
“Awak pekerja baru di kedai ni, tapi mengikut rekod kedatangan, dah
lebih tiga kali awak datang lambat. Awak nak kerja ke awak nak main-main?” soal
Rais lantas memanggung kepala memandang Hana yang terkebil-kebil.
“Apa kaitan kedatangan saya dengan kes tadi?” soalan dibalas soalan oleh
Hana. Dia tidak mempedulikan reaksi Encik Azan yang terkejut dengan soalannya.
“Soalan yang mudah, kedatangan awak melambangkan sikap awak terhadap
tugas yang awak galas. Tak kira apa pun pekerjaan awak, menghormati masa adalah
perkara yang paling penting. Itu menunjukkan sama ada awak serius atau tidak
dengan kerja awak. Tengok daripada rekod awak, saya boleh agak yang awak tak
pernah serius dengan tugas awak. Sama seperti apa yang awak buat tadi.
Keputusan awak untuk bela pak cik tu boleh menyebabkan syarikat kerugian,”
balas Rais tenang. Dia menutup fail lalu memeluk tubuh.
Hana melepaskan nafas kecil. Kesalahan kerap kali datang lambat ke
tempat kerja memang dia akui tetapi dia ada alasan dia sendiri. Alasan yang
mungkin lelaki sombong itu tidak akan terima.
“Setiap orang yang melakukan kesalahan pasti ada sebab,” Hana cuba
bersuara.
“Itu hanya alasan untuk melepaskan diri.” Pintas Rais pantas.
Hana menggigit bibir. Mula putus asa untuk membela diri apabila segala
kata-katanya tidak diterima oleh Rais.
“Kalau semua yang saya cuba terangkan, tuan tak nak terima? Apa yang
tuan nak saya buat sekarang? Saya minta maaf di atas kecuaian saya tadi. Saya
janji perkara seperti itu takkan berulang kembali,” ujar Hana. Dia mengalah
akhirnya memandangkan dia masih memerlukan pekerjaan.
“Saya rasa awak tahu apa yang perlu awak lakukan. Kedai buku ni tak
perlukan pekerja yang bersikap sambil lewa. Saya rasa awak dah baca kontrak
sebelum bekerja di sini kan? Mana-mana pekerja yang masih dalam tempoh
percubaan datang lewat tanpa sebab yang kukuh boleh dibuang kerja. Jadi saya
tak perlu terangkan lagi memandangkan saya dah ingatkan Encik Azan sebelum ni.
Nampaknya, dia masih beri awak peluang walaupun jelas awak dah melanggar
kontrak. Sekarang awak buat pilihan, awak nak keluar dari kedai ni ke atau awak
nak Encik Azan yang keluar dari sini?” jawab Rais lantas bangkit daripada
duduknya. Dia memandang Encik Azan dan Hana silih berganti.
Hana terkaku seketika. Dia berpandangan dengan Encik Azan. Dia menggigit
bibir. Apa yang perlu dia lakukan sedangkan saat ini dia sangat memerlukan
pekerjaan.
HANA mengeluh buat kesekian kali. Peristiwa yang
berlaku beberapa jam yang lepas mengganggu fikiran. Kini dia kembali ke alam
nyata. Alam di mana dia harus menerima kenyataan bahawa dia telah kehilangan
pekerjaan dalam sekelip mata.
“Manusia jenis apa entah mamat tu? Aku tahulah aku salah sebab
datang lewat tapi boleh aje dia bagi peluang untuk aku betulkan kesalahan aku.
Ni tak, aku nak tolong orang pun dia cakap aku bersubahat? Mana aku tahu pak
cik tu ada sembunyikan buku lain kat belakang. Kalau aku tahu, tak adanya aku
tolong pak cik tu.” bebel Hana sendirian.
Hana melepaskan nafas berat. Dia melabuhkan punggung di bangku yang
telah disediakan. Wajahnya diraup. Lesu.
“Kat mana lagi aku nak cari kerja ni? Dahlah papa tengah ada masalah
sekarang,” omel Hana sendirian.
Apabila memikirkan keadaan keluarganya yang dilanda pelbagai masalah
terutama masalah kewangan, cukup untuk membuatkan otak Hana bertambah kusut.
“Kalau Hana kerja pun, semua masalah ni takkan selesai.”
Suara si ayah terngiang di telinga.
“Ni semua kau punya pasal. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis
bawa malang. Sepatutnya kau tinggal terus di kampung. Biar malang kau tu
tak merebak ke tempat lain.”
Bunyi suara si kakak turut kedengaran di telinga membuatkan dia
tertunduk dengan hati yang sayu. Pembawa malang. Begitulah tanggapan mereka
terhadap Hana selama ini.
“Kalau along tahu aku kena buang kerja, gerenti lagi teruk dia kutuk aku.” Ujar Hana
sendirian. Dia meraup wajahnya lagi.
Dia ingin bangkit daripada duduk namun bunyi telefonnya berdering
membantutkan niat Hana. Dia terduduk kembali. Telefon dicapai. Tertera nombor
yang tidak dikenali di skrin telefon membuatkan dadanya diserang debaran.
