Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 10 ) ***LAST ENTRY***

SUFI dibawa ke sebuah pondok yang terletak berhampiran dengan kebun sayur-sayuran yang cukup luas. Ternganga sedikit mulut Sufi apabila melihat kebun sayur milik Hail yang  luas terbentang. Kelihatan pelbagai jenis pokok sayur-sayuran yang ditanam seperti pokok kacang botol, kacang panjang, pokok cili dan bersebelahan dengan kebun sayur terdapat kebun pisang sama luas dengan kebun sayur-sayuran.
Gulp!
Air liur ditelan. Aku nak kena kerja di sini ke? Luas sungguh tempat ni. Detik hati kecil Sufi. Dia kecut perut.
“Besarnya kebun…” ucap Sufi tanpa sedar.
“Ini baru separuh yang awak nampak. Ini kebun untuk sayur jenis kekacang. Sebelah tu kebun cili. Sebelah sana tu kebun pisang. Daripada kebun-kebun milik Tuan Hail nilah, orang kampung dapat cari rezeki. Nanti saya akan bawa awak ke kandang lembu dan ladang kelapa sawit milik Tuan Hail. Awak akan kerja dari kebun sayur dan kebun buah ni sampailah ke ladang kelapa sawit. Termasuklah jaga lembu-lembu dan bersihkan kandang.” Terang Baim serba sedikit.
Mata Sufi membuntang. Aku kena buat semua kerja tu? Biar betul?
“Saya kena buat semua kerja? Encik ni biar betul? Cukuplah otak majikan encik tu yang senget. Takkan encik pun berjangkit sekali.” Jawab Sufi bagaikan tidak percaya.
“Ini arahan daripada Tuan Hail…”
Sufi mengetap bibir. Hatinya mula terasa berbahang. Apabila sebut saja sebaris nama ‘Tuan Hail’ pasti hatinya seakan terbakar. Panas semacam.
“Itu bukan arahan tapi penganiayaan!” bantah Sufi. Geram.
“Bukan penganiyaan tapi hukuman yang kau dah persetujui.” Sampuk satu suara membuatkan Baim dan Sufi berpaling.
Kelihatan Hail menapak ke dalam pondok sambil membimbit fail. Lelaki itu menghampiri Baim dan Sufi. Baim menunduk hormat sedangkan Sufi hanya menjeling benci. Bibirnya dicebikkan. Mengenangkan kekasaran yang lelaki itu sebentar tadi, rasa sakit hati Sufi semakin bertambah.
“Hukuman? Tuan nak jadikan saya hamba abdi ke?” soal Sufi dengan suara yang sedikit tegang.
“Memang itulah selayaknya untuk perempuan macam kau. Kau jadikan Am hamba cinta kau, takkan aku tak boleh jadikan kau hamba kat sini? Barulah adil kan?” soal Hail dengan senyuman sinis bergayut di bibirnya.
Sufi mengetap bibir. Dia menarik nafas panjang lantas dihembus perlahan. Sabar Sufi. Sabar. Kau kena tunjukkan dia kebenaran barulah dia melutut pada kau. Pujuk hati Sufi.
“Jadi apa pekerjaan saya kat sini?” Soal Sufi beralah.
Hail tersentak. Dia berpandangan dengan Baim. Dia tidak percaya Sufi boleh beralah dengan mudah tanpa perdebatan yang panjang.
“Kau baca kontrak kerja ni. Lepas tu sign.” Arah Hail lantas menghulurkan kertas A4 yang bertaip kemas kepada Sufi.
Sufi akur. Dia menghulurkan tangan ingin menyambut hulutan kertas tersebut namun belum sempat kertas bertukar tangan, Hail dengan sengaja menjatuhkan kertas kontrak tersebut ke atas lantai.
“Opsss… Terjatuh!” ucap Hail dengan nada mengejek. Senyuman sinis tidak pernah lekang daripada bibirnya.
Sufi mengepal tangannya dengan kuat. Kalau diikutkan hati, mahu saja muka Hail yang sombong itu dilempang sekuat hati. Namun, Sufi masih tahu batas-batasnya. Dia rela mengikut permintaan gila Hail pun disebabkan dia ingin membuktikan yang dirinya tidak bersalah.
Lalu, tanpa berkata sepatah kata, Sufi tunduk dan mencapai kembali kertas kontrak. Dia berdiri tegak sambil anak matanya meneliti setiap bait yang tertaip kemas di atas dada kertas tersebut.
“Mengarut!” terpacul perkataan itu daripada mulut Sufi sebaik saja dia membaca syarat pertama yang tertulis dalam kontrak tersebut. Anak matanya tegak menentang wajah Hail yang kelihatan selamba.
Hail menayang wajah selamba. Renungan tajam daripada Sufi langsung tidak berbekas di hatinya.
“Mengarut? Itulah kontrak yang paling sesuai untuk semua kesalahan yang kau dah lakukan.” Jawab Hail cukup bersahaja.
“Sesuai? Saya kena bekerja setiap hari tanpa cuti dan semua gaji saya tuan ambil untuk biaya kos rawatan Am? Tuan buat lawak ke apa? Hamba abdi pun dapat upahlah, tuan. Habis tu saya nak beli barang-barang keperluan saya dengan apa? Dengan daun? Atau pun tuan tak kesah kalau saya jual semua hasil tanaman tuan ni semata-mata nak beli barang-barang dan makanan saya? Kalau nak jadi majikan, adillah sikit. Memang saya berhutang dengan tuan. Memang saya rela dalam terpaksa bekerja di sini sebab nak tebus kesalahan saya pada Am tapi saya juga ada hak sebagai manusia! Saya bukan binatang!” hambur Sufi dengan rasa marah yang meluap-luap. Turun naik dadanya menahan rasa amarah. Kesabaran yang dipertahankan terbang entah ke mana.
Hail terkebil-kebil mendengar leteran Sufi yang panjang. Dia memandang ke arah Baim yang cuba menyembunyikan tawanya.
“Tapi perbuatan kau pada Am lebih kejam daripada binatang. Kau yang letakkan dia dalam keadaan sekarang. Dia hampir ambil nyawa dia sendiri disebabkan kau. Mana lebih kejam kau atau aku?” Soal Hail membuatkan Sufi terdiam. Dia menggigit bibir.
“Berapa kali saya nak cakap, saya minta maaf. Apa yang terjadi pada Am mungkin disebabkan saya tapi saya bukan penyebabnya. Kenapa susah sangat tuan nak faham? Dan sekarang kita bercakap pasal soal kerja. Saya tak boleh bekerja dengan kontrak kerja yang tak adil macam ni. Dalam akta pekerjaan, sebagai pekerja saya berhak diberi cuti sehari dalam seminggu, untuk kerja lebih masa tak lebih daripada 104 jam dalam sebulan dan saya berhak untuk dapat upah yang setimpal terhadap kerja-kerja yang saya dah buat. Saya masih belum bodoh dalam bab-bab hak saya sebagai pekerja!” Bidas Sufi masih belum mengalah.
Hail terdiam. Tiba-tiba saja dia kehilangan kata apabila Sufi membangkitkan soal akta pekerjaan. Dia tidak menyangka gadis yang berada di hadapannya ini tidak mudah diperdaya. Tetapi Hail enggan untuk mengakuinya. Jika dia mengakuinya bermaksud dia telah tewas di tangan musuh utamanya ini.
“Aku tak nak dengar apa yang kau merepek. Aku nak kau sign kontrak tu sekarang!” Arah Hail mulai bosan dengan celoteh Sufi.
“Tak nak!” bantah Sufi sambil menyilangkan tangannya ke dada. Dia enggan mengikut arahan Hail. Apa nak jadi, jadilah! Bentak hati Sufi. Berkeras.
Hail menarik nafas panjang. Kecil besar, kecil besar saja Sufi di matanya saat ini.
Dia mengambil pen lalu menghampiri Sufi. Nampaknya, dia terpaksa menggunakan kekerasan sekali lagi barulah gadis itu akan mengikut arahannya.
“Kau nak sign ke tak?” Soal Hail lagi dengan matanya yang dikecilkan memandang Sufi.
“Tak nak! Tak akan! Dan tak ingin!” bentak Sufi lagi. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Kau memang nak cari pasal dengan aku!”
Lantas, Hail menarik lengan Sufi. Tubuh Sufi ditarik lalu belakang tubuh Sufi ditolak sehingga tubuh genit itu terlanggar permukaan meja.
“Sakitlah! Lepas!” Marah Sufi sambil cuba meleraikan cengkaman tangan Hail di lengannya.
“Sign kontrak tu baru aku lepaskan kau. Aku tak nak dengar kau membebel, aku nak kau sign kontrak ni. Tu pun payah ke?” Soal Hail geram.
“Saya tak nak! Tuan tak boleh paksa!”
“Siapa cakap tak boleh? Sekarang kau jadi hamba aku. Sign sekarang! Sebelum aku bertindak lebih kasar.” Ugut Hail. Lantas belakang tengkuk Sufi dicengkam kuat. Jeritan Sufi langsung tidak diendahkan. Seakan mati rasa simpati Hail terhadap gadis genit itu.
Baim mengalihkan pandangan ke tempat lain. Tidak sanggup rasanya untuk melihat gadis selembut Sufi diperlakukan seperti itu. Tetapi apabila memikirkan apa yang telah gadis itu lakukan terhadap Hamsyari, mungkin inilah hukuman yang paling sesuai untuk gadis itu.
“Sakitlah! Lepaskan saya! Saya takkan ikut cakap tuan!” Sufi masih belum mengalah walaupun tengkuknya terasa sakit. Malah lengannya juga terasa perit akibat cengkaman tangan Hail yang kasar.
Hail mengetap bibir. Hatinya mula diserang rasa amarah dek kerana sikap Sufi yang asyik membantah. Lantas, dia menguatkan cengkaman di leher Sufi sehingga tubuh genit itu meronta-ronta minta untuk dilepaskan.
“Baik! Baik! Saya sign!” Sufi terpaksa mengalah. Sakit yang tidak tertanggung memaksa Sufi untuk mengalah. Mengalah bukan bererti kalah. Itu yang Sufi pegang.
“Bagus! Senang kerja aku.” Ujar Hail lantas melepaskan cengkaman tangannya di belakang tengkuk Sufi yang berbalut tudung.
Lantas, Sufi merentap tangannya daripada cengkaman tangan Hail. Dia menjeling benci. Pen yang berada di atas meja dicapai. Tanpa membaca keseluruhan kontrak tersebut, Sufi menurunkan tanda tangan.
“Puas hati?” tekan Sufi lantas mencampakkan pen tepat ke dada Hail. Dia tidak peduli dengan reaksi Hail. Tanpa menunggu lama dia melangkah keluar dari pondok tersebut.
“Eiiii… Perempuan ni kan…” Hail mengetap gigi. Dia ingin mengejar Sufi tetapi Baim terlebih dahulu menangkap lengan Hail. Langkah Hail terhenti. Dia memandang Baim dengan pandangan pelik.
“Saya rasa dia bukan perempuan yang lemah, tuan. Apa yang dia cakap ada betulnya…” ucap Baim perlahan.
Dahi Hail berkerut. Cuba mencerna kata-kata Baim dengan sebaiknya.
“Apa yang betulnya?” Soal Hail tidak berpuas hati.
“Tentang hak dia sebagai pekerja…” jawab Baim ringkas.
Hail terdiam. Sedangkan otaknya ligat memikirkan sesuatu.


