Tetamu Rindu

Monday 17 December 2012

R.D.S (Bab 29&30)


BAB 29

PADA masa yang sama, Ammar memandang meja Mardiyah yang kosong. Dia pelik selalunyaselepas makan tengah hari wajah Mardiyah pasti terjengul di dalam biliknya memberikan laporan tentang aktivitinya pada sebelah petang.

“ Kak Izzah, Diya mana?” tanya Ammar sewaktu Kak Izzah melintas di hadapannya.

Kak Izzah menghentikan langkah dan memandang tepat pada wajah bosnya yang kacak itu. Dia mengerutkan kening.

“ Bukankah Diya ada meeting dengan encik kat bilik 25 pukul dua tadi? Encik ada letak memo atas meja Diya kan?” tanya Kak Izzah balik.

Ammar tersentak. Meeting? Bilik? Apa semua ini?

“ Kak Izzah jangan bergurau dengan saya. Saya tak pernah bagi memo pada Diya dan saya tak pernah buat meeting kat bilik. Buat apa meeting kat situ?”

“ Habis itu siapa yang bagi memo itu?” soal Kak Izzah pelik.

Jantung Ammar berdebar. hatinya juga tidak keruan seperti ada yang tidak kena.

“ Mana memo itu kak?”

Dengan pantas Kak Izzah mencari memo yang ditunjukkan oleh Mardiyah sebentar tadi. Selepas memo itu dijumpai lantas diberikan pada Ammar. Sepantas kilat Ammar membaca memo tersebut dan mengerutkan dahinya.

“ Ini buka tulisan saya kak. Mesti ada yang tak kena ni. Saya nak pergi cari Diya sebab mungkin ini bilik Datuk Hasyim.” Ammar membuat andaian.

“ Kenapa pula Datuk Hasyim nak tipu Diya?” Kak Izzah pelik.

Ammar meraup wajahnya yang tegang. Hatinya mula risau, dia dapat merasakan sesuatu yang buruk berlaku pada isterinya.

“ Saya tak dapat nak jawab sekarang. Kak Izzah tolong jaga ofis saya nak pergi cari Diya. Apa- apa hal saya akan call Kak Izzah.” Ujar Ammar.

Tanpa menunggu jawapan daripada Kak Izzah, Ammar berlari menuju ke bilik 25 dengan hati yang cemas. Ya ALLAH jangan ada apa- apa yang berlaku pada isteri aku. Selamatkan dia daripada segala kejahatan. Rintih hati kecil Ammar. Pada waktu yang sama dia menyeluk poket dan mengeluarkan telefon bimbitnya.

“ Hello assalamualaikum, Raihan aku ni Ammar. Tolong datang kat hotel aku sekarang jugak. Emergency.”

 

“ DIYA!”

Jerit Ammar sewaktu pintu bilik itu ditolak daripada luar. Dia begitu terkejut  bila melihat tubuh Datuk Hasyim cuba menindih isterinya. Sepantas kilat rasa marah meyerbu ke dalam diri Ammar dan tanpa menunggu lama dia menarik belakang baju Datuk Hasyim.

“ Celaka kau jantan!” jerit Ammar.

Lantas satu tumbukan padu lekat pada wajah Datuk Hasyim. Datuk Hasyim terhuyung hayang bila ditumbuk dengan begitu kuat. Dia cuba membalas, namun Ammar dengan pantas mengelak dan satu lagi tumbukan lekat pada perut lelaki itu dengan sepenuh tenaganya membuatkan Datuk Hasyim terbatuk hingga darah merah keluar dari mulutnya.

“ Kau ingat dia perempuan jenis apa hah? Dasar jantan tak guna isteri dan ada dua tak cukup lagi ke sampai isteri orang kau nak rembat. Lebih baik kau mati daripada menyeksa anak dara orang!” tengking Ammar lagi. Satu tumbukan hinggap lagi di pipi Datuk Hasyim. Darah panas menyirap ke dalam jiwanya. Dia belum puas melepaskan kemarahan.

Sebaik sahaja tangan kanannya ingin dihayunkan pada wajah Datuk Hasyim yang berdarah, tiba- tiba suara Mardiyah yang lemah menghalang perbuatan Ammar.

“ Am…” panggil Mardiyah lemah. Gadis itu terbatuk- batuk kecil. Tubuhnya yang terbaring di lantai kelihatan begitu tidak berdaya.

