Tetamu Rindu

Thursday 30 May 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 12 )


BUNTANG biji mata Hamna melihat MMS yang diterima daripada nombor yang tidak dikenali. Gambar pakaian yang renyuk terdampar di atas katil yang cadarnya juga renyuk. Dah macam apa dah. Hamna gelisah kerana dia kenal baju t-shirt yang ada di dalam gambar tersebut. Siapa yang hantar ni? Macam mana baju aku boleh ada dengan….eh bukan ke tadi aku tumpang rumah Isyraq? Takkanlah…alamak, baju aku tertinggal! Jerit hati Hamna apabila menyedari kesilapannya.
Belum sempat dia membalas mesej, satu mesej lagi masuk.

Kau dpt gambar tu? Agaknya apa perasaan Elyas klau dia dpt MMS drpd aku? lgpn dia mmg knal bju kau ni.

Hamna menelan air liur. Siapa penghantar ni? Isyraq ke? Kalau betul Isyraq, kenapa kaitkan Elyas pula? Hamna tertanya- tanya. Dia gelisah. Dengan pantas tangannya mendail nombor yang tertera. Dia tahu ini semua pasti kerja Isyraq. Dia ingatkan lelaki itu sudah mahu berdamai, ternyata Isyraq masih lagi berdendam. Kecuaian dirinya dijadikan senjata untuk melemahkannya.
Bunyi talian disambungkan membuatkan jantung Hamna tidak berhenti berdenyut. Ya Allah kuatkan hati aku untuk berdepan dengan orang yang bakal menghancurkan masa depan aku. Bisik hati Hamna.
“ Hello, kau siapa?” tekan Hamna selepas talian diangkat.
Kedengaran suara di hujung talian ketawa. Suara yang cukup garau. Macam pernah dengar je.
“ Dah lupa nak bagi salam ke?” soal suara itu dengan sinis.
Hamna merengus. Dia mengetap bibir.
“ Membazir je salam aku. Bukan aku kenal kau pun!” bidas Hamna geram.
“ Habis tu salam hanya untuk orang yang dikenali je ke? Manalah kau belajar ye,”
Kata- kata itu terkena tepat di batang hidung Hamna. Dia terasa ingin menjerit namun dia masih lagi bersabar.
“ Kau siapa? Kau nak apa dengan aku?” soal Hamna tanpa menjawab kata- kata lelaki itu. Dia masih belum dapat mengenalpasti siapa yang sedang bercakap dengannya sekarang.
“ Aikk, baru balik dari rumah aku, dah lupa? Yelah, asyik teringatkan Elyas je…” sindir Isyraq sambil ketawa sinis.
“ Isyraq??!” soal Hamna seakan menjerit.
“ Ye aku…” balas Isyraq dengan tenang.
“ Macam mana kau dapat nombor aku?” soal Hamna lagi.
“ Itu bukan urusan kau!” balas Isyraq kasar.
Hamna mendengus benci. Ada suatu perkara yang perlu dia selesaikan dengan Isyraq. Sekarang!
“ Kenapa kau hantar gambar itu kat aku? Apa motif kau?” soal Hamna tegang.
“ Motif aku…hmmm…kau tahu tak apa kesannya kalau gambar tu sampai ke tangan Elyas? Tentu dia tak sangka kau perempuan macam tu kan…” balas Isyraq. Suaranya cukup bersahaja.
“ Perempuan macam tu? Apa maksud kau?!”
Isyraq ketawa jahat. Dia sudah dapat membayangkan wajah Hamna kala ini. Pasti cuak habis!
“ Yelah, perempuan jenis apa kalau berani masuk dalam bilik anak teruna orang lepas tu tinggalkan pakaian tanpa segan silu. Kalau kau nak tahu, Elyas sukakan perempuan yang pandai jaga maruah diri tapi bila dia dapat gambar kau dengan video kau yang….emmmm…kau fahamlah maksud aku kan? Pasti dia singkirkan kau terus dari hidup dia,” ujar Isyraq.