BELAKANG tengkuknya digosok dengan perlahan. Rasa sakit dan perit terasa sehingga ke lubuk hati. Sedaya upaya Sufi menahan air mata yang ingin gugur. Rasa sebak mula menjengah dalam sanubari mengenangkan dirinya yang terasing di tempat yang tidak diketahui namanya ini. Dia keseorangan tanpa ada tempat untuk mengadu. Dia seolah-olah banduan yang dipenjarakan di satu tempat yang luas.
Sufi menggenggam tangannya erat. Tidak seharusnya dia menangisi setiap kekasaran yang dilakukan oleh Hail. Dia yang memilih untuk menuruti kemahuan lelaki itu. Sufi yakin suatu saat nanti kebenaran akan terbongkar dan dia mahukan Hail melutut untuk meminta kemaafan daripadanya. Hanya itu yang dia mahukan.
“Ya Allah, kuatkan hati aku untuk meneruskan semua ini. Nak lari pun tak guna, tempat ni pun aku tak tahu kat mana. Entah ceruk kampung manalah, mereka ni bawa aku. Kalau nak lari pun, aku tak ada duit sekarang ni. Nombor telefon abah pun aku lupa. Ya Allah, tunjukkan aku jalan. Tunjukkan kebenaran kepada manusia yang buta hatinya.” Rintih Sufi dengan keluhan kecil terlepas daripada mulutnya.
“Dah puas mengeluh? Sekarang masa untuk kerja.” Sergah suara garau menyentakkan Sufi. Dia mencebik. Tak perlu dia berpaling kerana dia sudah tahu siapakah gerangan pemilik suara itu.
“Saya nak buat apa, tuan?” soal Sufi. Sengaja perkataan tuan itu ditekankan. Rasa meluat pun ada dengan lelaki muda yang berada di hadapannya sekarang.
“Aku nak tengok cara kau bekerja. Pergi cangkul batas sekarang!” arah Hail dengan suara yang cukup tegas. Wajahnya serius tanpa secalit pun senyuman.
“Sekarang?” Soal Sufi. Dia memandang matahari yang semakin tegak di atas kepala dengan wajah Hail silih berganti. Dia menelan air liur.
“Habis tu nak tunggu malam karang baru nak buat batas? Kenapa, takut kulit tu terbakar kena cahaya matahari ke? Panas matahari takut, panas api neraka kau buat tak peduli pula.” Tempelak Hail.
Sufi mencebik.
“Aniaya orang pun salah satu dosa besar, neraka juga tempatnya…” jawab Sufi sambil mengancing gigi. Pandangannya dihalakan ke tempat lain.
Hail tersentak. Bulat matanya memandang Sufi yang kelihatan selamba sebaik saja menuturkan kata-kata itu. Sungguh dia tidak menyangka, Sufi seberani itu. Sedikit pun dia tidak nampak riak gentar yang terpamer di wajah gadis bertudung hitam saat berhadapan dengannya.
“Kau cakap apa?” Oktaf suara Hail meninggi.
Sufi tersenyum sumbing. Pantas, kepalanya digelengkan.
“Baim, ambil cangkul bagi kepada perempuan ni.” Arah Hail.
Baim hanya menganggukkan kepala. Dia masuk semula ke dalam pondok tempat menyimpan peralatan sebelum keluar dengan membawa sebilah cangkul lalu dihulurkan kepada Hail. Cangkul bertukar tangan.
“Ambil cangkul ni buat sepuluh batas dalam masa sejam!” arah Hail lalu mencampakkan cangkul tersebut betul-betul di hadapan Sufi.
“Dalam masa satu jam? Tuan gila ke apa?” Soal Sufi terkejut. Mencerlung dia memandang wajah Hail yang kelihatan selamba.
“Ikut arahan aku atau gaji kau aku potong dan waktu kau bekerja aku tambah lagi. Buat seperti mana aku suruh. Faham?” tekan Hail dengan mata yang terjengil.
Sufi menayang muka meluat. Tidak dapat tidak, dia mencapai cangkul yang berada di hadapannya sebelum berlalu ke tempat yang ditunjukkan oleh Baim. Dengan langkah yang berat, dia mengangkat cangkul lalu tanah digali untuk membentuk satu batas. Cuaca yang panas membuatkan tekaknya terasa perit. Peluh mula bercucuran membasahi wajah dan baju yang dipakainya.
Hail dan Baim hanya menjadi pemerhati. Tidak sedikit pun pandangan Hail teralih ke tempat lain. Dia ingin melihat bagaimana seorang gadis bandar terseksa apabila terpaksa melakukan kerja-kerja kasar seperti itu.
“Berapa minit lagi tinggal, Baim?” Soal Hail tanpa memandang Baim yang berdiri di sisinya.
“Lagi setengah jam, tuan.” Jawab Baim.
“Berapa banyak batas yang dia dah siapkan?” Soal Hail lagi inginkan kepastian.
“Lima, tuan.”
“Lima?” Suara Hail meninggi. Jelas dia terkejut. Dia memandang Baim yang hanya mampu tersengih.
“Saya tak nampak pun yang dia kekok pegang cangkul tu, tuan. Daripada batas yang dia buat tu, nampak seperti dia dah biasa dengan kerja-kerja macam ni.” Komen Baim jujur. Dia juga pelik, takkan orang yang biasa hidup di kota raya boleh membuat batas dengan cepat dan kemas. Malah, gadis itu kelihatan tidak kekok memegang cangkul.
Hail mengetap bibir. Komen Baim membuatkan dia tidak senang duduk. Lalu, dia bingkas bangun daripada kerusi lantas pergi mendapatkan Sufi yang sedang ralit mencangkul batas.
“Hoi, perempuan!” Panggil Hail agak kasar.
Sufi mendongak. Dia mengeluh berat. Apa lagilah yang lelaki ni nak?
“Datang sini sekarang.” Arah Hail sambil berdiri mencekak pinggang.
Sufi hanya menurut. Dia melangkah menghampiri Hail dengan cangkul yang masih lagi dipegang di tangan. Peluh yang merembes di wajahnya hanya diseka dengan lengan baju.
“Tuan nak apa lagi? Lagi lima batas aje yang tinggal.”
“Batas yang kau buat ni tak cantik. Buat yang lain. Kali ni buat sepuluh batas dalam masa setengah jam.” Arah Hail tanpa perasaan bersalah. Barisan tanah yang sudah siap digemburkan oleh Sufi disepak dengan kakinya.
Jelas riak Sufi berubah. Dia tersentak. Serentak, rasa geram menyerbu ke diri. Terasa seperti dirinya dipermainkan.
“Dah nama pun batas, macam nilah rupanya. Nak cantik macam mana lagi, tuan? Nak angkat cangkul pun makan masa dua minit, mana sempat nak siapkan sepuluh batas dalam masa setengah jam. Logiklah sikit, tuan.” Ucap Sufi dengan suara yang mendatar. Dia sudah penat untuk bertekak dengan Hail walaupun dalam hatinya bagaikan ingin meletup menahan kesabaran.
“Aku bos ke kau yang bos?” Soal Hail sombong. Kata-kata Sufi langsung tidak melekat dalam otaknya. Dia cuma mahu melihat gadis itu terseksa.
“Saya pun tak nak dapat bos yang otak tak betul macam tuan…” desis Sufi cukup untuk dia saja yang mendengar.
“Kau cakap apa?” Sergah Hail apabila terdengar seperti gadis itu mengatakan sesuatu yang tidak jelas di pendengarannya.
“Tak ada apa-apa, tuan. Baiklah. Saya yang menurut perintah. Tapi saya nak tanya, tuan nak tanam pokok apa kat kebun pisang ni? Siap berbatas lagi.” Sufi memberanikan diri untuk bertanya. Dia memandang kawasan sekeliling yang dipenuhi dengan pokok-pokok pisang. Dari jauh kelihatan beberapa orang pekerja yang sedang mencantas daun pisang.
“Kau rasa? Takkan aku nak tanam pokok durian pula kat kebun pisang.” Balas Hail acuh tak acuh.
“Nak tanam pokok pisang? Tapi batas ni…” kata-kata Sufi terhenti dengan sendiri. Dia memandang batas-batas yang dicangkul dengan penuh kepayahan sebelum pandangannya berlabuh di wajah Hail yang kelihatan selamba.
Sufi mengetap bibir. Dadanya turun naik menahan rasa sebal. Terasa dirinya diperbodohkan oleh Hail.
“Saya memang tak cantik tapi saya bukan bodoh. Tanam pokok pisang tak perlukan batas. Tapi kalau tuan nak sangat, lubang kubur pun saya boleh gali!” balas Sufi lantas menghempas cangkul betul-betul di hadapan Hail. Tanda protes.
Buat kesekian kalinya Hail tersentak dengan tindakan berani Sufi. Dia kehilangan kata apatah lagi saat ini dia mendengar bunyi tawa kecil daripada Baim. Dia hanya mampu memandang Sufi yang melangkah menghampiri Baim.
“Encik Baim, lepas ni apa pula kerja yang saya kena buat?” Soal Sufi tanpa menghiraukan Hail yang terkebil-kebil.
“Errr…” Baim serba-salah. Tawanya terhenti.
“Eh kejap…” Suara Sufi menarik perhatian Hail dan Baim. Langkah Baim terhenti di belakang Sufi sedangkan Hail hanya menanti bicara daripada gadis itu.
“Kenapa Sufi?” Soal Baim pelik. Dia memandang ke arah pandangan mata Sufi. Jelas, anak mata bundar itu sedang merenung pokok pisang.
“Cuba encik tengok pokok pisang ni…” ujar Sufi seraya menuding jari ke arah pokok pisang yang sudah berbuah.
Dahi Baim berkerut seribu. Dia hanya menurut dengan tanda tanya bermain di kepalanya.
“Saya dah bosan tiap-tiap hari tengok pokok pisang. Apa yang tak kena dengan pokok tu?” Soal Baim inginkan jawapan.
“Kalau kita suka aniaya orang lain, kita sama ajelah macam pokok pisang ni…” jawab Sufi tanpa sedikit pun mengalih bola matanya daripada menatap pokok pisang tersebut.
“Maksud awak?”
“Hanya pokok pisang, pokok yang ada jantung tapi tak ada hati!” ayat terakhirnya ditekankan dan dikuatkan agar didengari oleh Hail. Anak matanya dilirikkan ke arah Hail sebelum dia menjeling benci.
Baim terkedu. Dia memandang Hail yang kelihatan menahan sabar. Dia yakin pasti ada sesuatu yang berlegar-legar dalam fikiran Hail saat ini. Sedangkan dia juga tertanya-tanya. Siapa sebenarnya gadis di hadapan mereka saat ini?

CAGARAN CINTA ( BAB 9 )

SUFI hanya mendiamkan diri saat berhadapan dengan Hail yang duduk dengan tenang di atas kerusinya. Wajah lelaki itu kelihatan serius tanpa senyuman. Buat seketika Sufi mengerling ke arah Baim yang kelihatan bersahaja. Tidak langsung tergambar riak takut di wajah Baim berbanding dengan dirinya sekarang. Terasa dahi Sufi sudah berpeluh-peluh menahan rasa debar di hati.
“Kau ambil telefon ni, call keluarga kau sekarang.” Arah Hail seraya mengangkat wajah.
Pandangan mata mereka bertaut. Sufi kembali menundukkan wajah. Gagang telefon yang dihulurkan oleh Hail dipandang sepi.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Soal Hail. Suaranya dikeraskan.
“Dengar.” Jawab Sufi pendek.
“Dah kalau dengar, tak reti ke nak ambil telefon ni? Call keluarga kau depan aku sekarang!” Arah Hail dengan suara meninggi. Sebaik saja melihat wajah Sufi, cepat saja hatinya terasa panas.
“Nak buat apa call family saya? Tuan nak lepaskan saya ke? Tuan nak suruh dia orang jemput saya kat sini ke?” Soal Sufi dengan wajah ceria. Dia mendongak memandang Hail dengan riak yang penuh pengharapan.
Hail ketawa sinis. Dia memandang Sufi dari atas hingga ke bawah.
“Lepaskan kau? Jangan harap! Boleh tak kau jangan banyak tanya? Ikut ajelah cakap aku. Tu pun susah ke?!” Bentak Hail lantas menghentak meja.
Sufi tersentak. Terhinjut bahunya akibat terkejut. Lantas, dia mencapai gagang telefon daripada tangan Hail. Laju saja jarinya menekan nombor telefon rumah uminya. Hampir beberapa minit, barulah talian disambungkan.
“Assalamualaikum, umi. Ni kakak…” Ucap Sufi. Hampir saja dia menangis apabila mendengar suara Puan Suraya menjawab salamnya.
“Hah, kakak. Kamu kat mana? Kenapa tak sampai lagi ni? Umi risau tau. Kamu kat mana ni?” Soal Puan Suraya dengan nada cemas.
Sufi serba-salah. Dia memandang wajah Hail dengan lama. Apa yang harus aku terangkan pada umi?
“Errr… Kakak kat tempat kerja kakak yang baru. Umi tak payah risaulah. Kakak okey je. Kakak tak jadi kerja kat sana sebab kawan kakak dapat carikan kerja yang lebih baik untuk kakak. Umi jaga diri tau. Nanti kalau dapat cuti, kakak balik kampung. Umi telefon abah cakap kakak dah kerja kat tempat lain. Abah ada kat Jakarta sekarang, lagi dua minggu baru balik. Umi jangan lupa bagi tahu abah, tau.” Ucap Sufi sedaya-upaya menahan sebak.
Dia ingin melanjutkan bicara namun dengan pantas, Hail merampas gagang telefon. Sufi terkejut. Dia mencerun marah.
“Dah, cukup! Aku bayar bil bukan untuk kau bergayut!” Leter Hail bersama jelingan yang tajam.
“Kedekut!” Getus Sufi.
“Kau cakap apa? Aku tak dengar.”
“Ke… De… Kut!” Laung Sufi dengan suara yang kuat.
Baim tersentak. Hail juga terperanjat. Jelas wajah Sufi langsung tidak takut akan dirinya. Aku ni tak cukup garang lagi ke? Berani betul minah ni lawan cakap aku. Hati Hail berdetak.
Namun, Hail hanya tersenyum senget. Dia bingkas bangun lalu menghampiri Sufi.
“Aku bukan Am yang senang jatuh dalam jerat perempuan tak guna macam kau ni. Nak kata kau ni cantik, tak adalah cantik mana sampaikan Am boleh tergila-gilakan kau. Sanggup habiskan duit semata-mata untuk perempuan macam kau. Atau kau dah gadai body kau semata-mata nak duit dari adik aku tu? Kalau betul pun aku tak pelik, sebab perempuan macam kau ni bersepah kat belakang pasar. Tak layak buat bini. Tapi Am tu baik. Perempuan murah macam kau ni jugalah yang dia nak. Kesian betul adik aku tu…” Ujar Hail sekadar untuk menyakitkan hati Sufi. Dia menggelengkan kepala sambil memandang Sufi dari atas hingga ke bawah.
Berdesing telinga Sufi. Dadanya mula berombak kencang. Menahan kesabaran yang makin menipis.
“Am memang baik. Berbeza sangat dengan abang dia ni. Pengecut!” Jawab Sufi berani.
Hail tersentak. Makin panas hatinya.
“Kau cakap aku pengecut?” Soal Hail. Wajahnya mula berbahang merah. Menahan rasa amarah yang semakin berapi dalam dada.
“Sufi… Diam…” Baim cuba menyampuk kerana bimbang Hail akan bertindak kasar.
Sufi tidak mempedulikan amaran Baim sebaliknya dia menentang pandangan Hail dengan berani. Langsung tidak berkelip.
“Ya, memang tuan pengecut! Hanya orang pengecut je yang simpan dendam. Tuan tak tahu keadaan sebenar tapi tuan bertindak macam tuanlah hakim yang menentukan hukuman yang harus saya terima atas kesalahan saya. Saya yakin kalau Am dah sihat, Am akan maafkan saya. Dia tahu saya tak bersalah. Hati Am jauh lebih mulia berbanding tuan. Tuan ada harta, ada segalanya tapi tuan tak ada hati!” Tambah Sufi lagi dengan berani.
Hail mengepal penumbuk. Terasa kecil saja gadis di hadapannya ini. Ingatkan dia boleh menyakitkan hati Sufi namun sebaliknya berlaku. Dia pula yang terbakar dengan kata-kata pedas gadis itu.
“Baim kau keluar sekarang!” Arah Hail tanpa memandang Baim.
Baim mula serba-salah. Angin Hail kelihatan tidak berapa elok jadi dia bimbang jika tuan mudanya itu melakukan sesuatu yang tidak diingini.
“Tapi tuan…”
“Keluar sekarang!” Suara Hail melengking tinggi. Anak matanya tuntas memandang Sufi. Kemarahannya semakin meluap-luap sebaik saja melihat wajah Sufi yang tenang.
Baim tiada pilihan. Dia terpaksa akur. Lantas, Sufi dan Hail ditinggalkan.
“Ulang balik apa yang kau cakap tadi…” Arah Hail dengan suara yang mendatar. Dia mendekati Sufi yang mula menjarakkan diri.
Jelas, lutut Sufi mula menggigil. Dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.
“Kenapa diam? Ulang balik apa yang kau cakap tadi!” Jerkah Hail.
Spontan tubuh Sufi ditolak ke dinding. Dagu gadis itu dicengkam kuat.
“Sakitlah!” Ronta Sufi cuba melepaskan diri. Tangan sasa Hail ditampar berkali-kali bagi meleraikan cengkaman namun Sufi gagal.
“Kau memang sengaja nak cari pasal dengan aku kan? Dengan tunjuk berani macam ni, kau ingat aku akan tertarik. Aku tahulah, ini mesti taktik kau nak goda jantan kan? Perempuan tak tahu malu macam kau ni memang tak layak dilayan dengan baik.” Keras suara Hail kedengaran.
Sufi memejamkan matanya sejenak. Bagaikan ingin patah rahangnya saat ini. Sufi cuba bertahan. Sempat lagi dia tersenyum sinis.
“Mati hidup semula pun saya takkan goda lelaki macam tuan. Perasan bagus! Berlagak!” Hambur Sufi dalam kepayahan.
Hail membulatkan mata. Dia tidak percaya perkataan itu yang keluar daripada mulut Sufi. Sangkanya Sufi akan merayu-rayu memohon maaf namun sebaliknya berlaku. Gadis itu nampak lemah daripada luaran tetapi bukan hatinya.
“Sepanjang saya kenal Am, belum pernah dia berkasar dengan perempuan macam yang tuan buat sekarang. Tuan memang tak layak jadi abang Am. Tuan tak layak jadi lelaki!” Tambah Sufi. Masih belum puas menghamburkan amarahnya.
Hati Hail semakin membahang. Pantas, tangannya melepaskan dagu Sufi. Rambut Sufi yang berbalut dengan kain tudung dicengkam kemas sebelum tubuh gadis itu ditolak kasar ke arah dinding yang menempatkan gambar-gambar dia dan Hamsyari.
“Kau tengok gambar ni betul-betul. Kau tengok sekarang!” Arah Hail lantang. Kepala Sufi dihadapkan ke gambar Hamsyari yang sedang menunggang kuda. Lelaki muda itu tersenyum gembira.
“Dia satu-satunya adik yang aku ada. Keluarga aku. Tak pernah dalam hidup aku tengok dia menangis. Tak pernah sekali pun dia tunjuk rasa sedih dia pada aku. Tapi kau, kau dah hancurkan hati dia sehingga dia putus asa untuk hidup. Kau jadikan dia lelaki lemah. Lelaki yang lembik. Aku tak boleh terima bila dia mengalah dengan hidup dia. Aku tak boleh terima!” Jerit Hail dengan rasa amarah yang membuak-buak.
Spontan, dia menolak tubuh Sufi dengan kasar. Kesan tolakan itu menyebabkan kepala Sufi terhantuk pada bingkai gambar Hamsyari sebelum bingkai gambar itu jatuh menghempas lantai.
Prankk!
Sufi terkesima. Hail tersentak.
Serentak, pintu pejabat ditolak dari luar. Terjengul wajah Baim di hadapan mata mereka berdua.
“Tuan, apa dah jadi ni?” Soal Baim sambil memandang Sufi dan Hail silih berganti.
“Kau bawa perempuan ni keluar sekarang!” Arah Hail lantas membelakangi Sufi. Dia cuba meredakan kemarahan yang semakin memuncak. Dia bimbang jika tidak mampu untuk mengawal kemarahannya, pasti teruk gadis itu dikerjakannya.
“Baik, tuan.” Ucap Baim. Lalu dia menarik lengan Sufi yang kelihatan kaku.
“Saya tak bersalah! Sama ada tuan percaya atau tidak, saya tetap tak bersalah!” Laung Sufi bersama langkah kakinya yang longlai. Dia biarkan saja lengan bajunya ditarik oleh Baim.


