Tetamu Rindu

Wednesday 25 November 2015

PESTA BUKU 1 MALAYSIA DATANG LAGI!

Jadual Penulis Penerbitan Karyaseni


JOM RAMAI-RAMAI DATANG KE PESTA BUKU..BOLEH DAPATKAN PELBAGAI NOVEL MENARIK DI BOOTH PENERBITAN KARYASENI..CIK SK PUN TURUN SEKALI TAU...BOLEH JUMPA  SAYA PADA SABTU 28 HARI BULAN DARI JAM 2 p.m - 4 p.m.

SAVE THE DATE AND SEE U THERE!!..^_^

Saturday 1 August 2015

PENGUMUMAN!

Alhamdulillah akhirnya novel ke 4, JADIKAN AKU YANG KEDUA selamat diterbitkan oleh Penerbit Karyaseni. Hampir setahun menyiapkan novel ni tapi dengan izin Allah segalanya berjalan dengan lancar. All praises to Allah...
cover rasmi JAYK



Tajuk: Jadikan Aku Yang Kedua
Penulis: Siti Khadijah
Penerbit: Karyaseni
ISBN: 978-967-0890-54-8
Harga: RM30 (Semenanjung) // RM33 (Sabah & Sarawak)
Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi Karyaseni

“Abang janji sayang, hanya cinta sayang yang pertama dan yang terakhir buat abang. Takkan ada mana-mana perempuan yang akan dapat mengubah cinta ini malah perasaan cinta dah terkubur bersama dengan jasad sayang. Abang doakan sayang aman di sana.”- THAQIF ASWAD.

Pertemuan pertama antara Nuha Saqeena dan Thaqif Aswad menimbulkan perasaan cinta buat si gadis. Sedangkan si jejaka pula masih sukar melupakan memosi silam ketika bersama si isteri yang sudah lama pergi. Cinta buat isteri yang sudah tiada sentiasa mekar dalam hati telah membuatkan hatinya enggan menerima lembaran cinta yang baharu.
Kerana memikirkan tanggungjawab dan perlunya kasih sayang seorang ibu buat sepasang cahaya mata kembar yang telah ditinggalkan oleh isteri, Thaqif harus mencari pengganti si isteri buat permata hati dan bukannya untuk cinta sendiri yang masih belum terbuka untuk diganti.

“Awak mungkin boleh halang diri awak daripada jatuh cinta pada saya tapi awak tak boleh halang saya untuk terus menyayangi awak. Saya takkan paksa awak untuk terima saya tapi saya akan terus berusaha untuk mendapat tempat di hati awak kerana saya adalah isteri awak.”- NUHA SAQEENA.

Pelbagai cara dilakukan untuk menambat hati Thaqif. Namun, hati Thaqif bagaikan batu. Dingin dan keras. Kehadiran Hajah Latifah dan Wazirah merumitkan lagi hubungan mereka berdua.
Kebencian Hajah Latifah membuatkan Nuha mengalah. Thaqif bukan miliknya seorang!

“Awak rasa saya akan bahagia ke dengan pernikahan ni? Kalaulah saya tahu ini akan berlaku, lebih baik saya tunggu Wawa aje dari dulu. Tak payah saya jatuh cinta pada awak!” - THAQIF ASWAD.

Satu keputusan telah dibuat saat cintanya makin mekar untuk Nuha. Namun, demi sebuah janji dia harus mengorbankan perasaannya. Mampukah dia menerima Wazirah sebagai pengganti Waheeda sedangkan hanya nama Nuha yang terpahat dalam hati? Dapatkan Nuha Saqeena menjadi yang kedua dalam hati Thaqif seterusnya menjadi yang terakhir dalam hidup lelaki itu?
Benarkah cinta pertama itu tiada gantinya?

“Kalau nyawa yang mampu Nuha gantikan untuk terus melihat dia tersenyum, Nuha sanggup berikan nyawa Nuha untuk dia.”- NUHA SAQEENA.


P/S: NAK ORDER DENGAN SAYA PUN BOLEH...AKAN DAPAT TANDA TANGAN DAN GIFT...UNTUK TEMPAHAN MELALUI SAYA BOLEH HUBUNGI SAYA DI:

1.  Private Message (PM) di FB saya https://www.facebook.com/sitikhadijah91
2. Emailkan di mujahidah_khadijah25@yahoo.com
3. SMS atau Whatsapp ke 019- 9700 358

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 10 )

