
“Ini sah-sah mamat sengal tu yang mengadu kat nenek
aku ni. Entah apa-apa aje mamat ni. Pasal benda kecil ni pun nak mengadu kat
nenek. Tak apa…tak apa…siap kau nanti.” Bebel Aisya dalam hati.
“Nenek tanya ni?Jangan buat tak dengar pulak.” Nek
Timah menampar peha Aisya. Tersentak Aisya dibuatnya. Memang dia buat-buat tak
dengar pun dengan pertanyaan Nek Timah sebentar tadi. Dia malas hendak berbahas
dengan Nek Timah kerana dia tahu yang dia pasti akan kecundang.
“Nek tanya apa tadi? Isya tak dengar. Syok sangat
tengok cerita Lawak Ke Der ni.” Tipu Aisya sambil tersengih sehingga
menampakkan barisan giginya yang putih.
“Nenek tanya tadi kenapa Isya tak nak ikut Kimi
pindah rumah? Sampai bila Isya nak tinggal dengan nenek?”Pertanyaan sebentar
tadi diulang semula dengan nada yang agak lembut. Bercakap dengan cucu
kesayangannya perlukan kesabaran yang amat tinggi.
Aisya mengeluh sebelum membuka mulut.
“Bukannya Isya tak nak ikut Kimi pindah tapi Isya
kesiankan nenek. Takkan Isya nak biarkan nenek tinggal seorang diri kat dalam rumah
ni. Nanti kalau ada apa-apa yang berlaku kat nenek siapa yang susah?Kalau tak
lain dan tak bukan Isya jugak.”Aisya memberi alasan.
Moga-moga nenek boleh terimalah alasan cliché aku
ni. Doa Aisya dalam hati.
“Kamu tak payahlah risaukan nenek. Nenek boleh jaga
diri sendiri lagipun nenek ni bukannya budak kecik lagi. Tempat isteri adalah
disisi suaminya. Ingat Isya, syurga seorang isteri letaknya dibawah tapak kaki
suami. Kalau kamu ingkar atau derhaka pada suami kamu maka nerakalah tempat
kamu. Kamu nak masuk neraka ke?” Anak mata Nek Timah menikam anak mata Aisya.
Aisya tertunduk memandang lantai. Kata-kata neneknya itu menikam tangkai
jantungnya. Adakah selama ni aku berdosa dengan Hakimi Danial a.k.a suami aku
sendiri? Tiba-tiba persoalan itu timbul dibenak Aisya membuatkannya terfikir
sendiri.
“Nenek harap Isya dapat fikir mana baik mana buruk
untuk diri kamu. Tak rugi pun kalau ikut cakap Kimi tu. Lagipun bukannya dia
suruh kamu buat benda buruk. Susah sangat ke kamu nak ikut cakap dia?” Satu
lagi soalan membunuh yang keluar dari mulut Nek Timah. Aisya mati katak. Dia
tidak tahu untuk menepis soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut neneknya.
Nenek ni sah-sah nak basuh aku. Habislah aku malam
ni. Ini semua mamat sengal tulah pasal.Ngomel Aisya.
“Isya tahu semua tu nek tapi….”Aisya tidak dapat
menghabiskan kata-katanya kerana telah dicantas oleh Nek Timah.
“tapi apa?Nenek tahu kamu tak suka pada Kimi kan?”
Adoyai..nenek ni main serangan psikologi la pulak.
Aku nak jawab apa ni?Takkanlah aku nak cakap yang aku memang tak suka pada
Hakimi Danial?Kalau aku cakap macam tu sah-sah naik remote control Astro atas
kepala aku nanti. Aiseyman…
“Isya bukan tak suka Kimi nek tapi Isya masih dalam
proses mengenal hati budi dia.”Jawab Aisya dengan dengan riak yang tenang.
Fuhhhh…lega dapat beri jawapan yang sedikit
bernas.Moga-moga nenek dapat terima dengan jawapan terbaik aku ni.
“Nenek harap sangat yang kamu dapat terima Kimi sebagai
suami kamu. Nenek kenal sangat dengan Kimi tu. Dia seorang lelaki yang baik dan
penyayang. Kalau dia bukan lelaki yang baik nenek tak akan kahwinkan kamu
dengan dia. Nenek percaya yang dia boleh jaga kamu dengan baik apabila nenek
sudah tiada nanti.” Ujar Nek Timah dengan nada yang agak mendatar.
