Tetamu Rindu

Tuesday 9 April 2013

Mini Novel : Jika Benar Kau Cinta ( Prolog )


TAHUN 2013
Hamna mempercepatkan langkahnya. Sesekali dia memandang ke belakang. Nafasnya tercungap- cungap menahan rasa penat kerana terpaksa berjalan dengan laju. Kain kurung ditarik sedikit agar langkahnya boleh dipanjangkan. Tak mungkin lelaki itu wujud kembali dalam hidupnya selepas hampir beberapa tahun mereka tidak bertemu.
“ Ezlaili Hamna!!” jerit suara lelaki itu dari jauh. Kelihatan lelaki yang  berbaju kemeja warna biru itu mengejarnya daripada belakang.
Hamna makin tidak keruan. Dia ingatkan selepas kejadian dulu, mereka tidak lagi dipertemukan tetapi ternyata takdir Tuhan berkehendak lain. Sewaktu dia pergi temuduga sebentar tadi, dia dikejutkan dengan pertemuan yang tidak disangka- sangka.
“ Okey, Cik Ezlaili Hamna boleh masuk bilik tu,” tunjuk penyambut tetamu itu kepada Hamna dengan senyuman ramah.
Hamna membalas senyuman itu dengan manis. Dia mencapai beg tangan dan fail lalu berdiri dengan penuh semangat. Aku kena dapatkan kerja kali ni. Aku dah penat jadi penanam anggur yang berjaya. Bisik hatinya.
Langkahnya di hayun ke arah bilik yang ditunjukkan. Dia mengetuk pintu dan memberi salam dengan dada yang berdebar- debar. Aik, lain macam je jantung aku ni berdebar. Macam nak melompat keluar je gayanya. Sabarlah wahai jantung hatiku. Lima minit je temuduga ni. Sabar ye, sabar. Hamna cuba memujuk jantungnya.
Salamnya dijawab dari dalam. Kedengaran suara orang menyuruhnya masuk. Dengan pantas, Hamna memulas tombol pintu. Dia melemparkan senyuman manis seperti mana yang disuruh oleh pensyarahnya dulu- dulu.
“ Kalau awak semua pergi interview, jangan lupa untuk berikan senyuman walaupun masa tu awak tengah gementar. Jangan tunjuk sangat rasa gementar tu,”
Hah, itulah pesanan yang diberikan oleh Puan Putri dulu, sampai sekarang masih melekat dalam otak Hamna. Namun, kata- kata Puan Putri tidak menjadi kali ini. Sebaik sahaja melihat wajah penemuduganya sepantas kilat senyuman yang terukir di bibir Hamna mati Cuma hatinya saja yang tidak sudah- sudah berdenyut.
Kelihatan lelaki itu sudah berdiri sambil matanya memandang tepat ke dalam anak mata Hamna yang kaku di muka pintu.
“ Ezlaili Hamna?” lelaki itu menyebut nama penuhnya.
Bagaikan tersedar daripada mimpi, Hamna tersentak. Dia menggelengkan kepala. Aku tak nak jumpa kau lagi! jerit hati Hamna.
Tanpa membalas apa- apa, Hamna lari meninggalkan pejabat itu dengan perasaan yang bercampur baur. Kenapa masih lagi wujud pertemuan antara dia dengan lelaki itu di saat luka lama masih lagi belum sembuh? Kenapa langkahnya tertuju kepada lelaki itu? Kenapa mesti lelaki itu?
Sedang asyik dia cuba melarikan diri tiba- tiba…
Bukkkk!!!
Kepalanya terlanggar tiang lampu yang elok berdiri di depan mata. Sejak bila pula ada tiang lampu ni? Adoi, sakitnya kepala aku! jerit hati Hamna. Dia menggosok- gosok dahinya.
