AidilFitri
Rindu Dalam Sepi
“IBU, kak long dengan abang long dah
sampai!” laung Rifqie yang sedang menyapu sampah di halaman rumah. Dia berlari
mendapatkan Puan Kamariah dan Aisya yang sedang menganyam ketupat di belakang
rumah.
“Hah, dah sampai? Awalnya…” Puan Kamariah mula
kelam- kabut. Lantas, dia berlari ke halaman rumah untuk menjemput anak dan
menantunya yang datang dari bandar. Maklumlah, ini kali pertama menantunya akan
beraya di kampung, rasa seronok dan teruja untuk menyambut kepulangan menantu
sulungnya.
Ammar dan Mardiyah turun daripada kereta. Mereka
tersenyum lalu mendapatkan Puan Kamariah, Aisya dan Rifqie yang sedang
tersenyum di depan tangga.
“Assalamualaikum, ibu…” sapa Mardiyah sambil
menyalami tangan Puan Kamariah sebelum tubuh tua ibunya didakap erat.
“Waalaikummusalam, awalnya sampai…” ucap Puan
Kamariah dengan rasa gembira. Dia membalas pelukan Mardiyah.
“Ibu apa khabar?” soal Ammar. Dia tersenyum manis
lalu menyalami Puan Kamariah.
“Ibu sihat. Alhamdulillah. Mana mama dengan papa Am
kata nak datang sekali,” soal Puan Kamariah sambil merenung wajah menantunya
yang kacak.
“Mama dan papa datang masa hari raya pertama nanti,
ibu. Buat masa sekarang ni kami bertigalah yang datang dulu. Nak sambut malam
raya dekat kampung, mesti best kan…”
ujar Ammar.
“Best,
abang long. Boleh main mercun…” sampuk Rifqie tersengih.
“Mercun jelah
yang kau tahu. Putus tangan baru padam muka!” balas Mardiyah garang.
Ammar ketawa. Mardiyah memang cukup garang dan tegas
apabila dengan adik- adiknya tetapi bila dengan dia, wanita itu cukup lembut.
Perlahan- lahan, Ammar memeluk bahu Mardiyah dan mengelus dengan lembut.
“Aik, tadi
kata datang bertiga. Mana yang ketiganya. Cucu ibu mana?” soal Puan Kamariah
sambil menjenguk ke arah kereta Ammar.
Ammar menepuk dahi.
“Alamak, lupa pulak
yang Akhil ada dekat dalam kereta..” ucap Ammar sambil menepuk dahi. Mardiyah
hanya ketawa melihat reaksi suaminya yang agak kalut.
Ammar beredar ke kereta lalu pintu di tempat duduk
belakang, dikuak. Muncul seorang jejaka yang segak berseluar jeans dan
berkemeja T sedang memangku seorang bayi yang sedang tidur lena dalam dakapan.
“Along ni, sakit tekak Akhil panggil along tapi
along boleh buat derk je. Along ni, mentanglah ada Kak Diya
lupa terus pada Rizqan…” bebel Akhil geram.
Kemudian matanya terarah pada keluarga Puan Kamariah
yang sedang berdiri tegak di sebelah Mardiyah. Akhil tersengih malu. Matanya
menangkap wajah seorang gadis yang ayu berbaju kurung kedah dan berkain batik
sedang tersenyum manis padanya. Ish,
siapa awek tu? Adik Kak Diya? Soal hatinya.
“Kau ni mengalahkan Kak Diya kau je kalau dah membebel…” ujar Ammar.
Mardiyah yang mendengar hanya membeliakkan matanya.
“Apa, bang? Bila masa Diya membebel pada abang?
Abang tu adalah…” bantah Mardiyah sambil mencekak pinggang. Bulat matanya
memandang wajah Ammar yang sudah tersengih.
Ammar menayang giginya yang putih. Dia mengangkat
dua jarinya. Peace, sayang!
“Dahlah tu, bergaduh. Dah dua tahun kahwin asyik nak
bergaduh je kamu berdua ni. Gaduh je keluar sorang. Kalau gaduh sekali
lagi, keluar sorang…” Hah, giliran Puan Kamariah pula yang membebel.
Wajah Mardiyah merona merah. Selamba dia mencubit
perut Ammar.
Ammar ketawa keci dan mengelak. Spontan satu ciuman
hinggap di pipi Mardiyah. Wajah Mardiyah bertambah merah.
“Apa salahnya, yang. Biarlah Rizqan ada teman,” ucap
Ammar sambil memain- mainkan keningnya. Dia tersenyum nakal.
“Hah, memang syoklah baby Rizqan ada adik, yang tak syoknya Akhil ni yang kena jaga dari
KL sampai ke sini. Lastly, biar Akhil
jelah jadi papa Rizqan…” Akhil
membebel lagi.
Namun, bebelannya terhenti apabila Aisya
mendekatinya. Dia merenung wajah Aisya yang berkulit sawo matang. Matanya
bulat. Alis tebal. Hidungnya mancung manakala bibirnya merekah dengan
senyuman. Akhil terkelu seketika.
“Saya nak pegang baby
boleh?” soal Aisya lembut.
Spontan Akhil mengangguk. Bibirnya kelu untuk
berbicara. Lalu, Rizqan yang sedang lena tidur dihulurkan pada Aisya yang
tersenyum manis. Mata itu bercahaya sebaik saja memandang wajah polos Rizqan.
Namun, Akhil bagaikan terkena kejutan elektrik apabila secara tidak sengaja
jari-jemari Aisya tersentuh lengannya. Jantungnya berdetak.
“Maaf…” ucap Aisya sambil tertunduk.
“Eh, tak mengapa…” balas Akhil tergagap- gagap.
“Akhil, kenalkan itu adik Kak Diya, Aisya Humayra
namanya. Ini adik bongsu Kak Diya namanya Rifqie Raihan tapi panggil Iqie je. Ibu, Isya, Iqie, itu adik abang
long, Akhil Mursyid namanya…” Mardiyah memperkenalkan Akhil pada keluarganya.
Akhil tersenyum pada Aisya dan Puan Kamariah sebelum
dia mendapatkan Rifqie dan bersalaman dengan adik bongsu kakak iparnya itu.
“Kacak betul adik Am ye. Macam Am jugak…” ucap
Puan Kamariah sambil tersenyum.
“Biasalah, ibu. Menantu ibu mesti kacak…” balas
Ammar bergurau.
Mardiyah mencebik. Lengan suaminya ditampar lembut.
“Perasan betul abang ni…” balas Mardiyah. Ammar hanya ketawa kecil.
“Jomlah kita masuk. Panas dekat luar ni, kesian pulak pada cucu ibu tu. Nanti kamu semua
boleh berehat…” ucap Puan Kamariah.