Dalam hati kecilnya berdoa agar cucunya dapat
menerima dan mencintai Hakimi Danial dengan setulus hati sebagai suami. Dia
begitu mengenali Hakimi Danial. Arwah nenek Hakimi Danial adalah kawan baik
kepada Nek Timah dan mereka berdua sudah berjanji untuk menyatukan cucu-cucu
mereka jika mereka sudah dewasa.
Nenek Timah
juga amat berkenan dengan perilaku yang dibawa oleh Hakimi Danial. Pada
pandangannya Hakimi Danial seorang lelaki yang begitu menghormati orang tua dan
ringan tulang menolong sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.
Nek Timah yakin yang Hakimi Danial mampu menjadi
seorang suami yang baik dan dapat membimbing Aisya untuk menjadi seorang isteri
yang solehah.
“Alaaa..nenek ni kenapa nak emosional sangat malam
ni?Isya tahulah. InsyaAllah suatu hari nanti Isya akan dapat terima Kimi
sebagai suami Isya. Buat masa sekarang ni biarlah Isya kenal hati budi dia
dulu.”
“Iyalah tu. Kamu kena ingat Isya kamu akan menyesal
kalau kamu lepaskan Si Kimi tu. Bukan senang nak cari lelaki yang baik macam
Kimi.” Pesan Nek Timah dengan keras. Kemudian dia bangun dari sofa untuk masuk
kedalam bilik. Matanya sudah berat. Kalau melayan Aisya memang tak akan settle.
Nenek ni suka sangat puji Hakimi Danial tu
melambung-lambung. Apa yang best sangat tentang dia pun aku tak tahulah.
Entah-entah dia sudah bagi minyak dagu kat Nek Timah
kot?Astaghfirullahalazim…takkanlah Hakimi Danial sanggup buat macam tu. Benda
tukan syirik. Berdosa besar tau. Tak…tak…Kimi tak akan buat perkara-perkara
yang macam tu. Monolog Aisya sendiri.
“Nenek nak pergi masuk tidur. Kamu pun pergilah
masuk bilik. Kasihan Kimi tunggu lama dalam bilik tu.” Nek Timah memberi
arahan. Kakinya melangkah perlahan menuju ke bilik. Langkahnya hanya
diperhatikan oleh anak mata Aisya. Kasihan pula dia melihat keadaan neneknya
yang sudah agak membongkok tu. Kenapa nenek suka sangat puji si Hakimi Danial
tu?Apa kurangnya Aisya ni?Aisya mengeluh sendiri. Alat kawalan dicapai dan
butang off ditekan dan dengan serta merta kaca televisyen bertukar menjadi
gelap.
Lampu diruang tamu ditutup. Dengan langkah yang
malas Aisya menuju ke biliknya. Pintu bilik dikuak perlahan. Terjojol kepalanya
dibalik pintu. Matanya mencari kelibat Hakimi Danial.
Dia menarik nafas lega apabila terpandang tubuh
Hakimi Danial sudah terbaring atas sofa.
“Alhamdulillah. dah tidur pun mamat ni.”Ucap Aisya
sendiri. Dia berjalan perlahan-lahan melintasi Hakimi Danial sambil matanya
menjeling ke arah Hakimi Danial yang sedang lena diulit mimpi.
Langkahnya tiba-tiba terhenti dengan sendiri.
Seperti ada kuasa magnet, lututnya melutut dihadapan Hakim Danial. Matanya
tertumpah pada seraut wajah yang cukup tenang dengan lenanya.
Wajah Hakimi Danial ditenung lama. Kening yang
lebat. Kulit yang cerah. Bibir yang merah membuatkan Hakimi Danial sempurna
sebagai seorang lelaki yang diciptakan oleh Allah dengan cukup indah sekali. Dalam
diam Aisya memuji kekacakan dan ketampanan suaminya itu.
Aisya begitu khusyuk merenung wajah kacak Hakimi
Danial. Kerana kekhusyukan itulah dia tidak menyedari yang dia begitu hampir
dengan wajah Hakimi Danial. Deru nafas Hakimi Danial begitu dekat diwajahnya
membuatkan naluri wanitanya bergelora. Aisya telan liur.