Ammar berpaling. Dengan pantas dia melepaskan badan Datuk Zainal yang lemah longlai dan mendapatkan Mardiyah yang lemah. Serentak dia menanggalkan kot dan dibalutnya pada tubuh Mardiyah yang sedikit terdedah. Tudung gadis itu yang tercampak ke sisi gadis itu, di capai lalu diletakkan ke atas kepala Mardiyah. Dia sedih melihat keadaan isterinya yang tidak bermaya. Bibir dan hidung gadis itu kelihatan berdarah membuatkan naluri lelaki Ammar tersentuh.

Dia memangku kepala Mardiyah yang lemah. Nafas gadis itu tidak teratur membuatkan Ammar bertambah risau.

“ Diya, bertahan. Aku ada dengan kau. Kau kena kuat Diya jangan tinggalkan aku.” Bisik Ammar ke telinga Mardiyah.

Namun nafas Mardiyah semakin lemah. Matanya juga tertutup rapat. Dia semakin tidak berdaya. Tiada apa yang diingatkan oleh Mardiyah saat ini hanya ALLAH yang berada di dalam hatinya. Dia tidak kuat dan dia redha jika dia dijemput bertemu dengan Maha Pencipta hari ini. Perlahan- lahan mata Mardiyah tertutup dan terus terpejam.

Ammar menggeleng laju. Dia mengoncangkan bahu Mardiyah kerana dia mahu gadis itu sedar. Dia tidak mahu gadis itu meninggalkannya di saat hatinya mula menerima kehadiran gadis itu. Dia tidak sanggup. Tanpa disedari air mata lelaki Ammar menitis setitik demi setitik bila melihat wajah itu yang dipenuhi luka. Jangan tinggalkan aku Diya…

 

“ AM, macam mana keadaan Diya? Dia selamat ke?” tanya Datin Zarina cemas sewaktu dia mendapatkan Ammar di hospital petang itu. Akhil dan Datuk Zainal hanya menunggu jawapan daripada Ammar dengan hati yang berdebar- debar.

“ Am tak tahu mama, doktor masih merawat Diya. Am tak dapat nak beritahu mama apa- apa,,” jawab Ammar lemah. Dia tidak bermaya.

“ Papa tak sangka yang Datuk Hasyim boleh lakukan kerja terkutuk ini pada Diya padahal dia dah ada ramai isteri, anak perempuannya juga sebaya dengan Diya. Apa yang dia tak puas lagi.” Datuk Zainal meluahkan rasa kesal. Kepalanya digelengkan.

“ Datuk Hasyim tu memang keparat! Am tahu dah lama dia cuba mengurat Diya tapi Diya tak layan. Mungkin dia sakit hati pada Diya disebabkan itulah dia sanggup menggunakan nama Am untuk memperdayakan Diya supaya datang ke bilik dia. Am takkan maafkan orang tua tu papa.” Marah Ammar. Penumbuknya dikepalkan.

“ Sabar Am jangan ikutkan rasa marah. Pasal Datuk Hasyim, kamu jangan risau papa akan uruskan. Sekarang ini kamu perlu doakan supaya Diya selamat.” Ujar Datuk Zainal sambil menepuk- nepuk bahu anak lelakinya yang sedang duduk bersandar di kerusi. Wajah Ammar kelihatan kusut. Mungkin juga risau dengan keadaan Mardiyah yang masih dirawat.

“ Am, kau tak payah risau. Aku dah uruskan Datuk Hasyim dan aku akan pastikan dia dapat hukuman yang setimpal dengan apa yang dia buat pada pekerja kau.” Satu suara kedengaran menyentakkan semua ada di situ.

Raihan tersenyum memandang keluarga Ammar yang sedang bermuram durja. Sempat juga dia bersalaman dengan Datuk Zainal dan Akhil.

“ Ma, pa ini Am kenalkan Inspektor Raihan dari IPD Shah Alam. Dia kawan Am masa sekolah dulu. Dia yang akan settlekan hal ini.” Ammar memperkenalkan Raihan kepada ahli keluarganya.

“ Baguslah. Papa juga takkan maafkan perbuatan Datuk Hasyim itu.”

