TEMPAHAN untuk Rindu Dalam Sepi Istimewa Ramadan -MENGINTAI RINDU sudah DIBUKA..SESIAPA yang berminat boleh membuat pembayaran untuk tempahan...stok adalah TERHAD dan takkan ada cetakan susulan..Siapa cepat dia dapat! Hehehe...
HARGA:
SEMENANJUNG:
RM22 + RM6 (POSTAGE) = RM28
SABAH & SARAWAK:
RM25 + RM9 (POSTAGE) = RM34
Bank in ke account no.:
MAYBANK: 156169233499 (asma aziz)
CIMB BANK : 06010755514525 ( asma aziz )
Email : mujahidah_khadijah25@yahoo.com
Boleh hantarkan bukti pembayaran ke FB Siti Khadijah atau emailkan ke email di atas..
Tarikh tutup pembayaran: 29 Jun 2014
Serahkan segala cinta hanya untuk DIA nescaya kau akan dapat cinta yang selayaknya.- SitiKhadijah -
Tetamu Rindu
Tuesday, 3 June 2014
Rindu Dalam Sepi -Mengintai Rindu ( Bab 3 )
A |
MMAR
turun dari tingkat atas. Mata hazelnya
melilau mencari kelibat mama dan adik- adiknya yang lain. Papanya pasti sudah
keluar berjumpa dengan client. Namun,
satu kelibat pun tidak kelihatan menyebabkan dahi Ammar berkerut. Tadi mama
cakap nak buat kuih rayalah apalah tapi kelibat mamanya tidak kelihatan.
Kaki Ammar dihayunkan ke ruang tamu. Mana tahu Datin
Zarina sedang menonton televisyen. Tetapi suasana tetap sunyi hanya kedengaran
suara dari peti televisyen. Namun, langkah Ammar terhenti apabila melihat
sekujur tubuh terbaring di atas sofa. Mata gadis itu terpejam rapat.
Ammar merengus. Tak balik lagi ke dia ni? Desis hati
Ammar. Bengkak pula hatinya melihat Mardiyah yang kelihatan tenang dalam
lenanya. Lantas, Ammar berpaling untuk kembali ke bilik namun tiba- tiba langkahnya
terhenti. Dia berpaling semula lalu langkahnya dihayunkan ke sofa di sebelah
Mardiyah. Dia duduk sambil berpeluk tubuh.
‘Kenapa aku pula yang nak lari sedangkan ini rumah
aku? Perempuan ni yang sepatutnya berambus!’ desis hatinya.
Ammar cuba menumpukan sepenuh perhatian pada skrin
TV namun hatinya bagaikan meronta- ronta supaya dia meneliti wajah Mardiyah
yang sedang lena di sofa. Arghh,
kacau betullah. Come on, Am, fokus
pada TV. Jangan ikutkan sangat hati tu. Seakan ada suara yang berbisik di telinganya.
Ammar cuba menahan matanya daripada berpaling namun
tidak dapat tidak dia tetap mengalihkan pandangannya pada laman wajah Mardiyah
yang sedang lena diulit mimpi. Entah apalah yang sedang gadis itu mimpikan.
Ammar mengesot sedikit badannya supaya lebih dekat dengan Mardiyah.
Dia menongkat dagu sambil matanya dibiarkan terus
menjamah setiap inci wajah Mardiyah. Gadis itu tidaklah cantik sangat cuma
sekadar sedap mata memandang. Tetapi wajah itu cukup tenang sewaktu tidur.
Ammar terus- terusan memandang wajah Mardiyah, daripada keningnya yang lebat
kemudian turun pada hidung gadis itu yang sederhana mancung sebelum anak
matanya bergerak pada bibir Mardiyah yang merekah bak ulas limau. Lama matanya
difokuskan di bibir itu sebelum matanya dialihkan pada pipi Mardiyah yang
mulus. Nampak lembut. Batin Ammar bagaikan dijentik sesuatu, lalu perlahan-
lahan tangannya diangkat untuk menyentuh ubun- ubun Mardiyah yang berbalut
dengan tudung.
Namun, perbuatannya terhenti. Dia tersedar lalu
menyandarkan tubuhnya kembali di sofa. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Dia
cuba menahan rasa debar yang menyapa di hati. Apa yang aku nak buat tadi? Soal
hatinya.
Ammar cuba menfokuskan pandangannya pada kaca
televisyen. Siaran berita di waktu pagi tidak langsung menarik minatnya
sebaliknya wajah Mardiyah juga yang bermain di mindanya. Ammar mula resah.
Lalu, dia bangun dan duduk di birai sofa yang diduduki oleh Mardiyah. Kepala
gadis itu yang tidak beralas, dilapikkan dengan bantal kecil. Tudung gadis itu
yang senget dibetulkan. Pandangannya dibiarkan terus menatap wajah ayu itu.
Ammar sedikit terkejut apabila melihat mata Mardiyah
yang tiba- tiba mengalirkan air mata. Setitis air mata gugur di pipi yang mulus
itu diseka dengan jarinya. Dalam tidur pun Mardiyah menangis? Terseksakah gadis
itu? Soal hati Ammar.
Sedang asyik dia merenung wajah Mardiyah tiba- tiba
telefon bimbit Mardiyah berbunyi. Dengan pantas, Ammar mencapai telefon
tersebut dan menekan keypad lock bagi
mengelakkan bunyi deringan itu menganggu tidur Mardiyah. Dia cuba meletakkan
kembali telefon Mardiyah di atas meja tetapi ada sesuatu yang menariknya untuk
memeriksa mesej yang diterima tadi.
Perlahan- lahan dia membuka kekunci telefon jenama
Nokia C3 milik Mardiyah. Berderau juga darahnya apabila membaca sebaris nama
yang tertera di skrin. Mesej daripada Raqeem!
Ammar cuba mengawal rasa kurang senang yang bermain
di jiwanya. Lalu dengan pantas dia menekan punat di papan kekunci untuk membaca
mesej yang dihantar oleh Raqeem.
Diya,
jom berbuka dgn sy hari ni..
Sebaris pesanan ringkas yang dihantar oleh Raqeem
membuatkan Ammar menarik nafas panjang. Oh, kau nak bercinta dengan minah ni
ye? Huh, kesian kau Raqeem, orang
yang kau suka tu dah jadi milik orang lain. Desis hati Ammar.
Lalu, dia membalas mesej
Raqeem tanpa izin Mardiyah.
Maaflah, sy
sibuk.
Balas Ammar. Selepas mesej tersebut selamat sampai
pada Raqeem, dengan pantas Ammar membuang kesemua mesej yang diterima dan
dihantar kepada Raqeem. Dia tidak mahu Mardiyah curiga nanti. Dia tersenyum puas
apabila sudah tiada balasan daripada Raqeem.
