Tetamu Rindu

Tuesday, 28 January 2020

MR.FROST ( Bab 2 )


WAJAH ditundukkan. Air liur yang ditelan terasa kesat di kerongkong. Perlahan-lahan, Hana menyeka peluh yang terasa meleleh di tepi dahi. Dia resah menanti bicara daripada lelaki yang sedang ralit meneliti fail yang diberikan oleh Encik Azan sebentar tadi. Manakala, Encik Azan hanya menikus. Turut sama merasakan debar yang dirasakan oleh Hana saat ini. Ternyata aura lelaki bernama Rais itu cukup menggerunkan.
“Awak pekerja baru di kedai ni, tapi mengikut rekod kedatangan, dah lebih tiga kali awak datang lambat. Awak nak kerja ke awak nak main-main?” soal Rais lantas memanggung kepala memandang Hana yang terkebil-kebil.
“Apa kaitan kedatangan saya dengan kes tadi?” soalan dibalas soalan oleh Hana. Dia tidak mempedulikan reaksi Encik Azan yang terkejut dengan soalannya.
“Soalan yang mudah, kedatangan awak melambangkan sikap awak terhadap tugas yang awak galas. Tak kira apa pun pekerjaan awak, menghormati masa adalah perkara yang paling penting. Itu menunjukkan sama ada awak serius atau tidak dengan kerja awak. Tengok daripada rekod awak, saya boleh agak yang awak tak pernah serius dengan tugas awak. Sama seperti apa yang awak buat tadi. Keputusan awak untuk bela pak cik tu boleh menyebabkan syarikat kerugian,” balas Rais tenang. Dia menutup fail lalu memeluk tubuh.
Hana melepaskan nafas kecil. Kesalahan kerap kali datang lambat ke tempat kerja memang dia akui tetapi dia ada alasan dia sendiri. Alasan yang mungkin lelaki sombong itu tidak akan terima.
“Setiap orang yang melakukan kesalahan pasti ada sebab,” Hana cuba bersuara.
“Itu hanya alasan untuk melepaskan diri.” Pintas Rais pantas.
Hana menggigit bibir. Mula putus asa untuk membela diri apabila segala kata-katanya tidak diterima oleh Rais.
“Kalau semua yang saya cuba terangkan, tuan tak nak terima? Apa yang tuan nak saya buat sekarang? Saya minta maaf di atas kecuaian saya tadi. Saya janji perkara seperti itu takkan berulang kembali,” ujar Hana. Dia mengalah akhirnya memandangkan dia masih memerlukan pekerjaan.
“Saya rasa awak tahu apa yang perlu awak lakukan. Kedai buku ni tak perlukan pekerja yang bersikap sambil lewa. Saya rasa awak dah baca kontrak sebelum bekerja di sini kan? Mana-mana pekerja yang masih dalam tempoh percubaan datang lewat tanpa sebab yang kukuh boleh dibuang kerja. Jadi saya tak perlu terangkan lagi memandangkan saya dah ingatkan Encik Azan sebelum ni. Nampaknya, dia masih beri awak peluang walaupun jelas awak dah melanggar kontrak. Sekarang awak buat pilihan, awak nak keluar dari kedai ni ke atau awak nak Encik Azan yang keluar dari sini?” jawab Rais lantas bangkit daripada duduknya. Dia memandang Encik Azan dan Hana silih berganti.
Hana terkaku seketika. Dia berpandangan dengan Encik Azan. Dia menggigit bibir. Apa yang perlu dia lakukan sedangkan saat ini dia sangat memerlukan pekerjaan.

HANA mengeluh buat kesekian kali. Peristiwa yang berlaku beberapa jam yang lepas mengganggu fikiran. Kini dia kembali ke alam nyata. Alam di mana dia harus menerima kenyataan bahawa dia telah kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.
“Manusia jenis apa entah mamat tu? Aku tahulah aku salah sebab datang lewat tapi boleh aje dia bagi peluang untuk aku betulkan kesalahan aku. Ni tak, aku nak tolong orang pun dia cakap aku bersubahat? Mana aku tahu pak cik tu ada sembunyikan buku lain kat belakang. Kalau aku tahu, tak adanya aku tolong pak cik tu.” bebel Hana sendirian.
Hana melepaskan nafas berat. Dia melabuhkan punggung di bangku yang telah disediakan. Wajahnya diraup. Lesu.
“Kat mana lagi aku nak cari kerja ni? Dahlah papa tengah ada masalah sekarang,” omel Hana sendirian.
Apabila memikirkan keadaan keluarganya yang dilanda pelbagai masalah terutama masalah kewangan, cukup untuk membuatkan otak Hana bertambah kusut.