Ammar dan Mardiyah mengangguk. Lalu, Mardiyah mengambil
Rizqan daripada dukungan Aisya dan berjalan bersama- sama menuju ke dalam
rumah.
“Maaflah, Khil rumah mak cik ni tak berapa selesa
macam rumah Akhil tapi kalau setakat nak tumpang teduh tu bolehlah…” ujar Puan
Kamariah merendah diri.
Akhil yang berdiri di sebelah Ammar hanya tersenyum.
Tak selesa apanya, rumah batu setingkat yang cukup luas dan cukup selesa. Ada
lima bilik ke semuanya. Rumah ini nampak seperti baru di ubah suai pasti ini
kerja abangnya.
“Eh, tak mengapalah, mak cik. Akhil okey je. Janji dapat berpuasa dan raya.
Dengar kata raya dekat kampung ni lebih meriah. Akhil nak juga rasa beraya
dekat kampung maklumlah Akhil ni mana ada kampung…” ucap Akhil ramah.
“Memang best,
bang. Nanti Iqie bawak abang pusing-
pusing kampung. Kita pergi cari buluh, kita panjat pokok kelapa…” Rifqie
bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.
“Ya ke? Mesti seronok. Bila nak pergi cari buluh?”
soal Akhil teruja. Memang dia tidak pernah melalui semua ini. Maklumlah sejak
kecil dia dibesarkan di Kuala Lumpur, beraya pun di Kuala Lumpur cuma kali ini
saja dia berpeluang untuk beraya bersama dengan kakak iparnya.
“Kut ya
pun sabarlah dulu. Akhil kan baru sampai, berehatlah dulu…” Mardiyah bersuara.
Akhil hanya tersengih.
“Itulah kalau kau nak beraya dekat kampung, kau cari
isteri yang ada kampung macam along ni. Tiap- tiap raya boleh balik kampung,”
ucap Ammar bangga. Dengan selamba dia merangkul pinggang Mardiyah.
Akhil mencebik. Nak berlagaklah tu. Mentang- mentang
dapat isteri yang ada kampung plus
cantik pula tu. Aku ni entah bila nak membujang. Bebel hati Akhil sebelum
matanya terhenti pada Aisya yang sedang mengacah Rizqan yang berada di dalam
dukungan Mardiyah. Sejuk saja hatinya melihat wajah lembut itu.
“Sudahlah tu. Akhil meh sini mak cik tunjukkan bilik kamu…” ucap Puan Kamariah.
Akhil hanya tersengih. Dia membuntuti langkah Puan
Kamariah.
MARDIYAH tersenyum melihat Ammar
yang sedang duduk termenung di atas pangkin di bawah pokok rambutan di hadapan
rumahnya. Dia tidak menyangka ternyata sudah dua tahun mereka berdua mendirikan
rumah tangga. Walaupun permulaannya tidak seindah orang lain tetapi hari ini
Mardiyah bersyukur sangat kerana dibukakan hati untuk terus mencintai satu-
satunya lelaki bernama Ammar Mukhriz.
Mardiyah tersenyum lagi sebelum
melangkah menghampiri Ammar. Dia duduk di sisi suaminya. Peha lelaki itu
ditampar lembut.
“Jauhnya abang termenung. Ingatkan
apa?” soal Mardiyah dengan senyuman manis tersungging di bibirnya dihadiahkan
buat Ammar.
Ammar terkejut kemudian dia
berpaling pada Mardiyah yang sedang memandang ke arahnya. Perlahan- lahan dia
mencapai tangan Mardiyah yang melekap di atas pehanya lalu digenggam erat.
“Baby kita mana?” soal Ammar lembut.
“Rizqan tidur lepas menyusu tadi.
Aisya tolong jagakan. Suka benar dia tengok si Rizqan tu…” balas Mardiyah.
Ammar hanya tersenyum. Sebelah
tangannya memeluk bahu Mardiyah.
“Diya ingat tak lagi tempat ni?”
soal Ammar cuba mengimbau kenangan lalu.
Dahi Mardiyah berkerut. Dia cuba
mengingati sesuatu. Kemudian dia tersenyum.
“Mestilah ingat. Inikan tempat
abang menyanyi untuk Diya dulu. Wah, masa tu abang bukan main romantiknya lagi.
Sampaikan Diya nak panjat pokok pun abang tak bagi…” ucap Mardiyah dengan tawa
kecil.
“Mestilah abang tak bagi. Ada ke
nak panjat pokok. Awak tu isteri saya tau. Takkan abang nak bagi Diya buat
kerja- kerja lasak macam tu…” ucap Ammar sambil menarik lembut hidung Mardiyah.
Mardiyah mengaduh kecil.
“Diya dah biasalah, bang. Arwah
ayah pun tak marah Diya panjat pokok…” balas Mardiyah.
“Memanglah ayah tak marah sebab masa
tu, Diya kecil lagi. Ini dah besar panjang takkan nak buat lagi perangai tak
senonoh tu…” Ammar tidak mahu mengalah.
Mardiyah ketawa lepas. Memang
perangai dia pelik daripada perempuan lain. Jika perempuan lain sibuk bersolek,
dia akan menyibukkan diri dengan memanjat pokok. Jika perempuan lain sibuk
berdandan, dia akan menyibukkan diri dengan memancing ikan dengan Rifqie.
Itulah rutin hariannya sewaktu zaman remajanya. Namun, apabila tinggal bersama
dengan Ammar, dia sudah membuang segala perangai budak-budaknya itu. Dah jadi
mak budak, takkan nak panjat pokok lagi. Desis hatinya.
“Abang, abang ingat tak lagi raya
tahun lepas?” soal Mardiyah manja. Dia melentokkan kepalanya di bahu Ammar.
“Mestilah ingat, sayang. Itukan
kali pertama abang beraya sebagai suami orang…” balas Ammar sambil menarik
hidung Mardiyah dengan lembut. Satu ciuman menyapa dahi sang isteri.
“Tapi masa tu abang sombong sangat
dengan Diya. Bercakap pun bukan main kasar lagi. Aku-kau. Sakit tau hati Diya…”
rengek Mardiyah sambil memuncungkan mulutnya.
Ammar ketawa kecil. Dia menggenggam
kemas jari-jemari Mardiyah yang runcing.
“Diya pun apa kurangnya, asyik
panggil ‘Encik Am’ je dekat abang.
Mana abang tak sombong, tapi kalau Diya nak tahu sebenarnya masa tu abang dah
jatuh cinta pada Diya cuma abang tak berani nak cakap,” balas Ammar sambil
tersenyum penuh makna.
Dahi Mardiyah berkerut. Dia
mengangkat muka. Lama wajah Ammar dipandang untuk kepastian.
“Serius, bang?” soal Mardiyah.
