum lagi. Tak sempat nak beli. Ingatkan nak ajak Haq temankan bila dapat gaji nanti.” Ujar Wafiya jujur.
Senyuman Syed Aryan mati apabila Wafiya menyebut nama Haq. Dia mengetap bibir menahan rasa di hati.
“Haq tu suami kau ke? Sampai semua benda kau nak buat, kau tunggu dia…” sinis Syed Aryan. Geram. Aku kat depan mata bukannya nak pandang. Entah apa yang hebatnya si Haq itu pun aku tak tahu. Bebel hati Syed Aryan. Lantas, dia meleraikan genggaman tangannya. Tanpa menunggu Wafiya, dia menonong meninggalkan Wafiya keseorangan di belakang.
Wafiya menepuk dahi. Alamak, aku tersalah cakaplah pula. Dahlah mamat ni tak suka aku sebut nama lelaki lain. Apa aku nak buat ni? Bisik hati Wafiya lalu menggigit jari.
Lalu, langkahnya dihayunkan ke arah Syed Aryan yang menghampiri gerai songkok. Wajah lelaki itu masam mencuka. Merajuklah tu.
“Tuan, saya mintak maaf…” ucap Wafiya dari arah belakang.
Syed Aryan pura-pura tidak mendengar. Dia leka membelek-belek songkok yang dipamerkan. Walau ternyata songkok itu langsung tidak menarik perhatianya.
“Tuan merajuk ke? Tapi saya tak pandai nak pujuk. Biasanya kalau saya merajuk, arwah ibu yang pujuk…” ucap Wafiya lagi berterus-terang.
Sebaik saja mendengar kata-kata Wafiya, spontan bibir Syed Aryan mengukir senyuman nipis. Sejuk terus hatinya mendengar suara gemersik milik Wafiya. Tetapi dia ingin melihat sejauh mana Wafiya berusaha untuk melayan kerenahnya.
“Buat apa nak pujuk aku, kau bukannya pedulikan aku pun…” balas Syed Aryan lagaknya seperti budak-budak yang inginkan perhatian.
Wafiya mengetap bibir. Buruk betul kalau orang tua merajuk.
“Ehh, saya peduli. Kalau saya tak peduli, siapa nak bayarkan baju raya saya nanti.” Ujar Wafiya bergurau. Dia tersenyum manis sambil menentang wajah Syed Aryan.
Tidak dapat tidak, akhirnya Syed Aryan turut tertawa kecil. Mudah saja dia terpujuk dengan sikap Wafiya yang manis. Senyuman gadis itu seolah-olah mampu menyejukkan hatinya yang panas. Redup mata Wafiya mencairkan ego yang cuba dipertahankan oleh Syed Aryan. Tuhan, siapa gadis ini sebenarnya? Kenapa aku begitu lemah jika berhadapan dengannya?
“Kau ingat aku bank ke?” soal Syed Aryan sambil menarik lembut hidung Wafiya. Tanpa menunggu balasan daripada Wafiya, dia menarik lengan isterinya untuk memilih pakaian.
Wafiya hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat Syed Aryan. Naik lenguh kakinya mengikut langkah Syed Aryan. Ada saja yang dibeli oleh lelaki itu untuk dirinya. Apabila ditegah, Syed Aryan hanya menayang muka selamba. Katanya, raya setahun sekali. Sudahnya, Wafiya hanya mendiamkan diri.
Sesudah selesai membeli pakaian untuk hari raya, Syed Aryan membawa Wafiya singgah di Hotel Armada Bermuda untuk berbuka puasa. Hari semakin lewat jadi agak sukar untuk mereka pulang ke rumah dengan keadaan trafik yang makin sesak.
“Tuan, saya seganlah masuk hotel pakai baju macam ni. Kita balik ya?” pinta Wafiya merendah diri. Dia menarik lengan Syed Aryan yang sudah membuka langkah menuju ke pintu masuk Hotel Armada Bermuda
Syed Aryan berpaling.
“Nak segan buat apa? Bukannya kau tak pakai baju. Dah, jangan nak banyak songeh. Kita dah lambat ni.” Jawab Syed Aryan kemudian memeluk bahu Wafiya dengan selamba.
“Tapii…”
“Tak payah nak tapi sangatlah. Atau kau nak aku dukung?” usik Syed Aryan.
Dengan pantas Wafiya menggelengkan kepala.
“Kalau tak nak, jommm…” ajak Syed Aryan kemudian menarik tangan Wafiya dengan lembut.