Namun, perbualan mereka diganggu dengan kemunculan Doktor Syamira yang baharu sahaja keluar daripada bilik rawatan Mardiyah. Dengan perasaan berdebar- debar mereka sekeluarga mendapatkan Doktor Syamira.

“ Doktor, macam mana dengan Mardiyah?” tanya Datin Zarina.

“ Awak semua ini ahli keluarga Cik Ainur Mardiyah ke?” tanya Doktor Syamira pula.

Serentak mereka semua mengangguk.

“ Ainur Mardiyah selamat daripada kemungkinan dirogol cuma dia mengalami cedera ringan di kepala kerana hentakkan di bahagian itu dan buat masa sekarang ini, Ainur Mardiyah masih tidak sedarkan diri. Jika dia tidak sedarkan diri dalam masa 24 jam kami khuatir dia akan koma memandangkan Ainur Mardiyah bagaikan putus asa untuk bangkit semula. Saya harap datuk dan datin dapat membantu memulihkan semangat Ainur Mardiyah untuk meneruskan hidup. Saya syak dia mengalami trauma dan tidak mahu lagi meneruskan hidupnya walaupun dia boleh berbuat sedemikian.” Terang Doktor Syamira panjang lebar.

Ammar meraup wajahnya berkali- kali. Dia gembira bila mendengar yang isterinya selamat tetapi kata- kata terakhir Doktor Syamira membuatkan Ammar risau.

“ Tak ada cara ke untuk pulihkan dia doktor?” Tanya Ammar pula.

Doktor Syamira tersenyum. cermin matanya dibetulkan sedikit.

“ Kami memang tiada cara untuk memulihkan orang yang koma kerana hanya semangat si pesakit yang dapat membantu untuk dia bangkit semula selain kita yang sihat ini harus sentiasa berdoa kepada ALLAH kerana Dialah Pencipta kita.” Ujar Doktor Syamira menyedarkan Ammar.

“ Saya rasa tiada apa yang perlu saya cakapkan lagi. Kalau ada apa- apa boleh datang terus jumpa saya. Saya mintak diri dulu.” Ucap Doktor Syamira lantas berlalu meninggalkan Ammar sekeluarga yang masih berteleku di situ.

“ Abang, Ina nak tengok Diya sekejap.” Pinta Datin Zarina sambil teresak- esak.

Datuk Zainal mengangguk. Dia memeluk bahu isterinya dan memimpin tangan Datin Zarina menuju ke bilik Mardiyah diikuti oleh Akhil.

Sementara itu, Ammar hanya duduk termenung di ruang menunggu. Bukan dia tidak mahu menjenguk Mardiyah tetapi dia tidak sampai hati untuk melihat keadaan gadis itu. dia rasa bersalah dengan apa yang terjadi padahal itu bukan salahnya. Tetapi bagi Ammar, dia banyak melakukan kesalahan pada Mardiyah dan dia bimbang jika isterinya itu pergi tanpa sempat dia meminta maaf.

“ Aku tahu kau risau Am tapi dengan duduk termenung macam ini, Mardiyah tak boleh sembuh.” Ujar Raihan lantas melabuhkan duduk di sebelah Ammar.

“ Apa yang harus aku lakukan?” tanya Ammar seperti orang bodoh.

Raihan tersenyum. Dia pelik kenapa Ammar begitu ambil berat pasal Mardiyah padahal gadis itu hanya pekerjanya sahaja. Tetapi melihat kepada reaksi Ammar yang begitu risau dengan keadaan Mardiyah seolah- olah gadis itu mempunyai hubungan istimewa dengan sahabatnya itu.

“ Seperti apa yang doktor itu cakapkan, kau harus berdoa pada ALLAH agar Mardiyah selamat dunia dan akhirat. Jika bukan ajalnya, maka dia akan selamat tetapi jika dah sampai masanya dia akan pergi juga. Apa- apa pun kau kena banyak berdoa pada ALLAH sebab doa adalah senjata bagi orang mukmin.” Nasihat Raihan.

Ammar mengeluh. Kata- kata Raihan ada gunanya.

“ Aku tak nak dia tinggalkan aku. Aku banyak buat salah pada dia. Aku menyesal kerana mengabaikan dia selama ini.” Ujar Ammar tiba- tiba.

Raihan tersentak. Apa maksud lelaki itu?

“ Apa maksud kau Am?” tanya Raihan pelik.