Melopong Hamna mendengar kata- kata Isyraq. Berderau darahnya menahan marah. Dia beristighfar di dalam hati. Aku tak buatlah semua tu!
“ Itu fitnah namanya! Kau jangan nak buat cerita bukan- bukan , Is. Aku bukan perempuan macam tu lagipun kau tak cukup bukti!” bidas Hamna seakan menjerit.
“ Tak cukup bukti? Video kau salin pakaian ada dalam telefon aku ni. Aku dah save, bila- bila masa saja aku boleh sebarkan video kau yang hot ni dekat FB dan You Tube,”
Hamna terasa ingin pengsan. Dia memegang kepalanya yang berdenyut. Musibah apakah kali ini? Tak sangka Isyraq sudah merancang semuanya tanpa pengetahuan dirinya. Sangka Hamna, Isyraq benar- benar ikhlas untuk menolong tetapi ternyata lelaki itu mempunyai muslihat sendiri. Tiba- tiba air mata Hamna menitis mengenangkan video yang berada di dalam tangan Isyraq. Terasa dirinya dicemari kerana pasti Isyraq telah melihat semuanya. Aku pun satu, kenapa bodoh sangat pergi salin baju dalam biliknya tanpa pandang kiri kanan! Hamna mengutuk diri sendiri.
“ Kau jangan main gila, Is. Kalau kau nak balas dendam, janganlah sampai jatuhkan maruah aku!”
“ Inilah salah satu cara untuk aku balas dendam pada kau. Kau yang berlagak sangat, jadi kau terimalah padahnya. Aku rasa kejap lagi aku nak upload video terlampau kau ni dalam FB, gerenti gempak kelas kita esok!” balas Isyraq dengan tawa yang cukup menyakitkan hati Hamna.
“ Jangan!” jerit Hamna. Air matanya sudah meleleh laju. Buat pertama kali dia terasa kalah dengan Isyraq. Tiada guna dia bertegang urat kalau ternyata kemenangan itu berada di pihak Isyraq.
“ Hahahaha…tiada siapa yang boleh halang aku!”
“ Jangan, Is! Aku akan buat apa saja yang kau suruh asalkan kau kau tak sebarkan gambar dan video tu pada sesiapa pun!” ucap Hamna senafas.
Isyraq terdiam. Lama dia memikirkan sebelum bibirnya tersenyum penuh makna. Mangsa sudah masuk perangkap!
“ Betul kau akan ikut apa saja yang aku cakapkan?” soal Isyraq.
“ Betul! Janji kau padam gambar dan video tu!” balas Hamna.
“ Hmmm…esok kita jumpa. Ingat pukul 9 aku nak kau tunggu aku depan rumah. Kalau tidak kau faham- faham jelah. Satu kolej dapat video kau tu!” ujar Isyraq kemudian mematikan talian tanpa sempat Hamna membalas.
“ Is, Is! Kau tak boleh buat aku macam ni!” tempik Hamna dengan air mata bercucuran.
Telefon bimbit direnung lama. Hatinya masih sangsi dengan apa yang Isyraq katakan tapi apabila terfikirkan Isyraq, seorang lelaki yang penuh dendam tidak mustahil lelaki itu mengotakan apa yang dikatakan. Ya Allah, apa kata Fika kalau dia dapat video daripada Isyraq? Apa reaksi Elyas kalau melihat gambar dan video itu?
Sakit kepala Hamna memikirkan apa yang bakal terjadi. Matanya yang terasa panas digenangi air mula kabur. Lalu, perlahan- lahan dia meletakkan kepalanya di bantal. Dia menangis tersedu- sedan.
“ Menyesal aku kenal dengan kau, Is! Menyesal! Kau lelaki yang kejam! Aku benci kau!” rengek Hamna sambil menutup wajahnya dengan bantal. Bilik yang sunyi itu semakin menyesakkan kepalanya. Apa yang perlu aku lakukan untuk selamatkan maruah aku?