“SAYA tak bersalah! Kenapa susah sangat orang nak percaya?” Bentak Sufi sebaik saja dia dibawa keluar oleh Baim.
Baim hanya mengeluh kecil. Timbul rasa simpati terhadap gadis yang berada di hadapannya ini tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana arahan Hail tidak boleh dibantah.
“Kalau sekadar cakap aje, takkan ada orang yang percaya yang awak tak bersalah.” Jawab Baim selamba.
Sufi menjeling. Nafas cuba diatur dengan sebaik mungkin. Aku dah agak, pekerja dengan tuan, sama saja perangai. Ya Allah, di manalah aku sekarang ni? Rintih hati Sufi.
“Encik pun tak percaya saya? Encik pun percaya yang saya ni penyebab Am jadi macam tu?” soal Sufi tidak berpuas hati.
Baim hanya mengangkat bahu.
“Saya percaya apa yang majikan saya percaya.” Jawab Baim masih lagi bersahaja.
“Tapi masalah sekarang, kepercayaan majikan encik tu tak berasas. Am jadi macam tu bukan disebabkan saya!” Sufi cuba menyakinkan Baim tapi malangnya Baim hanya bersikap endah tidak endah.
“Saya hanya percaya pada bukti yang saya nampak. Macam tu juga Tuan Hail. Dia takkan ambil keputusan tanpa usul periksa dan dia buat semua ini semata-mata nak tuntut bela terhadap Tuan Am. Awak tak tahu macam mana sayangnya Tuan Hail pada Tuan Am. Satu-satunya adik yang dia ada. Kesakitan yang Tuan Am rasa, ada awak rasa? Tak ada kan? Anggap ajelah ini balasan untuk kesalahan awak.” Ujar Baim membuatkan Sufi terdiam seketika.
Sufi tersenyum sinis. Otaknya benar-benar rasa tertekan saat ini.
“Balasan untuk kesalahan saya? Saya tak sangka saya dihukum tanpa sempat membela diri. Baik, saya akan buktikan yang saya tak bersalah. Saya terima segala syarat yang tuan encik tetapkan semata-mata nak buktikan yang saya tak bersalah. Saya akan tunggu sampai Am sembuh dan kalau saya tak bersalah, saya nak Tuan Hail melutut minta maaf pada saya dan keluarga saya!” tegas Sufi dengan riak wajah yang serius.
“Itu pun kalau awak tak bersalah. Sekarang ni, ikut saya ke kebun sekarang. Waktu kerja awak dah sampai.” Ujar Baim lalu melangkah meninggalkan Sufi yang masih lagi tidak berpuas hati.

CAGARAN CINTA ( BAB 8 )

PAGI yang dingin mengganggu Sufi yang dibuai lena. Dia menggosok-gosok lengannya yang terselindung di sebalik baju kurung kedah yang nipis. Sesekali dia mengerekot kesejukan. Namun, bunyi azan subuh yang kedengaran membangunkan Sufi daripada tidurnya.
Dia memisat-misatkan mata sebelum bola matanya ditebarkan ke sekeliling. Dia berharap sangat saat ini dia berada dalam biliknya di kampung. Namun, itu semua bayangan. Kenyataannya, dia hanya ditemani dengan empat penjuru dinding yang sempit.
Sufi tersedar. Dia bingkas bangun dan duduk sambil memeluk lutut. Kain selimut diambil lalu membalut tubuhnya.
“Ya Allah, betul ke pilihan aku ni?” Soal Sufi sendirian. Dia meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan.
“Aku nak kau bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Am!” Suara Hail memecah ketenangan Sufi.
Sufi mendengus sendirian.
“Saya janji, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kalau ada apa-apa yang terjadi dalam hubungan awak berdua. Saya yakin dia akan akan sayangkan awak sepenuh hati dia. Saya kenal dia. Dia takkan kecewakan awak,” kata-katanya beberapa bulan yang lepas kembali terngiang di telinga.
Ya, itulah janji yang pernah dibuat satu ketika dahulu. Dia tidak menyangka, janji itu menjerut lehernya sendiri. Tapi adakah benar, apa yang berlaku kepada Hamsyari adalah salahnya seratus peratus sedangkan dia sendiri tidak dapat menjangka semua ini akan terjadi.
“Salah saya ke Am? Salah saya ke sampai awak jadi macam ni? Kenapa awak tak kenal saya? Atau awak sengaja buat semua itu untuk balas dendam pada saya? Awak marahkan saya kan? Betul ke apa yang aku buat ni, Ya Allah? Aku lakukan semua ni semata-mata kerana rasa bersalah aku pada Am dan keselamatan Ana. Bantu aku untuk selesaikan semua salah faham ini, Ya Allah. Bantu aku.” Doa Sufi sendirian. Dia mengeluh kecil.
“Lebih baik aku solat dulu. Apa pun yang terjadi lepas ni, kau kena kuat, Sufi. Kau kena pastikan Am sembuh seperti biasa barulah abang dia yang perasan bagus tu percaya yang kau bukan kekasih Am. Hanya Am yang tahu kisah yang sebenar.” Balas Sufi dengan tekad.
Dia menganggukkan kepala. Lantas, dia bangun dan mencapai tuala untuk membersihkan diri. Dia mengeluh seketika melihat pakaian-pakaian yang diberikan Baim semalam. Sungguh dia tidak selesa apabila terpaksa memakai pakaian orang lain. Namun, keadaan mendesak. Apa lagi pilihan yang dia ada?
Tepat pukul tujuh setengah pagi, pintu kontena diketuk dari luar. Sufi yang hampir melelapkan mata terus terjaga. Dia yakin itu pasti Baim. Tiada siapa yang tahu kehadirannya melainkan Baim dan abang Hamsyari.
“Sekejap!” Laung Sufi. Dengan pantas, dia meyarungkan tudung bawal yang dipakainya semalam sebelum menuju ke pintu.
“Assalamualaikum, saya ingatkan awak tak bangun lagi.” Ucap Baim sambil tersengih.
“Saya dah bangun sebelum subuh tadi. Hah, awal encik datang hari ni. Apa pula yang tuan besar tu nak saya buat hari ni?” Soal Sufi tanpa berlengah. Salam Baim dijawab dalam hati.
“Tuan Hail nak jumpa awak kat ofis.” Balas Baim.
“Kat ofis? Mana ofis dia?” Soal Sufi gugup. Dia meneguk liur.
Baim hanya mampu tersenyum melihat Sufi yang tiba-tiba saja gelabah. Semalam bukan main lagi mengutuk, sekarang wajah itu pucat tak berdarah apabila dia menyebut tentang Hail.
“Jom saya tunjukkan. Tapi sebelum tu, awak boleh kunci rumah awak ni…” Ucap Baim sambil tersengih. Dia menghulurkan mangga dan anak kunci kepada Sufi yang sudah mencebik.
Rumah? Layak ke benda empat segi ni dipanggil rumah? Sinis Sufi dalam hati. Namun, Sufi hanya mampu menurut. Pintu kontena itu dikunci sebelum kakinya mengikut langkah Baim yang sudah ke depan.
“Pejabat Tuan Hell tu kat mana?” Soal Sufi setelah dapat menyaingi langkah Baim. Sengaja dia menekankan perkataan ‘hell’ bagi melepaskan ketidakpuasan hatinya.
“Tuan Hail bukan hell…” Tegur Baim perlahan.
Sufi mencebik. Langkah kaki diteruskan.
“Encik tahu tak kenapa saya panggil tuan encik tu macam tu? Mulut dia tu macam puaka, encik tahu tak? Sesuka hati dia je maki-maki saya. Dia ingat saya ni tak ada perasaan? Sampai sekarang saya masih terfikir, betul ke Am ada abang macam dia tu. Rasa macam tak percaya pula. Am tu baik, sopan-santun, bila bercakap dengan perempuan, lembut je. Tak adalah ego melangit macam abang dia tu. Suara asyik nak memetir. Bukan telinga aje sakit, hati pun sakit!” Bebel Sufi.
Baim menyembunyikan senyum. Nampaknya bebelan gadis yang dikenali sebagai Sufi Awliya ni masih tidak berpenghujung. Sudahnya, Baim hanya menadah telinga mendengar leteran Sufi yang tida bernoktah.
“Kita dah sampai…” Ucap Baim menghentikan bicara Sufi.
Sufi tercengang-cengang. Tegak anak matanya memandang ke hadapan. Buat seketika dia tergamam melihat rumah banglo dua tingkat yang diperbuat daripada kayu cengal tersergam di hadapan matanya.
“Ini ke ofis tuan encik tu?” Soal Sufi dengan mata yang terkebil-kebil.
“Taklah. Ini rumah Tuan Hail. Pejabatnya sebelah sana.” Ujar Baim lantas menunjukkan jalan kepada Sufi.
Ini rumah mamat tu? Mak datuk, besar gila rumah dia. Walaupun rumah ini bercirikan tradisional namun nampak cantik di mata Sufi. Ini baru bahagian belakang, entah bagaimana pula bahagian hadapan rumah itu.
“Eh, sekejap. Maknanya, tempat saya tinggal semalam tu dalam kawasan rumah tuan encik ke?” Soal Sufi apabila dia menyedari keadaan sebenar.
Baim hanya menganggukkan kepala.
“Betul. Tempat tinggal awak dalam kawasan rumah Tuan Hail. Jarak rumah ni dengan tempat tinggal awak kira-kira dalam lima puluh meter. Belakang sana tu ladang kelapa sawit, depan rumah awak tu, kebun buah-buahan milik Tuan Hail.” Terang Baim sambil menunjukkan beberapa batang pokok manggis dan rambutan yang ditanam di belakang rumah banglo kayu yakni berhadapan dengan tempat tinggalnya sekarang.
Ini bermakna, kawasan rumah ini sangat besar dan luas! Bayangkan kalau daripada tempat dia tinggal untuk ke kawasan rumah ini memakan masa sepuluh minit, agaknya berapa jumlah keluasan kawasan rumah abang Hamsyari ni? Hati Sufi cuba menebak. Tetapi gagal. Dia tidak menyangka Hamsyari sekaya ini.
“Maknanya saya tak ada peluang nak larikan diri?” Soal Sufi lebih kepada dirinya sendiri. Dia menundukkan wajah.
“Awak dah bercadang nak larikan diri ke?” Soalan dibalas soalan oleh Baim. Keningnya terjongket. Wajah Sufi yang cemberut dipandang lama.
Melihat pada air wajah gadis di hadapannya, Baim bagaikan tidak percaya gadis itu menjadi penyebab kecelakaan yang diterima oleh Hamsyari.
Sufi tidak menjawab. Dia hanya mampu mengeluh kecil.
Tak guna juga kalau aku larikan diri sekarang. Semua barang-barang tertinggal dekat wad Hamsyari. Abah pula tengah bercuti dekat Jakarta. Takkan ada sesiapa pun yang perasan kehilangan aku dekat sana dan dekat sini tak ada sesiapa yang akan percaya pada aku. Keluh hati Sufi tidak berkesudahan.
“Mana pejabat tuan encik?” Soal Sufi tanpa menjawab soalan Baim.
“Jom saya tunjukkan…”