Ammar terdiam. Dia sudah terlepas cakap. Walaupun dia tidak menyatakan secara kasarnya, tetapi dia tahu Raihan pasti sudah mengesyaki sesuatu.

“ Apa hubungan kau dengan Mardiyah, Am. Aku rasa kau dengan dia bukan sekadar majikan dan pekerja tapi lebih daripada itu. Kau tak nak cerita pada aku ke?” Tanya Raihan lagi. kali ini kedengaran lebih mendesak.

Ammar serba salah. Perlukah aku ceritakan semuanya?

 

 

 

 

 

 

 

BAB 30

RUANG kamar Mardiyah sunyi sepi pada malam itu. Datuk Zainal dan Datin Zarina sudah pulang ke rumahnya sejam yang lalu kini tinggal Ammar yang duduk menjaga Mardiyah yang sedang terbaring lesu di atas katil. Mata gadis itu terpejam rapat dan pernafasannya hanya di bantu dengan alat pernafasan sahaja. Timbul simpati di hati Ammar buat si isteri.

Perlahan- lahan dia mencapai jari- jemari Mardiyah yang runcing lalu dikucup dengan penuh syahdu. Wajah Mardiyah yang lesu dipandang dengan simpati.

“ Diya, kau kena kuatkan semangat dan jangan putus asa. Aku tahu kau kuat untuk hadapi semua ini, walaupun kau tak nak bangkit untuk aku tapi cubalah kau sedar untuk keluarga kau. Mereka masih memerlukan kau dalam hidup mereka. Aku dah call adik- adik kau tadi dan mereka semua datang nak melawat kau. Takkan kau tak bangun jumpa mereka. Aku rasa ibu kau pun datang sekali. Bangunlah Diya..” ucap Ammar lembut.

Telapak tangan Mardiyah yang sejuk digenggam erat. Sesekali dia mengucup tangan itu dan Ammar dapat rasakan rasa kasih yang semakin mekar untuk gadis itu. Dia tidak mampu untuk mengelak lagi.

“ Aku tahu aku banyak sakitkan hati kau, lukakan perasaan kau tapi aku lakukan semua itu sebab aku rasa apa yang berlaku pada kita ini tak adil pada aku. Disebabkan itu aku membenci kau tanpa memberi peluang pada diri aku untuk kenal kau dengan rapat. Tetapi selepas aku kenal kau, aku dapat rasakan yang kau bukan seperti yang aku fikirkan malah kau jauh lebih baik daripada apa yang pernah aku cakapkan.

Aku suka tengok kau bila kau malu- malu sebab itu aku suka menyakat kau. Aku ingat mama pernah cakap yang kau ini cantik, hati kau cantik. Memang aku menafikan tetapi dalam hati aku mengaku yang kau memang cantik. Kalau kau dengar apa yang aku cakapkan ini pasti kau cakap aku gila kan? Tetapi itu kenyataannya Diya. Aku cuba untuk membenci kau semula tetapi aku tak mampu sebab hanya bayang wajah kau sering bermain di minda aku. Aku tak tahu apakah maksud semua perasaan ini. Aku tak ada jawapannya Diya. Aku keliru dengan apa yang aku rasakan sekarang ni, kalau kau tahu apa maksud semua perasaan ini tolong bagitahu aku.” Luah Ammar panjang lebar.

Hanya saat ini dia dapat meluahkan perasaan sebenarnya pada Mardiyah kerana di waktu lain dia tidak berkesempatan memandangkan waktu untuk dia bertemu dengan Mardiyah agak terbatas walaupun mereka suami isteri.

Ammar memejamkan matanya dan berharap saat dia mencelikkan mata, dia dapat melihat mata isterinya terbuka namun harapannya hampa bila dia membukakan mata, Mardiyah tetap kaku di situ. Ammar mengeluh berat. Apa yang harus aku lakukan?

“ Kau kena banyak berdoa Am kerana doa adalah senjata orang mukmin.”

Tiba- tiba kata- kata Raihan terngiang- ngiang di mindanya.

Tanpa berlengah lagi Ammar menuju ke bilik air lalu mengambil wuduk untuk mengerjakan solat hajat. Dia mahu isterinya sembuh seperti sediakala.