BAB 10
KENDURI doa selamat berjalan dengan lancar. Thaqif menghela nafas lega, akhirnya semuanya selesai. Dia tersenyum manis pada tetamu yang hadir. Daripada jauh dia memandang Nuha yang sedang mengulit Dani yang tidur dalam dakapannya. Tanpa sedar bibir Thaqif tersenyum manis melihat Nuha yang kelihatan tenang memeluk tubuh Dani.
Namun, pandangan Thaqif terganggu apabila bahunya ditepuk lembut oleh seseorang. Thaqif berpaling dan tersenyum pada Haji Lokman yang tersenyum hambar.
“Tahniah, itu saja yang ayah boleh ucapkan. Kamu dah buat keputusan, ayah tak boleh nak halang cuma ayah harap kamu tak pisahkan ayah dan cucu- cucu ayah,” ucap Haji Lokman dengan senyuman hambar.
Thaqif turut tersenyum. Dia memegang tangan bekas ayah mentuanya itu.
“Walaupun saya dah kahwin tapi saya takkan pisahkan ayah dengan si kembar. Dia tetap cucu- cucu ayah, anak- anak daripada isteri saya. Ayah boleh jenguk Dani dan Dania bila- bila masa ayah suka,” balas Thaqif lembut.
Haji Lokman terdiam. Jauh di dalam sudut hatinya dia masih kecewa dengan pernikahan Thaqif dengan gadis lain. Dia tidak menyangka, menantu kesayangannya ini menemui pengganti Waheeda secepat ini. Masih tergambar di matanya bagaimana Thaqif kelihatan terseksa sewaktu Waheeda meninggal dunia setahun yang lalu. Dia fikirkan Thaqif begitu menyayangi Waheeda tetapi ternyata lelaki itu memilih untuk berkahwin dengan gadis yang jauh lebih muda.
Sebenarnya Haji Lokman sudah membuat rancangan untuk menyatukan Thaqif dan kembar Waheeda, Wazirah tetapi ternyata angan- angannya tidak menjadi kenyataan. Adakah dia ikhlas menerima hakikat bahawa dia akan kehilangan menantu kesayangannya ini?
“Ayah harap macam tulah. Ayah sayangkan Qif dan cucu- cucu ayah,” balas Haji Lokman setelah agak lama mendiamkan diri. Dia melemparkan pandangan pada Nuha yang duduk di sofa. Kelihatan isterinya, Hajah Latifah menghampiri Nuha yang sedang duduk bersendirian bersama Dani yang tidur di pangkuan.
“Seronok jadi ibu segera?” soal Hajah Latifah sebelum melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan Nuha.
Nuha mendongak. Dia tersenyum pada Hajah Latifah yang hanya mempamerkan riak kurang senang. Soalannya juga kedengaran sinis di telinga Nuha.
“Dani ni tak banyak sangat ragamnya jadi taklah susah jadi ibu si kembar ni,” ujar Nuha dengan lembut.
Hajah Latifah tersenyum sinis. Wajah Nuha yang lembut tidak mampu untuk memadamkan rasa tidak puas hati yang bermain di jiwanya.
“Remaja macam kamu ni seeloknya fikir untuk sambung belajar bukannya pasal kahwin. Tengok, orang lain sibuk belajar, kamu pula jaga anak. Tak terkilan ke? Jangan suatu hari nanti menyesal sudah,” balas Hajah Latifah seakan menyindir.
Nuha sedikit terkejut dengan kata- kata Hajah Latifah. Riak wanita itu juga kelihatan kurang senangnya dengan kehadirannya. Aku ada buat salah ke?
“Saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat, mak cik. Insya- Allah saya akan cuba untuk menjadi ibu yang terbaik pada cucu- cucu mak cik. Saya tahu mak cik sayang si kembar ni sama juga macam saya. Saya sayangkan dia macam anak saya,” balas Nuha dengan senyuman manis.
Dalam hati dia dapat rasakan bekas ibu mentua Thaqif ini kurang senang dengan pernikahan antara dia Thaqif. Mungkin juga wanita sebaya ibunya ini belum dapat menerima kenyataan yang Thaqif sudah berkahwin lain.
“Cakap memang senang tapi untuk laksanakan tanggungjawab itu yang susah. Jangan sampai satu hari nanti kamu sendiri yang akan tinggalkan Thaqif sebab memang dia berkahwin dengan kamu pada zahirnya tetapi mak cik yakin dia sangat mencintai anak mak cik dan takkan pernah melupakan arwah isterinya walaupun kamu ada depan mata,” ucap Hajah Latifah tanpa memikirkan kata- katanya telah mengguris hati Nuha.
Nuha terpempan. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Dia cuba untuk bersabar dengan kata- kata Hajah Latifah. Memang jelas tergambar rasa menyampah yang terpancar di anak mata Hajah Latifah.