“Hello, ya saya. Apa? Betul ke ni?” soal Hana sebaik saja pemanggil
bersuara. Wajahnya bertukar ceria. Kelihatan ada mutiara jernih bergenang di
kelopak mata. Berita yang diterima cukup mengujakan. Mampu untuk melegakan hati
yang diamuk resah sebelum ini.
“Bila saya boleh mula? Baiklah. Terima kasih.” Ucap Hana kemudian
mengakhiri perbualan.
Dia meraup wajah berkali-kali. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman dan
mengucapkan syukur. Hatinya rasa kembang setaman.
Namun, senyuman mati apabila mata Hana tertangkap kelibat seseorang yang
sedang menuju ke arah kereta yang diparkir di luar pusat membeli-belah itu.
Hana tersenyum sinis. Tanpa bertangguh, dia melajukan langkah menuju ke arah
pemuda tersebut.
“Tuan! Tuan Rais!” panggil Hana kuat.
Langkah Rais terhenti. Dia berpaling. Dahinya bertindan tindih cuba
mengamati wajah gadis yang memanggil namanya. Dia hanya bersikap selamba
apabila otaknya mula dapat mengecam wajah tersebut.
“Nanti I call you semula.” Ucapnya lalu menamatkan panggilan.
Telefon pintar miliknya dimasukkan ke dalam poket seluar.
“Ya? Kalau awak ada apa-apa nak kompelen, boleh buat appointment dengan
setiausaha saya.” Ujar Rais sebelum Hana bersuara.
Hana tersenyum sinis.
“Tak. Saya takkan kompelen apa-apa sebab saya faham sangat orang sombong
macam tuan ni takkan dengar kompelen orang lain. Tuan rasa tuan sajalah betul.
Semua orang kena terima bulat-bulat keputusan tuan tu. Inilah kali pertama saya
jumpa orang atasan yang bongkak macam tuan ni. Tuan jangan ingat tuan akan
selamanya berada di atas. Suatu hari nanti tuan akan tersungkur juga. Masa tu
barulah tuan tahu ertinya sakit. Sama seperti yang tuan dah buat pada saya
tadi. Tuan buang saya tanpa beri peluang kedua kepada saya. Tanpa dengar
penjelasan saya. Tuan memang tak ada perasaan! Beku! Kayu!” hambur Hana tanpa
memberi ruang untuk Rais mencelah. Pandangan orang ramai langsung tidak
diendahkan. Dia rasa lega apabila dapat meluahkan segala yang terpendam.
Rais hanya mendiamkan diri. Pandangan dilarikan ke tempat lain. Dia
sendiri tidak menyangka Hana seberani itu. Dia tetap tenang walau hatinya
terasa panas dengan kata-kata Hana.
“Dah habis bercakap? Awak ni memang jenis tak malu ya?” soal Rais dengan
tangan yang memeluk tubuh.
Hana terdiam. Soalan Rais membuatkan dia tersedar akan tempat dia
berdiri. Dia menelan air liur. Wajahnya
bertukar merah. Apatah lagi saat ini beberapa pasang mata sedang memandang ke
arahnya.
“Awak dah guna hak kebebasan awak untuk bersuara dan sekarang saya rasa
saya boleh guna hak saya untuk saman awak sebab dah memalukan saya dan
mengganggu waktu saya. Bila tengok perangai awak ni, saya tak menyesal buang
awak tadi. Awak bukan saja cuai tapi suka burukkan orang lain. Teruk. Sikap
awak memang tak layak diberi peluang kedua.” Balas Rais tanpa perasaan. Nadanya
mendatar tapi setiap bait itu menikam tepat ke hati Hana.
Telinga Hana berdesing. Nafasnya turun naik menahan sabar.
“Saya pun tak naklah kalau tuan nak bagi peluang kedua. Saya tak ingin
ada bos yang gila kuasa macam tuan ni. Macamlah syarikat ni tuan yang punya.
Tuan pun makan gaji juga. Tak payahlah berlagak sangat! Rezeki saya Allah yang
tentukan bukan tuan!” hambur Hana lagi. Kali ini darahnya semakin mendidih
apatah lagi reaksi Rais hanya tenang. Seolah-olah bicaranya langsung tidak
memberi bekas di hati lelaki itu.
“Okey, itu saja? Saya minta diri dulu.” Ujarnya ringkas.
Hana membulatkan mata apabila Rais mula berpaling dan melangkah
meninggalkannya apabila pembantu peribadinya datang menyapa. Hana tidak berpuas
hati.
“Tuan! Tunggu!” laung Hana lalu berlari mengejar Rais. Dia tidak berpuas
hati dengan sikap Rais yang kelihatan selamba sedangkan dia bagaikan ingin
pecah dada menahan rasa amarah.
Rais tidak mempedulikan panggilan Hana. Langkah dipercepatkan ke arah
kereta. Pintu kereta dibuka.
“Tuan, tunggu!” laung Hana dari jauh.
Rais mengetap bibir. Dia mula rasa serabut.