 

PERLAHAN- LAHAN mata Mardiyah terbuka. Dia bangun daripada pembaringan dan mendapati dirinya berada di satu kawasan lapang yang sangat cantik. Kawasan hijau yang di penuhi rumput menghijau.

“ Aku kat mana ni?” tanya Mardiyah sendirian.

Matanya melilau mencari kelibat orang yang boleh dia tanyakan namun tiada sesiapa di situ membuatkan Mardiyah semakin pelik. Dia bangkit dan meneruskan perjalanan. Sampai di satu tempat, dia terlihat ada satu pohon yang rendang yang mana di pohon itu terdapat satu buaian yang cukup indah. Mardiyah tersenyum lantas menuju ke buaian itu.

“ Diya…” panggil satu suara mengejutkan Mardiyah. Dia berpaling.

“ Ayah?”

Mardiyah pelik bagaimana ayahnya boleh ada di tempat yang sunyi seperti ini. Rasanya tiada orang lain selain dia di situ.

Yasir tersenyum melihat anak gadisnya yang memakai pakaian serba putih itu. dia gembira kerana dapat bertemu dengan Mardiyah di situ tetapi Yasir tahu tempat Mardiyah yang sebenarnya bukan di situ.

“ Macam mana ayah boleh sampai kat tempat ni?” Tanya Mardiyah pelik.

“ Sepatutnya ayah yang tanya Diya, macam mana Diya boleh sampai kat tempat ini? Ini memang tempat ayah.” Ujar Yasir sambil tersenyum.

Mardiyah masih lagi tercengang namun dengan pantas dia mencapai tangan Yasir untuk bersalaman namun dia pelik kerana tidak dapat memegang tangan ayahnya. Tangan itu seolah- olah seperti bayang yang boleh ditembusi.

“ Kenapa Diya tak boleh pegang ayah?” Mardiyah sudah mula teresak.

“ Diya jangan menangis, mungkin belum tiba masanya untuk dia bersama ayah. Tempat Diya bukan di sini, tempat Diya bersama ibu dan adik- adik. Ayah tak benarkan Diya berada di sini pergilah Diya balik pada pangkuan suami Diya.” Tutur Yasir tenang.

Mardiyah menggelengkan kepala. Dia tidak mahu pergi daripada tempat itu kerana dia rasa cukup tenang berada di situ apatah lagi ayahnya ada bersama.

“ Diya tak nak balik. Diya nak tinggal dengan ayah kat sini lagipun kalau Diya balik tiada siapa yang sayangkan Diya. Ibu dah tak nak terima Diya, Am pun tak pernah nak terima Diya sebagai isterinya. Biarlah Diya tinggal kat sini ayah. Diya tenang kat sini.” Balas Mardiyah penuh berharap.

Yasir menggelengkan kepala tidak bersetuju dengan kata- kata anak gadisnya itu.

“ Ini bukan tempat kamu Diya. Belum tiba masanya untuk kamu tinggal di sini. Pulanglah kamu pada keluarga kamu yang masih memerlukan. Pulanglah sayang…” pujuk Yasir.

“ Diya tak nak ayah. Diya nak tinggal dengan ayah. Diya rindu ayah.” Ucap Mardiyah masih lagi berkeras.

“ Tak boleh Diya. Kebahagiaan sedang menanti kamu di sana pergilah kamu mengapainya dan jangan sesekali melepaskan kebahagiaan itu anakku.” Balas Yasir. Dia mengelus ubun- ubun Mardiyah. Dia tersenyum manis

“ Tiada erti kebahagiaan kalau ayah tak ada bersama Diya. Diya rela korbankan hidup Diya asalkan dapat hidup bersama- sama ayah.” Ucap Mardiyah.

Tangisan Mardiyah mula kedengaran. Teresak- esak dia menangis bila melihat ayahnya sudah mengatur langkah untuk meninggalkan dirinya. Mardiyah mula terasa cemas. Dia tidak mahu kehilangan ayanhnya sekali lagi.

“ Kamu tak boleh menentang kehendak takdir Diya, apa yang berlaku pada ayah sudah ditetapkan. Kita dah tak boleh nak hidup satu keluarga lagi seperti dulu sebab ayah bukan lagi seperti kamu. Ayah hanya dapat melihat kamu daripada jauh sahaja dan ayah akan sentiasa berdoa pada ALLAH agar kamu sentiasa dilindungi. Satu sahaja pesan ayah, bukalah pintu hati kamu untuk menerima cinta daripada lelaki yang benar- benar sayang pada kamu kerana di situ kamu akan temui kebahagiaan tapi ingat jangan tersalah menilai kebaikan dan cinta yang diberikan kepada kamu.” Nasihat Yasir lantas berlalu.