Ammar memandang sekilas pada Mardiyah yang sudah
mula bergerak- gerak. Dengan pantas dia berdiri dan duduk di tempat asalnya.
Dia mencapai remote control dan berlagak seperti tiada apa-
apa yang berlaku.
Mardiyah memisat- misat matanya yang terasa pedih.
Dia cuba mencelikkan mata seluas- luasnya namun sebaik saja dia terlihat Ammar
yang duduk menonton televisyen cepat- cepat dia bangun dan membetulkan
duduknya. Dia menelan air liur. Takut juga kalau dimarahi oleh Ammar kerana
tidur di sofanya.
“Maaf, saya tumpang tidur sekejap tadi. Mengantuk
sangat,” ujar Mardiyah tanpa sempat Ammar membuka mulut. Dia menjeling sekilas
ke arah Ammar yang seperti tidak mengendahkan kehadirannya. Dia dah mula buat
muka tak ada perasaan dialah tu. Bisik hati Mardiyah. Dia mendongak memandang
jam yang tergantung di dinding. Sudah pukul sepuluh pagi. Lamanya aku tidur.
Lebih baik aku pergi Solat Dhuha dululah. Bisik hatinya.
Lantas, Mardiyah bangun dan mula mengorak langkah
melintasi Ammar yang sedang menonton rancangan di televisyen.
“Kau nak ke mana pulak tu?” soal Ammar menghentikan
langkah Mardiyah.
Mardiyah berpaling.
“Saya nak pergi Solat Dhuha sekejap,” balas
Mardiyah.
Ammar terdiam. Solat Dhuha? Hmm…dah lama aku tak buat. Bisik hatinya lalu Ammar turut bingkas.
“Jom solat sekali,” ajak Ammar tanpa memandang wajah
Mardiyah.
Mardiyah melongo. “Hah??” soalnya pelik.
“Tak dengar ke apa yang aku cakap tadi? Jomlah solat
Dhuha sekali,” Ammar mengulangi ayatnya tanpa sedikit pun memandang wajah
Mardiyah.
Mardiyah tersedar kemudian menganggukkan kepala.
Lalu, dia membuntuti langkah Ammar daripada belakang dan beredar ke tingkat
atas.
Tanpa mereka sedari, Datin Zarina dan Akhil
memerhatikan gelagat mereka dengan tawa kecil. Sengaja Datin Zarina
menghilangkan diri kerana dia yakin pasti Ammar akan mencari dirinya ternyata
apa yang dirancangkan benar- benar menjadi. Hampir terburai tawa dua beranak
itu apabila melihat wajah Ammar yang leka memerhatikan wajah Mardiyah yang
sedang tidur. Benci konon tapi mata lelaki itu ralit memandang wajah Mardiyah.
“Mama, along tu depan kita bukan main lagi cakap
benci pada Kak Diya tapi bila kita tak nampak, bukan main lagi tak berkelip
tengok muka Kak Diya. Apalah along ni,” komen Akhil dengan tawa kecil.
Datin Zarina ikut ketawa.
MARDIYAH
meraup wajahnya setelah Ammar selesai membacakan doa. Syahdu hatinya apabila
solat berimamkan Ammar walaupun Ammar masih enggan menerima dirinya sebagai
isteri namun kesudian lelaki itu untuk menjadi imam dalam solatnya sudah cukup
membuatkan Mardiyah terharu. Akhirnya, setitis air matanya gugur jua.
Ammar berpaling ke belakang setelah selesai
membacakan beberapa potong doa. Sungguh tenang hatinya saat ini apabila dapat
menunaikan solat Dhuha yang telah lama ditinggalkan.
“Apa yang sedih sangat tu?” soal Ammar apabila
menyedari Mardiyah menitiskan air mata.
Mardiyah tersentak. Dia menggelengkan kepala lalu
segaris senyuman hambar dihadiahkan kepada Ammar yang masih duduk mengadapnya.
Mardiyah rasa segan apabila bola mata lelaki itu masih lagi merenung wajahnya.
Lalu Mardiyah menundukkan pandangan.
“Terima kasih sebab sudi jadi imam saya,” ucap
Mardiyah perlahan sambil tertunduk.
Ammar mengulum senyum. Timbul perasaan ingin
mengusik gadis itu. Suka pula tengok wajah Mardiyah yang merona merah.
“Apa dia? Aku tak dengarlah..” ucap Ammar sambil
mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah.
Mardiyah tidak keruan apabila tubuh Ammar seakan
dekat dengannya. Dia mengesot ke belakang sedikit. Wajahnya sudah berbahang
panas. Dia cuba untuk mengangkat muka namun sebaik saja terlihat Ammar yang
masih merenungnya, sepantas kilat Mardiyah menundukkan kembali wajahnya. Tidak
sanggup rasanya dipanah dengan anak mata Ammar yang tajam.
Ammar ketawa besar melihat tingkah laku Mardiyah. Bukan
main pemalunya minah ni. Macamlah aku nak makan dia pun. Bulan puasa kut. Namun
Ammar masih belum puas mengusik. Dia menghulurkan tangannya pada Mardiyah.
Mardiyah terkejut. Dia mengangkat pandangan dan
memandang wajah Ammar yang serius. Dahinya berkerut melihat tangan yang
dihulurkan.
“Tengok apa? Salamlah. Kan dah habis solat ni,”
tegur Ammar dengan suara yang dikeraskan padahal dalam hati bagaikan digeletek
apabila melihat wajah Mardiyah yang cuak.
Mardiyah kelam kabut. Lalu dia menyambut huluran tangan
Ammar dan mengucup tangan lelaki itu dengan lembut. Berdebar hebat jantungnya
saat ini kerana inilah kali pertama dia bersalaman dengan lelaki itu walaupun
sudah hampir sebulan dia berkahwin dengan Ammar.
Ammar tersenyum. Tersentuh juga hatinya saat Mardiyah
mengucup lembut tangannya. Keadaan itu menunjukkan seolah- olah mereka seperti
pasangan suami isteri yang lain padahal hakikatnya tidak. Ammar tersedar lalu
menarik tangannya dengan kasar. Aku benci dia, sepatutnya aku tak perlu layan
dia dengan baik. Bentak hatinya membantah tindakannya sebentar tadi.
Tanpa menunggu lama, Ammar bangun dan meninggalkan
Mardiyah yang termangu- mangu di situ. Mardiyah pelik dengan sikap Ammar yang
asyik berubah. Mana satu Ammar yang sebenarnya? Soal hati Mardiyah.