Perlahan-lahan Hakimi Danial membuka matanya
sehingga membuatkan Aisya terdorong sedikit kebelakang kerana terperanjat
dengan bukaan mata Hakimi Danial yang tajam menikam ke dalam anak matanya.
Aisya melurut dadanya. Kantoi aku..Sesal Aisya dalam
hati.
“Awak buat apa tadi?”Hakimi Danial berpura-pura
tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh isterinya sebentar tadi.
“Saya tak buat apa-apa pun.”Jawab Aisya ringkas.
Wajahnya masih lagi merona merah. Malulah katakan.
“Ya ke awak tak buat apa-apa?” Hakimi Danial masih
ingin menduga Aisya. Hatinya melonjak kegembiraan kerana dapat menyakat Aisya.
“Betullah saya tak buat apa-apa kat awak.”
“Kalau awak tak buat apa-apa kat saya kenapa saya
rasa macam ada orang aje yang asyik tenung muka saya tadi. Muka orang tu dekat
aje dengan muka saya. Nasib baik saya tak cium dia.” Ujar Hakimi Danial sambil
tersengih. Aisya terbatuk kecil.
Alamak…mamat ni perasan ke yang aku tenung dia
tadi?Kantoi sudaaa aku…Aisya tersengih-sengih sambil menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
“Awak jangan nak perasan ya. Mungkin tadi tu awak
bermimpi aje kot. Itulah awak tidur tak nak basuh kaki kan dah mimpi yang bukan-bukan.”
Aisya cuba menutup rasa malunya.
“Ya ke?Tapi saya rasa saya tak mimpilah.”
“Awak mimpilah. Tulah awak ni kuat sangat perasan
kacak sebab tu sampai terbawa-bawa dalam mimpi.Ishhh..ishhh..”Aisya
menggeleng-gelengkan kepalanya.
Hakimi Danial mengerutkan dahinya.
“Bukan perasan tapi memang kenyataan pun yang saya
ni kacak. Kalau tak kacak tak akan ada orang tu duduk menongkat dagu tenung
muka saya yang kacak lagi tampan ni.” Ada senyuman bangga dibibir Hakimi
Danial. Aisya hanya menjeling tajam. Meluatlah tu….
Macamlah aku tak tahu yang kau asyik tenung muka aku
tadi. Kau jangan nak berdalihlah Aisya. Lagipun tadi aku tak tidurlah. Aku
pura-pura tidur ajelah.
“Uwekkkk…kacaklah sangat.”Aisya menunjukkan aksi
seperti orang ingin muntah sambil meletakkan tangannya didada dan mata pandang
ke atas. Hakimi Danial gelak kecil.
“Comellah awak buat muka macam tu.’’Hakimi Danial
meneruskan gelaknya. Tak sangka betul dia yang Aisya memang berbakat dalam membuat
lawak.
“Banyaklah awak punya comel. Sudahlah, saya nak
tidur. Saya dah mengantuk ni. Malas saya nak layan awak.” Aisya merangkak
perlahan-lahan naik ke atas katil. Hakimi Danial mengikuti Aisya dari belakang.
“Awak buat apa ni?”
“Saya nak tidurlah. Takkan nak picnic pulak.”Jawab
Hakimi Danial selamba.
“Saya tahulah awak nak tidur tapi tempat awak kan
kat sana bukannya kat sini.”Jari telunjuk Aisya lurus menunding ke arah sofa
yang telah menjadi tempat tidur Hakimi Danial semenjak mereka berdua
diijabkabulkan.
“Alaaa…awak bagilah saya peluang malam ni untuk
tidur atas katil ni. Dah lama dah saya tidur atas sofa tu sampai sakit tulang
belakang saya ni. Awak tak kesian kat saya ke?”Rayu Hakimi Danial sambil buat
mimik muka comel. Aisya berfikir sejenak.
“Okey..tapi dengan satu syarat”
“Apa syaratnya?”Ada riak gembira diwajah Hakimi
Danial.
“Syaratnya adalah awak kena batalkan niat awak untuk
pindah rumah, boleh?”
Hakimi Danial diam sejenak. Anak mata Aisya ditatap
dalam. Aisya segera mengalihkan anak matanya apabila anak mata Hakimi Danial
menikam anak matanya. Berdebar pulak hati aku bila bertentang mata dengan mamat
ni. Bisik Aisya dalam hati.