Ammar tidak menjawab. Menggeleng
pun tidak mengiyakan pun tidak. Hanya senyuman manis yang dileretkan pada
Mardiyah sebelum matanya dikenyitkan pada isterinya yang kelihatan kebingungan.
“Mama, mana butang baju melayu Am?”
soal Ammar mendapatkan Datin Zarina yang berada di ruang dapur. Kelihatan
wanita itu sedang memasak bersama dengan Mak Mah.
Datin Zarina menoleh pada Ammar
yang kelihatan segak berbaju melayu berwarna hijau pucuk pisang. Rambut anak
lelakinya itu tersisir rapi cuma leher baju Ammar yang sedikit terbuka. Datin
Zarina tersenyum.
“Butang baju? Mama ada berikan pada
Diya. Am pergi mintak dengan Diya…”
ujar Datin Zarina sambil tangannya lincah mencedok rendang ayam untuk
diletakkan di dalam mangkuk.
Ammar menganggukkan kepala. “Diya
mana, mama?” soal Ammar.
“Diya ada dalam bilik.” Balas Datin
Zarina.
Ammar hanya mengangguk. Dia beredar
menuju ke tingkat atas. Tombol pintu bilik tetamu dipulas sebelum pintu
berwarna putih itu ditolak perlahan. Sebaik saja kakinya menapak ke dalam bilik
berhawa dingin itu, kaki Ammar bagaikan kaku apabila melihat Mardiyah yang
sedang menyisir rambut di hadapan cermin. Di tubuh genit itu tersarung jubah
labuh berwarna hijau pucuk pisang sedondon dengan baju Melayunya. Cukup cantik
pada pandangan Ammar apatah lagi rambut gadis itu dibiarkan lepas mengurai.
Mata Ammar langsung tidak berkelip memandang Mardiyah.
“Cantiknya…” tanpa sedar bibirnya
mengungkap kata- kata itu.
Mardiyah tersentak lantas
berpaling. Jantungnya berdenyut laju apabila kelihatan Ammar berdiri di muka
pintu sambil mata lelaki itu tertumpu pada wajahnya. Sepantas kilat, Mardiyah
menundukkan wajah. Dia malu secara tiba- tiba.
“Errr..ada apa yang boleh saya tolong, Encik Am?” soal Mardiyah
tergagap- gagap.
“Mama ada bagi butang baju melayu
aku pada kau tak?” soalan dibalas soalan.
Butang baju? Mardiyah mula berfikir.
Lama dia berfikir kemudian barulaha dia teringat yang semalam Datin Zarina ada
memberinya sekotak butang baju melayu. Katanya butang baju melayu Ammar.
“Err…ada- ada. Saya lupa nak bagi pada encik semalam. Sekejap saya
carikan,” balas Mardiyah lalu membuka laci meja solek. Satu kotak butang baju
melayu berwarna perak dicapai lalu diserahkan pada Ammar.
Ammar hanya kaku berdiri di hadapan
Mardiyah. Dia memandang kotak tersebut silih berganti dengan wajah Mardiyah.
“Tolong pakaikan untuk aku…” pinta
Ammar mengejutkan Mardiyah.
“Hah?” Mardiyah kebingungan.
Terkebil- kebil dia memandang wajah Ammar.
“Tolong pakaikan butang baju ini
dekat aku, aku tak pandai pakai. Biasanya mama yang tolong pakaikan tapi tadi
aku tengok mama macam sibuk sangat. Boleh tak? Kalau tak boleh tak mengapalah…”
ujar Ammar sambil mengambil kotak butang tersebut yang berada di atas tangan
Mardiyah.
“Eh, boleh. Mari sini saya tolong
pakaikan.” Ucap Mardiyah menghentikan langkah Ammar.
Ammar tersenyum manis. Lalu dia
mendekati Mardiyah dan berdiri tegak di hadapan gadis itu.
Mardiyah membuka kotak tersebut.
Butang baju Melayu yang berantai itu dicapai lalu dipakaikan ke baju Ammar. Dia
dapat rasakan wajahnya merona merah apabila berada begitu dekat dengan Ammar
sehinggakan tangannya sedikit terketar- ketar.
Ammar tersenyum simpul. Suka pula
dia melihat wajah Mardiyah yang sudah merona merah. Perlahan- lahan tangannya
diangkat lalu tanpa segan silu dia memeluk pinggang Mardiyah yang melekuk.
Tubuh itu ditarik supaya lebih dekat dengan tubuhnya.
Mardiyah tersentak. Air liur
ditelan berkali- kali. Betapa hatinya sangat berdebar saat ini. Tangannya sudah
menggigil dengan perlakuan Ammar.
“Dekat sikit baru senang nak
pakaikan butang ni…” ucap Ammar perlahan seolah-olah menggoda.
“Ya ke? Sa..saya..saya..ra..rasa…”
Mardiyah tergagap- gagap. Bibirnya terasa kering, manakala dahinya sudah
berpeluh. Pautan tangan Ammar dipinggangnya meresahkan Mardiyah.
“Rasa apa?” bisik Ammar lagi. Dia
mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah. Dia bagaikan terbuai dengan bau haruman
yang terbit daripada setiap helai rambut Mardiyah yang panjang mengurai.
Batinnya terjentik dengan satu rasa yang mengasyikkan.
Namun, Mardiyah hanya menggelengkan
kepala. Dia cuba untuk menyudahkan kerjanya. Jari jemarinya beralih pada butang
baju yang kedua. Tetapi kali ini dia terpaksa mendekatkan sedikit jaraknya agar
senang untuk dia memasang butang tersebut.
Ammar mengambil kesempatan dengan
merenung wajah Mardiyah yang kelihatan begitu rapat dengan wajahnya. Matanya
tertumpu pada bibir Mardiyah yang merah basah. Dia tersenyum nakal. Perlahan-
lahan, dagu Mardiyah diangkat. Anak mata gadis itu ditenung sedalam-dalamnya
sebelum dia mendekatkan lagi wajahnya ke wajah Mardiyah. Pelukan di pinggang
gadis itu dieratkan lagi.
Mardiyah benar- benar terkedu
dengan tingkah laku Ammar kali ini. Dia bagaikan beku untuk membalas segala
tindakan Ammar. Renungan mata lelaki itu seolah- olah memukau jiwa wanitanya.
Perlahan- lahan, dia memejamkan mata.
Ammar tersenyum nipis. Dia
mendekatkan lagi wajahnya. Begitu hampir malah hembusan nafas Mardiyah lembut
menyapa wajahnya. Malah, hidungnya sudah bersentuhan dengan hidung isterinya.
Bibir Ammar semakin dekat. Semakin rapat. Ammar juga turut memejamkan mata
dan….