“ALAH,
mama takkan Am yang nak kena beli barang. Mama pergilah dengan Akhil tak pun
suruh je Mak Mah yang pergi. Am bukannya pandai nak beli barang tu semua,”
Ammar membantah cakap Datin Zarina apabila mamanya itu meminta dia untuk pergi
ke pasaraya.
“Mama sibuklah kat rumah ni. Mak Mah kamu tu pun tak
larat nak beli barang bulan puasa ni. Takkanlah kamu sanggup tengok mama kamu
ni bimbit barang- barang yang berat tu. Tak kesiankan mama?” soal Datin Zarina
sambil mengelus bahu Ammar dengan lembut.
Ammar mencemikkan muka. Mamanya kalau pujuk memang
takkan bagi peluang untuknya menang pasti akhinya dia yang akan kalah.
“Yelah- yelah Am pergi. Mana senarai barangnya?”
soal Ammar sambil menghulurkan tapak tangan untuk meminta senarai barang.
Datin Zarina tersenyum lalu meletakkan beberapa
helai kertas kecil di atas tangan Ammar. Dia tersengih apabila melihat mata
Ammar yang terbeliak.
“Ini senarai barang ke karangan Bahasa Melayu, mama?
Panjang bukan main lagi. Mama nak masak untuk buka puasa ke atau mama nak buat
kenduri?” soal Ammar geram.
Datin Zarina ketawa mendengar kata- kata Ammar.
Wajah cemberut anaknya dipandang lama sebelum dia mengalih pandangan pada
kelibat Mardiyah yang baru saja turun dari tingkat atas.
“Hah, Diya ke sini sekejap,” panggil Datin Zarina
lembut.
Ammar mula gelisah. Mama ni nak buat apalah pulak
panggil minah ni? Soal hati Ammar.
“Ada apa, mama?” soal Mardiyah dengan dahi berkerut.
Datin Zarina tersenyum simpul. Dia menarik lengan
Mardiyah supaya merapatinya.
Mardiyah menurut. Kini dia berdiri bertentangan
dengan Ammar yang masam mencuka. Di tangan lelaki itu terdapat beberapa helai
kertas yang dipegang kemas. Mardiyah bertambah pelik.
“Temankan Am beli barang. Mama nak masak untuk
berbuka nanti. Inikan kali pertama mama berpuasa dengan menantu sulung mama
jadi mama nak masak yang sedap- sedap tapi Am ni tak pandai pulak nak beli
barang maklumlah lelaki. Lelaki kan memang lembab sikit bab barang- barang
dapur ni,” ujar Datin Zarina namun sempat lagi dia menempelak Ammar. Ammar
menjeling sambil mencebik.
Mardiyah hanya ketawa melihat reaksi Ammar. Tapi
kenapa aku pulak yang nak kena teman? Lecehlah nak kena berhadapan dengan
lelaki ni lagi. Dahlah garang mengalahkan cikgu disiplin. Kecut betul perut aku
tengok air mukanya tu. Bebel hati Mardiyah.
“Tapi mama boleh pergi dengan Diya. Kita ajak Pak
Mahmud,” cadang Mardiyah.
“Err..Pak
Mahmud cuti. Tak mengapalah, kamu berdua pergilah. Tolong mama, mama dah tak
larat nak angkat barang- barang. Bolehlah Diya,” pujuk Datin Zarina lagi.
Mardiyah mengeluh. Dia melemparkan pandangan pada
laman wajah Ammar yang kelihatan selamba. Lelaki itu tidak membantah seperti
kebiasaannya namun Ammar lebih suka mendiamkan diri jika dia ada bersama.
“Encik Am macam mana?” soal Mardiyah takut- takut.
“Ikut sukalah!” balas Ammar malas lalu keluar rumah.
Datin Zarina tersenyum melihat tingkah Ammar.
Walaupun masih keras tetapi lelaki itu tetap mengikut kata- katanya. Dia
menganggukkan kepala pada Mardiyah yang masih berdiri di sisinya.
Lantas, Mardiyah berlalu mencapai tas tangannya
sebelum menyalami tangan Datin Zarina. Cepat-cepat dia berlalu mengikut jejak
langkah Ammar. Dia bimbang kalau terlambat, akan dimarahi oleh lelaki itu.
Sewaktu dia sampai di garaj, Ammar sudah pun berada
di dalam kereta menunggunya. Mardiyah menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum
membuka pintu kereta. Dia menghenyakkan punggung di tempat duduk sebelah
pemandu. Wajah Ammar yang membisu dipandang sekilas.
Ammar berpaling ke tepi apabila menyedari Mardiyah
sudah berada di sisinya. Lama dia merenung wajah Mardiyah yang bersih tanpa
sebarang solekan yang tebal. Dia memandang penampilan gadis itu yang hanya
memakai t-shirt lengan panjang yang disingsing sehingga ke paras siku. Cukup
santai dengan tudung bawal yang disilangkan ke bahu. Ammar menggelengkan
kepala. Kebiasaannya Mardiyah seorang yang menjaga auratnya hari ini apa dah
jadi?
“Kenapa kita tak gerak lagi?” soal Mardiyah lurus.
Dia mengerling ke arah Ammar.
Berderau darahnya saat bertembung pandang dengan
Ammar yang ralit memandang dirinya dari atas ke bawah. Apa yang tak kena pulak
ni? Soal hati Mardiyah.
“Turunkan lengan baju tu. Kau nak tunjuk satu dunia
ke yang lengan kau tu putih melepak,” perli Ammar sinis.
Mardiyah tersentak. Dia memandang lengan bajunya
yang tersingsing. Hampir dia terlupa untuk menurunkan semula selepas solat
Dhuha tadi. Macam manalah aku boleh tak perasan. Detik hatinya. Dengan kelam kabut
dia menurunkan lengan baju sehingga ke paras pergelangan tangan.
“Tudung tu nak pakai macam tu je ke? Nak tambah dosa
aku yang dah sedia banyak ni ke?” perli Ammar lagi. Dia menjeling.
Hah? Mardiyah kebingungan. Tudung? Lalu dia
memandang tudungnya yang disilangkan ke bahu sehingga menampakkan dadanya. Oppsss, tak sengaja. Detik hati Mardiyah
lalu menurunkan tudungnya sehingga menutupi dada. Dia mencari kerongsang yang
di dalam beg tangan namun tidak jumpa- jumpa.
Ammar mendengus melihat Mardiyah yang kelam kabut.
