Tetamu Rindu

Tuesday 4 June 2013

Ingkar Cinta ( Bab 1 )


WARDAH melambai tangan pada jejaka yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Senyuman dilemparkan. Jejaka itu tampak tampan dengan kemeja dan seluar jeans tersarung di badan tegapnya.
“ Oit, kau dah habis kelas bukannya nak call aku,” sapa Zafran tanpa memberi salam. Dia terus melabuhkan punggung di hadapan Wardah.
“ Wa’alaikummusalam..”perli Wardah selamba.
“ Opps, assalamualaikum,” ucap Zafran sambil menepuk mulutnya sendiri. Sejak dia berkawan dengan Wardah, dia cukup masak dengan perangai Wardah yang amat menitikberatkan soal salam.
“ Hah, macam tulah. Jangan asyik nk meluru je salam tak bagi,”bebel Wardah sambil membelek nota yang  berada di tangannya.
“ Aku baru je habis kelas ni. Aku ternampak kereta kau kat parking. Bukan ke kau tak ada kelas hari ni?” sambung Wardah lagi.
“ Kalau ikutkan tak ada tetapi aku ada mesyuarat MPP. Kau tahulah kan lepas aku jadi presiden ni banyak kerja yang aku kena buat. Sekarang ni aku kena arrange kan aktiviti untuk pelajar baru. Sudahlah tahun akhir banyak betul kerja aku,” rungut Zafran. Dia turut mencapai kertas yang berada di hadapan Wardah. Kertas apalah yang minah ni baca?
“ Dah itu tanggungjawab kau Zaf, kau kenalah pikul. Maklumlah tiap- tiap tahun kau je yang menang dalam pilihanraya kampus nak atau tak nak kau kena terima,” nasihat Wardah.
Zafran mengangguk lemah. Apa yang dikatakan oleh Wardah ada benarnya walaupun kalau diikutkan dia sudah mahu meletakkan jawatan tetapi kata- kata pendorong daripada Wardah membuatkan Zafran sedia menerima tanggungjawab sebagai presiden MPP.
“ Betul tu Wardah aku tak nafikan. Tahun ni aku kena struggle sikitlah mana nak fokus pada final exam lepas itu aktiviti untuk pelajar baru lagi. Tapi boleh tak kali ini aku nak mintak tolong kau sikit?” tanya Zafran lembut.
“ Apa dia? Kalau aku mampu, aku tolonglah,” balas Wardah.
“ Kau tolong jadi fasilitator untuk kali ini. Fasilitator untuk kali ni tak cukuplah,” ucap Zafran.
Wardah terkebil- kebil memandang laman wajah Zafran yang kacak. Biar betul mamat ni nak suruh aku jadi fasilitator?Lingkup budak- budak junior aku kerjakan kejap lagi. Bisik hati Wardah.
“ Kau biar betul nak aku jadi fasi? Aku tak ada pengalaman handle budak junior ni. Kau tampal notis mana tahu ada student yang berminat nak jadi fasi kali ni,” balas Wardah menolak.
Zafran mengetap bibir. Dia memandang wajah Wardah dengan penuh mengharap.
“ Lecehlah Wardah nak tampal notis bagai. Lagipun sorang je tak cukup. Bolehlah Wardah kau tolong aku. Kalau tak ada pengalaman nanti kolej hantar kau pergi kursus  fasilitator. Kau jangan risau, aku pun turun padang kali ni jadi fasi. Bolehlah ye?” pinta Zafran seakan merayu.
Wardah menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak tolak kesian pula kawan aku ni. Emmm…
“ Kali ni Kursus Perintis Siswa buat kat mana pulak?” soal Wardah kemudiannya membuatkan Zafran tersenyum.
“ Macam biasalah kat Taman Pertanian. Kira kau setujulah ni nak tolong aku jadi fasi Wardah?” Zafran meminta kepastian.