“Kalau Hana kerja pun, semua masalah ni takkan selesai.”
Suara si ayah terngiang di telinga.
“Ni semua kau punya pasal. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis bawa malang. Sepatutnya kau tinggal terus di kampung. Biar malang kau tu tak merebak ke tempat lain.”
Bunyi suara si kakak turut kedengaran di telinga membuatkan dia tertunduk dengan hati yang sayu. Pembawa malang. Begitulah tanggapan mereka terhadap Hana selama ini.
“Kalau along tahu aku kena buang kerja, gerenti lagi teruk dia kutuk aku.” Ujar Hana sendirian. Dia meraup wajahnya lagi.
Dia ingin bangkit daripada duduk namun bunyi telefonnya berdering membantutkan niat Hana. Dia terduduk kembali. Telefon dicapai. Tertera nombor yang tidak dikenali di skrin telefon membuatkan dadanya diserang debaran.
“Hello, ya saya. Apa? Betul ke ni?” soal Hana sebaik saja pemanggil bersuara. Wajahnya bertukar ceria. Kelihatan ada mutiara jernih bergenang di kelopak mata. Berita yang diterima cukup mengujakan. Mampu untuk melegakan hati yang diamuk resah sebelum ini.
“Bila saya boleh mula? Baiklah. Terima kasih.” Ucap Hana kemudian mengakhiri perbualan.
Dia meraup wajah berkali-kali. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman dan mengucapkan syukur. Hatinya rasa kembang setaman.
Namun, senyuman mati apabila mata Hana tertangkap kelibat seseorang yang sedang menuju ke arah kereta yang diparkir di luar pusat membeli-belah itu. Hana tersenyum sinis. Tanpa bertangguh, dia melajukan langkah menuju ke arah pemuda tersebut.
“Tuan! Tuan Rais!” panggil Hana kuat.
Langkah Rais terhenti. Dia berpaling. Dahinya bertindan tindih cuba mengamati wajah gadis yang memanggil namanya. Dia hanya bersikap selamba apabila otaknya mula dapat mengecam wajah tersebut.
“Nanti I call you semula.” Ucapnya lalu menamatkan panggilan. Telefon pintar miliknya dimasukkan ke dalam poket seluar.
“Ya? Kalau awak ada apa-apa nak kompelen, boleh buat appointment dengan setiausaha saya.” Ujar Rais sebelum Hana bersuara.
Hana tersenyum sinis.
“Tak. Saya takkan kompelen apa-apa sebab saya faham sangat orang sombong macam tuan ni takkan dengar kompelen orang lain. Tuan rasa tuan sajalah betul. Semua orang kena terima bulat-bulat keputusan tuan tu. Inilah kali pertama saya jumpa orang atasan yang bongkak macam tuan ni. Tuan jangan ingat tuan akan selamanya berada di atas. Suatu hari nanti tuan akan tersungkur juga. Masa tu barulah tuan tahu ertinya sakit. Sama seperti yang tuan dah buat pada saya tadi. Tuan buang saya tanpa beri peluang kedua kepada saya. Tanpa dengar penjelasan saya. Tuan memang tak ada perasaan! Beku! Kayu!” hambur Hana tanpa memberi ruang untuk Rais mencelah. Pandangan orang ramai langsung tidak diendahkan. Dia rasa lega apabila dapat meluahkan segala yang terpendam.
Rais hanya mendiamkan diri. Pandangan dilarikan ke tempat lain. Dia sendiri tidak menyangka Hana seberani itu. Dia tetap tenang walau hatinya terasa panas dengan kata-kata Hana.
“Dah habis bercakap? Awak ni memang jenis tak malu ya?” soal Rais dengan tangan yang memeluk tubuh.
Hana terdiam. Soalan Rais membuatkan dia tersedar akan tempat dia berdiri.  Dia menelan air liur. Wajahnya bertukar merah. Apatah lagi saat ini beberapa pasang mata sedang memandang ke arahnya.
“Awak dah guna hak kebebasan awak untuk bersuara dan sekarang saya rasa saya boleh guna hak saya untuk saman awak sebab dah memalukan saya dan mengganggu waktu saya. Bila tengok perangai awak ni, saya tak menyesal buang awak tadi. Awak bukan saja cuai tapi suka burukkan orang lain. Teruk. Sikap awak memang tak layak diberi peluang kedua.” Balas Rais tanpa perasaan. Nadanya mendatar tapi setiap bait itu menikam tepat ke hati Hana.
Telinga Hana berdesing. Nafasnya turun naik menahan sabar.