“Am dah jumpa belum butang baju
melayu tu?” soal Datin Zarina sambil menolak daun pintu yang sudah terbuka.
Namun, tiba- tiba langkah kakinya terhenti apabila melihat keadaan anak
menantunya yang begitu mesra.
“Oppssss!!!” Datin Zarina tersalah
langkah kali ini.
Ammar dan Mardiyah tersedar. Perbuatan
Ammar terbantut kali ini. Dengan pantas Mardiyah menolak dada Ammar supaya
menjauhi dirinya. Dia berdiri sambil menundukkan wajah. Mardiyah benar- benar
malu untuk berhadapan dengan Datin Zarina kali ini.
“Ada apa, mama?” soal Ammar dengan
wajahnya yang sudah merona merah. Dia menggosok hidungnya yang tidak gatal.
Huh, nasib baik tak kantoi depan mama.
Desis hatinya.
“Mama datang salah masa, erk? Tak mengapalah. Kamu berdua
sambunglah apa yang tergendala tadi,” ucap Datin Zarina dengan tawa yang kuat.
Dia menarik daun pintu dan menutupnya dengan rapat.
Mardiyah tersipu- sipu malu. Tak
sanggup rasanya untuk memandang wajah Ammar. Rasa mahu tercabut jantungnya.
“Cepatlah bersiap. Nanti kita nak
beraya pulak…” ujar Ammar. Suaranya kedengaran tenggelam timbul. Jiwanya turut
kacau saat ini. Baru nak romantik, mama pula kacau. Haih. Bisik hatinya.
Mardiyah hanya menganggukkan
kepala.
Sementara itu, Datuk Zainal dan
Datin Zarina duduk di sofa sambil menunggu anak- anaknya turun untuk sesi
bermaaf- maafan. Maklumlah pagi raya memang digalakkan untuk memohon maaf
kerana inilah waktu mereka sekeluarga dapat berkumpul.
Kelihatan Ammar dan Mardiyah turun
dari tingkat atas berjalan beriringan. Nampak sedondon dengan baju yang
berwarna hijau tersarung di tubuh mereka berdua. Datin Zarina dan Datuk Zainal
berpandangan. Mereka berdua tersenyum. Nampaknya, Ammar sudah menunjukkan
perubahan yang positif dan kelihatan Ammar tidak lagi memusuhi Mardiyah malah
apa yang dilihat oleh Datin Zarina di dalam bilik tadi itu merupakan satu bukti
yang Ammar sudah mula dapat menerima Mardiyah secara perlahan- lahan.
Kemudian, kelihatan Akhil dan
Aryani berjalan keluar daripada bilik. Aryani kelihatan cantik dengan baju
kurung moden berlabuci tersarung di badannya. Manakala, rambut gadis itu yang
lurus dibiarkan lepas melepasi bahu. Akhil juga kelihatan tampan dengan baju
Melayu cekak musang berwarna ungu tersarung di tubuh tegapnya.
“Anak- anak papa dah siap untuk
beraya? Aik, Am kenapa baju kamu je yang lain warna? Mama tak tempahkan
baju untuk kamu ke?” soal Datuk Zainal dengan senyuman penuh makna.
Ammar menggarukan kepalanya yang
tidak gatal. Dia menjeling pada Mardiyah yang berada di sebelahnya. Hanya
sengihan yang mampu dilemparkan pada Datuk Zainal.
“Ada, papa. Cuma Am rasa macam nak
pakai baju warna hijau je hari ni…”
bohong Ammar.
Datuk Zainal ketawa kecil melihat
wajah Ammar yang terkulat- kulat.
“Along tipu, papa. Sebenarnya along
memang dah plan nak pakai baju yang
sedondon dengan Kak Diya. Sehati sejiwalah katakan…” sampuk Akhil. Dia ketawa.
“Sibuklah kau, Khil.” Marah Ammar
sambil menunjukkan penumbuknya pada Akhil yang sedang ketawa mengekek.
“Sudah- sudah. Asyik nak bergaduh je korang berdua ni. Sekarangkan raya.
Cepat minta maaf…” sampuk Datin Zarina.
Akhil dan Ammar hanya tersengih. Lantas,
mereka berempat beratur untuk meminta maaf. Ammar memulakan sesi bermaaf-
maafan. Dia mencapai tangan Datuk Zainal dan mencium tangan kasar itu.
“Papa, Am nak minta maaf sepanjang
tahun ni Am banyak sakitkan hati papa. Selalu sajah buat papa pening dengan
perangai Am. Am dah malukan papa. Memang banyak kesalahan yang Am lakukan pada
papa dan mama jadi Am nak ambil kesempatan ni untuk memohon keampunan dan
kemaafan daripada papa dan juga mama. Halalkan makan dan minum, Am. Halalkan
segalanya yang telah mama dan papa berikan pada Am. Am sayang mama dan papa…”
ucap Ammar sebelum mendongak memandang wajah Datuk Zainal dan Datin Zarina yang
sudah mengalirkan air mata. Terharu dengan ucapan maaf daripada Ammar.
“Am jangan risau. Papa dah maafkan
semua kesalahan Am sejak Am lahir sehinggalah sekarang ni. Cuma papa nak Am
cuba terima Diya sebagai isteri Am. Dia tanggungjawab Am..” sempat lagi Datuk Zainal
memberi kata- kata nasihat.
Ammar terdiam. Sekilas dia
memandang Mardiyah yang berada di belakangnya sebelum dia kembali memandang
wajah Datuk Zainal.
“Insya-Allah, papa.” Jawab Ammar
perlahan.
Datuk Zainal dan Datin Zarina
tersenyum gembira. Kemudian, Ammar menyalami Datin Zarina.
“Maafkan Am, mama. Am tahu Am
degil. Am tahu Am banyak menyusahkan hati mama. Am keras hati tapi Am harap
mama dapat maafkan Am ye. Halalkan
air susu mama mengalir dalam tubuh Am,” ucap Ammar sambil mengucup tangan Datin
Zarina.
Datin Zarina tersenyum manis.
“Mama maafkan. Am jangan risau. Am
anak mama, sampai bila- bila pun mama akan doakan kebahagiaan anak mama ni,”
balas Datin Zarina sambil menarik bahu Ammar meminta supaya anaknya itu
berdiri.
Ammar tersenyum lega. Dia duduk di
sisi Datin Zarina.
Kini giliran Mardiyah pula untuk
memohon kemaafan. Hatinya sangat sayu saat ini. Sepatutnya saat dan ketika ini
dia berada di kampung dan melutut untuk memohon kemaafan daripada Puan Kamariah
namun semuanya telah ditentukan. Dia berada di sini bersama- sama dengan kedua
mentuanya untuk memohon kemaafan. Tanpa sedar air mata Mardiyah sudah merembes
laju.