“Macam mana awak setuju tak dengan syarat saya tu?
Kalau awak setuju awak boleh tidur atas katil ni kalau tak setuju dengan segala
hormatnya dipersilakan tidur atas sofa empuk awak tu semula ya.” Ujar Aisya.
Hakimi Danial buat-buat tidak mendengar butir bicara
Aisya. Dengan selamba badaknya dia menguap seluas-luasnya dan merampas batal
yang dipeluk oleh Aisya. Kemudian tanpa rasa bersalah dan segan silu dia
merebahkan dirinya diatas katil itu bersebelahan dengan Aisya. Aisya mengetap
bibir. Sakit hati campur geram yang teramat sangat.
“Saya bercakap dengan awak ni. Awak dengar
tak?”Aisya meninggikan sedikit suaranya tetapi Hakimi Danial tetap buat
selamba. Langsung tidak berkata apa-apa. Dia tidur membelakangkan Aisya. Dia
berpura-pura berdengkur dengan kuat.
Aisya mengepal penumbuk. Haishh…nasib baik dia ni
suami aku. Kalau orang lain memang sah-sah aku lipat-lipat macam kain. Bebel
Aisya dalam hati.
Akhirnya Aisya mengalah. Dia mendengus kasar. Dia
merebahkan badannya dengan kasar. Diletakkan sebiji batal peluh ditengah-tengah
antara mereka berdua.
Kalau mamat ni berani buat macam-macam kat aku
karang memang aku terajang biar jatuh katil. Ngomel Aisya sambil tersengih sumbing.
Perlahan-lahan matanya tertutup dengan sendirinya dan akhirnya dia lena diulit
mimpi indah. Itupun kalau indahlah. Entah-entah nightmare.
Hakimi Danial menutup mulutnya menahan tawa yang
ingin pecah apabila melihat reaksi Aisya yang tidak puas hati. Dia merenung
tubuh Aisya yang membelakanginya dengan senyuman meleret. Perlahan- lahan dia mencapai
bantal peluk lalu diletakkan dibelakangnya. Perlahan- lahan dia mendekati
belakang Aisya.
‘ Dah tidur ke dia ni? Mintak- mintaklah dah tidur.
Kalau tak tidur bukan main ganasnya lagi. Kalahkan aku yang lelaki ni. Tapi
bila dia dah tidur, bolehlah aku nak bermanja sikit. Hehehe,’ bisik hati Hakimi
Danial lalu memeluk pinggang Aisya tanpa segan silu.
Sempat lagi dia mengucup pipi Arisya. Ganas- ganas
pun bini aku jugak. Redha jelah dapat bini macam ni. Desis hatinya lagi. Hakimi
Danial cuba memejamkan mata namun tubuh Aisya yang bergerak- gerak mengejutkan
Hakimi Danial. Dia mengangkat tangan daripada memeluk pinggang Aisya, bimbang
juga gadis itu akan mengamuk.
Namun, dia tersenyum apabila Aisya memalingkan wajah
dan mengadap wajah Hakimi Danial. Kemudian, Hakimi Danial ketawa kecil apabila
melihat Aisya yang tidur sambil menghisap ibu jari. Persis seperti anak kecil.
“ Nek, nak ais krim tu…” Aisya mengigau sambil
matanya terpejam rapat.
Hakimi Danial tidak mampu menahan gelak. Buntang
biji matanya apabila terdengar suara Aisya yang mengigau. Perangai ganas bukan
main lagi tapi mengigau. Buat malu kaum betullah Aisya ni. Detik hati Hakimi
Danial. Dia merenung wajah Aisya yang tenang dalam lenanya. Satu kucupan lekat
di dahi Aisya kemudian beralih di pipi Aisya. Dia merenung bibir Aisya.
“ Dekat sini, belum lagi…” bisik Hakimi Danial. Dia
mencium jari telunjuknya sebelum meletakkan jari telunjuknya di bibir Aisya
yang lembut.
“ Selamat malam, sayang,” bisik Hakimi Danial lagi
lalu mengeratkan pelukannya pada tubuh Aisya yang sudah terbuai mimpi indah.
Dia tersenyum dalam tidurnya.