“Saya pun tak naklah kalau tuan nak bagi peluang kedua. Saya tak ingin ada bos yang gila kuasa macam tuan ni. Macamlah syarikat ni tuan yang punya. Tuan pun makan gaji juga. Tak payahlah berlagak sangat! Rezeki saya Allah yang tentukan bukan tuan!” hambur Hana lagi. Kali ini darahnya semakin mendidih apatah lagi reaksi Rais hanya tenang. Seolah-olah bicaranya langsung tidak memberi bekas di hati lelaki itu.
“Okey, itu saja? Saya minta diri dulu.” Ujarnya ringkas.
Hana membulatkan mata apabila Rais mula berpaling dan melangkah meninggalkannya apabila pembantu peribadinya datang menyapa. Hana tidak berpuas hati.
“Tuan! Tunggu!” laung Hana lalu berlari mengejar Rais. Dia tidak berpuas hati dengan sikap Rais yang kelihatan selamba sedangkan dia bagaikan ingin pecah dada menahan rasa amarah.
Rais tidak mempedulikan panggilan Hana. Langkah dipercepatkan ke arah kereta. Pintu kereta dibuka.
“Tuan, tunggu!” laung Hana dari jauh.
Rais mengetap bibir. Dia mula rasa serabut.
“Tuan nak saya settle-kan ke?” soal pembantu peribadinya seakan mengerti perubahan riak wajah Rais yang kurang senang dengan kehadiran gadis itu.
“Kau uruskan. Kalau dia minta duit atau pampasan, tak payah layan. Orang macam tu, selagi kita layan selagi tulah besar kepala. Aku kena balik ke Vila Indah sekarang.” Ujar Rais sekali gus memberi arahan.
“Baik, tuan. Tuan masuk dalam kereta dahulu.” Balas pembantunya sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan Hana.
Ternyata Hana masih belum berputus asa. Fokusnya hanya terarah kepada Rais yang kelihatan ingin melarikan diri.
“Tuan Rais! Kalau tuan lari, tuan memang pengecut!” jerit Hana tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Rais tidak mengambil pusing sebaliknya dia terus menarik pintu kereta untuk meninggalkan tempat tesebut. Namun bunyi hon yang panjang memaksa Rais untuk berpaling. Matanya terbuka luas sebaik saja terlihat sebuah kereta yang meluncur laju ke arah Hana sedangkan pandangan gadis itu hanya terarah kepadanya. Rais mengetap bibir. Tanpa berfikir panjang Rais menarik lengan baju Hana dan tubuh itu dibiarkan tercampak ke kaki lima.
“Hoi, nak mati ke?!” jerkahan yang kuat memenuhi kawasan tersebut sebelum pemilik kereta itu berlalu tanpa meminta maaf atau pun menjenguk keadaan Hana yang terjelopok jatuh di kaki lima.
“Tuan!” Khairil tergamam. Melihat tindakan Rais yang spontan cukup mengejutkan Khairil.
“Jangan pedulikan dia! Kita gerak sekarang!” ajak Rais tanpa memandang keadaan Hana ketika ini.
Khairil hanya menurut. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam kereta tanpa menanyakan keadaan Hana yang masih terduduk di atas kaki lima. Beberapa orang menghampiri Hana yang sedang termangu-mangu.
Dunia Hana seakan terhenti seketika. Dia tidak menyangka lelaki beku itu boleh bertindak sebegitu rupa. Dia nak selamatkan aku atau dia nak bunuh aku? Soal hati Hana.

“TUAN, tak apa ke kita biarkan cik tu kat situ? Kita tak tahu apa nasib dia sekarang. Mungkin dia tercedera.” Khairil bersuara sambil matanya melirik ke cermin pandang belakang.
Rais diam seketika. Kejadian tadi kembali terimbas ke ruang fikiran. Dia meraup wajah.
“Salah dia. Siapa suruh tak hati-hati. Aku cuma tolong apa yang patut saja.” Jawab Rais. Anak matanya dibiarkan meliar ke luar tingkap.
“Tapi kenapa tuan pecat dia tadi? Tuan tak nak bagi dia peluang kedua?” soal Khairil lagi.
Rais melepaskan nafas. Dia terdiam sejenak. Soalan Khairil dibiarkan sepi buat seketika.
“Peluang kedua bagi orang yang mengaku salah bukan yang suka memberi alasan. Kalau dia minta maaf dan mengakui kesalahannya waktu pertama kali aku tanya, mungkin aku akan beri peluang tapi kau tengok apa yang dia buat. Dia bagi alasan dan kau tahu yang aku tak suka orang beri alasan untuk lepaskan diri. Dia harus ingat, kebaikan yang dia buat akan memakan diri dia sendiri. Bukan tu saja, rekod kedatangan dia juga membolehkan dia untuk dibuang kerja. Mungkin Encik Azan terlalu baik untuk beri peluang demi peluang kepada dia sedangkan apa yang dia buat dah bercanggah dalam kontrak.” Terang Rais berkenaan keputusannya memecat Hana tanpa memberi peluang yang kedua.