Mardiyah tercengang. Dia mati akal untuk menghalang ayahnya yang semakin menjauh. Dia cuba memanggil namun suaranya tidak terkeluar. Tiba- tiba dia terdengar suara mengalunkan ayat- ayat suci. Dia berlari menuju ke arah suara yang tidak tahu di mana puncanya. Dia rasakan itu adalah suara ayahnya tetapi suara itu kedengaran lembut dan menenangkan.

“ Ayah!” panggil Mardiyah.

Namun tiada jawapan. Dia bersendirian di tempat yang lapang itu. dia memandang ke kiri dan kanan namun tiada sesiapa yang menyahut panggilannya hanya kedengaran suara yang lembut mengalunkan ayat- ayat suci al- Quran.

“ Pulanglah Diya kamu kepada yang sepatutnya. Dia sedang menunggu kamu. Pulanglah.”  Suara Yasir bergema.

Mardiyah sudah mula berpeluh bila mendengar suara ayahnya itu. dia makin tertekan. Manakala suara itu semakin kuat kedengaran. Mardiyah tidak tahan dan akhirnya……

 

“ AYAH!!” jerit Mardiyah  lantas matanya yang terpejam kini sudah terbuka.

Ammar yang sedang khusyuk membaca surah Yassin terhenti bila mendengar jeritan daripada mulut Mardiyah. Dengan pantas dia mendapatkan Mardiyah yang sedang terbaring di atas katil. Gadis itu kelihatan kebingungan seperti baharu dikejutkan dari mimpi yang panjang.

“ Alhamdulillah Diya kau dah sedar.” Ucap Ammar gembira. Dia duduk di sisi Mardiyah sambil tersenyum gembira. Ternyata doanya di makbulkan oleh ALLAH.

“ Saya di mana sekarang?” tanya Mardiyah bingung.

“ Kau ada kat hospital. Segalanya sudah selamat.” Balas Ammar.

Mardiyah memegang kepalanya yang berdenyut. Dia cuba mengingat apa yang terjadi padanya sehingga dia boleh sampai ke hospital. Tiba- tiba wajah Datuk Hasyim yang sedang  tersengih terlayar ke fikirannya. Dia teringat yang lelaki tua itu cuba mencabul kehormatannya. Serentak air mata Mardiyah berlinang. Dia memandang ke kiri dan kanan, takut- takut lelaki tua itu ada bersama dia sekarang ini.

“ Datuk tu cuba buat benda yang tak senonoh pada saya…saya takut..” adu Mardiyah.

Dengan bersusah payah dia bangun dan memeluk lututnya. Dia benar- benar ketakutan.

“ Diya kau jangan fikir apa- apa, sekarang kau berehat..”

“ Tak..saya memang tak suka dia. Saya dah tolak dia baik- baik tapi dia tetap nak balas dendam pada saya. Apa salah saya pada dia? Saya memang tak dapat terima dia tapi dia paksa saya.” Rintih Mardiyah lagi. dia menangis.

Ammar mengetap bibir. Dia yakin pasti Mardiyah masih lagi tertekan dengan apa yang terjadi. Ini semua Datuk Hasyim punya pasal kalau tidak pasti isterinya tidak akan jadi seperti ini.

“ Cukuplah tu Diya, aku tahu kau tak bersalah..”

“ Tak. Awak tak tahu. Saya ingat awak yang minta saya ke bilik itu tetapi rupa- rupanya dia nak perangkap saya. Kalaulah saya tahu, saya takkan pergi. Pasti awak jijik tengok saya kan lepas apa yang berlaku pada diri saya ni. Tapi tak apa saya tak salahkan awak dah memang nasib saya begini…” ujar Mardiyah sayu.

Kali ini dia menekup mukanya ke lutut. Dia menangis teresak- esak mengenangkan peristiwa pahit yang berlaku pada dirinya. Dia dapat rasakan yang dirinya kotor.