KETAWA Isyraq bersambung- sambung apabila dia menamatkan talian. Telinganya masih dapat mendengar jeritan Hamna yang memanggil namanya. Dia tahu Hamna menangis. Dia tahu Hamna sakit hati tapi itu semua tidak mematikan niatnya untuk meneruskan rancangannya. Perempuan macam Hamna perlu diajar! Itu saja yang berada di dalam fikirannya saat ini.
“ Ada hati nakkan si Elyas. Dahlah ganggu hidup aku, tup- tup suka dekat orang lain. Memang tak ada chancelah!” bebel Isyraq sendirian.
Dia merenung gambar Hamna yang berada di skrin telefon. Gambar gadis itu sedang mengelap peluh di dahi kerana penat membersihkan kawasan surau sewaktu mereka melakukan kerja amal untuk kali terakhir beberapa hari yang lalu. Walaupun nampak comot, tetapi gadis itu kelihatan comel dimatanya.
Entah, dia sendiri tidak tahu apa yang melanda dirinya ketika itu. Laju saja tangannya menekan punat kamera dan menangkap gambar Hamna secara kandid dan sekarang gambar itu yang menjadi tatapannya. Isyraq tersenyum sendirian.
“ Kalau kau tak kacau hidup aku, aku takkan ganggu hidup kau. Tapi kau dah lebih, bukan setakat hidup aku malah hati aku jadi kacau bilau sebabkan kau. Sebagai hukumannya, kau tak boleh lepas daripada aku, Hamna!” ucap Isyraq bersama dengan senyuman.
Dia merenung pakaian yang tergantung di penyidai. Secara sembunyi- sembunyi tanpa pengetahuan mamanya, Isyraq mencuci pakaian itu dan menyidai di dalam biliknya. Seakan ternampak wajah Hamna apabila melihat pakaian yang tergantung.
“ Apalah yang kau buat sekarang, perempuan? Mesti kau menjerit kan bila dapat tahu gambar dan video terlampau tu akan sampai ke tangan Elyas? Biar…biar kau takut. Aku nak sangat kau mengaku kalah,” Isyraq bercakap sendirian. Dia meletakkan kedua belah lengannya di atas dahi manakala kakinya disilangkan.
Senyuman kemenangan tersungging di bibir Isyraq. Dia tidak menyangka Hamna akan percaya bulat- bulat segala katanya. Terasa ingin ketawa apabila terkenangkan perangai Hamna yang kelam kabut. Gadis itu memang seorang yang terburu- buru dan memilih untuk mempercayai kata- katanya tanpa menyiasat terlebih dahulu.
Video Hamna terlampau? Perkataan itu membuatkan Isyraq ketawa sendirian. Dia bukannya gila untuk merakamkan perkara yang tidak senonoh seperti kebiasaan orang lain lakukan masa kini. Apa yang dikatakan pada Hamna semuanya bohong. Semuanya dilakukan semata- mata untuk menakutkan gadis itu dan ternyata usahanya berhasil. Hamna sudah mengikut telunjuknya! Yesss, itu yang aku mahukan!
“ Hamna, Hamna apa nak jadi dengan kau? Tapi yang untungnya aku. Lepas ni kau tak bolehlah lari daripada aku lagi,” sambung Isyraq lagi bersama tawa kecil.
Dia mencapai bantal peluk lalu dipeluk erat. Tak sabar untuk menunggu hari esok, hari yang mungkin akan membahagiakan hidupnya.

TEPAT pukul sembilan pagi, Hamna sudah setia menanti di depan pintu pagar rumah sewanya. Nasibnya baik apabila Fika dan kawan serumahnya yang lain pergi ke kolej terlebih dahulu. Memang Fika ada mengejutkannya pagi tadi, tapi Hamna mengeraskan diri dan pura- pura tidur. Selepas penat membebel, Fika berlalu meninggalkan Hamna yang disangka tidur mati padahal dia sudah siap berpakaian seperti biasa untuk ke kelas.
Dia bimbang Fika dapat tahu yang Isyraq akan datang menjemputnya pagi ini. Lelaki itu pun satu, kenapa perangai sengal macam badak sumbu sangat. Suka buat hidupnya huru- hara. Sudahlah hidungnya mula berair. Matanya terasa panas malah kepalanya berdenyut- denyut menandakan dirinya diserang selesema.