Dengan berat hati, Wafiya terpaksa menurut. Sewaktu melangkah masuk ke dalam Hotel Armada Bermuda, tidak berkelip Wafiya melihat ruang hotel yang agak besar dan mewah. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke tempat semewah ini. Tiba-tiba dia jadi segan. Segan dengan penampilannya yang biasa sedangkan rata-rata pengunjung di hotel ini memakai pakaian yang cantik-cantik. Pasti Tuan Ary malu dengan aku. Detik hatinya.
“Kalau kau nak tahu makanan kat sini semua sedap-sedap. Rugi kalau kau tak merasa…” ujar Syed Aryan. Kata-katanya terhenti apabila menyedari Wafiya tiada di sampingnya. Dia berpaling ke belakang. Kelihatan Wafiya berjalan agak jauh darinya.
“Laaa…kenapa jalan jauh sangat tu?” tegur Syed Aryan lalu mendapatkan Wafiya.
“Errr…saya malu. Ramai yang pandang saya semacam aje. Saya takut tuan malu kalau saya jalan sebelah tuan.” Ujar Wafiya terus-terang.
Syed Aryan melepaskan keluhan kecil. Simpatinya tertumpah pada gadis malang ini. Bukan salah Wafiya kalau dia menjadi seorang yang merendah diri tetapi disebabkan kesusahan hidup mengajar Wafiya menjadi seorang yang sederhana.
“Kalau aku malu, aku takkan bawak kau ke tempat ni. Buat apa kau pedulikan pandangan orang lain terhadap kau sedangkan kau dah jadi diri kau sendiri. Kau tahu tak, aku tak suka perempuan yang plastik, jadi kau selamat.” Jawab Syed Aryan dengan senyuman.
Dengan selamba, Syed Aryan berdiri di sebelah Wafiya. Cermin mata hitam yang dipakai ditanggalkan lalu diselitkan di poket baju. Lalu tanpa amaran, dia memeluk pinggang Wafiya lalu menarik gadis itu menuju ke meja yang sudah ditempah untuk mereka berdua.
Wafiya tersentak. Terkebil-kebil dia memandang wajah Syed Aryan. Lelaki itu memang suka menghuru-harakan hatinya. Mereka berdua melabuhkan duduk di meja yang telah ditempah oleh Syed Aryan. Mulanya Syed Aryan duduk bertentangan dengan Wafiya tapi akhirnya dia bangun dan melabuhkan punggung di sebelah Wafiya.
Berkerut dahi Wafiya melihat perlakuan Syed Aryan. Belum pernah lagi Syed Aryan menjadi semesra begini.
“Selalunya kalau raya, kau masak apa dekat kampung?” soal Syed Aryan sekadar untuk menghidupkan suasana sementara menunggu waktu berbuka puasa.
“Tak ada masak yang istimewa pun cuma ibu mesti masakkan rendang ayam kampung untuk saya. Kadang-kadang kami pergi kacau dodol dekat rumah jiran sebelah.” Cerita Wafiya ceria.
Syed Aryan menumpukan sepenuh perhatian pada Wafiya. Dia suka melihat wajah itu apabila tersenyum. Sejuk hatinya.
“Mesti seronok raya dekat kampung. Aku ni tak pernah pun merasa raya yang sebenar-benarnya. Tiap-tiap mesti beraya dekat KL. Ikut mama pergi rumah terbuka. Bosan.” Ujar Syed Aryan seakan mengeluh.
Wafiya tersenyum manis. Wajah Syed Aryan ditatap berani. Hatinya bergetar saat anak mata mereka bertentangan lantas, Wafiya mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Tapi tuan ada segalanya. Apa yang tuan nak mesti tuan akan dapat tak macam saya, untuk dapat baju baru untuk raya pun ibu terpaksa bersengkang mata buat kuih semata-mata nak kumpul duit. Kadang-kadang kami tak ada satu pun pakaian baru. Tapi saya tak pernah menyesal lahir dalam keluarga yang miskin sebab bagi saya kemiskinan tu mengajar erti kehidupan yang sebenar.” Ucap Wafiya dengan senyuman hambar terukir di bibirnya.
Perit apabila mengenang kisah dahulu. Tetapi keperitan itu mampu ditanggungnya kerana ibunya masih di sisi berbeza dengan keadaan sekarang. Dia terkontang-kanting menghadapi kehidupan yang penuh kekejaman.
Sayu perasaan Syed Aryan mendengar kata-kata Wafiya. Ternyata dia belum mengenali Wafiya dengan sepenuhnya lagi. Terbit rasa simpati dalam dirinya pada nasib gadis itu. Lantas, jari-jemari Wafiya yang berada di atas meja disentuh dan dielus dengan lembut.