“Tuan nak saya settle-kan ke?” soal pembantu peribadinya seakan
mengerti perubahan riak wajah Rais yang kurang senang dengan kehadiran gadis
itu.
“Kau uruskan. Kalau dia minta duit atau pampasan, tak payah layan. Orang
macam tu, selagi kita layan selagi tulah besar kepala. Aku kena balik ke Vila
Indah sekarang.” Ujar Rais sekali gus memberi arahan.
“Baik, tuan. Tuan masuk dalam kereta dahulu.” Balas pembantunya sudah
bersiap sedia untuk berhadapan dengan Hana.
Ternyata Hana masih belum berputus asa. Fokusnya hanya terarah kepada
Rais yang kelihatan ingin melarikan diri.
“Tuan Rais! Kalau tuan lari, tuan memang pengecut!” jerit Hana tanpa
mempedulikan keadaan sekeliling.
Rais tidak mengambil pusing sebaliknya dia terus menarik pintu kereta
untuk meninggalkan tempat tesebut. Namun bunyi hon yang panjang memaksa Rais
untuk berpaling. Matanya terbuka luas sebaik saja terlihat sebuah kereta yang
meluncur laju ke arah Hana sedangkan pandangan gadis itu hanya terarah
kepadanya. Rais mengetap bibir. Tanpa berfikir panjang Rais menarik lengan baju
Hana dan tubuh itu dibiarkan tercampak ke kaki lima.
“Hoi, nak mati ke?!” jerkahan yang kuat memenuhi kawasan tersebut
sebelum pemilik kereta itu berlalu tanpa meminta maaf atau pun menjenguk
keadaan Hana yang terjelopok jatuh di kaki lima.
“Tuan!” Khairil tergamam. Melihat tindakan Rais yang spontan cukup
mengejutkan Khairil.
“Jangan pedulikan dia! Kita gerak sekarang!” ajak Rais tanpa memandang
keadaan Hana ketika ini.
Khairil hanya menurut. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam kereta
tanpa menanyakan keadaan Hana yang masih terduduk di atas kaki lima. Beberapa
orang menghampiri Hana yang sedang termangu-mangu.
Dunia Hana seakan terhenti seketika. Dia tidak menyangka lelaki beku itu
boleh bertindak sebegitu rupa. Dia nak selamatkan aku atau dia nak bunuh aku?
Soal hati Hana.
“TUAN, tak apa ke kita biarkan cik tu kat situ? Kita tak tahu apa
nasib dia sekarang. Mungkin dia tercedera.” Khairil bersuara sambil matanya
melirik ke cermin pandang belakang.
Rais diam seketika. Kejadian tadi kembali terimbas ke ruang fikiran. Dia
meraup wajah.
“Salah dia. Siapa suruh tak hati-hati. Aku cuma tolong apa yang patut
saja.” Jawab Rais. Anak matanya dibiarkan meliar ke luar tingkap.
“Tapi kenapa tuan pecat dia tadi? Tuan tak nak bagi dia peluang kedua?”
soal Khairil lagi.
Rais melepaskan nafas. Dia terdiam sejenak. Soalan Khairil dibiarkan
sepi buat seketika.
“Peluang kedua bagi orang yang mengaku salah bukan yang suka memberi
alasan. Kalau dia minta maaf dan mengakui kesalahannya waktu pertama kali aku
tanya, mungkin aku akan beri peluang tapi kau tengok apa yang dia buat. Dia
bagi alasan dan kau tahu yang aku tak suka orang beri alasan untuk lepaskan
diri. Dia harus ingat, kebaikan yang dia buat akan memakan diri dia sendiri.
Bukan tu saja, rekod kedatangan dia juga membolehkan dia untuk dibuang kerja.
Mungkin Encik Azan terlalu baik untuk beri peluang demi peluang kepada dia
sedangkan apa yang dia buat dah bercanggah dalam kontrak.” Terang Rais
berkenaan keputusannya memecat Hana tanpa memberi peluang yang kedua.
Khairil mengeluh kecil. Kadangkala, ketegasan Rais menakutkan Khairil
dalam diam. Setakat ini, tiada sesiapa yang mampu melembutkan hati Rais. Lelaki
itu bagaikan tembok batu. Tiada sesiapa yang dapat menembusinya apatah lagi
melembutkannya.
“Tapi macam mana kalau dia laporkan perkara ni kepada pihak atasan?”
soal Khairil lagi. Sekadar ingin tahu.
“Dia takkan berani. Kalau dia laporkan sekali pun, aku tak kesah. Ini
kali pertama dan kali terakhir aku jumpa dia.” Jawab Rais penuh yakin.
Kharil hanya menganggukkan kepala tanda faham.
“Baik, tuan. Jadi sekarang kita terus ke Villa Indah?”
“Ya. Tapi sebelum tu, singgah ke balai sekejap…” Jawab Rais.
“Ke balai? Untuk apa tuan?” soal Khairil pelik. Namun, tiada jawapan
daripada Rais. Dia hanya mendiamkan diri.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.