“KENAPA abang termenung je ni? Tak suka datang sini ke?” Soal Puan Samihah tiba-tiba. Dia mendapatkan suaminya yang sedang berdiri menghadap balkoni di bilik hotel mereka.
Encik Latif berpaling. Satu senyuman hambar diukirkan buat Puan Samihah.
“Taklah. Abang suka. Abang suka dapat luangkan masa dengan Mihah dan Ana. Cuma abang teringatkan Sufi. Agaknya Sufi dah sampai belum kat kampung, ya?” Balas Encik Latif.
“Abang ni, Sufi tu bukan budak-budak lagi. Mestilah dia dah sampai kampung semalam. Kalau abang nak call pun tak guna, kita bukan kat Malaysia sekarang. Biarlah dia habiskan masa dengan umi dia. Tiga tahun dia tinggal dengan kita, mestilah dia rindu dengan umi dan mek dia.” Ujar Puan Samihah.
Encik Latif hanya mampu melepaskan nafas pendek. Dia menggigit bibir. Benar juga kata Puan Samihah, tiga tahun Sufi tinggal dengannya tetapi entah mengapa hatinya sering rindu akan anak gadisnya itu. Terasa tiga tahun itu tidak mencukupi untuk dia menembus segala kesalahannya pada Sufi.
Masih berbaki rasa bersalah dalam diri Encik Latif apabila dipaksa meninggalkan Puan Suraya yang tengah sarat mengandung semata-mata tidak mahu bertegang urat dengan emaknya sendiri. Berat. Sangat berat. Itulah yang dirasakan oleh Encik Latif waktu itu. Dia tidak berdaya untuk mempertahankan rumah tangganya sendiri lantaran sikap Puan Hanum yang pentingkan diri sendiri.
“Mungkin setakat ini sajalah jodoh kita, bang. Su reda andai ini yang tercatat untuk kita. Abang tak perlu buat pilihan antara Su dan mak sebab mak abang adalah segala-galanya bagi abang. Mak tak suka Su. Dia tak pernah reda kita kahwin. Perkahwinan tanpa reda ibu ni, susah nak bahagia, bang. Su tak nak abang jadi anak derhaka. Su tak nak mak terus berdosa. Lepaskan Su. Abang pulanglah pada mak abang.”
Kata-kata Puan Suraya masih terngiang di telinganya. Mana mungkin dia melupakan wanita pertama yang hadir dalam hidupnya dengan sekelip mata. Ketabahan Puan Suraya membuat hatinya tersentuh. Namun, dek desakan Puan Hanum, dia mengalah dalam memperjuangkan cintanya.
Tanpa sedar, setitis air mata Encik Latif gugur. Dia tersentak. Dengan pantas, dia memalingkan wajahnya ke tempat lain.
“Abang, kenapa diam aje ni? Abang okey ke?” Soal Puan Samihah cuba mengintai wajah Encik Latif.
Encik Latif hanya menganggukkan kepala. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Abang okey je. Ana mana?” Soal Encik Latif cuba mengalih topik perbualan mereka berdua.
“Dah tidur. Penat sangat gayanya. Seronok dapat bercuti macam ni.” Balas Puan Samihah tanpa dapat mengesan roman wajah Encik Latif yang berubah.
“Kalau Sufi ada lagi best…” Gumam Encik Latif perlahan.
Dahi Puan Samihah berkerut. Mati terus senyumannya.
“Abang ni, asyik-asyik Sufi. Abang jangan lupa Ana tu pun anak abang. Mihah tahulah Sufi itu anak cinta pertama abang tapi sekarang ni Mihah isteri abang. Ke abang masih simpan angan-angan nak hidup dengan janda abang tu?” Suara Puan Samihah hampir meninggi. Dia memeluk tubuh. Rambutnya yang dibiarkan lepas diselak ke belakang. Hatinya terasa bahang dengan tiba-tiba.
Encik Latif menggigit bibir. Dia sudah terlepas kata.
“Bukan itu maksud abang. Mihah kenalah faham, Sufi tu anak abang. Anak yang abang abaikan, hanya tiga tahun abang dapat hidup dengan dia, habiskan masa dengan dia, tentulah abang rindu. Selama ni, abang tak berpeluang untuk jaga dia, jadi logiklah kalau abang asyik teringatkan dia.”
“Ana tu macam mana? Abang langsung tak kisah pasal dia? Dia anak kita tau!”
“Ya, abang tahu. Ana anak kita. Abang sayangkan Ana sama abang sayangkan Sufi. Tak ada beza pun. Sama macam abang sayangkan Mihah.” Balas Encik Latif. Lembut. Cuba memujuk rajuk Puan Samihah.
“Tapi abang tak cintakan Mihah kan?” Bentak Puan Samihah.
Satu keluhan terbit daripada mulut Encik Latif. Penat sungguh asyik bergaduh perkara yang sama dengan isterinya. Walhal, umur mereka sudah menjengah ke angka lima puluh tetapi hari-hari mereka takkan lengkap tanpa pergaduhan ibarat pasangan yang baru mula mendirikan rumah tangga.
“Abang dah penat cakap benda yang sama. Suka hati Mihahlah nak anggap apa. Cuma abang nak Mihah fikir, kalau abang tak sayangkan Mihah, tak sayangkan Ana, dah lama abang tinggalkan awak dua beranak!” Jawab Encik Latif lantas berlalu.
Terbuntang mata Puan Samihah mendengar bicara Encik Latif. Kakinya dihentak-hentak ke lantai.
“Abang, tunggu! Mihah tak habis cakap lagi ni!”

CAGARAN CINTA ( BAB 7 )

“JEMPUT masuk cik. Inilah tempat tinggal cik mulai sekarang.” Ucap Baim sambil membuka pintu sebuah kontena untuk Sufi yang masih tercegat berdiri di hadapannya.
Sufi melopong. Dia memandang kontena itu dengan terkebil-kebil. Seumur hidup inilah kali pertama dia harus tinggal di dalam rumah kontena. Sah-sah tak selesa. Umi, Sufi nak balik! Jerit hati Sufi.
“Saya kena tinggal kat sini? Macam mana waktu siang nanti? Tak panas ke? Kalau malam mesti sejuk sangat kan?” Bertalu-talu soalan yang terbit daripada mulut Sufi.
Baim ketawa kecil. Dia tahu orang yang sudah terbiasa hidup mewah memang takkan selesa tinggal di dalam rumah kontena yang kecil dan sempit. Tetapi itu memadai daripada harus merempat di tepi jalan.
“Cik jangan risau, dalam kontena tu ada kipas, ada lampu, ada tilam dan selimut. Cik takkan sejuk waktu malam. Tapi kalau waktu siang pun cik takkan kepanasan…”
“Kenapa? Dalam ni ada air-cond ke?” Pintas Sufi sedikit teruja.
Baim tersenyum kecil. Dia menggelengkan kepala.
“Cik akan start bekerja daripada pukul lapan sampai pukul enam petang jadi tak ada ruang untuk cik duduk dalam kontena ni pada waktu siang.” Jawab Baim sedikit sebanyak menerangkan apa yang akan dihadapi oleh Sufi pada hari mendatang.
Sufi mengeluh kecil. Dia tiada pilihan lain saat ini. Dengan langkah yang longlai, dia melangkah masuk ke dalam kontena. Anak matanya ditebarkan ke segenap ruang kontena yang terang benderang disimbahi dengan lampu pendaflor. Memang ruang tu kecil dan sempit untuk dia yang sudah terbiasa tinggal di dalam bilik yang luas. Di satu sudut lain ditempatkan tilam, bantal, selimut dan sebuah kipas.
“Macam mana saya nak kerja ni? Baju saya semua tertinggal dalam wad Am. Saya datang ke sini sehelai sepinggang je.” Ujar Sufi kemudian keluar semula mendapatkan Baim yang berdiri di muka pintu kontena.
Baim senyap seketika. Betul juga kata Sufi, sewaktu dia membawa Sufi ke sini, memang gadis itu sehelai sepinggang. Nampaknya dia kena maklumkan pada Hail.
“Nanti saya akan bagi tahu pada Tuan Hail pasal ni.” Ucap Baim tanpa berfikir panjang.
Sufi mencebik. Dia memandang Baim daripada atas hingga ke bawah. Lelaki itu kelihatan lebih tua daripadanya. Air mukanya kelihatan tenang tidak seperti abang Hamsyari. Sentiasa ketat dan bengis.
“Tuan Hail? Siapa tu?” Soal Sufi apabila menyedari Baim menyebut nama yang cukup asing di telinganya.
“Mamat tiga suku tu ke?” Tambahnya lagi. Dia mengamati wajah Baim. Lelaki itu mengangguk kecil.
“Oh nama dia Hail. Hail ke ‘hell’. Perangai macam budak-budak tak matang. Sesuka hati aje paksa saya buat kerja yang saya tak nak. Awak tahu tak  Encik Baim, saya ni dah dapat kerja kat kampung saya. Isnin ni saya dah kena start kerja tapi bos awak tu kan, buat saya sakit otak. Lama-lama saya boleh jadi gila macam dia. Macam manalah awak boleh kerja dengan orang yang macam tu. Dia belum kahwin lagi kan?” Soal Sufi tiba-tiba. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Naik semput dadanya akibat terlalu panjang berleter.
Baim menyembunyikan tawanya. Dia tidak mahu mengulas panjang sebaliknya dia hanya menggelengkan kepala sebagai tanda jawapan pada soalan Sufi.
“Hah, saya dah agak dah dia tak kahwin. Kalau perangai macam tu perempuan manalah nak kat dia. Muka ketat. Kelat, pahit, payau. Semua adalah. Sekali buka mulut, gerenti lintang-pukang semua perempuan. Sah, dia tu antertu kan? Betul tak?” Omel Sufi lagi sambil meluruskan jari telunjuknya pada Baim. Dia inginkan jawapan untuk memuaskan hatinya yang sakit dengan sikap Hail.
“Antertu tu apa, cik?” Soal Baim mengawal riak wajahnya yang ingin ketawa. Tingkah Sufi sedikit sebanyak menghiburkan hatinya.
“Anak teruna tua. Alah, takkan itu pun awak tak tahu. Tapi betul ke dia tu majikan awak?” Soal Sufi lagi ingin tahu.
Baim anggukkan kepala. Dia tidak berani mengulas panjang.
“Mesti dia cuma supervisor je kan? Lagak macam ladang ni dia punya. Orang macam tu kalau saya repot kat bos besar gerenti sekelip mata aje dia kena buang kerja. Gila kuasa betul. Saya tak percayalah dia majikan kat sini. Muka pun nampak muka kuli je. Berlagak bagus je lebih!” Hambur Sufi lagi sekadar memuaskan hatinya sendiri.
Dia hanya berani di belakang, jika dia berhadapan dengan Hail gerenti kepalanya akan menunduk seperti ingin mencecah bumi. Cukup dengan jelingan, Sufi pasti menggelabah.
“Cik ada nak cakap apa-apa lagi?” Soal Baim menghentikan bebelan Sufi yang nampaknya tidak berpenghujung.
Sufi terdiam. Dia memikirkan sesuatu.
“Macam mana saya nak mandi? Nak buang air? Kat dalam kontena ni tak ada tandas.” Ucap Sufi sambil memandang kawasan sekeliling yang bertukar gelap.
“Oh itu, kat belakang kontena ni ada tandas..” Jawab Baim ringkas.
“Bilik mandi?”
“Hanya tandas je yang ada. Jadi cik boleh gunakan tandas tu sebagai bilik mandi.” Terang Baim lagi.
Sufi merengus. Dia memeluk tubuh.
“Jangan panggil saya cik. Panggil Sufi…” jawab Sufi ramah.
Baim menganggukkan kepala tanda faham.
“Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu. Esok saya datang untuk tunjukkan kerja pada awak.” Ujar Baim lalu mengundurkan diri.
“Hmmm…” Sufi menggumam. Dia hanya memerhati langkah Baim yang semakin menjauh. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Errr,  Encik Baim tunggu dulu!” Panggil Sufi sambil melambaikan tangan pada Baim.
Baim berpaling. Dahinya berkerut.
“Ada apa, Sufi?” Soalnya.
“Saya nak solat. Kiblat arah mana?” soalnya dengan pandangan yang cukup redup.
Dahi Baim berkerut. Tidak lama kemudian bibirnya melebarkan senyuman.


KENING Hail terjongket apabila melihat Baim yang sedang merenung wajahnya dengan lama. Dia mengecilkan kelopak matanya. Pelik melihat tingkah-laku Baim yang berlainan sebaik saja pulang dari menghantar gadis itu ke tempat tinggalnya.
“Kau ni dah kenapa? Senyum sorang-sorang. Tadi kau cakap ada benda nak bagi tahu aku. Apa dia?” Sergah Hail sambil mencampakkan pen di atas meja. Dia memicit kepalanya yang terasa berdenyut.
Baim menggelengkan kepala dengan pantas. Sebaik saja dia melihat wajah Hail, dia teringatkan bebelan Sufi yang mengutuk Hail. Timbul rasa geli di hatinya mengingatkan gelagat Sufi yang bersungguh-sungguh mengutuk Hail.
“Pasal Sufi, tuan. Macam mana dia nak kerja esok sedangkan beg pakaiannya tertinggal dalam wad Tuan Am? Dia tak ada satu pun pakaian yang baru. Telekung solat dan sejadah pun dia tak ada. Dia ada minta dengan saya tapi saya tak berani nak bagi.” Ucap Baim jujur.
Hail terdiam. Betul juga kata Baim. Semasa dia membawa Sufi ke sini, gadis itu datang dengan sehelai sepinggang. Jadi apa yang harus dia lakukan? Takkan nak bawa gadis itu membeli-belah pula. Memang taklah!
“Isteri kau ada baju-baju terpakai tak? Baju yang tak guna ke. Kalau ada, kau bagi dia pinjam dulu. Esok aku mintak orang hantarkan beg dia. Buat sementara ni guna je dulu apa yang ada. Boleh?” Soal Hail memberi pendapat.
“Boleh, tuan. Tapi saya takut Sufi tu tak selesa pula pakai baju isteri saya.” Ucap Baim tersekat-sekat.
“Kau tak payah nak kisahkan pasal dia. Sama ada dia suka atau tak itu terpulang pada dia. Kalau dia nak berbaju, dia pakai, kalau tak nak, tak payah pakai. Aku tak nak pasal pakaian ni jadi alasan untuk dia tak bekerja. Aku nak dia rasa hidup susah. Baru puas hati aku!” Balas Hail sarat dengan api dendam yang membara.
Baim menundukkan wajah. Soal itu dia tidak berani membantah. Apa saja yang diarahkan oleh Hail dia akan ikut. Terlalu banyak lelaki muda itu menolong dia dan keluarga sehingga Baim tidak sanggup untuk ingkar arahan Hail.
“Tapi tuan, saya rasa lebih baik tuan bagi Sufi telefon keluarga dia sekali. Sekurang-kurangnya perkara ini takkan melibatkan polis kalau keluarga dia sedar kehilangan dia. Lagi satu, tuan percaya ke yang adik dia takkan bagitahu pada polis tentang ni?” soal Baim dengan riak kerisauan mula terpancar di wajahnya.
Hail terdiam. Dia mula memikirkan sesuatu.
“Aku pun fikir benda yang sama. Aku tak nak perkara ni kecoh jika melibatkan polis. Aku cuma nak nasib Am terbela, itu saja. Esok kau bawa perempuan tu jumpa aku dekat pejabat. Pasal adik dia, kau jangan risau. Aku dah uruskan dia.” Ujar Hail sambil tersenyum penuh makna.
“Tuan dah uruskan dia? Macam mana?” Soal Baim ingin tahu.
Hail tidak menjawab. Dia hanya menjongketkan bahu.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Balas Baim meminta diri setelah tiada jawapan daripada Hail.
Hail mengangguk laju. Dia hanya memerhatikan batang tubuh Baim yang hilang di sebalik pintu. Satu keluhan dilepaskan.
“Am akan dapat balik cinta Am. Itu janji abang  untuk Am tapi sebelum tu, abang nak dia rasa kesakitan yang Am rasa akibat terseksa dengan cinta yang dia berikan. Abang akan buat dia bertanggungjawab pada Am. Abang akan pastikan dia kahwin dengan Am dan tamatkan segala penderitaan dan pengorbanan Am selama ni.” Ucap Hail sendirian sebaik saja Baim keluar daripada bilik kerjanya.
Dia tersenyum penuh makna. Dalam otaknya penuh dengan rancangan yang diaturkan untuk seorang gadis bernama Sufi Awliya.