Hamna menyeka peluh di dahi. Dia memandang jam di tangan. Angka sudah bergerak ke 9.05 minit pagi. Manalah mamat ni? Semalam beria- ria suruh aku terpacak depan pintu pagar, bila aku terpacak, dia pulak lambat. Memang sengal tahap beruang kutub! Bebel Hamna sendirian.
Tidak lama kemudian, sebuah Honda CRV berhenti di hadapannya. Dengan muncung yang panjang sedepa, Hamna membuka pintu. Wajah Isyraq tidak dipandang malah salam pun tidak diberikan. Dia menghenyakkan punggung tanpa sebarang kata.
Isyraq hanya tersenyum sinis. Nak tunjuk egolah tu. Ingat aku kisah ke? bisik hati Isyraq. Dia meneliti wajah Hamna yang kelihatan pucat malah gadis itu tidak henti- henti menggosok hidung dan menahan diri daripada bersin. Sakit ke dia?
“ Aku nak kau padam semua gambar dan video tak guna yang kau simpan tu!” tegas suara Hamna kedengaran. Dia berpeluk tubuh tanpa sikit pun memandang Isyraq yang masih tenang memandu.
“ Suka hati akulah nak padam ke tak? Itu yang aku punya, kau tak ada hak!” balasnya selamba.
“ Tapi apa yang kau buat tu dah mengaibkan aku! Aku takkan maafkan kau kalau ada sesiapa yang dapat gambar dan video tu!” suara Hamna semakin meninggi. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Alamak, masa inilah tekak nak sakit pulak! Keluh hatinya.
“ Aku tak ingin pun maaf kau tu. Aku akan padam tapi dengan syarat…”
“ Apa syaratnya?” pintas Hamna.
“ Kau kena ikut segala cakap dan perintah aku tanpa sebarang bantahan, sekali kau ingkar, kau tahulah apa padahnya!” ucap Isyraq separuh mengugut.
Jelingan tajam Hamna hadiahkan pada Isyraq. Kalau ikutkan hatinya yang panas, terasa ingin ditumbuk muka Isyraq saat ini. Biar hatinya puas namun Hamna sedar, memang dia tiada peluang untuk buat semua itu. Entah kenapa perasaan benci semakin membuak- buak pada lelaki yang suka mengambil kesempatan itu.
“ Kau nak aku jadi hamba kau ke?” soal Hamna kasar. Dia sudah tidak mampu menahan rasa sakit hati yang semakin menyala-nyala saat ini. Dia menjeling sekilas pada Isyraq yang tersenyum sinis.
“ Boleh dikatakan macam tulah. Lagipun kau tak kisah kan? Takkan kau sanggup biarkan video kau yang panas tu sampai pada Elyas. Aku tak sangka rupa- rupa kau ni mantap jugak. Tapi aku rasa rambut kau tu kalau simpan panjang sikit mesti nampak lebih cantik,” ujar Isyraq sambil memandang Hamna dari atas hingga ke bawah. Dia melemparkan satu pandangan yang sukar untuk Hamna tafsirkan.
Argggghhh!! Hamna terasa ingin menjerit. Apa yang lelaki itu maksudkan? Takkan dia dah nampak segalanya? Memang rambutnya pendek paras bahu, tapi bagaimana lelaki itu tahu? Jadi video itu betul- betul wujudlah?! Ya Allah, bagaimana semua ini boleh berlaku? Rintih hati Hamna. Tiba- tiba air matanya mengalir. Tanpa segan silu dia menangis di hadapan Isyraq sambil menekup wajahnya.
Isyraq terpempan. Dia yang gelabah mendengar tangisan Hamna terus memberi isyarat untuk berhenti. Tanpa soal dia merenung wajah Hamna yang sayu. Gadis itu teresak- esak menahan tangis.