Khairil mengeluh kecil. Kadangkala, ketegasan Rais menakutkan Khairil dalam diam. Setakat ini, tiada sesiapa yang mampu melembutkan hati Rais. Lelaki itu bagaikan tembok batu. Tiada sesiapa yang dapat menembusinya apatah lagi melembutkannya.
“Tapi macam mana kalau dia laporkan perkara ni kepada pihak atasan?” soal Khairil lagi. Sekadar ingin tahu.
“Dia takkan berani. Kalau dia laporkan sekali pun, aku tak kesah. Ini kali pertama dan kali terakhir aku jumpa dia.” Jawab Rais penuh yakin.
Kharil hanya menganggukkan kepala tanda faham.
“Baik, tuan. Jadi sekarang kita terus ke Villa Indah?”
“Ya. Tapi sebelum tu, singgah ke balai sekejap…” Jawab Rais.
“Ke balai? Untuk apa tuan?” soal Khairil pelik. Namun, tiada jawapan daripada Rais. Dia hanya mendiamkan diri.



MR. FROST ( Bab 1 )


ANAK mata hitam milik Dian Hana memandang tepat tulisan yang tertera di papan tanda yang terletak di atas kepala. Anak matanya berair. Nafas ditarik sedalam-dalam sebelum dihembuskan dengan perlahan. Hari ini merupakan hari terakhir dia menatap tempat itu. Dia tidak menyangka, niat baik yang dilakukan membuatkan dia kehilangan punca pendapatannya sendiri. Peristiwa yang berlaku sebentar tadi kembali terlayar di ruang fikiran.
“Kau nak tahu satu gosip tak?” Emma yang sedang menyusun barang-barang di bahagian belakang kaunter bersuara, menarik perhatian Hana dan Dahlia yang sedang menunggu pelanggan untuk membuat pembayaran.
Hana berpaling. Begitu juga Dahlia.
“Gosip apa pula ni, Emma?” soal Dahlia. Dengan pantas, dia mengengsotkan kerusi ke arah Emma yang sedang tersengih. Hana hanya menjadi pendengar tanpa menyampuk walau sepatah pun.
“Kawan aku yang kerja di HQ bagi tahu, Mr. Frost akan buat pemeriksaan mengejut di semua cawangan!” jawab Emma dengan mata yang membulat.
“Pemeriksaan mengejut? Maksud kau? Selama ni tak pernah lagi aku dengar HQ buat pemeriksaan mengejut di cawangannya. Bukan satu cawangan kedai buku ni, kalau tak silap aku ada lapan cawangan termasuk Sabah dan Sarawak kan?” Dahlia cuba menyangkal. Separuh hatinya turut berasa gundah dengan khabar yang dibawa oleh Emma.
“Memang tak pernah buat tapi semenjak Mr. Frost jadi Ketua Pegawai Operasi tiga bulan yang lepas, banyak benda baru yang dia ubah. Staf di HQ makin pening dengan sikap dia, kau tahu tak? Siapa yang tak tahan dengan tekanan dah lama cabut.” jawab Emma. Dia mengetap bibir.
Hana hanya berkerut kening. Dia tidak tahu hujung pangkal akan perkara yang dibualkan oleh dua rakan sekerjanya itu. Dia hanya mampu memandang mereka berdua bertukar cerita.
“Kejap, boleh saya menyampuk tak?” soal Hana tiba-tiba. Dia tersengih kepada Emma dan Dahlia yang memandang ke arahnya dengan serentak.
“Apa dia, Hana?” soal Dahlia.
“Siapa Mr. Frost tu? Kenapa awak berdua macam takut sangat dengan dia?” soal Hana lambat-lambat.
Dahlia menghela nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Dia berpandangan dengan Emma yang turut tersenyum.
“Lupa pula kami yang awak pekerja baru di sini. Kalau awak nak tahu Mr. Frost tu pegawai operasi yang baru di HQ menggantikan tempat Encik Rizal yang dah bersara awal. Kawan saya cakap Mr. Frost ni muda lagi. Disebabkan dia muda jadi cara kerja dia tak sama dengan cara kerja Encik Rizal yang lebih santai. Setiap kerja yang diberikan mesti kena siap on time. Tak ada kompromi apabila bersangkut paut dengan soal kerja. Kalau awak nak tahu lagi, tak ada seorang pun yang berani curi tulang kalau Mr. Frost tu ada di pejabat.” Cerita Emma lagi.
