Tetamu Rindu

Tuesday 4 June 2013

Ingkar Cinta ( Prolog )


  MASIH wujud lagi ke cinta sejati atas dunia ni?”
Soal  Sang Adam sambil memandang tepat pada wajah  Sang Hawa yang sedang memandang kebiruan air di tasik. Sang Hawa kelihatan tenang dengan senyuman terukir di bibir merekahnya. Serentak  Sang Hawa berpaling tepat membalas pandangan Sang Adam.
“ Kenapa kau tanya begitu? Kau tak percaya pada cinta ke?” Soal Sang Hawa kembali tanpa menjawab pertanyaan Sang Adam.
“ Bukan aku tak percaya tapi cinta yang berputar di sekeliling aku membuatkan aku sudah tidak percaya wujudnya cinta sejati di atas dunia ini. Hanya tinggal cinta yang penuh kebohongan dan pendustaan semata- mata,” jawab Sang Adam sambil menarik rumput yang berada di hadapannya.
Sang Hawa tersenyum manis. Cinta? Kerap kali manusia menyebut tentangnya tetapi sejauh manakah manusia itu mengerti makna cinta itu sendiri. Tepuk dada, tanyalah iman.
“ Adam, kau harus percaya masih ada cinta sejati yang wujud di atas muka bumi ini. Cinta yang kau sebut penuh kebohongan dan pendustaan itu bukannya cinta tetapi itu hanyalah nafsu yang menjadikan cinta itu kebohongan dan pendustaan. Cinta itu suci dan tidak dapat ditukarkan hatta dengan emas sekalipun. Sekali ia menyapa hati kau, kau takkan dapat berpaling lagi,” ujar Sang Hawa tenang.
“ Apa buktinya ada cinta sejati?”
“ Nabi kita Adam dan zaujahnya Hawa bersatu di dunia walaupun berpisah seribu jarak sekalipun. Begitu juga dengan Nabis Yusuf dan Siti Zulaikha, walaupun cinta mereka di halang tetapi berkat daripada doa dan restu daripada ALLAH s.w.t akhirnya mereka bersatu dan cinta yang paling agung adalah cinta Nabi Muhammad s.a.w dan isteri baginda iaitu Siti Khadijah. Walaupun berbeza umur namun cinta yang ALLAH titipkan dalam hati mereka akhirnya bersatu jua. Tidakkah kau fikirkan semua itu Adam?” Soal Sang Hawa pula apabila dia melihat Sang Adam hanya terdiam.
“ Itu cinta para nabi memang tiada bandingannya. Cinta mereka berpaksikan kepada cinta ALLAH sedangkan kita manusia yang hidup di zaman yang penuh canggih dan moden pasti tidak dapat menandingi cinta para nabi,” balas Sang Adam dengan petah.
“ Aku tak suruh kau menandingi cinta para nabi tapi kau boleh mencontohi cinta mereka dalam mencari cinta kau sendiri Adam. Cinta mereka penuh dengan pengorbanan dalam meraih cinta hakiki iaitu cinta Ilahi,” ucap Sang Hawa masih lagi bertenang dengan soalan yang diberikan oleh Sang Adam.
“ Bercakap memang senang Hawa. Cinta di zaman sekarang tiada yang tulus semuanya memandang harta, rupa dan pangkat. Aku serik dengan cinta dan wanita,” Adam masih tegas dengan pendiriannya.
“ Oh, jadi sebab itulah kau suka mempermainkan perasaan perempuan Adam? Oleh kerana kau tak jumpa cinta sejati jadi kau gunakan perempuan sekadar untuk menghilangkan rasa bosan kau, begitu?” soal Sang Hawa.
Kali ini suara Sang Hawa sedikit tegang. Dia tahu Sang Adam yang berada di hadapannya ini bukan calang- calang orang. Sang Adam yang berada di hadapannya ini seorang yang sempurna daripada rupa parasnya tetapi di hatinya tidak sempurna seperti wajahnya kerana hati itu kosong tanpa cinta.
Sang Adam tergelak kecil. Memang wanita adalah tempat dia menghilangkan rasa bosan. Bukan dia yang  mencari wanita sebaliknya wanita yang terkejar-kejarkannya kerana rupa dan harta yang ada padanya. Kesempatan itu di ambil oleh Sang Adam kerana kebodohan wanita itu sendiri yang mudah tunduk pada kata-kata lelaki yang belum tentu benar.
“ Aku tak kata aku hanya menggunakan wanita untuk menghilangkan rasa bosan tapi memandangkan kau dah kata maknanya betullah itu. Kaum kau tak tahu yang kaum aku akan memilih wanita yang benar- benar sesuai untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak- anak kami bukannya seorang wanita yang hanya boleh dijadikan teman wanita. Begitulah cinta aku hanya untuk wanita yang selayaknya sahaja. Jadi tak salahlah kalau aku berteman dengan ramai wanita untuk memilih siapa di antara mereka yang layak menjadi suri hidup aku nanti,”  ujar Sang Adam sambil memeluk lututnya.