“Ehem…assalamualaikum. Syed Aryan kan?” sapa satu suara mengejutkan Wafiya dan Syed Aryan. Dengan pantas Wafiya menarik tangannya dari genggaman Syed Aryan.
Syed Aryan berpaling. Kelihatan seorang lelaki yang segak memakai kemeja berwarna hitam sedang berdiri di hadapannya. Di sebelah lelaki itu kelihatan seorang gadis yang bertudung sedang tersenyum mesra. Lama Syed Aryan mengingati wajah itu sebelum dia tersenyum lebar.
“Ryan Zhariff kan? Ya Allah, lama betul tak jumpa kau, bro. Kau apa khabar?” soal Syed Aryan lalu bangun dan memeluk tubuh Ryan Zhariff.
Ryan ketawa kecil. Dia meleraikan pelukan dan memandang Syed Aryan dari atas hingga bawah.
“Aku Alhamdulillah sihat. Makin handsome aku tengok kau ni. Takziah atas pemergiaan papa kau. Aku tak sempat nak melawat. Tahu berita ni pun daripada Khairul.” Ucap Ryan dengan wajah yang sayu.
Syed Aryan hanya menganggukkan kepala dan tersenyum nipis.
Not a big deal, Ryan. Yang pergi pasti akan pergi. Aku dah boleh terima hakikat tu. Kau dengan Balqis macam mana? Dah berapa orang baby?” Syed Aryan mengalih topik perbualan.
Dia tersenyum dan mengangkat tangannya pada Balqis yang berada di belakang Ryan.
“Aku okey aje. Setakat ni masih belum ada rezeki untuk dapat baby. Tapi insya-Allah, Allah lebih tahu mana yang terbaik untuk hamba-Nya kan?” tambah Ryan.
Syed Aryan mengangguk tanda mengiyakan kata-kata Ryan.
“Kau dengan Kyra bila nak kahwin? Atau dah jumpa pengganti?” usik Ryan sambil memuncungkan bibirnya pada Wafiya yang mendiamkan diri.
Syed Aryan tersengih. Dia tiada jawapan untuk itu.
“Insya-Allah kalau jodoh tak ke mana.” Jawab Syed Aryan. Itulah jawapan yang dirasakan paling selamat untuk masa ini.
Ryan ketawa kecil sambil menepuk bahu Syed Aryan.
“Memang jodoh tu tak ke mana, tapi kalau dibiarkan macam tu aje, pasti jodoh tu akan lari. Kalau nak pilih jodoh, jangan pilih yang hanya boleh jadi teman wanita je tapi pilihlah yang mampu jadi isteri, ibu dan kawan kita sekali.” Balas Ryan sambil mengenyitkan matanya pada Syed Aryan.
“Amboi, abang ni. Kalau nasihatkan orang nombor satu. Dahlah, jom balik. Kita ni dah menganggu orang nak makan pula.” Sampuk Balqis sambil memeluk lengan Ryan.
Ryan tersengih. Bila Balqis sudah berbunyi bermakna dia perlu hentikan perbualannya kalau tidak pasti panjang bebelan isteri kesayangannya itu.
“Yelah, yelah. Ary, aku balik dululah. Bila ada masa jemputlah singgah dekat office aku. Bukan jauh pun belakang bangunan hotel ni je.”
“Insya-Allah, nanti aku singgah.” Jawab Syed Aryan kemudian dia kembali duduk setelah kelibat Ryan menghilang daripada pandangan.
“Itu kawan tuan ke?” soal Wafiya memecah kesunyian.
Syed Aryan menganggukkan kepala.
“Yup, kawan aku masa dekat overseas dulu. Hotel ni dia yang punya tapi baru hari ni aku berkesempatan nak jumpa dengan dia. Sebelah dia tu, isteri dia merangkap kawan baik dia dari sekolah.” Cerita Syed Aryan.
“Ohh…handsome orangnya…” terpacul perkataan itu dari mulut Wafiya tanpa sedar.
Syed Aryan tersentak. Dia berpaling pada Wafiya dengan wajah yang tegang. Hatinya tiba-tiba sakit mendengar pujian itu.
“Kau cakap apa? Cuba ulang balik.” Pinta Syed Aryan dengan wajah yang serius.
Wafiya mengetap bibir. Dia menepuk mulutnya yang tersasul.