“ Hamna, tunggu dulu!” jerit lelaki itu.
Alamak, dia dah dekat. Aku kena lari lagi ni. Hamna bertekad. Tapi tekadnya tinggal tekad, lelaki itu sudah tercegat di depan mata. Dia terpaksa mendongk memandang wajah lelaki itu yang agak tinggi daripadanya. Dia cuba membuka langkah tetapi dengan pantas lengannya disambar oleh lelaki itu.
“ Hoi, apa pegang- pegang? Nak kena sepak ke?” marah Hamna lantang lantas merentap tangannya dengan kasar.
Lelaki itu mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Tapi untuk melepaskan gadis itu pergi tidak mungkin dia lakukan.
“ Lama aku tak jumpa kau, sampai hati kau pergi macam tu je…” ucap lelaki itu lembut.
Matanya redup memandang wajah Hamna yang serius. Huih, dah macam gangster je aku tengok muka dia ni. Kelat sungguh!
“ Eh, suka hati akulah nak pergi macam tu ke macam ni ke, ada kau kisah!” balas Hamna kasar. Dia menjeling. Tangannya disilang ke dada sementara wajahnya dipalingkan ke arah lain.
“ Amboi, garangnya kau. Tak berubah macam dulu…” ucap lelaki itu lagi.
Hamna mencebik. Dia tersenyum sinis.
“ Eiii…dahlah aku nak balik. Serabutlah kau ni…”
“ Kau datang nak minta kerja kan? Kenapa nak balik macam tu je?”
Hamna menjeling wajah lelaki itu yang kelihatan tenang.
“ Aku tak jadi nak minta kerja. Aku minta kat tempat lain jelah,” balas Hamna acuh tak acuh.
Lelaki itu terdiam. Lama dia menatap wajah Hamna sebelum senyuman manis terukir di bibirnya.
Dahi Hamna berkerut. Dah kenapa senyum pula mamat ni? Aku cakap bukan main lagi serius dia boleh senyum je? Dah tak betul agaknya.
“ Betul kau nak kerja kat tempat lain?” soal lelaki itu.
“Yalah,” balas Hamna malas.
“ Okey…” balas lelaki itu.
Hamna tersentak. Okey? Tu je? Memang perangai tak pernah berubah! Detik hati Hamna. Tanpa menunggu lama, dia berlalu meninggalkan lelaki itu yang diam membisu.
“ HAH, macam mana dengan interview kamu hari ni Na? Dapat tak kerjanya?” tanya Puan Rosnani tanpa sempat Hamna memberi salam.
Hamna menghempaskan badannya di sofa. Wajah ibunya yang masih menanti jawapannya ditenung lama. Nak dapat macam mana mak, tak sempat interview Na dah cabut lari. Jawab hatinya.
“ Tak dapat mak. Jawatan tu dah penuh…” bohong Hamna.
Wajahnya diraup dengan telapak tangan. Dia memejamkan mata namun wajah lelaki itu terbayang di ruang mata menggamit peristiwa dulu bertandang di ruang fikiran. Sungguh hatinya masih sakit dengan apa yang berlaku walaupun kejadian itu sudah hampir bertahun berlalu.
“ Mak rasa kamu ni kena mandi bungalah Na. Semua kerja yang kau cari tak dapat. Kerja pulak tak pernah tetap, ada je yang tak kena dengan kerja tu kat mata kau. Kalau ada orang pinang kau mak terima je,” bebel Puan Rosnani sambil tangannya lincah melipat kain.
Hamna tersentak. Dia panggung kepala memandang wajah ibunya.
“ Eh, Na nak kerjalah mak. Tak ada maknanya nak kahwin- kahwin ni. Tunggu jelah jodoh datang bergolek,” balas Hamna tak mahu kalah.
“ Banyaklah kau punya golek,”