Spontan, dia menarik kedua belah bahu Mardiyah supaya mengadap dirinya. Dia
mendekatkan wajah ke wajah Mardiyah. Hujung tudung Mardiyah yang senget
dibetulkan sedikit. Kemudian, hujung tudung Mardiyah di sebelah kanan ditarik
lalu disilangkan ke sebelah kanan. Manakala hujung tudung di sebelah kiri
disilangkan ke sebelah kanan lalu dipinkan menggunakan kerongsang yang berada
atas tapak tangan Mardiyah. Rambut Mardiyah yang sedikit terkeluar daripada
tudung diselitkan ke dalam tudung.
Mardiyah tergamam dengan perbuatan Ammar. Kedudukan
lelaki itu yang begitu dekat mendebarkan hati kecil Mardiyah. Sempat lagi dia
merenung wajah Ammar yang dekat. Mak datuk memang hensem gila dia ni. Patutlah
Isya cakap dia ni hensem kalahkan Lee Min Ho, memang betul pun, wajahnya putih
kemerahan, matanya besar tapi tajam. Dahlah anak matanya coklat hazel. Menawan sungguh. Hidungnya tak
payah cakaplah, tercacak elok je sesuai dengan bibirnya yang sensual. Rambut?
Hitam keperangan. Perfect! Dah macam
anak mat salih aku tengok. Tapi tak, dia ni Melayu sejati. Monolog hati
Mardiyah sambil meneliti wajah Ammar yang berada di hadapannya. Berkelip- kelip
dia merenung wajah Ammar.
Ammar tersenyum puas apabila melihat penampilan
Mardiyah. Ini baru betul muslimah. Bisik hatinya. Serentak Ammar mengangkat
pandangan. Berderau darahnya saat anak matanya bertaut dengan anak mata
Mardiyah yang bundar. Dia membalas renungan Mardiyah yang berkelip-kelip
memandang matanya. Namun, semakin lama dia merenung, semakin kuat debaran di
dada lalu Ammar mematikan rasa indah itu dengan berpaling ke hadapan. Dia
berdeham kecil bagi meredakan perasaannya yang gelisah.
“Lain kali kalau keluar rumah jangan lupa check pakaian tu jangan sesuka hati
bantai keluar je. Ingat selangkah kau keluar tanpa tutup aurat dengan betul,
suami kau dan ayah kau yang dapat seksa. Jangan nak tambah saham aku dekat
akhirat nanti dengan sikap lalai kau tu,” nasihat Ammar sedikit keras. Dia
memulas kunci kereta tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah mengangguk. Dia kelu untuk bersuara tetapi
apa yang dikatakan oleh Ammar semuanya betul. Dia khilaf hari ini dan dia
berjanji tidak akan mengulangi lagi. Tapi kata- kata Ammar yang terakhir itu
mencuit hatinya.
‘Jangan tambah saham aku dekat akhirat nanti dengan
sikap lalai kau tu.’
Apa maksud lelaki ini? Dia bercadang untuk jadikan
isteri aku sampai ke hujung nyawa ke? soal hati Mardiyah. Apa yang pasti soalan
itu tidak ada jawapan.
Rindu Dalam Sepi Istimewa Ramadan - Mengintai Rindu ( Bab 2 )
DATIN
Zarina kelihatan resah memandang jam di dinding yang sudah berganjak ke angka
4.30 pagi. Walaupun masih awal tetapi dia tetap risau jika menantunya itu tidak
datang. Dia benar- benar berharap Mardiyah sudi bersahur dengan mereka
sekeluarga.
Lamunan Datin Zarina terganggu apabila terdengar
loceng rumah dibunyikan. Dia tersenyum. Itu pasti Diya. Bisik hatinya. Lalu dia
mengesat tangan dan berlalu menuju ke pintu utama. Mak Mah hanya tersenyum
melihat gelagat Datin Zarina. Dia tahu Datin Zarina amat menyayangi Mardiyah cuma
Ammar saja yang masih dingin dengan gadis itu.
Datin Zarina membuka pintu. Dia tersenyum lebar
apabila melihat Mardiyah yang berdiri di hadapannya dengan menjinjit beg
plastik di tangannya. Gadis itu kelihatan santai dengan t-shirt labuh dan
seluar jeans tersarung di badannya.
“Alhamdulillah, sampai jugak Diya akhirnya. Mama
ingat Diya tak sudi datang,” ucap Datin Zarina sambil menyambut huluran tangan
Mardiyah untuk bersalaman.
Mardiyah tersengih. Kalau diikutkan rasanya, memang
dia tidak akan datang apabila terkenangkan Ammar tetapi apabila difikirkan
tentang Datin Zarina dan Datuk Zainal, dia mengalah. Biarlah sengketanya hanya
dengan Ammar tanpa melibatkan keluarga Datin Zarina yang lain. Dia amat
bersyukur dengan penerimaan Datin Zarina dan Datuk Zainal sepanjang dia menjadi
isteri rahsia pada Ammar.
“Maaf, Diya lambat sikit. Diya ada masakkan lauk,
bolehlah makan masa sahur nanti, yang lain mana, mama?” soal Mardiyah sambil
melangkah masuk ke dalam rumah Datin Zarina. Matanya melilau- lilau mencari
kelibat Aryani dan Akhil yang tidak kelihatan.
“Am tidur lagi dalam bilik tu. Yani dengan Akhil pun
sama, papa kamu lagilah. Mama kejutkan bukannya nak bangun. Makin berdengkur
adalah. Nasib baik Mak Mah ada temankan mama masak,” ujar Datin Zarina.
Mardiyah hanya tergelak mendengar bebelan Datin
Zarina namun tawanya mati apabila Datin Zarina menyebut nama Ammar. Lelaki itu
masih belum bangun? Maknanya lelaki itu ada dalam rumah ini sekarang? Mardiyah
mula dilanda keresahan. Dia takut untuk berdepan dengan Ammar apatah lagi
apabila teringatkan apa yang berlaku sewaktu makan malam pertamanya dengan
Datin Zarina sekeluarga dulu. Dia serik apabila diherdik di hadapan Datin
Zarina dan Datuk Zainal.
“Diya…Diya…” panggil Datin Zarina sambil mengawang-
awangkan tangannya di hadapan wajah Mardiyah.
Mardiyah tersentak. Dia berpaling pada Datin Zarina. Dia tersengih malu.
“Sorry,
mama. Diya mengelamun pulak. Tak apalah mama, Diya boleh temankan mama masak,”
balas Mardiyah.
Datin Zarina tersenyum. Tiba- tiba dia mendapat satu
akal.
“Eh, Diya tak payah tolong mama masak. Diya tolong
kejutkan Am kat tingkat atas boleh tak? Mama nak pergi kejut papa, Yani dan
Akhil. Dah nak imsak ni,” ujar Datin Zarina.
Erk?