“Kenapa diam? Lepas ni pujilah semua lelaki depan aku. Memang aku suka dengar!” perli Syed Aryan lalu tunduk mengadap makanan yang telah terhidang.
“Tuan saya tak bermaksud…” kata-kata Wafiya mati di situ apabila Syed Aryan hanya mendiamkan diri. Sedikit pun tidak berpaling pada Wafiya.
Wafiya menggigit bibir. Syed Aryan merajuk lagi. Aduh, susah betul kalau dapat suami kuat cemburu ni. Tapi cemburukah Syed Aryan padanya? Bukankah cemburu itu tandanya sayang? Jadi Syed Aryan menyayangi dirinya?
Pelbagai soalan menghantui fikiran Wafiya. Untuk bertanya dia tidak mampu akhirnya dia turut mendiamkan diri. Mereka menjamu selera dalam keadaan yang sunyi sepi.

WAFIYA menggarukan kepalanya yang tidak gatal apabila melihat perubahan Syed Aryan yang tiba-tiba. Tiada lagi gurau senda lelaki itu malah Syed Aryan hanya mendiamkan diri apabila dia mengajukan soalan. Wafiya cuba untuk menghidupkan suasana tetapi lelaki itu seperti beku tidak beriak sehinggalah mereka berdua sampai di Bayu Mahligai.
“Tuan saya minta maaf…” pohon Wafiya saat Syed Aryan mengeluarkan barang-barang yang berada di boot belakang.
Tetapi malangnya tiada jawapan daripada Syed Aryan. Lelaki itu terus masuk ke dalam rumah tanpa berpaling ataupun menjawab soalan Wafiya. Wafiya meraup wajahnya. Dia gelisah dengan sikap Syed Aryan yang baru ini.
“Fiya, kenapa dengan Ary tu? Mak Milah tengok monyok je. Mak Milah tanya pun dia tak jawab.” Tegur Mak Milah sewaktu Wafiya menutup daun pintu utama.
Wafiya mengetap bibir. Dia juga tiada jawapan untuk soalan Mak Milah.
“Fiya pun tak tahu, Mak Milah. Masa nak berbuka tadi Tuan Ary terus tak nak bercakap dengan Fiya. Fiya tak tahu apa salah Fiya.” Adu Wafiya. Hampir saja air matanya ingin menitis dengan layanan Syed Aryan yang dingin.
Mak Milah mengurut dagunya. Seolah-olah sedang terfikirkan sesuatu.
“Kamu ada sakitkan hati dia tak?” soal Mak Milah lagi.
Wafiya terdiam sejenak.
“Rasanya tak ada Mak Milah cuma sewaktu nak berbuka tadi, kawan Tuan Ary ada datang tegur Tuan Ary. Fiya pujilah kawan Tuan Ary tu handsome, terus dia tak nak bercakap dengan Fiya. Itu yang Fiya pelik.” Cerita Wafiya dengan bersungguh-sungguh.
Mak Milah mengulum senyum kemudian ketawa lepas.
“Sebab Fiya puji kawan Ary, terus Ary tak tegur kamu? Kamu nak tahu tak kenapa dia jadi macam tu?” soal Mak Milah lagi dengan tawa yang masih bersisa.
“Kenapa Mak Milah?” soal Wafiya ingin tahu.
“Itulah namanya cemburu Fiya oiii! Ary merajuk sebab kamu puji lelaki lain depan dia sedangkan dia tu suami kamu. Suami mana tak cemburu kalau isteri dia beri perhatian pada lelaki lain, Fiya.” Jawab Mak Milah.
Wafiya tersentak. Dia menggelengkan kepala dengan pantas.
“Cemburu? Mengarutlah Mak Milah. Tuan Ary bukan ada apa-apa perasaan pun pada Fiya. Mungkin dia takut saya bocorkan perkahwinan kami pada kawan-kawan dia.” Ujar Wafiya walaupun dia tahu alasan itu tidak logik.
Mak Milah tersenyum. Dia memeluk lengan Wafiya dengan mesra.
“Mak Milah tahu perkahwinan kamu dengan Ary tak seperti perkahwinan orang lain tapi apabila akad dan menghalalkan segalanya, tak mustahil perasaan benci itu boleh berubah. Mak Milah yakin, Ary dah boleh terima Fiya Cuma dia ego untuk mengakuinya disebabkan tohmahan Puan Sri pada kamu. Tapi Mak Milah dapat lihat dalam matanya dia hanya mahukan kamu. Sebab itulah dia cemburu. Dia nak kamu hanya bagi perhatian pada dia dan bukannya orang lain.” Ucap Mak Milah dengan perlahan. Dia harap Wafiya akan mengerti bahasa cinta yang cuba ditunjukkan oleh Syed Aryan.