“Saya minta maaf kalau kata- kata saya ni kedengaran kasar tapi saya tahu Abang Qif memang tak dapat nak melupakan arwah isterinya dan saya tak pula memaksa dia untuk melupakan wanita yang telah melahirkan Dani dan Dania. Saya berterima kasih disebabkan Dani dan Dania saya dapat berada di sisi orang yang saya sayang. Memang Abang Qif tak dapat nak melupakan arwah Kak Wahi tapi sebagai seorang isteri saya akan cuba untuk meletakkan diri saya dalam hati Abang Qif,” tegas Nuha.
Giliran Hajah Latifah pula yang terpempan. Dia tidak menyangka gadis semuda Nuha sanggup melawan kata- katanya.
“Apa yang mak cik nampak, kamu memang tak sesuai untuk jadi ibu pada cucu- cucu mak cik. Qif patut fikir panjang sebelum ambil budak mentah macam kamu untuk jadikan isteri. Apa yang Qif nampak pun mak cik tak tahu,” balas Hajah Latifah lagi.
Nuha menarik nafas dalam. Dia masih lagi bersabar. Dani yang masih tidur di pangkuannya dipeluk erat. Semua yang aku lakukan ini demi Dani dan Dania. Selagi mereka perlukan aku, selagi itu aku bersabar. Bisik hatinya memberi kata- kata semangat.
“Kita hanya manusia yang mampu merancang mengikut kata hati kita sendiri mak cik tanpa memikirkan baik buruknya sendiri. Saya menerima menjadi isteri dan seterusnya menjadi ibu pada anak- anak Abang Qif bukan kerana terpaksa tetapi kerana saya sayangkan Abang Qif dan si kembar ni. Mungkin mak cik tak suka kehadiran saya dalam hidup Abang Qif tapi Allah telah meletakkan saya dalam hidup dia. Siapa kita nak menolak apa yang telah ditetapkan?” ucap Nuha penuh perasaan.
Serentak itu dia bangun dengan mengendong Dani. Dia menepuk- nepuk belakang badan Dani yang sedikit menggeliat, mungkin terkejut kerana tidurnya diganggu.
Hajah Latifah terdiam seribu bahasa. Dia ingin mengatakan sesuatu tetapi Nuha terlebih dahulu bersuara.
“Mak cik mungkin rasa saya ni nak mengambil alih tempat anak mak cik dalam hidup Abang Qif kan? Salahkah kalau saya menggantikan tempat itu. Saya isteri dia sekarang dan saya berhak!” tegas Nuha dan berlalu meninggalkan Hajah Latifah yang termangu- mangu.
Berdesing telinga Hajah Latifah mendengar kata- kata Nuha. Tak padan dengan budak kecik. Asyik menjawab je kerjaya. Memang nak kena dia ni. Macam ni ke nak didik cucu- cucu aku? Bentak hati Hajah Latifah lalu dia bangun dan mendapatkan Thaqif yang sedang bersembang dengan suaminya.
“Qif, kami balik dululah. Makin panas pulak duduk dalam rumah kamu ni,” ucap Hajah Latifah tiba- tiba sebaik saja dia berdiri di sisi Haji Lokman. Wajahnya masam mencuka.
Haji Lokman dan Thaqif terkejut. Dia memandang wajah Hajah Latifah dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa dengan awak ni, Pah?” soal Haji Lokman pelik.
Hajah Lokman sudah menarik mulut muncung. Malas nak bercerita dengan sikap kurang ajar Nuha tadi.
“Isteri baru Qif tulah. Kurang ajar sangat dengan saya. Geram pulak saya ni. Perempuan macam tu ke yang Qif nak suruh didik cucu- cucu mak? Diri sendiri tak terurus inikan pula nak uruskan si kembar tu,” bebel Hajah Latifah.
Thaqif mengerutkan dahi. Apa maksud Hajah Latifah? Apa yang Nuha dah buat?
“Apa yang mak maksudkan ni? Qif tak faham…” ucap Thaqif cuba meleraikan tanda tanya yang bermain di benaknya.
“Mak malas nak cerita panjang. Kamu nasihatkan sikit dia tu jangan nak kurang ajar dengan orang tua. Dia tu baru setahun jagung nak kenal dunia jangan biadap sangat. Itulah mak suruh kamu tunggu Wawa kamu tak nak, pilih juga budak kecil yang entah apa- apa tu jadi isteri. Kejap lagi dia ke mana, cucu mak entah ke mana,” balas Hajah Latifah lagi dengan muka cemberut.
“Sudahlah tu, Ifah. Qif, ayah dengan mak balik dulu ye,” ucap Haji Lokman meminta diri.
Thaqif hanya mampu menganggukkan kepala lalu bersalaman dengan Hajah Latifah dan Haji Lokman. Dia memandang ke tingkat atas. Nuha, apa lagi yang awak buat ni? soal hatinya. Dia mengeluh berat.