SEBUAH teksi berhenti di hadapan rumah banglo dua tingkat yang berwarna coklat cair, kelihatan seorang gadis keluar dari perut kereta dengan tergesa-gesa. Riak wajahnya jelas ketakutan dan cemas. Dia berlari-lari memasuki kawasan rumah. Tanpa salam, dia menolak pintu rumah dengan kasar. Pintu dihempas kuat. Dia melekapkan belakang badannya ke daun pintu. Dia melepaskan nafas lega. Matanya dipejam buat seketika. Cuba mencari ketenangan yang hilang entah ke mana.
“Semua tu untuk kau…” suara itu kedengaran di telinga Ariana. Bayang satu kotak berbungkus dengan kertas berwarna coklat kembali terlayar di minda Ariana.
“Apa ni?” soalnya sambil mendongak. Mencari raut pemilik suara yang berada di sebalik kegelapan.
“Pampasan untuk kau. Kalau kau serahkan kakak kau pada aku, semua duit dalam tu milik kau.” Jawab suara itu mengejutkan Ariana.
“Serahkan kakak aku pada kau? Apa maksud kau?” soal Ariana dengan dahi yang sudah mula berlapis.
“Kakak kau perlu bertanggungjawab atas perbuatan dia.”
“Apa yang dia dah buat?” soal Ariana lagi.
“Itu kau tak perlu tahu. Tapi kalau kau sayangkan kakak kau, aku boleh ambil semula duit tu tapi kau kena bertanggungjawab atas apa yang kakak kau dah buat.” Ujar suara itu lagi.
Ariana membulatkan matanya. Gila ke aku nak kena bertanggungjawab sedangkan aku tak tahu apa yang Sufi sudah lakukan?
“Nampaknya kau lebih sayangkan kakak kau, jadi aku….”
“Tunggu!” laung Ariana memintas percakapan lelaki tersebut.
“Hah, balik pun kamu, Ana. Ke mana kamu pergi dua hari tak balik rumah? Kamu lupa ke esok dah nak pergi Jakarta?” Suara Puan Samihah membuatkan mata Ariana kembali terbuka. Peristiwa semalam terus lenyap dari ingatan. Dia kembali ke alam realiti.
“Ana ada kerja sikit, ibu. Ana penat. Ana naik dululah.” Ujar Ariana tanpa membalas pandangan Puan Samihah.
Puan Samihah mula mengesan sesuatu daripada perubahan riak wajah Ariana. Gadis itu kelihatan kusut masai malah rambutnya juga kelihatan tidak terurus. Nalurinya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang terjadi kepada Ariana.
“Ana, tunggu dulu! Ibu tak habis cakap lagi ni.” Halang Puan Samihah sambil memaut lengan Ariana.
Bukkk! Satu bungkusan jatuh di atas lantai. Ariana tersentak. Dia berpandangan dengan Puan Samihah.
“Apa tu?” Soal Puan Samihah seraya menunduk ingin mencapai bungkusan tersebut.
Belum sempat dia mencapai bungkusan itu, Ariana terlebih dahulu menyambar dan menyembunyikannya di belakang badan. Dia cuba beriak tenang walaupun reaksi Puan Samihah kelihatan curiga dengannya.
“Ini hadiah daripada kawan Ana. Kak Sufi dah balik kampung ke, ibu?” soal Ariana cuba mengalih perhatian Puan Samihah.
“Dah, abah kamu dah hantar dia pagi tadi.” Jawab Puan Samihah.
Ariana hanya menganggukkan kepala. Tanpa sebarang kata, dia terus berlalu meninggalkan Puan Samihah.

CAGARAN CINTA ( BAB 6 )

“ENCIK nak bawa saya ke mana ni? Tolonglah lepaskan saya. Saya janji saya akan bertanggungjawab tapi lepaskan saya!” Rayu Sufi sambil cuba meleraikan cengkaman tangan Hail di pergelangan tangannya.
Hail mendengus marah. Dia tetap mengheret tubuh Sufi tanpa menjawab soalan gadis itu. Beberapa pasang mata yang lalu lalang memandang mereka dengan pelik.
“Lebih baik kau diam, sebelum aku tampar muka kau dekat sini!” Keras suara Hail kedengaran di telinga Sufi. Dia merenung ke dalam mata Sufi dengan pandangan yang berapi.
Sufi diam tidak berkutik. Kecut perutnya dengan pandangan Hail.
“Saya takkan diam selagi encik tak bagi tahu ke mana encik nak bawa saya. Saya tak nak ikut encik. Encik tak dengar ke?” Bentak Sufi. Dia cuba merentap kembali tangannya tetapi tidak berdaya.
“Kau cakap nak bertanggungjawab kan? Jadi aku akan bawa kau ke tempat yang sepatutnya. Kau nak adik kau selamat tak? Kalau kau tak sayangkan adik kau, aku boleh aje suruh orang tamatkan riwayat adik kau macam yang kau buat pada Am. Hutang darah dibayar darah, ingat itu!” Jawab Hail dengan cukup bersahaja.
Sufi tersentak. Dia lemah seketika apabila lelaki itu menyebut perihal Ariana. Sesungguhnya saat ini dia begitu risaukan keselamatan adiknya itu.
“Apa jaminan encik lepaskan adik saya? Saya tak boleh percaya encik sewenang-wenangnya.” Tegas Sufi. Cuba merentap tangannya kembali.
Hail mengetap bibir. Kedegilan Sufi begitu menguji kesabarannya.
 “Ikut aku sekarang!” Arah Hail tanpa menjawab soalan Sufi. Telefon yang berada dalam poket seluar dikeluarkan sebelum dilekapkan di telinga.
“Hello, Baim.  Datang depan hospital sekarang!” Arahnya seraya mematikan panggilan.
Sufi masih lagi tercengang. Belum sempat pun dia berfikir panjang, kereta Mercedes Brabus berwarna hitam berhenti di hadapan mereka berdua. Sekelip mata tubuhnya ditolak masuk ke tempat duduk belakang. Sufi menjerit kecil. Dia menggigil ketakutan.
“Encik nak bawa saya ke mana ni? Tolong jangan apa-apakan saya! Saya menjerit kang?” Ugut Sufi.
Dia mula menggila. Dia meronta-ronta sambil cuba membuka pintu yang dipandu Baim. Nasibnya tidak baik kerana kereta itu auto lock. Apabila dia gagal membuka pintu, Sufi mula bertindak dengan mengetuk-ngetuk cermin kereta.
“Tolong! Tolong! Hentikan kereta ni!” Jerit Sufi sekuat hatinya. Malangnya, jeritan Sufi hanya bergema di dalam kereta.
“Tuan, apa kita nak buat ni?” Soal Baim cemas. Dia memandang Hail yang duduk di bahagian belakang melalui cermin pandang belakang.
Hail mengetap bibir. Geram. Spontan, dia merentap tangan Sufi dan menarik tubuh itu supaya bertentangan dengan dirinya.
“Diam!” Jerkah Hail garang.
Sufi terbejat. Kedudukannya yang begitu hampir dengan tubuh Hail membuatkan hatinya berdenyut tidak menentu. Darah merah menyerbu ke serata wajah. Hanya kelopak matanya saja yang terkebil-kebil membalas pandangan Hail yang kelihatan marah.
“Dengar sini, aku belum kebulur lagi nak rogol perempuan macam kau ni. Tak berbaloi pun untuk aku. Jadi kau jangan cari pasal dengan aku sekarang. Sebelum aku ubah fikiran, lebih baik kau diam!” Tempelak Hail dengan suara yang keras.
Sufi meneguk liur. Lidahnya kelu seketika. Kata-kata Hail menambahkan lagi bahang di wajah Sufi. Spontan, dia menolak tubuh Hail dengan kuat sehingga pautan tangan Hail terlepas daripada lengannya.
“Sekali lagi encik sentuh saya, saya tak teragak-agak nak tampar encik!” Ugut Sufi dengan berani.
Hail mencemikkan muka. Jelingan Sufi langsung tidak terkesan di hatinya.
“Tamparlah kalau berani!” Cabar Hail.
Dia memaut bahu Sufi dan cuba memegang kedua belah lengan gadis itu. Tetapi perbuatannya mengundang padah.
Pangggg!
Satu tamparan keras hinggap di pipi Hail. Hail tergamam. Begitu juga Sufi. Baim yang sedang memandu turut membeliakkan matanya.
“Tuan! Saya berhentikan kereta ya?” ucapnya cemas.
“Jangan! Teruskan perjalanan. Perempuan ni biar aku yang uruskan. Tali dengan kain mana?” Soal Hail dengan dada yang berombak ganas. Cuba menahan kemarahan yang semakin meluap-luap.
“Ada. Ni tuan.”
Baim mencapai tali dan kain yang berada di dalam kotak dashboard lalu dihulurkan pada Hail yang berada di belakang. Hail merampas dengan pantas.
“Berani kau tampar aku? Kau memang nak cari nahas, perempuan! Kau nak tunjuk yang kau bagus sangat sampai aku tak boleh sentuh kau. Entah-entah kau dengan adik lebih teruk daripada itu. Perempuan murah macam kau ni senang sangat nak gadai body!” Hambur Hail tanpa perasaan.
Dia menerkam ke arah Sufi lalu kedua belah tangan gadis itu dikilas ke belakang. Rontaan Sufi menyukarkan kerjanya tetapi dia tetap berkeras. Kedua belah tangan gadis itu diikat kemas.
“Lepaskan saya! Apa yang encik buat ni? Encik ni gila ke apa?” Ronta Sufi lagi.
“Aku boleh jadi lebih gila kalau kau tak tutup mulut kau tu! Kau nak aku jadi gila ke?” Soal Hail. Dia melepaskan nafas apabila berjaya mengikat kedua-dua tangan Sufi.
Sufi mengemam bibirnya. Dia menggelengkan kepala dengan pantas. Laju saja wajahnya dipalingkan ke tingkap kereta. Cuba meredakan debaran di dada.
“Tahu pun diam. Menyusahkan je!” Bebel Hail.
Dia menyandarkan tubuh ke belakang. Dia menjeling sekilas pada Sufi yang kelihatan tidak selesa dengan tangan yang diikat kemas. Hail tersenyum sinis. Padan dengan muka kau. Kau ingat kau boleh mainkan hati semua lelaki? Aku takkan benarkan semua itu berlaku. Cukuplah kau dah musnahkan hidup adik aku. Aku takkan biarkan kau musnah hidup lelaki lain. Monolog Hail.
Lalu, dia mencapai kain hitam lalu disaukkan ke wajah Sufi sebelum kain hitam itu diikat bagi menutupi mata Sufi.
“Apa ni?” Jerit Sufi nyaring. Dia terkejut apabila tiba-tiba pandangannya menjadi gelap.
“Diam!” Sergah Hail lagi.
“Macam mana saya nak diam, kalau encik tutup mata saya? Encik ni memang gila! Sewel! Macam mana Am boleh ada abang yang sakit otak macam encik ni?!” Bentak Sufi sambil meronta-ronta.
“Bisinglah kau ni, kau nak bercakap sangat kan? Hah, bercakaplah sampai pengsan. Jangan cuba-cuba nak diam. Kalau diam, tahulah aku nak kerjakan kau!” Hail memberi amaran.
Sufi mula kecut perut. Mulutnya terus terkunci rapat. Dia bimbang ugutan Hail memberi padah pada dirinya. Akhirnya, Sufi menutup mulut. Dadanya mula sebak apabila terbayangkan wajah Puan Suraya yang pasti sedang menunggu kepulangannya. Lalu, setitik demi setitik air matanya mengalir di pipi.
“Umi…” Desis Sufi perlahan.