Wafiya terkelu. Tetapi hatinya masih tidak dapat menerima apa yang Mak Milah katakan. Mustahil seorang lelaki yang hebat seperti Syed Aryan boleh jatuh hati padanya. Dia yakin itu bukan jatuh hati tapi simpati. Hakikatnya, hanya perpisahan yang berakhir untuk hubungan dia dan Syed Aryan.
“Fiya pergilah pujuk Ary. Nanti makin teruk rajuk dia tu. Mesti dia tengah tunggu Fiya pujuk dia.” Sambung Mak Milah mematikan lamunan Wafiya.
Wafiya melepaskan keluhan. Dia mendongak memandang tingkat atas. Perlu ke aku pujuk dia?

PINTU bilik tidur Syed Aryan diketuk berkali-kali oleh Wafiya. Tetapi masih tiada jawapan dari dalam bilik. Wafiya resah. Dia meraup wajahnya yang terasa lesu. Entah mengapa perasaan bersalah menyerang dirinya apabila Syed Aryan melancarkan perang dingin dengannya.
“Perlu ke aku pujuk dia? Perkara kecil je kot. Takkan itu pun nak merajuk.” Bebel Wafiya bersendirian. Lalu, dia berura-ura untuk meninggalkan bilik Syed Aryan namun langkah kakinya terhenti dengan sendiri.
“Kalau aku tak pujuk, nanti dia heret aku jumpa John. Mati aku.” Ucapnya lagi.
Wafiya mengetap bibir. Tidak dapat tidak, akhirnya dia memulas tombol pintu bilik Syed Aryan. Kakinya menapak ke dalam bilik yang sunyi-sepi. Anak matanya melingas mencari kelibat Syed Aryan yang tidak kelihatan di atas katil. Pandangannya terpaku pada satu susuk tubuh sedang berdiri di balkoni. Kelihatan lelaki itu sedang termenung sambil memandang langit yang kelam. Pantas saja Wafiya menghayunkan kaki ke arah Syed Aryan.
Dia berdiri di muka pintu balkoni. Berpeluh dahinya cuba merangka ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada Syed Aryan.
“Tuan Ary….” Panggil Wafiya lembut.
Syed Aryan berpaling ke sisi. Sedikit pun dia tidak menoleh pada Wafiya yang berada di belakangnya. Sakit hatinya masih terasa. Cemburunya masih bersisa.
“Kau nak apa?” soal Syed Aryan serius.
“Saya nak mintak maaf kalau saya ada sakitkan hati tuan. Saya tak sengaja.” Ucap Wafiya bersama jantung yang berdetak tak menentu. Dia bimbang Syed Aryan akan mengamuk. Lelaki itu bukan boleh dikira sangat barannya itu.
“Itu aje yang kau nak cakap?” soal Syed Aryan lagi.
Wafiya menganggukkan kepala.
“Tu ajelah…” jawabnya pendek.
“Sekarang kau boleh keluar. Aku nak tidur!” ujar Syed Aryan tanpa mengulas kata-kata Wafiya tadi.
Dia berlalu meninggalkan Wafiya yang terkontang-kanting di muka pintu. Dia terus menuju ke katil dan merebahkan badannya di atas tilam tanpa mempedulikan pandangan Wafiya padanya. Selimut ditarik sehingga ke dada dan matanya terus dipejamkan.
Wafiya mengetap bibir. Teruk betul merajuk mamat ni. Kalahkan perempuan saja lagaknya. Detik hati Wafiya. Dia terus menuju ke arah Syed Aryan. Dia berdiri di tepi katil lelaki itu. Selagi dia tidak dapat kata maaf dari Syed Aryan selagi itulah dia akan terus berada di dalam bilik itu.
“Tuan dah maafkan saya belum?” soal Wafiya.
Tiada jawapan dari Syed Aryan sebaliknya lelaki itu berpaling membelakangi Wafiya.
Wafiya menundukkan wajah. Reaksi Syed Aryan membuatkan dia berkecil hati.
“Saya tak tahu apa salah saya pada tuan sampai tuan layan saya macam ni. Takkan disebabkan saya puji kawan tuan tadi, tuan terus dingin dengan saya. Saya tak sengaja…” sayu saja suara Wafiya kedengaran.
Hati Syed Aryan berbahang panas apabila Wafiya mengungkit soal itu. Lantas, selimut ditolak. Dia bangun dan duduk memandang wajah Wafiya dengan tajam.