THAQIF memulas tombol pintu biliknya dengan perlahan. Dia percaya tentu Nuha berada di dalam bilik tersebut. Lalu, Thaqif melangkah masuk selepas melihat kelibat Nuha yang berdiri di tepi tingkap. Gadis itu termenung panjang.
“Kenapa Nuha ada kat sini? Tetamu ramai lagi dekat bawah tu,” ujar Thaqif memulakan perbualan. Dia berdiri di hadapan Nuha yang masih hanyut dalam lamunan.
Nuha tersentak. Lalu dia mendongak. Kelihatan Thaqif sedang berdiri berhadapan dengannya lalu sepantas kilat, Nuha mengesat air mata yang merembes di pipi. Dia tidak mahu Thaqif perasan yang dia sedang menangis namun mata Thaqif lebih cekap.
Thaqif menarik tangan Nuha yang cuba untuk mengesat air mata yang mengalir di pipi. Dia merenung wajah gadis itu sedalam- dalamnya. Dia melihat ada sendu yang terbias di sebalik anak mata yang bundar itu.
“Nuha menangis?” soal Thaqif lembut.
Nuha menggelengkan kepala lalu menundukkan wajahnya. Tangannya dibiarkan di dalam genggaman tangan Thaqif.
“Habis tu kenapa pipi tu berair takkan mata masuk habuk, kut?” soal Thaqif lagi.
Kebisuan Nuha meresahkan Thaqif. Laju saja tangannya mengangkat dagu Nuha. Anak matanya dibiarkan terus untuk menatap ke dalam bola mata Nuha yang hitam pekat. Sayu hatinya apabila melihat air mata yang bergenang di kelopak anak mata itu.
“Tak nak cerita pada saya apa yang bermain dalam fikiran Nuha saat ni? Manalah tahu saya boleh tolong ke?” sambung Thaqif lagi dengan nada yang lembut.
“Saya okey. Awak jangan risau. Sorry saya rehat sekejap. Tadi Dani nak tidur itu yang saya naik ke bilik ni. Sekarang dia dah tidur, jadi bolehlah saya turun,” Nuha membuka mulut. Dia tersenyum tetapi dirasakan cukup hambar.
Dia mula mengorak langkah menuju ke pintu tetapi dengan pantas pergelangan tangannya disambar oleh Thaqif membuatkan langkah Nuha terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum berpaling pada Thaqif. Dia cuba untuk tersenyum manis tetapi apa yang dirasakan adalah cukup pahit.
“Nuha menyesal kahwin dengan saya?” soal Thaqif tiba- tiba.
Nuha sedikit tersentak. Sepantas kilat dia menggelengkan kepala tanda dia tidak pernah menyesal dalam memilih Thaqif sebagai suaminya walaupun haknya telah dinafikan oleh lelaki itu.
“Habis tu kenapa Nuha menangis?” soal Thaqif lagi. Selagi Nuha tidak menceritakan apa yang berlaku selagi itulah dia rasa tidak tenteram. Thaqif yakin perubahan emosi Nuha pasti ada kaitan dengan Hajah Latifah.
“Betul ke saya ni tak ada tempat langsung dalam hati awak?” soalan dibalas soalan. Dia membalas pandangan Thaqif dengan penuh pengharapan.
Thaqif tersentak. Lain ditanya lain pula yang dibalas oleh Nuha. Dia mengetap bibir. Fikirannya ligat memikirkan jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada Nuha. Dia tahu gadis itu sedang bersedih, dia tidak mahu menambah lagi kesedihan gadis itu jika dia memberikan jawapan yang sebenar- benarnya.
“Nuha jangan fikirkan sangat pasal hal ni. Kita teruskan hidup macam biasa, biar waktu yang menentukan segalanya,” balas Thaqif.
Nuha tersenyum nipis. Dia menarik tangannya daripada genggaman Thaqif. Satu keluhan dilepaskan. Jawapan Thaqif tidak mampu menenangkan hatinya yang gundah. Lalu, Nuha mengorak langkah menuju ke katil. Dia melabuhkan punggung di birai katil.