“ Apa salah aku Is sampai kau sanggup aibkan aku macam ni? Aku sangka kau jujur nak tolong aku tapi ini yang kau buat. Aku malu, aku malu tahu tak. Seumur hidup aku tak pernah aku jumpa orang sekejam kau. Aku kalah Is, aku kalah….” Ujar Hamna separuh merintih. Dia menyeka air mata yang telah tumpah. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia menangis di hadapan lelaki.
Tersentuh juga hati Isyraq mendengar kata- kata Hamna namun dia pekakkan telinga dan terus menjunjung egonya. Aku bukanlah sekejam yang kau sangka! Kata- kata itu hanya terluah di dalam hati.
“ Dah habis? Aku keluar pergi kedai kejap…” balas Isyraq selamba.
Tanpa mempedulikan Hamna, dia melangkah keluar daripada kereta dan menuju ke kedai runcit yang tidak jauh daripada kolej. Hamna terpinga- pinga melihat reaksi Isyraq. Dia sangkakan lelaki itu akan melenting sebaliknya lelaki itu hanya bersikap selamba seperti dia tidak berkata apa- apa.
Hamna mengeluh. Kenapa semua ini terjadi padanya? Kenapa dia yang harus  menghadapi semua ini?
“ Acuuummm!” Hamna bersin. Dia menggosok hidungnya yang berair. Tisu yang berada di dalam beg sandangnya dikeluarkan.
Tidak lama kemudian, Isyraq kembali dengan membimbit beg plastik. Entah apa yang dibeli, Hamna tidak peduli. Wajahnya dipalingkan ke luar tingkap. Tidak sampai beberapa meter lagi, sampailah di tempat motornya semalam.
“ Nah!” Isyraq menghulurkan sebotol 100 Plus original kepada Hamna yang kelihatan tercengang- cengang. Lama dia memandang wajah Isyraq yang serius.
“ Kalau aku bagi tu, ambik jelah!” tengking Isyraq tiba- tiba.
Dengan pantas, Hamna mengambil air 100 Plus tersebut dan dipegang erat. Sakitnya hati hanya Allah yang tahu tapi untuk melawan dia tidak berani kerana lelaki itu ada senjata yang boleh menghancurkan dirinya.
“ Dah tu nak tengok jelah air tu? Minumlah! Itu pun nak kena ajar ke? Kalau sakit tu buat cara sakit!” tengking Isyraq lagi.
Terhinjut bahu Hamna mendengar tengkingan Isyraq. Lalu, dengan pantas dia meneguk air 100 plus sekali gus. Dia tidak mahu lelaki itu terus menerus menengking. Bingit tahu tak?
Isyraq tersenyum melihat Hamna yang kelam- kabut. Habis satu botol air 100 Plus diminum oleh Hamna. Ini baru permulaan. Tak sangka idea aku kali ini memang hebat! Desis hatinya.
“ Kan senang ikut cakap aku, ini tak asyik nak melawan je. Lepas ni, aku turunkan kau dekat motor. Lepas kau sampai kolej, jangan masuk kelas dulu. Tunggu aku bawah pokok dekat tempat letak motor tu. Kalau aku sampai, kau tak ada, kau fahamlah apa yang bakal berlaku,” arah Isyraq berbaur ugutan.
Hamna menarik muka tidak puas hati. Dia tidak suka diperintah sesuka hati oleh Isyraq. Nanti kalau terserempak dengan Fika macam mana? Apa yang hendak dijawab pada gadis itu? Kusut! Memang perasaan itulah yang melanda diri Hamna kali ini.
“ Kau ingat aku tak ada kerja lain ke selain tunggu kau?” balas Hamna cukup sinis.
Isyraq berpaling. Amboi, melawan nampak. Dia memang tak serik- serik. Dasar hati batu!
“ Huh, bukan hari ini kau kena tunggu aku, tapi sampai seumur hidup kau. Aku takkan berhenti untuk menyeksa kau sampai hati aku puas! Kau ingat ye, maruah kau dalam tangan aku. Sekali kau langgar janji kau, satu dunia tahu tentang video kau!” ugut Isyraq lagi.