“Papa, mama, Diya mintak maaf, minta ampun atas apa yang
terjadi. Diya tahu kehadiran Diya dalam keluarga ini amat mendadak malah Diya
tak layak untuk menjadi menantu dalam rumah ni tapi ketetapan Allah buatkan
Diya pasrah. Diya minta maaf mama, papa. Disebabkan Diya semuanya menjadi kacau
bilau. Halalkan makan dan minum Diya sepanjang Diya menumpang di rumah ni,”
ucap Mardiyah dengan linangan air mata yang tidak henti- henti.
Datuk Zainal memegang kedua belah
bahu menantunya. Dia tersenyum nipis.
“Papa dan mama sudah maafkan segala
kesalahan Diya. Kehadiran Diya bukan satu musibah pada keluarga ni tapi satu
rahmat yang diberikan Allah pada kami. Diya jangan sedih- sedih. Kami akan
sentiasa terima Diya sebagai keluarga ni. Lepas ni jangan lupa cepat- cepat
bagi kami cucu. Kami ni dah mengidam nak pegang baby,” sempat lagi Datuk Zainal mengusik.
Wajah Mardiyah terus merona merah
apabila soal baby diungkit. Dia
memandang Ammar dan serentak Ammar juga memandang ke arahnya. Mereka
berpandangan membuatkan Mardiyah terus menundukkan wajah. Dia gementar.
“Errr…tu Diya tak tahulah…” balas Mardiyah tergagap- gagap.
“Alah, Diya tak payah risau kalau
tanya pada Am gerenti hari ni pun dia boleh bagi mama cucu, betul tak, Am?”
soal Datin Zarina sambil menyiku lengan Ammar.
Ammar tersentak. “Hah? Ya, mama. Eh
tak..Eh, bukan macam tu maksud Am..” Ammar mula kalut apabila disergah oleh
Datin Zarina.
Serentak mereka sekeluarga ketawa
mendengar Ammar yang tiba- tiba melatah cuma Mardiyah yang kelihatan malu-
malu. Dia bergerak ke arah hadapan Datin Zarina. Tangan Datin Zarina dikucup
lembut.
“Maafkan Diya, mama..” ucap
Mardiyah lembut.
“Mama maafkan. Diya tak ada salah
dengan mama malah Diya adalah menantu pilihan hati mama. Diya anggaplah mama ni
macam ibu Diya sendiri. Jangan bersedih di pagi raya ni, okey?” Datin Zarina
menyeka air mata Mardiyah yang masih bersisa.
Mardiyah mengangguk lemah.
“Diya minta maaf pada Am pula.”
Arah Datin Zarina.
Gulrp,
air liur ditelan. Perlahan- lahan, Mardiyah bergerak ke hadapan Ammar. Dia
melutut sambil tangannya dihulurkan untuk bersalaman dengan Ammar.
Ammar teragak- agak namun akhirnya
tangannya digenggam lembut oleh tangan Mardiyah menjemput debar di hatinya yang
sememangnya asyik berdenyut apabila berhadapan dengan Mardiyah. Matanya
langsung tidak lepas daripada merenung wajah Mardiyah yang bersih.
“Saya minta maaf atas semua kesalahan
yang saya lakukan pada encik selama ini. Saya sedar kedudukan saya dalam hidup
encik tapi berilah saya masa untuk stabilkan semuanya selepas itu saya janji
saya takkan kacau hidup encik lagi…” ucap Mardiyah.
Ammar terpempan. Lama dia merenung
anak mata hitam pekat itu.
“Aku maafkan…” balas Ammar sebelum
satu ciuman kudus menyapa dahi Mardiyah kemudian beralih pada pipi Mardiyah
yang mulus.
Mardiyah terpana. Terkebil- kebil
dia memandang wajah Ammar.
Ammar membalas pandangan Mardiyah
dengan senyuman sebelum dia memandang ke sisi. Kelihatan Datin Zarina, Datuk
Zainal, Akhil dan Aryani sedang memandang ke arahnya dengan matanya membulat.
Mereka kelihatan seperti terkejut.
“Kenapa pandang Am macam tu?” soal
Ammar memecah kesunyian mereka sekeluarga.
“Eh tak ada apa- apalah…” balas
Datin Zarina tersengih.
MARDIYAH ketawa kecil apabila
teringatkan peristiwa hari raya yang berlaku pada tahun lepas. Walaupun ketika
itu mereka masih lagi berusaha untuk menerima diri masing- masing namun hari
itu merupakan hari yang terindah buat Mardiyah.
“Sebenarnya masa Diya cakap nak
balik kampung, abang rasa down
sangat. Abang rasa kosong, rasa macam hati abang ni macam nak ikut je Diya balik tapi abang tetap tinggikan
ego abang masa tu. Bila Akhil cakap Diya balik, abang bukan main gembiranya
lagi. Nasib baik tak melompat tau…” ucap Ammar sambil ketawa kecil mengenangkan
apa yang terjadi tahun lepas.
“Kenapa abang tak cakap pun pada
Diya yang abang dah jatuh cinta pada Diya?”
“Sebab abang susah nak cakap tiga
perkataan tu. Tapi lama- lama barulah abang tahu yang abang hanya boleh
ungkapkan perkataan tu hanya pada Diya. I
love you, my love.” Ucap Ammar lembut.
Mardiyah tersenyum suka. Spontan
pipi Ammar dikucup lembut.
“I love you too, sayang.” Balas Mardiyah. Lengan Ammar dipeluk.
Ammar mengusap kepala Mardiyah yang bertudung. Dia begitu bahagia saat ini.
Segala kedukaan dan kesedihan telah dibawa pergi saat lahirnya anak mereka yang
pertama yang diberi nama Muammar Rizqan.
“Eh, abang. Masa kita lalu dekat
Cherating tadi kan, Diya macam teringatkan sesuatu. Kenapa masa Diya tengok
iklan tu dekat TV, tak ada pun muka kita berdua?” soal Mardiyah setelah agak
lama mereka mendiamkan diri.
Ammar ketawa mendengar soalan yang
terbit daripada bibir Mardiyah.
“Kenapa abang gelak pula?” soal
Mardiyah pelik.
“Sayang, kalau sayang nak tahu
sebenarnya iklan untuk resort tu dah lama Akhil siapkan. Akhil berkomplot
dengan papa untuk kenakan kita…”
“Komplot dengan papa? Nak kenakan
kita? Diya tak faham…”
“Sayang, masa itukan abang ego sebab
menidakkan perasaan abang pada Diya disebabkan itulah papa buat rancangan
supaya Akhil bagitahu abang yang iklan untuk resort itu belum disiapkan lagi.