“Saya tahu saya tak layak kan untuk berada dalam hati awak apatah lagi untuk menggantikan tempat arwah Kak Wahi tapi saya ikhlas menyayangi awak sepenuh hati saya kerana awak suami saya. Mungkin angan- angan saya terlalu tinggi untuk terus hidup bersama awak sedangkan saya harus sedar suatu hari nanti saya mungkin akan kehilangan awak,” ucap Nuha sayu. Sebak yang menghurung dada ditahan namun air mata sudah kembali bergenang di kelopak mata.
Sakit. Itulah yang dirasakan dalam hatinya saat ini. Mencintai seseorang yang tidak mencintai kita memang benar- benak menyesakkan dadanya. Dia tidak boleh memaksa Thaqif untuk mencintainya tapi dia juga tidak dapat memaksa dirinya sendiri untuk melupakan Thaqif walaupun dia benar- benar berharap yang dia dapat melupakan bayang lelaki itu daripada mindanya.
Thaqif bungkam seketika. Kemudian, dia turut melabuhkan punggung di hadapan Nuha. Wajah gadis itu yang muram ditenung lama sebelum sebeuah keluhan dilepaskan. Kenapa cerita hidupnya semakin rumit saat ini?
“Saya tak boleh memaksa untuk menerima orang lain dalam hati saya bagi menggantikan Wahi. Saya juga tak boleh memaksa cinta tu datang untuk Nuha, saya akan cuba untuk jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami walaupun tidak sempurna tapi saya akan cuba. Maafkan saya kalau kata- kata saya melukakan hati Nuha tapi sebelum kita berkahwin saya dah terangkan pada Nuha perkara yang sebenar dan Nuha sendiri yang sanggup untuk jadi isteri saya tanpa sebarang rungutan,” balas Thaqif cuba berlembut.
Kata- kata Thaqif menikam jauh ke dalam hati Nuha. Air matanya menitis juga. Adakah aku lupa tujuan sebenar aku berkahwin dengan Thaqif? Adakah aku terlampau memaksa lelaki itu sedangkan dia masih mencintai arwah isterinya? Aku harus sedar cinta itu sememangnya tidak boleh dipaksa kerana cinta itu hadir tanpa dipinta. Benak hati Nuha berkata- kata.
“Jadi maafkan saya. Saya yang terlanjur mencintai awak dan saya berharap agar perasaan ini akan hilang suatu hari nanti. Maafkan saya,” ucap Nuha dengan sedu sedan yang jelas kedengaran di telinga Thaqif.
Thaqif tersentak. Nuha mencintai aku? Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? soal hatinya.
Perlahan- lahan, Thaqif menarik Nuha ke dalam pelukannya. Dia berharap dengan cara itu kesedihan Nuha akan berkurangan. Dia menepuk lembut bahu Nuha dan mengusap kepala Nuha dengan perlahan.
Nuha menyembamkan wajahnya ke dada Thaqif. Erat tanganya memeluk pinggang Thaqif. Kesedihan yang dirasakan begitu meruntun jiwanya. Aku yang bersalah kerana jatuh cinta pada dia tapi mampukah aku untuk memadamkan rasa cinta ini? Ya Allah, berilah aku kekuatan. Aku tak mahu lemah kerana cinta yang nyata bukan milik aku. Doa hati Nuha.
Syyyhhh…jangan menangis Nuha. Saya pernah cakap pada Nuha kan jangan pernah jatuh cinta pada saya dan jangan pernah buat saya jatuh cinta pada Nuha kerana saya takut Nuha akan terluka. Sekarang tengok apa dah jadi, Nuha dah terluka,” ucap Thaqif lembut memujuk.
Nuha masih lagi menangis. ‘Cinta saya pada awak bukannya sekarang sebaliknya cinta itu telah lama menghuni hati saya sejak kali pertama saya lihat awak. Awak tak tahu dan awak takkan pernah tahu apa yang saya rasakan.’ Bisik hati Nuha.
“Ya, saya yang bersalah. Kesalahan saya sebab dah jatuh cinta pada awak. Maafkan saya,” suara Nuha kedengaran tenggelam timbul. Dia mengeratkan lagi pelukannya di tubuh Thaqif yang sasa dan melepaskan segala kesedihannya di dada bidang itu.
Thaqif mengeluh panjang. Nuha cintakan aku sedangkan aku tak mampu untuk memberikan cinta ini pada sesiapa pun kerana cinta aku satu tiada yang kedua.






JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 9 )



BAB 9
NUHA menyapu sisa air matanya yang menitis di pipi. Langkahnya di hayunkan ke tingkat bawah. Dia tidak boleh lama- lama mengadap Thaqif, dia bimbang kolam air matanya tumpah di hadapan lelaki itu. Hatinya terluka dengan kata- kata Thaqif sebentar tadi. Dia isteri tetapi lelaki itu hanya menganggapnya sebagai adik? Hati wanita mana yang tidak terguris. Walaupun di bibirnya tidak kisah namun jauh dalam hati dan sanubarinya, dia inginkan lelaki itu menerima dan melayaninya sebagai seorang isteri sepatutnya. Jika lelaki itu sudi, dia sanggup serahkan jiwa raganya pada Thaqif, lelaki yang bergelar suami. Tetapi apakan daya, cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Kasihnya tida diendahkan, pengorbanan tidak bernilai di mata lelaki itu.
Mata Nuha tertancap pada kelibat Taufiq yang sedang terkial- kial mengangkat sofa untuk dialihkan ke tempat lain. Lalu, dengan laju, langkahnya diarahkan ke arah Taufiq.
“Boleh Nuha tolong?” soal Nuha lembut. Dia tersenyum pada Taufiq yang kelihatan termengah- mengah.
“Eh, akak. Boleh je kalau akak nak tolong. Tapi akak tak penat ke?” soal Taufiq riang. Dia memandang wajah kakak iparnya yang sebaya dengannya.
“Taklah. Memang Nuha datang awal rumah ibu ni nak tolong apa yang patut. Nuha tengok Fiq sorang- sorang, kesian pulak. Jadi bolehlah Nuha tolong Fiq ye,” balas Nuha ramah.
Taufiq menggosok dagunya sambil matanya memandang atas seolah- olah memikirkan sesuatu. Lama dia terdiam akhirnya dia mengangguk.
“Bolehlah kak, lagipun tak ada orang pun yang nak tolong Fiq kemaskan ruang tamu ni. Semua pergi siapkan konopi kat luar, nasib baik jugak akak ada…” balas Taufiq lagi.
Nuha tersengih. Dia terasa canggung apabila Taufiq memanggilnya kakak sedangkan mereka sebaya. Umur pun sama.
“Fiq, boleh tak kalau Nuha nak minta sesuatu?” Soal Nuha sambil menolong Taufiq mengangkat sofa dan dialihkan di tepi dinding.
“Apa dia, kak?” soal Taufiq sambil menyusun majalah yang berada di bawah meja kopi di tengah ruang tamu.
“Jangan panggil Nuha kakak, Nuha rasa seganlah. Lagipun kita kan sebaya,” ujar Nuha lembut. Dia merenung wajah Taufiq yang kacak. Wajah Taufiq boleh dikatakan kacak malah lebih kacak daripada Thaqif. Nuha membuat penilaian. Kenapalah aku tak jumpa adik Thaqif ni dulu? Kalau tak mesti aku dah jatuh cinta pada dia. Bisik hati Nuha. Ish, apa yang aku merepek ni. Balas hatinya balik.
Taufiq mendongak. Dia membetulkan cermin matanya yang hampir terlurut jatuh. Satu senyuman dilemparkan pada kakak iparnya itu. Walaupun baru berkenalan, namun Taufiq cukup selesa dengan sikap Nuha yang agak peramah walaupun sedikit pemalu itu.
“Betul ke akak tak kisah kalau Fiq panggil nama akak je. Akak kan kakak ipar Fiq, mestilah Fiq kena hormat nanti apa pula kata ibu dengan angah,” balas Taufiq sambil memandang tepat ke dalam anak mata coklat pekat milik Nuha.
“Eh, Nuha tak kisah pun. Nuha lebih selesa kalau Fiq panggil Nuha dengan panggilan biasa je taklah nampak Nuha ni tua sangat,” ujar Nuha dengan ketawa kecil.
“Oh, jadi Nuha takut orang cakap Nuha ni tualah?” usik Taufiq. Bahasanya sudah mula bertukar.
“Mestilah, Nuha ni muda lagi tau,” balas Nuha dengan ketawa yang masih bersisa.
“Itulah siapa suruh kahwin dengan angah, kalau kahwin dengan Fiq gerenti Nuha sentiasa muda,” tambah Taufiq lagi dengan ketawa yang bersambung- sambung.
“Apa yang seronok sangat tu?” tegur satu suara menghentikan tawa Nuha dan Taufiq. Mereka berpandangan sebelum anak mata mereka tuntas pada laman wajah Thaqif yang kelihatan tegang.
“Kenapa diam pulak ni? Tadi bukan main lagi gelak sampai ke tingkat atas boleh dengar. Sekarang dah bisu ke?” sindir Thaqif. Dia mengetap bibir. Matanya memandang wajah Nuha dan Taufiq silih berganti.
“Relakslah, angah. Fiq cuma bersembang dengan Nuha ni hah. Nuha buat lawak jadi Fiq gelaklah,” balas Taufiq membela diri.
“Nuha? Fiq?” Thaqif cuba memahami bahasa yang Taufiq gunakan. Berlapis dahinya memikirkan sandiwara apa yang berlaku di hadapan mata.
“Nuha yang mintak Fiq panggil Nuha macam tu. Lagipun Nuha dengan Fiq sebaya jadi tak payahlah Fiq panggil Nuha kakak, awak tak marah kan?” Nuha bersuara namun kedengaran suaranya bergetar. Bimbang juga kalau tiba- tiba Thaqif naik angin apabila melihat dia bersembang dengan Taufiq. Tapi tak mungkin Thaqif akan marah, aku ni macam adik dia je. Bisik hati Nuha.
“Oh, saya terlupa awak dengan adik saya sebaya. Ikut suka hati awaklah!” balas Thaqif sedikit geram.
Entah apa yang bermain di fikirannya saat ini. Tetapi apabila melihat kemesraan Taufiq dengan Nuha yang asyik bergelak tawa cukup membuatkan Thaqif tidak selesa. Tanpa Taufiq dan Nuha sedar, Thaqif mencuri- curi dengar perbualan mereka berdua dari sebalik dinding. Sakit jugalah telinganya apabila mendengar gemersik suara Nuha ketawa gembira di samping Taufiq. Alah, Thaqif takkan dengan adik sendiri pun nak cemburu? Detik hatinya.
Nuha mula terasa kurang selesa. Apabila Thaqif menggunakan perkataan ‘awak’ bermakna lelaki itu sedang marah. Takkanlah lelaki itu marah kut? Aku bukan buat apa- apa pun dengan Taufiq, bersembang je. Melampaulah kalau marah. Benaknya berkata- kata.
“Awak, saya….” Belum sempat Nuha menghabiskan ayatnya, Thaqif terlebih dahulu berpaling meninggalkan Nuha dan Taufiq yang terkebil- kebil memandang bayang Thaqif yang menghilang di sebalik pintu utama.
“Kenapa dengan suami Nuha tu? Angin tiba- tiba..” soal Taufiq sambil mengangkat kening.
Nuha tidak berkata apa- apa. Dia hanya menjongketkan bahu.
“Nuha pergi dulu ye Fiq. Nanti Nuha datang balik,” balas Nuha.
Taufiq menganggukkan kepala.