Dahlia dan Hana meneguk liur.
“Seram pula saya dengar. Tapi kenapa awak panggil dia Mr. Frost?” soal Hana lagi. Ingin tahu.
Emma hanya tersengih.
“Bukan saya yang panggil, tapi staf di HQ yang panggil macam tu. Mr. Frost tu tak pernah senyum, tak pernah ketawa. Mukanya ketat 24 jam. Sentiasa serius. Semua orang takut nak bergurau dengan dia. Boleh dikatakan dia tu sejenis makhluk yang beku. Dingin. Sebab tu mereka panggil Mr. Frost.” jawab Emma lagi.
Dahlia dan Hana menganggukkan kepala tanda faham.
“Banyak kau tahu pasal Mr. Frost ni. Aku tak rasa dia ni biasa-biasa je orangnya,” Dahlia mula mengecil mata memandang Emma.
Emma hanya ketawa kecil sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Mesti dia handsome kan?” tebak Dahlia lagi.
Emma hanya mendiamkan diri. Matanya dikenyitkan kepada Dahlia sebagai jawapan untuk persoalan sahabatnya itu.
“Aku dah agak dah. Kau tu kalau mamat tu tak handsome, tak bergaya, kau takkan ambil tahu. Kalau kacak tapi perangai mengalahkan Hitler, baik tak payah beranganlah Emma. Nanti dengan kau-kau sekali jadi frozen!” tempelak Dahlia disambut dengan gelak tawa Hana.
“Aku cuma cerita apa yang aku tahu je, Lia. Bolehlah kita bersedia. Buatnya Mr. Frost tu muncul tiba-tiba, habis kita.” Balas Emma kembali kepada topik asal penceritaan mereka.
“Kalau kita tak buat salah, saya rasa kita tak perlu nak risau apa-apa. Saya yakin, sedingin mana pun dia, dia tetap manusia. Ada hati. Ada perasaan dan saya yakin, setiap manusia pasti ada kebaikan mereka yang tersendiri.” Sampuk Hana. Positif.
Dahlia mengangguk-anggukkan kepala. Setuju dengan kata-kata Hana.
Tet! Tet! Tet!
Bunyi penggera keselamatan di bahagian pintu keluar masuk membuatkan mereka bertiga tersentak. Perbualan mereka mati dengan sendirinya. Mereka terpinga-pinga apabila melihat Raju, pengawal keselamatan kedai buku tersebut sedang menahan seorang lelaki yang kelihatan berusia dan menarik lelaki tersebut masuk ke dalam kedai. Hana yang duduk di kaunter berhampiran pintu turut bergegas mendapatkan Raju.
“Kenapa ni Raju?” soal Hana sambil memandang Raju dan lelaki tersebut silih berganti.
“Pak cik ni cakap dia terbawa keluar buku yang belum dibayar. Sebab tu alarm tu berbunyi.” Terang Raju sambil memegang kemas lengan lelaki tua tersebut.
Pandangan Hana teralih. Lama dia merenung lelaki tersebut. Wajahnya kelihatan cuak.
“Mana buku tu, pak cik?” soal Hana. Dia menghulurkan tangan untuk meminta buku yang dikatakan oleh Raju tadi.
“Pak cik nak beli buku ni, tapi pak cik tak ada duit. Pak cik nak tunjuk dekat anak pak cik aje. Pak cik tak ada niat apa-apa pun,” jawab pak cik tersebut dengan suara yang lirih.
Hati Hana tersentuh melihat kejujuran lelaki itu. Dia berpandangan dengan Raju. Meminta agar lelaki itu melepaskan cengkaman di tangan pak cik tersebut.
“Saya tahu pak cik tak ada niat tapi pak cik tak boleh bawa keluar buku ni tanpa bayar terlebih dahulu. Salah tu, pak cik.” Ujar Hana lembut. Timbul simpati dalam dirinya apabila melihat keadaan pak cik itu.
“Pak cik tahu…” Ucap lelaki itu seraya menundukkan kepala. Matanya sudah berkaca.
Hana melepaskan keluhan kecil. Dia memandang sekeliling. Ternyata banyak mata yang memandang ke arah mereka bertiga. Dia tahu pasti lelaki tua itu malu saat ini.
“Macam nilah pak cik. Pak cik ikut saya ke kaunter. Biar saya tolong bayarkan buku ni. Nanti pak cik boleh berikan buku ni pada anak pak cik. Anggaplah hadiah daripada saya,” ujar Hana dengan senyuman.
Pak cik tersebut tersentak. Dia mengangkat wajah. Sedikit sebanyak dia terharu dengan pertolongan yang dihulurkan oleh Hana.