Wardah tersenyum. Tak salah rasanya untuk dia menimba pengalaman menjadi fasilitator sebelum meninggalkan zaman kolej.
“ Insya-Allah,” ucap Wardah pendek.
Zafran tersenyum riang. Dia tahu Wardah memang boleh diharap memandangkan hanya Wardah tempat dia meminta pertolongan selama ini. Persahabatan dia dan Wardah bukanlah baharu tetapi sejak kecil lagi mereka menjalinkan persahabatan memandangkan mereka sekampung dan juga berjiran. Takdir telah menempatkan mereka membesar bersama- sama hingga ke kolej pun sama. Bukan mereka yang rancang tetapi semua sudah tertulis.
Namun, lamunan Zafran terbantut apabila telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Juliana membuatkan dia mengeluh panjang. Tadi Sofea, sekarang Juliana penat betul melayan kerenah perempuan- perempuan ni. Susah betul jadi  jejaka yang terhangat di pasaran ni. Perasan!
“ Awek la tu..” usik Wardah sambil menjuihkan bibirnya.
Zafran hanya mengangkat bahunya. Di kesempatan yang ada, Wardah memandang wajah temannya dengan senyuman. Dia menggelengkan kepala. Itulah dia Ahmad Zafran Wildan, dunia lelaki itu sentiasa di kelilingi dengan wanita tetapi lelaki itu tidak pernah serius dalam menjalinkan hubungan. Lelaki itu lebih suka dilabelkan sebagai playboy daripada serius ataupun melibatkan diri daripada mana- mana gadis yang di kenalinya.
Bertahun dia mengenali Zafran, Wardah cukup kenal dengan perangai Zafran yang tidak percaya pada cinta. Bagi Zafran, cinta dan wanita hanyalah mainan semata- mata. Bukan tidak pernah Wardah menasihati Zafran tentang hakikat yang sebenarnya tetapi Zafran tetap tidak mengendahkannya malah Wardah pula yang diejek oleh Zafran. Pening kepala Wardah memikirkannya.
“ Oit, apa yang kau menungkan tu? panjang betul,” tanya Zafran selepas meletakkan telefon.
Wardah  tersentak lalu tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi. Dia menggelengkan kepalanya.
“ Tak ada apa- apalah. Kau ni Zaf perempuan keliling pinggang. Tadi Zarina cari kau. Dia tanya aku, aku jawablah tak tahu. Kau ni bila nak serik kalau kau tak nak bercinta, jangan nak mainkan perasaan perempuan nanti termakan diri kau sendiri,” nasihat Wardah.
Zafran berpura- pura menutup telinga. Dia mengenyitkan mata pada Wardah.
“ Aku bukan mainkan perasaan mereka tapi masalah aku, aku ni pencinta wanita,” ucap Zafran sambil tergelak kecil.
“ Banyaklah kau pencinta wanita. Pencinta wanita ke pemusnah wanita?” tempelak Wardah sambil tergelak.
Mati terus senyuman Zafran. Dia melemparkan jelingan buat Wardah yang sedang galak ketawa. Eh-eh minah ni boleh pula gelakkan aku.
“ Tak baik kau cakap aku pemusnah wanita. Malaslah kawan dengan kau,” Zafran berpura- pura merajuk. Dia berpeluk tubuh.
Wardah menyambung gelaknya. Aik, sejak bila Zafran pandai merajuk. Tanpa menghiraukan rajuk Zafran, Wardah mengemas segala notanya dan berdiri sambil memandang Zafran yang masih berpura- pura merajuk. Dia tersenyum manis dan berlalu tanpa sebarang kata.
Zafran mengetap bibir. Melihat senyuman yang mekar di bibir Wardah membuatkan Zafran tersenyum sendirian. Argghh, dia kalah lagi dengan senyuman Wardah.