THAQIF keluar daripada rumah. Dia mencari sesuatu yang boleh menghilangkan panas dalam hatinya ketika ini. Dia melilau mencari Encik Musa yang sedang mengemas kerusi dan meja di bawah konopi. Dia menghampiri pak ciknya itu.
“Ada apa- apa yang Qif boleh tolong tak, pak long?” soal Thaqif menghulurkan bantuan.
Encik Musa berpaling dan tersenyum manis.
“Pengantin baru mana boleh buat kerja. Rehat je dalam rumah. Biar pengatin lama yang buat kerja,” balas Encik Musa dengan tawa kecil. Beberapa orang yang berada di situ turut tergelak.
“Betul cakap pak long kau tu, Qif. Pengantin baru kenalah simpan tenaga cukup- cukup nanti ada ‘kerja’ yang lebih penting menanti,” sampuk Pak Lang Ibrahim dengan sengihan yang cukup lebar.
Wajah Thaqif sudah merona merah mendengar usikan Pak Lang Ibrahim. Dia hanya mampu tersengih dan membetulkan cermin matanya yang hampir terlurut jatuh.
“Kalau macam tu Qif cari kerja kat dapurlah pulak….” Ucap Thaqif.
Dia berpaling untuk masuk semula ke dalam rumah, namun sebaik saja dia berpaling dia melihat kelibat Nuha yang sudah melangkah menghampirinya.  Thaqif merengus lalu dia berpaling semula dan mengorak langkah menuju ke arah Encik Musa yang sedang menyusun kerusi.
Apabila melihat Thaqif yang cuba mengelak, dengan pantas Nuha menarik lengan Thaqif membuatkan langkah Thaqif terhenti. Dia menarik tangannya perlahan.
“Awak, saya mintak maaf kalau awak tak suka saya berbual dengan Fiq…” Nuha bersuara lembut.
Thaqif memalingkan wajahnya. Dia mencebik.
“Saya tak cakap pun saya tak suka. Saya dah cakap tadi kan, suka hati awaklah nak buat apa pun,” balas Thaqif malas.
Dia bergerak menuju ke arah kerusi yang tersusun tinggi. Satu persatu kerusi itu di ambil lalu di susunkan di setiap meja. Kehadiran Nuha seolah- olah tidak wujud di depan matanya.
Nuha gelisah. Dia takut jika lelaki itu berkecil hati. Sikap lelaki itu yang dingin sudah menggambarkan segala- galanya. Baru sehari menjadi isteri kepada Thaqif Aswad tetapi Nuha cukup faham dengan segala reaksi lelaki itu jika dia tidak sukakan sesuatu.
“Tapi saya…” Nuha kehilangan kata apabila Thaqif meninggalkannya. Terasa ingin menangis pun ada saat ini.
Nuha memandang wajah Thaqif dengan sayu namun Thaqif membalas pandangannya seolah- olah memberi isyarat supaya dia meninggalkan tempat itu. Hati Nuha bertambah sedih apabila tidak diendahkan seperti itu. Tetapi Nuha akur lalu dia mengundur setapak ke belakang. Nuha ingin berpaling tapi tiba- tiba…
Prang!
“Ya Allah!” jerit Pak Man. Habis semua gelas plastik yang ditatang di atas dulang berterabur akibat dilanggar oleh Nuha.
Nuha terkejut. Dia rasa bersalah.
“Pak cik, maafkan Nuha. Nuha tak perasan,” Nuha memohon maaf. Dia benar- benar tak sengaja.
“Nuha, apa yang awak buat ni?!” kedengaran suara Thaqif sedikit garang. Dia memaut lengan Nuha dengan kasar. Beberapa pasang mata yang melihat mereka berdua tidak dipedulikan oleh Thaqif.
Nuha berpaling pada Thaqif yang berada di sebelahnya. Dia menelan air liur apabila melihat wajah Thaqif yang garang.
“Saya tak sengaja, awak. Saya..saya…” Nuha kehilangan kata. Saat ini dia terasa ingin menangis. Dadanya terasa sebak dengan layanan Thaqif di hadapan orang ramai.
“Sengaja ke tak sengaja ke, awak tengok apa yang awak buat. Kesian Pak Man nak kena kemas semua ni. Lain kali hati- hati sikit, boleh tak?” tekan Thaqif cuba mengawal nada suaranya agar tidak kedengaran tinggi.
“Eh, Qif tak mengapalah. Bukan pecah pun cawan ni. Pak Man boleh kemas balik, janganlah marah isteri kamu macam ni. Kesian dia,” balas Pak Man lembut. Kesian pula dia melihat wajah Nuha yang sudah bertukar keruh.
Thaqif terdiam. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan ingin menangis. Dia mencebik.
“Awak, ikut saya sekejap!” arah Thaqif lalu menarik tangan Nuha.
Nuha hanya mengikut. Dia membuntuti langkah Thaqif yang laju. Sesekali dia menyapu air matanya yang merembes keluar. Hatinya begitu sedih saat ini apabila dimarahi oleh Thaqif.
Thaqif melepaskan genggaman tangannya apabila mereka berdua berada di tempat jauh daripada pandangan orang ramai. Dia menikam wajah Nuha dengan pandangan tajam. Tubuhnya disandarkan di dinding rumahnya.
“Awak ni kenapa? Saja nak bagi saya marah, macam tu?” soal Thaqif sambil memeluk tubuh.
Nuha terdiam menekur tanah di belakang halaman rumah. Dia tidak sanggup untuk menentang pandangan Thaqif saat ini. Dia kecut perut. Belum pernah Thaqif marah sebegini. Tapi kalau difikirkan, dia memang tak sengaja terlanggar Pak Man, takkan itu pun Thaqif nak naik angin?
“Saya minta maaf. Pasal Pak Man tadi saya betul- betul tak sengaja…” balas Nuha perlahan. Sedikit sebanyak hatinya terguris dengan sikap Thaqif yang dingin dengannya. Entah apa lagi yang perlu dilakukan untuk melembutkan hati Thaqif yang keras umpama batu itu.
Thaqif mengeluh. Dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku dalam dirinya saat ini. Segalanya berkecamuk.
“Saya banyak benda nak difikirkan, boleh tak kalau awak menyenangkan hati saya dan bukannya menambahkan lagi kekusutan dalam otak saya ni! Perangai macam budak- budak!” bentak Thaqif tiba- tiba.