Mardiyah rasa tercekik dengan permintaan Datin Zarina. Takkan aku nak pergi
masuk bilik mamat tu? Buatnya dia tendang aku keluar bilik, tak ke naya aku
nanti? Ish, tak naklah! Bentak
hatinya.
“Errr…Diya
rasa mesti Encik Am tak suka kalau Diya yang kejutkan dia. Nak tengok muka Diya
pun dia menyampah, inikan pula Diya yang pergi kejutkan dia. Memang Diya dapat
tendangan percuma nanti, mama,” balas Mardiyah perlahan.
Datin Zarina ketawa. Dia tahu Mardiyah masih lagi
segan dengan anak lelakinya itu. Tapi sampai bila hubungan mereka dingin
begini. Sebagai orang tua dia perlu lakukan sesuatu untuk menyatukan hati dua
insan yang hambar ini. Itulah tekad Datin Zarina dan anak- anaknya lain.
Walaupun perkahwinan Mardiyah dan Ammar berlaku kerana peristiwa yang
mengaibkan tetapi pernikahan yang mereka jalani ini adalah satu hubungan yang
suci jadi kenapa perlu diingkari jika itu yang telah ditetapkan sejak azali
lagi?
“Mama yakin Am takkan berani. Pergilah, mama tunggu
dekat meja makan,” arah Datin Zarina.
Mardiyah gelisah. Dia serba salah. Nak tolak, ini
arahan Datin Zarina. Kalau dia terima maknanya dia terpaksa menadah telinga
mendengar makian dan tohmahan daripada Ammar. Argghh, susahnya.
“Pergilah, nanti terlepas sahur pulak. Mengamuk lagi
suami kamu tu. Bilik Am belah kanan,” Datin Zarina mengulang kembali arahannya
membuatkan Mardiyah semakin tertekan.
Akhirnya, dia berlalu selepas menyerah beg plastik
yang dibawanya pada Datin Zarina. Dengan langkah yang berat dia berlalu ke
tingkat dengan perasaan yang berdebar.
LAMA
Mardiyah merenung pintu coklat yang berada di hadapannya itu. Dia mengangkat
tangan untuk mengetuk pintu tetapi dia membatalkan niat. Mardiyah takut Ammar
akan mengamuk jika tidurnya diganggu. Aduh, apa yang aku nak buat ni? soal hati
Mardiyah sambil menggigit kuku.
Lalu, Mardiyah membuat keputusan untuk membuka pintu
bilik tanpa mengetuk terlebih dahulu. Mungkin ini cara yang paling selamat.
Apabila pintu sudah terbuka, Mardiyah melangkah masuk dengan lafaz bismillah.
Dia menelan air liur apabila melihat bilik Ammar yang gelap, hanya lampu tidur
saja yang dipasang dihujung kepala katil lelaki itu.
Mardiyah menarik nafas lega apabila Ammar masih lagi
berbungkus dalam selimut tebal. Tiba- tiba Mardiyah terasa seram sejuk kerana
inilah kali pertama dia masuk ke dalam bilik anak teruna orang selain bilik
adik lelakinya.
“Nak buka lampu ke tidak? Nak buka? Tak nak buka?”
Mardiyah berkira- kira. Jarinya sudah pun berada di suis lampu utama. Namun,
dia menjatuhkan tangannya.
“Argh, tak
payahlah buka. Kalau dia marah tak nampaklah sangat muka dia yang garang tu,”
Mardiyah berkata sendirian.
Lantas, dia merapati katil. Dia duduk di birai katil
sambil merenung wajah Ammar yang sedang mengiring.
“Nyenyak betul kau tidur sampai langsung tak sedar
hari ni start puasa. Apa nak jadi
dengan anak orang kaya macam kau kan?” bebel Mardiyah perlahan.
Dia mengangkat tangan untuk menyentuh bahu Ammar
namun perbuatannya terhenti. Dia teringat sesuatu.
“Mesti kau tak suka aku sentuh kau. Yelah, aku kan
perempuan kotor. Perempuan kotor mana layak sentuh aku, huh!” Mardiyah mengajuk
cara Ammar bercakap. Kemudian dia mencebik.
Mardiyah mencapai jam loceng yang berada di atas
meja sisi. Dia membelek jam loceng berbentuk kepala katak berwarna hijau.
Nampak comel saja. Muka ganas tapi simpan benda alah macam ni. Agak- agak
siapalah yang bagi pada dia? bisik hati Mardiyah. Sedang asyik dia meneliti jam
loceng tersebut tiba- tiba dia tertekan satu punat yang menyebabkan jam
tersebut berbunyi nyaring.
Mardiyah terkejut. Habis melambung jam tersebut dengan
bunyi yang tidak sempat ditutup. Mardiyah mengurut dada. Dia benar- benar takut
saat ini apatah lagi jam tersebut telah jatuh dekat dengan kepala Ammar.
Dia melihat Ammar sudah bergerak- gerak. Dengan
pantas, Mardiyah memanjangkan tangannya untuk mencapai jam tersebut yang berada
di atas katil.
“Mama, jangan kacau Am tidur…” suara Ammar
kedengaran perlahan sambil menepis tangan Mardiyah yang cuba untuk mencapai jam
loceng tersebut.
Mardiyah menelan air liur. Pasti lelaki itu masih
belum sedar kehadirannya. Jantung Mardiyah sudah berdetak tidak menentu.
Janganlah dia sedar. Janganlah….bisik hatinya.
Namun harapan Mardiyah punah apabila sewaktu dia
cuba untuk mencapai jam loceng tersebut, tiba- tiba tangan Ammar menarik
pinggangnya menyebabkan Mardiyah jatuh dalam pelukan lelaki itu. Mardiyah
benar- benar tergamam. Perkara itu berlaku dengan pantas, tanpa sempat untuk
Mardiyah menepis. Kini jantungnya bagaikan ingin melompat keluar apabila dia
berada kemas dalam pelukan Ammar!
Ammar yang masih lagi mamai agak berang apabila
bunyi jam loceng itu masih lagi memekak di telinganya. Mama ni saja je kan nak
bagi aku hangin satu badan. Dahlah mengantuk tahap kritikal ni. Jam ni pula
bising. Aduhhh…bebel hati Ammar.
Dia mengeratkan lagi pelukan pada bantal peluk.
Keadaan bilik yang sejuk membuatkan Ammar makin selesa memeluk bantal peluk
yang terasa hangat.
‘Eh, kenapa bantal peluk aku rasa macam panas semacam
pulak ni. Dah tu asyik bergerak- gerak je, takkanlah bantal peluk aku hidup
kut,’ monolog Ammar.
Lantas Ammar membuka mata. Dia memandang ke kiri dan
kanan. Biliknya masih lagi gelap, dia pelik kerana bayang mamanya tidak
kelihatan dalam bilik. Bukan ke mama yang tekan jam loceng aku tadi? Soal hati
Ammar.