Hamna mendengus kasar. Aku tak suka kena ugut! Jerit hatinya. Namun tiada suara yang terluah. Dia malas nak berdebat dengan Isyraq yang takkan pernah kalah. Akhirnya, dia turun daripada kereta Isyraq dan mendapatkan motornya kembali. Satu patah perkataan pun tidak terkeluar daripada mulutnya untuk diucapkan pada Isyraq. Sudahnya, dia hanya memandang kereta Isyraq yang laju membelah jalan raya. Entah ke mana lelaki itu ingin pergi, dia tidak ambil peduli. Lantak kaulah!
Selepas selamat sampai ke kolej dengan menunggang motornya sendiri, Hamna menunggu Isyraq ditempat seperti yang diarahkan oleh lelaki itu. Dia termenung sambil menongkat dagu.
‘ Apalah nasib aku kali ni? Macam mana aku boleh terperangkap dengan lelaki itu? Kalaulah aku tahu yang pertolongan dia tu sekadar untuk menghancurkan hidup aku, lebih baik aku mati kering dalam longkang semalam.’ Rungut hati Hamna.
Dia mengeluh. Perasaan bosan semakin menghimpit apabila bayang Isyraq tidak kunjung tiba. Matanya melilau- lilau memandang kawasan sekitar sambil menggosok hidungnya yang terasa gatal dan berair.
“ Manalah pulak dia ni? Nasib baik kelas pukul sebelas kalau tak mati aku kena marah dengan pensyarah. Tak apa, aku tunggu kau lagi lima minit. Tak ada lima minit, aku cau,” Hamna bercakap sendirian.
“ Kalau nak jadi gila, jangan tunjuk sangat depan orang. Simpan sikit gila kau tu dekat rumah. Buat malu je cakap sorang- sorang,” sampuk satu suara mengejutkan Hamna.
Dia berpaling. Kelihatan Isyraq semakin menghampiri. Dia mencebik. Suka hati akulah nak bercakap sorang ke berapa orang. Penyibuk!
“ Kau nak apa suruh aku tunggu dekat sini?” soal Hamna tanpa membalas kata- kata Isyraq tadi.
Isyraq tidak berkata apa- apa sebaliknya dia melemparkan sebungkus plastik putih kepada Hamna. Hamna yang tidak bersedia apa- apa, cuba menyambut plastik tersebut. Sambutannya menjadi. Dia menarik nafas lega.
“ Apa ni?” soal Hamna terpinga- pinga. Dahinya berkerut. Perlahan- lahan dia membuka bungkusan plastik tersebut. Bertambah kerutan di dahi.
“ Dah buta ke sampai tak boleh baca label tu?” tempelak  Isyraq lantas memusingkan badannya untuk berlalu.
Hamna kebingungan tetapi tangannya tetap menyeluk plastik tersebut. Sebungkus ubat selesema bersama sebotol ubat batuk dikeluarkan. Untuk apa semua ubat- ubat ni?
“ Makan semua ubat- ubat tu. Kalau aku tahu kau tak makan ubat tu, aku tak teragak- agak nak sumbat sendiri dalam mulut kau!” ucap Isyraq kasar. Dia mula mengatur langkah. Wajah Hamna sedikit pun tidak dipandang.
“ Kenapa kau beli semua ubat ni?” soal Hamna menghentikan langkah Isyraq. Tanpa berpaling dia tersenyum nipis. Perlu ke dia jawab soalan itu?
“ Eh, suka hati akulah nak beli ubat ke apa ke? Kau makan jelah! Banyak soal pulak!” getus Isyraq lalu melangkah pergi tanpa menunggu kata- kata Hamna.
‘ Pulak? Aku memang tak kenal kau Is. Kadang- kadang kau boleh buat aku terharu, kadang- kadang kau boleh buat aku benci. Tapi perasaan benci aku mengatasi perasaan lain. Siapa kau sebenarnya Is?’ monolog diri Hamna sambil merenung kelibat Isyraq yang semakin menghilang.
Dia mengeluh berat.



2 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.