Nuha tersentak. Laju saja air matanya mengalir. Sampai hati Cikgu Thaqif marahkan saya! Desis hatinya kecewa.
“Saya minta maaf kalau saya ni membebankan awak. Saya tak sangka perkara kecil macam ni dah buat awak marah. Saya minta maaf. Saya tak tahu nak cakap apa dah hanya maaf yang boleh saya katakan. Saya tak berniat pun nak menambahkan kekusutan awak, saya…saya minta maaf…” ucap Nuha bersama esakan yang mula kedengaran.
Thaqif menghela nafas panjang. Tersentuh juga hatinya saat melihat wajah Nuha yang basah dengan air mata. Cepat- cepat Thaqif beristighfar. Disebabkan ikutkan rasa marah, dia telah menyakiti hati Nuha padahal gadis itu bukannya melakukan kesalahan yang besar pun. Apalah dah jadi dengan aku ni? Soal hatinya.
Lantas, perlahan- lahan Thaqif menghampiri Nuha. Kedua belah bahu gadis itu dipegang lembut sebelum nafasnya dilepaskan perlahan- lahan. Dia merenung wajah Nuha yang menunduk. Esakan gadis itu masih lagi kedengaran sehingga menerbitkan rasa bersalah dalam diri Thaqif.
“Nuha…” panggil Thaqif lembut. Dia memaut lembut dagu Nuha. Namun gadis itu masih lagi menundukkan pandangannya. Thaqif mengetap bibir.
“Nuha Saqeena…” Thaqif mengulangi panggilannya kali ini lebih lembut.
Nuha mengangkat wajah. Air matanya masih lagi bercucuran. Rasa sakit hatinya masih bersisa tetapi sebaik saja terpandangkan senyuman yang mekar di bibir Thaqif, serta merta rasa sakit hati itu terubat. Aduh, susah betul nak melayan rajuk lama- lama kalau dengan dia ni. Mesti aku kalah. Alahai Cikgu Thaqif, hebat betul penangan kau!
“Dah, jangan menangis. Saya maafkan Nuha. Saya pun bersalah jugak sebab marahkan Nuha tak tentu pasal padahal bukan besar mana pun kesalahan Nuha. Saya mintak maaf ye,” ucap Thaqif lembut.
Sebaik saja Thaqif menghabiskan bicara, esakan Nuha terus berhenti. Dia menentang pandangan Thaqif dengan matanya terkedip-kedip. Rasa macam berada di awang- awangan apabila menatap ke dalam anak mata Thaqif yang menawan. Senyuman suaminya itu menggetarkan jiwa mudanya.
“Tapi saya…”
“Sudahlah, tak payah diungkit lagi. Saya dah maafkan Nuha. Nuha jangan menangis lagi. Tak elok orang nampak, nanti orang ingat saya dera Nuha pulak. Padahal Nuha ni cengeng sangat. Macam budak kecil kalah Dani dan Dania,” usik Thaqif dengan tawa kecil.
Nuha turut tergelak. Dia menyapu sisa air matanya yang meleleh di pipi. Lega hatinya apabila mendengar kata- kata maaf daripada lelaki itu. Hatinya kembali tenang.
“Terima kasih sebab maafkan saya…” hanya itu yang terbit daripada mulut Nuha padahal banyak lagi yang ingin dikatakan tetapi lidahnya seakan kelu untuk berbicara dengan Thaqif.
Thaqif tersenyum manis. Dengan selamba dia menyentuh pipi Nuha dengan jarinya sambil matanya tepat memanah anak mata milik Nuha yang bundar. Cantik, ya, Thaqif mengakui Nuha memang memiliki sepasang mata yang cantik sehinggakan dia turut larut dalam renungan anak mata yang redup itu.
 Sedang asyik dengan meneliti wajah isterinya tiba- tiba bayangan Waheeda terlayar ke ruang mata membuatkan Thaqif tersedar.
“Astaghfirullah-al-azim,” ucapnya perlahan. Kemudian dia menjatuhkan tangan daripada bahu Nuha. Dia meraup wajahnya beberapa kali.
Nuha pelik dengan sikap Thaqif saat ini. Lelaki itu seperti terkejut akan sesuatu. Tetapi apa dia? soal hati Nuha ingin tahu.
“Saya pergi dulu. Nuha jangan lama- lama duduk dekat belakang rumah ni, nanti ibu cari pulak,” pesan Thaqif sebelum mengatur langkah untuk berlalu.
Nuha mengangguk. Dia memandang Thaqif yang sudah membelakanginya. Lama dia merenung dan tanpa disangka- sangka, Nuha meluru dan memeluk Thaqif daripada belakang. Erat.
Perbuatan Nuha menyebabkan langkah Thaqif terhenti. Dia tergamam. Jantungnya sudah berdenyut tidak keruan. Hanya Allah saja yang mengetahui amukan yang berlaku di dalam dadanya saat ini. Hangat tubuh Nuha yang menempel di belakangnya sedikit sebanyak menggoncangkan iman Thaqif yang tidak seberapa itu.
“Nuha, apa ni malulah orang tengok,” protes Thaqif cuba merungkaikan pelukan di pinggangnya. Wajahnya yang sawo matang sudah berubah kemerahan.
Heee…saya cuma nak ucapkan terima kasih je…” balas Nuha tersenyum. Dia rasa tenang saat memeluk tubuh lelaki itu walaupun ada tanda- tanda Thaqif akan protes.
Thaqif mengetap bibir. Nak ucap terima kasih pun agak- agaklah. Sudahlah dekat tempat terbuka macam ni. Kalau sesiapa nampak, tentu teruk mereka diusik. Thaqif rasa kurang selesa, lantas dia meleraikan pautan tangan Nuha di pinggangnya. Budak ni, makin dilayan makin menjadi. Lebih baik aku blah, nanti tak pasal- pasal iman aku terbang melayang. Bisik hatinya.
“Kalau nak ucapkan terima kasih, bukan dekat tempat terbuka macam ni…” balas Thaqif sebelum beredar melangkah meninggalkan Nuha yang termangu sendirian. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman kecil.
Nuha terkebil- kebil memandang kelibat Thaqif yang menghilang. Apa yang dimaksudkan lelaki itu tadi? Nuha cuba mentafsir. Dia mengetuk dagu dan akhirnya dia turut tersenyum riang. Hatinya kembali berbunga- bunga hanya kerana seorang lelaki bernama Thaqif.