Lantas dia berpaling ke kanan untuk menyambung
tidur. Sebaik saja tangannya cuba memeluk bantal yang berada di sebelah, dia
terdengar bunyi esakan di sisinya. Ammar mencelikkan matanya seluas.
Dia tergamam apabila melihat seorang gadis dalam
samar- samar cahaya lampu berada disisinya. Ya Allah, apa aku dah buat tadi?
Siapa perempuan ni? soal hati Ammar. Tanpa berfikir panjang dia bingkas bangun
dan memetik suis lampu.
Pandangannya terpaku pada figura seorang gadis yang
berada di atas katilnya. Dia mengerutkan dahi. Lama dia mengamati wajah itu
barulah dia tersedar. Perempuan tu?!!
“Kau?!!” jerit Ammar kuat. Dia benar- benar terkejut
dengan kehadiran Mardiyah di dalam biliknya. Melihatkan Mardiyah yang teresak
menangis, barulah Ammar menyedari yang dia sudah terpeluk gadis itu. Alamak,
kenapalah aku boleh tersalah langkah pulak? Tapi bukan salah aku pun dia yang
masuk bilik aku sesuka hati dia je. Padam mukalah kena peluk. Hati Ammar
tergelak jahat.
“Macam mana kau boleh masuk bilik aku? Siapa yang
benarkan?” soal Ammar bertalu- talu. Suaranya yang kedengaran tinggi akhirnya
berubah menjadi perlahan apabila melihat wajah Mardiyah yang merah. Mata gadis
itu bersinar dengan air mata yang bergenangan.
Namun, Mardiyah masih membisu. Dia bagaikan kehilangan
kata-kata. Lidahnya seolah- olah kelu untuk menjawab pertanyaan Ammar. Apa yang
dirasakan sekarang ini adalah malu. Ya, malu apabila teringatkan kejadian
sebentar tadi.
“Aku tanya kau ni, dah pekak ke?!” jerkah Ammar
lagi.
Terhinjut bahu Mardiyah apabila terdengar jerkahan
Ammar. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Perlahan- lahan dia mengesot dan
duduk di birai katil. Air mata yang masih bersisa dikesat dengan jari.
“Mama suruh saya kejutkan encik untuk bangun sahur…”
ucap Mardiyah dengan suara yang lemah. Dia menundukkan wajah. Takut untuk
bertentang mata dengan Ammar yang kelihatan bengis.
“Sahur??” soal Ammar.
Mardiyah mengangguk lemah.
Sahur? Hari ni puasa ke? Eh, betullah hari ini hari
pertama puasa. Semalam mama jemput perempuan ni sahur sama.Ya Allah, macam
manalah aku boleh lupa? Jerit hati Ammar.
“Sekarang pukul berapa?” soal Ammar lagi. Dia mula
mundar- mandir. Dia sudah lambat untuk bersahur.
“Dah pukul lima, encik…” balas Mardiyah.
“Pukul lima? Aduh, dah lambat ni!” keluh Ammar.
Lalu, dia menuju ke almari. Tuala yang tersangkut di
penyidai dicapai. Dia kena mandi secepat mungkin kalau tidak pasti akan
terlepas waktu sahur. Sedang dia tergopoh- gopah untuk ke bilik mandi dia
melemparkan pandangan pada Mardiyah yang masih berteleku di birai katil.
Langkah Ammar terhenti. Dia berdiri sambil bercekak pinggang.
“Yang kau termenung panjang lagi tu, kenapa? mama
suruh kau kejutkan aku dan sekarang aku dah bangun, apa lagi yang kau tunggu!”
bentak Ammar garang. Mencerlang matanya menikam wajah Mardiyah yang terkulat-
kulat.
Mardiyah tersentak. Serentak dia bingkas berdiri
sambil wajahnya ditundukkan.
“Saa..saaa..ya…”
“Saya apa? Kalau kau ingat aku nak mintak maaf atas
apa yang terjadi tadi kau silap. Perempuan murah macam kau memang sukalah masuk
bilik lelaki. Tambah- tambah lagi kena peluk kan? Bukan luak pun bagi perempuan
yang tak ada maruah macam kau!” herdik Ammar lagi. Agak sinis.
Hati Mardiyah tersiat. Dia memegang dadanya yang
terasa sakit. Inilah hadiah hari pertama dia berpuasa. Cukup sakit dan
memedihkan segala kata hinaan yang Ammar lemparkan.
“Saya bukan macam tu, encik…” Mardiyah cuba
membalas.
“Arghh,
sudah. Tak ada masa aku nak dengar cakap kau. Lebih baik kau keluar sekarang.
Berambus!!” halau Ammar. Wajahnya kelihatan garang dan bengis.
Mardiyah tersentak. Dia akur dan berlalu dari bilik
Ammar. Air matanya menitis tanpa sekatan apabila teringatkan kata- kata Ammar.
“LEPAS
sahur
ni Diya nak ke mana?” soal Datin Zarina sewaktu mereka sedang menjamu selera.
Pandangannya terarah pada Mardiyah yang duduk berhadapan dengan Ammar. Kedua
insan itu hanya membisu. Ammar juga tidak bercakap walaupun sepatah. Nak
proteslah tu. Bisik hati Datin Zarina.
Mardiyah mendongak dan terus memadang wajah bersih
milik Datin Zarina. Dia tidak sanggup untuk memandang ke hadapan kerana bila-
bila masa saja wajahnya akan bertentangan dengan wajah Ammar yang masam
mencuka. Dia kecut perut apabila lelaki itu menghadiahkan jelingan tajam.
“Diya rasa Diya balik rumahlah. Lagipun hari ni
cuti, Diya tak rancang nak pergi mana- mana pun, mama,” balas Mardiyah lembut.
Dia kembali memandang nasi yang berbaki separuh di dalam pinggan.
Datin Zarina tersenyum manis. “Alah, Diya tak
payahlah balik rumah. Diya solat subuh dekat sini. Lepas tu Diya teman mama
dekat rumah. Mama bosanlah tak ada teman nak bersembang. Yani pulak, cuti ke
tak cuti ke sama je. Kerja 24 jam. Diya temankan mama, ya?” pinta Datin Zarina
lembut.
Dia memandang Datuk Zainal dengan senyuman penuh
makna. Datuk Zainal mengangguk. Kemudian, Datin Zarina mengalih pandangan pada
wajah Aryani yang telah tersenyum simpul. Datin Zarina tersenyum nipis. Semua
anak- anaknya sudah bersetuju. Mereka perlu lakukan sesuatu untuk merapatkan
hubungan Ammar dan Mardiyah. Mungkin dengan keberkatan bulan Ramadhan ni, Ammar
dan Mardiyah akan berbaik.