SUFI terjaga daripada lenanya apabila terasa kereta yang dipandu oleh Baim berhenti dengan sendirinya. Dia membetulkan duduk. Kepalanya dipusingkan ke kiri dan kanan. Dadanya kembali menjemput debaran apabila ikatan di tangannya dileraikan. Manakala, kain yang menutupi matanya ditanggalkan.
Dia membuka mata. Pandangannya sedikit berbalam-balam akibat terlalu lama memejamkan mata. Beberapa kali Sufi cuba mengerdipkan kelopak mata sebelum anak matanya terbuka luas.
“Saya kat mana ni?” Soal Sufi kehairanan. Pemandangan di hadapan matanya agak janggal pada Sufi.
“Keluar!” Arah Hail lalu menolak pintu keretanya. Dia melangkah keluar.
Sufi masih lagi membeku di tempat duduknya. Dia pelik melihat kawasan sekitar yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang meninggi. Kawasan itu kelihatan redup kerana waktu senja akan menjengah tidak lama lagi. Dahi Sufi berkerut.
“Kau ni anak raja ke sampaikan aku nak kena bukakan pintu?” Keras suara Hail kedengaran bersama pintu kereta yang direntap kasar.
Bahu Sufi terhenjut akibat terkejut. Perlahan-lahan, dia melangkah keluar dari perut kereta. Dia cuba seimbangkan tubuhnya yang terasa seperti tidak menjejak bumi.
“Saya kat mana ni? Kenapa encik bawa saya ke sini?” Soal Sufi takut-takut berani.
“Ini tempat aku. Ini kawasan aku. Jadi mulai hari ini, tempat ni akan jadi tempat kau!” ujar Hail sambil memeluk tubuh. Anak matanya dihalakan pada Sufi yang kelihatan cuak.
“Apa maksud encik? Kenapa encik bawa saya ke sini?” Soal Sufi bertalu-talu.
“Kau cakap kau nak bertanggungjawab atas semua yang berlaku pada Am kan?”
Sufi menganggukkan kepala. Memang itu yang dia katakan pada Hail tapi apa kaitan tanggungjawabnya dengan kawasan ini?
“Mulai hari ini kau kerja dekat sini. Kau tinggal dekat sini sampai Am sembuh daripada penyakitnya. Aku takkan biarkan kau lari dengan mudah selagi Am tak sembuh.” Jawab Hail.
Jelas Sufi terpempan. Dia melongo seketika.
“Kerja dekat sini? Tinggal dekat sini?”
“Betul! Kenapa? Kau tak selesa nak kerja dekat sini? Tak selesa nak tinggal dekat rumah yang kecil macam ni?” Pintas Hail pantas. Dia tersenyum sinis. Melihat reaksi Sufi seperti jijik itu cukup membuktikan bahawa gadis itu tidak pernah hidup susah dan itu makin memudahkan Hail untuk membalas dendam.
“Tapi saya dah ada kerja saya sendiri. Umi saya tengah tunggu saya. Saya kena balik. Saya janji saya akan bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Am tapi biar saya buat kerja saya sendiri.” Pinta Sufi berharap agar Hail faham.
“No! Aku tak percayakan kau. Cukuplah kau tipu Am. Aku takkan bagi ruang untuk kau tipu aku pula. Tadi kau cakap kau bukan kekasih Am, lepas tu kau mengaku yang kau kekasih Am dan sanggup bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada dia. Sekarang kau nak aku percaya yang mak kau tengah tunggu kau? Jangan nak bermimpi! Aku takkan percaya walaupun sepatah perkataan yang keluar daripada mulut kau. Ini tempat aku. Kawasan aku. Hanya aku yang boleh keluarkan arahan. Kau cuma ikut!” Tegas Hail dengan wajah yang ketat.
Sufi tidak keruan. Dia gelisah. Menyesal pula kerana sanggup bertanggungjawab untuk kesalahan yang bukan dia lakukan. Tetapi jika dia menafikan pun, Hail takkan percaya malah keselamatan Ariana yang menjadi ancaman.
“Tapi macam mana dengan keluarga saya? Kalau dia cari saya macam mana? Encik akan didakwa kerana menculik saya, encik tahu tak?”
“Oh really? Entah-entah keluarga kau langsung tak kisah. Yalah, kau pun selalu keluar dengan ramai jantan jadi tentu dia orang akan fikir kau lari dengan jantan lain.” Sinis Hail.
Namun, dalam hati dia mengakui kata-kata Sufi ada benarnya juga. Lebih daripada 24 jam gadis itu hilang, tentu keluarganya akan membuat laporan polis. Jadi sebelum perkara itu berlaku, dia harus bertindak secepat mungkin.
“Encik jaga sikit mulut encik tu! Saya bukan macam tu!” Marah Sufi cuba membela diri.
“Bukan macam tu tapi dah terbukti yang kau tak ubah macam perempuan jalang! Kerja kau cuma kejar lelaki kaya. Tapi sayang, adik aku tak termasuk dalam senarai. Jadi kau campak dia macam sampah. Kau tendang dia macam kucing kurap. Perempuan macam kau ni lebih baik mati daripada merosakkan orang lain!” Maki Hail lagi sekadar untuk memuaskan hatinya.
“Kurang ajar!” Tempik Sufi. Dia mengangkat tangan lalu cuba diayunkan ke wajah Hail.
Tetapi Hail bertindak pantas dengan menangkap pergelangan tangan Sufi. Tubuh gadis itu ditolak rapat ke kereta sebelum tangannya mencengkam kuat rahang Sufi. Gadis itu menjerit kesakitan.
“Kau nak tampar aku? Tamparlah! Itu langsung tak dapat mengurangkan dendam aku pada kau. Aku tak tahu kenapa Am boleh jadi bodoh sebabkan perempuan macam kau ni sedangkan dia boleh dapat perempuan yang jauh lebih baik dan cantik. Atau mungkin kau dah bagi dia lebih daripada tu?” Soal Hail dengan suara yang perlahan. Dia merenung ke dada Sufi dengan pandangan nakal.
Sufi tersentak. Matanya membulat. Segera dia memalingkan wajahnya ke tempat lain.
“Awak jangan nak kurang ajar dengan saya! Kalau awak tak percayakan saya, awak kena percayakan Am, dia bukan lelaki macam tu!” Tegas Sufi cuba menolak tubuh Hail supaya menjauh. Panggilan hormatnya sudah hilang entah ke mana.
Hail hanya melemparkan senyuman sinis. Dia meleraikan cengkaman di rahang Sufi. Tubuh gadis itu ditolak keras.
“Aku tahu Am lelaki yang baik tapi cinta kau yang dah kotorkan dia!” Tingkah Hail lagi. Dia menjarakkan diri daripada Sufi.
“Saya minta maaf. Am jatuh cinta disebabkan saya tapi saya tak tahu dia akan bertindak sejauh ni. Dia lelaki yang baik. Saya sangka dia akan kuat tetapi tidak. Saya minta maaf.” Ucap Sufi mengalah. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi.
Hail mengetap bibir. Kedua belah tangannya diselukkan ke dalam poket. Satu keluhan dilepaskan.
“Dah terlambat untuk kau mohon maaf. Maaf kau tak mampu menyembuhkan Am. Dia kehilangan semangat untuk terus hidup. Semuanya sebab kau. Sebab kau yang minta dia mati. Kau harus tebus segala perbuatan kau pada dia.”
“Ya, saya tahu. Saya akan tebus segalanya. Tapi tolong lepaskan saya. Saya takkan lari. Saya janji!” Pinta Sufi sambil mengangkat sebelah tangannya seolah-olah berikrar.
“Huh, jangan mimpi! Aku takkan lepaskan kau keluar daripada sini. Mulai hari ini kau kena kerja di ladang ni. Kau rela atau pun tak, kau kena ikut sebab kau tak ada pilihan yang lain. Semua gaji kau, aku akan tolak untuk semua rawatan Am.” Terang Hail selamba.
Sufi tercengang-cengang. Dia belum lagi menyatakan persetujuan tetapi Hail terlebih dahulu membuat keputusan.
“Kenapa saya yang kena tanggung? Awak abang dia, awaklah yang bayarkan.” Bantah Sufi.
“Siapa yang buat dia jadi macam tu? Kau kan? Takkan aku yang nak bayarkan pula.” Balas Hail sambil mencerun memandang Sufi.
“Berapa kos rawatan Am tu?” Soal Sufi ingin tahu.
“Sepuluh ribu.” Jawab Hail tenang.
Terbeliak mata Sufi mendengar angka yang disebut oleh Hail. Biar betul? Takkan sampai sepuluh ribu?
“Kenapa mahal sangat? Awak nak tipu saya ke?” Sufi mengecilkan matanya.
“Berbaloi ke aku nak tipu perempuan macam kau. Sepuluh ribu tu bukanlah banyak mana kalau nak dibandingkan dengan nyawa Am yang hampir melayang disebabkan kau. Dia perlukan rawatan dan doktor yang terbaik. Aku buat semua ni sebab aku sayangkan Am. Bukan macam kau! Kau hanya tahu nak kikis duit dia je. Sekarang kau pula rasa macam mana susah nak cari duit untuk orang yang kau sayang!” Bidas Hail.
Sufi terdiam. Walaupun hatinya tidak bersetuju dengan kata-kata Hail tetapi dia terpaksa telan jua demi melindungi keluarganya daripada ancaman abang Hamsyari yang tidak diketahui namanya ini. Betul ke tindakan aku ni? Detik hati Sufi mula sangsi dengan keputusan yang dia buat sendiri.
“Kalau Am sembuh, awak akan lepaskan saya tak?” Soal Sufi sambil mengangkat pandangan.
Anak mata mereka bertentangan. Agak lama sebelum Hail mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Aku akan pastikan kau kahwin dengan Am barulah aku lepaskan kau.” Jawab Hail tegas.
Sufi terdiam. Kahwin dengan Am? Am takkan kahwin dengan akulah, mangkuk! Aku bukan kekasih dia yang sebenar. Tapi kau tak tahu tentang tu. Tapi bila kebenaran terbongkar nanti, kau juga yang akan menyesal. Monolog Sufi.
“Baiklah, saya ikut kata-kata awak kali ini. Saya akan jaga Am sampai dia sembuh. Saya pun memang nak dia sembuh sebab hanya dia yang tahu kebenarannya. Awak jangan terkejut bila kebenaran terbongkar nanti.” Ujar Sufi dengan senyuman sinis.
Hail tidak membalas. Senyuman sinis Sufi dibalas dengan jelingan.
“Baim!” Panggil Hail kuat.
Baim yang masih berada di dalam kereta segera keluar. Dia berdiri tegak di hadapan Hail sambil menundukkan kepala. Kecut juga perutnya apabila melihat wajah tuannya yang menyinga.
“Saya, tuan!” Jawab Baim tergagap-gagap.
“Tunjukkan perempuan ni mana tempat tinggal dia. Mulai hari ni dia akan kerja dekat ladang ni sampai aku sendiri yang berhentikan dia. Aku nak kau awasi dia 24 jam. Jangan sampai dia lari dari sini. Kalau dia lari, aku pecat kau. Faham?” Soal Hail tegas.
“Baik, tuan!”
“Satu lagi, jangan beri layanan yang istimewa pada perempuan ni. Dia bukan sesiapa pun pada aku. Layan dia sama seperti pekerja lain.” Sambung Hail lagi memberi arahan.
Baim akur jika itu arahan yang telah diberikan Hail. Dia tidak berani membantah. Buruk padahnya nanti.
“Dan kau, ini Baim pembantu aku kat sini. Dia ada isteri dan dua orang anak yang masih kecil. Kalau kau cuba-cuba nak larikan diri, aku tak teragak-agak nak pecat Baim walaupun dia dah lama kerja dengan aku. Masa depan dia dan keluarga dia bergantung pada kau!” Ucap Hail sambil meluruskan jari telunjuknya tepat ke wajah Sufi.
Sufi menjeling. Sah, mamat ni gila! Jerit hatinya.
“Saya nak bukti yang adik saya dah selamat. Kalau awak menipu, saya tak teragak-agak nak lari dari sini. Apa nak jadi, jadilah.” Ugut Sufi.
Hail mencebikkan bibir. Dia memberi isyarat mata kepada Baim. Baim menganggukkan kepala. Lalu, lelaki itu menghampiri Sufi. Telefon bimbit disuakan kepada Sufi. Sufi hanya menurut. Dia memandang lama skrin telefon bimbit yang memaparkan figura Ariana sedang menaiki teksi tanpa ada sebarang kecederaan. Mata Sufi berkaca. Dia menarik nafas dan menghembuskannya dengan lega.
“Adik saya dah selamat sampai rumah?” soal Sufi kepada Baim yang turut membalas pandangannya.
“Saya cuma ikut dan tunggu sampai dia selamat naik teksi. Selebihnya saya tak tahu,” jawab Baim.
“Cukuplah yang kau nampak adik kau tu selamat, tak ada calar-balar, kau ingat adik kau puteri ke sampai nak kena hantar ke rumah?” sampuk Hail.
Sufi menjeling. Dia mencemikkan wajah.

CAGARAN CINTA ( BAB 5 )