“Berapa kali aku nak ingatkan yang aku tak suka kau sebut pasal lelaki lain depan aku? Tak kira kawan aku ataupun bukan. Kalau aku cakap tak suka, maknanya aku tak suka. Takkan itu pun kau tak faham? Susah sangat ke nak buat apa yang aku suruh?” bertalu-talu soalan muntah dari mulut Syed Aryan.
Wafiya terkedu seketika. Dia menundukkan wajahnya. Rasa ingin menangis pun ada apabila dibentak begitu.
“Pujian saya tu tak bermaksud pun nak menyinggung perasaan tuan. Itu cuma pujian yang tak bermaksud apa-apa…”
“Arghh! Ni bukan kali pertama kau ulang benda yang sama. Dulu Haq, Muzamil, semua lelaki baik di mata kau kecuali aku, kan? Yelah, dia orang semua lelaki baik-baik. Tak macam aku, jahat!” hambur Syed Aryan tiba-tiba memintas percakapan Wafiya. Naik turun dadanya menahan rasa amarah. Syed Aryan pun bingung, kenapa perlu dia marah sedangkan hal itu cuma hal kecil saja.
Terhinjut bahu Wafiya mendengar kata-kata Syed Aryan. Tanpa sedar, ada mutiara jernih mengalir di pipinya. Pantas Wafiya seka dengan jemarinya yang runcing.
“Saya tak tahu macam mana nak terangkan pada tuan lagi yang saya tak bermaksud apa-apa. Sejak kecil saya jarang berkawan dengan lelaki sampailah besar. Kawan lelaki saya memang tak ramai. Saya kenal Haq dan Muzamil pun sebab kerja dekat rumah ni sehinggalah kita bernikah. Saya tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki pun sebelum ni. Saya fobia. Takkan disebabkan saya berkawan dengan Haq dan Muzamil, tuan nak marah sedangkan mereka berdua aje kawan yang saya ada.” Ucap Wafiya dengan sendu yang mula kedengaran.
Syed Aryan terdiam. Air mata Wafiya melemahkan dirinya. Tersentuh hatinya melihat anak mata bundar itu menitiskan air mata. Come on, Ary. Takkan benda kecil macam tu pun kau nak besar-besarkan. Detik hatinya.
“Kenapa kau tak nak berkawan dengan aku je?” soal Syed Aryan dengan suara yang kembali mengendur. Wajah keruh Wafiya mematikan rasa amarahnya.
“Tuan tak sama dengan orang lain.” Jawab Wafiya.
“Apa yang tak sama?”
“Tuan majikan saya.”
“Hanya majikan?” soal Syed Aryan sambil menjengilkan mata.
“Errr…tuan suami saya…” jawab Wafiya tergagap-gagap.
Syed Aryan tersenyum mendengar jawapan Wafiya. Dia meraup wajahnya. Cepat betul hatinya cair apabila berhadapan dengan Wafiya. Terbang semua rasa sakit hati dan cemburu yang bersarang dalam hatinya tadi. Melihat ketenangan wajah itu membuatkan Syed Aryan tidak mampu untuk mengumpul amarah dengan lebih lama apatah lagi saat air mata gadis itu menitis. Hati Syed Aryan bagaikan tersiat. Dia tewas sepenuhnya di tangan Wafiya!
“Jadi tuan maafkan saya?” soalan Wafiya memecah lamunan Syed Aryan.
Syed Aryan menentang pandangan Wafiya. Dia tersenyum penuh makna.
“Ada kau dengar aku cakap aku maafkan kau?” soalan dibalas soalan.
Wafiya menggelengkan kepala.
“Tahu pun. Aku nak tidur. Jadi kau tunggulah sampai esok. Mana tahu kalau-kalau aku dapat ilham dalam mimpi untuk maafkan kau.” Jawab Syed Aryan selamba.
Dia kembali merebahkan kepalanya di atas bantal. Jasad Wafiya yang berdiri di sisi katil tidak diendahkan.
“Tapi saya pun nak tidur jugak. Esok nak bangun masak untuk sahur.” Balas Wafiya tidak berpuas hati.
“Bukan urusan aku.” Ucap Syed Aryan selamba.
Wafiya mengetap bibir. Geram dengan perangai Syed Aryan yang suka mengenakannya.
“Kalau macam tu, saya keluar dululah. Buat apa menunggu sesuatu yang tak pasti. Buat sakit hati je.” Ujar Wafiya. Dia berura-ura untuk berpaling.
