KESETIAAN, itulah yang
ingin Thaqif pertahankan. Walaupun Waheeda sudah meninggalkan dunia ini namun
cintanya pada wanita itu tidak pernah luput. Hadirnya Putra Danial dan Putri
Dania lambang cintanya pada Waheeda membuatkan dia merasakan bahawa tiada insan
lain yang dapat menggantikan tempat Waheeda. Cintanya untuk Waheeda, setianya
hanya untuk wanita itu saja walaupun jasad Waheeda tiada di hadapan mata namun
cinta si isteri sentiasa mekar di hati.
“ Wahi janji akan cintakan abang sampai
hujung nyawa Wahi. Wahi harap abang pun macam tu, jangan pernah abang cuba-
cuba untuk cintakan orang lain. Kalau abang cintakan orang lain bermakna abang
memang tak pernah cintakan Wahi. Ingat tu!”- Waheeda
“
Abang janji sayang, hanya cinta sayang yang pertama dan yang terakhir buat
abang. Takkan ada mana- mana perempuan yang akan dapat mengubah cinta ini malah
perasaan cinta dah terkubur bersama dengan jasad sayang. Abang doakan sayang
aman di sana,”- Thaqif Aswad
Itulah janjinya pada Waheeda sebelum
wanita itu pergi buat selama- lamanya. Sedih, kecewa, hampa namun hidup perlu
diteruskan demi anak- anak yang ditinggalkan. Walaupun berat namun Thaqif harus
membuat keputusan demi masa depan si kembar.
Demi sebuah tanggungjawab yang perlu
dilakukan, Thaqif bersedia untuk menerima wanita lain untuk menjadi ibu kepada
anak- anaknya.
Namun, bagi Nuha Saqeena lamaran daripada
Cikgu Thaqif umpama mimpi di siang hari. Lelaki yang dipuja dalam diam akhirnya
melamarnya, itu merupakan perkara yang tidak pernah Nuha bayangkan. Walaupun berkahwin
kerana si kembar, Nuha rela kerana hatinya sudah terpaut pada lelaki itu sejak
pandang pertama lagi.
“ Saya melamar awak ini bukan kerana
terpaksa ataupun dipaksa tetapi saya perlukan pertolongan awak untuk mendidik
dan mengasuh anak saya. Kalau awak tak boleh nak anggap dia macam anak- anak
awak pun saya tak kisah, awak anggaplah Dani dan Dania tu macam adik awak.
Pernikahan ini adalah alasan untuk membolehkan awak tinggal bersama dengan
kami. Memang tak logik kan awak dan saya tinggal dalam satu rumah tanpa
sebarang ikatan?”
Dengan rela hati, Nuha Saqeena menerima
lamaran Cikgu Thaqif. Namun, keindahan yang dia inginkan bukan seindah yang
difikirkan. Banyak ujian yang perlu ditempuhi untuk memiliki sekeping hati
milik Thaqif. Kenyataannya dia bersaing dengan wanita yang tiada di dunia lagi!
Nuha pasrah andai itu yang telah
ditetapkan. Berada di sisi Thaqif itu sudah memadai baginya. Cukuplah dia
mencintai lelaki itu dengan caranya sendiri. Dia redha jika dia hanya menjadi
yang kedua dalam hidup lelaki itu.
“ Saya sayangkan cikgu, memang saya tak
mampu untuk menandingi cinta Kak Wahi tapi cukuplah cikgu jadikan saya yang
kedua dalam hati cikgu,” – Nuha Saqeena.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.