Mardiyah sedikit terkejut dengan permintaan Datin
Zarina. Dia mendongak memandang Ammar yang sudah merengus benci.
“Diya rasa tak bolehlah mama. Nanti kawan Diya cari
Diya, Diya tak tahu nak bagi alasan apa…” Mardiyah mencipta alasan. Bukan niat
untuk menipu tetapi hanya itu saja yang boleh dilakukan agar Ammar tidak terus
menwujudkan sengketa antara mereka.
“Tak apalah kalau Diya tak sudi, mama tak nak paksa.
Yelah, siapalah mama ni kan…” Datin Zarina memulakan lakonannya. Suaranya
dilembutkan sehingga kedengaran begitu sayu di telinga Mardiyah.
Mardiyah serba salah. Dia bimbang kata- katanya
telah melukakan hati Datin Zarina yang selama ini begitu baik melayaninya.
“Mama, jangan cakap macam tu…Diya..Diya…” Mardiyah
kehilangan kata.
“Kalau mama suruh tu, ikut jelah. Banyak pulak
songehnya,” Ammar bersuara tetapi kedengaran agak kasar.
Mardiyah bungkam. Dia menguis-nguis nasi yang
bersisa di dalam pinggan.
“Bolehlah Diya? Am dah bagi izin tu. Alah, nanti
kita boleh bincang pasal raya. Diya dah tempah baju raya belum?” soal Datin
Zarina bersemangat. Sebenarnya dia juga tidak menyangka yang Ammar boleh
bersuara, fikirnya Ammar akan terus mendiamkan diri tetapi ternyata anak
lelakinya itu bukanlah berhati kering.
“Okeylah, Diya temankan mama. Err..baju raya Diya tak prepare
apa- apa pun. Biasanya ibu yang jahitkan tapi tahun ni tak tahulah sama ada
Diya balik kampung ke tidak…” ujar Mardiyah sayu.
Sebak hatinya apabila terkenangkan kampung halaman.
Rasa sedih apabila memikirkan ibunya yang masih belum dapat menerima dirinya
lagi walaupun sudah sebulan peristiwa itu berlalu. Bukan dia tidak cuba
menghubungi Puan Kamariah malah semalam dia cuba untuk bercakap dengan ibunya
tetapi hati Puan Kamariah masih lagi keras.
Mardiyah cuba mengawal air matanya yang hampir
menitis. Ya Allah, kuatkan semangat aku. Doanya dalam hati.
“Kak Diya okey ke?” soal Akhil apabila melihat wajah
akak iparnya sedikit berubah keruh.
Mardiyah tersenyum hambar dan menganggukkan kepala.
Walaupun tersenyum namun Ammar dapat membaca garis
kedukaan yang terpancar di wajah yang tenang itu. Dia tahu Mardiyah sedang
kesedihan namun Ammar hanya keraskan hatinya untuk menyelami ke dasar hati
isterinya itu.
“Mama, Diya ke dapur dululah ya. Nanti Diya tunggu
dekat bilik solat,” ujar Mardiyah. Lalu dia bangun dan mengangkat pinggan kotor
menuju ke dapur.
Ammar hanya memerhatikan lenggok tubuh Mardiyah yang
hilang di sebalik ruang dapur. Kesian pulak aku dengan dia ni. Dahlah berpuasa
dengan keluarga orang lain, ayah pulak meninggal. Tentu merana hidup dia. bisik
hati kecil Ammar.
“Apalah nasib Kak Diya kan mama, dahlah ayah
meninggal. Kena buang keluarga pulak tu. Sekarang ni pulak bulan puasa. Tentu
Kak Diya rindukan keluarga dia kat kampung. Kesian betul Yani tengok Kak Diya,”
Aryani bersuara membuatkan semua mata memandang ke arahnya.
“Sebab itulah mama nak dia berpuasa dan raya dekat
rumah kita. Kesian sepatutnya di saat hari bahagia ni kita sambut dengan orang
yang tersayang bersama- sama dengan family
tapi Kak Diya kau? Berseorangan je. Mama berharap sangat dia dapat beraya
dengan kita kalau ibu Kak Diya masih tak dapat terima dia. Tapi nak buat macam
mana kan, kita je yang beria tapi orang tu tak suka kalau Kak Diya ada dalam rumah
ni,” sindir Datin Zarina sambil menjeling pada Ammar yang sedang leka mengunyah
nasi.
Ammar tersedar semua mata yang memandang wajahnya.
Dia mengeluh. Air putih dicapai lalu diteguk perlahan.
“Itu janji mama dulu, takkan mama lupa,” balas Ammar
selamba.
Datin Zarina mengeluh berat. Pasal janji itu juga
yang diungkit oleh Ammar. Susah betul nak melembutkan hati Ammar yang keras
untuk membenci Mardiyah. Hampir setiap hari dia mendoakan agar Ammar menerima
Mardiyah sebagai isteri dengan rela hati tapi sampai sekarang anak lelakinya
itu masih menunjukkan tanda negatif.
“Kenapa hati Am keras sangat untuk terima Diya
sebagai isteri? Diya perempuan yang baik Am, cubalah Am kenal hati dan budi dia
dulu,” jawab Datin Zarina lembut.
Akhil dan Aryani hanya mampu mendengar segala
nasihat Datin Zarina yang diberikan pada Ammar. Nak menyampuk, rasa macam tak
sesuai pulak.
“Bila Am dah buat keputusan, Am takkan ubah, mama,”
balas Ammar. Walaupun mendatar tapi kedengaran tegas.
Dia mengangkat pinggan lalu menuju ke dapur. Datin
Zarina hanya mampu menggelengkan kepala melihat kedegilan Ammar.
“Ina jangan paksa sangat untuk Ammar terima Diya.
Biar dia terima Diya dengan kerelaan hati dia sendiri. Kalau kita paksa, lain
pulak jadinya nanti. Apa yang perlu kita lakukan adalah tolong mereka secara
senyap- senyap. Abang ada idea,” ucap Datuk Zainal dengan senyuman penuh makna.
Akhil dan Aryani berpandangan dengan Datin Zarina.
“Idea apa, bang?” soal Datin Zarina teruja.
“Adalah. Tapi idea abang ni perlukan Ina, Akhil dan Yani,”
ucap Datuk Zainal.
Akhil, Aryani dan Datin Zarina sudah mengangguk
setuju.