Sebaik saja mendengar kata-kata Wafiya, mata Syed Aryan yang terpejam terus terbuka. Dia melihat Wafiya mula mengorak langkah lalu Syed Aryan menyelak selimut. Pergelangan tangan Wafiya disambar dan tubuh gadis itu ditarik hingga isterinya itu jatuh di atas tilam.
Wafiya terjerit kecil dengan tindakan drastik Syed Aryan.
“Apa tuan ni?!” jerit Wafiya kalut.
Syed Aryan tersengih. Pinggang Wafiya dirangkul kemas.
“Syyhhh…kau cakap nak tidur kan? Tidurlah. Aku pun nak tidur jugak.” Balas Syed Aryan.
“Memang saya nak tidur tapi bukan dalam bilik ni. Saya nak tidur dalam bilik saya. Lepaskan saya!” tegas Wafiya cuba melepaskan diri dari rangkulan Syed Aryan.
“No! Kau kena tidur dekat sini hari ni. Jangan risau, sekarang bulan puasa, aku takkan apa-apakan kau. Lagipun aku penat ni. Aku letih. Tak larat nak berjaga malam-malam.” Ujar Syed Aryan sambil tersenyum nakal.
Wafiya terasa mahu pitam mendengar jawapan Syed Aryan. Rasa ingin diketuk kepala Syed Aryan saat ini.
“Tapi saya tak nak! Lepaskan saya. Rimaslah!” marah Wafiya sambil cuba meleraikan pelukan Syed Aryan yang kejap.
“Dah, kau tak payah bising-bising. Aku takkan lepaskan kau. Aku nak tidur ni. Kau pun tidurlah.” Pujuk Syed Aryan.
Dia memeluk kemas pinggang isterinya yang meronta-ronta. Wajahnya disembamkan ke rambut Wafiya yang masih beralas dengan tudung sedangkan tangannya kejap melingkari tubuh Wafiya.
Wafiya bengang. Beberapa kali dia cuba melepaskan diri tapi gagal. Rontaannya juga semakin lemah apabila terdengar dengkuran halus dari arah belakangnya. Wafiya berpaling sejenak. Bulat matanya apabila melihat Syed Aryan yang sudah terlena. Senangnya dia tidur. Getus hati Wafiya.
Wafiya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tangan Syed Aryan begitu kemas mengekang pergerakannya. Dia cuba menolak tangan Syed Aryan namun semakin banyak dia bergerak, semakin kuat rangkulan lelaki itu.
Akhirnya, Wafiya melepaskan keluhan. Dia mengalah. Tidak guna dia berusaha untuk melepaskan diri sedangkan dirinya sudah dikunci oleh Syed Aryan. Matanya semakin memberat dan perlahan-lahan terkatup dengan sendirinya. Buat pertama kali dia terlena dalam pelukan Syed Aryan.

BUNYI tangisan mengejutkan Wafiya dari lamunan panjangnya. Dia menoleh ke sisi, Syed Aryan sudah tiada di sisinya. Kemudian, Wafiya berpaling ke belakang. Kelihatan suaminya itu sedang mengendong Syed Ariff yang terjaga dengan sendirinya. Wafiya tersenyum manis. Lalu dia turut bangun dan mendapatkan Syed Aryan.
“Ariff terjaga, bang? Mungkin panas kot.” Ujar Wafiya lalu berdiri di sebelah Syed Aryan. Pipi anak kesayangannya dielus lembut.
Syed Aryan tersenyum kecil. Sesekali dia mengagah anak kecilnya itu. Kelihatan Syed Ariff tersenyum.
“Taklah. Abang rasa sebab kita tak ada dekat sebelah dia. Itu yang menangis. Cuba tengok adik kembarnya yang lain nyenyak betul tidur.” Ujar Syed Aryan sambil memuncungkan bibirnya pada Syed Arrayyan, Syed Arman dan Syed Amsyar yang sedang tidur lena tanpa sedikit pun merasa terganggu.
Syed Aryan membawa Syed Ariff yang berada di dalam dukungan dan menuju ke muka pintu. Dia melabuhkan punggung di situ sebelum diikuti oleh Wafiya. Berkali-kali dia mengucup dahi anak kesayangannya itu. Syahdu hati Syed Aryan apabila akhirnya dia dapat menatap zuriat penyambung keturunannya.
“Kenapa abang macam sedih je ni? Esok kita nak raya janganlah sedih sangat. Atau abang menyesal kahwin dengan Fiya?” soal Wafiya perlahan.