Dia memang sengaja minta Diya jadi model dan ugut abang untuk carikan model
lelaki lain untuk digandingkan dengan Diya. Abang tak setuju, sebab itulah
abang jadi model sementara untuk iklan yang kononnya Akhil aturkan itu. Rupa-
rupanya selepas Diya hilangkan diri abang baru dapat tahu yang Akhil hanya tipu
abang semata- mata nak satukan kita,” terang Ammar.
Mulut Mardiyah melopong. Dia tidak
sangka sampai begitu sekali keluarga Ammar berusaha untuk menyatukan mereka
berdua.
“Patutlah model iklan tu lain.
Akhil ni memang licik. Samalah dengan papa…” ucap Mardiyah.
“Mereka berdua buat untuk kita
juga. Sekarang, tengoklah. Abang bahagia dengan Diya. Mungkin berkat daripada
restu ibu bapa kita, sayang.” Ucap Ammar.
Mardiyah hanya mengangguk. Ya,
restu ibu bapa itu sangat penting untuk sebuah perkahwinan. Tanpa restu rumah
tangga yang dibina atas dasar kasih sayang pun boleh retak kerana redha Allah
terletak pada redha ibu bapa. Betapa besarnya nilai sebuah restu dan doa
seorang ibu bapa.
“Along!” laung Akhil mengejutkan
Mardiyah dan Ammar. Mereka berpaling ke belakang.
Kelihatan Akhil dan Rifqie yang
sedang tersengih pada mereka berdua. Di tangan Akhil terdapat beberapa biji
kelapa dan pucuk kelapa manakala Rifqie pula memikul beberapa batang buluh.
Mungkin untuk dibuat lemang dan pelita.
Ammar dan Mardiya bangun lalu
mendapatkan adik- adik mereka.
“Iqie dan Akhil pergi mana ni?”
soal Mardiyah.
“Iqie bawak Akhil pergi cari buluh. Seronok gila, kak. Lepas tu kita
orang pergi panjat pokok, sakit betul kaki Akhil kena gigit kerengga,” cerita
Akhil teruja. Rifqie hanya tersenyum.
“Padam dengan muka kau. Kerengga tu
gigit orang yang degil je,” balas
Ammar selamba.
Akhil mengetap bibir. Namun,
kehadiran Aisya membuatkan dia terdiam. Secara diam dia merenung wajah Aisya
yang sedang menuju ke arah mereka.
Mardiyah yang perasan dengan
perbuatan Akhil, sepantas kilat menyiku lengan Ammar. Ammar berpaling pada
isterinya.
“Kenapa, sayang?” soal Ammar.
“Tu…” Mardiyah memuncungkan mulut
pada Akhil yang ralit memerhati lenggang lenggok Aisya. Dia tersenyum penuh
makna. Adik aku ni dah berkenan dengan Aisya ke?
“Iqie, mana kelapa dengan pucuk
kelapanya? Ibu asyik tanya je. Dah
boleh kalau nak bakar lemang ni. Nanti tak sempat pulak,” ucap Aisya pada adiknya yang sedang memikul buluh.
“Ni hah buluhnya, Kak Isya. Kelapa
dengan pucuk kelapa tu ada dengan Abang Akhil. Lepas ni bolehlah bakar lemang,”
balas Rifqie pula.
Aisya mengalihkan pandangan pada
wajah Akhil yang diam seribu bahasa. Hanya mata lelaki itu saja yang terkebil-
kebil memandang ke arahnya. Dahi Aisya berkerut.
“Awak, saya nak kelapa tu. Nanti
ibu bising pula tak dapat kelapa,” ujar Aisya menyedarkan Akhil ke alam
realiti.
Dengan pantas dia menyerahkan
kelapa dan daun tersebut pada Aisya. Dia tersengih namun sengihannya dibalas
dengan senyuman nipis oleh Aisya.
“Aisya tu belum berpunya tau. Tapi
dia agak susah nak berkawan dengan lelaki yang baru dia kenal. Kalau Akhil
berkenan, mesti Akhil tahu apa nak buat kan?” bisik Mardiyah di telinga Akhil.
Akhil tersentak. Lama dia memandang
wajah Mardiyah yang tersenyum nakal. Kemudian dia memandang wajah Ammar. Lelaki
itu hanya mengangkat- angkat kening. Hai, along dengan Kak Diya ni macam tahu
je apa yang ada dalam fikiran aku. Tapi nak ke si gadis melayu ni dekat aku?
Soal hati Akhil.
MALAM raya menjelma. Rumah Mardiyah
sibuk dengan persiapan raya untuk kali terakhir. Ammar, Rifqie dan Akhil sibuk
membakar lemang di halaman rumah. Manakala, Mardiyah sibuk menyalakan pelita
yang diperbuat daripada buluh di tepi halaman rumah. Aisya pula sibuk
menggantungkan langsir baru. Semuanya sibuk dengan kerja masing- masing.
“Alamak, tak sampailah pulak,”
bebel Aisya apabila tidak sampai untuk menggantungkan langsir di tingkap.
Kebetulan waktu itu Akhil melalui
ruang tamu. Dia tersenyum melihat Aisya yang terkial- kial cuba memasukkan
penyakut di roda langsir. Kemudian, dia menghampiri Aisya.
“Nak saya tolong ke?” soal Akhil
ramah. Aisya yang sedang berdiri di atas kerusi di pandang penuh minat.
Aisya terkejut kemudian menoleh
pada Akhil yang berada di hadapannya. Dengan pantas dia menundukkan pandangan
apabila matanya bertemu pandang dengan anak mata Akhil yang coklat pekat.
Senyuman yang tersungging di bibir lelaki itu mendebarkan hati Aisya namun dia
cuba bersikap selamba.
“Errr…tapi awak ada kerja lain kan.
Kesian abang long sorang je bakar
lemang…” Aisya berdalih. Sebenarnya dia malu untuk berhadapan dengan adik
kepada abang iparnya ini.
“Iqie ada tolong along. Saya tengok
awak macam susah sangat je. Meh sini saya tolong,” ujar Akhil sambil
mencapai langsir daripada tangan Aisya.
Tidak dapat tidak, Aisya turun
daripada kerusi. Dia membiarkan Akhil yang memasangkan langsir tersebut di
kekisi tingkap.
“Awak tolong pegang langsir ni ya,”
pinta Akhil lembut.
Aisya hanya mengangguk.
“Awak belajar dekat mana?” soal
Akhil sambil matanya fokus pada penyakut langsir.
“Hah?” Aisya sedikit terkejut.
Dahinya berkerut dengan pertanyaan Akhil.
Akhil ketawa kecil.
“Kak Diya cakap awak belajar lagi.
Awak belajar dekat mana?” Akhil mengulang kembali soalannya.
“Oh, saya study dekat UIAM Kampus
Kuantan.” Balas Aisya perlahan.