“Baiklah. Terima kasih, nak. Terima kasih…” Ucap lelaki tersebut berkali-kali. Wajahnya bertukar riang.
Hana hanya tersenyum. Dia menunjukkan jalan kepada pak cik tersebut. Dia melepaskan nafas lega apabila dapat menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan.
“Senangnya awak selesaikan masalah, ya?” sampuk satu suara menghentikan langkah Hana. Dia mendongak.
Kelihatan seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan tiga puluh tahun, berpakaian kemas sedang berdiri sambil berpeluk tubuh tidak jauh dari tempat Hana berdiri. Semua mata memandang ke arah pemuda tersebut.
Emma yang turut memandang, terus berubah wajah. Kulit wajahnya bertukar pucat. Dia menepuk lengan Dahlia. Sahabatnya itu berpaling.
“Apa dia?” bisik Dahlia keras.
“Mr. Frost!” balas Emma turut berbisik.
“Apa?!”
Anak mata Dahlia membulat. Dia memandang Hana dan lelaki kacak itu silih berganti. Dia menekup mulut. Habis kau, Hana!


“MAAF. Saya cuma tak nak panjangkan masalah. Jadi tak salah rasanya kalau saya bayarkan buku untuk pak cik ni,” Hana bersuara. Dia yang masih belum mengetahui identiti lelaki yang berada di hadapannya, terus bersikap selamba. Fikir Hana, lelaki itu kemungkinan hanya pelanggan yang singgah di kedai buku tersebut.
“Tak. Memang tak salah. Niat awak baik tapi cara awak salah!” tempelak lelaki itu tidak semena-mena. Wajahnya tidak beriak. Pandangannya cukup dingin. Seolah-olah, lelaki itu tidak memiliki perasaan. Malah, wajah Hana tidak dipandang langsung.
Hana bengang. Dia merenung lama wajah lelaki tersebut. Dia ingin membalas namun lambaian tangan daripada Dahlia dan Emma dari arah belakang mengganggu pandangannya. Dahinya berkerut apabila kedua-dua sahabatnya itu menggelengkan kepala sambil menunjukkan simbol X berkali-kali.
Hana tidak peduli. Pandangannya kembali teralih pada lelaki tersebut.
“Awak cakap cara saya salah? Apa yang salah?” soal Hana dengan berani.
“Awak tak siasat betul-betul. Awak buat kesimpulan berdasarkan apa yang awak nampak dan apa yang awak dengar saja.” Tegas lelaki itu menambahkan kebingungan di otak Hana.
“Nak siasat? Siasat apa? Pak cik ni cuma terbawa keluar buku ni sahaja!” tekan Hana.
Lelaki itu tidak beriak. Dia menghampiri lelaki tua yang sudah kelihatan berpeluh. Dia keresahan. Sedaya upaya dia cuba mengelak daripada lelaki berbaju hitam mendekatinya.
“Buku ni saja? Bagaimana dengan buku ini?” soal lelaki tersebut lalu menarik keluar buku yang tersorok di sebalik baju bahagian belakang lelaki tua itu.
Dua buah buku ditarik keluar lalu dicampakkan tepat ke kaki Hana yang tergamam. Apa yang mengejutkan, plastik yang membaluti ketiga-tiga buku tersebut telah ditanggalkan. Hana memandang lelaki tua itu dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
“Pak cik, apa semua ni?” soal Hana seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Pak cik… Pak cik tak ada niat…”
“Tak ada niat? Tapi encik cuba bawa keluar buku-buku ni tanpa bayar terlebih dahulu? Kenapa encik perlu sorokkan kalau encik tak ada niat untuk mencuri? Dan kenapa plastik ni tertanggal daripada buku kalau bukan encik yang koyakkan? Kenapa encik koyakkan? Atau sebab encik tahu buku yang belum diimbas di kaunter, akan mendatangkan masalah pada encik nanti?” tempelak lelaki muda itu.
Pak cik tersebut menundukkan kepala. Kesal dengan perbuatannya.
“Pak cik terpaksa. Anak pak cik nak buku-buku tu tapi pak cik tak mampu nak beli. Ini kali pertama pak cik buat kerja macam ni. Maafkan pak cik.” Ujar lelaki itu cuba memancing simpati.
Lelaki muda itu melepaskan keluhan. Dia menggamit seseorang di belakangnya.
“Pak cik dah buat dua kesalahan. Pertama, cubaan mencuri. Kedua, menipu. Saya tak boleh bertolak ansur jika melibatkan dua perkara ini. Encik sila ikut staf saya ke balai. Kita selesaikan di sana. Disebabkan perbuatan encik, waktu operasi kedai ini dah terganggu.” Ujar lelaki muda itu tanpa perasaan.