JERITAN Puan Rosnani mengejutkan Hamna yang sedang leka menonton TV. Dengan pantas dia mendapatkan Puan Rosnani yang berada di luar rumah.
“ Kenapa mak ni menjerit- jerit macam Pontianak Harum Sundal Siang dan Malam ni?” tanya Hamna selamba.
“ Amboi, mulut kamu ni tak agak- agak panggil mak pontianak…” balas Puan Rosnani sambil menjeling.
Hamna tersengih membariskan giginya yang tersusun rapi. Dia mengangkat dua batang jarinya. Peace yo!!
“ Ada apa mak panggil Na ni?” soal Hamna tidak sabar.
Dia dapat melihat Puan Rosnani sedang memegang sesuatu di tangan. Nampak macam surat dalam saiz A4. Apa agaknya? Hmmm…
“ Ni hah, ada surat untuk kamu. Mungkin surat tawaran kerja lagi kut,” Puan Rosnani membuat telahan.
Dia memandang wajah anaknya yang kelihatan sedikit bercahaya. Puan Rosnani tahu Hamna memang sedang resah menanti kerja yang tidak kunjung tiba. Sudah hampir empat tahun anak perempuannya itu mencari kerja tetap tetapi semuanya hampa. Satu kerja pun tak lekat dengan anaknya itu.
Hamna tersenyum. Dia menyabut huluran Puan Rosnani. Sampul surat berwarna putih itu dibuka dengan rasa yang tidak sabar. Dia membaca satu persatu ayat yang tertera di dalam surat itu. Tetapi yang peliknya tiada nama pengirim.
Puan Rosnani menanti dengan sabar namun dia pelik wajah Hamna berubah pucat. Anaknya itu bagaikan terkaku.
“ Na, kenapa diam je ni? Bacalah kat mak, surat apa tu?” gesa Puan Rosnani tidak sabar.
Hamna diam seribu bahasa. Wajah ibunya dipandang tanpa perasaan. Kalau ditoreh wajahnya sekarang pasti tidak ada darah. Tangannya menggigil memegang surat yang memang tidak dijangka itu.
“ Mak..mak…” Hamna memanggil ibunya.
“ Ye, mak kan ada dekat sini. Yang kamu jadi macam patung cendana bernyawa ni kenapa pulak?” soal Puan Rosnani pelik.
“ Mak, Na rasa macam nak pengsan.” Balas Hamna. Kepalanya sudah mula pening- pening lalat. Kali ini bukan rasa macam pening lalat tapi dah sampai tahap langau.
Surat itu yang menjadikan dirinya seperti berada di atas awan. Aku bermimpi ke ni? soal hatinya. Tak, takkanlah aku mimpi bawak mak sekali. Kalau bukan mimpi, apakah semua ini?
“ Kalau nak pengsan pun baca dulu surat tu…” balas Puan Rosnani selamba.
Hamna memegang kepalanya. Dia berpaut pada lengan Puan Rosnani. Demi tidak mahu menghampakan Puan Rosnani, akhirnya dia membuka mulut.
“ Tawaran kerja seumur hidup. Dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa saudari telah terpilih untuk menjadi pekerja di Syarikat Rumahtangga.  Jawatan yang ditawarkan adalah seperti berikut…” Hamna membacakanya pada Puan Rosnani.
Kelihatan dahi Puan Rosnani berkerut.
“ Syarikat Rumahtangga? Syarikat apa tu Na? Mak tak pernah dengar pun. Syarikat pembinaan ke?” soal wanita itu lagi.
“ Na pun tak tahu mak. Na tak penah mohon pun dekat syarikat ni…” balas Hamna. Tapi bukan nama syarikat yang dia membuatnya ingin pengsan tapi….
“ Jawatan apa Na?” tanya Puan Rosnani lagi.
Hamna serba salah. Dia meneguk air liur yang terasa berpasir.
“ Jawatan….” Hamna tidak menghabiskan bicaranya. Dia serba salah. Wajahnya sudah berubah merah.
“ Jawatan apa?” soal Puan Rosnani. Dia mengetap bibir. Geram dengan sikap main-main anaknya itu.
Hamna menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak bagitahu tak nak? Nak? Tak nak? Kang kalau aku bagitahu, mesti mak pengsan. Syarikat ni pun satu, kenapalah nak main- main dengan aku. Bisik hatinya.
“ Jawatan…”
“ Sekali lagi kau cakap jawatan je, mak bakar surat tu. Jawatan apa?!” tanya Puan Rosnani hampir menjerit.
Bahu Hamna terhinjut.
“ Jawatan….”
“ Apa?!”
“ Isteri sepenuh masa, mak!”
“ Hah??!”

4 comments:

  1. Lawak... Hehehe permulaan yang sangat best hehehe

    ReplyDelete
  2. ADA JAWATAN RUMAH TANGGGA KE,

    ReplyDelete
  3. As Salam..hai ct,akak bru je baca cite ni...maklumla,rajin sgt terjah blog ct ni...hehehe...btw, cite ni best..akak suke, akak suke!!!

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.