“ Ya memang tak salah kau berteman dengan ramai wanita tapi cara kau seolah- olah memberi harapan pada wanita- wanita itu…”
“ Aku tak minta mereka berharap pada aku dan aku tak pernah menyatakan perasaan aku pada mereka. Wanita yang cepat perasan!” pintas Sang Adam dengan pantas.
Sang Hawa mengeluh. Memang sukar untuk menjelaskan perihal cinta pada Sang Adam. Hatinya cukup keras untuk mengakui adanya cinta yang telah disematkan dalam tiap hati manusia sejak lahir lagi. Setiap perjalanan hidup dan cinta manusia telah tertulis di dalam kitab takdir.
“ Memang susah untuk kau faham apa makna cinta Adam kerana kau sendiri telah menutup pintu hati untuk mengenali cinta yang sebenarnya. Aku harap satu hari kau akan bertemu dengan jodoh kau kerana hanya jodoh yang akan membawa cinta pada kau,” ucap Sang Hawa mengalah.
“ Kau mengalah Hawa?” Adam bertanya sambil menjongketkan kening.
“ Mengalah tak bererti kalah Adam. Aku mengalah bukan kerana aku tidak mampu mematahkan setiap perkataan kau tapi aku mengalah kerana aku mahu memberi kau ruang untuk mengenali cinta dengan cara kau sendiri. Suatu hari nanti kau akan tahu apa akan jadi pada diri kau apabila cinta mula menghuni hati kau pada wanita yang kau anggap hanyalah mainan semata- mata. Sedarlah Adam jika kau mahu mendapat cinta yang sejati kau kena mencintai diri kau terlebih dahulu tetapi sebelum kau mencintai diri kau sendiri kau harus mencintai ALLAH kerana dari situ kau akan menemui cinta yang sejati,” ujar Sang Hawa panjang lebar.
Sang Adam tersenyum. Dia terdiam buat sementara waktu kerana dia tahu apa yang dikatakan oleh Sang Hawa adalah benar belaka dan dia tidak pernah menolak kata- kata itu. Jauh di sudut hatinya dia yakin suatu hari nanti akan ada wanita yang menyedarkannya tentang makna cinta yang sebenar. Tetapi siapakah wanita itu?
Sang Adam berpaling pada Sang Hawa yang berkira- kira untuk bangun. Gadis itu membetulkan baju kurung yang di pakainya. Tudung yang di tiup angin dibetulkan sedikit. Sang Adam memerhatikan Sang Hawa dengan penuh minat.
“ Hanya satu dalam cinta yang aku percaya Hawa…” ucap Sang Adam secara tiba- tiba.
Sang Hawa berpaling pada Sang Adam yang masih merenungnya dengan senyuman yang tersungging di bibir.
“ Apa yang kau percaya?” soal Sang Hawa.
“ Persahabatan. Cinta adalah persahabatan,” balas Sang Adam dengan senyuman penuh makna.
“ Maksud kau?” Sang Hawa masih lagi pelik dengan kata- kata Sang Adam. Tadi kata tak percaya pada cinta sekarang lelaki itu mengatakan cinta adalah persahabatan. Mana satu yang betul?
“ Tanpa persahabatan cinta adalah kosong sebaliknya persahabatan yang terisi dengan cinta akan membawa bahagia, Aku hanya akan berkahwin dengan wanita yang menjadi kawan baik aku sahaja,” kata- kata Sang Adam penuh dengan makna yang mendalam membuatkan Sang Hawa ketawa kecil.
“ Kau cakap begitu macam kau pernah jatuh cinta. Kenapa kau dah jatuh cinta pada sahabat kau ke?” soal Sang Hawa dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Sang Adam hanya tersenyum nipis melihat Sang Hawa yang sedang tertawa.
“ Mungkin…” jawab Sang Adam pendek.
“ Mungkin? Maknanya betullah?” Sang Hawa makin mendesak.
Namun, Sang Adam hanya mendiamkan diri tanpa sedikitpun menjawab soalan Sang Hawa. Dia membiarkan soalan Sang Hawa di bawa angin lalu. Dia melemparkan pandangan di permukaan tasik yang indah. Tiada apa yang perlu dikatakan pasal cinta kerana cinta itu perkara yang halus yang sukar untuk di fahami. Cinta akan menyapa siapa saja apabila tiba masa pada waktu yang sesuai kerana cinta tidak akan pernah hilang selagi ada hati yang memerlukan cinta.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.