Wajah pak cik tersebut mula berubah pucat. Dia cuak. Kelihatan matanya berkaca. Dia menangis. Apatah saat ini kedua belah tangannya ditarik oleh pengawal keselamatan dan seorang lagi lelaki yang lain.
“Encik! Encik siapa nak buat keputusan bagi kedai ni? Pak cik tu dah akui kesalahannya. Perkara boleh diselesaikan secara baik, buat apa nak panjangkan?” soal Hana tiba-tiba. Dia bengang dengan sikap lelaki itu yang dianggap tidak berhati perut.
Lelaki itu berpaling tanpa memandang wajah Hana.
“Siapa saya bukan urusan awak. Apa yang pasti, hari ini merupakan hari terakhir awak bekerja di sini. Qarya Bookstore tak perlukan pekerja yang cuai macam awak!” jawab lelaki itu selamba.
Mata Hana membulat. Rasa bengangnya makin bertambah. Entah dari mana datang, sesuka hati dia pecat aku? Dia ingat dia siapa? Bebel hati Hana.
“Encik tak ada hak nak pecat saya! Hal kecil macam ni pun encik besarkan? Pak cik tu dah minta maaf. Buku-buku tu masih elok. Tak boleh ke kalau maafkan saja kesalahan pak cik tu? Dia tak ada niat untuk mencuri pun!” tekan Hana masih tetap dengan pendiriannya.
“Tak ada niat? Tapi dia dah mencuri. Hal ini memang kecil bagi awak tapi jika hal ini berterusan, siapa yang akan rugi? Awak yang rugi? Tak! Syarikat yang rugi. Setiap buah buku yang dah bercetak, ada kosnya. Siapa yang bayar untuk semua kos tu? Awak? Tak. Syarikat yang bayar. Kesalahan memang boleh dimaafkan tapi semua kerugian tu siapa yang nak tanggung? Awak?” sinis lelaki itu membuatkan Hana terdiam.
“Encik Rais!” laung satu suara membuatkan Hana berpaling.
Kelihatan Encik Azan termengah-mengah bagi mendapatkan lelaki itu. Dahi Hana makin berkerut apabila wajah Encik Azan bertukar merah. Lelaki itu menjengilkan mata ke arahnya. Serta-merta Hana menundukkan wajah. Jantungnya berdetak kencang. Pasti ada sesuatu yang tak kena!
Rais mengerling jam yang melingkari pergelangan tangan. Dia mendengus.
“Pukul sebelas baru nampak muka? Saya tunggu dari pukul sembilan di ofis. Awak ke mana? Kenapa sekarang baru datang?” soal Rais. Nadanya mendatar.
Encik Azan menyeka peluh di dahi. Air liur diteguk berkali-kali. Wajah bengis milik pegawai baharu ini cukup mengerunkan.
“Saya… Saya…”
“Tak ada alasan?” soalnya.
Encik Azan menundukkan kepala. Cuak.
“Gaji untuk setiap satu jam yang awak terlewat, saya akan potong dah bahagikan kepada pekerja yang datang tepat pada masanya. Jangan main-main dengan masa jika waktu bekerja. Saya tak suka!” tegas Rais. Manakala Encik Azan hanya menganggukkan kepala.
“Dan awak…” Rais memandang tanda nama yang melekat di kain tudung yang dipakai oleh Hana.
“Cik Hana. Jumpa saya di pejabat,” sambung Rais lalu meninggalkan Hana yang terpinga-pinga.
“What…?” Hana cuba bersuara tetapi Rais terlebih dahulu menghilangkan diri sambil diikuti oleh Encik Azan.
“Siapa dia tu? Kenapa berlagak sangat?!” bentak Hana geram.
“Itulah Mr. Frost!” suara Emma kedengaran dekat di telinga Hana.
“Mr. Frost?!”



MR. FROST ( Prolog)


“MAAF, saya lambat!” ujar seorang gadis sambil terkocoh-kocoh melangkah ke ruang kaunter pembayaran. Peluh yang merembes di dahi disapu dengan kasar. Dia cuak apabila melihat wajah pengurus yang menjeling tajam. Dia menundukkan kepala.
“Dian Hana, awak tahu tak ini dah berapa kali awak lambat?” soal seorang lelaki yang memakai tanda nama Azan dengan nada yang tegas. Sesekali anak matanya meliar memandang ke sekeliling kedai seolah-olah sedang mencari kelibat seseorang.
Hana menelan air liur. Jantung mula berdetak dengan persoalan yang diutarakan oleh Encik Azan.