“ENCIK ni… Encik ni siapa?” Soal Sufi
dengan suara yang tergagap. Dia gugup apabila berdepan dengan lelaki yang tidak dia kenali.
Lelaki itu tersenyum sinis dan melangkah setapak demi setapak sehinggalah sampai betul-betul di hadapan Sufi. Dia berdiri bertentangan dengan Sufi. Bola matanya tidak sedikit pun berganjak  merenung Sufi daripada kepala sehingga ke hujung kaki.
“Kau ingat, kau boleh masuk dalam bilik ni dengan sewenangnya tanpa kebenaran daripada aku?” Suara lelaki itu kedengaran agak kasar.
Sufi mula kecut perut. Dia tidak betah beradu pandangan dengan lelaki yang berada di hadapannya sekarang. Terasa ingin terkencing saat itu juga. Lantas, pandangannya ditundukkan.
“Jadi encik ni penjaga Am? Encik ni abang Am ke?” Soal Sufi ingin tahu. Dia cuba memberanikan diri.
“Ya. Aku abang  Hail Hamsyari, lelaki yang kau dah hancurkan hatinya!” Julat suara Hail meninggi.
Sufi menikus. Dia terpempan mendengar kata-kata yang terluah daripada mulut Hail. Apa kaitan aku dengan hati Hamsyari yang hancur? Soal hati Sufi kebingungan.
“Aaa… apa maksud encik? Saya tak faham.” Suara Sufi mula bergetaran.
Hail tersenyum sinis. Anak matanya masih mengawasi setiap pergerakan Sufi. Gadis itu kelihatan serba tak kena malah wajah gadis itu menggambarkan riak ketakutan. Hail merasakan kemenangan sudah berpihak kepadanya.
“Tak faham ke atau sengaja buat tak faham? Kau berikan harapan pada adik aku kemudian kau hancurkan hatinya lepas tu kau cakap kau tak faham apa yang aku cakap? Kau memang pandai putar belit, kan? Dasar perempuan tak guna!” Cemuh Hail tanpa perasaan bersalah.
Menyirap darap Sufi mendengar hinaan Hail. Dadanya mula berombak halus.
“Encik siapa nak cakap saya macam tu? Saya tak ada kena mengena dengan apa yang terjadi pada Am. Saya tak tahu kenapa dia jadi macam ni. Jadi encik jangan sesuka hati nak cakap saya perempuan yang tak guna!” Bentak Sufi.
Hail mengetap gigi menahan rasa amarah yang semakin menular ke dalam dada. Hamsyari menderita sehingga nekad untuk bunuh diri tapi perempuan itu cakap dia tiada kaitan? Sungguh, Hail tak percaya. Kata-kata Sufi ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak.
“Tak ada kena mengena? Dia jadi macam ni disebabkan kau! Kau tolak cinta dia sampaikan dia hampir bunuh diri! Kau tahu tak?!” Suara Hail melengking tinggi sehingga bergema di segenap ruang bilik tersebut.
Sufi tergamam. Kecut hatinya mendengar tempikan Hail. Inilah kali pertama dia dijerkah sebegitu. Tetapi bukan itu yang menganggu fikiran Sufi. Kata-kata Hail yang membuatkan dia kaku tanpa riak.
“Am hampir bunuh diri?” Soalnya perlahan. Lebih kepada dirinya sendiri. Dia mengalih pandangan pada tubuh Hamsyari yang terbujur kaku di atas katil.
“Ya, malam sebelum dia jadi macam ni dia telefon aku. Dia menangis kerana terlampau tertekan dengan kau. Kau putuskan hubungan dengan dia. Kau minta dia pergi mati! Kau memang perempuan yang kejam!” Jerkah Hail lagi bagi melepaskan kemarahan yang terpendam.
Sufi terkesima. Dia menggelengkan kepala dengan laju. Tiba-tiba lututnya menjadi lembik. Lantas, langkahnya terundur ke belakang dan terhenti di sudut dinding.
“Tak… Bukan saya penyebabnya. Bukan saya! Am takkan bunuh diri disebabkan saya! Saya tak percaya! Saya tak percaya!” Bentak Sufi turut meninggikan suara. Matanya kembali berkaca.
Hail merengus. Dia geram dengan sikap yang ditunjukkan Sufi. Lantas, dia menyeluk poket seluarnya. Secebis kertas dilemparkan tepat ke muka Sufi.
“Itu buktinya yang dia sanggup mati untuk kau!” Ujar Hail.
Sufi menunduk dan mengutip cebisan kertas berupa nota yang jatuh di atas lantai. Perlahan-lahan dia membuka nota tersebut dan membaca dengan teliti.
Mengenalimu satu hadiah buat aku,
Mencintaimu adalah keutamaanku,
Melihat mu tersenyum merupakan mimpi indah bagiku,
Aku sanggup mati untukmu kerana nafasku adalah milikmu,
- Hamsyari-
Sufi terpaku sebaik saja selesai membaca nota tersebut. Hatinya mula bergendang sesama sendiri. Dia mengangkat wajah. Pandangannya terus bersabung dengan anak mata lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
“Bukan… Nota ini bukan untuk saya…” ujar Sufi sambil menggelengkan kepalanya.
Hail tersenyum sinis. Dia melepaskan nafas dengan kuat. Cuba menahan sabar yang semakin pudar.
“Bukan untuk kau? Habis tu untuk aku?” Sinis Hail.
“Encik dah salah faham ni. Saya memang kenal Am tapi saya bukan kekasih Am dan encik tak ada bukti untuk cakap saya ni kekasih dia!” bantah Sufi berani.
“Bukti? Kau nak bukti?” soal Hail.
Lantas, dia menyeluk poket seluar. Dia mengeluarkan telefon bimbit. Skrin telefon digeserkan untuk mencari sesuatu sebelum skrin telefon tersebut dipaparkan kepada Sufi.
Sufi mengecilkan mata. Cuba mengamati video yang ditunjukkan oleh Hail. Tidak lama kemudian, matanya terbeliak sebaik saja melihat figura seorang gadis muda yang dikenalinya.
“Itu… Itu…” Suara Sufi mula bergetar. Wajahnya berubah cuak.
“Perempuan yang berada dalam gambar ni kakak aku. Hamsyari dan dia bekerja di tempat yang sama. Jadi, logiklah kalau mereka ada hubungan. Aku datang ke restoran tu disebabkan kakak aku, bukan sebab aku ada hubungan dengan Hamsyari. Percayalah, aku bukan kekasih Hamsyari. Dia… Dia kekasih Hamsyari yang sebenarnya.”
Suara Ariana yang dimainkan melalui telefon bimbit milik Hail menyapa telinga Sufi. Dia tergamam dengan beribu persoalan bermain di fikirannya. Macam mana Ariana boleh berada di dalam video tersebut dan kenapa Ariana mengatakan bahawa dia kekasih Hamsyari? Apa semua ini? Bentak hati Sufi.
“Macam mana adik saya….” Kata-kata Sufi mati di situ. Dia memandang wajah Hail dengan penuh tanda tanya.
“Adik kau sendiri yang mengesahkannya. Sekarang, kau nak tipu aku lagi?”
“Adik saya mana? Mana adik saya? Apa yang awak buat pada adik saya?!” jerit Sufi mula cemas. Dia cuba menarik baju Hail namun Hail terlebih dahulu menepis tubuh Sufi. Sufi jatuh terjelepok di atas lantai.
“Kalau kau nak adik kau selamat tanpa sebarang cacat cela, kau kena bertanggungjawab atas apa yang kau dah lakukan kepada adik aku. Kalau kau buat adik aku hampir mati, aku boleh buat perkara yang sama kepada adik kau!” balas Hail dengan wajah yang bengis. Tajam dia merenung Sufi yang masih tergamam di atas lantai.
Darah Sufi bagaikan berhenti mengalir mendengar ugutan Hail. Nyawa Ariana dalam bahaya, apa yang harus dilakukan saat ini? Sufi cemas sendiri. Tapi kenapa Ariana mengatakan bahawa dia adalah kekasih Hamsyari? Atau Ariana mengatakan semua itu demi menyelamatkan dirinya? Jika Ariana terselamat, jadi bagaimana dengan dirinya saat ini? Pelbagai persoalan mula terbit dalam diri Sufi. Dia resah sendiri.
“Tak… Encik salah faham… Encik boleh tanya Am. Dia akan buktikan yang saya bukan kekasih dia.” Ucap Sufi penuh yakin. Lantas, dia menghampiri katil Hamsyari.
Kaki Hamsyari yang ditutupi dengan kain selimut digoncang beberapa kali. Berharap agar Hamsyari bangun dan mengatakan hal yang sebenar.
“Am, bangun! Cakap pada abang awak, saya bukan kekasih awak! Bangun Am!” rayu Sufi dengan air mata mula bergenang di kelopak mata.
“Hoi, apa yang kau buat tu, perempuan?!” marah Hail. Lalu, dia menerpa ke arah Sufi. Lengan gadis itu ditarik kasar namun Sufi masih tidak berganjak.
“Hanya Am yang boleh buktikan saya tidak bersalah! Saya nak dengar dari mulut dia sendiri. Bukan saya penyebab dia jadi macam ni.”  Bentak Sufi lagi.
“Kau jangan ganggu dia! Aku tak benarkan kau sentuh dia lagi. Cukuplah kau hancurkan hati dia!” Hail semakin hilang sabar. Dia cuba mengheret tubuh Sufi supaya jauh daripada Hamsyari tetapi tubuh Hamsyari yang bergerak-gerak membuatkan mereka berdua beku seketika.
Mata Sufi mula terbuka luas. Dia dapat melihat sinar yang cerah apabila kelopak mata Hamsyari mula terbuka dan kepalanya mula berpaling ke arah Sufi dan Hail. Sufi tersenyum dengan air mata yang bergenang.
“Am!” Sufi bingkas bangun lalu mendapatkan Hamsyari. Tergambar riak kegembiraan di wajahnya apabila melihat Hamsyari memandang ke arahnya.
“Am, tolong cakap pada abang awak yang kita tak ada…”
“Kenapa awak tinggalkan? Apa salah saya? Saya sayangkan awak. Jangan tinggalkan saya.” Ucap Hamsyari tiba-tiba. Dia bangkit dan cuba memaut tangan Sufi.
Sufi tersentak. Dia terpaku seketika. Namun, apabila tangan Hamsyari cuba memaut pergelangan tangannya, sepantas kilat Sufi mengelak. Perbuatan Sufi menyebabkan Hamsyari hampir terjatuh.
“Am!” jerit Hail lalu menerpa ke arah Hamsyari lalu memegang tangan adiknya bagi menghalang daripada Hamsyari terjatuh daripada katil.
“Abang, jangan biarkan dia tinggalkan Am lagi! Am sayangkan dia, bang. Am tak boleh hidup tanpa dia!” ngongoi Hamsyari lagi dengan air mata yang sudah mula mengalir daripada kelopak matanya.
Mata Sufi terbuntang dengan dada yang berdetak kuat. Dia menutup mulut dengan telapak tangan. Seteruk inikah keadaan Hamsyari? Apa yang sebenarnya terjadi kepada Hamsyari? Hatinya mula dilanda tanda tanya. Simpatinya tertumpah saat melihat Hamsyari mula merayu pada Hail.
“Am… Am rehat dulu. Am tak sihat lagi ni. Abang akan pastikan dia tak ke mana-mana. Am jangan risau.” Pujuk Hail dengan lembut. Tubuh adiknya dipeluk dengan penuh kasih sayang.
“Tapi dia nak tinggalkan Am. Am sayangkan dia, abang. Am perlukan dia.” Ngongoi Am lagi.
“Abang tahu. Sekarang dia dah ada depan mata Am, dia takkan tinggalkan Am. Am rehat dulu, ya?” pinta Hail lagi.
Hamsyari menggelengkan kepala dengan pantas.
“Betul dia takkan tinggalkan Am?” soal Hamsyari lagi. Dia mendongak mencari bola mata milik abangnya.
Hail menahan sebak. Dia menganggukkan kepala dengan senyuman yang terpaksa dia ukirkan buat Hamsyari.
Hamsyari mulai tenang. Tubuhnya terasa penat begitu juga dengan jiwanya. Perlahan-lahan kelopak matanya terkatup dengan sendirinya sebelum dia tidur dalam pelukan Hail. Hail menolak sedikit tubuh Hamsyari, apabila menyedari Hamsyari mulai tidur, dengan perlahan dia membaringkan tubuh Hamsyari di katil.
Dia kembali berpaling ke arah Sufi yang masih tidak berganjak di tempatnya berdiri. Gadis itu kelihatan beku tanpa kata. Serta-merta darahnya naik mendadak.
“Kau dah nampak apa yang kau dah buat pada adik aku! Puas hati kau sekarang?!” jerkah Hail kembali menyinga.
Bahu Sufi terhinjut. Seperti terjaga daripada mimpi yang panjang, Sufi tersedar. Terkebil-kebil dia memandang Hail dengan perasaan yang bercampur baur. Dia tidak menyangka begitu seksanya Hamsyari disebabkan sebuah rasa. Rasa cinta. Cinta yang ditolak tanpa alasan yang pasti tentu menyakitkan dan menyeksakan buat seorang lelaki yang polos seperti Hamsyari.
“Apa yang….”
“Kau masih tak nak mengaku? Baik, aku akan pastikan adik kau terima nasib yang sama seperti Am!” pintas Hail tanpa sempat Sufi menghabiskan bicaranya. Suaranya kedengaran keras dan tegas.
Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. Skrin disentuh untuk menghubungi nombor Baim. Tetapi belum sempat dia meletakkan telefon di telinga, tangannya terlebih dahulu ditepis.
“Jangan apa-apa adik saya! Saya akan bertanggungjawab!”

CAGARAN CINTA ( BAB 4 )

JAM menunjukkan tepat pukul tujuh malam. Sebuah kereta Mercedes berwarna hitam berhenti di hadapan Restoran Pantai Timur buat kesekian kalinya. Pintu kereta ditolak. Baim melangkah keluar sambil berdiri dengan tangan yang mencekak pinggang. Dia mengeluh apabila melihat pintu restoran sudah pun tertutup rapat. Petanda waktu perniagaan sudah tamat.
Dia meraup rambutnya ke belakang. Apa yang harus dikatakan kepada Hail sekarang? Laju tangannya menyeluk poket, mencari telefon bimbit sebelum nombor Hail didail. Selang beberapa saat, panggilannya berjawab.
“Restoran dah tutup, tuan.” Ujar Baim dengan nada kecewa.
“Apa? Tutup?!” Suara Hail hampir menjerit. Baim menjauhkan telefon daripada telinganya. Dia menggeleng kecil.
“Ya, tuan. Tutup. Apa kita nak buat sekarang? Kakak perempuan tu mesti dah balik sekarang dan kalau kita terus tahan adik dia tu, bahaya tuan. Lebih daripada 24 jam, boleh jadi kes culik.” Baim cuba mengingatkan.
Kedengaran Hail mendengus. Kata-kata Baim ada benarnya.
“Aku tahu. Kau datang sini dulu. Kita cuba tanya pada adik dia ni. Nampak gayanya perempuan ni gila duit, aku rasa dia sanggup gadaikan kakak dia demi kepentingan diri dia sendiri.” ujar Hail.
“Tuan yakin ke kakak perempuan tu kekasih Tuan Am?” soal Baim lagi.
“Aku tahu Am suka perempuan yang macam mana. Aku tak rasa perempuan yang kita tahan ni kekasih Am. Walau apa pun yang terjadi, aku tetap akan pastikan perempuan yang buat Am merana turut terima nasib yang sama.” Jawab Hail sarat dengan dendam.
“Baik, tuan. Saya ke sana sekarang.” Balas Baim lantas mematikan talian. Dia mengeluh kecil. Bilakah semua ini akan berakhir?