MARDIYAH
berdiri di tepi tingkap di dalam bilik solat yang sunyi sepi. Sementara
menunggu subuh masuk dia lebih selesa memandang dada langit yang kelihatan
kelam. Rasa tenang menyapa saat dia menarik nafas menghirup udara segar di pagi
pertama bulan Ramadhan. Saat ini dia teringatkan arwah ayahnya yang telah pergi
menemui Ilahi. Rindunya pada arwah Encik Yasir memang tidak terkata begitu juga
rindunya pada Puan Kamariah dan adik- adik. Sepatutnya hari ini dia pulang ke
kampung untuk menyambut awal Ramadhan di sana. Kebiasaannya itulah yang
Mardiyah lakukan setiap tahun. Tapi kali ini semua berbeza. Hidupnya berubah
dengan sekelip mata mujur ada Datin Zarina yang sudi menerima dirinya.
Mardiyah menyeka air mata yang sudah tumpah
mengenangkan nasib dirinya yang dibuang keluarga. Sampai bilakah Puan Kamariah
akan bersikap dingin dengannya? Sampai bilakah Ammar terus membenci dirinya?
Mardiyah begitu inginkan kehidupan seperti orang lain apatah lagi di bulan
Ramadhan yang mulia ini. Tapi masihkah ada bahagia untuk dirinya?
“Ehem-ehem…” bunyi dehaman membuatkan Mardiyah
kembali ke dunia realiti. Dia mengesat sisa air mata sebelum berpaling.
Kelihatan Ammar berdiri di muka pintu. Wajah lelaki
itu basah dengan air wuduk menyebabkan Mardiyah sedikit terpana memandang wajah
kacak milik Ammar. Tidak lama kemudian barulah dia menundukkan pandangan.
“Buat apa termenung sorang- sorang dalam bilik ni?”
soal Ammar mendatar.
Mardiyah beku. Lambat- lambat dia mendongak membalas
pandangan Ammar.
“Tengah tunggu mama, kata nak solat sama…” jawab
Mardiyah takut- takut.
Ammar terdiam. Dia menjeling sekilas pada wajah
Mardiyah yang kelihatan basah. Baru lepas menangis ke minah ni? soal hati Ammar.
“Kau dah ambil wuduk belum?” soal Ammar lagi. Kali
ini kedengaran lembut.
Dengan pantas Mardiyah menganggukkan kepala.
“Dah tu mana telekungnya? Kenapa tak pakai lagi?
Subuh dah masuk ni,” ujar Ammar. Dia memandang Mardiyah yang kelihatan kelam
kabut mencari telekung. Dia menghela nafas panjang.
Mardiyah berpusing- pusing mencari telekung di dalam
bilik itu. Namun, dia tidak menemui satu pun telekung sembahyang. Dia
menggarukan kepalanya yang beralas tudung. Kemudian dia terpandangkan almari
yang terletak di satu sudut. Dengan pantas kakinya dihayunkan ke tempat itu.
Dia cuba membuka pintu almari untuk mengambil
telekung. Namun, belum sempat dia mengambil, Ammar terlebih dahulu memotong
langkahnya. Lelaki itu mencapai sepasang telekung berwarna putih dan dihulurkan
kepada Mardiyah.
Walaupun sedikit terkejut, Mardiyah tetap menyambut
huluran tangan Ammar. Dia tersenyum nipis.
“Terima kasih…” ucap Mardiyah lembut.
Lalu dia menyarungkan telekung tersebut ke tubuhnya.
Ammar masih lagi berdiri di hadapan Mardiyah sambil memandang isterinya memakai
telekung. Dia memerhatikan setiap tindak tanduk Mardiyah.
“Senget tu…” tegur Ammar.
Mardiyah tersentak. Dia mendongak meminta penjelasan
daripada Ammar.
“Kat mana sengetnya?” soal Mardiyah selamba. Dia
membetulkan pelapik telekung di bawah dagu.
“Bukan dekat situ,” ujar Ammar. Dia memandang
telekung Mardiyah yang senget di bahagian kepala.
“Habis tu dekat mana?” soal Mardiyah lagi. Sudah
habis dipusing telekung yang dipakai tapi Ammar tetap mengatanya senget.
“Meh sini
aku tolong betulkan. Pakai benda ni pun boleh senget padahal tiap- tiap hari
pakai,” bebel Ammar sambil menarik lengan Mardiyah yang beralaskan telekung.
Mardiyah kaget. Dia mengeraskan diri sebaik saja
Ammar berdiri dekat dengannya. Dia dapat rasakan Ammar membetulkan telekung
yang berada di bahagian kepalanya sebelum menarik sedikit pelapik dagu bagi
menutup dagunya. Mardiyah cuba mengawal debaran yang melanda hatinya.
Ammar tersenyum puas melihat wajah Mardiyah yang
lengkap bertelekung. Barulah kemas, tak menyerabutkan mata. Bisik hatinya.
Namun, tiba- tiba senyumannya mati apabila anak matanya bertembung pandang
dengan anak mata Mardiyah yang bulat bundar. Terkedip- kedip gadis itu
merenungnya. Hati Ammar mula berdenyut.
Klik!
Bunyi sesuatu mengejutkan Ammar dan Mardiyah. Dia
memandang ke arah muka pintu. Kelihatan Akhil memegang kamera DSLR di tangan
sambil menangkap gambarnya. Datin Zarina dan Datuk Zainal hanya tersengih.
Aryani pula hanya memainkan keningnya dengan senyuman simpul.
“Sweetnya along,
tolong betulkan tudung Kak Diya sebijik macam suami mithali,” usik Akhil
disambut dengan gelak tawa keluarganya yang lain.
Ammar menayang muka selamba sedangkan dalam hatinya
sudah berdetak tidak menentu. Malu benar- benar malu saat ini. Sekilas dia
mengerling pada Mardiyah yang menundukkan wajah. Merona merah muka gadis itu
apabila diusik oleh Akhil. Dalam hati Ammar, dia tersenyum.
“Dahlah, tak nak solat ke?” soal Ammar mengalih
topik.
“Alah, alih topik pulak along ni. Kami memang nak
solat tapi bila tengok drama sebabak tadi rasa macam bahagia je. Tak gitu,
mama?” Aryani menyampuk.
“Sudah-sudah, jom kita jemaah sama. Akhil pergi
simpan kamera tu. Takkan nak solat pakai kamera,” sindir Datin Zarina.
Akhil tersengih dan mengangguk.
“Am jadi imam ye,” ucap Datuk Zainal sambil menepuk
perlahan bahu anak lelakinya itu.
Ammar menganggukkan kepala. Dia mengerling sekilas
ke arah Mardiyah yang sudah berdiri di sisi Datin Zarina sebelum dia berlalu
menuju ke hadapan.
Subscribe to:
Posts (Atom)