Ammar sebak, dengan perlahan- lahan dia menghampiri Mardiyah yang sedang terhinjut- hinjut menahan tangisan yang semakin kuat. Dia juga turut sebak melihat keadaan Mardiyah yang tidak bermaya itu. Timbul rasa simpati yang mendalam buat gadis malang itu. Dengan lembut, Ammar mencapai tangan isterinya namun dengan pantas tangannya ditepis oleh Mardiyah. Ammar tersentak.

“ Jangan sentuh saya!” marah Mardiyah. Wajahnya bertukar menjadi garang. Melotot dia memandang Ammar yang kebingungan.

“ Ini aku, Diya…bukan Datuk Hasyim.” Ujar Ammar memujuk. Dia mendekati Mardiyah.

Ternyata Mardiyah seperti tidak kenal dengan Ammar. Dia menepis tangan lelaki itu dengan sekuat tenaganya yang tidak seberapa. Kalau boleh dia tidak mahu sesiapa pun menyentuh dirinya termasuk lelaki di hadapannya itu.

“ Bawak mengucap Diya, ingat ALLAH. Cuba kau sedarkan diri kau tu, jangan biarkan peristiwa itu menganggu fikiran kau.” Ucap Ammar cuba menyedarkan Mardiyah yang separuh sedar itu.

“ Saya tahu lelaki seperti awak hanya mahu mengambil kesempatan pada diri saya saja. Saya benci awak, saya benci lelaki!” jerit Mardiyah tiba- tiba.

“ Astaghfirullah-al-azim, Diya…mengucap sayang…” pujuk Ammar. Tanpa disedari perkataan yang selama ini tersekat di kerongkong akhirnya keluar juga untuk gadis itu. Ammar terkesima sendiri.

Mardiyah terdiam sebentar. Dia terpana dengan apa yang diucapkan Ammar. Sayang? Lelaki itu tidak pernah berbicara selembut itu dengannya tapi kali ini buat pertama kalinya dia mendengar perkataan itu ditujukan untuk dia.

Ammar kelu untuk menyambung kata. Macam manalah aku boleh terlepas cakap? Dia tertanya sendirian. Perlahan- lahan dia mengangkat muka memandang wajah Mardiyah yang sugul. Gadis itu masih lagi menangis membuatkan Ammar jadi bimbang. Mungkin juga isterinya itu masih lagi trauma dengan apa yang berlaku.

Dengan lembut Ammar memegang kedua belah bahu Mardiyah yang sedang menangis. Bila tiada balasan daripada Mardiyah, Ammar memaut dagu isterinya dengan lembut. Dia tidak mahu menyakiti isterinya itu.

Mardiyah tidak dapat lagi membendung kesedihan yang dirasakan saat ini lalu dengan pantas dia memeluk tubuh Ammar dengan kejap. Dia menghamburkan segala kesedihan dan kekecewaannya di dada bidang itu. Dia sudah tidak peduli tentang reaksi Ammar yang terkejut dengan tindakannya yang luar kawalan cuma apa yang dia tahu dia perlukan seseorang untuk melepaskan tangisannya.

Ammar sedikit terpana namun akhirnya dia turut membalas pelukan Mardiyah bila dia rasakan Mardiyah betul- betul tertekan saat itu. Belakang tubuh isterinya digosok dengan lembut berharap agar gadis itu mendapat ketenangan.

“ Semuanya akan pulih Diya. Aku akan jaga kau, tak perlu kau takut lagi. Aku ada untuk kau.” Bisik Ammar di telinga Mardiyah yang ditutupi dengan kain tudung.

“ Takkan selamanya awak mahu menjaga saya. Saya bukan perempuan yang baik untuk awak, Apa yang sering awak cakapkan pada saya sudah pun terjadi. Saya perempuan kotor, tak ada siapa yang mahukan saya lagi. lebih baik saya mati saja.” Ucap Mardiyah bersama tangisan yang panjang.

“ Astaghfirullah-al-azim. Istighfar Diya, kau masih suci. Tak ada apa- apa yang berlaku kepada kau pada masa itu. Kau selamat.” Tutur Ammar lagi. dia mengeratkan lagi pelukan terhadap isterinya.

Mardiyah menggeleng.

“ Awak tipu. Awak cuma nak ambil hati saya kan? Saya tahu awak jijik tengok saya kan?” ujar Mardiyah sambil menolak tubuh Ammar. Air mata yang asyik merembes keluar di sapu dengan telapak tangan.