ZAHIRUL memandang adiknya yang kelihatan kacak dengan kemeja dan jeans tersarung di badannya yang tegap. Nak buat macam mana kekacakan adiknya adalah waris daripadanya jugak. Hai, Zahirul pun dua kali lima dengan adiknya. Perasan!
“ Yang kau lawa- lawa ni nak ke mana adik ooi!” perli Zahirul sambil menjeling ke arah adiknya  yang sedang membetulkan rambutnya di hadapan cermin.
“ Hello abangku yang tercinta, bukan lawa la tapi kacak. Jaga sikit bahasa tu okey?” balas Zafran sambil menggoyangkan jari telunjuknya. Sementara Zahirul hanya tergelak.
“ Kali ni kau nak keluar dengan siapa pulak?” tanya Zahirul sambil matanya tidak lepas memandang skrin komputer riba miliknya.
“ Malam ni Juliana kot. Petang tadi dia call Zaf ajak keluar, Zaf ingatkan malas nak keluar,”
“ Hah, elok sangatlah tu keluar date dengan anak dara orang malam buta ni. Semalam dengan Sofie, hari ni Juliana, esok dengan aci mana pulak? Tapi dalam ramai- ramai perempuan yang kau date, tak pernah sekali pun kau cakap pada abang yang kau keluar date dengan kawan baik kau tu. Siapa nama dia?” tanya Zafran sambil menggarukan dahinya.
“ Wardah maksud abang?” soalan di balas soalan.
“ Ha’ah dia. Tapi dia tu budak pandai tau, test yang abang buat selalu skor. Attendant pun sentiasa full tak macam kau dik. Patutnya kau belajar dari dia,” puji Zahirul.
Sebagai pensyarah yang sentiasa memantau akademik pelajar- pelajarnya, Zahirul memang cukup berkenan dengan sikap Wardah yang sentiasa  komited dalam pelajaran. Tugasan yang diberi jarang yang tersilap disebabkan itulah Wardah menjadi salah seorang pelajar kegemarannya dalam subjek Undang- undang Perniagaan.
“ Abang ni buat lawak ke apa? Wardah tu bukan type Zaf nak buat teman wanitalah. Zaf ada type Zaf sendiri,” ujar Zafran sambil tergelak kecil.
“ Tapi kau dengan dia dan berkawan sejak kecil lagi kan? Dia selalu tolong kau kalau kau kena buli masa kau kecil- kecil dulu. Takkan kau tak sayang dia kot?” giat Zahirul.
Zafran tergelak besar. Sayang? Wardah? Oh, no!
“ Wahai Encik Zahirul Haq, untuk pengetahuan abang Zaf tak pernah teringin pun nak sayang menyayang bagai. Rimaslah. Mengarut pun ada. Serabai!” balas Zafran selamba.
Zahirul menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Susah bercakap dengan orang yang tiada cinta di hati ni. Bercakap dengan Zafran seolah- olah bercakap dengan cermin semuanya memantul pada dirinya balik. Tapi itulah perangai adiknya yang seorang ni. Tak percaya cinta!
“ Rimas konon jangan sampai kau terperangkap dalam cinta sudah,” Zahirul mengalah.
“ Ini Zafran Wildan la abang, takkan sesekali Zaf kalah dengan cinta yang mengarut tu.Zaf ni kalis cinta tau,” Zafran mendabik dada. Dia menghampiri abangnya yang sudah duduk bersandar di sofa. Tajam renungan abangnya itu.
“ Tak ada orang dalam dunia ni yang kalis cinta dik. Cinta tu fitrah kenapa adik nak halang perasaan itu dengan bersikap keras terhadap cinta? Abang tak faham. Takkan disebabkan mak yang tinggalkan ayah dan ayah berkahwin dengan perempuan lain adik nak bekukan hati dengan jadi lelaki yang playboy dengan mempermainkan perasaan gadis- gadis yang adik kenal,” ujar Zahirul kedengaran serius.
Zafran menarik nafas panjang. Susah untuk dia terangkan kenapa dia tidak percaya pada cinta kerana itu yang dirasakan hatinya saat ini. Disebabkan cinta sanggup manusia itu mengkhianati kerana cinta juga manusia sanggup curang dengan pasangan sendiri seperti yang berlaku dalam keluarganya. Ibunya yang tercinta sanggup pergi meninggalkan ayahnya semata- mata ayahnya jatuh bankrap dan berkahwin dengan kekasih lama.
Selepas perniagaan ayahnya kembali seperti biasa dan menjadi salah seorang orang yang kaya di kampung, muncul seorang wanita yang kini menjadi ibu tirinya. Memang cinta itu akan wujud bila adanya harta? Itu yang kerap berlegar- legar di fikiran Zafran. Oleh kerana itu  dia tidak pernah percaya pada cinta dan wanita.
“ Zaf tak mainkan perasaan perempuan abang, diaorang yang membiarkan perasaan mereka tersentuh. Zaf tak pernah janjikan apa- apa pada mereka. Bukan salah Zaf kalau mereka suka pada Zaf,” balas Zafran selepas lama mendiamkan diri. Dia cuba membela dirinya.
Zahirul hanya menggelengkan kepala dan melepaskan keluhan panjang. Dia berdoa supaya suatu hari nanti adiknya itu akan berjumpa dengan wanita yang mampu mengubah persepsi adiknya tentang cinta.
“ Abang nasihatkan kau pun bukannya kau dengar, dahlah kau pergilah jumpa buah hati kau yang ke-300 tu. Nanti lambat pulak,” ucap Zahran mengalah.
Zafran tersengih. Akhirnya abangnya mengalah juga.
“ Yelah-yelah, Zaf pergi sekarang,”

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.