“Saya tahu, encik. Semalam saya ambil kerja part time jadi saya…”
“Saya tak nak tahu apa yang awak buat semalam. Saya cuma nak awak fokus dengan kerja awak di sini. Saya rasa awak dah cukup faham dengan kontrak kerja, cukup tiga kali awak datang lambat, awak tahu apa yang akan terjadi kan?” soal Encik Azan lagi.
Hana hanya menganggukkan kepala. Dia akur dengan  kata-kata Encik Azan.
“Baik, tuan. Saya akan pastikan, ini kali terakhir saya datang lambat.” Jawab Hana dengan senyuman.
Encik Azan hanya menganggukkan kepala.
“Awak boleh teruskan kerja…” Ujarnya lalu berpaling untuk meninggalkan ruang kaunter.
Saat dia berpaling, anak mata Encik Azan bertembung dengan sepasang anak mata milik seorang lelaki yang sedang memerhati perbualannya dengan Hana. Encik Azan meneguk liur. Dahi mula berpeluh meskipun alat pendingin hawa sentiasa terpasang di kedai buku tersebut.
Tanpa mengendahkan renungan itu, Encik Azan melangkah menuju ke arah lelaki tersebut dengan dada yang berdebar-debar.
Lelaki yang memakai jaket jeans dan bertopi hitam itu hanya menunggu kedatangan Encik Azan sambil membelek setiap buku yang tersusun di atas rak dengan wajah yang ketat. Dia tidak suka cara Encik Azan menyelesaikan masalah.
“Tuan…” Panggil Encik Azan dengan suara yang perlahan.
Lelaki itu berpaling. Tanpa bersuara dia melangkah menuju ke rak paling belakang dan membiarkan Encik Azan membuntuti langkahnya.
“Macam tu awak handle pekerja? Awak maafkan kesalahan yang mereka buat dengan mudah sedangkan awak tahu kesalahan itu kesalahan yang besar?” soal lelaki itu sambil memeluk tubuh. Tiada segaris senyuman pun yang terukir di bibirnya.
Encik Azan tertelan air liur. Dia menundukkan kepala. Wajah garang milik pemuda itu cukup untuk membuatkan dia kehilangan kata.
“Dia pekerja yang bagus, tuan. Cuma dia ada masalah kedatangan sikit. Selepas bekerja di kedai ni, dia akan buat part time di tempat lain, jadi sebab tu dia datang…”
“Itu awak cakap pekerja bagus? Huh! Kalau dia pekerja bagus, dia takkan bekerja di tempat lain sehingga mengganggu waktu tugasan di kedai ni. Itu cuma alasan!” balas lelaki itu dengan tegas.
“Errr….”
“Bagi dia surat amaran…” Sambung lelaki itu semula.
Dahi Encik Azan berkerut. Dia mendongak mencari raut wajah lelaki yang bertopi itu. Nampak dingin.
“Surat amaran? Tapi ini baru kali kedua dia datang lambat…”
“Bila ada kali kedua, akan ada kali ketiga dan keempat jika inilah sikap awak terhadap pekerja. Saya tak minta awak beri hukuman pada mereka jika mereka buat kesalahan, saya cuma nak awak bertegas. Syarikat lantik awak jadi pengurus bukan untuk bersimpati dengan mereka tapi untuk jaga kedai ini sebaik mungkin. Kalau mereka tak dapat memenuhi kehendak syarikat, pecat dan cari pekerja yang lain. Itu pun susah ke?” soal lelaki itu lagi.
Encik Azan mendiamkan diri. Dalam hati dia kurang bersetuju dengan kata-kata lelaki itu. Sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, dia tidak dapat lari daripada bersimpati dengan nasib orang lain apatah lagi orang itu lebih susah daripadanya. Tetapi, lelaki di hadapannya ini kelihatan sebaliknya. Mungkin dia cuma ada hati tapi tak berperasaan. Beku!
“Saya akan beri awak masa. Kalau sekali lagi masalah ni berulang, saya sendiri yang akan pecat dia!” ucap lelaki itu kembali setelah tiada jawapan daripada Encik Azan.
Encik Azan hanya menganggukkan kepala. Dia tiada pilihan selain akur dengan lelaki itu.
“Baik, tuan!”
“Saya akan datang semula ke sini tanpa apa-apa notis. Buat kerja awak dengan sebaik mungkin atau awak boleh ucap selamat tinggal kepada kedai ini. Ingat, saya tak suka orang yang bagi alasan semata-mata untuk lepaskan diri. Itu pengecut namanya.” Pesan lelaki itu lalu berlalu meninggalkan Encik Azan.
Encik Azan mencebik. Dia melepaskan keluhan berat.
“Macamlah dia tu betul sangat. Dasar Mr. Frost!”