Syed Aryan berpaling. Dengan pantas dia menggelengkan kepala.
“Demi Allah abang tak pernah menyesal kahwin dengan Fiya. Memang pada mulanya abang tak dapat terima hakikat tapi lama-kelamaan, abang boleh terima Fiya ditakdirkan jadi isteri abang. Abang akan lebih menyesal kalau mensia-siakan Fiya mcam tu aje. Abang Cuma terharu bila tengok anak-anak abang yang Fiya lahirkan. Semuanya sihat-sihat dan comel. Abang pernah impikan untuk ada keluarga yang ramai dan ternyata Allah dah makbulkan impian abang dengan menyatukan kita berdua.” Ucap Syed Aryan sambil tersenyum manis.
Wafiya terharu. Terus saja dia melentokkan kepalanya di bahu Syed Aryan. Bunyi takbir raya meruntun hatinya. Perlahan-lahan, Wafiya memejamkan mata. Nafas ditarik sebelum dihela dengan perlahan. Tenang. Itulah dirasakan saat ini.
“Terima kasih abang sebab masih bertahan di sisi Fiya. Walaupun kehidupan hari ni tak sama dengan kehidupan abang sebelum ini, Fiya harap abang jangan tinggalkan Fiya. Fiya sayangkan abang umpama Fiya sayangkan nyawa Fiya.” Balas Wafiya.
Syed Aryan mengucup ubun-ubun isterinya dengan penuh syahdu.
“Hari ini hari terakhir di bulan Ramadan, bulan ini jugalah yang menyedarkan abang tentang perasaan abang pada Fiya dahulu. Abang nak Fiya tahu dan Fiya pegang kata-kata abang, walaupun abang tak sekaya dulu tapi itu langsung tak bagi kudis pun pada abang sebab abang ada harta yang sangat berharga, yang tak mampu digantikan dengan wang ringgit. Fiya dah lahirkan anak-anak yang comel untuk abang, itu adalah harta yang amat bermakna untuk abang. Anak-anak yang tak mampu abang beli jika abang seorang jutawan sekalipun. Terima kasih sayang untuk semuanya.” Bisik Syed Aryan dengan romantis. Satu kucupan hinggap di pipi Wafiya.
Wafiya sudah pun menitiskan air mata. Semakin erat pelukannya di lengan Syed Aryan. Kasih sayangnya makin menggebu buat suaminya itu.
“Abang buat Fiya sedih malam-malam raya ni. Tak suka tau. Nanti nak pergi beraya rumah orang, mata pula bengkak.” Rengek Wafiya sambil menyeka air matanya.
Syed Aryan ketawa. Dia cuba mengawal suaranya agar tidak menganggu Syed Ariff yang kembali menyambung tidur.
“Mata bengkak ya? Mari sini abang ubatkan…” ujar Syed Aryan.
Perlahan-lahan, dia mengucup kedua belah mata Wafiya dengan agak lama. Seakan mengalir rasa cinta yang tidak berbelah bahagi untuk isterinya yang satu itu.
“Selamat hari raya, sayang. Terima kasih kerana hadir dalam hidup abang dan menjadi cahaya dalam hati abang.” Ucap Syed Aryan penuh perasaan.
Wafiya tersenyum bahagia. Dia membalas pandangan Syed Aryan dengan penuh rasa cinta. Tangan Syed Aryan dicapai lalu dikucup lembut.
“Selamat hari raya juga untuk abang. Maafkan jika kekurangan Fiya menyakiti hati abang. Fiya bertuah sebab Allah kurniakan seorang lelaki yang sentiasa ada untuk melindungi Fiya dan membela nasib Fiya malah abang sentiasa setia di sisi Fiya saat Fiya susah.” Balas Wafiya dengan rasa sebak semakin kuat mencengkam jiwa.
Betapa dia bersyukur dikurniakan seorang suami seperti Syed Aryan yang sanggup menggadaikan harta demi memperjuangkan cinta mereka. Cinta itu suci. Sesuci bulan Ramadan yang mulia.
Syed Aryan hanya mengerdipkan matanya. Sebelah tangannya memeluk erat bahu isteri tercinta. Anak matanya dibiarkan terarah pada langit yang kelihatan bercahaya walaupun tiada bulan ataupun bintang yang menemani. Malam Syawal yang cukup indah membawa pergi kemuliaan Ramadan. Dia bersyukur kerana masih dipanjangkan umur untuk berkongsi kegembiraan Syawal bersama Wafiya dan anak-anak kembarnya.