Tetamu Rindu

Friday 5 August 2016

QARTAL... PEMUSNAH HATI ( Bab 12 )




AISY memegang lututnya. Dia cuba menyedut oksigen yang semakin berkurangan. Cahaya matahari yang terik membuatkan tekaknya terasa kering. Mujur ada daun-daun pokok yang melindungi kepala mereka daripada terkena panas mentari. Sesekali Aisy memandang ke hadapan. Qartal masih lagi melangkah laju tanpa menghiraukan keadaanya di belakang.
“Eh, tunggulah dulu. Penat ni.” Aisy bersuara. Dia serba salah untuk memanggil lelaki bertopeng itu kerana sampai sekarang dia masih belum mengetahui nama sebenar lelaki itu.
Qartal menghentikan langkah. Dia berpaling ke belakang sejenak. Kelihatan Aisy sudah duduk di atas tanah bagi melepaskan lelah. Dia merengus sebelum mendekati Aisy.
“Boleh tak kalau kau jangan lengah-lengahkan masa? Sekarang ni kita tak tahu bahaya di hadapan dan belakang. Kalau kau duduk macam ni, bila kita nak keluar dari hutan ni?” Bebel Qartal sambil melabuhkan punggung di atas tunggul kayu yang telah mati.
Aisy melepaskan nafasnya. Anak matanya dihalakan tepat ke wajah Qartal. Waktu panas-panas macam ni pun dia boleh lagi berbungkus macam tu. Aku pelik betul dengan mamat ni. Nak kata jahat, tapi dia tolong selamatkan aku. Nak kata baik, kawan dia sendiri pun dia bunuh. Pelik memang pelik. Omel hati Aisy sendirian.
“Woi, yang kau pandang aku macam nak makan ni kenapa?” Soal Qartal lantas mencampakkan ranting kayu tepat ke wajah Aisy.
Aisy tersedar. Dia tersengih malu.
“Nama kau siapa?” Soalnya tiba-tiba.
Qartal terdiam. Dia berdeham tanpa menjawab soalan Aisy.
“Aku Aisy Raisya.” Tambah Aisy setelah Qartal tidak menjawab soalannya.
“Aku tak tanya pun.”
“Memanglah kau tak tanya sekurang-kurangnya bila aku dah kenalkan nama aku, tak adalah kau nak panggil aku hoi lagi. Sebab itu jugak aku tanya nama kau. Aku tak nak panggil nama kau hoi je. Tak elok. Jadi siapa nama kau? Aku nak panggil apa?” Aisy mengulang soalannya. Dia meluruskan kakinya cuba menghilangkan rasa lenguh.
Qartal diam lagi. Dia duduk sambil memeluk tubuh.
Aisy menanti lelaki di hadapannya ini membuka mulut namun hampir lima minit dia menunggu, Qartal masih enggan bersuara. Dia mendengus geram.
“Baiklah kalau kau susah sangat nak bagi tahu nama kau, jadi kau jangan salahkan aku kalau aku panggil nama kau bukan-bukan ya? Macam nilah, aku panggil kau Combi boleh? Sebab dekat rumah aku, aku ada bela kucing hitam. Sebijik macam pakaian kau sekarang. Semua hitam. Aku bagi nama dia Combi jadi sekarang aku panggil kau Combi sempena nama kucing aku. Boleh?” Aisy cuba memancing Qartal bersuara dan ternyata usahanya berhasil. Wajah Qartal kelihatan berubah. Semuanya terjelas di sebalik anak mata yang tajam itu.
Qartal tersedak. Matanya membulat. Dia nak panggil aku Combi? What the…?
“Qartal… Kau boleh panggil aku Qartal!” Jawab Qartal akhirnya.
Dahi Aisy berkerut. Nama apa pula tu? Pelik semacam aje bunyinya.
“Gatal?” Soal Aisy inginkan kepastian.
Saat itu Qartal terasa lehernya seperti dicekik. Kenapalah anak King ni banyak cakap? Aci tak kalau aku plaster mulut minah ni? Getus hati Qartal. Sebal.
“Qartal bukan gatal. Faham?” Tekan Qartal sambil mengetap bibir. Dia menampar lengannya yang digigit nyamuk.
Aisy menutup mulut menahan tawa.
Sorry. Itu nama dalam kad pengenalan ke? Pelik je bunyi.” Aisy kembali menyoal.
Qartal meraup wajahnya. Sakit otak apabila terpaksa melayan kerenah Aisy yang banyak bertanya.
“Entah, aku tak tahu nama sebenar aku apa. Orang panggil aku macam tu. Aku ikut jelah.” Jawab Qartal acuh tak acuh.
Aisy menganggukkan kepala. Betul juga. Orang seperti Qartal pasti membesarnya di jalanan dan tidak seperti orang-orang lain. Jauh dalam hati Aisy, terbit perasaan simpati pada Qartal yang hidup dalam dunia yang penuh kegelapan.
“Kau kerja apa sebelum ni?” Soal Aisy lagi. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak dalam dirinya.
Qartal melepaskan keluhan berat. Dia memicingkan mata memandang Aisy yang masih setia mengharapkan jawapan daripada mulutnya.
“Bunuh orang. Itu bukan setakat kerja aku tapi hobi aku. Kalau aku tak bunuh orang memang rasa tak lengkaplah hidup aku. Aku rasa, kejap lagi ada yang jadi mangsa aku pulak.” Ucap Qartal sambil menjeling penuh makna pada Aisy.
Aisy cuak. Dia menelan air liur. Kata-kata Qartal berjaya membuatkan dia kecut perut. Apatah lagi saat lelaki itu menayang-nayangkan pistol di hadapan matanya. Makin cuak Aisy dibuatnya. Lantas, Aisy bingkas bangun. Dia mengibas-ngibas baju kurungnya yang berpasir.
Errr… Jomlah cari jalan keluar. Aku pun dah dahaga ni. Kita cari sungai dululah.” Jawab Aisy lalu berjalan laju ke hadapan.
Qartal menahan tawa daripada terburai. Reaksi kelam-kabut yang ditunjukkan Aisy mencuit hatinya. Kepalanya digelengkan beberapa kali sebelum dia bangun membuntuti langkah Aisy yang semakin ke hadapan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.