Ammar menggeleng laju. Dia tidak pernah merasa begitu terhadap Mardiyah sebaliknya dia merasa menyesal kerana telah menghina maruah gadis itu. lantas, dia kembali meraih Mardiyah kedalam pelukannya. Dia mahu gadis itu berasa selamat dan ternyata Mardiyah tidak menolak bila Ammar kembali memeluknya sebaliknya dia dapat rasakan ketenangan menyapa hatinya.

“ Percayalah pada aku Diya, kau masih suci. Doktor dah sahkan yang kau selamat daripada disyaki dirogol. Kau selamat.” Ucap Ammar lembut. Kepala Mardiyah diusap perlahan- lahan.

Mardiyah terdiam. Sedikit sebanyak kata- kata Ammar melegakan hatinya. Dia menangis lagi dan mengucapkan rasa syukur pada ALLAH kerana masih memelihara maruahnya daripada tercalar. Dia rasa hidupnya kembali bermakna dan bercahaya. Pantas, dia meletakkan kepalanya di bahu Ammar dan tidak sampai seminit pun mata Mardiyah terpejam rapat. Dia terlena di bahu itu akibat keletihan.

Ammar terasa hangat hembusan nafas isterinya yang lembut menampar pipi membuatkan hatinya berasa tenang. Namun dia pelik kerana tangisan Mardiyah sudah tidak kedengaran. Perlahan- lahan dia menolak sedikit tubuh genit milik Mardiyah dan mengintai wajah Mardiyah yang sedang terpejam rapat. Dia tersenyum kecil. Laa.. tidur rupa- rupanya. Bisik hatinya.

 Lantas, dengan berhati- hati Ammar membaringkan tubuh itu ke katil semula. Kepala gadis itu diletakkan di atas bantal lalu dia mengambil selimut dan menyelimuti seluruh tubuh itu. Lama Ammar merenung wajah yang semakin mendapat tempat di hatinya itu. Dia tersenyum manis dan perlahan- lahan Ammar menghampiri wajah manis Mardiyah. ditenung dengan penuh perasaan yang indah.

Pantas tanpa amaran bibirnya mengucup dahi Mardiyah dengan penuh syahdu. Kemudian kucupannya beralih pada kedua belah pipi milik gadis itu. Ammar tersenyum lagi. Rasa bahagia mula menular ke dalam hatinya yang dahulu tidak pernah terisi dengan perasaan itu walhal selama ini dia sudah mempunyai kekasih tetapi perasaannya pada Mardiyah kali ini agak berlainan. Tetapi dia masih tercari- cari apa erti perasaan itu.

Kemudian mata Ammar terhenti pada bibir Mardiyah yang merah merekah. Dia teringin untuk mengucup bibir itu namun perbuatannya terhenti dengan sendirinya. Dia pasti jika Mardiyah tahu perbuatannya sekarang ini pasti gadis itu mengamuk sakan. Disebabkan itu dia tidak jadi meneruskan niatnya itu walaupun hatinya meronta- ronta. Akhirnya, sekali lagi dia mengucup dahi Mardiyah buat kali terakhir. Saat itu dia rasakan gadis itu adalah milik dia sepenuhnya. Ya ALLAH apakah erti semua perasaan ini?

Tanpa Ammar sedar, perlakuan dia terhadap Mardiyah telah diperhatikan oleh seseorang dengan  perasaan yang berbaur. Namun orang itu hanya mendiamkan diri dan sanggup menjadi pemerhati dari jauh sahaja.

 

6 comments:

  1. owh...sangatlah romantik...hahaha...padan muka ammar..kan dah fall in love dekat diya..

    ReplyDelete
  2. Salam
    Boleh tak kalau postkan lagi bab 31 dan seterusnya.
    TQ

    ReplyDelete
  3. Plz postkn bab strusnye...

    ReplyDelete
  4. Tgh mcari novel ni...tp da abis...huhu

    ReplyDelete
  5. romantik sangat beruntung aku kalau
    jadi mardiyah

    ReplyDelete
  6. woaahhh!!!! sy sememangnya dh jatuh cinta ngn cerita ni!!!! btw..terima kasih sbb post!! terima kasih bebanyak!! waahh! sy akn pastikn yg sy beli novel ni!!! hmm!!!

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.