“Kos apa?”
“Syariah dan Perundangan.” Jawab
Aisya spontan.
“Oh, nak jadi peguamlah ni? Berapa
tahun lagi dekat situ?” soal Akhil lagi.
“Insya-Allah. Lagi dua tahun.”
Balas Aisya.
Akhil tersenyum. Otaknya ligat
mengira sesuatu.
“Dua tahun lagi umur saya 27 tahun.
Umur awak berapa?” Akhil meneruskan soalan.
Dahi Aisya mula berlapis. Dia
kurang faham untuk apa soalan tersebut ditanya oleh Akhil. Mungkin saja- saja
kut. Bisik hatinya.
“25 tahun…” jawab Aisya pendek.
“Good! Saya boleh tunggu awak lagi
dua tahun…” ucap Akhil selamba. Dia tersenyum manis.
“Hah? Maksud awak apa?” Aisya
benar- benar terkejut. Tunggu? Buat apa nak tunggu aku? Hatinya berdebar-
debar.
“Maksud saya, lagi dua tahun saya
nak ambil awak jadi yang halal untuk saya. Saya malas nak cerita panjang, nanti
mama dan papa saya datang, saya minta dia orang pinangkan awak untuk saya,
okey?” ujar Akhil cukup bersahaja.
Bulat mata Aisya mendengar kata-
kata Akhil. Hujan tak ada, ribut tak ada, tiba- tiba nak pinang aku? Gila ke
sawan? Detik hatinya.
“Kenapa awak begitu yakin yang saya
setuju dengan pinangan awak? Kita kenal pun baru sehari. Awak nak pinang saya?
Awak dah tak betul ni…” Aisya meluahkan rasa hati. Sudahlah malam ni, malam
raya. Dia boleh pulak buat perangai.
Akhil tersenyum manis. Dia turun
daripada kerusi dan berdiri berhadapan dengan Aisya. Wajah gadis itu ditatap
lembut. Hatinya sudah terpaut saat pertama kali melihat wajah Aisya yang
lembut. Senyuman gadis itu seolah- olah memberi ketenangan padanya.
“Untuk mengenali awak, saya tak
perlu berkenalan dengan awak. Cukuplah saya mengenali awak melalui ibu dan
kakak awak. Kak Diya seorang wanita yang sangat baik jadi saya yakin adiknya
mesti seorang yang baik lagipun ibu awak dan Iqie dah ceritakan latar belakang
awak pada saya. Jadi semua kisah hidup awak, perangai awak, saya dah tahu.
Infact, Kak Diya pun setuju kalau awak jadi kekasih halal saya,” balas Akhil.
Aisya benar- benar tidak percaya.
Dalam masa sehari dia berkenalan dengan Akhil, dia terus dilamar? Rezeki ke
jodoh? Dia tertunduk malu.
“Beri masa saya untuk fikirkan
semua ni. Ini soal jodoh. Biar saya serahkan pada Allah…” ucap Aisya lembut.
Akhil tersenyum simpul. Hatinya
tekad untuk memiliki Aisya sebagai suri hidupnya. Entah dari mana datangnya
kekuatan itu tetapi tekadnya mesti dilaksanakan juga.
“Ambillah banyak mana pun masa yang
awak nak. Saya tak nak ganggu hati awak tapi saya yakin awak jodoh saya dan
saya jodoh awak. Memang jodoh itu rahsia Allah tapi Allah akan bagi isyarat
untuk kita mengenali jodoh kita dan saya harap awak temui isyarat itu seperti
mana saya menemuinya,” balas Akhil. Kemudian dia berlalu meninggalkan Aisya
yang masih termangu- mangu.
“Awak kena ingat, tak semestinya
jodoh awak dengan orang yang awak lama kenal sebab boleh jadi jodoh awak itu
orang yang baru awak kenal…” sambung Akhil lagi. Dia mengenyitkan mata sebelum
melangkah pergi.
Ammar dan Mardiyah yang mengintai
di sebalik pintu hanya melopong mendengar keberanian Akhil melamar Aisya tanpa
perlu berkias- kias. Akhil betul- betul berani mati.
“Diya tak sangka yang Akhil
seberani itu, bang. Gentleman habis…”
ucap Mardiyah sambil melopong.
“Abang pun tak sangka. Patutlah dia
selalu desak abang luahkan perasaan abang pada Diya dulu rupa-rupanya dia
memang bercakap serupa bikin. Very straight forward. Abang memang tabiklah pada Akhil kali ni…” balas Ammar
sambil menggelengkan kepalanya.
Mereka masih lagi mengendap Akhil
dan Aisya yang berbual- bual tanpa menyedari yang Puan Kamariah sudah berada di
belakang mereka berdua.
“Buat apa tu?” soal Puan Kamariah
sambil menempel di tengah- tengah mereka berdua.
“Tengok Akhil dengan Aisya…” balas
Mardiyah selamba tanpa memandang ke tepinya.
“Dah tak ada kerja lain ke? Lemang
dengan ketupat tu dah nak hangus, korang berdua boleh skodeng adik- adik korang
lagi? Apa nak jadi ni?” marah Puan Kamariah sambil bercekak pinggang.
Ammar dan Mardiyah terkejut. Mereka
berpandangan sebelum mata mereka tuntas pada wajah Puan Kamariah. Mereka berdua
tersengih.
“Heee…Diya dengan abang rehat sekejap tadi. Nanti kami sambung buat
kerja.” Balas Mardiyah sambil tersengih- sengih. Ammar turut mengiyakan kata-
kata isterinya.
“Kalau nak berehat, pergilah duduk
dalam rumah bukannya skodeng tepi pintu. Hah, sejak bila pandai buat kerja tak
senonoh malam- malam raya ni?” Puan Kamariah mengetap bibir.
Dengan selamba, dia memulas telinga
Ammar dan Mardiyah dan menarik anak menantunya ke dapur.
“Mari ikut ibu…”
“Ibu sakit, bu. Sakit!” Ammar dan
Mardiyah menjerit tetapi Puan Kamariah hanya ketawa lepas.
TAKBIR raya mula bergema di pagi
hari raya memuji kebesaran Yang Maha Esa menambahkan lagi kemeriahan hari raya
buat Mardiyah dan keluarga. Bibirnya tidak henti- henti mengukir senyuman
bahagia apabila melihat Ammar yang terkial- kial untuk memakai butang baju
melayu. Perlahan- lahan, dia menghampiri suaminya yang segak berbaju Melayu
berwarna merah hati. Amat sesuai dengan kulitnya yang putih kemerahan.
“Abang ni memang tak pernah
berubah. Sampai sekarang pun tak pandai lagi pakai butang baju ni?” soal
Mardiyah lembut. Dia melekapkan tapak tangannya di dada Ammar sambil tersenyum
manis.