KERETA Toyota Estima milik Encik Latif berhenti betul-betul di hadapan Restoran Pantai Timur pagi itu. Dia berpaling pada Sufi yang turut memandang ke arahnya. Senyuman manis si anak dibalas mesra.
“Terima kasihlah sebab abah susah-susah hantar Sufi dekat sini padahal Sufi boleh pergi sendiri.” Ujar Sufi sambil merungkai tali pinggang yang membelit tubuhnya.
“Apa salahnya. Sufi anak abah. Ini tanggungjawab abah untuk pastikan anak abah ni selamat.” Balas Encik Latif sambil mengelus lembut ubun-ubun Sufi.
Sufi tersenyum nipis. Kata-kata Encik Latif menyentuh hatinya. Kalaulah penceraian itu tidak berlaku, tentu saat ini mereka sekeluarga hidup bahagia. Tetapi siapalah dia untuk menidakkan takdir yang telah tercipta. Perkara yang berlaku, tidak akan dapat diundurkan kembali.
“Abah tak nak bagi ruang ke pada hubungan abah dan umi? Abah tak nak hidup bahagia kembali ke?” Soal Sufi tiba-tiba. Ada getar dalam nada suaranya.
Senyuman manis Encik Latif mati dengan sendirinya. Dia mengetap bibir.
“Sufi tahu kan semua tu takkan terjadi? Abah dah bahagia sekarang dan abah rasa umi kamu pun bahagia dengan kehidupan dia sekarang. Sufi anggap ajelah abah dan umi tak ada jodoh. Jodoh kami setakat ni aje. Abah tak nak ingat perkara yang lepas sebab kita hidup untuk hari ni dan akan datang bukan untuk hari semalam. Sufi faham kan maksud abah?” Lembut tutur kata Encik Latif kedengaran. Dia berharap agar Sufi mengerti tentang keputusannya dahulu.
Akibat campur tangan daripada ibunya, hubungan antara dia dan Puan Suraya ternoktah begitu saja. Cinta antara dua darjat, sampai bila dapat bertahan? Itulah yang berlaku antara dia dan ibu kandung Sufi. Mereka dipisahkan saat Sufi masih dalam kandungan dan akhirnya dengan rela hati Puan Suraya minta dilepaskan selepas tidak tahan dicaci dan dihina oleh ibu mentuanya sendiri. Walaupun berat untuk Encik Latif membuat keputusan namun demi kebahagiaan dan ketenangan isterinya, dia melepaskan Puan Suraya dengan talak satu. Demi mengelak lebih banyak persengketaan, Encik Latif bersetuju untuk berkahwin dengan wanita pilihan ibunya yakni Puan Samihah.
“Sufi tahu abah dah tak sayangkan umi. Tapi abah baliklah jenguk umi kat kampung. Mek ada juga tanya pasal abah. Hubungan abah dengan umi memang dah terputus, tapi silahturahim tu tetap ada kan?” Suara Sufi memecah gegendang telinga Encik Latif. Dia tersedar daripada lamunannya.
Satu keluhan dilepaskan.
“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa nanti abah balik. Abah malu nak jumpa mek. Abah malu sebab abah tak dapat pertahankan rumah tangga abah. Abah tak mampu masa tu, Sufi. Abah tak mampu.” Ujar Encik Latif sambil menggelengkan kepalanya.
Hati Sufi tersentuh melihat wajah Encik Latif yang penuh dengan kekesalan. Dia menghela nafas dan menghembuskan dengan perlahan. Tidak sepatutnya dia membangkitkan perkara yang telah lalu sehingga meletakkan Encik Latif dalam keadaan serba-salah.
“Abah tak payahlah cakap lagi. Sufi minta maaf sebab ungkit pasal ni. Sufi tak patut buat abah susah hati. Tak apalah, bah. Sufi dah lama reda dengan takdir yang jadi pada keluarga kita. Sekurang-kurangnya, Sufi masih ada abah. Sufi masih boleh jumpa abah. Ibu pun boleh terima Sufi dengan baik. Itu sudah cukup untuk Sufi.” Ucap Sufi kemudian mengukirkan senyuman manis buat Encik Latif.
Encik Latif mengalih pandangan pada laman wajah Sufi yang ayu. Dia turut mengukir senyum. Senang dengan kata-kata Sufi.
“Abah tahu, anak abah ni kan anak yang baik.” Balas Encik Latif sambil mencubit pipi Sufi.
Sufi mengaduh. Dia menarik mulut muncung sebelum ketawa kecil.
“Abah baliklah dulu. Sufi nak jumpa kawan-kawan Sufi sekejap. Nanti Sufi pergi stesen bas naik teksi je.” Balas Sufi sambil siap-siap untuk keluar daripada kereta.
“Sufi pasti tak nak abah hantar sampai stesen?” Soal Encik Latif inginkan kepastian.
“Betul. Apa tak payah risau. Hah, sebelum Sufi terlupa, semalam Ariana ada call rumah, dia cakap dia tidur rumah kawan sebab ada photoshoot lagi dekat luar KL.” Ucap Sufi sambil merungkai tali pinggang yang membelit tubuhnya.
“Photoshoot lagi? Kenapa dia tak call abah je?” soal Encik Latif dengan dahi yang berkerut.
Sufi hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Dia tak sempatlah tu, abah. Abah tak payah risaulah, bukan kali ni aje dia tak balik rumah. Selalunya kalau ada job, memang dia tidur rumah kawan dia.” Ucap Sufi cuba menyedapkan hati Encik Latif.
Encik Latif hanya tersenyum nipis. Pergerakan Ariana memang sukar dikawal. Sesekali timbul juga perasaan bimbang dalam dirinya apabila memikirkan Ariana yang bebas bergaul. Namun, apabila ditegur, anaknya itu akan merajuk. Sudahnya, dia yang terpaksa mengalah.
Encik Latif tersentak apabila Sufi menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hulurannya bersambut. Selesai bersalaman, Sufi terus turun daripada kereta. Hanya lambaian diberikan pada Encik Latif yang telah meninggalkan perkarangan restoran.
Sufi menghembuskan nafas perlahan. Dia melihat beg pakaian yang berada di tangan. Hari ini merupakan hari terakhir dia berada di kota raya. Rasa tidak sabar menjengah hatinya apabila teringatkan wajah uminya di kampung. Tentu ibunya itu tidak senang duduk menunggu kepulangannya. Sufi tersenyum kecil.
Dia berpaling. Restoran Pantai Timur tersergam di hadapan mata. Inilah tempat dia mencari rezeki selepas tamat pengajian sementara menunggu jawapan kerja yang lain. Pelbagai kenangan manis yang dapat dia kutip sepanjang bekerja di sini. Pahit manis semua bercampur-gaul sehingga membuahkan senyum di bibir Sufi. Paling dia teringat adalah tentang Hamsyari. Kehilangan lelaki itu masih lagi misteri hingga ke hari ini. Ke mana agaknya lelaki itu menghilangkan diri? Itulah soalan yang kerap bermain di minda Sufi sehingga ke saat ini.
“Sufi Awliya…”
Satu suara memanggil dari arah belakang menghentikan langkah Sufi yang baru ingin menapak. Dahinya berkerut mendengar namanya disebut oleh suara itu. Dia berpaling. Dahi Sufi berlapis melihat seorang lelaki lengkap berkemeja dan berseluar slack berdiri betul-betul di hadapannya. Terdapat sebuah kereta Mercedes Benz Brabus berwarna hitam dan bercermin gelap berada di sisi lelaki itu.
“Encik ni siapa?” Soal Sufi pelik. Dia mengamati lelaki itu daripada atas hingga ke bawah. Sahih, dia memang tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu malah inilah kali pertama dia melihat wajah lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an.
“Cik kenal tak orang dalam gambar ni?” Soal lelaki yang tidak diketahui nama itu. Dia menunjukkan sekeping gambar ke arah Sufi.
Dada Sufi mula berdetak. Gambar yang ditunjukkan itu mendebarkan hatinya. Apa tidaknya, gambar itu mempamerkan orang yang sangat dia kenali.
“Hamsyari!” Ucap Sufi dengan mata yang membesar. Anak matanya beralih pada gambar seorang gadis bertudung yang duduk di sebelah Hamsyari. Itu gambarnya sendiri! Tapi macam mana gambar ini boleh ada dalam simpanan lelaki itu. Sufi cuak.
“Jadi cik memang kenal dengan Hamsyari?” Soal lelaki itu lagi sebelum menyimpan gambar tersebut di dalam poket seluarnya.
“Mestilah saya kenal. Dia kawan saya. Satu tempat kerja dengan saya tapi dah seminggu lebih dia tak datang kerja. Dia hilang macam tu aje. Encik ni siapa? Encik datang nak kutip hutang dari dia ke?” Soal Sufi bertubi-tubi.
Lelaki itu ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala.
“Baguslah kalau cik kenal dia. Cik mesti tengah cari dia kan? Cik nak jumpa dia?” Soal lelaki itu lagi.
Wajah Sufi berubah riak. Terkebil-kebil dia memandang lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Lelaki ini kenal Hamsyari ke? Apa hubungan mereka berdua?
“Saya memang tengah cari dia tapi apa hubungan encik dengan dia? Encik abang dia ke?” Soal Sufi lagi. Dia inginkan jawapan. Hatinya tidak tenang selagi tidak mengetahui hal yang sebenar.
Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya hanya senyuman penuh makna yang diukirkan buat Sufi. Dia merenung wajah Sufi sedalam-dalamnya.
“Nanti cik akan tahu siapa saya. Sekarang, cik boleh ikut saya.” Ajak lelaki itu sambil membuka pintu kereta dengan lebar.
Sufi mula gelisah. Haruskah dia ikut lelaki ini? Bagaimana jika lelaki ini menipu? Tetapi mustahil dia tipu sedangkan selama ini tiada siapa yang tahu tentang keluarga Hamsyari malah gambar yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut boleh dijadikan bukti bahawa lelaki ini mengenali Hamsyari kerana gambar itu diambil sewaktu mereka berdua berada di resoran.
“Cik jangan takut, saya bukan nak culik cik pun. Saya cuma nak bagi jawapan yang selama ni  cik cari. Kalau cik risau tentang Hamsyari, lebih baik cik ikut saya. Tapi kalau cik tak kisah, terpulanglah.” Ujar lelaki itu memberi kata dua kepada Sufi.
Sufi mematah-matahkan jarinya. Dia mula menimbang baik dan buruk jika dia mengikut lelaki tersebut. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia memang risaukan Hamsyari. Dia takut jika apa-apa berlaku pada sahabatnya itu. Hati Sufi mula berbolak-balik. Dia memandang ke belakang seketika, memandang orang ramai yang mula memasuki ruang restoran. Dia menggigit bibir. Keputusan harus dibuat sekarang. Tetapi apa kata putusnya?
“Macam mana, cik? Nak ikut saya ke tak?” Suara lelaki itu berbunyi lagi.
Jiwa Sufi merusuh. Dia berpaling ke arah lelaki itu yang masih setia menunggu. Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Detik hatinya masih berbelah-bahagi.

KERETA yang dipandu oleh Baim berhenti di perkarangan Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Dia menjenguk ke ruang belakang. Kelihatan gadis yang datang bersamanya terpinga-pinga. Baim hanya tersenyum kecil.
“Buat apa kita datang kat sini? Siapa yang sakit?” Soal Sufi pelik. Dia memandang wajah Baim dengan penuh tanda tanya.
“Cik masuklah dulu. Naik tingkat lima, cari bilik nombor HH 01. Cik akan dapat jawapannya.” Balas Baim lalu membuka auto lock.
“Tapi saya nak jumpa Hamsyari. Dia sakit ke?” Soal Sufi lagi. Hatinya terus dilanda tanda-tanya.
“Saya tak dapat nak jelaskan pada cik. Lebih baik cik sendiri yang cari jawapan. Sampai sini saja yang dapat saya bantu. Selebihnya terpulang pada cik.” Jawab Baim ringkas.
Sufi melepaskan nafas pendek. Tidak dapat tidak, dia terpaksa melangkah keluar daripada kereta. Akur dengan kata-kata Baim. Dia melangkah ke tingkat lima seperti yang diberitahu oleh Baim. Pelbagai perkara buruk yang terlintas di fikirannya saat ini namun segera Sufi berisghtifar.
Sebaik saja kakinya melangkah ke tingkat lima, dia terus mencari nombor bilik yang diberitahu oleh Baim tadi. Dia singgah ke kaunter yang terdapat di hadapan pintu masuk. Hatinya mula tertanya-tanya, mustahil Hamsyari tinggal di wad semewah ini. Lelaki itu bukan orang kaya jauh sekali anak orang berada. Pakai motor pun, motor cabuk. Entah-entah orang tadi tu nak kenakan aku? Hati Sufi mula sangsi. Tetapi kakinya tetap terarah pada jururawat yang berada di kaunter hadapan.
“Assalamualaikum, maaf. Tumpang tanya, boleh?” Sapa Sufi sopan. Dia merenung wajah jururawat muda yang sentiasa tersenyum manis.
“Waalaikummusalam. Boleh, cik nak tanya apa?” Soal jururawat itu dengan ramah.
“Bilik HH 01 kat mana ya?” Soal Sufi pula.
Jururawat itu terdiam seketika. Dia memandang Sufi dengan penuh tanda-tanya.
“Kalau boleh saya tahu cik ni siapa ya? Sebab kami dapat arahan, orang sebarangan tak dibenarkan masuk ke bilik Tuan Hamsyari kecuali dengan izin daripada keluarga Tuan Hamsyari sendiri.” Jelas jururawat tersebut dengan santun.
“Tuan Hamsyari?” Mata Sufi membulat. Takkan itu panggilan untuk Hamsyari? Siapa Hamsyari ni sebenarnya? Hati Sufi menjerit. Otaknya kusut memikir pelbagai andaian yang memenuhi ruang fikiran.
“Ya, bilik HH 01 tu bilik Tuan Hail Hamsyari. Cik ni siapa? Apa hubungan cik dengan dia?” Soal jururawat itu lagi.
Tuan Hail Hamsyari? Sufi melongo. Sungguh, selama ini dia tidak pernah tahu nama sebenar Hamsyari tetapi hari ini dia benar-benar dikejutkan dengan satu kebenaran yang tidak pernah terjangkau oleh akalnya.
“Saya kawan dia. Nama saya….”
Belum sempat Sufi menghabiskan kata, telefon di meja kaunter berbunyi nyaring memaksa jururawat tersebut untuk mengangkat panggilan. Sufi hanya memerhati. Sesekali jururawat muda itu menganggukkan kepala. Setelah beberapa saat berlalu, jururawat tersebut meletakkan gagang telefon sebelum tegak memandang Sufi dengan senyuman terukir di bibir.
“Baiklah, cik boleh masuk. Bilik HH 01 ada di sebelah kanan.” Ujar gadis muda itu sambil menunjukkan arah.
Sufi mengangguk laju. Dia mula menapak menuju ke tempat yang dinyatakan. Dia terpegun seketika melihat ruang wad yang kelihatan eksklusif malah pendingin hawa yang terdapat di sepanjang laluan itu begitu mendinginkan kulitnya yang hanya dibaluti dengan blaus labuh.
Anak mata Sufi melilau mencari nombor bilik yang telah diberitahu tadi. Namun, tidak sampai beberapa minit dia berjalan, anak matanya tertangkap nombor bilik yang disebut tadi. Dia tersenyum kecil dan terus menuju ke arah bilik tersebut. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskan dengan perlahan.
Terselit rasa gentar dalam hatinya sebaik saja tangannya memulas tombol pintu. Hatinya berdebar-debar. Dia terasa seperti ada kupu-kupu yang berterbangan di dalam perutnya.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam bilik wad yang cukup mewah.
Hampir tidak terkatup mulut Sufi sebaik saja menjejakkan kaki ke dalam bilik wad yang agak besar. Bilik itu kelihatan malap tanpa cahaya. Hanya cahaya daripada lampu tidur saja yang menerangi bilik sebesar bilik tidur itu.
“Besarnya bilik ni. Rumah ke hospital ni?” Soal Sufi sendirian.
Anak matanya ditebarkan ke segenap ruang sebelum terhenti pada sebuah katil yang terletak di penjuru bilik. Dia mengecilkan mata cuba mengamati pemilik katil tersebut. Namun, matanya membesar apabila menyedari pemilik katil itu adalah seorang yang sangat dia kenali.
“Am!” Jeritnya lalu meluru ke arah katil.
Dia terpaku seketika. Bola matanya menyoroti tubuh Hamsyari yang sedang kaku. Wajah itu tampak pucat dan tidak bermaya.
“Apa dah jadi dengan awak ni, Am?” Soal Sufi dengan rasa sebak yang menggunung.
 “Am, awak dengar saya tak? Apa sebenarnya yang jadi pada awak?” Soal Sufi lagi. Kolam air matanya pecah jua melihat wajah Hamsyari yang pucat bagaikan tidak berdarah.
Namun, tiada jawapan yang diterima. Suasana menjadi sunyi-sepi.
“Saya tahu awak jadi macam ni mesti sebab hari tu kan? Saya mintak maaf. Tak sepatutnya saya biarkan perkara ni terjadi pada awak. Kalaulah saya berterus-terang dengan awak, semua ni takkan jadi. Saya yang bersalah, maafkan saya, Am…” ucap Sufi dengan suara yang tertahan-tahan. Air mata dibiarkan jatuh berjuraian.
“Memang kau pun yang bersalah!”
Sufi tersentak. Jantungnya kembali menjemput debaran. Suara itu kedengaran dekat dengannya. Sufi berpaling. Figura seorang lelaki berdiri tegap di hadapannya tertangkap di retinanya. Wajah itu mirip dengan Hamsyari tetapi jauh lebih bengis malah pandangan mata itu cukup menggerunkan Sufi. Dia tertelan air liur. Siapa pula dia ni?