Ammar membalas senyuman isterinya.
Dengan selamba dia merangkul pinggang isterinya dengan mesra.
“Bukan tak pandai tapi bila abang
cuba nak pakai tetap tak boleh. Diya tolong pakaikan untuk abanglah, boleh?”
soal Ammar manja.
Mardiyah tersenyum lalu mengangguk.
Tidak sampai beberapa minit butang baju melayu milik Ammar sudah siap dipasang.
Dia kembali mendongak memandang wajah Ammar yang kacak. Sampai sekarang dia
tidak jemu menatap wajah suaminya itu. Wajah yang sentiasa manis dengan
senyuman itu sudah lama melekat dalam hatinya. Sukar untuk dia menghakis
bayangan Ammar dalam mindanya.
“Kenapa pandang abang macam tu?
Abang kacak sangat ke hari ni?” soal Ammar berlawak.
Mardiyah ketawa kecil. Dia membalas
pelukan Ammar dengan mesra.
“Hari- hari abang kacak dekat mata
Diya. Abang jangan risau ye,” balas
Mardiyah turut bergurau.
Ammar ketawa kecil. Dia menarik
hidung Mardiyah dengan lembut.
“Abang, sempena hari raya yang
mulia ni, Diya nak minta maaf banyak- banyak dengan abang. Mungkin sepanjang
dua tahun kita berkahwin ni banyak kekurangan dalam diri Diya yang tidak
memuaskan hati abang. Diya minta ampun. Halalkan segala makan dan minum Diya
yang abang berikan pada Diya. Diya sayang abang. Diya cinta abang sampai akhir
hayat Diya…” ucap Mardiyah. Tangan Ammar dicapai lalu dikucup lembut.
Ammar terharu. Dia turut mencapai
kedua tangan Mardiyah lalu dikucup lembut.
“Kenapa setiap kali Diya cium
tangan abang, abang cium tangan Diya balik?” soal Mardiyah pelik. Sejak dia
melahirkan Rizqan, begitulah sikap Ammar. Lelaki itu pasti akan mencium
tangannya kembali selepas dia mencium tangan Ammar. Sudah lama dia ingin
menanyakan soalan ini pada Ammar tetapi ada saja yang menghalang niatnya. Tapi
hari ini dia berpeluang untuk mengetahui sebabnya.
“Tangan Diya ni bukan tangan biasa.
Tangan Diya ini telah menggenggam kekuatan saat ingin melahirkan anak untuk
abang. Tangan Diya ini menggenggam kesabaran saat melayani sikap abang yang
begitu menyakitkan hati Diya dahulu. Tangan Diya ni yang akan membelai dan
menjaga abang dan Rizqan. Pengorbanan dan perhatian yang Diya berikan tak mampu
untuk abang balas malah tangan abang tak mampu menandingi apa yang tangan Diya
telah lakukan. Terima kasih sebab menjadi isteri abang,” ucap Ammar penuh
makna.
Mardiyah terkedu. Dia benar- benar
terharu dengan ucapan Ammar. Setitis air matanya gugur membasahi pipi.
“Hey, kenapa menangis ni? Abang ada
cakap yang salah ke?” soal Ammar panik.
Mardiyah menggelengkan kepala.
“Tiada yang salah apa yang abang
cakapkan cuma Diya rasa terharu. Diya bersyukur sebab Allah takdirkan abang
jadi suami Diya. Tiada yang baik dan selayak untuk jadi suami Diya selain
abang. Abang anugerah buat Diya. Walaupun Diya cuba menidakkan perasaan Diya
dulu tapi rindu itu mengajar Diya keikhlasan cinta abang,” balas Mardiyah.
Ammar tersenyum bahagia. Dia
menyeka air mata yang menitis di pipi Mardiyah. Dia memegang kedua belah pipi
Mardiyah sebelum sebuah ciuman lekat di pipi Mardiyah.
“Diya tahu tak kenapa Allah
ciptakan ruang di antara jari- jari kita ni?” soal Ammar tiba- tiba.
Dengan pantas Mardiyah
menggelengkan kepala.
“Tak. Kenapa bang? Diya lupa pulak
nak kaji…” ucapnya sambil tersengih.
Ammar ketawa kecil lantas dia
mencapai tangan Mardiyah. Dia merenung jari- jemari Mardiyah yang meruncing.
“Sebab satu hari nanti Allah akan
hadirkan seseorang untuk melengkapi jari-jemari kita dan menggenggamnya erat
macam ni…” ucap Ammar. Kemudian, jari- jemarinya dimasukkan di celah- celah
jari Mardiyah. Jari- jemari mereka bercantum. Kuat dan utuh.
Mardiyah tersenyum melihat
jari-jemarinya dalam genggaman tangan Ammar.
“Dan Allah telah menghadirkan abang
untuk melengkapi genggaman tangan Diya. Abang lengkapi hidup Diya sama seperti
lengkapnya jari-jemari Diya berada dalam genggaman abang…” ujar Mardiyah.
“Pandai pun isteri abang. Begitu
juga dengan Rizqan. Kehadiran Diya dan Rizqan telah melengkapi kedua- dua belah
tangan abang. Abang akan genggam tangan Diya dan Rizqan buat selama- lamanya
dengan izin Allah. Selamat hari raya, sayang.” bisik Ammar ke telinga Mardiyah
kemudian matanya memandang Rizqan yang sudah mula mencelikkan mata.
“Selamat hari raya, honey.” Balas Mardiyah turut berbisik.
Dia memandang Rizqan yang seakan-
akan tersenyum pada mereka berdua sebelum matanya tuntas pada tangannya yang
berada dalam genggaman tangan Ammar. Dia bahagia. Syukur kepada Allah yang
memberi nikmat kebahagiaan itu. Kadang- kadang Allah selalu menghadirkan hujan,
ribut dan petir dalam hidup kita untuk menguji sejauh mana kita berharap pada
Dia untuk mendapatkan kebahagiaan. Namun, di setiap hujan itu pasti Allah akan
anugerahkan pelangi yang akan menceriakan hari. Begitu jugalah dengan hidup,
ujian diibaratkan seperti hujan dan ribut manakala pelangi adalah kebahagiaan.
Kebahagiaan bukan untuk dinanti tapi kebahagiaan itu perlu dicari.
Bestttt
ReplyDeletebest
ReplyDeletesooo sweet
ReplyDeletedah bace nvl RINDU DALAM SEPI.....besttt...tp bl bace edisi special ramadhan ni...MANTOOOP..
ReplyDeletebestnye dah ade novel
Deletesyok.....
ReplyDeleteApa cerita dengan Akhil + Aisya...sambung ye yunk..
ReplyDelete